Feb 23, 2008

Artikel Misteri APO? Pilihan Februari

BY Rose Harissa IN , No comments

Seperti yang tersiar dalam APO? Isu 218 - 1 Februari 2008

Di SEBUAH ladang getah, kelihatan seorang pemuda bertubuh tegap sedang giat menebas semak samun. Itulah Fahad, pemuda sebatang kara yang sanggup berbuat apa saja kerja, asalkan halal dan dapat mencari sesuap nasi. Hari ini dia ditugaskan untuk menebas segala semak-samun di kebun getah Penghulu Darus, yang baik hati. Dia perlu habiskan sebelum asar. Tenaga dan kudratnya dikerah sehabis mungkin.

“Abang Fahad!” Suara halus lembut menyapa pendengaran Fahad. Lantas dia segera berhenti menebas lalu berpaling.

Suriya berdiri tidak jauh darinya sambil menjinjing sebuah bakul berisi makanan. Suriya melemparkan senyum. Dibalas Fahad seadanya namun Suriya tidak berasa hati. Dia sudah masak benar dengan perangai Fahad yang pendiam dan sukar untuk senyum.

“Ayah suruh abang makan dulu…” kata Suriya apabila melihat Fahad bersedia untuk kembali menebas. Suriya mengunjukkan bakul makanan. Suka benar dia apabila ayahnya, Penghulu Darus memintanya menghantar makanan kepada Fahad sebagai antara upah menebas.

“Ayah suruh datang rumah lepas habis menebas nanti.” Beritahu Suriya apabila Fahad menghampiri.

Suriya suka melihat Fahad. Pemuda itu jarang senyum. Kerana bila dia senyum, akan tersembul keluar kedua-dua gigi taringnya yang sedikit panjang dari gigi biasa. Badannya pula tegap berulas otot-otot pejal. Ada jalur-jalur kemerahan di tengah belakangnya, seperti tatu yang pudar membuatkan Fahad kelihatan pelik tapi tampan. Semua ciri itu membuatkan Fahad berbeza daripada pemuda-pemuda lain.

Tetapi semua penduduk kampung tahu, Penghulu Darus amat mengambil berat tentang Fahad. Pemuda-pemuda yang cemburukan Fahad, tidak berani mengacau kerana Fahad sentiasa dilindungi oleh Penghulu Darus. Mereka tidak tahu siapa Fahad dan dari mananya datangnya. Dia ditemui terlantar di tepi pantai dalam keadaan pakaiannya koyak rabak beberapa tahun lalu. Apa yang pasti, Fahad kelihatan berbeza dari pemuda sebayanya dengan kulit kemerahan. Sejak itu Fahad tinggal memencilkan diri di pondok kecil yang disediakan oleh Penghulu Darus di hujung kampung. Pernah terjadi kes, Fahad dipukul ketika dia pulang dari surau. Seminggu dia terlantar dan Penghulu Darus sendiri yang merawatnya. Walaupun kumpulan pemukul itu tidak dapat ditangkap, tetapi amaran Penghulu Darus sudah cukup untuk melindungi Fahad dari sebarang ancaman.

“Suriya baliklah dulu…tak elok kita duduk berdua di sini.” Fahad bersuara perlahan tanpa memandang wajah Suria. Dia sengaja mengelak kerana setiap kali dia merenung gadis itu, ada cetusan rasa pelik terbit di sanubarinya.

Suriya senyum. Dia mudah menduga hati anak muda itu. Fahad suka padanya tetapi malu. Tidak mahu mendera perasaan Fahad, Suriya bangun, bersedia untuk pergi.

“Petang nanti jangan lupa datang rumah tau. Ayah nak abang makan malam kat sana nanti.” Suriya meninggalkan pesan sebelum melenggang pergi.

Sepeninggalan Suriya, Fahad makan dengan perlahan-lahan. Dia terfikir sendiri tentang siapa dirinya. Selama ini hanya keluarga Penghulu Darus yang baik dengannya. Fahad tidak ingat apa-apa tentang dirinya. Sedang Fahad makan, tiba-tiba dia tertegak. Telinganya bergerak-gerak. Matanya melingas bersama kerutan di kening. Bekas nasi segera di letak ke tanah. Fahad bangun. Tegak berdiri mengawasi persekitaran. Secara semulajadi, dia menetapkan segala derianya. Ada bahaya sedang berlaku. Suriya!

Sepantas kilat, Fahad berlari kencang. Deria baunya membawa dia ke satu tempat. Sayup-sayup kedengaran suara Suriya menjerit diiringi ketawa lelaki beramai-ramai. Dia yakin Suriya dalam bahaya. Benar seperti sangkaannya, Suriya sedang dikerumuni oleh sekumpulan lelaki. Separuh dari bajunya sudah koyak rabak, sementara seorang lelaki cuba melondehkan kainnya. Jiwa Fahad semakin bergolak kencang.

“Hoi!” Fahad bertempik. Secara tidak langsung mengejutkan kumpulan lelaki itu. Dari gaya mereka, Fahad yakin, itulah kumpulan yang memukulnya dulu.

“Ah! Pendatang asing nak tunjuk hero! Ptuii!” Kadhi meludah. Dia paling benci melihat muka Fahad. Kalau dapat, ingin dia tarah muka kacak Fahad dengan parangnya.

“Hari ni kau mesti mampus! Dah lama sangat kami dendam dengan kau!” Kadhi menyambung kata. Dia memberi isyarat mata kepada rakan-rakannya agar mereka sama-sama menyerang Fahad. Suriya dilepaskan tetapi gadis tidak berdaya untuk meninggalkan tempat itu. Lebih dari itu dia bimbang jika Fahad dipengapakan.

Tamrin melompat dengan satu tendangan tetapi sebaik sahaja kakinya mencecah dada Fahad, dia terpelanting. Fahad lebih pantas menumbuknya. Kadhi, Saud dan Moin tercengang melihat Tamrin tersungkur di tanah, tidak bangun lagi. Mereka mula geram lalu menggiatkan serangan.

Pada ketika tubuhnya terkena libasan parang Kadhi, Fahad merasakan ada cetusan aneh dalam tubuhnya. Dia meraung dalam keadaan melutut mendongak ke langit. Tubuhnya menggigil. Ada perubahan berlaku pada dirinya. Jalur-jalur merah di belakangnya makin ketara. Gigi taringnya semakin terjulur keluar. Beberapa saat kemudian, Fahad berdiri.

Semua terlopong menyaksikan perubahan Fahad. Matanya merah menyala. Tubuhnya menjadi kehijauan dengan belang-belang merah. Dia menyeringai ke arah empat lelaki durjana itu. Mereka takut tetapi masih ada hati ingin menyerang. Tetapi Fahad semakin pantas. Pergerakannya tidak ubah seperti seekor harimau kumbang. Begitu tangkas. Tangannya yang berkuku panjang, mencakar ke sana ke sini tanpa belas kasihan. Darah memercik dan terhambur ke udara. Seorang demi seorang rebah ke tanah tanpa nyawa lagi.

Kemudian Fahad terbongkok di atas tanah. Dia menoleh ke arah Suriya yang pucat lesi. Terkejut dan takut. Fahad menghampiri Suriya dan dalam masa yang sama dirinya beransur-ansur jadi normal. Tetapi tersungkur sebelum sampai kepada Suriya. Luka di perutnya membuatkan Fahad yang sudah berubah menjadi manusia normal, mengerang kesakitan.

Suriya masih menggeletar ketakutan tetapi dia tetap menghampiri Fahad. Masih ada terselit rasa simpati dalam hati Suriya walaupun dia sudah menyaksikan tiwikrama Fahad sebentar tadi. Dengan tenaga wanitanya, Suriya sedaya upaya memapah Fahad pulang ke rumah.

***************

FAHAD termenung di tepi jendela. Baru sejam dia sedar dari pengsan. Dan apabila sedar, dia dapati dirinya sudah berada di rumah Penghulu Darus. Lukanya juga sudah berbalut. Ketika itu otaknya mula teringatkan peristiwa di kebun getah. Dia benar-benar tidak menyangka akan mengalami tiwikrama yang menakutkan. Mulalah dia sangsi tentang dirinya. Apakah dia puaka, bukannya manusia?

Tiba-tiba terdengar laungan penduduk kampung di luar rumah. Penghulu Darus menghalang Fahad dari keluar.

“Serahkan manusia puaka tu pada kami Tok Penghulu!!” laung Tamrin. Rupanya dia masih hidup dan pura-pura tidak sedarkan diri. Lalu peristiwa Fahad berubah menjadi makhluk aneh tadi, dapat disaksikan dan disebarkan ke serata kampung bahawa Fahad yang membunuh Kadhi, Saud dan Moin.

“Penghulu dah bersubahat menyimpan makhluk puaka tu! Jangan sampai kami hilang hormat pada penghulu pula…” Tamrin semakin berani.

“Sabar… perkara ni kita harus adili sebaik mungkin.” Penghulu Darus masih tenang. Walaupun dia sudah mendengar cerita Suriya tentang kejadian siang tadi, tetapi entah mengapa dia tidak mahu menyalahkan Fahad 100 peratus. Kerana Fahad sendiri nampaknya keliru dengan apa yang terjadi.

“Nak sabar apa lagi? Saya nampak dengan mata kepala saya sendiri budak tu berubah jadi puaka dan bunuh kawan-kawan saya!” Tamrin bersuara lantang. Dia yakin kali ini Fahad tidak akan selamat lagi.

“Habis tu, kamu tak nak dedahkan kepada orang kampung yang kamu dengan arwah kawan-kawan kamu tu nak perkosa anak aku?” jerkah Penghulu Darus.

Penduduk kampung mula berpandangan sesama sendiri. Mereka tidak tahu langsung tentang hal itu. Kata Tamrin, Fahad tiba-tiba menyerang ketika mereka meredah kebun getah untuk memburu burung serindit.

“Ahhh! Kita bakar aje rumah Penghulu tak guna ni!” Tamrin melaung. Ketika itulah Fahad tiba-tiba muncul dan melompat ke depannya. Tamrin berundur ke belakang. Beberapa orang penduduk kampung yang masih menyokong Tamrin, cuba menyerang Fahad. Bertubi-tubi serangan dilancarkan.

Dan Fahad, setelah mengalami tiwikrama pertama siang tadi, semakin mudah mengalami perubahan saat jiwanya marah. Sekelip mata, berubah. Kalau siang tadi, masih ada fizikal manusia, kini Fahad sudah bertukar sepenuhnya menjadi seekor harimau bintang berwarna hijau yang besar. Penghulu Darus mengucap panjang. Suriya dan Saerah ibunya terjelepuk di tepi pintu. Penduduk kampung yang lain bertempiaran lari menyelamatkan diri walaupun Fahad yang menyerang Tamrin dan konco-konconya.

Mayat-mayat bergelimpangan. Fahad terduduk di atas tanah. Sebaik sahaja dirinya bertukar menjadi manusia normal, Fahad menangis sungguh-sungguh menyesali apa yang terjadi. Penghulu Darus mahu menghampiri, tetapi Fahad terlebih dahulu berpaling. Bercucuran airmata di pipinya memandang Penghulu Darus yang disayanginya. Selepas melepaskan pandangan ke arah Suriya dan Saerah, Fahad bangun, berlari sepantas kilat, menghilangkan diri dalam kegelapan malam.

***************

SURIYA melangkah masuk ke dalam gua itu bersama bakul makanan. Dia mendengar suara menderam halus. Namun Suriya terus melangkah. Bakul makanan diletakkan di atas batu di tengah ruang gua.

“Makanlah bang. Ayah dan mak kirim salam. Mereka nak abang balik.” Kata Suriya sambil matanya memaku tepat ke sudut gua yang gelap. Dia tahu Fahad ada di situ. Menyembunyikan diri setiap kali dia datang membawa makanan sejak sebulan yang lalu. Tempat persembunyian Fahad hanya diketahui oleh sejak peristiwa Penghulu Darus dan Mat Husin diserang oleh seekor harimau ketika berburu di hutan sebulan yang lalu. Fahad tiba-tiba muncul menyelamatkan mereka dalam keadaan jadi-jadian.

“Abang tak boleh balik. Tempat abang di sini.” Fahad menyahut dari dalam gelap.

Suriya kecewa lalu melangkah pergi. Dia rindu untuk melihat wajah Fahad. Dia tidak tahu bagaimana rupa Fahad sekarang ni. Kata ayahnya, ketika Fahad datang menyelamatkan, fizikal manusianya masih ada. Bermakna dia tidak berubah menjadi jadian seratus peratus.

Ada juga keluarganya mendengar cerita penduduk kampung terserempak dengan Fahad mandi di air terjun dalam keadaan normal. Kadangkala ternampak Fahad duduk bertafakur di puncak air terjun.

Apa yang pasti Fahad sedang menghambakan dirinya kepada ALLAH, memohon perlindungan dariNYA agar dia dapat mengawal cetusan tiwikrama yang sedang pesat dalam tubuhnya. Fahad juga makhluk ALLAH…

0 comments:

Post a Comment