Tuesday 2 October 2012

Rindu Itu Cinta - Bab 8

DALAM suasana suram malam, mata AL terpaku pada Toyota Vios warna putih yang terparkir elok di petak bernombor 440 itu. Macam kenal sahaja kereta itu. Al berjalan mendekati dan membaca nombor platnya. Seketika, hati Al bagai dipalu gendang keriangan. Lupa terus pada rasa gundah akibat pertelingkahan dengan Rania. Betapa dia dan awek ‘Barbie Doll’ itu berjodoh!

Yessss! Tuhan dah memakbulkan doa aku! Walaupun sekarang ni aku Cuma dapat jumpa keretanya sahaja! Jerit Al dalam hati.

Rupanya petak parkir yang menyebabkan Kia Forte kesayangan diclamp tempohari, milik awek itu! Semalam dia menghalang laluan awek itu. Biarpun awek itu tunjuk muka garang bukan main, tetapi Al tetap bertabah kerana wajah itu sangat cantik di matanya. Malang sekali, hajat mahu bertanyakan nama selepas mengundurkan kereta tidak kesampaian apabila kereta dipandu oleh awek itu melesat pergi. Al hanya sempat menghafal nombor plat keretanya sahaja.

Al memandang ke arah blok lima yang dihuni oleh Rozan.

Jangan-jangan awek itu juga, tinggal di blok yang sama! Tapi yang mana satu rumahnya? Macam mana caranya supaya aku dapat mengenali dia? Al garu-garu dahi. Kalau diikutkan rasa hati, mahu sahaja dia berteriak memanggil si pemilik Toyota Vios itu.

Tapi bila memikirkan cara itu bakal membuatkan dia dilanyak beramai-ramai oleh penghuni apartment, Al membatalkan idea bodohnya.

Namun, ketika memandang kembali ke arah kereta tersebut, tiba-tiba sahaja satu idea di luar kotak muncul di benak Al. Semerta, Al tersenyum meleret bersama kepala terangguk-angguk dan semakin merapati kereta tersebut.

*************************
“Kau memang gila Al!” teriak Rozan sambil menimpuk kepala Al dengan bantal hiasan sofa. Sungguh dia tidak percaya, sedrastik itu, Al sanggup bertindak. “Dibuatnya ada orang nampak, naya aje kau!”

Al tergelak. Dia sendiri tidak menyangka sanggup menjalankan idea gila yang tiba-tiba melintas di benaknya.

“Habis, aku rasa itu aje jalan supaya aku dapat contact dia... Nak harapkan kau siasat rumah dia yang mana satu, sampai berjanggut pun aku tak dapat! Kau jangan bimbang, aku pasti tak ada yang nampak aku masa tu…”

Selepas menggeleng kepala beberapa kali, Rozan bertanya, “Kenapa kau beriya sangat nak berkenalan dengan dia? Kau dah kemaruk sangat dengan perempuan ya?”

Tawa Al langsung mereda. Tidaklah dia terasa hati tetapi pertanyaan Rozan itu seperti baru menyedarkannya. Tak ayal, Al berkeluh panjang bersama wajah terlihat cukup serius.

"Aku dah bosan dengan Rania! Siang tadi kami bergaduh besar bila aku ajak dia menikah. Dia punya mengamuk, macam perempuan meroyan dan aku rasa cukup setakat tu ajelah… aku dah letih nak hadapi perangai dia tu!"

Jawapan yang cukup mengejutkan Rozan. "Wooo...bro! Kau dah bosan dengan Rania dan sekarang kau nak main-main dengan awek 'Barbie Doll' tu pulak?"

Al menjeling geram. "Siapa kata aku nak main-mainkan dia? Kalau boleh, aku nak awek tu jadi isteri aku!"

Sumpah, Rozan rasa seperti hendak tercekik mendengar kenyataan yang keluar dari mulut Al itu. "Kau biar betul Al?! Kenal hati budi pun tidak, dah kau rancang nak jadikan dia isteri kau. Hilang akal ke apa kau ni?"

"Memang aku rasa macam dah nak hilang akal pun! Semuanya sebab Rania! Aku ajak kahwin, dia taknak. Tapi bab tidur sama-sama, cepat aje dia nak! Sikap dia tu buat aku cemas bila fikir masa depan kalau aku kahwin dengan dia. Takut nanti, aku keluar pintu depan, dia keluar pintu belakang. Aku tak nak macam tu.

Kalau dah nikah, aku nak isteri aku jaga anak-anak dan layan aku sebagai suami dengan baik... Memanglah orang kata, perempuan baik hanya untuk lelaki yang baik. Tapi tak salah kan, kalau aku yang tak berapa baik ni, cari perempuan baik-baik supaya aku dapat jadi lelaki yang baik?"

Bebelan panjang lebar Al itu segera membuat Rozan tersenyum lebar. Dia bagaikan melihat sinar di wajah Al.

"Alhamdulillah... syukurlah! Nampaknya kau dah menunjukkan tanda-tanda keinsafan!"

"Aku pun manusia biasa, Rozan. Mungkin kau fikir aku tak pernah serius tapi aku pun ada hati dan perasaan... Mak aku dah ‘basuh’ aku cukup-cukup. Aku rasa berdosa bila tengok airmata mak tumpah sebab perlakuan liar aku dengan Rania..." Suara Al semakin perlahan di hujung kata. Ada rasa sebak menggumpal dalam dada apabila wajah sayu emak terbayang di ruang mata.

Rozan sendiri tidak tahu mahu berkata apa. Suasana tiba-tiba jadi hening seketika. Masing-masing melayan perasaan sendiri.

Tiba-tiba Al tertegak dari duduk, memandang Rozan dengan wajah antusias. “Rozan…kau tau kat mana boleh belajar agama?”

Pertanyaan Al itu ternyata mengejutkan Rozan. “Belajar agama tu terlalu subjektif, Al. Kau nak belajar apa? Tauhid? Syariat? Tasawuf?”

“Tinggi sangat tu… aku nak belajar solat… mengaji sampai khatam dulu…” Muka Al mulai memerah.

“Hey?!” Rozan berteriak dengan mata membulat memandang Al. “Selama ni kau tak tau solat dengan mengaji ke?”

“Aku dah lupa…” Suara Al terdengar ciut.

“Astaga Al! Teruk sangat dah tu…sampai solat pun kau lupa. Betullah… maksiat itu ibarat karat yang menggelapkan hati. Sekarang aku dah jumpa bukti nyata depan mata...”

Kata-kata Rozan itu membuatkan hati Al tertohok. Mukanya membera. Rasa malu segera terbersit dalam diri Al sehingga dia rasa tidak mampu mengeluarkan suara walau sedikit pun. Sudahnya Al menelungkup lalu menyembunyikan mukanya di antara dua tangan yang melekap di permukaan meja.

Nyaris sahaja Rozan tergelak. Tapi dia masih waras. Gelak itu tandanya sama sahaja dengan mengejek Al. Kalau boleh dia tidak mahu semangat Al untuk berubah, merundum gara-gara sikapnya sebagai rakan yang tidak supportive!

“Al...” Rozan memanggil.  “Allah tu tak pernah menutup pintu taubat kepada sesiapa pun terbaik Iblis. Keampunan Allah tu jauh lebih besar jika dibandingkan dosa apapun yang dilakukan oleh kita semua. Selagi kematian belum datang, maka pintu taubat masih terbuka.” Rozan menghentikan percakapannya, menanti reaksi Al.

Keluhan panjang terhela dari mulut Al tetapi dia masih belum mahu mengangkat wajah. “Macam kau cakaplah... hati aku ni dah gelap sangat... sampaikan, nak baca Al-Fatihah pun aku lupa...” Suara akhirnya keluar perlahan dari bawah sana.

“Istighfar, Al... mohon ampun kepada Allah dengan sungguh-sungguh. Menyesali semua dosa yang pernah kau buat dan tekad dengan kuat yang kau takkan mengulanginya lagi. Kemudian, kau kena buat semua perintah Allah. Kau kena tawaduk dan qanaah!”

Kali ini Al bingkas mendongak dengan wajah terpinga-pinga. “Eh? Tawaduk tu aku taulah. Tapi qanaah tu apa?”

Tak ayal, Rozan menepuk dahi. “Astaga, kau ni! Anti-klimaks sungguhlah! Qanaah maksudnya, menerima dengan cukup. Ada lima perkara utama dalam sifat qanaah ni. Menerima dengan rela akan apa yang ada. Memohon kepada Allah dan berusaha. Terima dengan sabar ketentuanNYA. Tawakal kepada DIA. Tak tertarik oleh tipu daya dunia. Ha... itu! Faham?”

“Ooo... baru aku faham...” Al manggut-manggut, macam budak sekolah menerima ajaran baru dari guru! Seketika Al tercenung. Teruknya aku ni!

“Belum terlambat, Al. Kalau kau nak, kat surau apartment ada kelas mengaji Al-Quran...”

“Sungguh?” tanya Al dengan mata bersinar seperti permata baru digilap.

“Iya...itu pun kalau kau sanggup join dengan budak-budak sekolah rendah!” Rozan terkekeh, sengaja mengenakan Al.

Terus Al mendecak sebal. Mulutnya kumat-kamit macam pemain bola sepak dilayangkan kad merah. Rozan tertawa melihatnya.

Telefon bimbit Al yang berada di atas meja, bergetar tanda ada pesanan ringkas masuk. Al pantas menyambar dengan gerakan sepantas kilat. Debaran jantungnya bukan main kencang kerana dia menyangka ada pesanan dari ‘awek Barbie Doll’. Ternyata bukan! Kecewa!

“Awek Barbie doll?” tanya Rozan.

“Bukan! Kakak aku... suruh balik. Mak aku dah tanya-tanya kat rumah tu...”

“Maknanya, kau tak jadi tidur sini?” tanya Rozan apabila melihat Al sudah bangun dan mencapai kunci kereta.

“Nak buat macam mana... dah mak suruh balik. Kena tidur celah ketiak mak lah malam ni...” Al menyeringai.

“Ceh! Baru nak ingat mak! Kalau tak... asyik berkepit dengan Rania sampai tak kenal dosa pahala!” Rozan pura-pura mencemuh.

Al tertawa, tidak menanggapinya, apatah lagi berkecil hati. Dia malah sengaja mahu membuatkan Rozan muntah hijau dengan kenyataan berikutnya.

“Tapi kau jangan bimbang, malam-malam berikutnya, aku akan jadi pengunjung setia rumah kau ni... demi awek Barbie doll tu!” senda Al.

Rozan langsung menepuk dahi. “Astaga! Betullah kau ni bujang senang! Kalau dengar dek Rania, mahu perang dunia jawabnya!”

“Biarlah dia tu. Aku balik dulu! See ya bro!” Al mengangkat tangan dengan senyum senangnya.

Sepanjang berjalan menuju kereta, Al tanpa sedar menyenandungkan Sentuhlah Cinta - Noah. Bukan kerana memikirkan Rania tetapi kerana anganan Al melukiskan wajah gadis lain... gadis yang telah mencuri perhatiannya di kedai mamak tempohari!
Rose Harissa® Registered under the provisions of the Trade Marks Act 1976 and the Trade Mark Regulations 1997 since 2016