Jan 31, 2013

Guy Next Door - 7

BY Rose Harissa IN

(dilukis guna Adobe Illustrator CS3)

MAK dah dua kali panggil aku ­turun makan. Tapi aku tak ­keluar bilik pun. Aku cakap dah ­kenyang, makan sebelum balik ­kerja tadi. Alasan semata.

Jiwa aku tengah kacau, ­makan pun mesti tak kenyang. ­Semua sebab Adam! Hati aku dahlah tengah bengang Fandi lesap macam ditelan bumi! SMS tak balas, telefon asyik masuk voice mail. Eee… ke mana dia pergiiii? Dah tak sayang, tak rindu kat aku ke?

Tak sangka pulak Adam bongek tu dah buat aku ­menangis. Fandi tu suis kegembiraan dan kesedihan aku. 

“Kris! Kau keluar sekarang! Kalau kau degil, mak suruh abah kau pecahkan pintu ni!” Suara mak berkumandang seiring dengan pintu bilik digedor. 

Kalau dah macam tu caranya mak memanggil, aku tak boleh terus ­berdiam. Cepat-cepat aku bangun dan akhirnya ­keluar jugak bilik dengan mata merah baru lepas menangis-tak boleh sorok. Mak tenung aku.

“Kau ni masih marah kat Adam ke sampai menangis tak lalu makan?”

Mak ni kan, memang saje nak naikkan takat didih aku. “Buat apa pulak orang menangis fasal Adam? Buat rugi airmata aje! Dia tu siapa?”

“Bukan pagi tadi kau jerit-jerit pesan kat mak kau marah dia? Dah tu petang tadi pulak mak nampak kau nangis masuk bilik lepas cakap ngan Adam? Bukan kelahi ke?”

“Mak ni! Kalau sebab Adam tu orang marah aje tapi tak koserlah nak buang airmata untuk dia. Dia siapa? Orang tengah tension dengan Fandi ni!”

Hajat hati aku nak lah mengadu rasa kat mak. Tapi mak awal-awal dah mencebik. 

“Hmphh! Pasal si Fandi rupanya. Menyesal aku tanya. ­Kalau macam tu, ha, padan muka kau! Siapa suruh kau pilih ­lelaki macam Fandi tu?”

Ambik! Mak memang tak tunjuk simpati langsung. ­Terbang semua semangat aku.

“Mak ni...! Bukannya nak pujuk orang! Lagi sindir pulak...tak kesian ke?”

“Tak koser mak nak kesian! Buang masa aje kesian kalau sebab Fandi...”

Mak betul-betul pulang paku buah keras! Buat aku rasa nak menangis aje!

“Dah, kau toksah nak tayang muka tonyok kau tu. Tak laku dengan mak. Tu... Adam nak jumpa kat bawah!”

“Apa mak?!” Aku terjerit kecil. Aku salah dengar ke mak buat lawak? Macam tak percaya aje Adam nak jumpa aku! Nak bagi bunga lagi ke?

“Adam nak jumpa kat bawah!”

Sebenarnya aku agak impressed di situ sebab Adam ­berani mintak izin mak. Tapi ego aku lebih tinggi dari menara Burj Khalifa! Aku buat keras badan depan pintu.

“Pergilah cepat! Dari tadi dah dia tunggu.”

“Iskkk! Malaslah... Lagipun dia nak apa malam-malam macam ni?”

“Entah... dia kata nak bagi barang kat kau...”

“Isk! Mak ni, dah tau sekarang dah pukul 10, cakap ajelah orang dah tidur! Besok nak bangun awal pergi kerja…”

“Bangun awal konon! Selagi mak ni tak jerit, selagi tu kau tak bangun. Tak gamak mak nak bohong dengan budak baik macam Adam tu...” 

Nada mak mengendur bila sebut nama Adam. ­Betullah, Adam tu macam dah bagi satu sentimental value kat mak. ­Sudahnya, aku dah tak boleh nak mengelat lagi.

“Kat mana dia nak jumpa orang ni? Kat pintu depan ke kat pintu dapur?”

“Kau tanya tu macamlah besar bebenor rumah ni ya? Kat kolam ikan abah nun!”

Hoh? Kat port aku bila bersembang dengan Fandi kat hp! Dengan langkah malas macam bawak beban berkilo-kilo kat kaki, aku turun ke tingkat bawah.

Rupa-rupanya mak dah siap nyalakan lampu kat kawasan kolam tu. Padahal sebelum ni, kawasan tu asyik bergelap aje. Ni mesti sebab mak tak nak aku disyaki berkhalwat dengan Adam. Hikhikhik...!

Adam tunggu aku kat dalam kawasan rumah dia rupanya. Aku ingatkan dia masuk duduk kat kolam ni. Tak tau kenapa, aku rasa mulut aku macam ternganga sikit, mata tak boleh lepas ­pandang Adam yang berdiri tepi pagar kawat hijau. Selama ni aku tak bagi perhatian sangat kat muka dia. Selama ni aku ­nampak dia sekejap-sekejap aje dan tau dia kategori handsome. Cuma aku tak berminat sebab bagi aku muka dia suci sangat. 

Tapi cahaya lampu ni buat muka Adam nampak berseri-seri! Dia memang handsome tahap lima bintang rupanya! ­Tambah pulak dengan senyum menawan dia tu! Betullah cakap mak, muka dia ada iras Mario Maurer, versi Melayu!

“Awak nak apa jumpa saya ni? Nak pecah rekod ye?” aku tanya dalam nada menyindir.
“Rekod apa pulak?” muka Adam blur habis!

“Rekod tak pernah bersua muka lepas lima tahun jadi jiran! Dah boleh masuk Malaysia Book of Record!”

Tanpa aku sangka, Adam ketawa. Tak terlalu kuat tapi ­terdengar menawan kat telinga aku. Dan tak tau setan mana ­pulak merasuk fikiran, buat aku terbayang Adam waktu petang tadi dalam keadaan basah kuyup sebab basuh kereta! 

Hishhh! Tak boleh jadi! Ingat Fandi! Fandi! Fandi! Tanpa sedar, aku mengibas-ngibaskan tangan depan muka.

“Eh? Kenapa dengan awak ni?” 

Suara Adam itu barulah buat aku tersedar. Jauh pulak otak aku melencong ya? Rasa macam dah nak termalu alang, tapi demi jaga imej, aku pura-pura berdaham. “Banyak nyamuk kat sini…”

“Eh, ye ke? Baru malam ni ke awak perasan banyak ­nyamuk? Selama ni waktu berborak dengan boyfriend awak  tu, tak rasa ke nyamuk gigit?”

Mendadak aku rasa kejung, pandang Adam dengan rasa tak percaya. “Hey! Mana awak tau? Awak mengendap saya ya?”

Adam sengih-sengih cute. “Tak ada niat pun nak ­mengendap. Saya terrr… nampak dan terrr… dengar. Kalau dah terrr… tu maknanya saya tak sengaja…”

Semakin meleret Adam senyum. Aku rasa macam nak tarik aje mulut dia tu! Suka mengenakan orang rupanya mamat bajek suci ni! Boleh sakit jiwa jadinya kalau hadap dia ni lama-lama. Sakit jiwa okey lagi, takut tergoda jiwa! Hah, itu yang bahaya! 

“Sudahlah! Sebenarnya awak nak apa ni?” tanya aku ­sambil peluk tubuh. 

“Saya nak bagi ni… sebagai tanda mintak maaf, sebab dah buat awak menangis petang tadi…” Adam hulurkan satu beg ­kertas saiz besar. Tahulah aku ni pendek, macam sengaja aje Adam hulur tinggi-tinggi.

“Hah! Sedar pun ada buat salah!” getus aku, sambil ­berjengket capai beg itu. 

Tanpa segan silu, aku pun jenguk nak tengok apa isi ­dalamnya. Macam-macam jenis coklat mahal dengan bungkusan cantik-cantik yang tak pernah ada kat kedai biasa! Terus aku ­angkat muka pandang Adam.

“Mana awak dapat coklat ni semua?” tanya aku dengan mata bersinar. 

“Saya beli kat Duty Free Chocolate Shop KLIA.”

Aku mengernyitkan dahi. “Awak ke sana semata-mata nak beli coklat-coklat ni semua?”

Adam angguk. “Yelah… bila saya bagi bunga yang mak saya tanam, awak kata saya kedekut. Jadi, coklat-coklat mahal tu, bukti yang saya ni tak kedekut! Tak berkira pun dengan jiran sebelah…”

Aku mencebik. Meh, aku nak usik dia sikit, tengok ­goncang tak dia. Hehe…

“Eleh… baru bagi coklat banyak macam ni pun dah nak berlagak. Lainlah kalau bagi emas seketul dua…”

“Hmm… perempuan dengan emas memang tak boleh ­dipisahkan ya? Tak ada hal… tapi… lainlah kalau awak tu ­girlfriend saya… bukan setakat emas 916, jongkong emas 999 pun sanggup saya beri…”

Dagu aku rasa macam nak terjatuh ke lantai bila dengar ayat Adam tu! Gila kuat menyindir dia ya! Nak kena ni!

“Hello… Siapa cakap saya suka emas? Saya saje je cakap macam tu! Tolong keluarkan saya dari senarai tu ya? Ada awak nampak saya pakai emas? Ni subang ni pun subang pasar malam, tau!” Aku selit rambut celah telinga demi nak tunjuk subang ­mutiara palsu yang terlekat kat cuping. 

Adam masih senyum-senyum. “Awak ni, baru kena usik sikit dah goyang, ya? Tapi kan… kalau awak girlfriend saya pun, saya takkan didik dengan emas, baik saya didik dengan agama!”

Aku pandang Adam dengan mata terkelip-kelip. Ceh! ­Hilang aku nak usik dia… dia pulak yang usik aku! Dahlah ayat last tu buat aku sentap aje... Fandi sendiri tak pernah pun sentuh bab agama dengan aku... haih!

“Menyampahlah cakap dengan awak ni…!” 

Konon menyampah, padahal aku baru sedar bahawasanya bila bercakap dengan Adam dalam jarak dekat begini selepas lima tahun jadi jiran, Adam itu sebenarnya punya aura misterius. Ada daya tarikan yang kuat sampai-sampai, aku nyaris terlupakan masalah dengan si Fandi!

“Ada apa lagi awak nak cakap dengan saya?”

Adam geleng-geleng kepala sambil senyum tak kunjung putus! Alahai... tak penat ke bibir dia tu?

“Kalau tak ada apa... saya masuk dulu!” 

“Tak borak panjang lagi dengan saya?”

“Heh?” Aku jegil biji mata. “Buat apa borak dengan awak? Awak bukannya boyfriend saya!”
Adam ketawa lembut. 

Bila Adam tak berkata apa lagi, aku pun terus buka ­langkah. Tapi bila aku masuk aje dalam rumah, aku terkejut tengok abah sedang santai tengok TV sambil kunyah coklat Toblerone kotak besar.

“Eh? Mana abah dapat coklat tu?”

“Adam bagi tadi. Nak ke? Pergi ambil kat dapur!”

Cesss!!! Aku baru nak rasa special sebab dapat coklat ­mahal. Tapi rupanya Adam dah bagi awal-awal kat abah juga! ­Kalau macam tu, baik tak payah panggil aku keluar!

“Tak naklah! Ni ha... ada satu beg lagi... abah makanlah...” Aku letak beg kertas itu depan abah. 

Lepas tu aku terus naik ke bilik. Hilang terus keinginan aku nak makan coklat mahal tu semua. Tiba-tiba timbul rasa bengang pulak.

Eh? Kenapa dengan aku ni? 

Tension sebab Fandi menghilangkan diri ke merajuk ­dengan Adam?