ARTIKEL : 10/09/2012
_______________________________________________________________________
Leo sudah bersiap mahu ke café Mama Jie.
Ketika menuruni anak tangga, tiba-tiba dia mendengar suara kucing mengiau. Pada mulanya Leo tidak menghiraukan. Namun apabila suara kucing itu tidak berhenti mengiau, tergerak hati Leo mahu meninjau dari mana datangnya.
“Celaka! Aku bunuh jugak kucing ni nanti!”
Suara kasar itu datangnya dari arah belakang. Lalu Leo bergegas ke dapur. Serentak dengan itu, terdengar bunyi benda jatuh berdebuk diikuti dengan suara kucing mengiau kesakitan.
Leo pantas membuka pintu dapur dan dia terperanjat melihat ada seekor kucing terdampar tidak bermaya di halaman dapur rumahnya. Leo memandang ke arah rumah sebelah dan melihat lelaki bertubuh tegap itu sedang memandang benci ke arah kucing tersebut.
Menyedari renungan tajam Leo, lelaki itu menyergah, “kau apsal pandang aku macam tak puas hati?”
“Kenapa campak kucing tak berdosa ni?” tanya Leo.
Wajah lelaki itu kelihatan merah padam menahan kemarahan. “Suka hati akulah! Kenapa? Kau tak puas hati ke hah?! Hey, sepatutnya, aku yang tak puas hati kat kau, sebab aku tegur tadi tapi kau sombong nak mampus! Jiran tak guna!”
Leo tidak menjawab sebaliknya terus memegang kucing yang terlepek macam kain buruk di atas tanah itu. Kelihatannya kaki belakang kucing berbulu kelabu itu, patah. Apabila Leo menoleh, lelaki itu sudah menghilang ke dalam rumah. Leo menghela nafas panjang sambil menggeleng-gelengkan kepala sebelum masuk ke dalam rumah bagi mendapatkan kotak first aid.
Dengan penuh kasih sayang Leo merawat kucing itu. Walaupun mengiau kesakitan tetapi kucing itu tidak pula melawan atau melarikan diri.
“Entah apa punya manusia! Tak ada hati perut langsung dengan haiwan!” omel Leo tanpa menyedari dirinya sedang diperhatikan.
“Maaflah… abang saya tu memang macam tu…”
Leo tersentak. Namun begitu dia tidak mengangkat wajah, hanya mengerling melalui ekor mata. Seorang gadis berdiri di tepi pagar pemisah antara dua rumah.
“Abang saya tu memang panas baran sikit.” Gadis itu terus bercakap walaupun Leo tidak mengendahkannya.
“Kucing tu berak atas beg kami, sebab itu dia marah sangat,” jelas si gadis tanpa dipinta.
Leo masih tidak menjawab. Tangannya ligat menyudahkan balutan pada kaki kucing tersebut. Selepas meletakkan kucing itu ke dalam kotak di tepi pintu, Leo bangun. Kini dia bertentangan mata dengan si gadis. Yang jelas, gadis itu seperti terpegun melihat wajah Leo dari dekat. Sedangkan Leo tidak peduli langsung tentang kecantikan gadis itu.
“Jadi, lelaki itu abang awak?” tanya Leo dengan muka tanpa sebarang riak.
Gadis itu tersenyum manis, gembira mendengar suara Leo. “Iya… dia abang saya. Oh, ya, nama saya Ayuri. Panggil Yuri aje…” Gadis itu menghulur salam, teruja mahu berkenalan dengan Leo. Pemuda itu kacak dengan rambut diikat ke belakang.
Tetapi Leo hanya memandang sambil lalu. Sedar salamnya tidak akan bersambut, Ayuri menjatuhkan tangannya perlahan-lahan seraya tersenyum malu.
“Saya harap perangai awak tidak sekejam abang awak tu, Cik Yuri!” kata Leo dengan suara sedingin ais. Namun terasa ngilu di hati Ayuri.
Sungguh Ayuri tidak menyangka, jiran baru yang ingin dikenalinya itu sejak pertama kali melihatnya ketika dari dalam kereta tadi, sangat tidak acuh orangnya. Rupa-rupanya ada juga lelaki dalam dunia ini yang tidak terusik dek kecantikannya. Ayuri mengeluh kesal.
Enggan berlama-lama dengan Ayuri, Leo segera beredar, tidak berminat mahu beramah mesra dengan jiran baru!
***************************
“Mengapa lambat, Leo? Kamu ada masalah?” Soalan pertama keluar sebaik sahaja Mama Jie melihat Leo masuk ke dalam café. Selama ini Leo tidak pernah lewat datang ke café.
“Tak. Tadi ada kucing cedera kat belakang rumah kita. Saya tolong letak ubat.” Leo memang tidak pandai berbohong.
“Oh… mama sangka kamu sibuk berkenalan dengan jiran baru kita.”
Leo kehairanan lalu memandang Mama Jie dengan kening bertaut. “Eh? Dari mana mama tau kita ada jiran baru?”
“Hmm… pelanggan-pelanggan café ini yang bercerita. Dengar khabar mereka tu asalnya orang sini jugak. Tapi entahlah… mama pun bukan kenal sangat dengan penduduk asal bandar Willowvale ini…sementelah kita pun bukan berasal dari sini.”
Leo hanya mengangguk-angguk. Tidak lagi berminat mahu bertanya lebih lanjut. Banyak kerja yang menantinya di café itu. Leo segera ke belakang, masuk ke dapur dan mulai melakukan tugasnya. Mengasingkan sisa makanan sebelum dibuang ke tong besar di belakang bangunan kedai.
Selepas mencampakkan beg plastik berisi sisa makanan ke dalam tong, Leo segera berpaling. Namun dia tersentak apabila melihat seekor kucing hitam bermata hijau muncul di hadapannya. Leo terkaku memandang kucing itu. Rasanya kucing itu adalah kucing sama yang dilihatnya ketika pulang dari kolej tadi.
“Takkanlah kucing tu ikut aku sampai ke sini?” Leo bergumam dalam hati.
“Meoww…” Tanpa dipanggil, kucing hitam itu mendekati Leo lalu menggesel-geselkan muka dan tubuhnya ke kaki Leo.
Leo tergamam kerana setahunya, perlakuan kucing yang sedemikian menunjukkan bahawa ia mengisytiharkan orang yang digeselnya adalah tuan punya dirinya. Walau bagaimanapun, Leo tidak pula mengusir, sebaliknya bertinggung lalu mengusap-ngusap sayang kepala si kucing.
“Kau lapar ke?” tanya Leo. Kucing itu mengiau sambil memandang comel ke arah Leo.
“Kau tunggu sini, aku masuk ambilkan makanan untuk kau, ya?” Leo bercakap seolah-olah kucing itu memahami.
Leo kembali membawa beberapa keping filet ikan lalu diletakkan di hadapan kucing itu. “Makanlah tapi aku tak dapat temankan kau. Aku harus kembali bekerja.” Sekali lagi Leo mengusap kepala kucing itu sebelum masuk ke dalam.
Jam 10.00 malam, café sudah ditutup dan Leo masih gigih mengelap meja.
“Leo… mama dah nak balik ni. Sudahlah tu…mari kita balik sama-sama…” Mama Jie bersuara.
“Mama baliklah dulu. Saya nak habiskan semua kerja ni…”
“Nak balik jalan kaki? Kamu tak takut ke?”
Dahi Leo berkerut hairan. “Takut? Kenapa pula saya mesti takut? Selama ni saya balik malam seorang diri, tak ada apa pun yang berlaku…”
“Hish! Kamu jangan cakap besar, Leo.” Mama Jie jelas tidak menyenangi keyakinan Leo. “Baru semalam seorang gadis kena serang sehingga separuh mati. Sampai sekarang polis belum dapat menangkap pelakunya.”
Leo segera mendekati Mama Jie. “Mama… jangan bimbang okey? Leo ni anak lelaki. Saya tahu jaga diri sendiri.”
Akhirnya Mama Jie mengangguk. “Cepat-cepat siapkan kerja dan cepat balik ya? Mama tunggu Leo di rumah.”
Sepeninggalan Mama Jie, Leo meneruskan kerjanya. Ketika mahu mengunci pintu dapur, Leo teringatkan bekas yang digunakan bagi meletakkan filet ikan untuk kucing tadi. Leo segera membuka pintu.
Filet-filet ikan itu langsung tidak terusik. Bermakna kucing itu tidak memakannya. Leo mengangkat bekas sambil berkata, “Haih…takkanlah kucing tu tak berminat langsung dengan filet ikan ni?”
Dari satu sudut gelap, kelihatan sepasang mata bercahaya, mengawasi pergerakan Leo.
Selepas membuang filet-filet ikan ke dalam tong sampah, Leo memandang sekeliling sambil mulutnya memanggil-manggil si kucing.
“Meoww? Ckk…ckkk…ckkk… meow?”
Tidak terlihat kucing itu di mana-mana. Hanya deruan angin yang menyahut panggilan Leo. Tiba-tiba sahaja Leo terasa kesejukan yang amat sangat. Cepat-cepat dia masuk kembali dan segera mengunci pintu. Ketika itu juga, tanpa disedari Leo, ada satu kelibat melintas laju di belakang pintu café.
Di dalam café, Leo tidak tahu mengapa hatinya tiba-tiba berasa tidak enak. Saat itu, baru timbul rasa menyesal kerana tidak mengikut Mama Jie pulang dengan kereta. Laju sahaja tangan Leo mengetik SMS buat Mama Jie.
Mama, Leo balik sekarang… mama tunggu Leo kat rumah, ya?
Tanpa menunggu balasan dari Mama Jie, Leo mencapai beg dan bergegas mengunci pintu café. Seiring langkah Leo laju meninggalkan café, ada kelibat lain mengikutinya dari atas bumbung bangunan.
Dan Leo tidak menyedari ada bahaya sedang mengekorinya…
Bersambung…
+++++++++
Nota pengarang : Macam mana? Adakah korang dapat feel macam baca cerita terjemahan seperti yang saya harapkan/ macam tengok drama bersiri, atau dulu sebenarnya saya perasan/syok sendiri? 😂😂😂😂
feel dia sampai Kak Rose!!
ReplyDeleteYa saya suka cerita mcm ni.. excited nk baca seterusnya.. sambung lg ya..
ReplyDeletesila sambung kak. ada unsur suspend
ReplyDeleteBestttt❤❤❤
ReplyDeleteMana sambungannya kak rose? heee
ReplyDeleteTak de sambungan ke..
ReplyDelete