Thursday 31 January 2013

Guy Next Door - 7

January 31, 2013
(dilukis guna Adobe Illustrator CS3)

MAK dah dua kali panggil aku ­turun makan. Tapi aku tak ­keluar bilik pun. Aku cakap dah ­kenyang, makan sebelum balik ­kerja tadi. Alasan semata.

Jiwa aku tengah kacau, ­makan pun mesti tak kenyang. ­Semua sebab Adam! Hati aku dahlah tengah bengang Fandi lesap macam ditelan bumi! SMS tak balas, telefon asyik masuk voice mail. Eee… ke mana dia pergiiii? Dah tak sayang, tak rindu kat aku ke?

Tak sangka pulak Adam bongek tu dah buat aku ­menangis. Fandi tu suis kegembiraan dan kesedihan aku. 

“Kris! Kau keluar sekarang! Kalau kau degil, mak suruh abah kau pecahkan pintu ni!” Suara mak berkumandang seiring dengan pintu bilik digedor. 

Kalau dah macam tu caranya mak memanggil, aku tak boleh terus ­berdiam. Cepat-cepat aku bangun dan akhirnya ­keluar jugak bilik dengan mata merah baru lepas menangis-tak boleh sorok. Mak tenung aku.

“Kau ni masih marah kat Adam ke sampai menangis tak lalu makan?”

Mak ni kan, memang saje nak naikkan takat didih aku. “Buat apa pulak orang menangis fasal Adam? Buat rugi airmata aje! Dia tu siapa?”

“Bukan pagi tadi kau jerit-jerit pesan kat mak kau marah dia? Dah tu petang tadi pulak mak nampak kau nangis masuk bilik lepas cakap ngan Adam? Bukan kelahi ke?”

“Mak ni! Kalau sebab Adam tu orang marah aje tapi tak koserlah nak buang airmata untuk dia. Dia siapa? Orang tengah tension dengan Fandi ni!”

Hajat hati aku nak lah mengadu rasa kat mak. Tapi mak awal-awal dah mencebik. 

“Hmphh! Pasal si Fandi rupanya. Menyesal aku tanya. ­Kalau macam tu, ha, padan muka kau! Siapa suruh kau pilih ­lelaki macam Fandi tu?”

Ambik! Mak memang tak tunjuk simpati langsung. ­Terbang semua semangat aku.

“Mak ni...! Bukannya nak pujuk orang! Lagi sindir pulak...tak kesian ke?”

“Tak koser mak nak kesian! Buang masa aje kesian kalau sebab Fandi...”

Mak betul-betul pulang paku buah keras! Buat aku rasa nak menangis aje!

“Dah, kau toksah nak tayang muka tonyok kau tu. Tak laku dengan mak. Tu... Adam nak jumpa kat bawah!”

“Apa mak?!” Aku terjerit kecil. Aku salah dengar ke mak buat lawak? Macam tak percaya aje Adam nak jumpa aku! Nak bagi bunga lagi ke?

“Adam nak jumpa kat bawah!”

Sebenarnya aku agak impressed di situ sebab Adam ­berani mintak izin mak. Tapi ego aku lebih tinggi dari menara Burj Khalifa! Aku buat keras badan depan pintu.

“Pergilah cepat! Dari tadi dah dia tunggu.”

“Iskkk! Malaslah... Lagipun dia nak apa malam-malam macam ni?”

“Entah... dia kata nak bagi barang kat kau...”

“Isk! Mak ni, dah tau sekarang dah pukul 10, cakap ajelah orang dah tidur! Besok nak bangun awal pergi kerja…”

“Bangun awal konon! Selagi mak ni tak jerit, selagi tu kau tak bangun. Tak gamak mak nak bohong dengan budak baik macam Adam tu...” 

Nada mak mengendur bila sebut nama Adam. ­Betullah, Adam tu macam dah bagi satu sentimental value kat mak. ­Sudahnya, aku dah tak boleh nak mengelat lagi.

“Kat mana dia nak jumpa orang ni? Kat pintu depan ke kat pintu dapur?”

“Kau tanya tu macamlah besar bebenor rumah ni ya? Kat kolam ikan abah nun!”

Hoh? Kat port aku bila bersembang dengan Fandi kat hp! Dengan langkah malas macam bawak beban berkilo-kilo kat kaki, aku turun ke tingkat bawah.

Rupa-rupanya mak dah siap nyalakan lampu kat kawasan kolam tu. Padahal sebelum ni, kawasan tu asyik bergelap aje. Ni mesti sebab mak tak nak aku disyaki berkhalwat dengan Adam. Hikhikhik...!

Adam tunggu aku kat dalam kawasan rumah dia rupanya. Aku ingatkan dia masuk duduk kat kolam ni. Tak tau kenapa, aku rasa mulut aku macam ternganga sikit, mata tak boleh lepas ­pandang Adam yang berdiri tepi pagar kawat hijau. Selama ni aku tak bagi perhatian sangat kat muka dia. Selama ni aku ­nampak dia sekejap-sekejap aje dan tau dia kategori handsome. Cuma aku tak berminat sebab bagi aku muka dia suci sangat. 

Tapi cahaya lampu ni buat muka Adam nampak berseri-seri! Dia memang handsome tahap lima bintang rupanya! ­Tambah pulak dengan senyum menawan dia tu! Betullah cakap mak, muka dia ada iras Mario Maurer, versi Melayu!

“Awak nak apa jumpa saya ni? Nak pecah rekod ye?” aku tanya dalam nada menyindir.
“Rekod apa pulak?” muka Adam blur habis!

“Rekod tak pernah bersua muka lepas lima tahun jadi jiran! Dah boleh masuk Malaysia Book of Record!”

Tanpa aku sangka, Adam ketawa. Tak terlalu kuat tapi ­terdengar menawan kat telinga aku. Dan tak tau setan mana ­pulak merasuk fikiran, buat aku terbayang Adam waktu petang tadi dalam keadaan basah kuyup sebab basuh kereta! 

Hishhh! Tak boleh jadi! Ingat Fandi! Fandi! Fandi! Tanpa sedar, aku mengibas-ngibaskan tangan depan muka.

“Eh? Kenapa dengan awak ni?” 

Suara Adam itu barulah buat aku tersedar. Jauh pulak otak aku melencong ya? Rasa macam dah nak termalu alang, tapi demi jaga imej, aku pura-pura berdaham. “Banyak nyamuk kat sini…”

“Eh, ye ke? Baru malam ni ke awak perasan banyak ­nyamuk? Selama ni waktu berborak dengan boyfriend awak  tu, tak rasa ke nyamuk gigit?”

Mendadak aku rasa kejung, pandang Adam dengan rasa tak percaya. “Hey! Mana awak tau? Awak mengendap saya ya?”

Adam sengih-sengih cute. “Tak ada niat pun nak ­mengendap. Saya terrr… nampak dan terrr… dengar. Kalau dah terrr… tu maknanya saya tak sengaja…”

Semakin meleret Adam senyum. Aku rasa macam nak tarik aje mulut dia tu! Suka mengenakan orang rupanya mamat bajek suci ni! Boleh sakit jiwa jadinya kalau hadap dia ni lama-lama. Sakit jiwa okey lagi, takut tergoda jiwa! Hah, itu yang bahaya! 

“Sudahlah! Sebenarnya awak nak apa ni?” tanya aku ­sambil peluk tubuh. 

“Saya nak bagi ni… sebagai tanda mintak maaf, sebab dah buat awak menangis petang tadi…” Adam hulurkan satu beg ­kertas saiz besar. Tahulah aku ni pendek, macam sengaja aje Adam hulur tinggi-tinggi.

“Hah! Sedar pun ada buat salah!” getus aku, sambil ­berjengket capai beg itu. 

Tanpa segan silu, aku pun jenguk nak tengok apa isi ­dalamnya. Macam-macam jenis coklat mahal dengan bungkusan cantik-cantik yang tak pernah ada kat kedai biasa! Terus aku ­angkat muka pandang Adam.

“Mana awak dapat coklat ni semua?” tanya aku dengan mata bersinar. 

“Saya beli kat Duty Free Chocolate Shop KLIA.”

Aku mengernyitkan dahi. “Awak ke sana semata-mata nak beli coklat-coklat ni semua?”

Adam angguk. “Yelah… bila saya bagi bunga yang mak saya tanam, awak kata saya kedekut. Jadi, coklat-coklat mahal tu, bukti yang saya ni tak kedekut! Tak berkira pun dengan jiran sebelah…”

Aku mencebik. Meh, aku nak usik dia sikit, tengok ­goncang tak dia. Hehe…

“Eleh… baru bagi coklat banyak macam ni pun dah nak berlagak. Lainlah kalau bagi emas seketul dua…”

“Hmm… perempuan dengan emas memang tak boleh ­dipisahkan ya? Tak ada hal… tapi… lainlah kalau awak tu ­girlfriend saya… bukan setakat emas 916, jongkong emas 999 pun sanggup saya beri…”

Dagu aku rasa macam nak terjatuh ke lantai bila dengar ayat Adam tu! Gila kuat menyindir dia ya! Nak kena ni!

“Hello… Siapa cakap saya suka emas? Saya saje je cakap macam tu! Tolong keluarkan saya dari senarai tu ya? Ada awak nampak saya pakai emas? Ni subang ni pun subang pasar malam, tau!” Aku selit rambut celah telinga demi nak tunjuk subang ­mutiara palsu yang terlekat kat cuping. 

Adam masih senyum-senyum. “Awak ni, baru kena usik sikit dah goyang, ya? Tapi kan… kalau awak girlfriend saya pun, saya takkan didik dengan emas, baik saya didik dengan agama!”

Aku pandang Adam dengan mata terkelip-kelip. Ceh! ­Hilang aku nak usik dia… dia pulak yang usik aku! Dahlah ayat last tu buat aku sentap aje... Fandi sendiri tak pernah pun sentuh bab agama dengan aku... haih!

“Menyampahlah cakap dengan awak ni…!” 

Konon menyampah, padahal aku baru sedar bahawasanya bila bercakap dengan Adam dalam jarak dekat begini selepas lima tahun jadi jiran, Adam itu sebenarnya punya aura misterius. Ada daya tarikan yang kuat sampai-sampai, aku nyaris terlupakan masalah dengan si Fandi!

“Ada apa lagi awak nak cakap dengan saya?”

Adam geleng-geleng kepala sambil senyum tak kunjung putus! Alahai... tak penat ke bibir dia tu?

“Kalau tak ada apa... saya masuk dulu!” 

“Tak borak panjang lagi dengan saya?”

“Heh?” Aku jegil biji mata. “Buat apa borak dengan awak? Awak bukannya boyfriend saya!”
Adam ketawa lembut. 

Bila Adam tak berkata apa lagi, aku pun terus buka ­langkah. Tapi bila aku masuk aje dalam rumah, aku terkejut tengok abah sedang santai tengok TV sambil kunyah coklat Toblerone kotak besar.

“Eh? Mana abah dapat coklat tu?”

“Adam bagi tadi. Nak ke? Pergi ambil kat dapur!”

Cesss!!! Aku baru nak rasa special sebab dapat coklat ­mahal. Tapi rupanya Adam dah bagi awal-awal kat abah juga! ­Kalau macam tu, baik tak payah panggil aku keluar!

“Tak naklah! Ni ha... ada satu beg lagi... abah makanlah...” Aku letak beg kertas itu depan abah. 

Lepas tu aku terus naik ke bilik. Hilang terus keinginan aku nak makan coklat mahal tu semua. Tiba-tiba timbul rasa bengang pulak.

Eh? Kenapa dengan aku ni? 

Tension sebab Fandi menghilangkan diri ke merajuk ­dengan Adam?

Wednesday 23 January 2013

SO, GOODBYE

January 23, 2013

    (maaf... manga cincai di atas... tak mampu nak lukis detail...)


Mempersembahkan, shoujo novela, label baru kat blog ni. Mudah-mudahan lepas ni RH ada idea lagi untuk label ni... (^_^)y

=======================================================
Ada satu perkara yang aku suka buat bila pergi sekolah.
Aku suka tengok dia! Lieto! Senior kelas 5K2.


Aku sengaja memilih tempat duduk di tepi tingkap, supaya aku boleh melihat dengan jelas kelibat Lieto di kelas lantai bawah, di bangunan bertentangan dengan kelas aku di tingkat dua ni. Kerana Lieto, duduknya dalam kelas, di paling belakang, dekat dengan pintu. Jadi kalau aku nyaris nak tertidur waktu Cikgu Lee mengajar Sejarah, bolehlah aku cuci mata, curi-curi pandang ke arah Lieto.

“Hey, Lidiya... tak jemu-jemu lagi tengok si Lieto tu?” tanya Azza. 
“Tak... sebab dia hensem...”

“Ooo... sebab dia hensemlah kau suka pandang dia? Cubalah kalau dia hitam, pendek katik, perut buncit, kau suka tak?”

“Mestilah tak suka! Hahaha!” aku gelak-gelak. Lieto yang aku suka tu tinggi lampai orangnya.

“Tapi... hati-hatilah kalau suka kat dia... Mina senior 5K1 tu bekas girlfriend dia...”

“Eh? Kenapa pulak? Bekas girlfriend aje pun...”

“Memanglah... tapi kau lupa ke yang Mina tak suka tengok perempuan lain dekat dengan Leo. Tak ingat nota merah kat notice board?

Tak ayal, aku mengeluh. Lupa sungguh aku pada fakta yang satu tu. Sebab Mina pernah tampal nota pada papan kenyataan, buat pengumuman walaupun dia dan Lieto dah berpisah, tapi dia tetap akan pantau mana-mana perempuan yang cuba dekat dengan Lieto. Gila!

Lieto memang popular sebab walaupun nakal, dia bijak dan merupakan bintang sekolah. Main bola sampai peringkat negeri. Muka pula jangan cerita, jadi, perempuan manalah yang tak terliur nak berdampingan dengan dia. Tinggal lagi kami-kami ni tak berani nak dekat sebab Mina!

Biasanya sebelum pelajaran bermula, Lieto akan berkumpul dengan rakan-rakannya di belakang kelas. Kadang-kadang main sepak bola kertas. Kadang-kadang cuma duduk bersembang.

Kadang-kadang waktu sedang belajar pun aku nampak Lieto gelak-gelak dan usik-usik rakan-rakannya. Satu hobi Lieto yang aku perasan, dia suka duduk dengan kerusi jungkit-jungkit ke belakang. Macam pro sangat.

Tapi satu hari, Lieto main jungkit-jungkit kerusi macam biasa tapi entah macam mana, kaki kerusi kayu itu patah. Lieto terlentang ke belakang. Riuh satu kelas 5K2 mentertawakan Lieto.

“Hahahaha!” Tawa aku itu menarik perhatian Lieto yang baru hendak bangun. Dia mendongak. Aku pula lupa yang waktu itu Miss Yeo sedang mengajar Matematik Tambahan.

“Lidiya!”

Aku tersentak lalu memekup mulut. Segera menikus.

“Awak ketawa waktu saya mengajar? Bangun!”

“Tapi cikgu! Saya...”

“Dia tengok budak-budak kelas 5K2, cikgu!” Ada pula mulut cabul yang merepot!

“Oooo... tengok budak-budak 5K2 waktu saya mengajar ye? Haa... sekarang saya bagi budak-budak 5K2 pulak tengok awak. Berdiri atas kerusi!”

Ya, ampun! Kejamnya Miss Yeo...!

Aku rasa dah nak menangis waktu panjat kerusi. Tegak aje aku atas kerusi, seluruh kelas ketawa. Dah tentu Lieto nampak kelibat aku menunjang. Aku jeling. Dan dia memang sedang pandang aku dengan senyum. Tak semena-mena aku nampak dia angkat ibu jari dengan muka lurus pandang ke depan kelas. Muka aku rasa panas pijar. Sumpah aku malu!

Waktu rehat pun aku tak nak keluar makan walaupun Azza puas pujuk aku. Baik aku sorok muka dalam kelas. Duduk memekup muka ke lengan di atas meja.

“Kasihan... ada orang malu nak ke kantin ye?”

Aku terkejut mendengar suara asing itu. Bila aku angkat muka, terus aku kejung kat kerusi. Lieto! Dia senyum tapi aku ternganga.

“Lain kali, jangan ketawakan orang... kan dah kena kat batang hidung sendiri...”

Suara dia, senyum dia, buat aku rasa macam hidung nak berdarah.
Tiba-tiba dia meletakkan sekotak sandwich ke atas meja aku.


“Makanlah... tak elok biarkan perut kosong. Nanti belajar tak serap ke otak.” Lepas cakap macam tu, Lieto berjalan keluar kelas dengan kedua-dua belah tangan diseluk ke saku seluarnya.

Aku terkebil-kebil memandang dia macam putera raja yang bersinar muncul dalam mimpi kemudian pergi macam tu aje. Dan aku tersedar sebab terjaga dari tidur.

Aku tepuk-tepuk pipi. Manalah tau memang bermimpi di siang hari. Tapi kotak sandwich atas meja, bukti aku bukan bermimpi. Memang Lieto yang datang tadi. Bila aku jenguk ke bawah, nampak Lieto dah ada di 5K2. Lieto dongak pandang aku. Senyum. Letak jari telunjuk di bibir kemudian kenyit mata. Waaaa...!

Jadi, Lieto mahu aku merahsiakan kedatangannya mencemar duli ke 4K5! Haaa... dia buat aku tambah jatuh hati kat dia! Aku perlu tulis peristiwa bersejarah ini dalam diari! Yesss!

****************
Aku memberanikan diri mendekati kelas 5K2. Kotak Bento aku dakap erat ke dada macam bawa emas. Aku dah habiskan tenaga dan masa untuk menyediakan bento khas buat Lieto sebagai tanda terima kasih kepadanya sebab belanja aku sandwich. Atau mungkin juga boleh dikira ini sebagai langkah pertama aku untuk menunjukkan rasa suka kepadanya.



Mujur Lieto duduk seorang diri di kerusi. Aku berdiri tepat di hadapannya. Lieto pandang aku dengan muka terlihat terkejut. Segan mahu berkata apa, aku hulurkan kotak bento kepadanya.  Dia belum sempat menyambut apabila ada satu tangan lain lebih pantas merentap bento itu dari tangan aku. Kami sama-sama terperanjat melihat Mina muncul macam hantu.

“Berani kau datang sini ye? Ini apa?” Mina mengangkat tinggi kotak Bento.

Aku cuba menggapai tapi Mina meninggikan lagi bento. Gelagat kami dah mula jadi perhatian.

“Oooo... nak pikat hati Lieto dengan masakan dari rumah ye? Sorry, Lieto tak makan homemade cook!” Serentak dengan itu, Mina melemparkan bento ke dalam longkang. Berterabur isinya. Aku terkedu. Malu dan geram.

Mina!” Lieto bersuara tinggi. Tanpa disangka, dia meluru, lalu mengutip kotak bento. Seketul nasi kepal bersalut rumpai laut masih elok dalam bekas. Lieto berdiri lalu berdiri di hadapan Mina. 

Dengan puluhan saksi mata, tanpa berkata apa, Lieto menyuap nasi kepal itu ke dalam mulutnya sambil terus memandang Mina. Bukan hanya Mina yang terbeliak biji mata, aku pun turut sama terbelalak. Lieto makan nasi kepal yang aku buat!

Tanpa senyum, Lieto menjauhi Mina yang masih berdiri keras. Waktu berselisih dengan aku, Lieto tunduk, membisikkan ucapan terima kasih!

Dan... hati aku berbunga riang. Tak peduli lagi pada Mina yang merenung macam ahli sihir yang bersedia menyumpah mangsanya.

**********************
Satu hari, aku nampak Lieto monyok. Sepanjang hari, dia hanya merebahkan kepala di atas meja. Bila dia terpandang aku, dia cuma senyum, dengan jarinya mengangkat tanda peace.


Aku gembira kerana Lieto yang monyok, boleh tersenyum bila pandang aku! 

**********************

Satu bar nougat almond dengan bungkusan perak, terletak elok dalam laci meja aku. Tulisan marker pen pada bahagian atas bungkuasan, buat aku rasa nak menjerit. ‘Lieto’.

“Nougat! Siapa bagi?!” Azza pula yang menjerit melihat nougat di tangan aku.

Aku tak menjawab, tapi menayang nougat itu di hadapan mata Azza.

“Hah?! Lieto bagi? Biar betul?”

“Dah ada bukti depan mata pun tak percaya lagi?”

Azza memandang aku dengan pelik. “Jadi kau tak tau?”

“Tau apa?” Aku blur.

Mina tampal nota merah jambu kat papan kenyataan. Dia dah sambung semula hubungan dengan Lieto!”

Nougat yang aku pegang terlepas dari tangan, jatuh atas lantai. Azza kutip nougat itu. “Kalau kau tak nak, bagi aku!”

“Hey! Mana boleh...!” Aku rampas semula nougat itu. Walaupun pedih mendengar berita yang disampaikan oleh Azza, tapi aku tetap nak simpan nougat tu sampai tamat tarikh luput, sampai berkulat sebagai tanda cinta aku kat Lieto tak pernah pudar!

Memang betul ada notis merah jambu tertampal di papan kenyataan. Sewaktu baca notis itu, aku rasa dunia di sekeliling aku berhenti berputar. Aku membayangkan tangan aku sedang mengoyak-ngoyak nota itu.

Segala rasa pedih, kecewa dan sakit hati aku lampiaskan dalam diari yang penuh dengan lukisan muka Lieto dan curhat-curhat terhadapnya. Tapi aku melakukan kesilapan besar apabila mengusung diari itu ke mana sahaja.

Suatu hari aku tercicirkan diari tersebut. Rasanya selepas keluar dari makmal Kimia. Jadi, aku bergegas ke sana pada waktu rehat. Mencari di dalam makmal, di sekitar corridor sampailah aku terserempak dengan Mina.

“Kau memang muka tak malu kan? Aku dah tampal notis bagitau yang Lieto dah kembali kepada aku, kau masih menggedik nakkan Lieto! Sampai lukis-lukis muka dia... tulis isi hati dalam diari! Perasanlah kau ni!”

Aku terkedu menerima serangan mulut Mina. “Jadi kau yang jumpa diari aku? Pulangkan!”

Mina tersenyum sinis. “Pulangkan? Aku dah bakar! Supaya Lieto tak tahu ada perempuan perasan macam kau yang nakkan dia!” Mina berlalu.

Aku terngadah. Sedih mendengar satu-satu diari yang mengumpulkan seluruh isi hati aku terhadap Lieto sejak hari pertama aku jejakkan kaki ke sekolah ni dah lebur di tangan Mina!

Sewaktu berada di kelas, aku nampak Mina dan Lieto bergaduh di pintu belakang kelas 5K2. Aku tak dengar apa yang dikatakan oleh mereka. Lepas tu aku nampak Lieto meninggalkan kelas. Bimbang Mina menyedari, aku cepat-cepat pusing muka.

Tapi bila aku pandang ke depan, aku terkejut melihat Lieto muncul depan meja aku dengan nafas terengah macam orang baru lepas berlari 100 meter.

“Awak sukakan saya?”

Pertanyaan Lieto buat aku tergamam. Azza di sisi diam tak terkata. Seluruh isi kelas sepi.

Aku tak sempat nak menjawab bila tangan Lieto melekap di atas kepala aku sambil dia berkata, “Kalau awak sukakan saya, jangan lupakan saya...” Selepas berkata demikian, Lieto berlari keluar dari kelas.

Azza memberikan komen selari, “ Aku rasa dia nak main-mainkan kaulah! Kenapa suruh kau jangan lupakan dia tapi dalam masa yang sama dia sambung semula dengan Mina?”

Aku tak menjawab. Hanya diam dan seakan masih terasa kehangatan tangan Lieto tadi.

Esoknya Lieto tak muncul-muncul lagi. Tamat waktu sekolah, aku menebalkan muka ke kelas 5K2 untuk cari tahu ke mana Lieto pergi. Hanya Hayuri yang dapat menjawab pertanyaan aku.

“Dia dah pindah ke Singapura laa... kau lambat!”  Hayuri geleng-geleng kepala dan terus keluar dari kelas.

Aku terduduk, tepat di kerusi Lieto. Rasa nak menangis tapi bila mata aku terpandangkan meja Lieto, aku terdiam kebingungan. Apakah itu tandanya Lieto sebenarnya sukakan aku?



*************************

“Kecemasan!!” laung seorang attendan hospital yang turut sama menolak troli. Sebagai pelatih perubatan, aku dah biasa dengan situasi cemas begitu sepanjang tempoh melakukan praktikal di hospital itu.

Beberapa orang ahli keluarga mengekori sambil bertangis-tangis. Tiba-tiba sebuah buku jatuh dari tangan pesakit di atas troli. Tak siapa pun yang sedar. Aku pun segera mendekati dengan niat mahu mengutip dan menyerahkan kepada ahli keluarganya.

Tetapi demi melihat kulit buku itu, aku rasa nafasku sesak. Itu diari zaman sekolah aku! Kenapa ada kat sini? Bukankah Mina kata dah dia dah bakar?

Aku tatap kembali kulit depan diari tertulis My Precious itu. Aku belek isi dalamnya. Sungguh, itu memang diari aku!






Setiap yang aku tulis, ada sambungannya, seakan-akan itu jawapan Lieto kepada aku. Apa ini benar-benar Lieto yang tulis? Aku membaca kembali catatan aku.



Aku dah tak sanggup nak baca lagi. Aku benar-benar tekesima. Jadi ini benar-benar Lieto yang tulis??? Apakah yang di atas troli itu tadi, Lieto? Dada aku jadi sesak. Rasa rindu tiba-tiba membuncah. Aku berlari, mengejar. Kalut mencari kembali wajah-wajah ahli keluarga yang aku lihat tadi.

Akhirnya, di hadapan ICU, aku lihat ahli keluarga itu. Lambat-lambat aku mendekati dan perempuan berbaju hijau. Dia terlebih dahulu memandang. 


“Doktor! Adik saya, macam mana?” dia bertanya panik. 


“Err... saya bukan doktor... saya cuma pelatih kat sini... ini... saya nampak buku ni tercicir tadi...” aku menghulurkan diari tu.

Perempuan itu menyambut dengan wajah terkejut. “Oh! Terima kasih! Nasib baik cik jumpa buku ini. Buku ini ibarat nyawa kepada adik saya...”

Dahi aku berkerut. “Nyawa? Maksud kakak?”

“Buku ini dah banyak bagi kekuatan kat adik saya untuk lawan kanser.”

“Kanser?” Jantung aku berdegup dengan kencang. Hati dah rasa nanar.

“Adik saya tu disahkan mengidap kanser waktu tingkatan lima. Kami bawa dia ke Singapura. Sepanjang dia dirawat di sana, buku inilah yang jadi penghibur dia sebab dia kata, buku ini milik gadis yang dia suka... dia pulih. Jadi kami pulang ke sini semula. Tapi tak sangka... kanser dia tu datang semula... sejak setahun lepas.”

"Adik kakak itu, namanya Lieto?” aku bertanya dengan perasaan berderau-derau.

Perempuan itu mengangguk, dan aku rasa lemah lutut. Mata rasa berpinar-pinar. Tangan aku capai bahu perempuan itu. Tapi aku dah tak berdaya nak berdiri dengan betul. Perempuan itu panik. Aku rasa dunia berputar-putar. Yang aku ingat, aku sebut...

“Kak... sayalah pemilik diari ni...” Lepas tu aku tak sedarkan diri lagi.

*************************
Sedar-sedar sahaja aku dah ada kat bilik rehat. Perkara pertama yang aku ingat adalah Lieto. Lalu aku berlari keluar mencari kakak Lieto. 


Di hadapan wad ICU, aku lihat ahli keluarga Lieto masih ada. Kakak Lieto segera meluru mendapatkan aku. 

“Lidiya...” nampaknya dia dah tahu nama aku. “Lieto kritikal... tapi dia nak sangat jumpa Lidiya...” 

Aku memejamkan mata. Perkataan kritikal itu menakutkan aku. Airmata terbersit keluar. 

“Pergilah jumpa dia...” kata kakak Lieto.

Aku mengangguk dan menguatkan kaki melangkah masuk. 

Saat mata terpandang arah katil, aku beku di hadapan pintu. Sekujur tubuh pemuda, memakai snow cap, terbaring lesu dan sedang tidur. Tapi tangannya mendakap erat diari aku di dada. Aku tahan airmata dari keluar sambil berjalan mendekati katil. 

Tapi demi melihat wajahnya, aku terus tersedu. Mukanya tak berubah, hanya pucat dan nampak letih. Tanpa malu aku rebahkan kepala ke dada dia. Menangis di situ semahunya. Usapan lembut di kepala, buat aku makin teresak. Jadi ingat kisah tujuh tahun dulu. Pada saat dia menyuruh aku jangan melupakannya.

“Lidiya...” Suaranya parau memanggil namaku. 

Aku angkat muka, dan kesat airmata. Sambil pegang tangannya, aku berkata, “Rindunya saya kat awak!” Aku tak ingin sentuh soal penyakit Lieto. 

“Saya lagi rindu!” Lieto jawab dalam gelak perlahan. Macam berusaha keras menyembunyikan kesakitan. 

“Diari tu... kenapa ada kat awak, sampai sekarang? Mina kata dia dah bakar?”

“Memang dia nak bakar... tapi saya sempat rampas.”

“Jadi dia bohong!”

“Dia sengaja nak sakitkan hati awak.”

“Tapi kenapa awak tak pulangkan semula pada saya...?”

“Saya sayang nak pulangkan... lagipun semua dalam diari ni kan, pasal saya... saya suka!”

“Tapi kenapa tak cakap yang awak suka kat saya?” 

“Saya nak cakap... tapi doktor buat hasrat saya terbantut... kanser dah serang saya dulu. Jadi, saya tak berani nak luahkan kat awak... yang saya mampu, cuma minta awak jangan lupakan saya...”

“Dan awak berjuang seorang diri tanpa saya?”

Lieto geleng. “Diari awak yang temankan saya selama ni... saya fikir bila saya dah sembuh nanti saya nak cari awak... tapi... mana tau, kena serang lagi...” 

Aku tahu Lieto cuba berkelakar... tapi aku tak terdaya nak gelak. Kanser itu sendiri bunyinya sahaja sudah menakutkan. 

“Lieto... saya nak kita sambung cinta yang kita kempunan masa sekolah dulu...”

Kata-kata aku itu buat Lieto tergelak sampai terbatuk-batuk. Sangka aku, batuk biasa tapi bila melihat darah terpercik, aku panik. Aku sapu mulutnya dengan tisu.

“Lieto... bertahanlah... saya dah nak jadi doktor tak lama lagi... saya akan rawat awak...”
Lieto senyum.  Terasa genggaman tangannya membalas pegangan aku.  


****************************

Mujur Penyelia aku memahami keadaan. Dr. Muni membenarkan aku menyelia keadaan Lieto. Dengan itu, dapatlah aku meluangkan masa dengan Lieto. Keputusan ujian ke atas Lieto tidak memberangsangkan, tapi aku lihat Lieto cuba mempamer semangat setiap kali aku datang menjenguk. 

“Lidiya, bawa saya jalan-jalan petang ni... bosan asyik terbaring kat sini.” Lieto membuat permintaan. 

“Tapi... awak kan tak sihat?”

“Saya tak nak terus nampak tak sihat di sisi awak. Lagipun saya nak merasa dating dengan awak...” Lieto senyum. Nakal, membuatkan aku jadi ingat senyum-senyumnya ketika sekolah dulu. 

Aku pun sebenarnya teringin nak dating dengan Lieto. Jadi dengan keizinan keluarga Lieto dan penyelia, aku membawa Lieto keluar dari hospital. Kami makan sedap-sedap. Tengok wayang. Bahkan Lieto sempat membelikan aku seutas rantai perak.

“Lidiya... saya penat... kita duduk kejap...” Lieto tiba-tiba termengah.

Aku tak boleh panik. Lalu aku pimpin dia duduk di kerusi di bawah pokok menghadap tasik. 

“Kita balik hospital?”

Lieto merebahkan kepalanya ke riba aku. “Saya cuma nak rehat kat sini... dengan awak...” Lieto pegang tangan aku lalu diletakkan ke dadanya. Dapat aku rasa denyutan jantungnya tak menentu. Lieto sedang berperang dengan kesakitan!

Sambil berbaring, Lieto tatap muka aku. Dia senyum. “Terima kasih Lidiya, sebab awak tetap sukakan saya walaupun saya sakit...”

"Dari zaman sekolah, saya memang sukakan awak... sampai sekarang..."

"Sebab tu awak suka tengok saya kan?"

 Aku angguk. Terus terkenang kisah lama. 

"Awak tahu tak, kenapa masa kat kelas dulu, saya suka jungkit-jungkitkan kerusi?"

Aku geleng kemudian tertawa sebab teringatkan kisah Lieto terlentang akibat kerusi patah. "Yang saya tahu, saya memang tak boleh tahan gelak tengok awak jatuh..."

Lieto senyum panjang. "Saya suka duduk macam tu, supaya awak dapat tengok saya dengan jelas waktu saya tengah belajar, kalau cikgu ada kat depan... supaya saya dapat tarik perhatian awak..."

"Heyyy...!" Aku tampar bahu Lieto... terkejut bila tahu punca sebenar Lieto suka duduk jungkit-jungkit di kerusi.

"Bila saya duduk sorang-sorang, saya memang suka kenangkan awak... dulu-dulu saya suka dongak tengok awak kat kelas..." Lieto gelak-gelak sambil batuk kecil. Matanya berair. Aku tak tahu airmata itu airmata sedih atau airmata sakit.

“Lieto... Jom kahwin!” tiba-tiba aku menggatal. Sebenarnya cuba menghibur hati. Betapa aku hiba bila sekarang menyedari yang dulu kami mempunyai perasaan yang sama, cuma tak terluahkan.

Lieto tarik nafas dalam-dalam. “Saya nak bahagiakan awak... tapi maaf... saya tak mampu... maaf, saya tak luahkan rasa saya kat awak waktu sekolah dulu... maaf sebab saya terlambat...”

“Lieto... jangan cakap macam tu... jom kita balik hospital... saya tahu awak sakit ni...” Aku dah tak senang hati melihat Lieto terengah-rengah. Namun dia tetap berdegil.
 
“Kita tak boleh melawan takdir, Lidiya. Saya yang tanggung jadi saya tahu setakat mana saya boleh bertahan. Tapi saya bersyukur, sebab diberikan kesempatan untuk bertemu dengan awak semula. Tak sia-sia perjuangan saya sebelum ni. Sekurang-kurangnya saya dapat pejam mata dengan hati tenang, dan lepas semua kerinduan saya kat awak...” 

“Lieto...”

“Lidiya... kalau saya dah tak ada nanti... awak hiduplah baik-baik ye... jangan lupakan saya... saya harap kat sana nanti, saya dapat jumpa mak, dan ceritakan pasal awak...”

“Lieto!” Airmata aku dah meleleh. 


Lieto menarik nafas lebih panjang.  “Saya penat Lidiya... so goodbye, don't cry and please smile...


Lieto memejamkan mata perlahan-lahan. Aku diam melihat Lieto tidur sambil tetap memegang tangan aku di atas dadanya. Denyut jantungnya terasa semakin perlahan... perlahan... dan akhirnya tidak terasa lagi.

Pegangan tangan kami terlerai. Tangan Lieto terkulai. 

Aku memejamkan mata rapat-rapat, dengan bibir terketap kuat. Dada terasa mahu pecah! Aku menangis teresak-esak macam orang gila sambil memeluk kepala Lieto, enggan melepaskan dia pergi. 

Tapi bak kata Lieto, aku tak mampu melawan takdir... sekurang-kurangnya Tuhan dah berikan aku kesempatan kecil untuk sebuah kerinduan besar yang aku dan Lieto tanggung selama ni... 

So, goodbye Lieto...





Rose Harissa® Registered under the provisions of the Trade Marks Act 1976 and the Trade Mark Regulations 1997 since 2016