Tuesday, October 30, 2012

Adam Putra Iskandar bin Haji Ismail

10/30/2012
Hero baru... tapi cerita tak siap lagi. Tapi Mario Maurer dah bagi inspirasi kat aku untuk buat karektor hero baru. Dalam banyak-banyak hero yang aku lukis, rasanya muka dia nilah yang paling payah nak lukis... sebab terlampau suci, sampai tak nampak sangat shadow dan tone...waktu nilah aku kena gunakan kepandaian sendiri untuk buat shadow dan tone sendiri tanpa ikut sangat gambar.

Hero baru ni jenis anak mak... disukai mak jiran.
Tapi perempuan macam Kristal bin Abdul Hamid, tak pandang lelaki macam ni. Walhal... jenis lelaki macam Adamlah yang sepatutnya dia fikirkan menjadi suami.

Kerana apa? Kerana Kristal patut sedar, dia bukanlah perempuan yang sempurna dan perlukan lelaki yang hampir sempurna untuk membimbing dia ke jalan yang diredhai.

Persepsi anak mak ni, selalu orang anggap manja. Ya, manja memanglah manja... tapi tu kan salah satu ciri anak yang soleh? Macam Kris yang selalu salah anggap pada Adam...walhal setiap perbuatan Adam, keputusan yang dibuat bersebab.

Betullah kata pepatah, tak kenal, makanya tak cinta... dah kenal, barulah terbit rasa cinta... tinggal lagi, apakah masih ada ruang untuk Kris menempatkan diri dalam hati Adam?

Tunggu kesudahan Guy Next Door. (●´∀`)ノ♡

Al Hasan bin Ali rahimahullah pernah berkata pada seorang lelaki : “Kahwinkanlah puterimu dengan lelaki yang bertakwa kerana jika lelaki itu mencintainya maka dia akan memuliakannya, dan jika tidak menyukainya maka dia tidak akan menzaliminya.”



Monday, October 29, 2012

Cerpen : I LOVE YOU

10/29/2012
Cerpen aku tulis waktu tingkatan empat. Aku cuma taip balik dan ikut sebijik-bijik cara tulis dialog macam aku taip dulu, tanda koman, noktah, semua aku ikut balik. (kalau pembetulan pun aku betulkan ejaan aje dan nama Deana Yusof tu...)

Ini cerita budak sekolah, sebab aku terpengaruh dengan shoujo manga waktu sekolah sampai la ni...Makanya tak payahlah expect too much dari budak form 4. (^_^)y 

Ada satu lagi cerpen aku guna intro yang sama dan nama panggilan yang sama, sebab aku obses dengan nama Jojo waktu tu... lagi pulak time tu... cun pun digunakan untuk orang lelaki jugak... hahaha... Kekonon jalan cerita untuk manga tapi tak mampu nak lukis cantik2 time tu... taip ajelah guna mesin taip senior. Orang gi prep, aku duk dalam bilik curi menaip. Heh!
 
 
Dalam kelas dialah yang paling nakal. Paling kuat menyampuk masa cikgu mengajar, paling degil, paling kuat menyakat, paling lawak, paling geliga, paling bising dan…dialah paling cun dan handsome! Siapa yang tak kenal Ku Fazrul Ku Ahmad atau nama glamournya, Jojo! Entah dari mana dia dapat nama tu, sorang pun tak tahu. Tapi yang pastinya dia paling suka orang memanggilnya dengan nama itu.

Hah! Itupun dia! Dari jauh dah tersengih-sengih. Mujurlah muka tu cun, kalau tidak mesti macam kerang busuk!

“Hai, Rina… selamat pagi!” Jojo menyapa.

“Tak boleh bagi salam ke?” Edrina menjegilkan biji matanya.

“Err… Assalamualaikum Rina.”

“Ha, tau pun bagi salam… waalaikumsalam! Dah pergi main jauh-jauh!”

“Amboi! Kau ni garang sangatlah! Macam mana nak jadi awek aku…”

“Hey! Pll…leaselah! Aku pun tak ingin nak jadi awek engkau tau! Beranganlah engkau!”
“La…janganlah macam tu…aku-“

“Hai, Jojo!” Jojo menoleh. Pendi dan Ajin menghampiri.

“Dahlah, aku blah dulu. Malas aku layan orang sewel macam kau ni!” Edrina berlalu meninggalkan Jojo yang masih terkebil-kebil.

“Woi! Dahlah tu…tak habis-habis engkau ni. Dah tak ada orang lain lagi ke? Kalau aku, sorrylah nak layan awek macam Edrina tu, ganas semacam je! Hish! Tak selera aku!” Pendi merungut.

“Eh! Dia tu cun apa! Taraf Deanna Yusof Elfira Loy tu. Cuba kau tengok dia betul-betul sebagai seorang gadis, menariklah dia tu…” Jojo masih lagi tidak mengalihkan pandangannya daripada melihat Edrina yang sedang berjalan masuk ke kelas. 

“Entahlah Jojo, tak faham aku dengan taste engkau ni. Ha! Lupa pulak aku, ni…ada surat untuk engkau,” Ajin menghulurkan sepucuk surat bersampul biru.

“Dari siapa ni?” Jojo segera mengoyakkan hujung sampul surat tersebut. Kemudian membaca isinya satu persatu. Jojo tersenyum sendirian.

“Ooo…dari Dolly rupanya…eh! Dia ada cakap apa-apa tak kat engko?”

“Nak cakap apalagi, dia suruh bagi surat ni kat engkau lepas tu dia kirim salam banyak-banyak kat engkau.”

“Lebih baik kau layan si Dolly ni Jojo. Buat apa nak lepas peluang? Orang tengah offerkan diri, apalagi, terima ajelah!” Pendi mengenyitkan mata ke arah Ajin. Ajin cuma menganggukkan kepalanya. 

“Tak bolehlah,.. Edrina tu aku nak buang ke mana?” Jojo menggigit ibu jari kanannya.

“Iskh! Engkau ni tak habis-habis dengan Edrina. Macamlah dia tu nak sangat layan engkau. Ambik Dollylah, dia tu feminin sikit…” Ajin memeluk bahu Jojo.

“Nantilah aku fikirkan…”

“La…nak fikir apa lagi? Si Dolly tu dah lama tunggu engkau. Kesian aku tengok dia.”

“Sudahlah. Malaslah aku nak fikir pasal ni. Jom blah pergi kantin.” 

Pendi dan Ajin cuma mengekori Jojo tanpa banyak soal kerana mereka tahu Jojo dengan rela akan membayar untuk mereka. 

“Jom kita duduk kat situ!” Jojo mula mengatur langkah sambil menatang pinggan dan gelasnya.

“Cis! Dekat Edrina? Tak ada tempat lain ke engkau nak duduk?” Ajin merungut. Jojo cuma menjeling. 

“Kau tak nak pergi sudah! Biar aku temankan dia. Dia duduk sorang je tu.” Jojo terus berjalan menuju ke arah Edrina. Mahu tak mahu, Ajin dan Pendi terpaksa menurut.

“Hai, Rina…sorang aje?” Jojo menyapa sambil melemparkan sebuah senyuman semanis mungkin. Edrina menjeling sambil mendengus geram.

“Habis tu kau nampak aku ni berdua? Pakailah otak sikit!”

“Engkau ni tak pernahnya nak berlembut dengan aku. Boring betullah macam ni..!”

“Dah tau aku ni tak lembut, buat apa kau kacau aku? Pergilah sana! Aku tak suka kau buat macam ni tau tak?”

“Hai, Jojo! Boleh aku duduk kat sini?” Semua menoleh. Kelihatan Dolly sudahpun melabuhkan punggung di sebelah Jojo.
 
“Kau dah dapat surat aku?” Dolly bertanya dengan penuh manja. Edrina mencebik, meluat.

“Dah! Terima kasihlah…err..kau free tak petang ni? Kalau free, jom kita keluar baandar,” Jojo mempelawa sambil menjeling ke arah Edrina. 

“Aku tak kisah tapi tak ada orang jealous ke nanti?” Dolly memuncungkan mulutnya ke arah Edrina.

Jojo tersenyum sambil memandang ke arah Pendi dan Ajin.  

“Ala…Rina takkan jealousnya,” Pendi menduga.

“Tak adalah aku takut nanti ada orang mengamuk nanti sebab keluar dengan pakwe dia!” Dolly sengaja menyakitkan hati Edrina.

“Eh, aku ni ada makwe ke?”

“Hoi! Engkau orang jangan cuba nak sakitkan hati aku! Aku benci betul dengan perangai engkorang ni. Dolly, kau jaga baik-baik sikit mulut kau tu! Kau ingat aku ni dah tergila-gila sangat kat si Jojo ni?! Aku bukan macam kau tau, terhegeh-hegeh!” Edrina mula meradang.

“Oii! Sedapnya mulut! Eh, kau sedar sikit diri tu! Kau ingat Jojo suka sangat dekat engkau tu? Malulah sikit!” Dolly mula bangun.

“Hah! Aku tak ada masa nak berebut orang tua gila ni dengan kau! Aku kesian kat engkau tu. Dah setahun kau terkejar-kejar nak pikat Jojo! Tak dapat pun!”
“Babi sungguh engkau ni!”

“Ah! Kau yang cari pasal dulu! Nak bergaduh marilah!”

“Oii! Sudahlah tu!” Jojo menengking. “Cubalah kau berlembut sikit Edrina. Tolak ansur sikit…janganlah nak bergaduh sesama perempuan,”

“Oooo…jadi, kau salahkan akulah ni ya?!.. Too much! Baik, memang aku yang salah. Dolly ajelah yang betul. Aku ni jahat!”

“Sudahlah, Jojo marilah kita pergi dari sini,” Dolly menarik tangan Jojo. Edrina pula segera meninggalkan tempat itu. Hatinya terbakar. Benar-benar terhiris dengan perlakuan Dolly termasuk Jojo!

Petang itu, Edrina menyaksikan Dolly keluar berdua dengan Jojo. Mereka benar-benar mesra. Sedikit sebanyak hati Edrina terguris. Jojo kelihatan riang bersama-sama Dolly.

Edrina benar-benar bosan hari itu. Roomatenya entah ke mana menghilang. Edrina bersiap-siap untuk keluar. 

“Rina! Ada mesej untuk kau!” Edrina menoleh. Kelihatan Suraya berlari anak kearahnya. Suraya menghulurkan sekeping kad. 

“Siapa bagi ni?” 

Suraya cuma mengangkat bahu sambil terus masuk ke biliknya. 

HI! RINA… KAU MARAHKAN AKU KE? SORRYLAH SEBAB AKU KELUAR DENGAN DOLLY HARI TU, KELMARIN, SEMALAM DAN HARI NI. KAU JANGAN JEALOUS PULAK!
LOVE: JOJO

“Bull shit! Damn it!!!” Edrina menyumpah sambil mengoyakkan kad tersebut. Hatinya tiba-tiba panas membara. Dia memang sengaja nak menyakitkan hati aku! Dia ingat aku ni anak patung agaknya, tak de hati dan perasaan!... Blahlah engkau Jojo! Pergi mampuslah engkau dengan Dolly gatal tu!!...

Edrina duduk seorang diri di hujung padang.

“Rina!” Edrina tersentak lalu menoleh. Shit! It’s Jojo again!
“Apsal kau menyibuk kat sini?”

“Saje je… aku tengok awek aku ni dok sorang-sorang aje, jadi aku ingin nak temankan,”
“Tak payah kau temankan aku! Lebih baik kau bawak Dolly jalan-jalan!”

“Aii?.. Bunyi kau cakap macam jealous aje…”

“Aku jealous?! Tooolongg sikit! Buat apa aku nak jealous pulak? Kau bukannya pakwe aku! Aku taulah kau tu cun! Tapi kau bukan pakwe aku! Takde masa aku nak jealous-jealous ni!”

“Cara kau cakap tu macam suka kat aku je!” Jojo menduga. Terbeliak mata Edrina mendengarnya. Mukanya merah padam. Menahan geram dan malu.

“Jojo! Please…! Kau jangan nak sakitkan hati aku. Aku merayu pada kau. Janganlah kau kacau aku lagi! Aku tak mahu bergaduh dengan Dolly nanti semata-mata kerana engkau! Aku masih ada maruah sebagai seorang perempuan!”

“Ala…apa nak takut dengan Dolly tu? Dia pun perempuan jugak…”

“Ah! Aku tak faham dengan perangau kau ni Jojo! Aku benci kau! Aku tak mahu tengok muka kau lagi!” Edrina bangun, dan ketika itu, Dolly sudah pun berada di sisi Jojo. Entah dari mana datangnya perempuan tu!

Edrina terus berlalu. Kalau dia berada lebih lama di situ, tentu Dolly akan mengambil kesempatan untuk menyakitkan hatinya.

Esoknya, semua pelajar gempar apabila Jojo dilaporkan terlibat dalam satu kemalangan jalan raya.

“Rina, kau tak nak lawat Jojo ke?” Ajin bertanya kepada Edrina yang sedang asyik menyiapkan kerja sekolahnya.

“Hidup lagi ke dia? Aku ingat dah jadi arwah!”

“Iskh! Engkau ni, celuparnya mulut! Tak baik kau cakap macam tu! Jojo tu baik orangnya. Cuma engkau aje yang tak tahu akan kebaikannya…pergilah lawat dia. Dia mesti tunggu engkau lawat dia…”

“Buat apa tunggu aku? Apsal dia tak tunggu Dolly? Dolly tu kan buat hati dia… malaslah aku nak lawat orang gila tu, kau kirim salam maut ajelah kat dia!” Edrina tetap buat acuh tak acuh. Ajin mula bengang. Tanpa sepatah kata pun, Ajin menarik tangan Edrina.

“Hey! Kau nak bawa aku ke mana ni? Lepaskan tangan aku! Ajin!”

Ajin tidak menyahut. Dia terus menarik Edrina.

“Aku tak mahu pergilah! Aku nak balik!” Edrina membentak. Dia dan Ajin sudah pun berada di hospital. Ajin terus menarik Edrina. Dalam terpaksa, Edrina mengekori Ajin. Ajin menolak pintu dengan penuh hati-hati. Kelihatan Pendi berada di sisi Jojo yang terlantar di atas katil. Teruk juga keadaan Jojo.

“Jojo…kau tengok siapa datang ni…” Pendi berbisik ke telinga Jojo. Perlahan-lahan Jojo membuka matanya.

“Rina…kau datang?..” Nada suara Jojo begitu lemah. 

Edrina memasamkan mukanya. “Aku tak mahu tau tak! Si Ajin ni beriya-iya sangat heret aku ke sini! Buang masa aku aje!” Edrina menjeling tajam ke arah Jojo. 

“Rina tolong maafkan aku…aku tau aku salah…aku selalu buat kau sakit hati…”

“Dah terlantar macam ni, baru kau tahu nak mintak maaf?! Banyaklah kau punya cengkadak! Sakit ha-“

“Jojo..!..” Semua menoleh ke arah pintu. Dolly berlari mendapatkan Jojo.

“Hah! Buah hati kau datang,…bermesralah dengan dia!”

“Jojo…kau taka pa-apa?” Dolly bertanya.

“Sekejap lagi jadi arwahlah pakwe kesayangan kau tu…” Selamba sahaja Edrina menuturkan kata-kata itu. Pendi dan Ajin cuma menggelengkan kepala. Jojo memejamkan matanya. Edrina tahu Jojo terguris dengan kata-kata sinisnya itu. Maafkan aku Jojo…

“Kau memang tak ada hati perut Rina! Kau memang tak ada perasaan! Lebih baik kau berambus dari sini!” Dolly menengking Edrina.

“Eh! Kau ingat aku hendak sangat datang sini? Ini semua Ajin punya pasal beriya-iya sangat bawa aku ke sini! Aku nak balik!” Edrina terus berlari keluar. 

Jojo mengeluh kesal.

“Jojo, jangan pe-“

“Sudah Dolly…aku tak mahu dengar apa-apa lagi…tolong tinggalkan aku…” Jojo memalingkan mukanya ke arah lain. Dolly tidak dapat berbuat apa-apa. Jojo memejamkan matanya. Kau keras hati Rina…

Jojo sudahpun keluar dari hospital. Dan hari ini adalah hari terakhir untuk penggal ini. Jojo telah banyak berubah. Tidak lagi selincah dulu. Dan Edrina menyedari perubahan yang ketara ini. Dia mulai terasa kehilangan sesuatu. Dia sebenarnya telah mula jatuh hati terhadap Jojo. Siapa yang tidak terpikat bila mengenali Jojo. Tengok mukanya yang cun tu pun dah boleh buat kaum sejenis aku gila bayang… tambah pulak dengan sifat lawak dan ramahnya tu…

Hmm, aku ni dah gilalah ni. Bila nampak muka si Jojo aku rasa nak marah, tapi bila tak jumpa, rasa rindu pulak! Heh, marah-marah sayang la ni… Edrina tersenyum sendiri. 

Edrina cepat-cepat melangkah keluar dari kawasan asrama menuju ke cafeteria. Mahu mengisi perut sebelum bertolak pulang.

Sedang enak Edrina menjamu selera, Jojo menghampiri.

“Kau dah nak balik hari ni kan?” Jojo menyapa dengan nada serious. Edrina diam tidak menjawab.

“Aku tanya kau ni..!! Kenapa kau tak jawab?” Jojo mula meninggikan suaranya. Edrina tersentak. Matanya bulat merenung wajah Jojo.

“Kali ni aku tak mahu berlembut dengan kau lagi..!..”

“Eh! Engkau ni kenapa? Apa hak engkau nak marah-marah aku ni?”

“Jojo!” Terdengar suara Dolly menyapa. Jojo menepuk dahi. Edrina mendengus. Menyibuk betul dia ni! Suka potong trip orang! Mana saje ada Jojo, adalah dia tergedik-gedik..!!..

“Jojo, jom kita keluar. Sekejap lagi aku nak balik…”

“Awek kau dah datang, aku nak blah! Tak de masa aku nak kacau orang dating ni!” Edrina bingkas bangun. Jojo tidak sempat menahan.

“Rina! Aku nak beritahu kau something!”

“Kau nak beritahu aku sekarang ni kau tengah feeling dengan si Dolly tu!”

Dolly tersenyum mendengar kata-kata Edrina. Jojo mengeluh kesal…

Edrina duduk seorang diri di stesen bas. Baru tadi dia ternampak Jojo dengan Dolly berjalan berduaan. Perit hatinya. Jojo cuma memandang sekilas ke arahnya tanpa senyum. 

Jojo, kalau betul kau cintakan aku ni, cakap ajelah terus-terang… Ini tidak, kau macam main-main aje! Kalau betul kau couple dengan Dolly, tak payah kau main-mainkan aku ni…

“Boleh aku duduk?”

Lamunan Edrina terhenti. Segera dia berpaling. Sedar-sedar Jojo sudah pun duduk di sebelahnya. Terlalu hampir. Edrina menggelabah.

“Lepaklah sis, jangan gelabah pulak.”

“Apa kau buat kat sini?” Edrina bertanya garang. Jojo tersenyum.

“Aku nak hantar awek aku balik!”

“Pergilah hantar dia! Yang kau menyibuk kat sini apsal?”

“Chey, kau ingat awek aku siapa?”

“Dollylah! Siapa lagi...!..”

“Salah! Engkaulah awek aku!” Jojo tersengih. Edrina ternganga. 

“Rina, aku tau selama ni aku tak pernah cakap serious dengan kau. Aku…aku sebenarnya betul-betul sayang kat kau…!” Jojo bersuara dengan penuh tenang membuatkan Edrina hampir-hampir terjerit.

“Kau tipu! Dolly tu kau nak campak ke mana?”

Sekali lagi Jojo tersenyum. Aku dah agak dah…mesti dia tanya soalan ni…

“Rina, Dolly tu… aku tak pernah cintakan Dolly. Selama ni dia dah salah faham. Aku cuma anggapnya hanya sebagai adik angkat aku saje. Rina, I want you to know something,… you’re my first love. Engkaulah princess yang aku cari-cari selama ni…”

Edrina terasa seperti ingin menjerit. Akhirnya…

“Lega hati aku…” bisik Edrina sendirian.
What?

“Err,…tak ada apa-apa…” Edrina tersipu malu. Jojo tersenyum. Kau ingat aku tak dengar apa yang kau cakap tadi…

“Aku tau aku tak bertepuk sebelah tangan…”

“Err…bas aku dah sampai, aku pergi dulu…”

“Eh, nanti dulu!” Jojo memanggil.

“Jangan lupa contact aku kat rumah nanti!” Edrina memberitahu.

“Macam mana aku nak contact kau?” Jojo bertanya sambil tersenyum.

“Aku tau kau dah dapatkan alamat dan phone number aku!”

“Mana kau tau?”

“I just know!” Edrina melemparkan senyuman paling manis untuk Jojo. Jojo melambai tangan.

Selamat jalan Rina… till we meet again next semester… LOVE YOU SO MUCH..!..

Monday, October 22, 2012

Braces dan bentuk muka

10/22/2012
Dah lama tak update fasal braces... disebabkan ramai yang inbox dan pm kat facebook pages tu, tanya pasal braces, maka hari ni aku tulis pasal braces.
Selepas lebih kurang setahun enam bulan memakai braces (macamlah aku sorang aje yang pakai braces dalam dunia ni - sampai gedik buat entry kat blog - tapi tak kira - nak share jugak pengalaman aku). ☆~(ゝ。∂)

Alhamdulillah... dah nampak perubahan besar kat gigi dan mulut walaupun belum capai tahap 'perfect' (memanglah takkan perfect 100% - takkan boleh lawan ciptaan Tuhan). Tapi sekurang-kurangnya, gigi tak lagi terjulur keluar macam dulu. (*/∇\*)

Aku nak tunjuk dalam bentuk gambar pun tak dapat sebab tak pernah pulak nak ambil gambar dari pandangan sisi. Tapi bolehlah rujuk gambarajah kat bawah ni.


Aku malas nak lukis beriya-iya. Sekadar sketch ‘bodo’ aje untuk tunjukkan kurang lebih perubahan kedudukan gigi dari pandangan sisi. Memang macam tak caya aje, tengok gusi dah makin ke dalam.

Kalau bandingkan dengan gambar lama, mungkin orang akan kata muka aku berubah. Tapi aku rasa berubah tak banyak. Bila gigi dah tak mancung ni, aku rasa mulut kecik sikit, rahang pun nampak bersegi sikit, tapi tak banyaklah kesegiannya. Cumanya bila nak pakai tudung express yang dulunya aku phobia nak sarung (sebab dulu selalu reject pakai tudung express sebab nampak macam 'mpok minah' heeeee), kini tak lagi… hehehe…

Kalau dulu, aku suka pilih getah merah. Sekarang aku pilih getah hitam pulak, sampai doktor Chee cakap sepanjang dia pakaikan braces kat orang, ni kali pertama dia guna getah hitam. Dah pasang tu boleh pulak dia cakap... "Hmm... not bad juga warna hitam ni ye?" 



Eheh... saje, sebab merah tu selalu orang salah faham ingat cebisan cili lekat kat gigi... kalau hitam ni memang ketaralah tu getah! 


Jadi... inilah dia, muka aku selepas setahun lebih pakai braces. Haaaa... giler pesek muka aku dulu kan? Nak tak nak, aku sendiri kena admit, memang berubah muka aku dan buat aku rasa bersyukur serta, sumpah, yakinlah sikit nak bercakap atau senyum luas-luas. Takdelah rasa malu lagi berdepan dengan orang ramai...(⌒▽⌒)

(oh, ya... kalau bab kulit tu... aku tak cerah sangat sebenarnya... tapi selain tu hasil flash kamera terlebih, mungkin juga hasil makan produk berunsurkan GLUTATHIONE secara tak konsisten! Hahaha... sebab aku ni rajin beli vitamin, makannya selalu lupa! Ngeee!)

Jadi, kepada yang tanya aku dengan nada kurang yakin nak pakai braces tu... aku harap perkongsian kali ke berapa ni, akan buat korang lebih yakin nak pakai braces. Sakit tu... takpe... abaikan... kejap aje... tapi once gigi kau dah berubah, percayalah, kau memang rasa nak buat sujud syukur, dan dalam hati sentiasa rasa nak ucap terima kasih kat Tuhan juga kepada doktor yang gigih dan sabar menentu ukur pemasangan braces! Lagi akan tambah nilai kalau korang dapat doktor yang cermat! \(^0^)/

Wednesday, October 17, 2012

Guy Next Door - 6

10/17/2012

Aku termangu depan iMac 27 inci itu. Bukan mengadap kerja tapi membaca satu emel. Tawaran itu datang lagi setelah dulunya aku pernah tolak dengan baik. Tawaran lumayan yang memaksa aku berhijrah, meninggalkan bumi Malaysia. Aku rasa kalau orang lain mesti tak fikir panjang. Terus terima. Tapi aku tak boleh buat macam tu. 

Mak...aku risaukan mak. Sejak akhir-akhir ni mak banyak sangat termenung. Mak cakap rindu kat arwah ayah. Aku pun rindu dan pernah terselit dalam hati perasaan menyesal sebab aku tak balik Malaysia lepas habis belajar. Ayah pergi mendadak. Lima hari aku temankan ayah waktu sakit, aku tak henti mintak ampun dan maaf sebab rasa bersalah sangat-sangat. Aku kejar dunia waktu tu. Kemaruk dengan kerja yang tengah gemilang.

Haih! Kalau fikir pun memang sesal tak berguna. Penyesalan memang selalu datang lambat.
Malas nak fikir fasal kerja, aku tutup suis dan keluar dari bilik. Mak tak ada sebab Kak Long dan Kak Chik bawak pergi shopping kat Nilai 3. Lembiklah lutut mak ikut dorang berjalan. Ini dah dekat pukul 5.30, entahkan balik ke sini atau bermalam kat rumah Kak Long kat Putrajaya. Ngangalah aku sorang diri kat rumah ni...

Bosan tak ada apa nak buat, aku terfikir nak cuci Chevy Cruze warna putih aku yang jarang-jarang bergerak tu. Waktu nak tadah air dalam baldi kat tepi pagar, aku nampak Mak Cik Umi tengah merumput laman. 

Tak sempat aku nak buka mulut, Mak Cik Umi dah tegur dulu. 

"Nak buat apa tu Adam?" 

"Ingat nak basuh kereta..."

"Heh, kau ni Adam, basuh kereta selalu, tapi keluar rumahnya, payah bebenor. Pergi pasar pun kau sanggup naik basikal aje. Cubalah kau bawak berjalan ke shopping complex, tengok dunia…”

Shopping complex? Huishh… itulah tempat yang paling saya tak suka, mak cik…” Aku tak jadi tadah air. Sesekali sembang dengan Mak Cik Umi petang-petang macam ni, syok jugak!
Sudahnya aku terbalikkan baldi, jadikan tempat duduk tepi pagar sambil perhati Mak Cik Umi cabut rumput liar tepi pokok-pokok bunga dia.

“Ala… kalau tak ke situ pun, bawak-bawak keluar rumah, barulah tak berhabuk macam kereta kau yang lawa tu..."

"Lain macam aje ayat mak cik tu... Nak mengenakan saya la tu..." 

"Ha, kalau kau faham, takpe. Kau tu dah macam barang perhiasan pulak. Muka lawa tapi sembunyi dalam rumah macam anak dara. Jangan kau jadi antik macam barang kat muzium, sudah! Orang boleh tengok aje dari luar. Nak pegang tak boleh dah."

Ayat Mak Cik Umi tu buat aku terus tergelak. Itu sebab aku dengan mak suka Mak Cik Umi. Kelakar dan spontan!

"Lagi antik, lagilah mahal, makcik." Aku cuba nak berlawak.

"Ha ah kut ya makin mahal...kut-kut lagi antik, lagi tak laku. Maklum, barang antik ni ada yang berkarat, kadang ada yang mudah tercopot sana sini!"

Hahaha! Aku gelak sungguh-sungguh sampai muka rasa panas. Nasib baik aku tak berguling aje atas rumput. Nampak gaya aku memang kena surrender dengan Mak Cik Umi. Bab-bab buat joke ni memang aku fail.

"Adam...kau tau kan, mak cik dengan pak cik nak pergi umrah minggu depan..."

Muka Mak Cik Umi tiba-tiba jadi serius. Aku pun automatik rasa cuak tiba-tiba.

"Tau...tapi kenapa, mak cik? Nak ajak saya sekali ke?"

Mak Cik Umi tak gaya macam tak nak layan joke aku sebab dia tiba-tiba berhenti cabut rumput dan muka berkerut-kerut macam tengah fikirkan sesuatu. 

"Masa mak cik dengan pak cik kat Mekah nanti, kau tolong tengok-tengokkan Kris ya?"
"Eh?" Aku ternganga sekejap. "Dia tak ikut sekali ke?"

"Nak ikut macam mana, kalau cahaya hidayah tak sampai-sampai kat dia..."

Ya, Tuhan...tak pernah aku jumpa mak selamba macam ni. Nganga aku dibuatnya!

"Makcik! Kalau Kris dengar ni kecik hati dia nanti."

"Biarkan! Degil sangat budak tu. Nak dirotan, dah besar panjang. Tapi...tu lah...memang silap mak cik dengan pak cik manjakan sangat dia waktu kecik dulu...sampaikan cubit pun tak pernah. Mak cik ni bising mulut aje…”

Aku tak berani nak komen apa-apa. Aku anggap tu luahan seorang ibu yang risaukan satu-satunya anak yang dia ada. Anak dara pulak tu...lawa pulak tu...!

"Kau tolong tengokkan dia ya? Kalau boleh, buat report bagi mak cik tengok bila balik nanti..."

Aku ternganga lagi. Nak gelak, tapi rasa macam pelik jugak bila mendengar permintaan Mak Cik Umi. Elok-elok aku tak nak terlibat dalam urusan hidup Kris, alih-alih maknya sendiri yang cuba nak tarik aku. 

"Hisyy...tak beranilah saya, mak cik. Kris tu dahlah tengah marah kat saya... Nanti dituduhnya saya ni penyibuk pulak!"

"Eh, yang kau takut sangat kat dia tu kenapa? Takdenya dia boleh makan kau. Dia tu lagi muda dari kau, tau. Tapi muda tak muda sangatlah...nak masuk 27 dah. Kalau zaman mak cik tu dah masuk kategori andalusia tu..."

Aku terus tergelak kecil. Patutlah si Kris tu mulutnya boleh tahan. Hari-hari duduk dengan mak yang bermulut selamba macam Mak Cik Umi, hari-hari kena libas, nak tak nak sesekali kena pertahankan diri jugak, ya tak?

“Kris kan dah ada boyfriend... rasanya lagi elok kalau mak cik suruh boyfriend dia yang tengok-tengokkan...”

“Hah? Si Fandi tu?! Budak jantan tu bukannya boleh diharap pun!” Mak Cik Umi siap menonyoh-nonyoh rumput yang dah dicabut. Mesti Mak Cik Umi tengah membayangkan tonyoh muka boyfriend Kris! Jangan-jangan Mak Cik Umi ni pun ada imaginasi yang tinggi.

“Isk! Mak cik ni... macam tak suka sangat kat si Fandi tu. Kalau dah Kris suka, Mak Cik kena terima seadanya... kang tak bahagia pulak hidup diorang kalau mak cik tak restu.” Aku cuba memujuk Mak Cik Umi.

Tiba-tiba Mak Cik Umi jeling aku. Ah sudah! Terus aku katup mulut, jangan senyum! Kecik hati orang tua tu nanti!

“Kau tau, Fandi tu cuma datang time raya tahun pertama dia kenal dengan Kris. Lepas pada tu, setakat depan pintu pagar tu ajelah… tegur tidak, tanya khabar tidak… apa lagi nak ambil hati mak cik dengan pak cik. Macam tu nak suruh dia tengok-tengokkan Kris? Pentingkan diri sendiri adalah…! Takkan mak cik pulak kena terhegeh-hegeh jumpa dia sebab nak bagi restu? Adab takde!”

Aku tak terkata sebab Mak Cik Umi nampak macam marah benar bila sebut fasal Fandi. Aku nak komen pun, macam tak kena. Dah aku pun bukannya kenal si Fandi tu. Sesekali aje nampak dia hantar Kris balik, tak keluar kereta, terus cabut. Aku rasa kalau aku berselisih bahu dengan dia kat mana-mana, sumpah aku tak cam dah!

********************
Mak Cik Umi dah masuk dalam rumah. Tak solat Asar lagi katanya. Aku pulak, teruskan pelan untuk cuci kereta. Masa nilah aku suka nak membelek kereta lama-lama. Sampai tak sedar pakaian aku dah basah kuyup semuanya.

Waktu aku tengah gigih sental sport rim, aku dengar bunyi enjin kereta masuk kat rumah sebelah. Aku toleh dan nampak Swift pink tu dah balik! Tuannya pun turun dari kereta sambil menjeling kat aku. 

Mak aii… aku rasa kalau boleh keluar anak panah dari mata dia tu, mesti dah tercacak kat kepala aku. Memang jelingan membunuh! 

Aku rasa aku perlu ambil pendekatan ke arah rundingan damai. Kena cari jalan jernihkan fikiran dan prasangka Kris kat aku, supaya tak berlarutan. Lambat-lambat aku jalan ke pagar, supaya dekat sikit, dan tak payahlah dia tinggikan suara macam dia buat pagi tadi. Kalau Mak Cik Umi tak sampaikan pun tak apa, sebab aku dah dengar pesanan dia laung kat Mak Cik Umi, ‘konon dia masih marah kat aku’.

“Awal balik hari ni, Cik Kris?” Aku beranikan diri tegur dia. 

Kris pandang aku atas bawah, memang macam nak makan! 

“Eh? Salah ke balik awal? Saya kena punch card kat rumah awak ke?” 

Dush! Sinis betul si Kris ni. Kalau aku balas, agak-agak, menangis tak dia? Heh!

“Tak adalah…biasanya lepas Isyak baru nampak awak balik…”

Baru sebaris aku bagi ayat, mata Kris dah mula bulat. Macam cucuh api kat minyak aje. Kejap lagi mesti dia jadi naga! Hahaha...

“Amboi…amboi…” Kris dah mula cekak pinggang, dongak pandang aku macam Tun Teja nak ajak bersilat.

“Dahlah tak kerja, memerap kat rumah, sekarang, suka jaga tepi kain orang pulak ya? Itulah… berkawan lagi dengan mak cik-mak cik… ha…perangai pun dah jadi kaypochi, tak padan dengan lelaki!”

Pedas jugak kata-kata Kris tu. Tapi dia sedar tak, mak cik-mak cik yang dia cakap tu, mak aku dan mak dia sendiri? Haih! Agaknya dah memang takdir, aku dengan Kris ni tak boleh berbaik walaupun berjiran. Kalau tak, takkan selama lima tahun ni, kami bertahan tak bertegur sapa. 

“Siapa pulak kata saya tak kerja?”

“Dah memang awak tak kerja pun, kan? Kalau kerja, taklah awak sentiasa ada kat rumah mak awak tu, 24 jam sehari, tujuh hari seminggu! Ada kereta rare pun kalau setakat buat perhiasan aje, tak guna, bro! Jangan-jangan minyak pun tak mampu nak isi, kan?” 

Huih, memang jenis tak nak kalah dia ni. Siap tau pulak Chevy Cruze ni agak rare, jika dibandingkan dengan kereta-kereta brand lain yang seangkatan harga dan kelas sepertinya.
Tapi kalau bab kerja tu, aku rasa, aku perlu tune sikit otak dan cara pemikiran Kris. 

“Cik Kris… yang namanya kerja tu, tak semestinya kena keluar rumah pagi-pagi, redah jam sampai stress, balik lewat malam macam awak! Jangan ortodoks sangatlah, Cik Kris…” Tapi aku malas nak bongkar apa kerja aku. Kalau cakap pun tentu dia tak percaya punya!

“Heee! Awak ni kan! Saja nak buat saya marah lagi kan? Lagi eloklah kalau kita tak bertegur sapa!” 

Kris hentak kaki dengan mulut cemburut. Eheh! Comel sungguh! Takde nak kontrol ayu! Orang mesti tak percaya umur dia dah nak masuk 27 tahun. Kalau pakaikan baju sekolah menengah, mesti orang ingat dia sweet 17! Heh, otak aku dah mula melantur! :)

“Eh, kenapa? Awak dah tak marah saya lagi ke tadi?” Aku buat-buat blur. Cuba kuis imaginasi ala komik dari ganggu konsentrasi aku nak selesaikan konfrontasi tak kasat mata yang dah berlanjutan selama 5 tahun dengan Kris. 

“Yelah! Pagi tadi, waktu dapat bunga dari pasu mak awak tu, dapat kad comel tu… saya dah malas nak fikir fasal awak. Saya berazam, saya takkan marah awak semula selagi bunga-bunga tu tak layu!”

“Heh… maknanya, lepas semua bunga tu layu, awak akan marah saya seperti azali, ya?”

“Yelah… dan awak patut bersyukur, saya siap dah ikat dengan panadol kat hujung tangkai bunga-bunga tu sebelum letak dalam pasu. Jadi, sekurang-kurangnya akan ambil masa lebih seminggu untuk bunga-bunga tu layu. Kan lama jugak tu sebagai tempoh kemaafan buat awak!” 

Aku tak dapat nak tahan diri dari tergelak kecil mendengar ayat Kris tu. Agak sengal jugak jawapan Kris. Manalah dia dapat idea letak panadol pada bunga sebab tak nak bagi layu? Dia betul-betul macam watak perempuan dalam shoujo manga!

Muka Kris makin masam bila tengok aku masih gelak-gelak kecil. Marahlah tu!

“Tapi sekarang saya…”

“Tapi sekarang, awak marah saya balik sebab awak stress tak dapat jumpa boyfriend awak, kan? Sebab tu awak balik awal hari ni, kan?” Aku cantas cepat-cepat ayat Kris tu. Sebab aku tak nak dia terus racun fikiran dia sendiri, kaitkan kemarahan tak tahu hujung pangkal dia tu dengan diri aku yang tak bersalah ni.

Kris dah tak menjawab. Mula-mula aku ingat nak ukir senyuman kemenangan. Tapi bila aku nampak mata dia dah berkaca-kaca, aku terkedu. Ah, sudah! Dia nak menangis ke? Ke dia ni jenis cengeng? Iskk!

“Awak kejam!” 

Lepas cakap macam tu, aku nampak airmata Kris pun berderai, terus berlari masuk rumah. Tinggal aku ternganga tak percaya kat pagar sempadan rumah. 

Bila Kris dah hilang dari pandangan mata, baru aku tersedar dan tunjal dahi sendiri. 

Astaga! Aku betul-betul dah buat Kris menangis!

Monday, October 15, 2012

Pageviews reset to zero!

10/15/2012

Mula-mula tengok blog ni punya overview, rasa nak macam dagu jatuh ke lantai... rasa nak hantuk kepala ke dinding... nak hogah komputer pun ya...gila! ((((;゜Д゜)))

Pageviews yang dah beratus ribu, tiba-tiba jadi kosong dalam sekelip mata! 。゚(゚ノД`゚)゚。

Huwaaaa... ingatkan ni salah aku sebab malam tadi gatal godek-godek HTML... tapi bila google... rupa-rupanya orang lain, maksudnya satu duniaaaa...alami masalah yang sama. Haih!

Mula-mula ingat nak berhijrah dah sebab dah sakit hati... dan mula usha-usha Wordpress... yelah, alang-alang jadi 0, baik pindah platform...

Tapi setelah muhasabah diri, aku baru aje berpenat lelah, bersengkang mata (maklumlah...agak buta IT jadi kena baca kod HTML satu-satu...) customized kan blog ni dari template, aku pun baru aje register dengan Disqus untuk platform komen yang baru... dah buat synchronization pun dengan komen2 lama... maka, aku menabahkan diri. o(╥﹏╥)o

Harap-harapnya ni semuaaaa...cuma masalah temporary.... (。-_-。)

UPDATE 12:06 pm:  Yeah... dah okay balik pun... nasib baik! \(^0^)/

Sunday, October 14, 2012

Guy Next Door - 5

10/14/2012
“Kau ni kenapa Kris?"

Aku angkat muka tapi tangan masih menyuap bihun goreng ke mulut. "Apa kenapa?" Kemudian aku pandang muka abah yang tengah khusyuk baca surat khabar. 

"Eh, budak ni...kita tanya dia, dia, dia tanya kita balik! Muka kau tu! Pagi-pagi lagi dah masam time menghadap rezeki, kenapa?"

"Mana ada apa-apa!"

"Kau jangan nak kelentong akulah Kris... Kau putus cinta dengan boyfriend kau tu ke?"

Bihun yang separa lumat dalam mulut, nyaris tersembur keluar. Perghh! Mak memang tak agak-agak bila buat andaian. Rambang sungguh!

"Mak ni...macam suka sangat kalau orang putus dengan Fandi! Orang ni tengah marah kat anak angkat kesayangan mak tu, tau tak?"

"Siapa pulak anak angkat aku?"

"Eh, eh, mak...buat tak tau pulak ye? Siapa lagi kalau bukan si Adam tu!" Sengaja aku muncungkan mulut ke arah rumah sebelah.

"Oooo...Adam ke? Dah tu, kau marah kat dia tapi yang kau tunjuk muka tonyok tu kat mak, kenapa? Pergilah tunjuk depan dia!"

“Mak ni... macam dah mencabar orang pulak! Kang orang malas balik rumah ni lagi baru mak tau!” 

“Eleh... lama manalah kau tak nak balik rumah ni? Mana kau nak pergi? Habis kuat pun kau lari rumah si Mia. Tak dan midnight pun kau dah terpacul balik kat rumah ni...” Mak siap gelak-gelak. 

Sumpah, aku rasa tercabar. Tak lalu lagi nak makan bihun mak yang sedap tu. Baik aku pergi kerja, tapau
Sausage McMuffin with Egg dari McD! Abah pulak aku tengok dah kulum senyum. Nampak sangat sedang tahan gelak. Abah memanglah tak banyak cakap, tapi nanti bila aku dah keluar, adalah benda fasal aku, abah dengan mak buat modal bercerita. 

“Nak pergi kerja dah!” Walaupun bengang dengan mak, aku tetap salam cium tangan mak. Kang tak berkat pulak kerja hari ni kalau aku tunjuk protes! :P

“Kerja elok-elok.” Pesan mak sebelum sambung cuci pinggan. Aku cuma mengangguk sambil salam tangan abah pulak.  

Apabila aku buka pintu depan, perkara pertama yang aku nampak adalah Swift kesayangan aku. Tapi aku terpaku sekejap bila tengok ada jambangan bunga atas bumbung kereta aku tu. Siapa pulak yang letak? Takkan pagi-pagi ni dah ada orang buat delivery bunga?

Lepas sarungkan kasut, aku cepat-cepat mendekati kereta dan capai jambangan bunga tu. Bila tengok bunga-bunga tu aku jadi pelik. Memanglah bunga mawar hidup tapi gubahannya macam bukan dari kedai bunga! Siap ada kad buatan sendiri lagi!

Bila buka aje kad tu, aku terkejut. Ada kartun.

 

OMG! Aku tak tau pun yang Adam tu pandai lukis kartun. Seriously, aku rasa nak gelak tengok kartun tu. Siap dia lukis ikan abah aku mati gara-gara aku marah ye? Baju pun baju yang aku pakai malam tadi. Nampaknya, Adam dah register kejadian malam tadi dalam kepala dia ya?

Simple aje ayat terbalik dalam kad tu. ‘Kris... saya mintak maaf – Adam.’

Tapi aku tak tau kenapa tiba-tiba aku rasa macam syok sangat dapat kad cute macam tu. Patutlah bunga-bunga tu nampak lain macam aje, bukan macam bunga kat kedai. Sekarang aku tahu, dari mana datangnya bunga-bunga tu. 

Dari pasu-pasu mak dia! Hahaha! Nasiblah ya, Mak cik Ton. Selama ni aku memang geram rasa nak pergi petik aje bunga-bunga mawar yang Mak cik Ton tanam tu. Tapi hari ni, aku dapat secara percuma dari anak dia sendiri. 

Walaupun marah, mana boleh buang bunga-bunga ni. Baik aku letak kat meja di ofis. Aku pun segera memasukkan jambangan bunga tu kat dalam kereta. Kemudian aku pergi semula kat pintu rumah.

“Mak! Nanti cakap kat Adam, orang marah lagi kat dia tau!” 

Sengaja aku laung kuat-kuat. Biar orang sebelah tu dengar. Lepas tu, aku cepat-cepat masuk dalam kereta sebelum mak muncul dan soal siasat aku. Biar mak sendiri yang soal siasat Adam! Hahaha...

*************************
“Weh! Mana kau dapat bunga-bunga ni? Mak kau tanam ya?” Mia menegur sambil cium-cium bunga pemberian Adam yang dah aku letak dalam pasu atas meja.

Aku rasa, kalau aku bagitau Mia, mesti minah tu akan terkujat-kujat. “Guy next door yang bagi...” 

“Hah?! Apa? Sejak bila pulak kau baik dengan dia?”

Haaa... kan aku dah kata!

“Sebab aku tak baik dengan dialah... dia bagi bunga tu kat aku...” Aku jawab sambil meneliti beberapa resume dalam emel untuk jawatan setiausaha baru bos aku. 

So... maknanya apa? Dia nak mengorat kau ke sampai bagi-bagi bunga ni?” Ayat Mia memang tak boleh blah! Asyik nak bersangka buruk aje kerjanya. 

“Asal lelaki bagi bunga aje, maknanya dia nak mengoratlah ya?” 

“Yelah... selalunya perempuan kan suka bunga?”

“Dah! Dia bagi aku bunga sebab malam tadi aku marah dia... tu aje. Aku dah tak tahan mak aku asyik puji dia melambung-lambung. Silap-silap aku rasa kalau Adam tu baby lagi, mau mak aku timang-timang agaknya.”

Mia tiba-tiba ketawa. “Payahlah kalau mak kau lebih suka anak jiran sendiri berbanding calon menantu. Bawak bertabahlah ya, Kris.”

Aku jeling, pura-pura marah. Dahlah sampai sekarang aku tak tau kenapa Fandi masih matikan telefon. Aku pulak jenis, malas nak mencari sampai call ke pejabat.  

Tak sampai seminit Mia meninggalkan meja aku, telefon bimbit aku berbunyi. Macam kilat aku sambar sebab ingatkan Fandi yang hantar SMS. Rupanya bukan dan aku macam tak percaya bila baca SMS tu.

Awak masih marah saya ya? – Adam 

Aku tak tunggu lama untuk balas, sebab terkejut dan tak sangka dapat SMS dari jiran tetangga. 

Hey, dari mana awak dapat nombor telefon saya yang P&C ni?

Dan tak sampai seminit, SMS tu berbalas.

Saya mintak dengan mak awak lepas dia sampaikan pesan awak tadi. Kenapa awak masih marah saya?

Aku tak terkata. Bengang jugak sebab mak suka-suka hati aje bagi nombor telefon aku kat Adam. Tapi kagum juga, sebab Adam kira gentleman la tu, mintak direct dengan mak! Huh! Lagilah mak suka!

Sebab awak bagi bunga yang mak awak tanam. Kedekut!
Maaflah... saya tak tau nak bagi apa. 
Macam mana awak letak atas kereta saya?
Pukul tiga malam tadi, saya curi panjat pagar rumah awak! 

Aku ternganga. Pukul tiga pagi? Waktu semua orang tengah tidur. 

Awak gila ya? Orang time-time tu buat solat tahajjud. Tapi awak panjat pagar rumah jiran! Non-sense!
Tak apa... lepas tu memang saya buat solat tahajjud siap dengan solat taubat, mintak ampun kat Tuhan :)

Aku tak tahu nak cakap macam mana perasaan aku bila baca SMS Adam tu. Rasa pelik, ya... tak sangka pun ya, kelakar pun ada! kira Adam ni pandailah mem’variety’ kan perasaan orang— aku secara khususnya.
Awak kat mana ni? 
Sengaja aku tukar topik. Alang-alang orang tu dah hantar SMS, biar aku layan aje! Lelaki kan suka perempuan melayan. Am I flirting? A bit! Hahaha...


Kat rumah.

Hey? Awak ni memang tak kerja eh? Tak malu ke dah besar panjang macam tu, masih berkepit dengan mak? Perempuan nak dekat pun takut, tau! Sampai ke tualah awak takkan kahwin!
Niat hati aku hantar SMS macam tu, kira-kira nak smash dia balik. Sebab selama ni aku duk menyimpan aje dalam hati bila mak puji-puji 'penganggur' kehormat macam Adam ni...
Biarlah... perempuan bila-bila pun boleh dicari. Isteri kalau cerai, boleh nikah lagi. Tapi mak kandung... satu dalam dunia. Tak ada galang gantinya!

Zappp! Last-last aku yang rasa macam kena caras bila baca balasan Adam tu. Tak semena-mena aku terkenangkan Fandi. Rasa macam déjà-vu sebab Fandi pun pernah cakap kat aku ayat yang lebih kurang sama. Sebab, Fandi pun juga mummy’s boy. Apa-apa keputusan, Fandi akan dahulukan mummy dia walaupun dia kata dia sayang aku setengah mati. 

Kalau awak masih marah... saya mintak maaf. 

SMS Adam tu, tak aku balas lagi sebab hati aku tiba-tiba jadi haru-biru teringatkan Fandi. Padahal, hari Ahad tu, aku memang keluar dengan dia. Dan dia nampak macam okey aje. Jalan pun tak pernah lepas dari pegang tangan aku. 

Tapi... agaknya, Fandi tiba-tiba lesap ni, sebab mummy dia kut? Hati aku mula tak keruan...

Thursday, October 11, 2012

Guy Next Door - 4

10/11/2012
Dah sejam sejak Kristal masuk ke dalam rumah. Tapi aku masih terkebil-kebil duduk dalam gelap kat beranda. Masih terkedu. Kristal mungkin tak nampak sangat muka aku tapi aku dapat tengok dengan jelas muka dia yang cute tu tiba-tiba berubah menjadi marah, ‘cengey’ giler! 

Nasib baik waktu tu aku duduk tinggi setingkat dari dia. Aku rasa kalau Kris tu ada dalam bentuk naga, tentu dah rentung aku ni kena sembur dengan api dari mulut dia. Gaya dia marah tadi pun dah macam ahli sihir yang murka. Tinggal lagi dia tak ada tongkat sakti aje untuk sumpah aku jadi katak ke, monyet ke... 

Hahaha...melebih pulak aku ni... Sebenarnya aku pun tak tahu kenapa bila aku tengok Kris (maksud aku tengok secara curi-curi—ikut tingkap bilik kerja—setiap kali aku dengar suara dia...(^_^)7), aku selalu bayangkan dia macam watak gadis comel dalam komik! 

Memanglah Kris tu kasar. Cakap dengan mak dia pun macam cakap dengan kawan aje... Memanglah Mak Cik Umi ada cakap Kris tu pemalas, dan Mak Cik Umi duk puji aku ni rajin mengalahkan anak dara. Tapi Kris kan anak tunggal? What do we expect from that?

Aku ni lainlah. Anak bongsu, the one and only son dalam keluarga. Atas aku pulak semuanya kakak-kakak. Dah terbiasa tengok kakak-kakak mengemas, memasak sampai aku pun kadang terikut sama. Tapi tak bermakna aku jantan patah okey! Haa...

Aku sebenarnya suka tengok cara Kris dengan mak dia. Itu yang membuatkan dia nampak comel kat mata aku. Suka jugak tengok dia time-time merajuk dengan mak dia. Mesti kat kolam ikan abah dia tulah dia buat port sambil bercakap kat handphone dengan boyfriend dia. 

Confirmlah bercakap dengan boyfriend sebab lepas tu mesti Kris terus bertukar ceria dan masuk balik dalam rumah sambil nyanyi-nyanyi dengan riangnya. Selalu aku senyum sendiri. Dah jadi macam hiburan pulak bagi aku bila kepala rasa ketat hadap skrin komputer non-stop.   

Hish! Kalaulah dia tau aku selalu curi tengok gelagat dia, masak aku kena sembur dengan dia macam dia sembur aku tadi. Tapi, sumpah, aku tak sangka pujian-pujian Mak Cik Umi terhadap aku selama ni, buat Kris pulak tak senang dalam diam kat aku. Patutlah Kris pandang muka aku ni pun macam tak hingin aje. Ingatkan aku ni hodoh sangat kat mata dia…

Suara emak terbatuk-batuk, buat aku tersedar dari mengelamun. Cepat-cepat aku masuk dan mendapatkan mak. Ingatkan mak dalam bilik, rupanya baru nak naik tangga. Susah payah mak pijak anak tangga sebab kaki kanan mak sakit. Aku pun segera menuntun mak berjalan sampai ke bilik.

“Mak, kenapa tak tidur lagi? Kan dah lewat ni?” 

“Kamu tu, jangan jadi kelawar sangat. Muda-muda ni memanglah nampak sihat, besok kalau dah tua, bini kamu jugak yang susah...” Mak berbalik bagi nasihat kat aku pulak. 

Aku tertegak pandang mak sambil senyum. “Hai, mak? Pandai mak corner ‘baring’ masuk topik tu ye?”

Mak mengerling dengan senyum mengenen. “Habis, cakap berkias dah tak jalan dengan kamu tu, dik.”

“Ala... kalau mak cakap direct pun, sia-sia jugak. Calon isteri pun tak adaaaa...” Aku sengaja tekan ayat terakhir. 

“Bukan tak ada... tapi kamu tu yang memilih yang bukan-bukan. Nak bini macam watak dalam komik! Mak taulah kamu tu dulu pernah jadi mangaka tapi, apa kamu ingat dunia ni sama macam dalam manga ke?”

Aku dah tak tahan, terus gelak terkekeh-kekeh sambil hati-hati membantu mak baring atas katil. Rupanya mak ingat lagi azam mengarut yang aku buat zaman-zaman lepas SPM dulu.

“Mak ni... sampai ke situ pulak. Saya cakap nak isteri macam watak dalam komik sebab saya tak jumpa perempuan yang sesuai jadi isteri saya... saya nak isteri, mak... bukan bini!” Aku berkata dengan bersungguh-sungguh. 

“Sama ajelah bini ke isteri ke...”

“Isk... lain mak... bukan setakat ejaan aje lain... tapi pada saya maksud tu pun dah lain. Bila sebut bini, macam tak elok sangat bunyinya... macam...hmm...” Aku terdiam sebentar, mencri-cari ayat yang sesuai. 

Mak pandang aku dengan mata terkelip-kelip, dahi berkerut berlapis-lapis. 

“Bila sebut bini tu, saya bayangkan macam lelaki tu, setakat kahwin, tidur dengan perempuan tu dan lepas tu tak peduli apa. Tapi kalau isteri ni bunyinya lebih sopan. Macam perempuan tu sangat berhemah, santun, tertib menjaga rumahtangga...haaa...macam tu!” Aku tersenyum lebar memandang emak.

Tapi emak menggeleng-gelengkan kepala. “Hishh.. susah cakap dengan kamu ni. Ada ajelah alas an. Mak nak carikan calon, kamu tak nak...”

“Mak...” Aku potong cakap mak sambil tarik selimut sampai paras dada mak. Bila mak diam, baru aku sambung balik bercakap. “Biar saya yang cari sendiri, mak... sebab hanya saya yang boleh uji samada perempuan tu layak ke tak jaga saya sebagai suami. Paling penting, pandai tak dia jaga mak, ambil hati mak, dan hormat mak...”

“Hmm... itu pun kalau dia sempat jaga mak...” 

Ayat mak tu buat aku tersentap. Mulalah tu, mak nak bercakap pasal kematian! Aku tak suka sungguh nak dengar mak kaitkan soal mati, walaupun mati itu pasti! Yang menjadi persoalan sebenarnya adalah urusan hidup di dunia yang banyak sangat pancaroba ni.

“Mak... jangan fikir fasal tu lagi ya?” Aku tepuk-tepuk sayang bahu mak. “Insya ALLAH Taala...kalau ada jodoh, saya bawaklah dia kat rumah ni... Mak tidur ya? Mimpi yang indah-indah ya, mak? Sayang mak!” 

Aku tunduk cium dahi mak. Rutin aku setiap malam sejak sekolah rendah. Tak kiralah siapa yang masuk tidur dulu. Kalau aku tak cium dahi mak, memang aku gelisah tak boleh tidur. Rasa macam ada benda missing!

Bila mak mula pejam mata, aku keluar dan tutup pintu bilik mak. Rasanya aku pun nak tidur jugak. Kepala aku dah sengkak lepas submit packaging artwork ke Macworld, sebelum maghrib tadi. Dah tu, tak pasal-pasal pulak kena marah dengan awek rumah sebelah. Haih!

Tapi sebelum tidur, aku turun ke bawah. Nak pergi kunci pagar dan pintu masuk rumah.

Lepas kunci pintu pagar, aku terpandangkan Suzuki Swift Kris. Terus aku terbayang balik muka marah Kris tadi. Tak semena-mena aku mengeluh lalu bersandar pada tiang porch  sambil terus memandang Swift pink itu seolah-olah aku sedang bertentang mata dengan Kris. 

Rasanya aku perlu mintak maaf kat dia kalau dia rasa aku ni dah banyak menyusahkan dia walaupun aku ni takde ada kaitan langsung dalam urusan hidup dia. 

Tapi… macam mana aku nak mintak maaf kalau muka aku pun dia tak sudi nak pandang? Tak sanggup pulak aku nak pergi ketuk pintu rumah dia, merayu minta maaf macam aku dah buat dosa tak terampun!

Lagi tak logik kalau aku ajak dia keluar makan-makan semata-mata sebab nak mintak maaf!

Isk… kenapa tiba-tiba aku rasa macam nak mengorat Kris pulak?

Follow Me @roseharissa

About Me

RoseHarissa

"To be perfectly clear, passing is something that has never crossed my mind. Instead of stepping forward and explaining why and prove that I'd really meant no harm, I chose to remain silent. My attitude was, if they don't get it, I don't have to explain it, which was my way of saying that if they don't get me, I don't have to explain me." ©




Random

randomposts