Oct 14, 2012

Guy Next Door - 5

BY Rose Harissa IN

“Kau ni kenapa Kris?"

Aku angkat muka tapi tangan masih menyuap bihun goreng ke mulut. "Apa kenapa?" Kemudian aku pandang muka abah yang tengah khusyuk baca surat khabar. 

"Eh, budak ni...kita tanya dia, dia, dia tanya kita balik! Muka kau tu! Pagi-pagi lagi dah masam time menghadap rezeki, kenapa?"

"Mana ada apa-apa!"

"Kau jangan nak kelentong akulah Kris... Kau putus cinta dengan boyfriend kau tu ke?"

Bihun yang separa lumat dalam mulut, nyaris tersembur keluar. Perghh! Mak memang tak agak-agak bila buat andaian. Rambang sungguh!

"Mak ni...macam suka sangat kalau orang putus dengan Fandi! Orang ni tengah marah kat anak angkat kesayangan mak tu, tau tak?"

"Siapa pulak anak angkat aku?"

"Eh, eh, mak...buat tak tau pulak ye? Siapa lagi kalau bukan si Adam tu!" Sengaja aku muncungkan mulut ke arah rumah sebelah.

"Oooo...Adam ke? Dah tu, kau marah kat dia tapi yang kau tunjuk muka tonyok tu kat mak, kenapa? Pergilah tunjuk depan dia!"

“Mak ni... macam dah mencabar orang pulak! Kang orang malas balik rumah ni lagi baru mak tau!” 

“Eleh... lama manalah kau tak nak balik rumah ni? Mana kau nak pergi? Habis kuat pun kau lari rumah si Mia. Tak dan midnight pun kau dah terpacul balik kat rumah ni...” Mak siap gelak-gelak. 

Sumpah, aku rasa tercabar. Tak lalu lagi nak makan bihun mak yang sedap tu. Baik aku pergi kerja, tapau
Sausage McMuffin with Egg dari McD! Abah pulak aku tengok dah kulum senyum. Nampak sangat sedang tahan gelak. Abah memanglah tak banyak cakap, tapi nanti bila aku dah keluar, adalah benda fasal aku, abah dengan mak buat modal bercerita. 

“Nak pergi kerja dah!” Walaupun bengang dengan mak, aku tetap salam cium tangan mak. Kang tak berkat pulak kerja hari ni kalau aku tunjuk protes! :P

“Kerja elok-elok.” Pesan mak sebelum sambung cuci pinggan. Aku cuma mengangguk sambil salam tangan abah pulak.  

Apabila aku buka pintu depan, perkara pertama yang aku nampak adalah Swift kesayangan aku. Tapi aku terpaku sekejap bila tengok ada jambangan bunga atas bumbung kereta aku tu. Siapa pulak yang letak? Takkan pagi-pagi ni dah ada orang buat delivery bunga?

Lepas sarungkan kasut, aku cepat-cepat mendekati kereta dan capai jambangan bunga tu. Bila tengok bunga-bunga tu aku jadi pelik. Memanglah bunga mawar hidup tapi gubahannya macam bukan dari kedai bunga! Siap ada kad buatan sendiri lagi!

Bila buka aje kad tu, aku terkejut. Ada kartun.

 

OMG! Aku tak tau pun yang Adam tu pandai lukis kartun. Seriously, aku rasa nak gelak tengok kartun tu. Siap dia lukis ikan abah aku mati gara-gara aku marah ye? Baju pun baju yang aku pakai malam tadi. Nampaknya, Adam dah register kejadian malam tadi dalam kepala dia ya?

Simple aje ayat terbalik dalam kad tu. ‘Kris... saya mintak maaf – Adam.’

Tapi aku tak tau kenapa tiba-tiba aku rasa macam syok sangat dapat kad cute macam tu. Patutlah bunga-bunga tu nampak lain macam aje, bukan macam bunga kat kedai. Sekarang aku tahu, dari mana datangnya bunga-bunga tu. 

Dari pasu-pasu mak dia! Hahaha! Nasiblah ya, Mak cik Ton. Selama ni aku memang geram rasa nak pergi petik aje bunga-bunga mawar yang Mak cik Ton tanam tu. Tapi hari ni, aku dapat secara percuma dari anak dia sendiri. 

Walaupun marah, mana boleh buang bunga-bunga ni. Baik aku letak kat meja di ofis. Aku pun segera memasukkan jambangan bunga tu kat dalam kereta. Kemudian aku pergi semula kat pintu rumah.

“Mak! Nanti cakap kat Adam, orang marah lagi kat dia tau!” 

Sengaja aku laung kuat-kuat. Biar orang sebelah tu dengar. Lepas tu, aku cepat-cepat masuk dalam kereta sebelum mak muncul dan soal siasat aku. Biar mak sendiri yang soal siasat Adam! Hahaha...

*************************
“Weh! Mana kau dapat bunga-bunga ni? Mak kau tanam ya?” Mia menegur sambil cium-cium bunga pemberian Adam yang dah aku letak dalam pasu atas meja.

Aku rasa, kalau aku bagitau Mia, mesti minah tu akan terkujat-kujat. “Guy next door yang bagi...” 

“Hah?! Apa? Sejak bila pulak kau baik dengan dia?”

Haaa... kan aku dah kata!

“Sebab aku tak baik dengan dialah... dia bagi bunga tu kat aku...” Aku jawab sambil meneliti beberapa resume dalam emel untuk jawatan setiausaha baru bos aku. 

So... maknanya apa? Dia nak mengorat kau ke sampai bagi-bagi bunga ni?” Ayat Mia memang tak boleh blah! Asyik nak bersangka buruk aje kerjanya. 

“Asal lelaki bagi bunga aje, maknanya dia nak mengoratlah ya?” 

“Yelah... selalunya perempuan kan suka bunga?”

“Dah! Dia bagi aku bunga sebab malam tadi aku marah dia... tu aje. Aku dah tak tahan mak aku asyik puji dia melambung-lambung. Silap-silap aku rasa kalau Adam tu baby lagi, mau mak aku timang-timang agaknya.”

Mia tiba-tiba ketawa. “Payahlah kalau mak kau lebih suka anak jiran sendiri berbanding calon menantu. Bawak bertabahlah ya, Kris.”

Aku jeling, pura-pura marah. Dahlah sampai sekarang aku tak tau kenapa Fandi masih matikan telefon. Aku pulak jenis, malas nak mencari sampai call ke pejabat.  

Tak sampai seminit Mia meninggalkan meja aku, telefon bimbit aku berbunyi. Macam kilat aku sambar sebab ingatkan Fandi yang hantar SMS. Rupanya bukan dan aku macam tak percaya bila baca SMS tu.

Awak masih marah saya ya? – Adam 

Aku tak tunggu lama untuk balas, sebab terkejut dan tak sangka dapat SMS dari jiran tetangga. 

Hey, dari mana awak dapat nombor telefon saya yang P&C ni?

Dan tak sampai seminit, SMS tu berbalas.

Saya mintak dengan mak awak lepas dia sampaikan pesan awak tadi. Kenapa awak masih marah saya?

Aku tak terkata. Bengang jugak sebab mak suka-suka hati aje bagi nombor telefon aku kat Adam. Tapi kagum juga, sebab Adam kira gentleman la tu, mintak direct dengan mak! Huh! Lagilah mak suka!

Sebab awak bagi bunga yang mak awak tanam. Kedekut!
Maaflah... saya tak tau nak bagi apa. 
Macam mana awak letak atas kereta saya?
Pukul tiga malam tadi, saya curi panjat pagar rumah awak! 

Aku ternganga. Pukul tiga pagi? Waktu semua orang tengah tidur. 

Awak gila ya? Orang time-time tu buat solat tahajjud. Tapi awak panjat pagar rumah jiran! Non-sense!
Tak apa... lepas tu memang saya buat solat tahajjud siap dengan solat taubat, mintak ampun kat Tuhan :)

Aku tak tahu nak cakap macam mana perasaan aku bila baca SMS Adam tu. Rasa pelik, ya... tak sangka pun ya, kelakar pun ada! kira Adam ni pandailah mem’variety’ kan perasaan orang— aku secara khususnya.
Awak kat mana ni? 
Sengaja aku tukar topik. Alang-alang orang tu dah hantar SMS, biar aku layan aje! Lelaki kan suka perempuan melayan. Am I flirting? A bit! Hahaha...


Kat rumah.

Hey? Awak ni memang tak kerja eh? Tak malu ke dah besar panjang macam tu, masih berkepit dengan mak? Perempuan nak dekat pun takut, tau! Sampai ke tualah awak takkan kahwin!
Niat hati aku hantar SMS macam tu, kira-kira nak smash dia balik. Sebab selama ni aku duk menyimpan aje dalam hati bila mak puji-puji 'penganggur' kehormat macam Adam ni...
Biarlah... perempuan bila-bila pun boleh dicari. Isteri kalau cerai, boleh nikah lagi. Tapi mak kandung... satu dalam dunia. Tak ada galang gantinya!

Zappp! Last-last aku yang rasa macam kena caras bila baca balasan Adam tu. Tak semena-mena aku terkenangkan Fandi. Rasa macam déjà-vu sebab Fandi pun pernah cakap kat aku ayat yang lebih kurang sama. Sebab, Fandi pun juga mummy’s boy. Apa-apa keputusan, Fandi akan dahulukan mummy dia walaupun dia kata dia sayang aku setengah mati. 

Kalau awak masih marah... saya mintak maaf. 

SMS Adam tu, tak aku balas lagi sebab hati aku tiba-tiba jadi haru-biru teringatkan Fandi. Padahal, hari Ahad tu, aku memang keluar dengan dia. Dan dia nampak macam okey aje. Jalan pun tak pernah lepas dari pegang tangan aku. 

Tapi... agaknya, Fandi tiba-tiba lesap ni, sebab mummy dia kut? Hati aku mula tak keruan...