Tuesday 25 September 2012

Rindu Itu Cinta - Bab 5


MELIHAT Nissan Grand Livina milik Amalia tiada di bawah porch, Al mengeluh lega. Itu tandanya Amalia tiada di rumah dan Al benar-benar berharap agar ibunya juga tiada. Sekurang-kurangnya dapatlah dia mempersiapkan diri dengan jawapan mantap sebelum menghadap si ibu.

Masuk sahaja ke dalam rumah, Al melihat Sari, pembantu rumah sedang mengelap meja kopi di ruang tamu.

“Sari, Kak Ama mana?” Sengaja Al bertanya bagi memastikan Amalia benar-benar tidak ada di rumah saat ini.

Sambil terus mengelap meja, Sari menjawab, “Oh, ibunya lagi pergian sama oma… katanya mau ke KLCC…”

Pheww! Al bersiul lega. Oma yang dimaksudkan oleh Sari adalah Puan Sharifah Norzah.

Mulut Al terus bersiul melagukan keriangan sambil berjalan menuju ke biliknya di tingkat dua. Dia mahu mandi dalam erti kata sebenarnya kerana di rumah Rozan tadi, dia cuma mandi koboi kerana mengejar waktu. Gigi pun tak bergosok, cuma berkumur dengan Listerine. Geli la pulak nak berkongsi berus gigi dengan Rozan!

Tetapi baru sahaja membuka pintu, dia terkejut melihat sekujur tubuh yang terbaring enak di atas katilnya.

“Abang…!” Alani melonjak bangun lalu menerpa ke arah Al. Dipeluknya abangnya itu sehingga Al nyaris jatuh terjengkang ke belakang. Tanpa sempat ditahan Alani sudah mencetak lipgloss merah jambu dari bibirnya ke pipi Al.

Cepat-cepat tangan Al mengesat pipinya yang terasa lekit. “Iihhh… ada kat sini rupanya setan kecik ni?” Tubuh Alani direnggangkan jauh. Sudah besar panjang pun masih manja macam budak tadika!

Alani langsung cemberut. “Oih! Jait mena mulut kitak! Mun kamek setan kecik, abang ya setan besar!”

Al tertawa, tidak menanggapi kutukan. Tangannya menggosok-gosok kepala Alani. Dia tahu, Alani sudah biasa dengan gurauan kasarnya.

“Apsal tak ikut mak dengan Kak Ama?” soal Al curiga. Biasanya Alani yang paling galak mahu ke KLCC kalau datang bercuti ke Semenanjung.

“Tak maulah! Lepas pergi KLCC mak dengan Kak Ama nak ke rumah Auntie Hasyimah. Abang tau ajelah Auntie Hasyimah macam apa? Eksyen! Lagi pulak bila abang Kamal dah balik dari New Zealand ni, makin kembanglah hidung auntie Hasyimah!” cemuh Alani, bagaikan terlupa yang dikutuk itu, bekas isteri kepada arwah bapa saudaranya.

Al tidak mahu memberikan sebarang komen kerana dia sendiri pun sudah lama tidak bersua muka dengan Auntie Hasyimah. Sejak Uncle Syed Husni Alydrus meninggal dunia akibat sakit jantung beberapa tahun lepas, Auntie Hasyimah berpindah dari Kuching dan tinggal bersama anak sulungnya Sharifah Juriah di Putrajaya. Sejak itu juga, hubungan kekeluargaan terasa semakin menjauh. Masing-masing sibuk dengan hal sendiri.

“Eh? Abang tak nak jumpa dengan abang Kamal ke?”

“Buat apa jumpa dia?” tanya Al, acuh tak acuh.

“Sajelah... jumpa sepupu yang lama terpisah jauh...”

“Baik abang jumpa Kak Rania, lagi best, boleh peluk-peluk...cium-cium...”

Belum pun Al dapat menghabiskan kata-kata, Alani sudah memukulnya dengan batal guling. “Eeee! Abang ni memang tak tau malu eh? Entah apalah yang best sangat pada Kak Rania tu...”

“Ah, Alani mana budak kecik! Mana tau apa-apa!”

“Apa yang best sangat perempuan kenja kedak* Kak Rania eyh?” Alani mencebik.
*mengada, gedik macam...

Eh! Iboh pakei nanyak! Keluar gih. Abang mauk mandi*!” Al berkata sambil menolak tubuh Alani supaya keluar dari biliknya. Dia sudah tidak sabar mahu mandi buat kali kedua dalam keadaan lebih selesa.
*Eh, tak payah tanya. Pergi keluar. Abang nak mandi!

Alani tetap berkeras tidak mahu keluar. Tetapi Al mengambil pendekatan lebih jantan. Tanpa sebarang amaran, dia terus mendukung tubuh kecil Alani lalu dibawa keluar. Biar pun Alani meronta, Al tetap tegar. Alani hanya dijatuhkan sebaik sahaja melepasi garisan pintu.

Sebelum menutup pintu, sempat lagi Al menjelirkan lidah. “Werrkkk!” Maca budak kecil, tak padan dengan usia 32 tahun.

Iihhhh! Jaik muka abang juak!*” bengang sungguh Alani melihat kelakuan si abang yang menyerupai budak umur belasan tahun.
*Buruk sungguh muka abang!

Tetapi Al sudah berjaya menutup pintu.  Buru-buru mengunci pintu agar Alani tidak sesuka hati menyelonong masuk ke biliknya lagi.   

********

Al baru hendak melelapkan mata ketika suara Amalia memanggil dari luar bilik. Mendadak Al merasa kecut perut. Nampaknya emak dah balik! Alahaiii… macam mana ni.

“Al! Keluar!” Panggilan Amalia itu disertai dengan ketukan pintu bertalu-talu. Itu tandanya, Al tidak boleh bertangguh barang seminit.

“Sekejap kak!” Al bergegas bangun. Sempat melirik pandang pantulan dirinya pada cermin. T-shirt polos dan seluar khaki paras lutut. Okeylah… nampak macam anak baik-baik… hehe…

Ketika membuka pintu, wajah Al berubah, bagaikan sedang melihat satu pemandangan mengerikan. Rupanya bukan hanya Amalia berada di hadapan pintu bilik tetapi emak juga!

“Err… emak! Apa khabar?” sapa Al agak gugup sambil tunduk mencium tangan Puan Sharifah Norzah.

Tidak menyahut pertanyaan itu, Puan Sharifah Norzah hanya mengusap sayang kepala Al. Matanya sudah merah menahan sebak. Hasrat hati mahu memarahi perlakuan tidak senonoh Al, terus lenyap sebaik sahaja berhadapan dengan anaknya itu. Rasa rindu yang membuncah, mengatasi kemarahannya.

Apabila mengangkat kepalanya, Al tergamam melihat airmata berlinangan di pipi Puan Sharifah Norzah. Mendadak rasa bersalah lagi berdosa menguasai hati Al.

Oh, mak! Kenak nangis indah?*” Al memegang pipi Puan Sharifah Norzah. 
*Kenapa menangis pulak?

Tetapi perbuatannya itu malah membuatkan Puan Sharifah semakin terisak-isak. Al semakin tidak keruan lalu memandang Amalia, meminta bantuan kilat.

Memahami si adik dalam kesusahan, Amalia segera menenangkan Puan Sharifah Norzah. “Mak… iboh nangis kedak ya. Juh kita kelakar bait-bait…*” 
*Mak…jangan menangis macam tu. Jom kita berbincang baik-baik.
 
Bait-bait gine? Adik kitak tok bujat! Mak sik mauk nya bergerek dengan miak ya lagik! Kacak nang kacak tapi perangey jaik gilak! Sik mauk mak mantu ngegeh kedak ya!” Getus Puan Sharifah Norzah. Tangan pantas melepaskan tamparan ke bahu Al.
*Baik-baik macam mana? Adik awak ni gatal. Mak tak nak dia bercinta dengan budak tu lagi. Cantik memanglag cantik tapi perangai teruk betul. Tak nak mak menantu gatal macam tu!

Tidak mengaduh, Al cuma diam memandang terkebil-kebil pada si emak. Emak kalau sudah melepaskan amarah, tidak boleh ada sesiapapun yang bersuara membangkang. Diam adalah lebih baik agar bebelan emak tidak berpanjangan. Agar hati emak tidak bertambah lukanya.

Puan Sharifah Norzah pula, demi melihat wajah Al seperti anak kecil meminta simpati, langsung surut kembali amarahnya. Terbit semula perasaan sayang, rindu dan kasihan terhadap anak bujang tunggalnya itu.

Kahwin jak mun Al suk mena dengan nya!*”
*Kahwin aje kalau AL suka sangat dengan dia!

Mata Al terus terbeliak mendengar saranan tiba-tiba emaknya. Tadi cakap tak nak menantu gedik macam Rania? Dia ternganga memandang emak.

“Kah…kahwin?” tanya Al dengan mata bulat seolah-olah kahwin itu perkara paling menakutkannya. “Tapi…”

Tapi mun sik mauk padah sik mauk! Iboh berolah dakya molah dosa!*” tegas Puan Sharifah Norzah sambil memandang Al dengan wajah berduka.
*Tapi kalau tak nak cakap tak nak. Jangan buat hal buat dosa!

Sudahnya, Al tertunduk. Wajah emak sedemikian rupa sering membuatkan dia mengalah, enggan melawan cakap emaknya. Perlahan-lahan Al melurut ke kaki Puan Sharifah Norzah. Kemudian Al bersujud sambil berkata dengan suara mulai serak menahan sebak.

Ampunkan Al, mak! Al sikpat jadik anak nak bait… Al tauk Al banyak molah dosa! Ampunkan kamek!”

Hati ibu mana yang tidak pilu mendengarnya? Airmata Puan Sharifah Norzah semakin laju menuruni pipi. Senakal mana pun Al, dia tetap anaknya. Dia segera menarik bahu Al supaya bangun.

“Al, mak mauk Al bertaubat. Astaghfirullahal-ladzi la ilaha illa huwal-hayyul qayyumu wa atubu ilahi (Aku minta ampun daripada Allah yang tidak ada Tuhan yang berhak disembah selain daripadaNya, yang hidup dan yang menguruskan makhlukNya dan aku bertaubat kepadaNya.)"

Demi mendengar bacaan emak itu, hati Al terasa bagai dijentik malaikat. Matanya dipejamkan sejenak sambil nafas ditarik dalam-dalam.

“Mun Al sik mauk nikah dengan Rania, carik ompuan lain nak lebih bait…”

Al tidak terkata lagi mendengar permintaan emaknya. Cari orang perempuan lain? Hmm…

Tiba-tiba hati Al nekad. Dia mahu mengajak Rania menikah dengan kadar segera. Tetapi kalau Rania masih menolak, biar dia sendiri yang memutuskan hubungan!
Rose Harissa® Registered under the provisions of the Trade Marks Act 1976 and the Trade Mark Regulations 1997 since 2016