Oct 5, 2012

Guy Next Door - 3

BY Rose Harissa IN No comments



“MAK! Kenapa pengat ­durian ni tinggal sikit? Mak ­dengan abah makan tak ingat kat Kris eh?” tuduh aku dengan muka tak puas hati bila melihat isi periuk tinggal tak sampai suku! Durian pun cuma ada seketul!
“Siapa suruh kau balik lambat? ­Ingatkan dah kenyang makan kat luar dengan boyfriend kau tu...”
Aku tenung muka mak tapi mak buat muka selamba ­sambil ‘klim’ kulit karipap. Tu buat banyak macam nak ­meniaga, mesti sebab nak kirim kat rumah sebelah. Tau sangat taktik mak...
“Mak ni... kejam betullah! Kuah banyak ni, mana cukup orang nak cicah roti buat sarapan sebelum pergi kerja esok!” aku protes tapi tangan tetap capai mangkuk. Mana boleh tak rasa pengat mak buat.
“Mak bagi Adam tengahari tadi. Dia suka makan pengat durian...”
Demi mendengar nama guy next door tu, terus mata aku membulat macam nak terkeluar dari soket. “Mak bagi dia??? Mak dah lupa ke yang anak mak ni pun suka makan pengat durian?”
“Laa... Mak ingat kau suka makan Tutti Frutti aje...”
Aku tau mak saja sindir aku. Muka mak selamba habis, siap angkat dagu! Isk!
“Mak ni kan... saje je, tau!” Dek kerana geram, aku pun angkat periuk dan curah isinya ke dalam mangkuk.
Mak pun apalagi, terus hilang muka selamba berganti muka bengang, nyaris tak hijau aje. “Bertuah punya anak dara! Dah tak ada senduk ke dalam rumah ni?”
Aku diam tak menjawab, terus hempas punggung kat kerusi. Tunjuk protes dengan muka muncung. Gara-gara ­pengat durian, aku jadi makin meluat kat guy next door. Kenapalah dia jadi jiran aku? Jadi kesukaan mak aku pulak tu! Huh!
“Mak tu... macamlah mamat rumah sebelah tu anak mak! Lain kali mak bagi ajelah seperiuk ni kat dia!”
Bersamaan dengan itu, terdengar suara lelaki memberi salam dari pintu dapur. Aku buat tak tau. Tapi mak bingkas ­bangun cuci tangan. Lepas tu siap senyum-senyum sambil buka pintu.
“Waalaikumsalam... eh, Adam!”
Aku yang sedang asyik hirup kuah pengat, nyaris tersedak. Bila aku angkat muka, mata aku terus bersabung pandang ­dengan mata Adam yang dah berdiri di muka pintu.
Alamak! Dia dengar ke aku mengomel fasal dia tadi? Aku mula salah tingkah. Tapi muka Adam macam innocent giler. Maknanya, dia tak dengarlah, kan?
“Mak suruh pulangkan bekas pengat ni. Tapi maaflah, ­bekas kosong aje.”
Aku tak taulah samada aku yang perasan atau memang sambil bercakap tu mata Adam melirik kat aku. Oh? Dia ­menyindir ke?
“Eh, tak apalah... mak cik bukan mintak diberi pulangan pun. Kita kan berjiran, apa nak berkira sangat.”
“Bukan apa, mak cik... saya rasa bersalahlah jugak. Gara-gara saya, ada orang tak cukup makan pengat durian.”
Mata aku terpelotot. Macam tak percaya yang aku baru aje dengar ayat tu keluar dari mulut Adam. Dari muka pintu, Adam pandang aku dengan muka maintain innocent sambil tarik ­senyum menawan. Amboi! Pandai jugak dia menyindir dalam ­gurau eh!
Mak gelak-gelak. “Biarkan! Siapa suruh dia gatal ­keluar dating? Orang hari Ahad duduk rileks kat rumah dengan ­keluarga. Selalu lebihkan boyfriend dari mak sendiri. Tak macam kau...elok teman mak kau kat rumah.”
Wah! Wah, mak, bukan main lagi ya! Jelas-jelas sokong pihak lawan, nampak? Ini kalau main bola ni sah kena baling dengan botol! Menyirap aku tengok Adam tertawa berirama ­dengan mak. Sempat jeling-jeling aku pulak tu! Ingat hebatlah tu mak aku berada di pihak dia?
Aku pun apa lagi, sambil tangan kanan tak henti hirup kuah pengat, tangan kiri aku sengaja letak atas meja sambil ­kepal-kepal penumbuk. Mata aku pulak dah hantar renungan membunuh. Biar dia tau yang aku ni bukan sembarangan ­perempuan yang boleh diperlekehkan begitu sahaja!
Malangnya Adam tetap nampak cool. Maknanya dia tak ­takut aku langsung! Arghhh! Rasa nak tumbuk aje muka dia, biar senyum dia jadi tak lawa dah!
“Saya balik dululah mak cik. Kirim salam kat Pak Mid.”
“Ha... yelah. Esok pagi mak cik hantar karipap buat ­sarapan Adam dengan mak.”
“Mak cik ni... buat susah-susah aje. Segan saya... asyik ­dapat makan free aje dari mak cik...”
Mata aku makin mencerun tengok Adam bercakap ­dengan nada paling santun. Aku pun tak tau samada dia sengaja nak ­tunjuk berhemah atau itu memang sikap semulajadi dia. Tapi aku assume dia berlakon supaya mak terus puji-puji dia!
“Tak apa. Jangan dikisahkan. Kau dengan mak kau tu dah macam keluarga mak cik sendiri.”
Aku rasa, kalau aku ni berwujud dalam bentuk naga, tentu dah keluar api ikut hidung. Amboi... sesenang aje mak declare jiran sebelah jadi keluarga ye?
“Terima kasih mak cik... Assalamualaikum.”
Sebaik sahaja kelibat Adam yang tinggi lampai tu hilang dari pandangan mata, aku terus seru mak.
“Mak ni memang tak adil tau!”
“Eh? Kenapa kau cakap mak macam tu? Nak masuk ­neraka?” jerkah mak sambil letak Tupperware di rak. Kemudian mak duduk menyambung kerja-kerja mengelim kulit karipap.
“Dengan Fandi mak tak pernah layan baik macam tu... ­padahal Fandi yang nak jadi menantu mak!” Aku mula keluarkan sikit-sikit rasa bengang.
Mak pandang aku dengan muka mencebik. “Eleh... ­bertunang pun belum, berani kau cakap dia nak jadi menantu mak? Jejak rumah ni pun takat depan pintu pagar tu aje. Tak ada inisiatif langsung nak mengambil hati mak dengan abah macam Adam tu...”
Isk, mak ni mesti nak kaitkan dengan anak jiran sebelah tu jugak. Mak, Adam tu membodek aje lebih, bukannya ambil hati mak!” Aku rasa aku kena hasut mak, supaya mak tak ­kelabu mata! Supaya mak tahu baca macam mak pandai beza mana kristal mana kaca bila pergi kedai perabut.
Mak diam. Entah mati kata atau malas nak layan aku lagi. Aku pun guna kesempatan tu untuk teruskan hasutan, supaya Fandi dapat mengambil alih tempat Adam di hati mak.
“Mak tu yang garang sangat dengan Fandi. Kalau dengan Adam tu, siap ketawa-ketiwi lagi! Mak kan suka tengok sinetron Indonesia, mak tak nampak ke Fandi tu hensem macam Samuel Zylgwyn?”
“Hensem lagi Adam. Manis macam Mario Maurer!”
Aku nyaris terbelahak. “Mak ni tak aci tau! Tengok cerita Indonesia tapi puji pelakon Thailand!”
Sebenarnya aku dah kehilangan kata sebab aku dah tak nampak kat celah mana aku dapat selit nama Fandi dalam ­percakapan dengan mak. Apatah lagi bila teringat Fandi selalu mengeluh kalau aku ajak dia datang ke rumah,
“Buat apa saya datang? Saya tahu mak awak tu tak suka kat saya...”
“Mak memang tak suka langsung kat Fandi ke?” tanya aku dengan muka dibuat sedih. Harap-harap dapat memancing ­simpati mak.
Tiba-tiba mak memandang aku dengan muka serius. Buat aku rasa cuak. Nak telan air liur pun rasa macam telan batu ­kerikil! Err... macamlah aku pernah telan batu kerikil...
“Mak tak suka sikap dia tu! Tak bersungguh. Kalau betul dia nak jadi menantu mak, kenapa masih tak masuk meminang lagi? Dah tiga tahun dah kau bercinta dengan dia. Kau ingat mak suka ke tengok kau diusung ke hulu ke hilir macam tu? ­Memanglah orang kata tak luak pun kena pegang. Tapi Kris, kau tu anak dara. Tak manis orang tengok!”
Aku tak mahu kalah. Aku kena pertahankan Fandi demi cinta suci kami! “Mak, Fandi tengah kumpul duitlah tu. ­Dibuatnya mak letak harga hantaran mahal-mahal, haa... siapa nak tanggung?”
“Aku tak sampai nak menjual anak, Kris oi! Kau jangan nak buruk sangka dengan mak kau sendiri. Mak ni dah naik malu dengan Kak Ton. Mak ni ada anak dara, tapi time cuti susah betul nak lekat kat rumah. Anak jantan dia elok aje... Si Adam tu tak pernah pun nak keluar berkepit dengan perempuan!”
See? Mak masukkan nama Adam lagi dalam topik!
“Mak ni dah obsess sangat dengan si Adam tu! Susah ­sangat, mak ambil ajelah dia jadi anak angkat mak!”
“Daripada mak ambil Adam jadi anak angkat, baik mak ambil dia buat jadi menantu!”
“Makkkkk!!! Orang nak Fandi, bukan Adam, tau!” Aku terjerit macam nak terkeluar anak tekak. Biarlah kalau jiran tu sebelah dengar nama dia disebut. Ni semua gara-gara dia yang bajek suci tu!
Aku dah tak sanggup hadap mak. Daripada jadi gaduh, ­berdosa, baik aku lari keluar dari rumah. Tak jauh pun, duduk tepi kolam ikan abah. Hasrat hati nak mengadu domba dengan Fandi. Tapi bila aku cuba dail nombornya terus masuk voice mail. Isk... ke mana pulak cinta hati aku ni pergi??
“Awak kena marah lagi?”
Suara tu mengejutkan aku dan nyaris buat aku tergelincir masuk kolam. Nasib baik daya imbangan aku masih steady.
Sori dah buat awak terperanjat...”
Suara tu macam datang dari langit pulak. Aku dongak cari arah suara. Dalam kegelapan, aku nampak samar-samar satu ­kelibat sedang duduk berlunjur atas tembok beranda rumah sebelah. Siapa lagi kalau bukan Adam Putra Iskandar.
“Awak buat apa dalam gelap tu? Mengendap ya!” Aku mengemukakan tuduhan.
“Kris...”
Aku terkejut bila dengar cara dia panggil nama aku, macamlah aku ni kawan baik dia. Suara dia tu macam ubat bius, buat aku tak mampu nak menyahut.
“Kita dah lama berjiran. Memanglah kita tak pernah ­bercakap, kecuali sekarang. Tapi kenapa awak macam tak suka sangat kat saya?”
Sumpah, aku rasa pelik sangat bila buat pertama kalinya sepanjang lima tahun ni, dengar suara dia bercakap dengan aku. Mimpi apa dia nak bertegur dengan aku? Nak ambil hati aku ­pulak ke apa?
“Kris? Awak marah saya?”
“Saya bukan setakat marah, tapi saya benci awak! Awak bukan sahaja buat saya kena bebel dengan mak saya. Tapi, kerana awak, pakwe saya tak pernah dapat tempat kat hati mak saya. Kerana awak, mak saya sampai tak nampak lagi kebaikan Fandi kat saya! Semua sebab awak!”
Sewaktu mengatakan semua tu, aku rasa airmata dah mengembang kat tubir mata. Sebelum tumpah, baik aku cabut lari masuk rumah. Aku tak tau apa reaksi Adam tapi yang aku tahu, hati aku puas dapat jeritkan semua yang terbuku kat hati ni pada dia!

0 comments:

Post a Comment