Thursday 20 November 2008

Petikan SDH

November 20, 2008

“Tolong?! Sepatutnya dia yang kena bagi duit kat you tau! Bukan dia pulak mintak duit dari you. Suami apa macam tu? Dahlah tak tahu nak menghargai isteri sendiri! Walaupun I ni ilmu agama tak berapa nak cukup, tapi I selalu ingatkan diri, lelaki adalah pengurus urusan perempuan. Kaum lelaki menyara hidup kaum perempuan, dan bukan sebaliknya!” Marah betul Zarul bila mendengar cerita Edrinaz.

++++++++++++++++

Walaupun kata-kata Zarul penuh kebenaran, tetapi hati Edrinaz tetap kuat memberontak. Hatinya masih tidak sanggup mengabaikan tanggungjawabnya sebagai seorang isteri kepada Shamsul Azman. Namun dia tidak mampu untuk mengeluarkan hujah bagi mempertahankan dirinya. Edrinaz kematian kata-kata. Bibirnya diketap kuat menahan rasa yang bergelora di jiwa.

“I ni isteri dia Zarul. Syurga I di bawah tapak kaki dia. Kalau dia tak mampu nak beri berlebihan pada I, I kena reda. I kena bantu dia.” Edrinaz masih berusaha membela Shamsul Azman. Dia masih tidak sanggup mencela suami sendiri. Cukuplah sekadar dia bercerita untuk melepaskan tekanan perasaan.

“Itu bukan syurga lagi namanya Inn. Itu neraka! Dia mendera you! Dia dera mental you! Sampai you jadi gila, baru you nak sedar ke? Yeah, I pun tau syurga isteri di bawah tapak kaki suami. Tapi itu bukan alasan untuk suami, jadikan isteri sebagai alas kaki dia! Kedudukan isteri letaknya di sini!” Berapi-api gaya Zarul bercakap. Tangannya menepuk-nepuk dadanya sendiri, di sebelah kiri, dekat dengan hati.

++++++++++++++++

ZARUL melamun di atas katil. Puas meniarap, dia baring menelentang. Memandang lelangit katil. Jiwanya jadi resah bila SMS terakhirnya kepada Edrinaz sebentar tadi, tidak berbalas. Sekilas Zarul merenung jam di dinding. Sudah pukul 1.00 pagi! Ah! Waktu-waktu begini, pastinya ­Edrinaz sedang berulit dengan Shamsul Azman! Pasti mereka sedang melepaskan kerinduan masing-masing! Zarul memekupkan mukanya ke bantal. Tidak mahu membayangkan perkara yang bukan-bukan.

Buat apa aku nak fikirkan hal orang yang dah berkahwin?! Jiwa Zarul meronta-ronta. Inilah padahnya bila ada pengalaman di atas katil sebelum berkahwin. Macam-macam bayangan melintas di fikirannya. Dia tidak betah lagi memikirkan segalanya. Dia jadi cemburu dan sakit hati tiba-tiba. Zarul bingkas bangun. Suasana yang sunyi dan damai, menarik-narik hatinya untuk menyembah Yang Maha Esa. Lantas Zarul segera bangun menuju ke bilik air untuk mengambil wudhuk. Selepas itu dia membentang sejadah di tengah ruang bilik.

“Solat sunat taubat adalah solat yang disyariatkan, dilakukan untuk memohon keampunan dari ALLAH dan bercita-cita tidak akan melakukan dosa lagi…”

Terngiang-ngiang suara Johendry menasihati dirinya selepas kelas agama di banglo ayahnya itu, beberapa hari lepas. Zarul benar-benar insaf dan sedar kini. Sejak itu, Zarul tidak pernah berhenti mengerjakan solat sunat taubat menjelang dinihari.

Zarul mengangkat takbir dan mula khusyuk mengerjakan solat sunat taubat. Berulang kali Zarul memanjatkan doa kepada yang Maha Esa.

“Aku mohon keampunan kepada Allah yang Maha Agong yang tiada Tuhan yang lain,melainkan Dia, yang hidup dan berdiri-Nya dan aku bertaubat kepada-Nya.”

“Yang mengampunkan dosa, dan Yang Menerima taubat; Yang Berat azab-Nya; Yang Melimpah-limpah ­kurnia-Nya; tiada Tuhan melainkan Dia; kepadaNyalah tempat kembali.” (Surah Al-Mu’min, ayat 3)

“Wahai Tuhan kami, kami telah beriman, oleh itu ampunkanlah dosa kami serta berilah rahmat kepada kami, dan sememangnya Engkaulah jua sebaik-baik Pemberi rahmat.” (Surah Al-Mu’minun, ayat 109)

Malam yang dingin dan sepi membuatkan hati Zarul bertambah syahdu mengenangkan dosa-dosa lalu. Mengenangkan cinta pada Edrinaz yang pasti tiada penghujungnya. Semuanya teradun menjadi satu bebanan kepada jiwanya.

Zarul menangis teresak-esak di tikar sembahyang…


_____________________________________


NOTA KAKI : Aku letakkan petikan-petikan dari novel epal hijau di atas sebab tak mahu orang ingat buku itu penuh dengan 'dosa' semata (setelah baca promo di bawah entri ini) sehingga tidak dapat melihat kebaikan dan pengajaran yang terselit di dalamnya. Manusia bukan sempurna.

Wednesday 19 November 2008

'Epal Hijau'

November 19, 2008
Kata doktor, sebiji epal sehari dapat menghindarkan diri dari penyakit. Aku tidaklah pula makan epal sebiji sehari. Tapi sekarang ini 'epal hijau' memang dah jadi penawar untuk aku. Epal yang diambil khas dari ofis Kak Yati semalam .
Semalam semangat aku berkobar-kobar memandu menuju ke Kajang. Sebelum tu singgah makan di rumah Kak Lily dulu. Macam biasalah... bila singgah di situ, Mak Sunti yang rajin itu menghidangkan makanan. Dan bila melihat masakan Mak Sunti, aku tak boleh menahan selera. Bedal aje! Hahaha
Dekat-dekat kul 12 baru sampai ofis Kak Yati, terlambat sebab order roti telur! Sebelum tu kak Yati dah pesan angkut sekali mamak untuk editor dia Kak Su! Kekeke... Sampai di ofis, aku tergamam melihat epal ijau! Kak Lily dah menjerit suka.

Waaaa... freshnya! Aku pegang. Rasa nak mengalir airmata . Tapi rileks, kena cool. Macamlah ini novel pertama yang keluar ya tak? Tapi sungguhlah, hati rasa lain macam lihat 'epal hijau' di tangan. Covernya simple saja tapi sangat catchy bagi aku . Warna hijau yang keluar lepas print dan jadi buku tu, sangat menawan hati. Yelah aku ni dalam proses nak belajar warna-warna printer. Sebab dah buat cover untuk Kak Yati, takutlah nanti tengok kat skrin cantik tapi bila keluar warna tak sama.

'Epal Hijau yang sudah siap di sain.

Lepas tu menggigil tangan nak sain untuk 'epal hijau' yang dah disediakan oleh Kak Su. Jenuh juga nak sain sampai tak tahu nak tulis apa. Melepak di ofis kak Yati memang tak ingat nak balik...berat je punggung ni. Suasana meriah, siap kami makan roti telur ramai2. Tapi dalam sibuk borak2 tu kantoi juga dengan Kak Su sebab membelek buku sendiri! ekkekeke...

Kak Su yang sibuk membungkus 'epal hijau' untuk tempahan online.

Menjelang jam 4 baru la bergerak keluar dari NBKara. Lepas hantar kak Lily aku terus balik rumah takut jem. Ah! memang jam pun sebab tiba-tiba hujan lebat masa aku baru sampai puchong.
Balik rumah, letak epal hijau kat tepi sebab kepala ingat nak buat claim APO? Buat kerja rumah dulu. Tapi bila dah selesai semua, hati tak boleh ditahan dari terus membelek epal hijau yang fresh tu. Sudahnya berakhir dengan membaca! Hahaha... Makan pun dua tiga suap saja. Selebihnya duduk menikmati epal hijau sambil menemani hubby makan. Gedik je kan baca buku sendiri! Jam 12.30 malam, aku berjaya menghabiskan 'epal hijau' dengan rasa puas hati. Bukanlah bermakna ia sempurna tapi buat hati senang sebab manuskrip yang aku paling sayang dah jadi buku. Terima kasih kepada Kak Yati, Kak Nida dan suami, Encik Roni serta Kak Su, yang bersusah-payah membaca dan mengedit manuskrip ini menjadi epal hijau yang fresh.
Lepas ini kena baca lagi untuk cari kesalahan ejaan pulak.
Alhamdulillah...



--> -->
___________________________

Petikan dari Bab 30

-->
KUNCI kereta Proton Perdana disorongkan Zarul ke ­hadapan Zalina. Tidak keluar walau sepatah kata dari mulutnya. Tangannya pantas mencapai gelas berisi jus limau yang disediakan Zalina. Diteguknya perlahan tanpa memandang wajah Zalina.
“Kenapa pulak you pulangkan kunci ni? Kereta ni untuk you lah!” tegas Zalina menayangkan muka masamnya.
Oh yeah? I don’t think so! I malas nak bersoal jawab dengan Dato’ kalau dia tanya kenapa I pulak yang pakai kereta ni nanti.” Zarul menjawab dengan muka tanpa perasaan.
“I hairanlah dengan you ni Zarul. Kenapa susah sangat you nak terima pemberian I? You tau tak kalau lelaki lain, dia takkan tolak tuah tau?” getus Zalina.
“Kalau macam tu, you bagilah pada lelaki lain. I tak pandang harta benda ni,” balas Zarul selamba.
“Bodoh!” rengus Zalina melepaskan geram. “You memang bodoh menolak tuah. I bagi duit, you tak nak, bagi kereta you tolak! Apa yang you nak sebenarnya?”
“I tak nak apa-apa! Dan you tak perlu bagi apa-apa!” Zarul membentak. Dia bersedia untuk bangun.
Zalina mula resah. Rugi jika melepaskan Zarul ­pergi. Ketiadaan Dato’ Kamarudin harus dipergunakan sebaik mungkin. Dia mahu menghabiskan masa puas-puas bersama Zarul. Dia ingin mencari kembali kehangatan yang telah lama hilang dari Zarul.
“Zarul… janganlah marah. I tak paksa you lagi.” Zalina bingkas bangun memeluk lengan Zarul. Dielusnya pipi pemuda itu, mengharapkan simpati. Namun Zarul ­memandangnya dingin.
“I nak balik!” getus Zarul.
Please… stay here. Temankan I sampai esok!” rayu Zalina tanpa segan. Merapatkan lagi dirinya dengan Zarul. Menggesel macam kucing miang!
No! I’m not in the mood… I baru bangun dari demam, tenaga pun tak cukup lagi. Cukuplah semalam you ‘kerjakan’ I sampai tak peduli I tengah demam. You ­simpanlah ghairah you tu untuk Dato’. Dia halal untuk you!” dalih Zarul, sempat pula menyindir secara halus.
Zalina merengus marah.
“Kenapa dengan you sekarang ni Zarul? Pandai cakap soal halal pulak dengan I? Dulu tak payah tunggu you ada mood pun! You tibai aje!” Giliran Zalina pula menyindir. Namun tangannya masih lekat di pinggang Zarul.
“Itu dulu Zal. Yelah, macam budak-budak baru dapat coklat. Siapa tak seronok kan? Sekarang dah besar, dah tau memilih. Bukan boleh main tibai aje! I pun ­teringin nak cari yang halal juga.” Zarul menyindir penuh makna mendalam. Matanya mengecil memandang Zalina. Perlahan-lahan dia meleraikan pegangan Zalina.
“Sanggup you hampakan I? Kenapa you tak mahu fikirkan perasaan I?” Zalina mula mencemik. Jengkel benar hatinya bila Zarul menimbulkan soal halal dalam hubungan.
“Selama ni pun you tak pernah fikirkan perasaan I!” rengus Zarul kemudiannya berpaling mahu melangkah.
“I cintakan you Zarul!”
Luahan Zalina membuatkan langkah kaki Zarul terhenti. Dia kembali berpaling menghadap Zalina.
“Zal…tak ada cinta antara kita. Jangan silap ­menilai perlakuan mesra kita sebagai cinta. Kita hanya sama-sama bernafsu. Tak lebih dari itu!” Zarul meningkah ­sebelum meneruskan langkah keluar tanpa menoleh lagi ke belakang.
“Jaga you Zarul!!” Zalina menjerit nyaring ­melepaskan kemarahannya.
___________________
-->
Petikan bab 49
ZARUL benar-benar terkejut apabila menerima ­panggilan daripada Edrinaz ketika jam menunjukkan hampir ­pukul 12 malam. Malah dia bertambah terkejut apabila ­mendengar Edrinaz menangis teresak-esak tanpa dapat ­berkata apa-apa. Cemasnya Zarul, hanya Tuhan sahaja yang tau.
“Inn…bawak bertenang. Kenapa you call I malam-malam ni? Suami you tak marah ke? Apa dah jadi ni?” Zarul cuba memujuk menenangkan Edrinaz.
“I sedih…” Edrinaz teresak lagi. “Tadi I gaduh ­dengan Azman. Lepas tu dia keluar dari rumah, sampai sekarang tak balik lagi…”
“Gaduh pasal apa pulak ni? You ni… selalu buat I susah hatilah,” omel Zarul sambil mengusap ­mukanya s­ebelum melepaskan helaan nafas berat. Hilang rasa ­mengantuknya.
“Dia curiga pada I. Dia ingat I melencong ke lain dengan you lepas tengok you perform hari tu. Tapi bila I ­tanya dia balik, ke mana dia pergi sepanjang dua hari I tak ada di rumah, dia melenting. Bila I tuduh dia jumpa ­dengan si Ju tu, dia tambah marah. Sudahnya I jugak yang dia ­salahkan!” adu Edrinaz berselang seli dengan esakan.
Zarul mengeluh. Kedengaran seperti hal ­pergaduhan remeh-temeh sahaja. Tetapi apabila difikirkan secara dalam-dalam, Zarul sedar ada sesuatu yang tidak kena. Manusia biasanya akan melenting jika kesalahannya dapat dihidu. Kemudian akan menafikan sehabis mungkin. Kalau boleh ditepis, dikuis pula kesalahan itu pada orang lain. Mungkin itulah yang telah berlaku pada Shamsul Azman. Mungkin Shamsul Azman telah melakukan sesuatu kesalahan dan curiga jika Edrinaz juga melakukan perkara yang sama.
“Inn…sabar ya? Jangan ikutkan perasaan. You kan isteri yang baik? Berdoalah pada Tuhan agar Azman berubah,” pujuk Zarul. Dia tidak mahu menyatakan pendapatnya, ­tidak elok untuk ‘kesihatan’ rumahtangga Edrinaz. Dia tidak mahu menambah keruh yang sudah tercipta.
“Sorry Zarul sebab mengadu benda remeh macam ni pada you. I sedih sangat…” Suara Edrinaz makin melirih.
No worries. I’m your good listener… tidur ya? I nyanyikan satu lagu untuk you. Harap you dapat tidur ­dengan tenang.” Zarul memujuk sambil menggapai gitar dan handsfree.
Thanks,”ucap Edrinaz perlahan. Dia tersenyum mendengar bunyi petikan gitar dari Zarul.
“Kan kulukiskan wajahmu mewarnai duniaku,
Kan kusyairkan lagumu menemani sunyi…”
Zarul mula menyanyikan lagu Bintang-bintang dari ­kumpulan Nitrus. Edrinaz mendengar penuh khusyuk. ­Manis iramanya membuatkan Edrinaz tersenyum senang. Terbuai hatinya mendengar alunan suara Zarul yang dekat di cuping telinga.
“Bintang - bintang, menyinari malam ku,
Bintang-bintang, setulus ucapanmu,
Andaikata mu setuju genggam erat tanganku,
Bintang-bintang destinasiku…Kan kuhulurkan bahuku tuk kau ratap ­tangismu,
Kan kusulami tawamu buat rencah hidup…”
Zarul terus menyanyi, seolah-olah mendodoikan Edrinaz. Lincah tangannya memetik gitar, bagaikan Edrinaz benar-benar ada di depan menyaksikannya.
“Inn?” Zarul memanggil. Tidak terdengar jawapan.
“Inn?” Zarul memanggil lagi.
Masih tiada jawapan.
Edrinaz sudah tertidur ­rupanya. Hanya terdengar hembusan nafas halus Edrinaz. Zarul diam menikmati. Amat mengasyikkan nadanya. Zarul tersenyum sendiri ­sambil menggeleng-gelengkan kepala bila menyedari dirinya hampir terpesona. Lantas Zarul ­mematikan talian. Doanya moga tidur Edrinaz lena diiringi mimpi-mimpi indah…
Rose Harissa® Registered under the provisions of the Trade Marks Act 1976 and the Trade Mark Regulations 1997 since 2016