Thursday, 2 April 2020

The Alpha One - Bab 4


JINA baru selesai mandi. Setelah mengeringkan tubuh, dia mengenakan tuala microfiber boleh pakai itu jadi jubah tidak berlengan separas lutut. Kemudian melibat rambutnya dengan sehelai tuala lain. Sambil bergumam kecil sebuah lagu, dia keluar dari bilik air. Ketika mahu melintasi ruang makan, Jina tersentak. Sepantas kilat menjatuhkan tubuh dan bertinggung menyembunyikan diri.

‘Lelaki?! Aku salah tengok ke?’ Jantung Jina mendadak berdegup makin kencang. Sambil menelan ludah, perlahan-lahan, dia panjangkan leher. Mengendap dari bawah dinding. Matanya langsung terbeliak melihat susuk tubuh yang sedang berdiri depan papak konkrit. Lelaki itu sedang mengeluarkan sesuatu dari plastik.

Berdesup, Jina menjatuhkan kepala.

‘Sah! Lelaki! Ada lelaki ceroboh masuk kat tempat aku ni!’ Tidak fikir panjang lagi, Jina jalan itik kembali ke bilik air. Dia melonjak berdiri dan bergegas mengambil pengemop yang tergantung di dinding.

Dengan langkah hati-hati tanpa sebarang bunyi, Jina kembali ke ruang makan. Dari belakang, dia mendapati lelaki berjaket bomber itu bertubuh sangat tinggi. Jina anggarkan lebih enam kaki. Tanpa sebarang suara, Jina memepah belakang kepala lelaki itu.

“Aduh!” Lelaki itu terbongkok ke depan seraya memegang belakang kepalanya.

Tidak sempat lelaki itu menoleh, Jina lancarkan serangan lagi sambil berteriak sekuat hati.

“Pencuri!!!”

Hamizan yang baru dapat membalikkan tubuh, terkejut melihat penyerangnya adalah seorang gadis. Terbingung-bingung dia menepis setiap libasan mop dengan tangan kosong. Namun saat menyedari gadis itu makin gesit menyerang, dengan sigap Hamizan menangkap batang pengemop. Sekali rentap, pengemop terlepas daripada pegangan si gadis.

Natijahnya, Jina terdorong ke depan. Mujur meja makan jadi penyelamat. Sempatlah tangannya bertahan di situ. Dia menggeram.

“Macam mana kau masuk ke sini, hah pencuri?!” Mata Jina meliar ke sana ke mari, cuba cari objek lain untuk dijadikan senjata.

Hamizan melempar pengemop yang dirampasnya tadi ke lantai. “Aku bukan pencuri. Aku ada kunci.”

Jina mengernyit mendengar suara lelaki itu. Patah kata yang keluar dari mulutnya sarat dengan nada berat seakan muram.

“Mana ada pencuri mengaku dia pencuri!” Jina tolak ganas meja di hadapannya.

Sebelum meja itu mengenainya, Hamizan bergerak pantas beberapa langkah ke tepi. Hamizan mengerutkan kening, pandang si gadis. Cantik, seksi tapi ganas macam samseng!

“Aku baru sewa bilik sebelah bilik kau.” Hamizan cuba menjelaskan dengan suara tenang.

Jawapan itu malah buat Jina makin tertantang. Wajah lelaki itu langsung tidak menyiratkan sebarang kecemasan. Serius tapi tidak menunjukkan tanda akan balas menyerang atau ketakutan kerana kantoi.

“Penipu! Tak ada sesiapa pun boleh sewa bilik tu tanpa izin aku! Ini kawasan aku!”

Hamizan kebingungan dan tidak sempat fikir panjang. Gadis itu berjaya capai pisau dari tempatnya di atas papak. Mata Hamizan membeliak. Nampaknya si cantik galak itu sungguh-sungguh mahu mencederakan dia. Sambil berundur setapak demi setapak, kedua-dua belah tangan Hamizan terangkat. Tangan kanan mengacung telunjuk memberi amaran.

“Letak balik pisau tu.” Mata Hamizan bolak balik memandang pisau dan wajah si gadis.

“Nanti kau yang akan cedera!” Dengan gerak waspada, Hamizan menarik meja, menjadikan pemisah antara mereka. Seboleh mungkin dia tidak mahu mengasari perempuan secara fizikal.

Mata Jina mencerlang. “Kalau berani, cubalah cederakan aku! Silap haribulan, kau dulu yang masuk hospital! Jangan main-main dengan aku!” Tangannya mengacah-ngacah pisau melangkaui meja.

Wajah penuh keberanian si gadis, buat Hamizan sedar, pisau dalam genggaman jemari runcing itu bakal tanpa ampun merobek tubuhnya. Soalnya konsentrasi Hamizan nyaris tercerai-berai melihat betapa mulus kulit gadis itu. Setelah 10 tahun, sudah terbiasa melihat banduan-banduan lelaki telanjang, sampai dia hilang rasa. Ini kali pertama dia dapat melihat semula tubuh perempuan dalam penampilan paling minim. Sungguh mengganggu pertahanannya sebagai lelaki normal.

“Aku cakap yang benar! Baru tengahari tadi aku masuk sewa bilik tu.” Hamizan mengatakan dengan tegas. Berusaha menahan mata daripada memandang bahagian dada yang bentuknya sangat mengundang syahwat.

Aksi berkeliling meja dan acah-mengacah pisau tetap berterusan.

“Tipu! Tak pernah ada lelaki naik ke sini kecuali Lala hantar gas!”

Kening Hamizan terangkat dengan mulut melongo sesaat. Hati membatin. ‘Bagusnya budak ni… Perempuan jadian tu tetap dia anggap lelaki.’

“Mengaku ajelah kau pecah masuk sebab nak mencuri! Oh…” Mata Jina tiba-tiba membulat.

“Jangan jangan… kau cuba nak ceroboh bilik aku dan ro…ro…gol aku!” Dia tekap tangan kiri ke mulut, terkejut sendiri memikirkan kemungkinan itu.

“Astaghfirullahalazim!” Suara Hamizan meninggi. Tidak rela membiarkan tuduhan terus menimpanya. “Aku ada kunci. Kalau kau tak percaya-“

“Hey, Jina! Apa main pisau macam tu?” Mami Zura muncul sambil memegang seterika.

“Mami! Cepat telefon polis! Dia ni cuba-“

Mami Zura segera memintas arahan Jina. “Letak pisau tu Jina! Dia baru sewa bilik sebelah Jina.”

“Apa?!” Mata Jina membelalak ke arah Mami Zura. Pisau langsung terlepas dari tangan, jatuh berdenting ke lantai. “Kenapa mami bagi sewa bilik tu?!”

“Pergi pakai baju dulu!” Mami Zura menjegilkan mata. Risau pula bila melihat Hamizan merenung tajam ke arah Jina dengan pandangan tidak terbaca. Bukan marah. Tapi hendak kata tergoda, tidak terlihat pula riak kegatalan pada wajah lelaki itu. Senyum terliur pun, langsung tidak.

Barulah Jina tersedar dan terlopong memandang tubuh sendiri. Marah dan panik melihat kemunculan lelaki asing di tempatnya membuat dia lupa dirinya cuma bertuala, terus serang tanpa fikir panjang. Kalang kabut, Jina berlari meninggalkan ruang itu.

“Nah, tadi kamu kata nak pinjam seterika.” Mami Zura letakkan seterika dan kunci pendua miliknya ke atas meja. “Tak payah pulangkan. Mami ada seterika lain.”

Sekadar mengangguk dan berterima kasih perlahan, Hamizan pun bergerak, mengutip pisau. Kemudian menyusun semula kerusi yang berserakan.

“Mami ingatkan kamu dah berkenalan dengan Jina.” Mami Zura menarik salah satu kerusi dan duduk.

“Aku keluar. Tengok-tengok kawasan sini dan beli barang.” Hamizan berjalan ke arah papak dan Mami Zura dapat melihat plastik dari kedai serbaneka. Penuh barang.

“Tahu tahu dia serang kamu ya?” Mami Zura ketawa mengusik. “Nama dia Jina. Jina Noushin.”

Gabungan nama yang pelik tapi kedengaran unik di telinga Hamizan.

Mami Zura menarik nafas dalam-dalam dan menyuarakan isi hatinya, “sebenarnya mami tunggu juga kamu tanya siapa penyewa bilik sebelah tu. Dah kamu diam, mami pun diam ajelah.”

Hamizan melipat kedua tangannya dan menyandarkan punggung pada pinggir papak.

“Waktu mami bawa aku tengok bilik air pun aku dah tahu budak yang mami cakap tu perempuan.”

“Kamu tak okey ke kongsi floor ni dengan budak perempuan tu?” Mami Zura menatap dengan pandangan menyelidik. Tapi ekspresi Hamizan datar dan tidak terbaca.

“Tak jadi hal.” Hamizan bergumam tenang.

“Kalau dia cari pasal dengan kamu?” Mami Zura cuba menduga lagi.

Hamizan tersenyum hambar.

“Dia cuma seorang perempuan. Waktu di dalam sana, aku dah jumpa macam-macam ragam penjenayah. Pernah duduk satu sel dengan perogol, perompak, pembunuh bersiri. Jadi, sekarang ni, aku tak peduli tinggal di kawasan mana pun, sewa dengan siapa. Asalkan jangan kacau aku dan masing-masing buat hal sendiri.”

Nafas Mami Zura terhela kelegaan mendengarnya.

“Ya, kita semua pernah buat dosa sengaja atau tak. Yang suci kat sini cuma Jina seorang.”  Mami Zura kenyitkan mata penuh makna.

“Mami!” Jina muncul semula dengan berseluar hitam dan t-shirt longgar.

Pandangan Hamizan teralih dari Mami Zura ke wajah Jina. Terpaku matanya menatap Jina. Kulit Jina begitu putih sehingga rona kemerahan kerana marah, jelas di pipinya. Rambutnya melepasi bahu dan masih setengah lembap. Bibir mongel, bertubuh ramping dengan sepasang kaki jenjang. Dalam pakaian seringkas itu Jina tetap cantik dan seksi! Memang sangat berpotensi jadi mangsa rogol!

Jina tarik kerusi lalu duduk di sebelah Mami Zura. Langsung tidak mengendahkan renungan tajam Hamizan. “Mami hutang penjelasan dengan Jina!”

Mami Zura melirik Hamizan sekilas sebelum kembali kepada Jina. “Nama dia Hamizan bin Hamzah. Mulai hari ni, dia sewa bilik tu.”

“Tapi mami dah janji, tingkat ni Jina seorang aje boleh duduk. Mami sendiri dah isytiharkan pada penyewa lain, tingkat ni kawasan larangan. Kenapa mami memandai bagi sewa bilik tu pada dia? Dia lelaki, mami. He’s a guy! Kalau dia apa-apakan Jina, macam mana?” Serentak dengan itu, Jina menjeling garang ke arah Hamizan.

Namun Hamizan balas memandang dengan muka tidak beriak.

“Waktu Jina cuma bertuala serang dia tadi, ada dia ambil peluang apa-apakan Jina?” Mami Zura mendelik geram.

Automatik Jina merasakan pipinya memanas. Malu. Secepatnya dia memusingkan wajah, mengelak renungan Hamizan. Hatinya menggerutu. ‘Memanglah dia tak ada buat apa-apa. Tapi tengoklah tu, pandang macam nak makan aku aje!’

“Tak, kan? So, maknanya Hamizan baik.”

Andaian Mami Zura buat Jina terlongo. “Semudah itu mami cop dia baik? Zaman sekarang ni ramai orang pandai berlakon jadi baiklah, mami! Mami tak takut ke kalau dia buat sesuatu pada Jina?”

“Tak pun!” Mami Zura pamer wajah enteng, hembus kukunya yang berkilat dengan kutex merah jambu. Kemudian matanya mencerun pandang Jina.

“Jangan mengada-ngadalah, Jina. Dah kenapa Jina bawa watak macam perempuan lembik sangat ni?”

Mami Zura mengalihkan pandangan ke arah Hamizan pula.

“Hamizan, sebelum kamu terfikir nak buat sesuatu pada Jina, mami nak bagi ingatan sikit. Budak ni ada taekwondo. Black belt third degree. Walaupun dia tak dapat peluang wakil negara, dia banyak menang pingat emas open tournament.”

Kening Hamizan terangkat sedikit, sudut bibir bergerak. Samar, senyumannya tergaris ketika memandang Jina. Patutlah galak dan berani semacam.

“Ha, mami dah warning dia. Masih nak pura-pura takut ke?” Mami Zura tersenyum mengejek Jina.

Jina mendecap tidak puas hati kerana Mami Zura cepat pecahkan tembelangnya. “Masalahnya, mami pun tahu bilik tu tempat Jina cari ilham! Sekarang mami dah bagi dia ni sewa, tak tanya Jina pun. Lepas ni, kat mana Jina nak melepak kalau kena writer block?”

‘Oh, patutlah bilik tu kemas dan katil siap bercadar.’ Hamizan bergumam dalam hati. Matanya masih berleluasa mengamati Jina.  

Mami Zura mencebik. “Asyik cakap pasal writer block. Dari habis sekolah, sampai dah nak habis diploma… sebiji buku pun tak pernah terbit. Ha, sekarang dah ada lelaki handsome duduk sebelah bilik Jina. Bolehlah jadikan dia inspirasi hero novel Jina.”

Lebar mata Jina menatap Mami Zura. Kemudian menoleh semula kepada Hamizan. Mengernyitkan hidung, pandang Hamizan atas bawah. Lelaki itu langsung tidak berusaha menyembunyikan pandangan. Terus membiarkan Jina mengamati dirinya.

Hati Jina berkata-kata, ‘walaupun dia tak berotot sasa dan tak buffy, ketinggian dia tu memang wow. Renungan mata tajam macam serigala mengincar mangsa. Memang level hero novel. Tapi…’

“Dengan rambut dia yang macam rumput baru kena potong tu mami kata handsome? Mami patut pakai speklah! Dah jelas, dia jauh lebih tua dari Jina. Fesyen rambut dia pun macam banduan lepas keluar penjara!”

Hamizan ketap rahang, menahan sentakan dalam hati. Nampak gayanya dia harus membiarkan rambutnya tumbuh lebih panjang.

“Sekurang-kurangnya dia lelaki matang, Jina.”

Jina mengernyitkan hidung, seraya melirik ke arah Hamizan. “Matang? Umur dia berapa? Tell me!

“35. Tapi nampak macam awal 30an, kan?” Mami Zura tersenyum genit mengerling Hamizan.

Sedangkan Jina melongo sesaat.

“Mami! Itu bukan matang. Itu tua!”

Hamizan mendesah. Dua orang perempuan itu betul-betul buat dia macam tidak wujud langsung. Tapi dalam masa yang sama, dia bersyukur kerana Mami Zura tidak mengumbarkan fakta bahawa dia bekas banduan. Lalu dia berdeham, cuba menyedarkan mereka bahawa dia masih bersandar depan papak.

“Sudahlah Jina.” Mami Zura mengibaskan tangan. “Cakap dengan Jina memang tak menangnya mami. Suka atau tak, Jina kena kongsi lantai ni dengan dia! Hamizan dah bayar sewa untuk setahun.”

Mami Zura bingkas bangun dan menyambar kunci. Malas melayan tapi Jina masih tidak puas bersoal jawab dengannya.

“Se… setahun…?” Jina terkesima.

“Mami! Selama ni, mami ajar Jina supaya jangan sembarangan percayakan lelaki. Tapi kenapa sekarang mami sendiri bagi lelaki yang kita tak kenal sewa bilik sebelah bilik Jina?” Lemah semangat Jina dibuatnya.

“Sebab mami tak nak Jina tinggal kat atas ni feeling-feeling macam Rapunzel!”

Hamizan langsung terbatuk mendengarnya. Ingin ketawa tapi terus pura-pura berdeham apabila Jina melibas pandang dengan renungan seperti ingin membunuhnya. Dalam hati Hamizan tertanya-tanya. ‘Kuat berangan ke budak ni?’

“Mami nak Jina ada teman kat sini dan tak hidup dalam dunia berangan Jina tu selamanya!” Selepas berkata begitu, Mami Zura melenggang pergi.

Tiba-tiba perasaan hairan mula menyelimuti Hamizan. Cara Mami Zura membebel macam dia sangat mengenali Jina zahir dan batin. Dengan jantung berdebar, dahi berkerut, dia bertanya, “kau ni… anak mami ke?”

Jina menoleh ke arah Hamizan lalu bangun. Matanya berkilat melempar tatapan kemarahan kepada Hamizan, seakan semuanya adalah salah lelaki itu.

“Jadi, mami tak bagi tahu kau ya? Yes! I am her own daughter! Patutnya soalan tu kau tanya mami dulu sebelum sewa bilik kat sini! Aku tak suka ada orang lain tinggal kat sini!” Setelah mengucapkan itu, Jina berbalik dan melangkah pergi, meninggalkan Hamizan yang tergamam.

Ibu jenis apa sanggup beri lelaki asing menyewa bilik di sebelah bilik anak sendiri?

+++

BAU enak itu sangat mengundang. Jina yang sedang termenung depan laptop, mengendus udara. Mencari arah bau. Siapa pulak yang menumis dekat nak maghrib ni? Jina bingkas bangun membuka pintu. Saat pintu dibuka, bau tumisan semakin nyata, membuat perutnya semerta berkeriut. Jina melongokkan kepala sambil mengendus udara dengan mata pejam.

“Ya Allah… sedapnya bau!”

Tiba-tiba mata Jina membeliak. Tersedar sesuatu. Kakinya pantas menyarung selipar dan dia bergegas ke ruang makan. Di situ dia melihat Hamizan sedang berdiri depan dapur, menggoreng sesuatu.

Rasa aneh melihat ada lelaki berada di tempat yang selama ini dikuasainya seorang. Pertama kali melihat lelaki Melayu setinggi itu, Jina harus akui, dari belakang, ketinggian Hamizan membuat dia tampak sangat kuat dan terlihat boleh diandalkan. Sehingga Jina tiba-tiba membayangkan dirinya berada di belakang dan memeluk badan itu sebagai perlindungan.

‘Damn, Jina! Stop it!’ Jina memaksa diri supaya tidak larut dalam imaginasi novelis. Pantas dia melarikan pandangan. Atas meja sudah ada mangkuk dan pinggan nasi. Dengan langkah terjengket, Jina mendekati meja. Nasi dalam pinggan itu tidak banyak mana. Dalam kadar sesenduk penuh sahaja.

‘Erk! Kari sardin! Nampak macam sedap!’ Baru tangan Jina capai sudu, Hamizan memutar tubuh.

Hamizan terdiam pandang Jina yang membeku.

Dalam hati, Jina mencela diri sendiri, merasa malu kerana tertangkap basah cuba merasai masakan Hamizan.

Cepat-cepat Jina melepaskan sudu. Angkat dagu pamer wajah sombong sebagai usaha menutupi rasa malu.  “Siapa benarkan kau guna dapur aku?”

“Mami kau,” sahut Hamizan datar seraya membawa pan ke meja. Langsung tidak mengendahkan Jina, Hamizan duduk. Terus menyantap makanan menggunakan sudu dan garpu.

Telan air liur Jina melihat telur dadar dalam pan, kaya dengan bawang holland dan cili padi. Namun dia mencebik melihat cara Hamizan makan.

Rasa sebal dalam hati Jina, berganti dengan rasa ingin  mengejek. “Lauk macam tu pun gigih makan pakai sudu garfu!”

Hamizan angkat muka. Pandang Jina dengan kening berkerut. “Salah?”

Jina langsung terdiam.

Wajah Hamizan menghentamnya telak. Terlalu berlebihan kalau dia juga mengakui lelaki itu kacak. Tapi dalam jarak agak dekat begitu, Jina baru tersedar, kulit muka Hamizan agak cerah dan bersih. Dia memiliki anak mata warna coklat cair, hidung mancung dan mulut yang ekspresif dengan warna bibir merah samar. Sejenis bentuk wajah yang kalau dipakaikan topeng superhero separuh muka, seperti Batman atau Robocop, perempuan boleh jatuh cinta hanya dengan melihat bahagian mulut dan rahangnya.  

Soooo tempting!


“Jina?” Hamizan memetik jari depan wajah Jina.

Refleks, Jina mengerjap kebingungan. ‘Erk, tadi tu… aku dah ternganga tengok muka dia ke? Aduh!’

Rekod pertama. Tidak pernah seumur hidup dia tenung muka lelaki lebih tiga saat. Kerana baginya, susah nak jumpa drop-dead handsome man. Memang ada kawan-kawan lelaki di universiti yang kacak. Sayangnya perangai pula menjengkelkan, kalau tidak macam budak-budak. Tapi sekarang Hamizan berjaya memancing fokusnya.

“Kau masih marah ke?”

Suara Hamizan mengembalikan akal sihat Jina yang sempat hilang. ‘Oh, shit!’ Hati Jina mencarut lagi. Rasa nak simbah air ke muka sendiri. Sekali lagi imaginasi novelis berjaya memalukan dirinya.

“Kalau kau nak makan, duduklah.”

Suara Hamizan kedengaran ikhlas nadanya. Tapi demi gengsi, Jina palingkan muka. “Tak nak aku makan dengan lelaki tak kenal!”

Cepat-cepat Jina beredar dari situ dengan dua tangan dilipat ke dada. Masuk ke dalam bilik, Jina bingkas duduk depan laptop. Menuliskan semula perasaannya tatkala menatap wajah Hamizan tadi. Bagus juga, kerana karya yang tadinya tidak berganjak sejak beberapa hari sudah, kini mula mengalir.

Tiba-tiba dia dapat idea mendeskrepsikan rupa paras seorang lelaki matang bukan lelaki jambu dan kacak seperti Kai, Zack atau Hadi yang dikenalinya di universiti.

+++

SAYUP-SAYUP suara itu hinggap di pendengaran Jina. Dia berhenti membaca buku rujukan lalu tegakkan badan, menajamkan lagi pendengaran. Sekilas dia memandang jam pada taskbar laptop. 8.40 malam.

‘Siapa pulak yang baca Quran ni? Takkan mamat kat sebelah ni kut?’ Spontan Jina menoleh ke kiri. Tak puas hati, dia bangun. Terus keluar mendekati pintu bilik Hamizan. Suara itu makin jelas.

Mata Jina membulat.

No way!’ Hatinya bergumam tidak percaya.

Jina rapatkan kepala, menempelkan telinga pada daun pintu. Sekali lagi, matanya membulat. Beberapa saat curi mendengar, Jina terus tertegak. Perlahan-lahan bergerak mundur sambil menekapkan tangan ke dada.

‘Mustahil! Mustahil mamat tu mengaji! Ah! Jangan mudah percaya Jina. Entah-entah dia pasang radio! Susah dah nak jumpa lelaki pandai mengaji zaman sekarang ni. Sedangkan Kai pun terkial-kial nak baca ayat Kursi.’

Fikiran Jina berkecamuk. Perut lagi lapar. Teringat dia belum makan malam, Jina terus ke dapur. Hajat nak rebus ramen. Tapi dia terkejut melihat periuk nasi, pan dan mangkuk yang ditutup dengan pinggan, masih ada atas meja. Walaupun tersusun elok, Jina merengus.

“Eeeee! Inilah lelaki! Dah makan, bukannya tahu nak cuci sendiri! Menyusahkan aku aje!” Tangannya gesit angkat pinggan yang menutupi pan dan mangkuk.

Langsung dia terdiam. Telur dadar tinggal separuh dalam pan. Elok potongannya. Sardin juga masih setengah. Sikit pun tidak bersememeh. Dia buka penutup periuk. Nasi masih berbaki. 

Spontan Jina terduduk bersama rasa bersalah.

Hamizan tinggalkan makanan untuknya!

5 comments:

  1. 😂😂😂 kann dh terkedu.. jina oii

    ReplyDelete
  2. Menarik tertarik tertawan yuuuhuuuu.. Bestnyaaa... Terujanyaa...

    ReplyDelete
  3. Eleh..org yg dia marah2 tu la ingat kat dia

    ReplyDelete
  4. Bila mami zura cakap pasal writers block macam cakap kat kita pulak. Ouchhh

    ReplyDelete

Rose Harissa® Registered under the provisions of the Trade Marks Act 1976 and the Trade Mark Regulations 1997 since 2016