Jun 21, 2009

ELLY JUARA SULUNG DI MIMC

BY Rose Harissa IN 10 comments

Kalau diikutkan hati, aku memang nak ke Melaka menyaksikan perlumbaan pusingan ke 4 Cub Prix. Lagi pula ia julung kali diadakan di Litar Sukan Bermotor Antarabangsa Melaka (MIMC) yang baru sahaja dibuka. Tapi memandangkan aku terpaksa menyiapkan beberapa keping lukisan yang dah ditempah awal, hasrat tu dipendamkan. Lewat petang tadi, dapat SMS dari Bangcahq, beritahu anakanda kesayangannya, Elly Sr. jadi juara. Aku tumpang happy. Terus hantar SMS ucap tahniah kat Elly. Dan balasannya buat aku sendu kejap...
'Thanks so much akak, elly bwk semangat buku nk tlg akak'
Terima kasih jugak buat Elly kerana percaya pada aku untuk tulis buku tu. Tanpa buku itu pun aku tahu, Elly sentiasa bersemangat waja!

Ini berita yang dipetik dari laman web Malaysian Cub Prix



GERAM dan kecewa ketika pada aksi di Kuala Terengganu lepas, membuatkan Elly Idzlianizar Ilias tekad untuk memadam kepedihan itu dengan menawan saingan Pusingan 4 Kejuaraan Cub Prix Malaysia AAM PETRONAS yang berlangsung di Litar Sukan Bermotor Antarabangsa Melaka (MIMC) di Ayer Keroh hari ini.

Bersaksikan ribuan penonton di litar berharga sekitar RM20 juta, saingan perlumbaan akhir Kelas Expert jelas cukup menarik dan mendebarkan dengan beberapa pelumba berpengalaman saling bertukar tampuk pendahulu dan saling mencabar antara satu sama lain.

Beberapa kesilapan nyata membawa padah buat pelumba tatkala trek MIMC yang baru di buka pada Mei lepas jelas menimbulkan sedikit rungutan buat pelumba. Dan hal ini nyata berlaku ke atas juara sebanyak dua kali, Ahmad Fazli Sham pada baki tiga pusingan terakhir sekali gus memberi peluang kedua buat Elly tampil selaku pendahulu sehingga ke garisan penamat.

“Perlumbaan akhir hari ini cukup menarik dan mendebarkan. Selaku pelumba, saya juga tertarik dengan aksi yang dipersembahkan pada hari ini. Ia sesuatu yang hebat dan kemenangan ini cukup berharga buat saya ,” ujar Elly merujuk persembahan hebat dua pelumba Shell, Ahmad Fazli dan Ahmad Fazrul Sham, rakan sepasukan, Md Zamri Baba dan angkatan pelumba PETRONAS yang lain.

Kejayaan saya hari ini terletak kepada kesabaran dan persembahan konsisten saya. Sekalipun saya dipintas oleh Fazli Sham namun berkat kesabaran dan pada masa yang sama bertindak bijak mengawal keadaan membuatkan saya berjaya mengelak Fazli ketika di terjatuh sebaik berada di depan saya,” ujar Elly menjelaskan perlumbaan akhir tersebut.

Elly menamatkan saingan 15 pusingan dengan catatan masa 16:47.670 saat meninggalkan rakan sepasukan Md Zamri Baba di tempat kedua dengan masa 16:48.007 saat diikuti pelumba Shell Advance Yamaha Maju, Ahmad Fazrul Sham (16:53.471 saat) ditempat ketiga.

Kejayaan Elly di MIMC meletakkan dirinya di tempat ketiga dengan 55 mata kedudukan keseluruhan dibelakang dua pelumba PETRONAS Sprinta Yamaha Raceline, Md Iskandar Raduan dengan 65 mata dan Ahmad Fuad Baharudin di tempat kedua dengan 56 mata.


Berita penuh sila lawati : http://www.malaysiancubprix.com


Jun 19, 2009

DIULIK MAYANG...

BY Rose Harissa IN , 7 comments

Terjumpa cerita yang tak pernah tersiar kat APO? Iskk... banyak cerita karun rupanya dalam PC ni... selamat membaca sementara aku berada di luar Wilayah Celcom ni...

Jun 18, 2009

Suatu Malam Bersama Drakula...

BY Rose Harissa IN , 32 comments

Tengah mengemaskini koleksi artikel misteri. Tiba-tiba terjumpa satu artikel ala-ala siri Twilight... hahaha ... Hmm... nampaknya idea berpaksi pada satu perkara yang sama... mungkinkah kerana sebab ini, semakin lama semakin banyak cerita yang seakan sama walaupun penulisnya orang yang berlainan?
Jadi inilah dia ceritanya dengan soundtrack dari kumpulan Muse untuk menambahkan lagi feel ...

******************************
“ SUATU MALAM BERSAMA DRAKULA...” - APO? #126 (1 April 2004)
Aku baru aje dapat kerja di sebuah kedai buku. Saja suka-suka sementara nak menunggu keputusan akhir semester keluar. Kerja di kedai buku ni, bolehlah aku ambil kesempatan baca buku-buku yang aku suka secara pecuma. Lagipun bosan juga kalau dari pagi sampai ke malam duduk aje di kaunter. Kerja aku bermula jam 10 dan berakhir jam 10 malam.

Kedai buku yang aku jaga tu, keseluruhan fasadnya ialah cermin. Jadi sambil duduk di kaunter, aku suka memerhatikan orang ramai yang lalu lalang. Sampai aku boleh cam orang yang regular lalu di depan kedai buku ni. Lepas seminggu aku kerja di situ, aku terperasan pada sorang lelaki. Orangnya tinggi, berkulit putih, rambut panjang paras bahu dan selalu berkot labuh. Aku suka sangat tengok dia, tak tau kenapa. Sekali sekala memang aku kantoi kerana asyik perhatikan dia. Aku cuba lemparkan senyum tapi tiada reaksi yang aku terima. Wajahnya ‘kaku’ dan ‘beku’. Biasanya dia muncul dalam lingkungan jam sembilan malam ke atas. Aku selalu pehatikan dia kerap masuk ke pub yang terletak bertentangan dengan kedai buku tempat aku kerja.

Sungguh mengecewakan bila setiap kali keluar dari pub, dia akan bergandingan dengan perempuan. Perempuan yang berbeza tetapi kesemuanya cantik dan seksi. Aku mengeluh sendirian, minat masih ada pada dirinya tetapi terkilan dengan sikapnya yang sering bertukar teman wanita. Lalu aku kurang lagi memerhatikan dirinya sambil memendam rasa.

Suatu hari, aku terbaca satu berita pembunuhan. Mayat seorang wanita ditemui di sebuah semak samun. Tiada tanda dia dirogol tetapi polis menemui dua lubang kecil di lehernya dan mayat kekeringan darah. Aku terkejut yang amat sangat. Gambar wanita itu sama seperti wanita yang keluar dari pub semalam bersama dengan jejaka misteri idamanku!

Aku mula tidak sedap hati dan mengesyaki sesuatu. Maka malam berikutnya, aku meneruskan kembali aktiviti memerhatikan jejaka tersebut. Dan seperti biasa, dia muncul di depan pub itu. Ketika dia keluar bersama seorang wanita, aku berdiri dan mengecam wanita tersebut. Dia sedar aku memerhatikan gerak gerinya lalu melemparkan satu renungan tajam. Aku berdebar seketika. Perasaan bercampur baur, rindu dan sedikit gementar. Aku pelik dengan sikapku sendiri.

Esoknya pagi-pagi lagi aku dah baca akhbar mencari berita kematian wanita. Ya! Memang ada berita itu. Seorang lagi wanita ditemui mati. Dengan keadaan yang sama, leher berlubang seperti digigit sesuatu dan darahnya seperti dihisap dihingga kering! Dan perempuan itulah yang keluar bersama jejaka misteri itu malam tadi.

Aku tiba-tiba kebingungan bercampur sedih. Mungkinkah lelaki itu terlibat dengan kes kematian tersebut? Aku meneruskan pemerhatian. Selang dua atau tiga malam, lelaki itu pasti keluar dari pub bersama seorang lagi wanita. Tetapi kali ini, sebelum meninggalkan pub, dia akan melemparkan satu pandangan yang sukar dimengertikan ke arahku. Seolah-olah mengetahui aku sedang menganalisa setiap pergerakannya. Berita kematian ngeri wanita-wanita tersebut terus muncul di dada akhbar. Aku semakin yakin bahawa lelaki itu ada kaitan dengan setiap kematian yang dilaporkan.

Suatu malam, selepas aku menutup kedai dan dan bersiap-siap untuk pulang, aku dikejutkan dengan kehadiran lelaki tersebut. Dia berdiri di seberang jalan, betul-betul di hadapan pub sambil memerhatikan aku dengan renungan tajam. Aku tergamam seketika. Kemudian aku terus melangkah laju tanpa menghiraukannya.

Hari-hari berikutnya jarang sekali aku lihat dia keluar bersama wanita dari pub itu. Sebaliknya dia berdiri di bahu jalan dan terus-terusan memerhatikan aku. Serba salah aku dibuatnya. Kini dia seperti semakin menghampiri aku. Pernah dia berdiri di luar cermin, betul-betul di sebelah kaunter. Aku terkejut yang amat sangat bila terpandangkannya. Dia hanya berdiri sambil menyeluk saku. Jantung aku semakin kuat berdebar. Memang dia kacak dan kelihatan menarik. Bila kami bertentang mata, aku tergamam melihat matanya yang seperti berkilauan. Tiba-tiba sahaja dia tersenyum. Dan aku lebih terperanjat bila melihat gigi taringnya yang agak panjang. Anehnya, itu semua membuatkan aku semakin terpikat padanya walaupun aku kini mula menyedari dan dapat mengagak siapakah dia. Aku tertunduk, tidak berdaya menahan pandangannya yang tajam itu. Dan bila aku kembali mengangkat wajah, dia telah tiada di situ!

Berita kematian misteri wanita-wanita pub, sudah jarang keluar di dada akhbar. Tetapi aku mula merasakan diriku seperti diekori dan diawasi. Setiap kali aku pulang dari kerja, terasa seperti ada orang di belakang, tetapi bila kutoleh, tiada sesiapa pun… hanya seekor kelawar yang berlegar-legar di udara seperti mengiringiku pulang.

Lama kelamaan, aku lihat lelaki itu tidak lagi membawa perempuan keluar dari pub tersebut. Sebaliknya dia terus-terusan berdiri di luar memerhatikan setiap geriku di dalam kedai. Aku jadi tidak keruan. Mungkin kerana selalu diperhatikan sedemikian rupa, aku seperti sering terlihat dan terbayangkan dirinya ketika berada di rumah. Malah aku sering termimpikan dirinya. Setiap malam juga aku terasa seperti diekori hingga sampai ke rumah. Mulanya memang aku rasa takut lebih-lebih lagi bila terpandangkan kelawar hitam bermata merah yang selalu terbang di atas kepalaku. Tetapi lama kelamaan, aku sudah tegal dengan keadaan itu malah terasa seperti dilindungi pula.

Suatu malam, seperti biasa, aku lihat lelaki itu berada di seberang jalan. Aku buat-buat tak peduli. Sehinggalah sampai waktu pulang, hujan tiba-tiba sahaja turun dengan lebatnya. Aku berjalan menyusuri kaki lima. Ketika itu telingaku tajam menangkap bunyi derap langkah mengekori dari belakang. Aku kuatkan hati tidak mahu menoleh kerana perasaan takut mula menyelubungi hati. Semakin aku lajukan langkah, ia kedengaran semakin hampir. Kemudian, tiba-tiba sahaja jari-jemariku dipegang seseorang dari belakang. Langkahku serta-merta terhenti dan aku pejamkan mata serapat mungkin. Bila aku buka mata, lelaki misteri itu kini berada di depanku. Aku gugup menatap wajahnya yang pucat tetapi tersenyum memandangku, jelas terserlah gigi taringnya. Dalam hati, adakah semua itu kerana dia tidak lagi membunuh? Aku terkebil-kebil. Tidak dapat menggambarkan perasaan sendiri, takut ada, gementar ada, malah rasa cinta pun ada!

Dia terus berpegangan tangan denganku. Aku ikut sahaja langkahnya tanpa sedar akan keadaan sekeliling. Sedar-sedar sahaja aku berada bersamanya di satu ruang yang diterangi cahaya lilin. Pakaianku juga telah bertukar kepada gaun putih yang cantik. Terasa seperti seorang pengantin. Dia juga berada di hadapanku. Berpakaian serba hitam tetapi kelihatan lemah sekali. Perlahan-lahan dia memelukku. Saat itu aku berasa gigitan lembut di leher. Kupejamkan mata dengan menyedari memang tepat sangkaanku terhadap siapa di rinya yang sebenarnya. Namun aku pasrah pada takdir dan seakan merelakan apa sahaja yang bakal dilakukan terhadap diriku. Mungkin nasibku sama seperti perempuan-perempuan sebelum ini. Fikiranku mula melayang-layang dan terawang-awang.

Tanganku mula terasa kebas dan fikiranku kembali ke alam nyata. Saat itu aku rasakan aliran panas mengalir di leher. Dia mengangkat mukanya. Kelihatan segar. Sedangkan aku lemah longlai. Dia tidak lagi meneruskan hisapan. Dalam keadaan bingung, aku tertanya-tanya kenapa…

Aku kemudiannya didukung dan dibaringkan ke dalam pembaringan yang penuh dengan kelopak mawar. Rasanya aku masih mengenali apakah benda itu. Keranda! Dia cuma senyum dan menepuk-nepuk bahuku seperti mendodoikan bayi untuk tidur. Ketika itu aku tidak lagi memikirkan tentang kematian, sebaliknya aku yakin dan pasti pertemuan dengannya tidak akan diakhiri dengan penemuan mayatku sebagaimana nasib yang menimpa perempuan-perempuan malang sebelum ini…

********

Jun 16, 2009

KURANG 24 JAM

BY Rose Harissa IN 14 comments

Saya sendiri tak menyangka berjaya menghabiskan buku ini kurang 24 jam. Kalau dikatakan ianya tidak setebal novel biasa, mungkin ya. Tapi masalahnya saya bukan penggemar hasil karya yang berbentuk motivasi seperti ini. Dulu masa sekolah nak baca buku teks pun malas tau. Hurm… macam mana tu?
Apa pun Evolusi Elly memang sesuatu yang menarik. (Kalau tak takkan saya berjaya habiskanya dari kulit ke kulit). Kisah si kerengga rempit menjadi juara dan bakal menjuarai lagi. Hal yang saya tak boleh lupakan dalam buku ni masa Elly kecil, bukan main lagi merempit dengan basikal siap ada lakonan lagi. Rasanya kalau disuarakan kepada bekas pensyarah dokumentari saya, mesti dia suka. Sebab dia suka sangat adegan imbas kembali dan lakon semula.
Yang paling menyentap dalam buku ni kes kontrak. Biasa la Elly, orang atasan memang macam tu, dia fikir dia dah cukup berkuasa, dia tak nampak ada lagi yang lebih berkuasa. Bila dia perlukan dia akan kerah kita selagi boleh, tapi bila tak perlukan, benda 30 hari pun boleh jadi 1 hari. Ingat, dunia hanya sementara!
p/s : K.Rose, lepas ni biar saya buat cerita pasal Ikmal lak. Eh cop, nak Ikmal ker lily erk? Hu3

*******************************************
Terima kasih kat Airul merangkap adik kesayangan penulis prolifik Bikash Nur Idris yang sudi baca Evolusi Elly dalam masa kurang dari 24 jam. Terharu nih !
p/s : Airul... Lily adik Elly tu cun banget tau! hehe

Jun 11, 2009

LUVUSI ELLY

BY Rose Harissa IN 10 comments

Ik belum pandai baca tapi suka tengok gambar-gambar uncle Elly

Tau tak perkataan apa sebenarnya tu? Puncanya begini, aku suruh Ik tengok apa adik aku, Yanti buat dalam bilik. Ik pun pergilah tengok, kemudian keluar balik sambil jerit,



"Mama! Mokcik tengah baca Luvusi Elly!"


Jam tu jugak aku gelak besar . Perkataan Evolusi dah bertukar jadi Luvusi! Hahaha... Ik memang ada 'penyakit' selalu terbalik sebut perkataan .