Wednesday, May 23, 2012

Bertempur Dengan Jembalang - BAB 2

5/23/2012

HELIKOPTER EC 725 Cougar milik Tentera Udara Malaysia baru sahaja meninggalkan ruang udara Kalimantan Timur. Sepuluh orang anggota terlatih dan dipilih dari pasukan elit dalam setiap cabang pasukan tentera dan polis kini berada di perut hutan Long Laham. Mengetuai mereka adalah Leftenan Komander Uzir bin Ismail, komander PASKAL yakni pasukan elit dari Tentera Laut Diraja Malaysia.
 
Misi mereka, menyelamatkan 20 orang anggota tentera yang dikatakan hilang di belantara Kalimantan Timur ketika menjalankan operasi penghapusan gerila. Pada mulanya mereka semua dianggap tidak dapat diselamatkan lagi kerana hutan tersebut terlalu tebal. Walau bagaimanapun, isyarat dari gelombang radio yang diterima beberapa hari lepas, meyakinkan pihak atasan bahawasanya masih ada anggota yang hidup.
 
Mereka dikhuatiri menjadi tahanan gerila. Oleh sebab itu, pasukan elit ini diperlukan biarpun jumlah mereka sedikit dan tidak memerlukan battalion serta kelengkapan senjata yang banyak. Kerana, mereka berupaya menggempur dan memusnahkan kedudukan musuh secara mengejut, melalui penyusupan senyap, menyerang dan membunuh musuh dengan kepantasan dan kecekapan tinggi.
 
Sudah semakin jauh mereka berjalan. Tetapi hutan belantara ini seakan tiada penghujungnya. Suasana sudah jadi semakin gelap. Pohon-pohon besar berukurlilit lebih sepuluh pemeluk lelaki. Mungkin ada diantara pokok-pokok sudah berusia lebih seratus tahun, menciptakan pemandangan yang sama, yang mampu menyesatkan perjalanan. 
 
Cahaya matahari terlindung di balik rimbunan pohon yang tingginya lebih 30 meter, tidak sepenuhnya mampu menembus rimbunnya dedaunan hutan. Udara terasa lembab dan tidak ada aroma lain kecuali bau daun kering dan daun busuk. 
 
"Tuan! Saya rasa tak sedap hatilah…” tiba-tiba Koperal Imran berbisik ke telinga Leftenan Komander Uzir. 
 
“Kenapa kamu cakap macam tu? Apa yang tak kena?” soal Leftenan Komander Uzir.
“Saya tak yakin dalam rimba ni ada gerila. Gorila pun kita tak nampak, ini kan pula gerila. Jangan-jangan pihak atasan salah bagi maklumat tak?" Koperal Imran membuat telahan sendiri.
 
Leftenan Komander Uzir mula tidak senang. 
 
“Hutan ni kan luas? Tambahan pulak kita belum pernah ke hutan ni. Kita kena hati-hati.” Tingkah Leftenan Komander Uzir agar dapat menyedapkan hati Koperal Imran. Dalam masa yang sama, dia bimbang jika anggota-anggota lain terdengar perbualan mereka. 
 
Sebenarnya Leftenan Komander Uzir sendiri berasa tidak sedap hati sejak mula-mula tiba di hutan ini. Gerak hatinya berdasarkan pengalaman dalam dunia ketenteraan, mengatakan bahawa, hutan ini tidak dihuni sesiapa melainkan binatang buas sahaja. Belum terjumpa oleh mereka sebarang tanda menunjukkan kesan kehadiran manusia. 
 
"Kita bergerak ke Sungai Kayan. Mana tahu kita akan dapat sedikit petunjuk di situ." Leftenan Komander Uzir memberikan arahan. Mereka pun bergerak dengan langkah waspada, siap siaga dengan raifel masing-masing di tangan. 
 
Ketika sedang berjalan, tiba-tiba sahaja Sarjan Kong Chee Meng bersiul-siul. Leftenan Arifin yang berjalan di belakang, tak ayal melepuk kepala Sarjan Kong Chee Meng. 
 
“Aduh! Kenapa, tuan?” tanya Sarjan Kong Chee Meng sambil memegang belakang kepalanya.
 
“Kamu nak panggil ‘pak panjang’?” 
 
“Apa itu pak panjang? Aku memang panjang, maaa...!”
 
Leftenan Arifin mendengus. Dia tidak pasti samada Sarjan Kong Chee Meng pura-pura tidak tahu atau memang tidak tahu langsung. 
 
“Pak panjang tu, ularlah, bodoh!” sampuk Sarjan Radit yang kebetulan terdengar perbualan mereka berdua.
 
Leftenan Arifin mengeluh sambil menggelengkan kepala. Akhirnya dia terpaksa menjelaskan kepada Sarjan Kong Chee Meng. 
 
"Takkan perkara basic macam tu pun kamu tak tahu? Bersiul dalam hutan ibarat memanggil ‘pak panjang’, tak pun binatang buas lain. Kalau binatang buas mendengar siulan tu, orang yang bersiul akan berada dalam keadaan bahaya!"
 
Muka Sarjan Kong Chee Meng mulai memucat. “Janganlah cakap macam tu, tuan…aku mahu hidup lama lagi…”
 
“Ah! Kamu jangan percaya sangat dengan mitos tu semua. Itu cuma pantang larang orang tua. Kita ni tentera terlatih. Kalau setakat ular yang datang, takkan kamu takut kut?” 
 
Mendengarkan komen Sarjan Radit, Leftenan Arifin tidak terkata apa lagi. Payah kalau ada anggota yang suka cakap lepas. 
 
Tiba-tiba Kapten Zhafri yang berjalan di hadapan mereka, berdaham. Apabila Kapten Zhafri berpaling, mereka langsung diam. Kapten muda itu, memang tidak banyak bercakap, tetapi sekali menjeling, langsung membuatkan orang bawahannya menikus. 


 ------------------------------------

DARI kawasan seputar Long Laham dan Sungai Kayan, pasukan elit itu terus bergerak menuju daerah pedalaman Bulungan. Setakat itu masih tidak menemukan sebarang petunjuk.
 
Tiba-tiba Leftenan Komander Uzir mengangkat tangan ke udara. Tangan itu dikepalnya kemudian dia menurunkan tangannya ke bawah. Anggota lain langsung diam apabila melihat isyarat itu. Mereka secara senyap mulai meniarap, mengambil posisi masing-masing. Ada sesuatu di hadapan yang menarik perhatian Leftenan Komander Uzir. Namun mereka semua tidak melihat apa-apa.
 
Leftenan Komander Uzir menyusup, mendekati Kapten Zhafri yang sedang melihat melalui pejera optik yang dipasang pada raifel tempur peribadinya, MP5A5.
 
“Kamu nampak apa-apa?” bisik Leftenan Komander Uzir. 
 
Masih tidak mengalihkan perhatiannya dari pejera optik, Kapten Zhafri berkata separa berbisik, "Negatif!"
 
Dahi Leftenan Komander Uzir berkerut. Rasanya tadi dia terlihat kelibat sesuatu di hadapan mereka. Setelah lebih sepuluh minit diam menanti dan tidak ada apa-apa yang muncul, Leftenan Komander Uzir memberikan isyarat agar mereka meneruskan perjalanan. 
 
Tetapi, baru sahaja mereka bangun, tiba-tiba terdengar bunyi tembakan. Saat itu juga, Leftenan Muda Nizam jatuh tergolek di atas tanah sambil mengerang kesakitan. 
 
“Serang hendap!” jerit Sarjan Radit. 
 
Automatik, yang lain segera menjatuhkan badan dan kembali meniarap. 
 
“Trrr…! Trrr…! Tam…! Tam…!” Bunyi tembakan dari pistol dan mesingan silih berganti berkumandang di udara. 
 
Mereka dihujani tembakan membabi buta, entah dari mana sehingga memaksa mereka kelam-kabut mencari perlindungan di sebalik batang-batang pokok. 
 
Sarjan Radit dengan pantas menarik Leftenan Muda Nizam yang telah cedera agar terlindung dari peluru sesat. Anak muda itu cedera terkena tembakan di lengan. Biarpun tidak menembusi, tapi peluru itu berjaya mengoyak kulit lengan Leftenan Muda Nizam. Lans Koperal Sabri segera membantu, mengikat lengan Leftenan Muda Nizam dengan bandana bagi mengurangkan pengaliran darah buat sementara waktu.
 
Rimba itu terus digegarkan dengan bunyi tembakan bertalu-talu. Sehinggalah tidak terdengar lagi tembakan balas dari pihak musuh, Leftenan Komander Uzir mengangkat tangan, mengarahkan serangan dihentikan.  
 
Mereka berpandangan sesama sendiri, sedikit bingung dengan serangan menggila yang amat tidak diduga tadi. Bahkan tadi mereka menembak tanpa mengetahui dengan tepat di mana kedudukan sasaran mereka. Setelah yakin keadaan seratus-peratus selamat, Leftenan Komander Uzir bangun dan mendekati Leftenan Muda Nizam.
 
“Kamu boleh bertahan?” tanya Leftenan Komander Uzir seraya memandang ke arah lengan Leftenan Muda Nizam yang berlumuran darah.  
 
“Boleh tuan! Sikit aje ni…, tuan!” ujar Leftenan Muda Nizam, memperlihatkan semangat juang yang tinggi, biarpun dahinya berkerut-berkerut menahan kesakitan. Kulit tersiat, paling koman kena lima enam jahitan hidup-hidup!
 
Tanpa bertangguh lagi, Leftenan Komander Uzir melambaikan tangan, memberi isyarat agar mereka semua mara ke hadapan.
 
Dengan langkah waspada, senjata erat di tangan masing-masing, mereka mula mendekati kawasan sasaran serangan balas ditujukan. Pokok-pokok di sekitarnya rosak teruk dengan bau hangit kayu terbakar. Namun, apabila semakin dekat, hidung masing-masing mula kembang kempis. 
 
Ada bau lain yang terbit. Bau busuk seperti bangkai, menyengat deria bau mereka.
 
"Perghh! Bau apa ni? Takkan baru kena tembak tak sampai sejam, musuh dah jadi bangkai?" seru Sarjan Radit tidak dapat menahan mulut lancangnya. 
 
"Mulut kamu tu yang berbau macam bangkai!" sindir Mejar Roslan yang sejak awal tidak menyenangi sikap Sarjan Radit yang suka cakap besar. 
 
Sarjan Radit ingin berkata sesuatu tetapi suara Koperal Johari mengejutkan semua orang.
"Tapi tuan, mayat-mayat ni nampak macam dah mati beberapa hari lepas!"
 
Kontan, mereka tertegun memandang ke arah mayat-mayat yang bergelimpangan di hadapan mereka. Ada lima kesemuanya tetapi tidak dalam keadaan sempurna. Ada yang pecah mukanya, putus tangan dan terburai isi perut! Bahkan ada yang mulai berulat!
 
"Uwekkk!!!" Sarjan Kong Chee Meng terjeluak, tidak tahan melihat pemandangan mengerikan itu. 
 
"Kamu ni, macam tak pernah tengok mayat pecah!" sergah Mejar Roslan, agak geram melihat sikap ‘lembik’ Sarjan Kong Chee Meng. Kalau diikutkan rasa hati, mahu sahaja dia menjitak dahi pemuda itu.
 
"Tapi yang ni lain macam, tuan!" jawab Sarjan Kong Chee Meng dengan tangan dipekup ke mulut.
 
Mejar Roslan mengerling geram. 'Nama sahaja tentera elit tapi tetap ada perangai macam pondan!' rutuknya dalam hati.
 
Kapten Zhafri pula bagaikan tiada perasaan apabila dia mendekati salah satu mayat. Dengan menggunakan ranting kayu, dia menguis daun-daun kering yang melekat pada dada si mati. 
 
"Leftenan Zuhairi Isa... mungkin dah mati dua hari lepas..." Kapten Zhafri membacakan nama yang tertera pada rantai pengenalan (dog tag) yang terkalung di leher mangsa sekaligus membuat anggaran jangkamasa kematian.
 
"Itu antara orang yang perlu kita cari!" keluh Leftenan Komander Uzir penuh kesal.
 
"Nanti dulu!" tiba-tiba Leftenan Arifin menyampuk. "Kalau ini orang yang kita cari tapi dah mati dua hari lepas... habis tu siapa yang serang kita tadi?" Leftenan Arifin menyatakan kecelaruan yang bermain di mindanya. 
 
Masing-masing terdiam, tidak dapat memberikan sebarang jawapan. Sebenarnya, sejak melihat keadaan mayat-mayat itu tadi, sudah timbul persoalan tersebut di fikiran masing-masing. 
 
Bagi mengelakkan anak buahnya membuat spekulasi sendiri, Leftenan Komander Uzir segera membuat penjelasan.
 
"Mungkin musuh sengaja menjadikan kawasan ini sebagai tempat melepaskan sasaran. Mungkin mereka mahu kita fikir yang kita juga akan menerima nasib yang sama seperti rakan-rakan kita yang malang ini!"
 
'Bodoh punya alasan!' kutuk Mejar Roslan dalam hati sambil memerhatikan satu persatu wajah-wajah di hadapannya yang nampaknya kelihatan lega mendengar jawapan Leftenan Komander Uzir.
 
'Memang bodohlah kalau mereka semua percaya cakap komander bodoh seperti Uzir!' Mejar Roslan menjeling tajam ke arah Leftenan Komander Uzir. Ada sesuatu yang terbuku di hatinya.
 
Tanpa disedari Mejar Roslan, Kapten Zhafri terlihat caranya merenung marah kepada Leftenan Komander Uzir.
 
Semacam ada sengketa yang tidak diketahui oleh mereka semua, telah berlaku antara Leftenan Komander Uzir dan Mejar Roslan.

Sunday, May 20, 2012

“ KORBAN PUAKA TASIK “

5/20/2012
Cerita ni aku tulis pada 01/04/2004 untuk APO? tapi bila check balik dalam list senarai yang dah keluar, cerita ni tak pernah tersiar. Jadi aku tempek kat sini untuk korang baca.


“KORBAN PUAKA TASIK“

Tasik Chini sememangnya banyak menyimpan sejarah dan lagendanya tersendiri. Kisah kota tenggelam di dasarnya dan lubuk yang menjadi naga dua beradik Sri Pahang dan Sri Gumun bertapa suatu ketika dulu, amat popular. Malah ada sesetengah orang beranggapan dan percaya Sri Gumum masih ada di dalam tasik berkenaan biarpun abangnya sudah tewas di tangan naga Siam, Sri Kemboja.

Ada juga yang percaya ada makhluk misteri lain yang mendiami tasik berkenaan. Walau apapun ianya tidak dapat dipastikan dengan jelas. Namun kisah tasik itu yang meragut banyak nyawa bukan lagi rahsia. Hampir seluruh penduduk Chini memahami ragam tasik itu lebih-lebih kaum orang asli yang mendiami sekitar tasik.

Selalunya orang luar yang tidak tahu menjaga adab menjadi korban tasik. Tetapi itu tidak bermakna orang tempatan selamat dari menjadi mangsa. Sekumpulan pelajar dari sekolah berdekatan ke tasik itu tanpa menduga akan terjadi satu kisah tragis yang tak mungkin dapat  mereka lupakan.

Masitah turut serta dalam rombongan tersebut. Rombongan itu sekadar bertujuan untuk memberi kesedaran kepada para pelajar akan kepentingan alam sekitar kepada manusia. Guru-guru yang terlibat telah menyewa dua buah bot untuk membawa para pelajar mengelilingi tasik.

Masitah duduk di bahagian belakang bot bersama Suzana, teman baiknya. Cikgu Rozila sibuk berceramah di kepala bot walaupun kebanyakan pelajar kurang memberi perhatian terhadap apa yang dia perkatakan. Mereka lebih gemar mengaut bunga teratai dan buahnya dari permukaan air.

Masitah dan Suzana juga tidak ketinggalan. Seronok mengutip buah teratai sambil merenjis air sesama sendiri. Kemudian Masitah mengajak Suzana untuk mengubah tempat duduk ke bahagian hadapan bot. Masitah mengambil tempat betul-betul di muncung bot.

Masitah masih galak bermain air. Tidak lama kemudian, tiba-tiba sahaja Masitah menyentap tangannya keluar dari permukaan air. Raut wajahnya yang berubah panik menimbulkan tanda tanya kepada Suzana.

“Kenapa Ita? “ tanya Suzana.

Muka Masitah pucat. Dia tidak bersuara tetapi jarinya menuding ke arah air. Suzana menoleh. Mulanya dia hairan kerana tidak nampak apa-apa selain dari bunga teratai yang hidup subur. Namun ianya hanya seketika. Dalam air tasik, Suzana nampak satu bayangan hitam berenang-renang di sekitar bot mereka. Tidak dapat Suzana pastikan rupa bentuknya. Ianya seperti satu makhluk yang besar dan pastinya bukan sang buaya! Kini giliran Suzana pula berubah wajah.

Mereka berdua tergamam dan berpandangan sesama sendiri. Belum sempat mereka memberi amaran kepada rakan-rakan dan guru, kelihatan air tasik bergulung seperti ombak besar. Serentak itu juga terasa ada sesuatu yang besar melanggar bot mereka.

Akibat daripada itu, bot yang memuatkan seramai 10 orang itu terjungkit sebelum terbalik. Masitah terlebih dahulu terhumban ke dalam tasik. Rakan-rakannya yang lain menggelepar cuba menyelamatkan diri masing-masing. Ada yang berpaut kepada bot, ada yang mampu berenang ke tepian.

Tetapi tidak Masitah dan Suzana. Masitah bersusah payah untuk cuba timbul di permukaan air. Dia berasa berat yang amat sangat. Tiba-tiba Masitah terasa ada sesuatu sedang menarik kakinya. Masitah menjerit sekuat hati. Melihatkan keadaan itu, Suzana berusaha membantu Masitah untuk kembali naik ke permukaan air. Namun Suzana sendiri tercungap-cungap jadinya. Dia berasa Masitah begitu berat malah dia yakin ada sesuatu sedang menarik Masitah supaya tenggelam ke dasar tasik sehingga dia sendiri hampir lemas.

“Cikgu!!! Tolong!! Masitah jatuh dalam air ni!!” Suzana menjerit sambil terus cuba menarik Masitah. Masitah makin tenggelam. Suzana menangis melihatkan Masitah yang semakin tenggelam.

“Cikgu!!! Tolong!!!” Jeritan Suzana seakan tidak didengari oleh guru mereka. Suzana semakin berputus asa. Akhirnya Suzana tidak berdaya lagi. Terpaksa dia melihat Masitah tenggelam ke dasar tasik begitu sahaja.

Suzana diselamatkan oleh Pak Hasan, jurumudi bot. Sebaik sahaja sampai ke tebing, dia diserbu rakan-rakannya. Suzana menggeletar, kesejukan bercampur ketakutan.

“Eh? Mana Masitah?” Tanya Cikgu Rozila. Suzana mengerling marah ke arah cikgunya itu.

“Bukan ke tadi saya dah jerit mintak tolong! Sorang pun tak dengar! Masitah dah lemas dalam tasik nun!!!” Suzana menjerit sekuat hati seakan melepaskan perasaannya yang terkilan dengan kejadian sebentar tadi. Barulah guru-guru mereka menyedari Masitah sudah hilang ke dasar tasik.

“Suzana, cuba ceritakan apa yang dah jadi?” Tanya Cikgu Malek lembut.

Suzana teresak-esak. "Saya…cuba..cuba nak tolong Masitah cikgu… tapi, dia kuat! Kuat sangat! Berat! Macam ada benda tarik dia dari bawah! Saya..tak mampu nak selamatkan dia!!” Suzana meraung sekuat hati.

Sekejap sahaja cerita Masitah lemas di tasik tersebar ke kawasan sekitar. Pasukan penyelamat tiba dan memulakan gerakan mencari mayat Masitah. Dasar tasik yang gelap dengan rumpai, menyukarkan kerja-kerja mencari.

Tok Batin Jali turut membantu dalam gerakan mencari itu. Tidak seperti pasukan penyelamat yang menggunakan bantuan pernafasan, Tok Batin Jali yang arif tentang selok belok tasik, hanya menyelam begitu sahaja.

Menjelang petang, mayat Masitah ditemui. Ditemui oleh Tok Batin Jali dalam keadaan yang menimbulkan tanda tanya. Mayat Masitah ditemui terbenam dalam selut dasar tasik! Hingga ke paras dada! Hanya bahagian kaki yang kelihatan.

Malah Tok Batin Jali juga mengalami kesukaran untuk menarik keluar mayat Masitah dari selut. Seperti berbalas tarik dengan sesuatu dari dalam selut. Setelah beberapa minit berhempas pulas, barulah Tok Batin Jali berjaya menarik keluar mayat Masitah.

Orang ramai yang menunggu di pinggir tasik tergamam melihat keadaan mayat Masitah yang mengerikan. Rupanya seperti mayat yang sudah mati sebulan, sedangkan baru beberapa jam tenggelam. Perutnya buncit, dadanya kembung, mata terbuntang dan hidung penuh selut pasir.

Terkejut mereka semua apabila melihat begitu banyak selut yang keluar dari mulut mayat Masitah apabila dipam oleh pasukan penyelamat. Mereka hairan bagaimana mayat sekurus arwah Masitah boleh terbenam separuh badan ke dalam selut dan berubah menjadi mengerikan, seperti sudah lama mati!

“Susah nak tarik arwahnya keluar tadi. ‘Benda’ tu nak tarik mayat ni masuk dalam selut. Nasib baik aku sempat tarik, tapi kuat betul ‘benda’ tu…!” 

Kata-kata yang keluar dari mulut Tok Batin Jali membuatkan yang lainnya terdiam. Tok Batin Jali tidak mahu bercerita lanjut mengenainya. Yang pasti bukan sekadar ikan, ular dan buaya yang menghuni tasik itu. Tetapi ada sesuatu yang lebih menakutkan wujud di dasar sana….

Oleh: NORA

Sunday, May 6, 2012

Asal usul novel Cinta Mekar Di Hati

5/06/2012
Asal usul novel CINTA MEKAR DI HATI (Jan 2008)... cerpen tahun 2003, keluar dalam Majalah APO #104 dengan tajuk diubah kepada JODOH AKU...Bahasa yang aku gunakan bahasa sempoi. Tapi bila tulis novel, gaya bahasa dah jadi lain, tak guna dah ayat-ayat rojak. Dalam CMDH, aku tukar semua nama watak, jadi Nur Fasha dan Tengku Ady Rafizal. Aku gambarkan Ady Rafizal macam Dennis Oh. Tapi time tu tak pasal-pasal kena kutuk sebab menggambarkan hero macam artis... (T_T). Tapi sekarang.. lihatlah dunia, sana-sini muka artis ditepek dan digambarkan sebagai hero novel. Haihh... Mungkin Rose Harissa aje kut yang orang akan jengkel kalau RH gunakan artis...(T_T)...Oh, emo la pulak...
 Baiklah, sudikanlah membaca cerpen tah hapa-hapa aku ni sebelum ia berubah menjadi panjang lebar sebagai sebuah novel. (^_^)y


CINTA KUETEOW SUP!

"Weh, kau ni takde menu lain ke? Asyik kueteow sup je!"

"Sukahatilah.. sedap pe..!" Rissa menjegilkan matanya pada Atikah. Budak pengambil menu berambut panjang melepasi bahu tu tersenyum melihat gelagat Rissa kemudian berlalu  masuk ke dapur.

"Eh, korang perasan tak budak yang ambik order tu.. budak baru kan? Hensem ler..! Rambut dia lawanya..!" Midah membuka topik sambil matanya tak lepas-lepas memandang ke arah dapur.

"Midah, kau menggatal pandang lelaki lain, aku report Saiful!" ugut Rissa.

"Ala.. kalau dia hensem pun, korang ingat dia nak pandang ke muka korang tu? Lainlah aku ni. Tapi sorrylah ye, aku tak main mamat gerai..walaupun dia hensem.!"  

Semua buat muka bengang apabila mendengar kata-kata 'terlebih perah santan' dari mulut Suzie. Eeyyee..! Taulah seksi, perasan laks!

Masa tengah makan, Atikah bersuara, "Eh, mamat tadi tu asyik pandang sini je..!"

"Dia pandang akulah tu!" Suzie membetulkan duduknya.

"Peduli apa aku..! Yang aku tau kueteow sup ni sedap giler!! Slurrppp!" 

Semua mengerut dahi melihat aksi ‘gelojoh’ Rissa itu. Rissa memang kasar sikit. Mungkin sebab tu takde lelaki berani nak dekat. Geng tu pun cuma dia sorang je belum bercouple. Atikah dah nak kahwin, Midah dah ada yang steady, Suzie? Keliling pinggang! Tapi masih belum dapat menentukan yang mana satu boleh di buat laki!

Mereka selalu keluar makan malam dekat gerai di hujung kawasan perumahan tempat mereka tinggal. Cuma kadang-kadang tak cukup korum, bila ada yang keluar dengan boyfriend memasing, terutama Suzie, yang kerap bertukar-tukar boyfriend.

Satu hari Rissa demam mengejut. Dia mengidam nak makan kueteow sup. Suzie dengan Midah dah keluar, maka terpaksalah Atikah berjalan menuju ke warung untuk tapau menu utama hidup Rissa tu.

"Eh, sorang je hari ni?" tegur budak pengambil order tu.

"Dah tu, semua dah keluar dating. Si kecik yang selalu makan kueteow sup tu pulak demam ari ni..."

"La... siannya...! Patutlah, biasa pukul 9 korang dah datang makan sini..."

"Aii, dah set time nampak..! Baru kerja kan? Sapa nama?" 

Budak tu tersengih sambil mengangguk. " Panggil Ijal je.. err.. nanti kimsalam kat budak kecik tu ye..!"

"Minat kat budak kecik tu ke? Patutlah selalu tengok masa kitorang makan, ingatkan minat kat minah yang seksi tu.."

"Hehee.. takdelah, dia tu dah overdose tu..!" Terburai gelak tawa mereka. Ok gaks mamat ni...tapi tengok gaya rupa tak sesuai kerja kat warung tu.

"Wei,.. Rissa, mamat gerai tu kimsalam..!" Atikah menghulurkan kueteow sup pada Rissa. Perempuan itu mengerutkan mukanya. Lepas tu terus tak bersuara mengadap kueteow sup dengan lahapnya.

Hari-hari berikutnya, mereka masih jadi pelanggan setia kat warung itu.

"Eh, apsal kau tak makan lagi? Biasa lahap sangat ngan kueteow sup?" Tanya Midah apabila melihat Rissa masih terkebil-kebil memandang ke dalam mangkuk kueteow supnya.

"Midah, Tika, makanan korang ada lobak merah tak?" Tanya Rissa sambil menjenguk ke pinggan Midah dan Atikah.

"Apsal lobak kueteow sup aku camni rupanya?" Rissa menunjukkan potongan lobak tersebut dengan garfunya. Bagai nak tersembur makanan dalam mulut Midah dan Atikah apabila melihat lobak tersebut. " Ni contoh je tau, banyak lagi dalam mangkuk aku ni..." 

Melihatkan keadaan itu, Atikah memanggil Ijal.

"Ijal, apsal lobak dalam lauk kitorang bulat, tapi Rissanya bentuk 'love'?" Tanya Atikah sambil menahan ketawa. Midah terkekeh-kekeh ketawa sementara Rissa tarik muka.

Ijal tersipu-sipu malu. " Err.. saja nak tunjuk kreatif."

"Nak tunjuk kreatif ke nak tunjuk sayang?" Midah mengena. Secepat kilat Rissa mencubit peha Midah. Midah mengaduh kesakitan.

"Janganlah marah, saya sendiri masak kueteow sup tu untuk awak dan taruk lobak special tu sebab... sebab.. saya suka kat awak!" 

Apa? Beraninya mamat ni!

“Apa motif awak buat saya cam ni ha? Malu saya tau!” Rissa marah. “ Baik awak cakap sebelum saya ngamuk!”  Mendengar bentakan Rissa, Ijal terus duduk di sebelah Rissa.

“Sebenarnya, saya dah lama usha awak, start dari hari pertama tengok awak, saya dah minat sangat ngan awak. Saya harap awak sudi jadi teman istimewa saya.. sampai bila-bila!” 

Rissa ternganga mendengar pengakuan ikhlas lelaki bernama Ijal itu.

  #################

“Kau nak kahwin Rissa? Ngan sapa? Sapa yang malang tu? Tanya Suzie sinis bila mendapat tahu Rissa akan berkahwin tidak lama lagi. 

Rissa menjeling marah. Malas nak jawab.

“Ngan mamat gerai yang rambut panjang tu lah!” Midah menyampuk.

“Hah?! Dengan mamat tu? Apa klasss?! Dia nak bagi Rissa makan kueteow sup hari-hari ke? Kau dah desprate sangat ke?” Suzie ketawa terkekeh-kekeh. 

Nak aje Rissa lempang mukanya. “Abis dah aku suka kueteow sup! Kau peduli apa?!”

“Hmm.. iyelah tu, harap muka je hensem, tapi setakat keje kat gerai tu, tak merasalah emas berlian Rissa!” Suzie terus bermulut laser. 

Rissa dah mula buka mulut nak berdebat, tetapi bunyi hon kereta mematikan niat ganasnya itu. Midah dan Atikah cepat-cepat tolong Rissa angkat beg. Rissa nak balik kampung untuk uruskan majlis perkahwinannya.

Di luar rumah kelihatan sebuah BMW7 Series parking betul-betul depan pintu pagar rumah mereka. Suzie ternganga melihatnya ‘keindahan’ kereta mewah tersebut. Terus dia berlari mendekati. Minah ni memang tak tau malu! Suzie terlopong melihat Rissa salam cium tangan dengan Ijal yang berdiri di sisi BMW itu. 

Ijal senyum sambil melambai tangan ke arah Midah dan Atikah. Kemudian terus memecut kereta mewah itu.

“Hai, tak pernah tengok BMW ke?” Midah menyindir. “ Itulah kau, kutuk sangat si Rissa tu. Tengoklah dia sekarang.. bahagia hidup!”  

Suzie terduduk di tepi pintu pagar.

“Kalau kau nak tau, mamat tu anak lord! Dah lah anak lord, dia sendiri pun kaya gile! Tak mengharap harta mak bapak! Dia kerja kat warung tu saja suka-suka sebab nak tackle si Rissa tu!” Atikah menyambung sambil menghulurkan sekeping kad. 

Terbeliak mata Suzie membacanya.

Undangan Perkahwinan
Harissa binti Hadi & Tengku Zainizal bin Haji Tengku Mohamed

“Bertuah Rissa, dapat suami kaya, hensem dan paling penting pandai masak kueteow sup!” Atikah dan Midah tergelak. 
Suzie pulak meraung sekuat hati!


Saturday, May 5, 2012

Bertempur Dengan Jembalang - BAB 1

5/05/2012
1

BERKALI-KALI Leftenan Komander Uzir mengucup dahi isterinya, Alesya. Tidak cukup dengan itu, dia memeluk erat Alesya sehinggakan Kapten Zhafri yang setia menunggu di tepi pagar, naik segan mahu memandang. Terpaksalah anak muda berpura-pura melihat ke arah lain.

Kapten Zhafri ditugaskan menjemput Leftenan Komander Uzir bagi melaporkan diri di Markas Angkatan Bersama (MK AB).

"Abang, sudahlah tu...segan sikit dengan Kapten Zhafri tu..." Alesya mengingatkan seraya mencubit manja lengan suaminya.

"Ala, dia nanti, kalau dah kahwin pun sama jugak, tak sanggup nak lepaskan isteri, betul tak, Zhafri?" tanya Leftenan Komander Uzir seraya memandang Kapten Zhafri.

Anak muda itu tidak menjawab. Sekadar tersenyum sipu dengan muka memerah.

"Abang ni, dah tau Kapten Zhafri tu pemalu, diusiknya pulak..."

"Ala...dia tu cuma malu-kucing!"

Semakin merah muka Kapten Zhafri dibuatnya. Namun saat melihat Leftenan Komander Uzir memeluk Alesya buat sekian kalinya, Kapten Zhafri terkedu. Cara lelaki itu memeluk dengan mata terpejam rapat, jelas menunjukkan Leftenan Komander Uzir, tidak sanggup pergi. Tetapi, apakan daya, dia terpaksa jua melepaskan isteri kesayangannya.

"Jaga diri baik-baik, sayang... jaga anak-anak kita juga sementara abang pergi bertugas..."

Alesya mengangguk. Sebagai isteri anggota tentera, dia harus merelakan ke mana jua suaminya pergi. Leftenan Komander Uzir melangkah pergi, mengekori Kapten Zhafri yang sudah pun berjalan mendekati kenderaan pacuan empat roda yang akan membawanya ke markas.

Setelah berada dalam kenderaan, barulah Leftenan Komander Uzir memberikan perhatian kepada Kapten Zhafri.

"Lama kita tak berjumpa sejak kamu cedera ketika operasi Pulau Berhala. Apa khabar kamu? Sudah membaik?"

Tanpa menoleh, Kapten Zhafri tersenyum lantas berkata, "Siap bertempur, tuan!"

Kontan Leftenan Komander Uzir tergelak besar. Anak muda itu jarang bercakap, tetapi sense of humornya boleh tahan. Kapten Zhafri adalah tentera terlatih dari pasukan elit Angkatan Tentera Darat yakni Grup Gerak Khas. Mereka berdua jadi mesra apabila sering disatukan dalam operasi-operasi khusus dan sulit negara.

"Kapten Zhafri..." Leftenan Komander Uzir memanggil tetapi tidak meneruskan kata-katanya.

"Ya, tuan!" Kapten Zhafri menyahut seraya menoleh sekilas.

Leftenan Komander Uzir masih teragak-agak mahu meneruskan kata-kata. Sudahnya dia memutar pertanyaan. "Yang lain-lain dah bersedia?"

Biarpun pelik dengan pertanyaan itu, Kapten Zhafri tetap menjawab, "Sudah, tuan! Mereka sedang menanti kedatangan tuan untuk taklimat taktikal."

“Hmm…baguslah kalau begitu...” Leftenan Komander Uzir mengeluh, kemudian membuang pandang ke luar tingkap.

Airmuka Leftenan Komander Uzir suram. Membuatkan Kapten Zhafri yakin, ada sesuatu yang sedang bermain di fikiran lelaki itu.

Sebenarnya Leftenan Komander Uzir dilanda rasa tidak enak. Ketika melangkah keluar dari pintu rumah tadi, tiba-tiba ada ular hitam melintas di hadapannya.

Itu petanda tidak baik!

Friday, May 4, 2012

Bertempur Dengan Jembalang - PROLOG II

5/04/2012
PROLOG

Leftenan Komander Uzir bin Ismail
Role:
Ketua unit khas
Occupation:
PASKAL (TLDM)
Strengths:
Penembak tepat, mahir berbagai senjata, terlatih dalam seksyen perisikan.
Weaknesses:
Sejak akhir-akhir ini tidak berani mengambil risiko berlebihan kerana teringatkan anak dan isteri.
Biography:
Penerima Pingat Seri Pahlawan Gagah Perkasa (SP). Pernah terlibat dalam beberapa siri operasi berprofil tinggi termasuklah operasi menyelamat tawanan perang di Iraq.
Personality:
Sudah beristeri dan mempunyai dua orang anak. Sentiasa tersenyum dan kelihatan tenang. Banyak berahsia. Rajin solat serta berpengetahuan tinggi dalam agama. Jaguh silat.
Age: 38
Eyes: Hitam  Size: 5' 10" Hair: Hitam
Senjata peribadi:
Pistol: Browning HP
Raifel tempur: Raifal AK 102


Mejar Roslan bin Abdullah
Occupation:
PASKAU (TUDM)
Strengths:
Pakar terjun bebas, penembak tepat
Weaknesses:
Panas baran dan terlalu mengikut perasaan.
Biography:
Pernah mendapat Pingat Tentera Udara (PTU) kerana keberanian semasa menjalankan kewajipan penerbangan ketika operasi. Berjaya menawan ketua pengganas dalam satu operasi sulit di Somalia.
Personality:
Duda tanpa anak. Ada ketikanya mudah panas baran. Sangat berani berhadapan bahaya. Sekali penurunan pangkat ketika bergelar Koperal kerana melakukan keganasan terhadap bekas isteri yang curang.
Age: 36
Eyes: Hitam Size: 5' 11" Hair: Hitam
Senjata Peribadi:
Pistol: Browning HP
Raifel tempur: Mesingan M60


Kapten Zhafri bin Idris
Occupation: 
Grup Gerak Khas (ATM)
Strengths:
Penembak tepat, mahir tempur tanpa senjata.
Biography:
Penerima Pingat Panglima Gagah Berani (PGB). Tiga kali operasi pertempuran khas. Sekali cedera ditembak ketika operasi menggempur lokasi pengganas di Pulau Berhala, Sabah.
Personality:
Masih bujang. Pendiam, lebih suka memerhati dan mendengar. Hanya bersuara apabila perlu namun sangat agresif apabila bertempur satu lawan satu. Dikatakan sebagai antara anggota pasukan khas yang mempunyai kekuatan mental kental dan tahap kecergasan fizikal yang amat tinggi.
Age: 28
Eyes: Coklat gelap Size: 5' 10" Hair: Hitam
Senjata Peribadi:
Pistol: Beretta M92FS
Raifel tempur: MP5A5


Leftenan Arifin bin Mahmud
Occupation:
PASKAU (TUDM)
Strengths:
Perenang tempur dan mahir menggunakan pisau komando.
Biography:
Penerima pingat Jasa Perkasa Persekutuan (JPP) kerana keberaniannya menolong anggota pasukan yang luka sewaktu pertempuran senjata jarak dekat.
Personality:
Sudah bertunang dengan seorang guru sekolah rendah. Pendiam tetapi lincah dan kuat.
Age: 30
Eyes: Hitam Size: 6' Hair: Hitam
Senjata Peribadi:
Pistol: HK Mark 23
Raifel tempur: G3SG-1


Sarjan Kong Chee Meng
Occupation: 
VAT 69 (PDRM)
Strengths:
Pakar menembak
Weaknesses:
Kadang kala suka lepas cakap
Biography:
Dua kali operasi sulit termasuk melaksanakan operasi menyelamat dan membawa pulang rakyat Malaysia di Libya yang dilanda ketegangan politik. Pingat Kepujian Perutusan Keberanian (KPK).
Personality:
Masih bujang. Ceria dan yakin diri serta suka bertanya itu ini
Age: 25
Eyes: Hazel Size: 5' 9" Hair: Perang
Senjata Peribadi:
Pistol: Vektor SP1
Raifel tempur peribadi : mesingan FN Minimi


Sarjan Radit a/l Asoi
Occupation:
10 Para (ATM)
Strengths:
Pakar Tempur jarak Dekat (CQB), Pendakian Taktikal
Weaknesses:
Cakap besar, pantang dicabar.
Biography:
Pernah terlibat dalam operasi dan serbuan malam terhadap tentera militan di Timor Leste. Pingat Kepujian Perutusan Keberanian (KPK).
Personality:
Masih bujang. Bersemangat tinggi dan menjadikan kata-kata ‘Agi idup agi ngelaban’ sebagai pegangan. Bercita-cita mahu mengahwini gadis Melayu dan sedang giat mempelajari Islam.
Age: 28
Eyes: Coklat Size: 5' 10" Hair: Coklat gelap
Senjata Peribadi:
Pistol: Glock 19
Raifel tempur: Steyr AUG


Koperal Imran bin Arshad
Occupation: 
VAT 69 (PDRM)
Strengths:
Pakar peledak
Biography:
Dua kali operasi menyelamat tebusan dan mematikan bahan letupan di kawasan bergolak di kepulauan Mindanao, selatan Filipina. Pingat Kepujian Perutusan Keberanian (KPK).
Personality:
Sudah berkahwin dan mempunyai tiga orang anak lelaki. Sangat teliti dan sentiasa peka pada perubahan situasi di sekitarnya.
Age: 34
Eyes: Hitam Size: 5' 10" Hair: Hitam
Senjata Peribadi:
Pistol: HKP9S
Raifel tempur: Colt M4


Leftenan Muda Nizam bin Shamsudin 
Occupation:
PASKAL (TLDM)
Strengths:
Penembak tepat dan mahir tempur menggunakan pisau komando.
Biography:
Menyelamatkan tebusan penculikan dalam operasi membanteras lanun di Laut Sulu. Pingat Kepujian Perutusan Keberanian (KPK).
Personality:
Masih bujang. Sentiasa bersikap ceria dan mudah tertawa.
Age: 25
Eyes: Hitam Size: 5' 8" Hair: Hitam
Senjata Peribadi:
Pistol: Sig Sauer P226
Raifel tempur: M16A4


Koperal Johari bin Haji Daud
Occupation:
Grup Gerak Khas (ATM)
Strengths:
Pakar radio dan komunikasi.
Biography:
Terlibat sebagai anggota Pasukan Pemantauan Antarabangsa (IMT) di Jolo. Pingat Kepujian Perutusan Keberanian (KPK).
Personality:
Masih bujang. Sentiasa berwajah serius, namun hatinya baik.
Age: 29
Eyes: Hitam Size: 5' 8" Hair: Hitam
Senjata Peribadi:
Pistol: Vector SP1
Raifel tempur: M16A4


Lans Koperal Sabri bin Mohd Samad
Occupation:
PASKAU (TUDM
Strengths:
Pakar Perubatan Tempur
Biography:
Terlibat dalam misi menyelamat 1,000 pekerja asing dan rakyat Libya yang cedera dalam operasi Organisasi Migrasi Antarabangsa. Pingat Kepujian Perutusan Keberanian (KPK).
Personality:
Sudah punya kekasih. Sentiasa bersikap rendah diri namun tinggi ilmu tempurnya.
Age: 30
Eyes: Hitam Size: 5' 9" Hair: Hitam
Senjata Peribadi:
Pistol: Colt M1911A1
Raifel tempur: Colt M16A1 
____________________________________
Nota kaki : abaikan bahasa Inggeris tu... sebab saya taip dalam Writers App... belum edit... (^_^)y 

Follow Me @roseharissa

About Me

RoseHarissa

"To be perfectly clear, passing is something that has never crossed my mind. Instead of stepping forward and explaining why and prove that I'd really meant no harm, I chose to remain silent. My attitude was, if they don't get it, I don't have to explain it, which was my way of saying that if they don't get me, I don't have to explain me." ©




Random

randomposts