Sunday 23 September 2012

Rindu Itu Cinta - Bab 4


“AL! Bangun!”

Rozan berteriak keras kepada Al yang sedang tidur berlingkar di atas katil. Al bergerak malas, bukan mahu bangun sebaliknya mencari posisi yang lebih selesa.

Mata Rozan terjegil melihat Al bertambah enak menyambung tidur. Itulah bahana apabila mereka berkaraoke tidak ingat dunia malam tadi. 

“Hoi, Al! Bangunlah… kakak kau suruh balik!” Tanpa ampun, Rozan menimpuk batang tubuh Al dengan bantal.

“Oi! Kenak paluk kamek*?!” teriak Al agak marah, lantas bangun sambil mengucek-ngucek matanya.*Kenapa pukul saya?

Rozan menggeleng kepala mendengarnya. “Dah… keluar dah bahasa Sarawak dia tu. Bangun! Dari tadi kakak kau call suruh kau balik…”

Al masih terbingung-bingung di atas katil. Malas sungguh rasanya dia mahu bangun.

“Pergi mandilah Al… dah pukul sebelas ni. Sekejap lagi, mesti kakak kau telefon balik.” Rozan mengingatkan, bukannya mahu menghalau.

Al menggeliat malas. Matanya masih mengantuk. Lagipun, hari Ahad bukan kebiasaannya bangun awal. Selagi matahari tidak menggalah, selagi itulah dia tidak akan bangun. Kerana itulah dia lebih suka bermalam di rumah rakan-rakannya setiap kali bercuti.

Baru sahaja Al mahu bangun, telefon bimbitnya berdering. Rozan tersenyum memandang Al.

“Masin mulut aku…”

Al pura-pura melengos sambil menggapai telefon bimbitnya dari atas meja di tepi katil. Nombor rumah kakaknya, berkelip-kelip pada skrin. Mahu tidak mahu, Al terpaksa menekan butang menjawab.

“Al! Ney kitak? Kitak relex siney tadik malam*?” Suara kakaknya, Amalia meledak di hujung talian.
Al berasa agak pelik kerana sejak tinggal di Semenanjung, dia dan Amalia jarang berkomunikasi dalam bahasa Sarawak bagi menghormati Jazli serta si kecil Yaya yang kurang memahaminya. 
*Mana awak? Awak lepak mana malam tadi?

“Apa? Kamek rah Kota Kemuning lha*!"
*Saya kat Kota Kemuning la!

Al memberitahu dalam nada separuh merengus, merasa cutinya terganggu. Bukan selalu pun dia dapat bercuti.

Apa polah kitak sinun? Balit kinektok*!
*Apa awak buat di sana? Balik sekarang!

Aih! Iboh anok kamek eh. Kenak nyuroh kamek balit kinektok? Babo kali kitak kamek cuti aritok. Gago jak kitak*!” Al menjawab sambil sesekali memandang Rozan yang terkebil-kebil mendengarnya bercakap dalam bahasa Sarawak.
*Aih! Jangan marah saya la. Kenapa suruh saya balik sekarang? Nyanyuk agaknya awak, saya cuti hari ni. Sibuk aje awak!

“Aok la, tapi mak ngan Alani baruk sampey tek... Sidaknya nanyak ney kitak*…” 
*Tau la, tapi mak dengan Alani baru sampai tadi. Mereka tanya mana awak.

“Hah?!” Mata Al terbelalak. Sekarang baru dia mengerti kenapa Amalia tidak putus asa menelefonnya!

“Aihhh…kenak mak ngagak sik madah? Kak, madah jak kamek tidur rumah kawan kamek*! Pleaseeeee…” Al membuat rayuan.
*Kenapa mak datang tak cakap? Kak, beritahu je saya tidur rumah kawan saya!

Aok…! Tapi kamek maok handbag Couch sigek*!
*Ya! Saya nak beg tangan Couch satu!

“Ihhhhh!!!” Al menggeram. Kalaulah kakaknya ada di hadapan mata, mahu sahaja dia mencekik-cekiknya. Sudah ada suami yang bergaji bulanan mencecah puluhan ribu pun, masih tegar menguras duit adik sendiri! Huh!

Amalia ketawa terkekeh-kekeh. Selepas meminta Al segera pulang, talian diputuskan.

“Kenapa?” tanya Rozan apabila melihat Al kalut mengemaskan katil.

“Mak dengan adik aku datang dari Kuching! Habislah… habislah… mesti ada yang tak kena. Kalau tak, takkan mak aku tiba-tiba aje muncul macam pengawas sekolah buat spot check!” Al sudah kelam-kabut. 

Dahi Rozan berkerut seperti sedang memikirkan sesuatu. “Jangan-jangan sebab gambar yang si Rania tu upload kelmarin tak? Itulah korang… daring sangat, macam lupa diri tu sebenarnya Melayu!”

“Amboi? Sedapnya kau menyindir aku! Memang keturunan aku ada darah Cina, what! Hishh, nasib baik aku tak ada masa nak layan. Pinjam tuala dengan baju kau!” Al menadah tangan bersama muka sengaja dibuat comel.

Rozan mencebik. “Spender aku kau tak nak pinjam?”

Bersama muka mengernyit nakal, Al membalas, “Sanggup ke kau bagi pinjam! Aku okey aje!”
“Hampesss sungguh! Melayan pulak dia!”

Al tergelak besar melihat muka cemberut Rozan.

***************
SEWAKTU Al sedang menyarungkan baju ke tubuh, Rozan tiba-tiba menerpa masuk ke bilik.

“Al… tayar kereta kau dah kena clamp!”

“Hah?” Al tercengang dengan muka bingung untuk beberapa saat. “Eh? Apsal pulak kena clamp? Aku letak kereta kat tempat parkir kereta, kan?”

Rozan menjungkitkan bahu. Sambil menggaru-garu kepala, dia berkata, “Entah… manalah aku tahu parkir tu ada tuan punya ke tidak… aku kan baru kat sini…”

Bersama muka berkerut tidak puas hati, Al segera keluar dari bilik menuju ke beranda. Dia menjenguk dari tingkat dua itu, melihat ke arah keretanya yang diparkir bertentangan dengan blok kediaman Rozan. 

Damn it!” seru Al sambil menepuk tembok beranda apabila melihat tayar kereta Kia Forte warna putih dengan nombor flat 900, sudah kena clamp.

Sorry la bro…” Rozan menepuk bahu Al dengan muka bersalah. “Aku rasa tu parkir orang kut sebab tu kereta kau kena clamp.”

“Haih…bila aku nak cepat, ada aje masalah datang. Sekarang apa aku perlu buat?” tanya Al sambil berkacak pinggang.

“Hari ni hari Ahad, pejabat pengurusan tutup. Takpe, biar aku pergi jumpa pengawal, mintak kawtim dengan diorang.”

Cepat sahaja Rozan menawarkan khidmat bantuan sebagai menebus rasa bersalah kerana membiarkan Al memarkir kereta sesuka hati.

*********************
“ITULAH… siapa suruh masuk kawasan apartment ni tanpa daftar nama dan nombor kereta di pos pengawal dahulu? Sepatutnya awak parkir kereta di tempat pelawat, bukannya suka-suka hati ambil parkir penghuni kat sini…”

Pengawal lelaki berbangsa Melayu dalam lingkungan usia 40-an itu membebel di hadapan Al dan Rozan. Mencabar kesabaran betul!

“Maaflah bang. Saya baru pindah ke sini kelmarin. Kawan saya ni datang tolong angkat barang. Takkan tak boleh setel perkara kecik macam ni?” Rozan cuba meminta sedikit kelonggaran.

Al hanya diam menahan amarah. Kalau diikutkan rasa hati, mahu sahaja dia meninju mulut pengawal yang tidak henti-henti menyalahkan dirinya. Macamlah besar sangat dosa ambil parkir kereta orang lain… yang si tuan punya parkir pun sama! Tak boleh bertoleransi sikit ke? Kan banyak lagi parkir yang kosong dekat-dekat sini! Huh!

“Hah, awak bolehlah bagi macam-macam alasan. Tapi kami yang kena jawab dengan pengurusan bila ada penghuni buat komplin pasal ni! Korang tahu apa? Ingat senang ke jadi pengawal keselamatan? Kami tak tidur malam…melayan karenah pelawat yang degil macam kawan awak ini lagi…”

Kata-kata pengawal itu bagaikan sudah tidak terdengar lagi di telinga Al. Rasanya dia boleh terkena serangan jantung akibat menahan rasa meluat melihat gelagat pengawal itu.

“Okey! Sekarang ni aku nak cepat dan malas nak dengar ceramah pasal peraturan kat kawasan apartment ni. Cakap, berapa aku kena bayar baru kau nak buka clamp?” Al tahu, caranya bercakap agar kasar tetapi dia sudah tidak mampu menahan kesabaran.

Sudahlah terpaksa berdiri di tepi kereta sendiri yang diclamp, kemudian telinganya diasak secara paksaan juga mendengar bebelan tidak bermanfaat itu. Macam bagus sungguh… apa dia fikir dengan seragam biru itu dia sudah berkuasa seperti polis?

“RM50!” tegas pengawal keselamatan itu dengan riak muka jelas bengang terhadap sikap ketus Al.
Tanpa banyak bicara lagi, Al mengeluarkan dompet dari saku jeans dan menarik sehelai not RM50. Dihulurkannya kepada pengawal keselamatan itu tanpa sepatah kata pun.

Barulah pengawal tersebut mahu membuka kunci clamp. Al segera masuk ke kereta tanpa mengucapkan terima kasih. Lalu pengawal tersebut beredar dengan muka masam sambil membebel-bebel.

Setelah menghidupkan enjin kereta, Al menurunkan cermin tingkap. Mukanya keruh memandang Rozan.

“Aik? Takkan kena sound dengan pak guard jiwa kau dah bergelora?” tegur Rozan, sengaja mengusik.

Al merengus. “Bukan sebab dialah. Aku serabut kepala memikirkan nak berdepan dengan mak aku ni. Kau tau ajelah mak aku tu… fikiran masih konservatif.”

“Hish! Tak baik kau cakap macam tu. Bersyukurlah kau masih ada mak yang nak menegur setiap kesalahan yang kau buat. Jangan jadi macam aku ni… anak yatim. Bila ada masalah, selain kat kau dan tunang tersayang, aku cuma mampu mengadu kat Tuhan aje…” Nada suara Rozan tiba-tiba berubah menjadi sayu.

Al terkebil-kebil memandang Rozan. Keluhan kesal terbit dari mulutnya. “Sorry bro…”

“Dahlah…” Rozan tertawa, menyembunyikan sendu di hati. Bahu Al ditumbuk perlahan. “Mak kau dah tunggu tu. Tapi jangan pulak kau serik datang ke sini lagi…”

Bibir Al menyeringai, menampakkan deretan besi sistem Damon yang melekap pada giginya. “Mana boleh aku serik. Kalau boleh hari-hari aku nak bertenggek kat mamak depan apartment ni. Selagi aku tak jumpa awek Barbie doll tu, aku pasti takkan jemu datang ke rumah kau ni lagi. Kereta kena clamp lagi pun aku sanggup!”

“Huh! Dasar bujang senanglah kau ni!” kutuk Rozan. Geram sungguh kerana sikap serius Al tidak sampai seminit. 

Al tertawa dan berkata, “Okeylah… aku gerak dulu bro! Apa-apa hal nanti aku roger.

Tetapi sebaik sahaja kereta bergerak keluar dari kawasan apartment, senyum di bibir Al memudar. Kerut di dahinya berlipat-lipat dan dia memandu dalam keadaan menyandar di jok. Keluh panjang lagi berat, terhela.

Bukan tidak pernah dia terfikir mahu menamatkan zaman bujang. Bukan tidak pernah menegur sikap Rania yang suka menayang-nayang gambar peribadi mereka di twitter dan facebook. Tapi apa boleh buat kalau dapat awek queen control?

Rimas, malas bertekak, membuatkan Al menjalani hubungan dengan Rania tanpa arah... free flow! Halal haram sudah tidak ada batasnya! Kalau ada jodoh dengan Rania, adalah. Kalau tiada, cari orang lainlah jawabnya...

No comments:

Post a Comment

Rose Harissa® Registered under the provisions of the Trade Marks Act 1976 and the Trade Mark Regulations 1997 since 2016