Sunday 20 May 2012

“ KORBAN PUAKA TASIK “

Cerita ni aku tulis pada 01/04/2004 untuk APO? tapi bila check balik dalam list senarai yang dah keluar, cerita ni tak pernah tersiar. Jadi aku tempek kat sini untuk korang baca.


“KORBAN PUAKA TASIK“

Tasik Chini sememangnya banyak menyimpan sejarah dan lagendanya tersendiri. Kisah kota tenggelam di dasarnya dan lubuk yang menjadi naga dua beradik Sri Pahang dan Sri Gumun bertapa suatu ketika dulu, amat popular. Malah ada sesetengah orang beranggapan dan percaya Sri Gumum masih ada di dalam tasik berkenaan biarpun abangnya sudah tewas di tangan naga Siam, Sri Kemboja.

Ada juga yang percaya ada makhluk misteri lain yang mendiami tasik berkenaan. Walau apapun ianya tidak dapat dipastikan dengan jelas. Namun kisah tasik itu yang meragut banyak nyawa bukan lagi rahsia. Hampir seluruh penduduk Chini memahami ragam tasik itu lebih-lebih kaum orang asli yang mendiami sekitar tasik.

Selalunya orang luar yang tidak tahu menjaga adab menjadi korban tasik. Tetapi itu tidak bermakna orang tempatan selamat dari menjadi mangsa. Sekumpulan pelajar dari sekolah berdekatan ke tasik itu tanpa menduga akan terjadi satu kisah tragis yang tak mungkin dapat  mereka lupakan.

Masitah turut serta dalam rombongan tersebut. Rombongan itu sekadar bertujuan untuk memberi kesedaran kepada para pelajar akan kepentingan alam sekitar kepada manusia. Guru-guru yang terlibat telah menyewa dua buah bot untuk membawa para pelajar mengelilingi tasik.

Masitah duduk di bahagian belakang bot bersama Suzana, teman baiknya. Cikgu Rozila sibuk berceramah di kepala bot walaupun kebanyakan pelajar kurang memberi perhatian terhadap apa yang dia perkatakan. Mereka lebih gemar mengaut bunga teratai dan buahnya dari permukaan air.

Masitah dan Suzana juga tidak ketinggalan. Seronok mengutip buah teratai sambil merenjis air sesama sendiri. Kemudian Masitah mengajak Suzana untuk mengubah tempat duduk ke bahagian hadapan bot. Masitah mengambil tempat betul-betul di muncung bot.

Masitah masih galak bermain air. Tidak lama kemudian, tiba-tiba sahaja Masitah menyentap tangannya keluar dari permukaan air. Raut wajahnya yang berubah panik menimbulkan tanda tanya kepada Suzana.

“Kenapa Ita? “ tanya Suzana.

Muka Masitah pucat. Dia tidak bersuara tetapi jarinya menuding ke arah air. Suzana menoleh. Mulanya dia hairan kerana tidak nampak apa-apa selain dari bunga teratai yang hidup subur. Namun ianya hanya seketika. Dalam air tasik, Suzana nampak satu bayangan hitam berenang-renang di sekitar bot mereka. Tidak dapat Suzana pastikan rupa bentuknya. Ianya seperti satu makhluk yang besar dan pastinya bukan sang buaya! Kini giliran Suzana pula berubah wajah.

Mereka berdua tergamam dan berpandangan sesama sendiri. Belum sempat mereka memberi amaran kepada rakan-rakan dan guru, kelihatan air tasik bergulung seperti ombak besar. Serentak itu juga terasa ada sesuatu yang besar melanggar bot mereka.

Akibat daripada itu, bot yang memuatkan seramai 10 orang itu terjungkit sebelum terbalik. Masitah terlebih dahulu terhumban ke dalam tasik. Rakan-rakannya yang lain menggelepar cuba menyelamatkan diri masing-masing. Ada yang berpaut kepada bot, ada yang mampu berenang ke tepian.

Tetapi tidak Masitah dan Suzana. Masitah bersusah payah untuk cuba timbul di permukaan air. Dia berasa berat yang amat sangat. Tiba-tiba Masitah terasa ada sesuatu sedang menarik kakinya. Masitah menjerit sekuat hati. Melihatkan keadaan itu, Suzana berusaha membantu Masitah untuk kembali naik ke permukaan air. Namun Suzana sendiri tercungap-cungap jadinya. Dia berasa Masitah begitu berat malah dia yakin ada sesuatu sedang menarik Masitah supaya tenggelam ke dasar tasik sehingga dia sendiri hampir lemas.

“Cikgu!!! Tolong!! Masitah jatuh dalam air ni!!” Suzana menjerit sambil terus cuba menarik Masitah. Masitah makin tenggelam. Suzana menangis melihatkan Masitah yang semakin tenggelam.

“Cikgu!!! Tolong!!!” Jeritan Suzana seakan tidak didengari oleh guru mereka. Suzana semakin berputus asa. Akhirnya Suzana tidak berdaya lagi. Terpaksa dia melihat Masitah tenggelam ke dasar tasik begitu sahaja.

Suzana diselamatkan oleh Pak Hasan, jurumudi bot. Sebaik sahaja sampai ke tebing, dia diserbu rakan-rakannya. Suzana menggeletar, kesejukan bercampur ketakutan.

“Eh? Mana Masitah?” Tanya Cikgu Rozila. Suzana mengerling marah ke arah cikgunya itu.

“Bukan ke tadi saya dah jerit mintak tolong! Sorang pun tak dengar! Masitah dah lemas dalam tasik nun!!!” Suzana menjerit sekuat hati seakan melepaskan perasaannya yang terkilan dengan kejadian sebentar tadi. Barulah guru-guru mereka menyedari Masitah sudah hilang ke dasar tasik.

“Suzana, cuba ceritakan apa yang dah jadi?” Tanya Cikgu Malek lembut.

Suzana teresak-esak. "Saya…cuba..cuba nak tolong Masitah cikgu… tapi, dia kuat! Kuat sangat! Berat! Macam ada benda tarik dia dari bawah! Saya..tak mampu nak selamatkan dia!!” Suzana meraung sekuat hati.

Sekejap sahaja cerita Masitah lemas di tasik tersebar ke kawasan sekitar. Pasukan penyelamat tiba dan memulakan gerakan mencari mayat Masitah. Dasar tasik yang gelap dengan rumpai, menyukarkan kerja-kerja mencari.

Tok Batin Jali turut membantu dalam gerakan mencari itu. Tidak seperti pasukan penyelamat yang menggunakan bantuan pernafasan, Tok Batin Jali yang arif tentang selok belok tasik, hanya menyelam begitu sahaja.

Menjelang petang, mayat Masitah ditemui. Ditemui oleh Tok Batin Jali dalam keadaan yang menimbulkan tanda tanya. Mayat Masitah ditemui terbenam dalam selut dasar tasik! Hingga ke paras dada! Hanya bahagian kaki yang kelihatan.

Malah Tok Batin Jali juga mengalami kesukaran untuk menarik keluar mayat Masitah dari selut. Seperti berbalas tarik dengan sesuatu dari dalam selut. Setelah beberapa minit berhempas pulas, barulah Tok Batin Jali berjaya menarik keluar mayat Masitah.

Orang ramai yang menunggu di pinggir tasik tergamam melihat keadaan mayat Masitah yang mengerikan. Rupanya seperti mayat yang sudah mati sebulan, sedangkan baru beberapa jam tenggelam. Perutnya buncit, dadanya kembung, mata terbuntang dan hidung penuh selut pasir.

Terkejut mereka semua apabila melihat begitu banyak selut yang keluar dari mulut mayat Masitah apabila dipam oleh pasukan penyelamat. Mereka hairan bagaimana mayat sekurus arwah Masitah boleh terbenam separuh badan ke dalam selut dan berubah menjadi mengerikan, seperti sudah lama mati!

“Susah nak tarik arwahnya keluar tadi. ‘Benda’ tu nak tarik mayat ni masuk dalam selut. Nasib baik aku sempat tarik, tapi kuat betul ‘benda’ tu…!” 

Kata-kata yang keluar dari mulut Tok Batin Jali membuatkan yang lainnya terdiam. Tok Batin Jali tidak mahu bercerita lanjut mengenainya. Yang pasti bukan sekadar ikan, ular dan buaya yang menghuni tasik itu. Tetapi ada sesuatu yang lebih menakutkan wujud di dasar sana….

Oleh: NORA

No comments:

Post a Comment

Rose Harissa® Registered under the provisions of the Trade Marks Act 1976 and the Trade Mark Regulations 1997 since 2016