Tuesday, April 15, 2014

HEART FROM HEAVEN



Haiy dan Mina...sahabat dari bangku sekolah rendah. Mina ingat lagi, waktu darjah dua, dia berpindah ke sekolah baru. Ketika berjalan bersama rakan baru menuju ke kantin pada waktu rehat, Mina terlihat beberapa orang budak lelaki membuli seorang budak lelaki.

"Hey! Kamu semua! Jangan ganggu dia!" Mina bersifat berani, menerjah dan menghalang dengan tangan mendepang di hadapan budak-budak lelaki itu.

"Eh, budak baru, jangan berlagak di sini ya! Ke tepi! Kami nak ajar si lembut tu supaya jadi jantan!"

"Tidak! Jangan apa-apakan dia lagi atau aku akan laporkan kepada cikgu setiap perbuatan jahat kalian!" Mina mengugut.

Semerta mereka semua cabut lari. Dan Mina berpaling menghadap budak lelaki itu. Mina terpegun seketika melihat budak lelaki itu berwajah lembut, putih kulitnya nyaris membuatkan dia terlihat seperti budak perempuan dalam seragam sekolah lelaki.

"Nama kamu siapa? Kamu boleh panggil aku Mina..." Mina menghulur tangan.

"Panggil aku Haiy..." Dengan gemalai, budak itu menyambut huluran tangan Mina. 

Mina terlopong, tetapi tetap membantu Haiy bangun. Rupa-rupanya tak hanya memiliki wajah cantik, Haiy malah punya perwatakan lembut dan sangat sopan.

Sejak itu Mina mula rapat dengan Haiy. Benar, Haiy lembut macam perempuan... tapi Haiy yang selalu membantu Mina setiap kali tidak faham ajaran guru.

"Banci! Mina tak malu berkawan dengan banci!"

"Diam! Mengapa kamu memanggil dia banci?"

"Sebab dia lelaki tetapi perangai lembut macam perempuan!"

Ejekan demi ejekan... sehingga mereka membesar dan naik ke sekolah menengah yang sama. Tapi Mina tetap teguh mempertahankan persahabatannya dengan Haiy, anak si tukang jahit yang polos. Sehinggakan Mina pula yang menjadi pelindung setiap kali Haiy dibuli. Haiy biasanya hanya tersenyum dengan mata basah setiap kali dihina.

"Kamu tak boleh biarkan saja mereka semua injak maruah kamu, Haiy!" marah Mina kerana Haiy tidak pernah melawan.

"Mina... ibuku selalu berpesan, jangan bergaduh dengan orang lain. Biarlah mereka mahu buat apa pun...Tuhan kan pasti membalasnya."

Mina selalu mengeluh mendengar jawapan Haiy. "Aku bukannya suruh kamu bergaduh, tapi... kamu kan lelaki... lelaki harus gagah...bukannya bermain sudip dan kuali di dapur, atau benang dan jarum!"

"Itu cara aku membantu ibu aku, Mina..." Haiy masih dengan senyum manis, menggugah emosi Mina dari terus meleterinya. Haiy memang tidak pernah marah. Tidak pernah sekali Mina mendengar Haiy meninggikan suara kepada sesiapa pun.

Mina semakin hari, tumbuh sebagai gadis yang cantik. Haiy juga begitu. Bahkan Mina sering mengusiknya.

"Haiy, kadang-kadang aku cemburu, kerana aku rasa kamu itu jauh lebih cantik dari aku!"

"Mengarut! Aku lelaki, Mina. Lelaki. Sudah akil baligh. Kamu kenapa, ihhh? Bukan aku minta rupa aku begini. Dah Tuhan yang kurniakan, ya aku berterima kasih sajalah..." Haiy mengerling genit.

Mia terkekeh melihat gelagat Haiy. Dia paling suka melihat mata Haiy. Anak mata Haiy berkaca dengan warna coklat jernih. Bila Haiy menunduk ketika makan atau membaca... wajah itu terasa amat mendamaikan jiwa Mina... menyentuh perasaannya, buat dia rasa sayang terhadap Haiy. 

*********************

Ketika usianya 16 tahun, Mina sama seperti gadis sunti yang lain, punya perasaan terhadap lelaki. Dia ketika itu menaruh rasa suka terhadap Dani, pelajar kolej yang terletak berhampiran sekolah mereka. Haiy segera tahu akan hal itu dan dia amat mendukung minat Mina. Demi Mina, Haiy berusaha mahu bersahabat dengan Dani, bagi menyampaikan hasrat Mina kerana Mina malu. Dani itu bukan sembarangan jejaka. Selain bijak, Dani merupakan jejaka kacak dan diminati hampir semua gadis. Sudah tentu Mina merasa peluangnya sangat tipis. Manalah mungkin seorang pelajar kolej mahu memandang budak sekolah sepertinya.

Tapi Dani justeru berfikiran sebaliknya. Mina telah lama menarik perhatian Dani. Namun dia tidak senang setiap kali Haiy pula yang tersenyum kepadanya.

"Aku geli! Si banci itu tentu menaruh hati pada aku! Padahal aku sukakan Mina!" begitu kata Dani setiap kali rakan-rakannya melagakan dia dengan Haiy.

"Ah, jangan-jangan Mina dan si banci itu sebenarnya pasangan kekasih. Rugilah kamu, Dani... gadis secantik Mina jatuh ke tangan si banci... hahaha!"

Merasa diperlekehkan dan tercabar, Dani nekad mendekati Mina biarpun dia meluat melihat Haiy yang sentiasa ada di sisi gadis itu.

"Senior Dani!" seru Haiy yang terlebih dahulu melihat kedatangan Dani. Tangannya dihulur tanda mahu bersahabat. Tetapi Dani memandang dengan muka jengkel.

Tidak menghiraukan huluran tangan Haiy, Dani terus menatap Mina dan berkata, "Hai, aku Dani. Aku ingin berkenalan dengan kamu. Apa kamu sudi?"

Mina sempat melihat perubahan airmuka Haiy yang perlahan-lahan menjatuhkan tangan. Dia merasa kasihan terhadap Haiy tapi dalam masa yang sama, teguran Dani itu adalah peluang keemasan yang tidak mungkin dilepaskan.

"Err... aku Mina... ini teman baik aku, Haiy." Mina turut memperkenalkan Haiy dan secara tidak langsung telah menjelaskan kedudukan sebenar Haiy kepada Dani.

Segera senyum Dani mekar. Bermakna Mina dan Haiy tiada hubungan istimewa. Lalu Dani menjalinkan hubungan dengan Mina. Namun, pada akhirnya, Dani merasa tidak senang melihat Mina masih berbaik dengan Haiy.

"Mina... aku tak suka melihat kamu masih berkawan dengan Haiy..."

"Kenapa? Apa yang salahnya? Aku kenal dia sejak kecil..."

"Tapi aku tak suka... aku tak suka cara dia pandang aku... aku tak suka melihat kamu duduk rapat di sebelah dia..."

"Dani... Haiy itu baik...masakan aku harus pinggirkan dia?"

"Tidak! Kamu tidak patut lagi rapat dengan Haiy kerana kamu milik aku!"

Mina sebaliknya tergelak. "Dani...masakan kamu cemburu dengan lelaki seperti Haiy. Aku dan dia cuma sahabat baik, tak lebih dari itu..."

"Ya aku tahu, justeru hal itulah yang membuat aku bencikan dia. Soalnya, kamu patut tahu, Haiy hanya berminat dengan kaum lelaki. Sebab itulah dia tidak punya perasaan terhadap kamu biarpun kamu paling cantik! Dia hanya mengambil kesempatan dari kamu untuk mendekati aku!"

"Apa?!" Mina terperanjat mendengar tuduhan Dani. "Tidak... Haiy tidak begitu! Aku kenal Haiy! Dia cuma bersifat lembut tapi bukan songsang!"

"Nanti, bila kamu tahu kebenaran tentang Haiy... kamu pasti akan menyesal kerana menganggap dia sebagai sahabat baik kamu."

Mina terdiam melihat wajah sinis Dani. Namun, untuk menanyakan hal sensitif itu kepada Haiy, Mina tidak sampai hati. Haiy terlalu lembut untuk diguriskan hatinya.

Sehinggalah pada suatu hari... Haiy, dicegat di tengah jalan ketika berjalan seorang diri selepas menghantar Mina pulang. Lelaki-lelaki itu menarik Haiy ke belakang lorong. Di situ, Haiy diperlakukan seperti haiwan!

Setelah puas, mereka menyarungkan pakaian dalam wanita ke tubuh Haiy. Dalam keadaan separuh nyawa dan memalukan, gambar Haiy dirakam. Kemudian Haiy ditinggalkan begitu sahaja....tanpa belas kasihan!

*********************

Gambar-gambar memalukan Haiy itu tersebar ke seluruh sekolah. Mina hampir pitam melihatnya. Haiy tidak muncul di sekolah dan Mina pergi ke kolej dengan niat mahu mengadu pada Dani.

"Sudah aku katakan! Tapi kamu yang tidak pernah mahu percaya!"

"Di mana Haiy?!" Mina menjerit bagai orang gila.

"Entah... kalau tidak di hospital, dia pasti ada di kubur!"

"Kamu langsung tidak kasihankan Haiy?"

"Buat apa kasihan dengan orang macam dia? Dia hanya memalukan umat!"

"Kamu kejam!"

Mina berlari menuju ke hospital setelah mendapat maklumat Haiy dimasukkan ke hospital setelah ditemui oleh orang awam. Luluh rasa hati Mina sebaik sahaja melihat keadaan Haiy. Mukanya yang cantik bengkak dan lebam. Tubuhnya berbalut di sana sini.

"Haiy... aku datang..." Mina memanggil dengan suara sayu...

Dan ketika Haiy membuka mata, airmata Mina meleleh tanpa dapat dibendung lagi. Mina langsung duduk dan memegang tangan Haiy.

"Mengapa jadi begini Haiy? Apa yang telah berlaku?"

Namun Mina tersentak apabila Haiy perlahan-lahan menarik tangan dari genggamannya. Haiy menyeringai menahan kesakitan, bersusah payah cuba bangun untuk menyandarkan diri ke kepala katil. Mina bingkas mahu membantu akan tetapi Haiy sepantas kilat mengangkat tangan, memberi isyarat tidak ingin disentuh. Mina jadi hairan melihat perubahan sikap Haiy. Dingin.

"Haiy... mengapa? Apa salah aku?"

"Jangan sentuh aku, Mina... kerana semua orang menganggap aku ini manusia hina... Kamu tentu sudah melihat gambar-gambar itu, bukan?" Haiy tertunduk.

"Haiy... siapa yang buat kamu jadi begini?" Mina mendesak ingin tahu.

Haiy tidak menyahut. Tapi Mina menyedari airmata Haiy mulai menitis. Buat pertama kali, Mina melihat Haiy menangis sungguh-sungguh.

"Haiy... kalau kamu masih menganggap aku sebagai sahabat, tolong..."

"Baliklah Mina..." Haiy memotong sebelum Mina sempat menghabiskan ayatnya. "Tidak ada apa yang perlu aku jelaskan. Aku mahu berehat..." Haiy kembali merebahkan badan. Siap memalingkan mukanya ke arah lain. Mina tersinggung kerana Haiy seperti tidak ingin melihatnya lagi. 

Lalu Mina keluar dengan tangis.

Sepeninggalan Mina, Haiy langsung teresak.

"Ya...Tuhan...apa aku ini turut hina di mataMu?"

*********************

Sejak kejadian itu, Haiy menghilangkan diri tanpa khabar. Mina bagai orang hilang punca. Tidak tahu ke mana Haiy pergi. Bahkan rumah Haiy juga telah kosong. Kata tetangga, Haiy dan ibunya telah berpindah ke utara.

"Mina...lupakan Haiy. Bila dia menghilangkan diri, itu tandanya dia salah. Kamu tak perlukan dia untuk menjaga kamu. Aku ada... aku akan menjaga kamu sebaiknya..." Dani menabur janji.

Mina pasrah. Mungkin benar, Haiy tidak lagi menganggapnya sahabat...

*********************

Mina dinikahi Dani ketika usianya 19 tahun. Segalanya begitu manis di tahun awal pernikahan mereka. Tapi, takdir Allah, tak pernah ada yang bisa menduganya. Mina disahkan menghidap sakit jantung kronik, Idiopathic Cardiomyopathy, selepas melahirkan anak perempuan untuk Dani. Kemampuan jantung Mina untuk mengepam semakin menurun saban hari tanpa sebab, tanpa diketahui apa puncanya.


Dan segalanya mulai hambar...

Dani semakin berubah...dan Mina semakin merindukan Haiy...

 *********************

Tujuh tahun selepas kehilangan Haiy, Mina tidak pernah bermimpi akan bertemu lagi dengan lelaki cantik itu. Hanya ingatan terhadap kenangan lama terlipat kemas jauh di benaknya.

Ketika Mina baru mengambil ubat dari farmasi hospital dia melihat seorang lelaki mirip Haiy berjalan memasuki ruang legar. Hanya gayanya berubah...langkahnya tidak lagi gemalai. Lelaki itu terlihat ganteng dalam balutan jaket kulit, seluar kargo dan but.

Antara yakin dengan tidak, namun teruja mahu memastikan, Mina menyeru nama lelaki itu.

"Haiy!!! Abdul Haiy!"

Ternyata lelaki itu menoleh dan Mina hampir tidak percaya bila lelaki itu menyebut namanya...

"Nur Amina..."

Dan Amina gugup melihat Haiy yang 'baru'...

*********************

Haiy masih lagi berwajah cantik seperti dulu tetapi Mina dapat menangkap dengan jelas garis garis 'jantan' pada air muka Haiy. Rambut panjang separas bahunya terikat kemas ke belakang. Bahkan tubuh Haiy yang dulunya semampai kini terlibat lebih tegap dan kekar.

Parut sepanjang tiga inci menjalar di dagu Haiy.

Bikin Mina tertanya apa yang berlaku sepanjang tujuh tahun kehilangan Haiy.

Haiy tidak lagi suka merenungnya seperti dulu. Haiy lebih banyak menundukkan pandangan.

Yang masih kekal bersama Haiy adalah matanya yang jernih bercahaya dan senyum manis yang sentiasa menghiasi bibir serta bicara sopannya.

Dan selama lima belas minit duduk berdepan di cafe hospital bersama minuman, Mina yang lebih banyak menceritakan soal dirinya.

"Alhamdulillah...akhirnya... Dani menjaga kamu sebagai isteri..." Haiy tersenyum tulus.

Mina hanya mampu tersenyum hambar. Namun Haiy terbeku ketika Mina berterus-terang tentang penyakitnya.

"Sudah berapa lama?"

"Tiga tahun... aku sekarang bergantung kepada peranti HeartWare yang ditanam dalam jantung aku sementara menunggu giliran untuk menerima jantung baru. Mungkin juga menunggu mati."

Haiy terdiam dengan wajah serius. “Mati itu sesuatu yang pasti dan harus kita imani… kita semua mempunyai ajal, dan apabila tiba ajal kita, Tuhan tidak akan segerakan atau melewatkan walau sesaat pun. Tapi sementara saat itu tiba, bukan bererti kita harus pasrah, menunggu tanpa berjuang…”

Mina jadi aneh mendengar cara Haiy bercakap. Ketika tangan kanan Haiy mengangkat cawan, Mina terkejut melihat jari kelingking dan jari manis Haiy yang cuma tinggal satu ruas!

"Kenapa dengan tangan kamu?!" tanya Mina begitu terperanjat lalu cuba menyentuhnya.

Haiy yang tergamam, lekas-lekas meletakkan kembali cawan dan menyembunyikan tangannya ke dalam saku jaket.

Mina kehairanan melihat sikap Haiy yang begitu menjaga batas.

"Kemalangan kecil. Tidak perlu dibahas. Soal diri kamu lebih penting. Kamu punya anak dan suami...kamu memerlukan jantung baru."

"Ah...aku tidak terlalu berharap Haiy. Kalau sudah takdir Allah mencabut nyawa aku kerana penyakit ini, aku redha. Soalnya, Dani sudah berubah sejak aku sakit..." Mina tertunduk sebak.

Haiy memandang seketika. Kemudian dia berkata dengan tenang, "kalau tidak pun kerana dia...teruskanlah berjuang untuk hidup demi anak kamu yang masih kecil."

Patah kata Haiy itu menyebabkan airmata Mina terburai. Dia terisak. Dan entah mengapa jauh di sudut hatinya dia begitu mengharapkan Haiy akan bangun, duduk di sebelah dan memeluk bahunya, memujuknya dengan kata gurauan. Seperti suatu ketika dulu...

Namun Haiy tetap pada duduknya. Semerta Mina tersedar, tujuh tahun telah merubah segalanya. Cepat-cepat Mina menghapus airmata dengan tangan lalu mengangkat wajah.

Buat seketika, pandangan mereka berpadu tetapi Haiy lebih sigap melarikan matanya.

"Sudahlah...aku tidak apa-apa. Tapi kamu...apa yang kamu lakukan di sini?" Mina mengalih topik.

"Aku menguruskan jenazah ibu." Haiy berkata dengan tenang.

Mina terkesima. "Apa?! Ibu kamu? Di hospital ini? Bukannya dulu kamu berpindah ke utara?"

Haiy menggeleng. "Tidak... aku dan ibu hanya berpindah daerah. Ibu sakit sudah enam bulan dan dirawat di sini..."

Mina terhenyak. "Tapi kenapa aku tak pernah bertemu dengan kamu di sini?"

"Kerana baru sekarang aku ada di sini..."

Mina semakin keliru dengan percakapan Haiy. Bagai banyak perkara cuba disembunyikannya.

“Kamu… berbeza… kamu tidak seperti dulu…” komen Mina.

Haiy malah tersenyum dan tidak menanggapinya. "Alhamdulillah...Tuhan permudahkan segalanya buat aku uruskan sendiri jenazah ibu biarpun aku tidak sempat bercakap dengan ibu buat kali terakhir..."

Kata-kata Haiy bagai penuh maksud tersirat. Mina penasaran. "Haiy...apa sebenarnya yang berlaku? Kamu ke mana menghilangkan diri? Kenapa kamu berubah? Aku rindu kamu...tahu tak?"

"Aku mencari jalan menuju Tuhan...bukankah dulu aku sering dianggap hina pada mata manusia?"

Mina terkedu. Haiy tersenyum. Sekejap kemudian, Haiy bangun setelah matanya menangkap kehadiran seseorang. Dani...lelaki itu sedang merenungnya tidak jauh dari situ, dengan dahi berkerut.

"Maaf Mina, aku tak boleh berlama di sini..." Haiy beralasan. Padahal dia tidak ingin mencetuskan ketegangan.

"Tapi kamu belum ceritakan soal diri kamu. Duduklah lagi...panjangkan waktu kamu untuk aku..." Mina separuh merayu.

"Tak ada apa yang perlu aku ceritakan kepada kamu, Mina. Cerita hidupku tak menarik dan tak indah untuk kamu dengar."

"Tapi...bila kita boleh berjumpa lagi?" Mina bertanya penuh harapan.

Kali ini Haiy tersenyum sambil menatap Mina. "Kalau diizinkan Tuhan. Tapi kalau kita tidak bertemu lagi selepas ini, kita bertemu di akhirat nanti. Insya Allah. Aku pergi dulu Mina, Assalamualaikum..."

Haiy pun beredar. Mina hanya mampu tertegun memerhatikan Haiy yang pergi dengan langkah kemas teratur. Sungguh Mina tak percaya...itu Haiy...sahabatnya suatu ketika dulu yang sering dikata orang lembut dan songsang.

Mina termangu tanpa sedar Dani mendekatinya dari belakang.

"Siapa dia?" Kerasnya suara Dani, menyentakkan Mina.

"Dani...bila sampai?"

"Aku tanya siapa dia?!"

"Dia...adalah Haiy..."

Dani langsung tergamam.

*********************

Beberapa hari selepas pertemuan itu, Dani berdepan Mina yang sedang menyuapi anak mereka makan bubur.

"Mina! Haiy ada di mana sekarang?"

Mina terkejut dengan serangan soalan itu. "Aku tak tahu..."

"Bohong! Kamu baru berjumpa dengan dia, kamu tentu tahu dia ada di mana! Lekas beritahu aku!"

Geram dek kemarahan melulu Dani, Mina bangun menghadap Dani.

"Bohong! Bukankah kamu dan dia sahabat baik? Tentu dia dah mengadu macam-macam dengan kamu!"

"Mengadu? Dia hanya beritahu aku, ibunya meninggal!"

"Heh! Kalau betul tak ada apa-apa, mengapa dia melarikan diri bila melihat aku tempohari?"

"Aku tak tahu. Mengapa kamu tidak menyapa kami?"

"Aku tak mahu dekat kerana tak mahu dia menginginkan aku lagi seperti tujuh tahun lalu!"

Mina ternganga. Tujuh tahun lalu? "Maksud kamu apa?!"

"Aku menyaksikan sendiri dia bersodomi dengan rakan-rakan aku! Dia juga merayu inginkan aku!"

Mina merasa tertohok.

Namun dalam kepala Dani berkelebat peristiwa sebenar yang menjadi punca kehilangan Haiy...  Benar, Haiy merayunya...

*********************

Tapi Haiy merayu dengan airmata kepada Dani kerana cuma dia yang hanya berdiri tegak melihat perlakuan haiwan rakan-rakannya.

"Tolong...Dani...tolong aku...!" Haiy merintih, minta dilepaskan.

Dani terus menyaksikan tanpa perasaan biarpun jerit pekik Haiy berpadu dengan gelak tawa setan rakan-rakannya.

Haiy sudahnya terkulai tidak bermaya. Setelah rakan-rakannya menjauhi Haiy, Dani mara dengan kamera di tangan.

"Jauhi Mina! Atau aku akan malukan kamu dengan lebih dahsyat!" Sesudah berkata demikian...Dani meludah ke muka Haiy sebelum dia meninggalkan Haiy begitu sahaja.

Itu rahsia Dani yang disimpan kemas dari pengetahuan Mina.

*********************

"Jadi kamu nampak apa yang berlaku? Kenapa kamu tak beritahu aku ketika itu?!" Jerit Mina.

"Kerana aku tidak mahu melukakan kamu! Haiy dibelasah kerana kami mahu mengajarnya atas sifat songsangnya itu..." Dani menabur fitnah.

"Kamu kejam, Dani! Bukan begitu caranya!"

"Ah! Itu cerita lama! Sekarang aku mahu tahu di mana Haiy?!"

"Apa lagi yang mahu kamu lakukan terhadap dia? Dah aku katakan, aku tak tahu di mana dia!"

"Aku mahu serahkan dia kepada polis kerana dia adalah pengganas!" Serentak dengan itu, Dani melemparkan beberapa keping gambar ke muka Mina.

Demi melihat apa yang terpapar dalam gambar, Mina terkesima. Perlahan-lahan dia tunduk mengutipnya.

Mina terpelangah melihat gambar Haiy di satu kawasan bersalji. Lengkap berpakaian ala militari dan menyandang Pindad SS2-V1. Masing-masing ceria mengangkat jari telunjuk. Ada gambar Haiy sedang membidik sasaran di balik tembok. Gambar Haiy tercedera di atas pengusung namun masih tersenyum ke arah kamera sambil mengangkat telunjuk kanan tanpa jari manis dan kelingkingnya!

"I...ini...Haiy?" Mina tergagap, mata nanar memandang Dani mengharapkan jawapan.

"Heh, masakan dah tak kenal lelaki lembut kesayangan kau tu. Dia antara rakyat Malaysia yang dikehendaki kerana menyertai kumpulan pemberontak di luar negara!"

Mina terpanar dan mula mengaitkan perubahan diri Haiy dengan gambar yang dilihatnya. Mungkin inilah sebabnya Haiy bukan lagi Haiy yang gemalai seperti dulu? Kerana dia terlibat dengan keganasan?

"Tidak! Haiy bukan begitu! Haiy baik orangnya!" Mina tetap berusaha menafikan. Saat itu Mina merasakan dadanya sakit yang amat sangat.

"Huh! Kalau baik, dia takkan ikut kumpulan pengganas. Dia sepatutnya bertaubat dan duduk di tikar sembahyang...!"

"Cukup!"

"Apa yang dia mahu buktikan? Dia jadi jantan bila mengganas di luar negara?"

"Dani...cukuplah..." Mina tidak mampu lagi bertahan. Dia rebah.

Barulah Dani panik dan menerpa. "Mina!"

*********************

Bunyi dentuman peluru menguasai ruang udara. Serpihan tembok terpelanting ke sana sini. Dari celah runtuhan bangunan, Haiy membidik sasaran. Kehilangan dua jari, tidak melunturkan kebolehannya menembak dengan tepat.

Tiba-tiba seorang lelaki muncul dari balik bangunan bertentangan, mengelek seorang budak lelaki lingkungan usia tiga tahun. Budak lelaki itu kemudiannya diletakkan di tengah medan. Lelaki pengecut itu kemudian berlari meninggalkan budak itu sendirian, melalak meraung ketakutan.

“Laknatullah! Mereka menggunakan anak kecil sebagai umpan!” teriak Ghafur sahabat dari Pakistan, yang berdiri tidak jauh dari Haiy.

Peluru sesat menyasar ke sana-sini, namun kuasa Tuhan, anak itu bagaikan terlindung. Tapi Haiy dan rakan-rakannya sedar, mereka tidak boleh membiarkan anak itu terus di situ walaupun jelas ianya perangkap musuh.

“Haiy… Kasir, bantu aku, tembakan kalian lebih tepat. Aku akan dapatkan budak itu.” Ghafur nekad.

Haiy dan Kasir sama-sama mengangguk.

Ghafur pun melompat keluar dan meluru mendapatkan budak itu. Tiba-tiba sekumpulan pasukan musuh terdiri dari sepuluh orang menyerbu, mengepung Ghafur.

Haiy dan Kasir pantas bertindak melepaskan tembakan demi tembakan. Akan tetapi salah seorang daripadanya, yang telah pun tercedera, masih sempat menancapkan pisau bertalu-talu ke belakang badan Ghafur yang sedang memeluk erat anak itu. Haiy tidak bertangguh, dia bingkas mendapatkan Ghafur sambil melepaskan tembakan ke arah musuh yang menikam Ghafur. Kena di leher dan musuh itu rebah.

Kasir juga tidak berdiam, snipernya memuntahkan peluru ke segenap arah yang dilihat adanya penembak tepat yang cuba menumbangkan Haiy.

Ghafur berlumuran darah dan masih bernyawa. Biarpun, Ghafur menyerahkan anak kecil itu kepada Haiy dan menyuruhnya supaya lekas pergi, Haiy tidak sanggup meninggalkan Ghafur begitu sahaja. Lalu dengan segala kudrat yang ada, Haiy, pantas meraih tubuh Ghafur dengan sebelah tangannya, manakala tangan kanannya mendakap erat anak kecil itu di dadanya.

Haiy berjaya sampai ke tempat persembunyian Kasir. Tanpa tangguh, Kasir memapah Ghafur. Mereka harus segera meninggalkan tempat itu kerana sudah ketahuan musuh. Tambahan pula pertahanan mereka bertiga sudah goyah dan Haiy mendapat arahan agar mereka mundur dari barisan hadapan dan segera menyelamatkan diri.

Mereka tiba di rumah dan disambut rakan-rakan barisan kedua. Setelah melepaskan anak kecil itu ke kerusi, Haiy duduk bersandar di dinding melepaskan lelah sambil memerhatikan rakan-rakannya membantu Ghafur yang parah dan memujuk anak kecil itu.

“Haiy… muka kamu pucat… kenapa? Kamu takut?” tegur Abang Ali, rakan satu negara.

Haiy menggeleng. “Taklah… aku letih. Aku ingin berehat sebentar.”

Abang Ali pun membiarkan Haiy bersendirian sementara mereka menguruskan Ghafur untuk dihantar ke hospital berhampiran.

Komander mereka, berbangsa Arab yang baru tiba dari medan pertempuran, merasa hairan melihat Haiy duduk agak jauh dari yang lain. Melihat dahi Haiy basah dengan peluh, berwajah pucat dan bibir Haiy terkumat-kamit, Komander mula merasakan ada yang tidak kena. Dia lantas mendekati dan mendengar Haiy menyebut Lailahaillallah tanpa henti.

Komander berhati mulia itu, mendekati dan bertanya dalam bahasa Inggeris fasih. “Haiy! Kamu kenapa?”

Rakan-rakan yang lain mula memberikan perhatian kepada Haiy.

“Aku… luka sedikit… tak apa-apa...” Haiy tersenyum.

Akan tetapi mata tajam Komander segera menangkap, t-shirt hitam yang dipakai Haiy, basah lencun. Sontak Komander melekapkan tangannya dan terdiam melihat tapak tangannya basah dengan darah!

Komander menghembus nafas kesal lalu menyingkap baju Haiy. Mereka semua tergamam melihat dua lubang sedang mengalirkan darah pada bahagian perut dan pinggang Haiy. Anehnya, pemuda itu masih tetap tersenyum tenang seperti tidak ada apa-apa yang berlaku kepadanya.  

Mereka segera tahu bahawa peluru .308 Winchester rupa-rupanya telah berjaya menembusi tubuh Haiy.

Komander pantas menarik kain serban dari kepalanya dan menekapkan ke luka Haiy. “Lekas… sediakan trak! Bawa dia ke hospital!” Komander memberikan arahan.

Di dalam trak, Haiy terbaring di riba Komander. Haiy kemudiannya meminta Abang Ali mendekati. Dia mengatakan sesuatu disaksikan oleh Komander.

“Bertahan Haiy. Kamu kan kuat?” Komander berusaha memberi semangat.

“Tuan… selama ini perjuangan aku diiringi doa ibuku dari jauh. Kini ibuku telah tiada. Mungkin inilah masa untukku. Tidak mengapa, kerana aku selalu yakin bahawa mati itu tidak dapat ditolak oleh sesiapa, walaupun kalian cuba menghalang kematian daripada menjemputku sekarang. Tapi andai ini kematian yang telah ditetapkanNYA untukku, maka aku bersaksi dan berikrar bahawa tiada Tuhan yang layak disembah melainkan Allah, dan aku bersaksi dan berikrar bahawa Nabi Muhammad adalah Pesuruh Allah yang terakhir...”

*********************

Dani duduk dengan pasrah di sisi Mina yang terlantar di katil hospital. Kerana kemarahannya, Mina menanggung akibat, jantung Mina tidak stabil. Tapi untuk menanti penderma, entah bila.

“Maafkanlah aku Mina… jangan tinggalkan aku… aku masih sayangkan kamu…Maaf atas perlakuan kasar aku pada kamu... aku cuma cuba menutup rasa takut kehilangan kamu...” Dani merintih penuh penyesalan.

Doktor masuk membawa satu khabar untuk Dani.

“Mina sudah mendapat pendermanya…”

Dani bagaikan tidak percaya. “Tapi… bukankah Mina perlu menunggu giliran?”

Doktor menggeleng. “Jantung ini khas untuk Mina dan kita perlu lakukan pembedahan segera kerana jantung ini baru sampai dari Syria.”

Dani terbingung. “Syria? Siapa?”

“Kita bincangkan kemudian, yang penting, nyawa Mina perlu diselamatkan segera.”

Dani tidak membantah kalau itu yang terbaik buat Mina.

*********************

Nama : Abdul Haiy bin Abdullah

Umur : 23 tahun.

Sungguh, Dani tidak dapat menerima hakikat apabila melihat nama penderma jantung Mina. Bermakna lelaki itu sudah mati dan jantungnya telah bersatu dengan tubuh Mina!

“Bagaimana ia boleh sampai ke sini?”

“Saya tidak tahu, ia dihantar oleh seseorang yang tidak dikenali. Katanya penderma telah meninggal dunia akibat ditembak dan telah mewasiatkan jantungnya buat Mina. Saya sendiri hairan kerana jantung pemuda ini sangat sesuai dengan Mina! Tubuh Mina ternyata dapat menerimanya dengan baik sekali…”

Dani mencebik… haruslah dapat menerima jantung itu dengan baik, kerana Haiy itu perempuan yang terperangkap dalam tubuh lelaki!

Sumpah, Dani tidak menghalalkan jantung Haiy yang kini berdenyut dalam tubuh Mina. Dia jadi enggan mendekati Mina kerana baginya Mina bernyawa dengan jantung Haiy, si lembik yang bertukar menjadi pengganas!

*********************

Beberapa bulan kemudian… Mina terus hidup sihat tanpa tahu siapa pendermanya.

Suatu hari, dia didatangi oleh seorang lelaki Melayu berusia dalam lingkungan 40-an. Berkulit sawo matang dan berjambang tetapi airmukanya jernih.

Mina mempelawanya masuk tetapi lelaki itu hanya mahu berada di porch. Setelah membawakan minuman, Mina duduk, berhadapan dengan lelaki yang memperkenalkan diri sebagai Abang Ali.

“Alhamdulillah… kamu sihat sepenuhnya. Nampaknya jantung Haiy begitu padan benar dengan kamu.”

Mina tersentak. “Apa? Haiy? Maksud kamu apa?” 

“Iya… bukankah Haiy telah mendermakan jantungnya untuk kamu?”

Mina terpelangah. “Apa?! Jann…tung… Haiy?!

Kebetulan, Dani baru turun dari tingkat atas. Dia terkejut mendengar suara Mina menyebut nama Haiy.

“Astaghfirullahalazim… jadi kamu tidak tahu?”

Mina menggeleng kaget. “Saya tidak tahu apa-apa... saya sangkakan ini dari penderma biasa. Tapi... kalau ini jantung Haiy…” Mina menekap tangan ke dadanya. “…bermakna… dia… dia… dah tak… ada?” Mina mula jadi takut mahu mendengar kenyataan.

Abang Ali mengangguk. “Dia syahid. Insya Allah…”

Dani yang pada mulanya ingin menerjah bersama amarah, sontak mematikan langkah apabila terdengar perkataan syahid itu. Lalu dia hanya mampu berdiri di balik dinding menelinga perbualan mereka.

“Syahid…?! Tapi… kata suami saya… dia pengganas?” Mata Mina mulai memburam."Ada apa sebenarnya?!"

Abang Ali menarik nafas dalam-dalam kemudian menggeleng-geleng sambil tersenyum. “Begitulah pandangan orang yang tidak mengerti sepenuhnya apa itu jihad. Tak mengapa… kami sudah biasa dengan tanggapan begitu. Tujuan saya datang ke mari pun untuk menunaikan amanat Allahyarham. Ini…” Abang Ali menyodorkan satu sampul surat tebal bersaiz A4.

Mina tanpa tangguh menyelidik isinya. Dia terpinga-pinga melihat sejumlah wang terikat dengan getah.

“Duit apa ini?”

“Duit simpanan Allahyarham Haiy. Dihadiahkan buat anak kamu. Sebahagiannya telah saya serahkan ke rumah anak-anak yatim sebagaimana permintaan beliau sebelum pergi.”

Sekeping gambar terjatuh di antara helaian duit tersebut. Mata Mina terbelalak kerana menyedarinya itu gambarnya ketika darjah enam, sewaktu masih bertocang dua sedang ketawa lebar bersama Haiy sambil makan aiskrim di tepi divider. Dan tulisan di atas gambar itu cukup membuat Mina tersayat.

“Aku sayang Mina… - Haiy”

Mina teresak pilu dengan bermacam persoalan mengasak dadanya. “Jadi… abang Ali kenal Haiy?”

“Sangat mengenalnya…” Abang Ali tersenyum namun matanya terlihat berkaca tiba-tiba.

“Ceritakanlah…” Mina tersebak di hujung kata. “Ceritakanlah pada aku… kerana aku bertemu dengannya sekejap sahaja, setelah tujuh tahun kehilangannya… aku jadi semakin penasaran memikirkan dia. Aku jadi hairan kenapa suamiku menuduh dia songsang kemudian menuduhnya pengganas pula…”

“Dia sebenarnya jiran aku, tujuh tahun dulu. Waktu itu dia dan ibunya baru berpindah. Aku pada ketika itu gigih mengikuti kem jihad. Pergerakan rahsia. Bila Haiy dapat tahu, dia menyatakan hasrat mahu ikut serta. Aku jadi hairan kenapa budak selembut dia mahu memasuki kem latihan jihad. Takut aku dia tak mampu menangani latihan yang keras. Tapi sebaris ayat dia buat aku terus bawa dia tanpa ragu lagi, "Aku sering dihina dan dimalukan kerana peribadi lembutku lalu aku mahu mencari kemuliaan di mata Allah…”

Mina tertunduk sebak. Rupa-rupanya Haiy memendam rasa terpuruk sekian lama.

“Ajaib… setelah menjalani latihan, dia berubah dalam sekejapan waktu dari seorang yang lembik menjadi seorang yang nekad dan langsung tak mengenal erti takut, tak takut mati di dunia. Yang kekal pada dirinya hanya bicaranya yang sopan. Ketika dia berusia 17 tahun, aku dan dia berkunjung ke kem latihan di Afghanistan. Sejak itu, Haiy memutuskan untuk berjihad bersama para mujahidin berbagai bangsa di bawah perintah seorang komander berasal dari tanah Arab, menentang kezaliman di setiap pelusuk dunia ini demi umat Islam. Sejak itu Haiy dan aku tak pernah kembali lagi ke sini.

Haiy tidak pernah ragu untuk menyertai perang jihad, sentiasa ingin berada di barisan hadapan. Kerana itulah dia menjadi kesayangan komander biarpun masih muda. Bukan sekali dua maut cuba menjemputnya di beberapa lokasi perang yang kami kunjungi. Dua jarinya hancur terkena serpihan bom ketika cuba menyelamatkan rakan kami yang terperangkap di bawah runtuhan bangunan. Peluru sesat musuh pernah cuba mematikannya ketika kami melakukan serang hendap ke atas asrama tentera musuh tetapi tersasar mengenai dagunya.”

Mina ternganga, langsung teringat rupa paras Haiy dengan parut dalam di dagu dan dua jari kudung. Oh… jadi itulah puncanya? Astaghfirullahalazim… kenapa Dani menuduhnya pengganas?

“Kemudian kami mendapat berita, para mujahidin dari seluruh dunia, termasuk dari Negara-negara Barat, telah berangkat ke Syria untuk berjihad melawan rejim diktator. Dari Yaman kami ke Syria. Di situ, kami bergabung dengan kumpulan mujahidin lain. Biar berbeza komander dan Negara tapi kami semua punya bendera yang sama dengan satu tujuan yang sama, berbekalkan Lailahaillallah. Sebagaimana, Rasulullah bersabda, "Pilihan Allah dari bumi-Nya adalah negeri Syam, di situ ada pilihan-Nya dari makhluk dan hamba-hamba-Nya, dan akan masuk syurga dari umatku satu kelompok tanpa ada perhitungan terhadap mereka dan tidak pula ada siksaan…"

Kamu tahu, perkara yang sering menghalang perjuangan kami adalah keluarga. Ada yang dah berbelas tahun tidak menemui ibu bapa, anak dan isteri demi menegakkan Islam. Ada yang merestui dan ada yang tidak. Haiy juga begitu, melupuskan kesedihan kerana telah bertahun meninggalkan ibunya yang semakin uzur. Hampir setiap malam dia akan cuba menghubungi ibunya biarpun cuma dapat bercakap tidak lebih dari seminit. Restu ibu sentiasa bersamanya. Dia berjuang bagai singa, tapi aku sering tertangkap dia menangis seusai solat, merindukan ibunya. Alhamdulillah, Allah memberikan dia kesempatan meninggalkan medan perang untuk pulang menguruskan jenazah ibunya beberapa bulan yang lalu.”

Mina memejamkan mata… teringat kembali pertemuan itu. Hatinya semakin sebak bila mengenangkan wajah tenang Haiy. Ya Allah… singkatnya waktu itu… cepatnya masa berlalu. Tapi kebetulan itu sangat berharga dan indah untuk dikenang selamanya.

“Tapi… kalau dia terkorban di Syria… bagaimana jantungnya boleh sampai ke sini? Kenapa tidak ada berita tentang kalian?” tanya Mina dalam suara yang serak.

“Itu rahsia ketenteraan kami…” Abang Ali tersenyum penuh makna. “… sudah tentu dengan bantuan Allah juga yang memudahkan jalan agar kamu selamat menerima pemberian terakhir Haiy. Biarlah orang salah anggap perjuangan kami dan pihak tertentu memutar belitkan kebenaran sehingga kami dilabel sebagai pengganas. Kami tak perlu liputan akan perjuangan kami, cukup asal Allah tahu niat dan kenapa kami sanggup berkorban nyawa. Jalan yang kami pilih bukan untuk disanjung manusia.” Abang Ali memilih untuk tidak menjelaskan secara terperinci.

Mina merasa pedih di hati dan tangannya menyeka airmata yang tidak mahu berhenti mengalir.

“Satu yang kami semua tidak boleh lupakan tentang Haiy, biar dia berubah menjadi pemuda pemberani, tapi sifat pemalunya masih menebal dan itulah yang sering jadi bahan usikan kami setelah lelah bertempur dengan musuh. Dia, pemuda cantik yang telah menambat hati kami semua untuk menyayanginya dan menjaganya, kerana biar dia yang paling muda dan cantik tetapi dialah yang paling bersemangat mempraktiskan taktik militeri sampai terbawa dalam tidur dan mengigau dengan tangan kaki menerjang sesiapa yang tidur berhampiran dengannya.” Abang Ali tertawa dengan mata berair kesedihan.

Mina menekup mulutnya, turut tertawa pilu ketika cuba membayangkan keadaan Haiy mengigau dengan aksi tempur.

“Mungkin telah datang saat yang tepat untuk Haiy meninggalkan kita semua, menuju Tuhan, Pemilik dunia yang fana ini. Haiy terkorban di bumi pilihan Allah setelah dia berhasil menyelamatkan dua nyawa…  dia pergi dengan tenang bagaikan sedang tidur dalam pangkuan Komander kami, sebaik sahaja tiba di hospital. Dan kamu, orang ketiga yang diselamatkannya. Dia tidak pernah bercerita soal peribadi selain tentang ibunya. Tapi bila di hujung nyawa dia baru menyebut nama kamu…buat kami semua sedar, dia juga sama seperti lelaki normal yang lain… punya perempuan yang dicintai sejak sekian lama.



Mina tanpa dapat menahan perasaan, meraung sekuat hati setelah mendengar cerita Abang Ali. 

Sedang Dani terhenyak di balik dinding dengan rasa menikam di jiwanya. Betapa berat dosanya terhadap Haiy. Tapi dia tidak lagi dapat memohon kemaafan dari pemuda itu yang telah menyelamatkan nyawa isterinya. Dia sering bersangka buruk dan betapa berat fitnah dilemparkan terhadap Haiy namun tak pernah sekali Haiy mendedahkan kejahatannya kepada Mina. Sekarang Dani merasakan dirinya jauh lebih hina…entahkan terampun atau tidak oleh Tuhan…


Sementara Mina… merasa terkilan. Kerana baru sekarang dia tahu kalau Haiy menyayanginya lebih dari apa pun. Betapa tujuh tahun yang hilang itu menjadi saksi keinginan dan kesungguhan Haiy untuk mencapai kemuliaan di mata Tuhan, bukannya manusia… dengan memilih berjihad. Mungkin di dunia, Haiy tidak mampu mendapatkan Mina tapi sekarang rohnya sudah bisa tersenyum bahagia bersama bidadarinya di syurga. Amin...

Abdul Haiy, yang tinggal hanya kenangan tentang dia. Jasadnya bersemadi di bumi Syam. Namun jantung Haiy masih berdenyut tenang, memberi nafas baru kepada Mina…




 *********************

Disclaimer: Cerita ini tiada kaitan dengan sesiapa pun atau mana-mana pihak sekalipun. Saya tulis cerita ni sebagai jalan membuang emosi setelah terjebak membaca kisah-kisah dan melihat gambar-gambar perjuangan para mujahid terutama di Syria. Saya memanglah selalu macam ni, mudah sangat terbawak emosi sampai berhari-hari kalau baca atau melihat sesuatu yang menyedihkan. Sebab itulah saya selalu mengelak membaca dan menonton kisah-kisah perang sebab saya ni jenis mudah terbawa emosi.

Saya akui tak boleh menulis dalam kesedihan tapi hati meronta nak mencoret sedikit untuk melepaskan perasaan. Cumanya saya tak berani menuliskan secara detail sebab sedari diri saya ni tak dikurniakan kebolehan untuk menulis kisah-kisah perjuangan. Lagipun ilmu saya tak cukup. Maaf kalau korang baca rasa tak puas hati dengan apa yang saya tulis.

Harus diingat, apa yang saya tulis di atas dah saya adukkan dengan imaginasi dan gabungan kesedihan saya setelah mengambil tahu sedikit tentang perjuangan mereka. Hanya surface yang saya sentuh tapi cukup untuk saya faham sesuatu tentang para mujahid sejati, mereka keras dan ganas ketika memerangi musuh Islam, namun di luar dari itu, kaum mujahiddin selalunya berhati lembut, tetap punya airmata menangisi kehilangan teman perjuangan.

Betapa ketika ramai umat masa kini yang mengejar dunia, merasa bangga dengan amal jariah yang sedikit dan merasa confirm masuk syurga, sedang para mujahid memilih dan siap siaga mempertaruhkan nyawa demi menegakkan syariat Islam. Haruslah saya sendiri berasa malu dan sampai sekarang tertanya-tanya serta kagum dengan keberanian mereka.

Betapa tidak sedikit yang memandang kebendaan dan menilai manusia dari luaran. Tapi para mujahid meninggalkan hidup selesa, memilih ke medan perang. Insaf sungguh dorang berjuang dengan darah... berani.. sedia korban nyawa demi tegakkan Islam dari hanyut dengan duniawi...

Tabik dan hormat kepada para mujahid seluruh dunia…
Al-Fatihah untuk mereka yang telah gugur syahid...

Sekian terima kasih…

No comments:

Post a Comment

Follow Me @roseharissa

About Me

RoseHarissa

"To be perfectly clear, passing is something that has never crossed my mind. Instead of stepping forward and explaining why and prove that I'd really meant no harm, I chose to remain silent. My attitude was, if they don't get it, I don't have to explain it, which was my way of saying that if they don't get me, I don't have to explain me." ©




Random

randomposts