Friday 22 February 2013

Kisah Mak Yowmi dan anak² Chinese New Year

February 22, 2013
Mak Yowmi... haaa... nama dah macam bibik aje kan? 

Sebenarnya Mak Yowmi ni bukanlah sesiapa... dia hanyalah seekor kucing betina yang suka bertenggek mintak makan kat tingkap dapur rumah aku ni sejak sebulan yang lalu. Kami pun bagi ajelah makan apa yang patut. Lagipun bila tengok perutnya 'muncit', rupanya mak buyung...

Aku pun teringinlah nak seekor anak dia... sebab dah lama tak bela kucing. Last aku bela kucing tahun 1998. 

Kucing yang aku bela bersama sahabat, Jebat ketika final year di UTM. Masa tu memang aku memang tengah cari anak kucing jantan ekor kontot warna oren. Bebi aku ambil dari mak dia masa tengah menyusu. Lepas tu ganti minum susu tepung khas kuching dan lebih suka makan Friskies daripada Whiskas. Aku bahasakan diri sebagai 'mama' dengan Bebi.

Dia buang air dalam tandas, tidur pun atas dada, celah ketiak. Kucing yang manja dan dengar cakap. Suka melepak atas kertas lukisan
aku. Time aku nak melukis, time tu la dia nak bermanja.

Habis belajar (1999)
aku bawa balik ke Pahang. Dia berubah jadi kucing kampung yang nakal. Kaki pernah patah berdarah dirempoh orang. Bila Ik lahir, dia dah mula sakit-sakit, bulu mula gugur dan warna oren makin pudar. 

Kemudian 'missing in action'... sedihhhh... (;_;) yang tinggal cuma anak cucunya dengan ekor kontot² belaka...(;_;). Lepas tu aku dah tak nak bela kucing. Sebab tak jumpa lagi kucing yang dapat menambat hati. Lagipun aku tak gemor bela kucing Parsi dan yang seangkatan dengannya. Aku lebih suka bela kucing kampung. Lagi syok buat main. 


Berbalik pada kisah Mak Yowmi. Tetiba dia hilang, dua tiga hari tak datang rumah. Cuti tahun baru Cina, tetiba dengar anak kucing mengiaw-ngiaw... haaaa... sah dia dah bersalin! Tapi kami cari-cari tak jumpa... dengar bunyi macam dari rumah jiran sebelah... tapi mustahil pulak sebab grill balkoni rumah jiran tu siap berkawat nyamuk. 

Tup-tup, bila diorang balik bercuti, dengar riuh rendah wife jiran aku tu bising. Rupa-rupanya kucing beranak dalam rumah dia! Haiyoohhh... tak sangka dia lepas masuk ikut kawat nyamuk tu... Anak-anak kucing yang empat ekor tu, diorang letak dalam kotak limau, tepi tangga depan rumah. Malang sungguh, seekor yang berwarna putih dan meninggal dunia, mungkin sebab tak dapat susu mak kut... sobb... sobbb...

Aku tak sampai hati nak biarkan... hubby pun suruh bawak masuk, lagipun takut kucing jantan makan anak-anak tu. Sebab aku pernah ada pengalaman, bela mak kucing dan baby kucing dalam reban ayam tinggal. Bangun pagi tengok anak kucing tu dah tinggal separuh badan, rompong, isi dalam dah habis kena makan, entahkan bapak kucing atau jin mana yang makan, sebab kosong beb! Macam citer Supernatural pun ada...

Jadi aku tanak anak² kucing Chinese New year ni kena nasib yang sama. Cumanya aku hairan Mak Yowmi tak nak masuk kotak untuk susukan anak-anak dia. Puas kami paksa. Sampaikan terpaksa beli susu kucing dan botol susu, susukan sendiri...

Tapi tau ajelah, anak-anak kucing baru dua tiga hari, dengan darah masih ada, tali pusat tak bukak lagi, last-last aku paksa jugak mak kucing tu masuk dalam kotak. Itu pun puas umpan dengan Friskies tapi dia buat tak layan. Sampai akhirnya kami umpan dengan ikan singgang, barulah mak kucing tu jinak. Memang kucing kampung sungguh. 


Bila tengok macam seksa sangat dia nak duduk dalam kotak tu, hubby suruh ambil tudung saji lama, letakkan diorang dalam. Hahahaha... barulah diorang nampak selesa dan barulah mak kucing tu nak susukan dan bersihkan anak-anak dia... cehhh... nak tempat besar rupanya... Port dorang kat balkoni... aku malas nak bawak masuk rumah, sebab tatau cara mak Yowmi ni 'membuang' @ poo poo macam mana... 



Yeahhh... kucing kampung, kita bela style kampung... :)



Nama mak Yowmi tu adik aku yang bagi. Katanya hasil dari bunyi kucing miyow, miyow... bongek sungguh kan? Atas idea Yusnita CsTing sempena tahun baru Cina, aku namakan anak-anak tu Xi, Fa dan Chai. Kalau tak, lengkap Kong Xi Fa Chai... hahahaha...


Bila one day Mak Yowmi bawak anak-anak masuk bawah lemari kasut, aku cuak. Dah kenapa pulak, tak suka duduk dalam tudung saji ke? So, aku fikir mungkin dia nak tempat gelap, maka aku berikanlah rumah baru ala setinggan, kotak besar untuk dia. Siap potong buat pintu dengan tingkap... yelahh... tak dapat bina bangunan, dapat bina rumah kotak untuk kucing sekeluarga pun jadilaaaa... hahaha...






Malang menimpa lagi, bila ada dua ekor kucing jantang duk panjat balkoni kacau Mak Yowmi anak beranak... Mak Yowmi memang nampak phobia giler sampai 3 kali angkut anak masuk lemari baju adik aku. Akhirnya sayang punya pasal... sekarang depa anak-beranak aku bawak masuk rumah... 






See? Comeyyy dan gebu kan? Macam manalah aku tak sayang... sampai sanggup nak bela ketiga-tiganya. Lagipun, kucing kan haiwan yang paling disayangi oleh Rasulullah SAW... Jadi tak jadi beban pun kalau nak bela tiga-tiga daripada diorang terbiar kat luar.

Diceritakan dalam suatu kisah, Nabi Muhammad SAW memiliki seekor kucing yang diberi nama Mueeza. Suatu ketika, dikala nabi hendak mengambil jubahnya, di temuinya Mueeza sedang terlelap tidur dengan santai diatas jubahnya. Kerana tidak mahu mengganggu haiwan kesayangannya itu, nabi pun memotong belahan lengan yang ditiduri Mueeza dari jubahnya.

Ketika Nabi kembali ke rumah, Muezza terbangun dan tunduk sujud kepada tuannya.

Sebagai balasan, nabi menyatakan kasih sayangnya dengan mengusap lembut ke badan kucing baginda itu sebanyak 3 kali. (sumber: http://mediapermatangpauh.blogspot.com/2012/02/kucing-rasulullah-yang-bernama-muezza.html)

Satu lagi, suka tengok bila time dorang menyusu. Hahaha... macam-macam gaya. Berebut-rebut. Korang tengok aksi budak ni... kuat menyusu sungguh.  (p/s: abaikan nenen Mak Yowmi yang agak 'berkerak' itu, maklumlah mak kucing dalam pantang, aku tak berani nak bersihkan... )



Yahhh... yahh... ini cara nak dapat susu lebih... kita kasi pijat-pijat nenen mak... dappp wooo...

Bak kata anak aku, bila ditanya abahnya kenapa nak bela kucing tu, jawabnya, bela kucing tu menenangkan jiwa... haa... bukan setakat menenangkan jiwa... tapi aku rasa macam jaga anak kecik la pulak, pagi-pagi buka mata, ingat dorang dulu... 

Sudahnya nanti, aku jugak yang tak menaip... :)

Monday 18 February 2013

Guy Next Door - 10

February 18, 2013



AKHIRNYA... genap seminggu Fandi lenyap macam ditelan bumi. Cuti hujung minggu aku yang biasanya dipenuhi dengan ­aktiviti dating + tengok wayang + ronda-ronda sampai ke malam, ­akhirnya berlalu dibawa angin!

Akibatnya, aku memulakan ­kerja pada hari Isnin dengan muka tonyok, bak kata mak! Buat kerja pun ­dengan mulut muncung. Nasib baik aku tak tergamak aje nak koyakkan pelan-pelan yang bersepah atas meja aku ni.

“Kau ni kenapa, Kris? Dah macam orang mati laki aje aku tengok... apa masalah kau?”

Entah bila masanya Mia muncul, aku pun tak sedar. ­Memang aku mengelamun lebih dari teliti pelan yang sepatutnya aku semak segala ukuran.

“Memang pun! Si Fandi dah hilang dari hidup aku! Aku dah tak tau nak buat apa. Takkan nak kena terjah kat ofis dia pulak?” Dengan Mia, aku memang tak segan silu kongsi cerita pasal boyfriend.

“Apalah tembe sangat kau ni? Facebook kan ada? Kau ­carilah Fandi kat situ!”

“Ah ah eh? Apsal aku tak terfikir dari dulu ha?”

“Sebab kau tembe! Loading slow la kau ni!”

Aku menyengir pada Mia sebelum capai Galaxy Note dan login facebook yang dah lama aku tak online. Sebab selalunya aku dengan Fandi lebih gemar berkomunikasi melalui Whatsapp.

Perkara pertama yang aku perasan, status ‘in ­relationship’ berubah tanpa ada gambar pasangan. Profile Fandi dah tak ada pada hujung ayat hubungan mesra tu! Aku terngadah.

“Hey! Takkan dia buang status kami?!” Aku nyaris ­berteriak. Usus dah terasa macam bersimpul. Cuak gila! ­Menggelabah aku taip nama Fandi dalam list friend tapi tak jumpa pun yang ­namanya Syed Affandi Syed Ahmad.


“Beb... aku rasa FB dia pun dah lesap ler!” Rupa-­rupanya Mia pun tolong cari Fandi guna facebook dia, melalui ­handphonenya.

Aku dah rasa nak meraung! Mendadak rasa lemah lutut, perut rasa sebu. Kenapa jadi begini??? Nak kata Fandi ditelan bumi, kat Malaysia mana ada kejadian gempa, tanah merekah telan orang!

Terus aku logout. Laju aje jari aku tekan nama Fandi pada handphone. Tak sampai sesaat, suara seorang perempuan menjawab, buat aku ternganga dan tangan hampir terlepaskan handphone.

Nombor yang anda dail, tiada dalam perkhidmatan...”

“Beb! Nombor dia pun dah tak ada!!!” Aku terjerit halus dan pekup muka dengan dua tangan di meja. Aku nak menangis, tapi kenapa macam tak ada airmata yang nak keluar?

“Kris… aku tau kau tak okey. Jom kita pergi makan! Lepas makan kita cari Black Forest Cheese nak?”

Bagi aku dan Mia, makan sedap-sedap, adalah salah satu cara melepaskan tekanan. Semerta aku bingkas, tangan dah ­capai handbag. 

“Jom!” seru aku tak agak-agak. Untuk sementara waktu, permasalahan boyfriend perlu dilupakan!

________________________________________

WALAUPUN dah makan Black Forest Cheese berjuring-juring sebab nak hilangkan resah kononnya, tapi bohonglah kalau aku cakap tak penasaran memikirkan status hubungan aku dengan Fandi. Rasa macam digantung tak bertali aje. Keghaiban Fandi betul-betul menyita otak aku sampai tak mampu nak fikir benda lain.

Bila balik rumah, tengok mak tengah kemas baju masuk dalam bagasi, baru aku teringat yang mak dengan abah akan ­bertolak ke Mekah petang esok! Alahaii…

Dengan langkah gontai, aku mendekati mak. Belum pun aku cakap apa-apa, mak dah berbunyi.

“Hishh! Kau ni Kris! Mak dengan abah belum pun jejak kaki ke Mekah, kau dah tunjuk muka macam sayur lecur tu lagi. Ni tak lain tak bukan sebab si Fandi kan?”

“Memanglah sebab dia...” Hanya itu yang mampu aku ucapkan sebab aku dah rasa nak nangis. ­Perlahan-lahan, aku ­rebahkan kepala atas riba mak. Mak pun berhenti melipat baju dan mengeluh pandang aku.

“Kau jangan marahlah ye Kris, kalau kat Mekah nanti, mak nak doakan supaya kau putus dengan si Fandi tu!”

“Makkkk!!!” Aku terjerit kecil. Automatik empangan mata aku pecah, menumpahkan airmata yang tertahan sejak di pejabat tadi. 

Aku mula teresak. “Mak ni… higgss… higgss… patutnya mak doakan… higgss… Kris bahagia… higgss…” Aku bercakap di sela-sela sedu-sedan. “Ini tak… higgss… doakan yang… higss… buruk-buruk pulak… higss! higgss...

Bahu aku terhenjut-henjut. Aku kesat air mata dan hidung yang dah berair dengan hujung kain batik yang mak pakai.

“Iskkk! Kau kesat hingus kat kain mak?! Bertuah punya budak!” Mak cubit bahu aku. Nak tak nak aku tergelak juga ­dalam sendu. Mak geleng-gelang kepala pandang aku.

“Kau jangan salah faham pulak. Cuma mak yang tak ­berhati perut aje sanggup doakan yang buruk-buruk untuk anak dia. Mak nak doakan kau putus dengan si Fandi supaya kau dapat jodoh yang jauh lebih baik dari dia!”

Aku terdiam mendengar kata-kata mak itu. Sebenarnya hilang asa untuk mempertahankan Fandi. Sampai hati dia buat aku macam ni...!

“Kris... bila mak dengan abah kat Mekah nanti, kau jangan buat hal pulak. Mak dah pesan kat Adam dengan Mak Cik Ton supaya tengok-tengokkan kau...”

Bila dengar aje nama Adam disebut, terus aku bangun, tunjuk muka protes. “Mak! Orang bukan budak kecik tau, sampai mak suruh jiran sebelah tu tengok-tengokkan orang. Taulah orang jaga diri sendiri!”

“Yelah tu... selama ni, kalau aku ni tak masak, tak ­makanlah kau kat rumah ni...” Mak senyum mengejek.

“Ala... apa nak susah? KFC, McD, Pizza 24 jam kan ada?” Aku tak nak kalah.

“Kalau mak ni cakap, menjawab aje kerjanya. Dengan si Fandi tu tak nak pulak kau lawan-lawan. Bertegas sikit suruh dia masuk minang...”

“Heee... mak, itu dah macam terdesak sangat namanya. Orang ada pun ada maruah tau... itu dah macam pergi mencari timba pulak.”

“Kalau betul kau nak cakap pasal maruah, bila dia ­tinggalkan kau macam ni, tak payahlah kau beriya-iya buang airmata menangis bagai nak rak. Kau carilah orang lain. Kalau payah sangat nak cari ganti, tu ha… jiran sebelah rumah ada. Si Adam tu single and available!”

Mata aku membuntang pandang mak. Bukan ­terkejut ­dengar saranan mak tu, tapi terkejut dengar mak cakap ­omputih!

“Mak ni, sejak bila pandai cakap bahasa inggeris ni?”

“Sejak mak berkawan dengan mak cik Ton dan anak dia yang hensem tu!”

Mata aku mencerun pandang mak. Tak habis-habis puji Adam tu hensem! Okay, fine, sekarang aku kena admit memang Adam tu hensem. Tapi perlu ke mak puji sambil tunjuk muka bangga dengan kening terangkat sebelah tu? Heee...

“Ooo... kalau macam tu, sebenarnya mak taulah Adam tu kerja apa ya?”

“Tau... dia kerja dengan company omputih kat US tu... buat freelance...” Terang-terang mak mengaku!

Aku melotot. “Jadi, selama ni mak tau?”

Mak mengangguk. “Iyelah... kenapa?”

Aku pandang mak dengan hati mangkel. “Sampai hati mak berahsia dengan Kris pasal si Adam tu.”

“Laa... mak ingat kau tak minat nak tau pasal dia. Lagipun kau kan selalu kutuk-kutuk dia? Jadi, buat apalah mak bagitau kau apa yang mak tau pasal dia...”
Aku tau, mak sengaja sindir aku.

“Kau dah tau dia kerja apa ya? Kau dah baca dalam ­suratkhabar fasal dia ya?”

Aku tak jawab pertanyaan mak, cuma tunduk dengan muka terasa panas. Bera. Malu.

“Itulah... lain kali jangan cepat sangat buruk sangka kat orang. Jangan nilai orang dari luaran aje. Jangan kau ingat, dalam dunia ni, boyfriend kau aje yang sempurna... sampai kau pandang lekeh aje kat orang lain. Adam tu diam-diam ubi berisi! Lelaki macam dia tu yang elok dijadikan suami supaya dapat jaminkan kau masuk syurga!”

Ayat mak tu memang kasi melecur hati aku! Sungguhlah, Adam Putra Iskandar dalam diam dah memenangi hati mak ­dalam semua aspek kehidupan!

Tapi silap besarlah kalau dia ingat, dia juga mampu ­mempersonakan jiwa dan raga aku!

Guy Next Door - 9

February 18, 2013

ESOKNYA, waktu baru aje sampai pejabat, aku singgah ke meja Mia. Laju aje aku buka mulut tanya Mia, “Beb, kau dah add ke guy next door aku tu?”

“Amboi? Ayat tu macam nak claim guy next door tu kau punya aje?”

“Huh! Ke situ pulak kau! Aku serius ni! Kau dah add dia ke belum?”

“Dah! Dia dah accept pun!”

“Huh! Kira dia gatal jugaklah ye?” Aku memang tak habis-habis dengan prasangka terhadap Adam. 


“Tak baik kau! Memula dia memang agak sombong, dia reject request aku. Tapi aku tak kecik hati pun, sebab nak dekat dengan orang hensem dan kreatif macam dia, memang begitu. Perlukan usaha sebagai tangga kejayaan. Jadi, aku request sekali lagi dengan pesanan, ‘Hi, saya ni ofis mate merangkap bff Kristal bin Abdul Hamid’. Terus dia approved aku dengan pesanan... haaa kejap ye, aku bacakan.”

Mia terus keluarkan Flyer HTC dari saku blazer. Nak ­bukak facebooklah tu! Mia pernah kata, hidup dia terasa mandom kalau sehari tak buka facebook atau tak tweet! Huh! Kronik sungguh!

“Oh, maaf, ingatkan siapa sebab saya tak approved strangers kat FB ni. Strictly for close friend and families. Yang lain banyak follow kat Devianart. Salam kenal untuk awak dan kirim salam kat Kris ya...”

Aku terlopong mendengar bacaan Mia. “Eh? Apahal mamat tu nak berkirim salam dengan aku pulak? Aku duduk sebelah rumah dia aje pun!”

Mia dah senyum mengenen. “Aku rasa kalau kau add dia mesti dia terus approve!”

“Ah! Tak kuasa aku! FB aku pun strictly for close friends and families!” Aku pulang paku buah keras! Kalau Adam ada depan aku, memang aku tarik muka eksyen!

“Eh? Tadi mengaku dia guy next door kau?”

“Jiran sebelah rumah aje, okay!”

“Rugilah kauuuu...! Dia tu best giler. Dahlah hensem...berbakat besar pulak tu! Dalam FB dia tu, banyak kawan ­omputih! Semuaaa tahap kelas A, tau! Artworks dia memang world ­classlah! Bangga aku sebab dapat jadi list friend diaaa…”

Aku tak tahulah kenapa tapi telinga aku ni rasa macam berasap aje dengar cara Mia bercakap tu. Macam budak tadika eksyen dekat kawan-kawan sebab dapat mainan baru. Rasa nak lempang pun ada! Hishhh!

“Eh, takde aku heran rugi ke tak! Apa dia fikir dia bagus sangat ke berkawan dengan ‘omputih’?” Aku senyum mengejek. Macamlah Adam ada depan aku...

“Hey, memang dia baguslah! Kau tengok ni!” Mia mendekat, tayang HTC dia betul-betul depan muka aku.

Terpampang gambar-gambar Adam. Walaupun hati menolak kata jangan tengok, tapi mata aku tetap tak berkalih dari skrin. Terdiam, rasa macam baru kena tampar pun ada bila melihat gambar-gambar Adam diapit oleh mat-mat saleh selepas terima hadiah di majlis Comic-Con ­International.

Kata-kata pujian melambung buat Adam memenuhi ruang komen.

“Haaa... kan aku dah kata dia hebat... tengok, kau sendiri pun speechless kan? Dia ni memang diam-diam ubi berisi...”

Aku bagi jelingan maut kat Mia.

Yelah... aku terpaksa admit, yang Adam tu memang diam-diam ubi berisi. Patutlah mak beriya sangat ‘up’kan nama Adam kat aku.

Tapi yang lebih buatkan aku rasa malu, bila selama ni kalau aku mengutuk Adam, kata dia penganggur kehormat, ke apa ke... tak pernah pun dia nak buka cerita akan kehebatan dia. Dia telan semua kemarahan aku dengan senyuman...

Haihhh... tiba-tiba aku rasa macam nak pindah rumahlah pulak... 

Friday 15 February 2013

Kalau tak bisa memuji janganlah mencaci...

February 15, 2013

Pada suatu petang cuti Tahun Baru Cina... kami meronda-ronda di sebuah kawasan perumahan banglo...
 
Sebagai orang yang pernah belajar senibina, mulut aku memang tak henti buat komen selari... bajek macam haibatttt la sangat kekdahnya komen bab senibina...

Tapi aku lupa yang aku punya anak yang mulutnya kalau melaser memang boleh tahan pedih menusuk kalbu... heeee...


Bayangkan... budak umur 9 tahun, smash emak sendiri macam tu... memang rasa macam kena tampar kejap... terus mak terdiam... Hubby dah terkekeh-kekeh ketawa, siap cakap, "Padan muka mama!"

Ciss...

Tapi bila duduk sorang-sorang fikir balik, ada betul jugak cakap anak aku tu. Kadang-kadang kita selalu lupa nak muhasabah bila bagi komen pada benda yang kita tak suka.

Bak lirik lagu Kotak Band - Terluka;

Kalau tak bisa memuji janganlah mencaci
Lebih baik diam dan tutup mulutmu
Kalau memang tak suka janganlah melihat
Lebih baik kau pergi, tak ada di sini

Tapi manusia memang mudah lupa... macam juga sesetengah orang yang kalau tak suka sesebuah novel, cepat benar mencaci... cepat benar buka secret group di Facebook semata-mata nak mengutuk dan mencaci novel mereka tak gemari... macamlah takde langsung benda positif dari novel yang dikutuk itu...

Haihhhlaa... manusia... memang selalu nampak kekurangan orang lain. Tahunya kondem kelemahan, bukan nak kaji apa yang baik apa yang buruk. Lupa pada pesan Tuhan;

Allah berfirman:  "Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah ia beriman. Dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim."      (Surah al-Hujurat ayat 11) 

Kalau mengaku beriman, sepatutnya kena sentiasa muhasabah diri, baiki kekurangan diri. Kalau dah suka sangat menghina orang lain dan merasa diri sendiri sempurna, berimankah namanya? Sebab orang beriman takkan mungkin merendah-rendahkan saudara seIslam.

Imam Bukhari meriwayatkan;
“Kesombongan itu ialah menolak kebenaran dan memandang rendah manusia.”

Fikir sebelum mencaci... ヾ(。´・_●・`。)☆

Thursday 14 February 2013

Mandi dengan hantu?!

February 14, 2013
Ni cerita lama kat APO? tahun 2003... sajelah aku 'up' semula kat sini sebagai promosi, bagi sesiapa yang bosan baca cerita cinta aku, boleh cari Majalah APO? sebab sampai sekarang aku masih berkarya kat situ...

Cerita gabungan kisah benar masa kat asrama aku dulu dan imaginasi sendiri. 

Selamat membaca! (o⌒.⌒o)y


Bagi sesiapa yang pernah tinggal di sekolah berasrama, pasti ada menyimpan pengalaman aneh kan? Walaupun ada yang tak seseram mana, tetapi sedikit sebanyak boleh membuat bulu roma meremang. Begitu juga dengan diriku. 

Aku ditawarkan memasuki asrama di bawah program rancangan khas untuk pelajar-pelajar cemerlang UPSR. Walaupun sekolah tersebut terletak di kawasan luar bandar, tetapi untuk usia yang begitu muda, berada berjauhan dari keluarga membuatkan kami terasa bebas sepenuhnya.

Hari pertama berada di asrama, kami pelajar baru awal-awal diberi amaran agar menjaga kelakuan dan tidak terlalu bergembira untuk mengelakkan sesuatu yang tidak diingini berlaku pada malam hari. Tetapi kami mudah lupa dengan amaran tersebut. Berkenalan dengan kawan baru, membuatkan kami pelajar-pelajar tingkatan satu lupa diri!

Pada malamnya, aku tidak dapat tidur dengan lena. Terasa panas berkuwap. Selimut aku campak ke hujung kaki. Pelik juga, angin kedengaran berdesir di luar dorm, tetapi aku tetap rasa panas dan tidak selesa. Terkebil-kebil sendirian di dalam gelap. 

Tiba-tiba aku terdengar tingkap di kepala katil diketuk beberapa kali. Aku diamkan sahaja. Ketukan berulang lagi membuatkan aku bangun dan menyelak langsir di tingkap. Dengan bantuan cahaya lampu koridor di luar sana, aku dapati tiada sesiapa pun. 

Kemudian aku memerhatikan keadaan dorm yang panjang. Kesemua penghuni katil dua tingkat, kira-kira 15 buah kesemuanya, kelihatan tidur lena. Aku kemudiannya merebahkan badan. 

Baru aku berkira-kira untuk melelapkan mata, ketukan bertalu-talu di tingkap mengejutkan aku sekali lagi. Kali ini ketukan itu disertai dengan bisikan halus memanggil namaku. Bila aku bersuara bertanya siapa di luar sana, ketukan itu berhenti. Kemudian ia berulang lagi. 


Kali ini tanpa fikir panjang, aku mengambil keputusan untuk turun dari katil, lagipun suara halus berdesir itu mengamit-gamit aku untuk keluar dari dorm. Belum sempat  kaki aku mencecah lantai, terasa ianya dipegang dari bawah.

“Nak ke mana? Naik balik tidur!” Rupanya Kak Sue di tingkat bawah. Serta-merta aku bagaikan tersedar dari mimpi, naik semula ke katil dan terus tidur sampai ke pagi.

Esoknya barulah aku sedar bahawa ramai rakan baruku juga tidak dapat tidur dengan lena. Ada yang mengatakan katil mereka seperti digoncanglah, kaki mereka di tariklah, dan macam-macam lagi.

“Itulah, kitorang cakap, tak nak dengar. Kan dah kena ‘kacau’! Degil lagi…!” Kak Sue terus membuka cerita misteri pasal sekolah dan asrama itu satu persatu. Kata Kak Sue, nasib baik dia tersedar aku turun dari katil malam tadi, kalau tidak entah ke mana aku akan pergi mengikut suara tersebut. 

Sekolah dan asrama yang kami huni itu di kelilingi pohon ara yang sangat besar di setiap empat penjuru. Dan kolah air tempat kami mandi manda selain dari bilik air asrama, terletak di hujung padang berhampiran dengan pohon ara ke tiga. Oleh itu setiap subuh, kami beramai-ramai akan berduyun-duyun turun ke kolah tersebut bilamana bilik air penuh dengan penghuni lain. 

Mandilah kami di dalam gelap hanya dengan bantuan cahaya bulan kerana bekalan elektrik ke kawasan tersebut kerap kali terputus. Itupun hanya ada dua lampu kalimantang sahaja. Tetapi aku tidak pernah merungut. Aku lebih suka mandi di kolah kerana kawasannya lebih luas, banyak paip dan boleh berkongsi beramai-ramai untuk satu paip jika keadaan sesak. 

Walau bagaimanapun jarang sekali ada yang mandi menjelang maghrib melainkan beramai-ramai. Pohon ara yang merendang itu cukup menimbulkan pemandangan yang agak menyeramkan bila hari semakin gelap. Kata para senior pokok ara itu jadikan sebagai ‘pagar pertahanan’ askar-askar jepun yang berkubu di kawasan tersebut suatu ketika dahulu.

Beberapa bulan menghuni asrama tersebut, aku sudah lali dengan kejadian-kejadian histeria. Ianya seperti sudah menjadi lumrah. Sesiapa yang lemah semangat, mudah sahaja ‘dijangkiti’. Bila kejadian tersebut berlaku, aku akan berusaha menjauhkan diri. Pergi ke perpustakaan dan sebagainya, janji aku berada jauh dari mereka yang ‘tersampuk’.

Ketahanan dan keberanian aku akhirnya benar-benar teruji pada suatu hari. Aku jenis agak liat untuk bangun pagi, jadi aku akan berpesan pada kawan-kawan mahupun senior supaya mengejutkan aku ketika mereka ingin mandi pagi. 

Suatu hari aku sengaja tidur di tingkat bawah, katil Kak Sue. Katanya dia nak ke dorm rakannya mengulang kaji pelajaran. Jadi dia membenarkan aku tidur di katilnya. Aku berpesan padanya supaya mengejutkan aku dari tidur jika dia pulang nanti. Seronok betul aku dapat tidur di katil bawah. Terasa lebih ‘selamat’ dan tidak ‘terdedah’. 

Entah pukul berapa, aku tersedar dari tidur, dikejutkan oleh seseorang. Dengan mata yang masih kabur-kabur, aku lihat Kak Sue berdiri tegak di tepi katil. Dia diam memerhatikan aku.

“Eh? Kak Sue? Bila balik? Dah lama ke Kak Sue kejut saya?” Aku terpisat-pisat bangun. 

Kak Sue cuma senyum sahaja.

“Kak Sue nak mandi ni... Nak ikut tak?” tanya Kak Sue sambil mengeluarkan baldi dari bawah katil.

“Dah pukul berapa Kak Sue? Kenapa diorang tak bangun lagi?” aku bertanya bila mendapati Kak Zila di katil sebelah masih lena. Begitu juga dengan rakanku yang lain.

“Takpelah kita mandi awal sikit. Temankan Kak Sue, jom! Nanti takdelah berebut-rebut…” 

Aku menurut sahaja dengan cadangan Kak Sue. Walau mata masih mengantuk, aku mengekori Kak Sue berjalan menuju ke kolah. Suasana masih gelap pekat. Dari jauh aku lihat lampu kalimantang di kolah sekejap terpadam sekejap kembali menyala.

“ Ala.. Kak Sue.. lupa bawak lilin la…” Aku menjerit pada Kak Sue yang berjalan agak jauh di hadapan.

“Takpe la.. bukannya lama pun. Sekejap je…” jawab Kak Sue tanpa menoleh.

Aku pun akur sahaja. Aku biarkan Kak Sue berjalan di hadapan. Malas aku nak menyainginya. Ketika memasuki ruang kolah, lampu kalimantang terus terpadam. Aku menyumpah di dalam hati. Aku hanya mandi dengan sebaldi air sahaja. Tak tahan dengan sejuk, aku terus bersiap-siap. Kak Sue masih lagi mandi. 

Aku menunggu di tepi tempat membasuh pakaian. Pelik betul dengan Kak Sue ni, boleh dia tahan mandi lama-lama pepagi buta camni. Aku bersuara dalam hati sambil terus memerhatikan Kak Sue. 

“Kak Sue..! Lambat lagi ke? Saya dah sejuk ni…” aku memanggil, tetapi Kak Sue tidak menghiraukan. Terus menyimbah air ke badannya tanpa henti. 

Walaupun aku melihat Kak Sue dari sisi, aku lihat dia tersenyum. Ketika itulah aku mula berasa tidak sedap hati. Bulu tengkuk tiba-tiba meremang. Aku menggigil menahan kesejukan bila tiba-tiba sahaja angin berhembus perlahan. Terasa menyusuk hingga ke tulang.

Kak Sue bangun mengelap badannya. Aku masih memerhatikan dia menukar pakaian. Dalam keadaan suram-suram itu, aku lihat kak Sue menyarung baju labuh berwarna putih. Sewaktu Kak Sue meleraikan sanggulnya, aku tersentak. Setahu aku rambut Kak Sue hanya separas bahu. Tetapi sekarang hampir mencecah lantai! 

Kali ini aku betul-betul merasakan ada sesuatu yang tidak kena. Sebelum Kak Sue berpaling, aku capai baldi dan cuba berlari sekuat hati. Setiap langkah aku rasakan begitu berat. 

Aku menoleh dan mendapati Kak Sue masih mengekori di belakang. Melayang-layang! Barulah aku berasa takut yang amat sangat. Sambil berlari aku cuba menjerit meminta tolong tetapi suaraku tidak keluar. 

Bersusah payah aku berlari, akhirnya sampai jua ke dorm. Belum sempat aku mengejutkan Kak Miza yang tidur di katil berhampiran pintu, pandanganku terasa kabur dan terus rebah.

Sebaik sedar, aku terjerit bila melihat Kak Sue berada di sebelah. Aku dikerumuni oleh penghuni dorm.

“Apa dah jadi ni? Kak Miza sedar Ju pengsan tepi katil Kak Miza. Ju pergi mana dengan baldi pagi-pagi buta semalam. Pukul 2.30 pagi tau!” 

Aku terkejut mendengar kata-kata Kak Miza. Lalu aku ceritakan segalanya. Kak Sue kelihatan terkejut yang amat sangat.

“Ya..Allah.. nasib baiklah tak jadi apa-apa kat Ju. Kak Sue tak balik dorm pun semalam. Kak Sue tengok jam dah dekat 2.30 pagi, takut la pulak nak jalan balik sorang-sorang. Kak Sue tidur dekat dorm kawan semalam…” 

Aku cuma mampu menelan air liur mendengar penjelasan Kak Sue. Teringat peristiwa semalam. Mandi di kolah jam 2.30 pagi! Dengan hantu??? 

Tiba-tiba aje aku rasakan badan aku seram sejuk dan lemah. Seterusnya aku demam seminggu!

Oleh: NORA

Monday 11 February 2013

Kain putih!

February 11, 2013

Maria terkedu. Langkahnya yang tadi laju mahu menuju ke bilik asramanya, tiba-tiba terhenti. Dia meluaskan pendengaran, cuba mengamati suara yang baru didengarinya tadi. Sayup-sayup suara perempuan menangis. Maria menoleh jam di tangannya. Pukul 2.00 pagi. Siapa pula yang menangis waktu-waktu begini ketika penghuni asrama sedang tidur? Maria berpatah balik turun dari tangga. Suara itu datangnya dari bilik air yang di hujung blok.

Entah mengapa, Maria memberanikan diri pergi ke sana. Ketika semakin hampir, dia lihat lampu bilik air yang berkelip-kelip seolah-olah akan terpadam bila-bila masa sahaja. Suara tangisan itu semakin jelas. Maria melangkah masuk ke dalam bilik air. Di situ dia lihat ada seorang gadis sedang berdiri menyental sehelai kain putih yang bertompok-tompok kehitaman di tempat membasuh sambil menangis mengongoi-ngongoi.

“Dik… kenapa menangis ni?” tegur Maria. Tangisan gadis itu terhenti. Tapi dia tidak sedikitpun mahu berpaling memandang Maria. Sebaliknya makin kuat menyental kain putih.

“Takkanlah sebab tak dapat hilangkan kotoran pada kain tu, sampai menangis-nangis?” tanya Maria dalam nada bergurau.

“Kau tak tahu apa-apa, jangan sibuk!” bentak gadis itu sebelum semakin kuat menyental kain tersebut. Maria tersentak. Saat itu barulah terasa dirinya telah masuk campur urusan orang lain.

“Tak apalah. Maaf!” kata Maria sebelum berpaling dan keluar dari bilik air. Namun dia tidak menyedari, gadis itu melangkah keluar dan memerhatikannya dari muka pintu dengan wajah penuh kemarahan.

Selang beberapa hari kemudian, Maria sekali lagi dikejutkan dengan suara tangisan yang sama ketika pulang dari kerja shift malamnya. Dan sekali lagi Maria menghampiri bilik air berkenaan untuk memastikan apa yang didengarinya.

Gadis yang sama, menyental kain putih yang penuh dengan tompok-tompok kehitaman. Tetapi, gadis itu langsung tidak mahu mengangkat wajahnya apabila ditegur oleh Maria. Sebaliknya semakin kuat menangis dan menyental kain tersebut.

“Sudahlah tu dik… kenapa disental lagi, kalau kotor tu tak mahu hilang? Buang sajalah.” Kata Maria. Dia sendiri pelik melihat kesungguhan gadis itu menyental. Seolah-olah kain itu amat berharga buatnya.

“Benci!! Benci!!” tiba-tiba gadis itu menjerit. Terus meninggalkan kain tersebut di atas tempat membasuh. Ketika berpaling, Maria masih lagi tidak dapat melihat wajahnya, kerana dilindungi oleh rambutnya yang mengurai.

Gadis itu berlari masuk ke dalam salah satu bilik tandas. Terus diam tidak menangis lagi. Melihatkan keadaan yang sudah reda, Maria bercadang untuk meninggalkan sahaja bilik air tersebut, tambahan pula matanya sudah mengantuk yang amat sangat. 


Tetapi matanya terbelalak apabila melihat kain putih yang ditinggalkan di atas tempat membasuh. Bukan lagi bertompok-tompok hitam sebaliknya dicemari darah merah yang pekat. Menitis dari hujung kain ke lantai.

Maria terkesima. Selama ini gadis itu menyental kain berdarah ke? Maria berpaling ke arah bilik tandas yang dimasuki oleh gadis tadi. Tetapi sekali lagi Maria tersentap. Dari bawah pintu, dia lihat ada darah mengalir terus ke saluran air. Semakin lama semakin melimpah-limpah.

Maria menjerit ketakutan. Namun begitu hatinya ingin sekali memastikan keadaan gadis tersebut. Lalu Maria mengumpul semangat untuk membuka pintu. Menggeletar tangannya ketika menolak daun pintu. 


Sebaik sahaja pintu terbuka, Maria ternganga. Wajahnya berubah menjadi pucat lesi serta-merta. Menggigil tubuhnya. Di dalam bilik tandas itu, gadis tadi duduk di atas mangkuk tandas. 

Tetapi dalam keadaan tidak bernyawa. Mulutnya ternganga dengan mata terbelalak ke atas. Darah mengalir melalui pergelangan tangan kirinya yang terbelah. Juga dari celah kangkangnya. Dan anehnya, mukanya sudah kehijauan, seolah-olah sudah lama mati!


Maria merasakan lututnya lemah. Dia tidak berdaya langsung untuk melangkah meninggalkan bilik air. Ketakutan yang menguasai dirinya, membuatkan Maria longlai. Hanya terpaku memerhatikan fenomena mengerikan di depannya itu.

Namun satu lagi kejutan untuk Maria. Mayat gadis tadi tiba-tiba bergerak-gerak. Matanya berpusing-pusing sebelum tepat memandang Maria. Semakinlah Maria menggigil ketakutan. Gadis itu sudah bangun. Dari celah kangkangnya, kelihatan satu benda panjang seperti tali, berjuraian. Maria terpelangah. Itu tali pusat!

Dengan sisa semangat yang ada, Maria menggagahkan diri menapak ke belakang. Setapak dia berundur, setapak mayat gadis itu mendekat. Maria semakin tidak berdaya menghadapi situasi menakutkan itu. Suaranya tersekat-sekat.  

Maria terjelepuk jatuh di atas lantai. Ketika mayat gadis itu mahu memegang kakinya, barulah Maria dapat melepaskan jeritan sekuat hati. Selepas itu Maria tidak sedarkan diri lagi…

**************************
GONCANGAN kuat pada tubuhnya, membuatkan Maria segera membuka mata. Terpacul wajah Hanis, Siti dan beberapa lagi teman lain. Mereka semua mengelilingi Maria. Melihatkan bahawa dia selamat berada di bilik bersama rakan-rakan lain, Maria mengurut dada tanda lega walaupun sisa ketakutan masih ada di hatinya.

“Kami dengar kau menjerit tapi bila kami tengok, kau dah terbaring atas lantai. Cuba kau ceritakan pada kami, kenapa kau boleh pengsan dalam bilik air tu?” Hanis mula menyoal mewakili rakan-rakan lain.

Maria menarik nafas dalam-dalam sebelum memulakan cerita tentang apa yang dialaminya. Mereka semua kelihatan terperanjat mendengar cerita Maria yang menakutkan itu.

“Kalau macam tu, cerita tentang gadis tu betul-betul terjadi rupanya…” keluh Hanis seakan mengetahui cerita lain yang tersembunyi. 

Mereka semua berkerut memandang Hanis, meminta penjelasan lanjut. Seakan memahami keinginan di hati teman-temannya, Hanis mula membuka cerita.

“Ada orang cerita kat aku, bilik air tu berhantu. Tapi hantu tu akan ganggu lepas pukul 1.00 pagi. Dengar-dengar cerita, dekat asrama ni dulu, ada sorang gadis cantik, lemah lembut dan bertudung litup. Kira memang gadis baik la… dah tu jadi rebutan orang lelaki. Dia akhirnya couple dengan sorang mamat hensem ni. Tapi tak sampai lima bulan, diorang putus hubungan. 

Tak tahu apa sebab. Mamat tu tiba-tiba pindah ke lain. Yang gadis ni pulak, dah tak mahu bercampur gaul dengan orang lain.

Sampailah satu hari orang jumpa dia mati dalam bilik air tu. Rupa-rupanya dia mengandung. Sorang pun tak sedar dia mengandung selama ni. Sebab perut dia kecik. Dia terberanak dalam bilik. Sebab takut kawan dia balik dan nampak bayi tu, dia bungkus bayi dia dengan telekung sembahyang. 


Dia bawak bayi tu masuk bilik air. Bayi yang masih hidup tu, dia campak masuk dalam lubang tandas. Lepas tu, dia duduk atas mangkuk tandas tu dan bunuh diri dengan cara hiris pergelangan tangan dia.

Lepas orang jumpa mayat dia dan mayat bayi yang separuh tersangkut dalam mangkuk tandas tu, terus budak-budak asrama ni tak berani nak masuk tandas tu lepas pukul 1.00 pagi. Sebab waktu itulah dia mati. Ada orang yang tak tahu, terserempak dengan hantu dia tengah menyental kain telekung sembahyang tu. 


Aku rasa, kain putih yang kau nampak dia sental tu, kain telekung sembahyang yang dia buat balut bayi dia tu lah. Berdosa kan? Roh dia pun tak aman sampai sekarang…” Hanis mengakhiri cerita.

Masing-masing menelan air liur. Tetapi Maria yang terlebih takut kerana dia telah terserempak dengan hantu gadis itu. Patutlah hantu itu beriya-iya menyental kain putih sambil menangis. Rupa-rupanya terpalit ‘dosa’ nya pada kain suci itu.

Sekian…

Monday 4 February 2013

Guy Next Door - 8

February 04, 2013

(dilukis guna Adobe Illustrator CS3)

LEPAS pada aku dapat coklat ­mahal banyak-banyak dari ­Adam—yang akhirnya aku tak ­makan langsung—terus aku tak nampak dia lagi dah. Chevy Cruze dia yang cun tu pun ghaib dari porch.

Ke mana pulak dia pergi eh?

Aku tertinjau-tinjau jugak, kut-kut nampak ­kelibat Mak cik Ton ke. Tapi rumah sebelah tu macam tak ada penghuni pulak! Pintu tingkap semua ­tertutup.

“Kau jenguk apa tu?”

Mak bertanya bila tengok aku terjenguk-jenguk ke rumah sebelah waktu nak masuk kereta. Aku pun malas berpura-pura lagi. Malu bertanya sesat jalan, kan?

“Mana orang rumah sebelah ni pergi, mak? Sunyi sepi aje.Dah pindah ke?”

“Mak cik Ton duduk rumah anak sulung dia kat Putrajaya sebab Adam sekarang kat US!”

“Hah?!” Aku tak dapat menahan mulut dari terlopong. “Dia buat apa pergi US?”

“Entah… mak tak sempat pulak nak tanya. Adam pun tak cerita. Kau sibuk kenapa? Selama ni tak pernah nak bertanya pasal dia pun?”

“Ala… mak ni… orang tanya aje. Mak tu, percaya ­sangatlah Adam tu pergi US. Entah-entah nak pergi Singapore pun tak lepas!”

“Jangan cepat sangat nak buruk sangka kat orang kalau kau tak kenal dia…” Mak memberi sebuah pesan, siap dengan kerlingan mata tanda tak senang.

Yelah… Adam kan kesayangan mak…

Aku pun tak sanggup nak bertekak dengan mak. Kang terbabas pulak tengah jalan akibat dah kecikkan hati mak!

Sampai ke pejabat, aku masih tak habis fikir betul ke Adam sekarang kat US? Kalau betul? Dia buat apa kat sana? ­Takkan ­makan angin kut? Mustahil penganggur kehormat macam dia mampu makan angin kat oversea! Aku yang bercita-cita nak ­pergi New Zealand ni pun fikir panjang.

Dek kerana iseng, tangan aku gatal pulak capai handphone dan taip satu mesej untuk Adam. Terus tanya direct to the point. Tiada basa-basi dalam kamus hidupku!
Awak kat mana sekarang ni?

Send. Tapi aku harus menunggu 10 minit sebelum dapat balasan yang buat aku rasa nak hantuk kepala ke dinding.
-Eh? Awak salah hantar SMS ke? Saya Adam Putra Iskandar, tau. Bukan Fandi :)=

Siap ada ikon smiley berjanggut pulak! Memang bajek suci sungguh!
-Ya! Saya tahu! Saya tengok rumah awak kosong. Sajelah nak tau awak ke mana. Tak boleh?


-Boleh... tapi saya kat San Diego sekarang ni...

Aku baca mesej itu dengan dahi berkerut. San Diego tu kan antara lapan buah Bandar terbesar kat US... ke dia dah siap-siap google peta semata-mata nak kenakan aku?
Bohong! Kalau betul awak kat situ, macam mana boleh SMS saya pulak?

Roaming lah, dear! Habislah kredit awak! :)=

Ceh! Apa dia fikir aku ni sengkek sangat ke pakai ­handphone mahal tapi guna prepaid! Suka buat aku bengkak hatilah si Adam ni! Memang nak kena...
Selagi tak ada bukti, saya tak percaya! Hantar gambar! Sekarang!

Entah angin gedik mana datang cuit hati aku, mintak gambar dengan Adam. Tapi sebenarnya nak test tengok samada dia jantan gatal ke tak? :)
Baik. Tunggu ya... :)=

Huh! Memang gatal jugak dia! Aku tak balas, tapi sabar menunggu supaya nampak macam tak beriya sangat, kan? Lebih kurang 15 minit kemudian, satu notification MMS masuk. Aku dengan tak sabar terus buka, nak tengok gambar Adam kat US! Tapi...ceh!

Satu gambar pemandangan waktu malam. Dari tepi ­gambar tu keluar satu tangan kanan, tunjuk peace! Jari panjang berurat dan putih bersih milik Adam! Caption pada gambar tu tertulis: @San Diego Downtown.

Aku tak terkata. Rasa geram ada, rasa terkena pun ada. Sakit hati punya pasal, aku hantar SMS lagi.
Bohong! Awak tempek gambar tgn awak kat ­gambar google dari internet kan?

Up to you, dear. Sorry, saya tak suka camwhore muka sendiri! Saya nak tido dah mengantuk giler sebab kat sini malam. Salam...

Aduilaaa... Rasa macam terkena sebijik kat muka aku. ­Sebab aku pun jenis suka tangkap gambar sendiri yang orang duk sebut dengan istilah camwhore tu. Bunyinya pun sangat tak molek! Tapi itulah yang selalu aku buat, letak jadi gambar ­profile kat ­facebook! Iskkk... Adam ni memanglah buat rasa ditusuk sembilu aje.

Terus aku segan sendiri nak balas SMS tu. Tapi, baru aje letak handphone, Mia tiba-tiba datang terkocoh-kocoh sambil bawa akhbar.

“Kris! Kris! Guy next door kau tu nama penuh dia Adam Putra Iskandar bin Haji Ismail, kan?” tanya Mia dengan gaya ­paling kalut pernah aku tengok dari dia. Mia tarik kerusi dan duduk depan meja aku.

Aku pandang Mia dengan pelik. Memanglah aku pernah bagitau nama penuh Adam kat Mia tapi kenapa tiba-tiba hari ni dia tanya lagi?

“Ha ah... kenapa? Kau nak mengorat dia?”

Mia tak mengendahkan tapi terus hamparkan akhbar itu depan aku. “Ni... kau tengok ni! Ini ke guy next door yang kau cakap tu?”

Terus aku tunduk tengok gambar yang ditunjuk oleh jari telunjuk bunting serai milik Mia. Tak semena-mena mata aku melebar bila terpandang gambar jejaka yang sedang senyum ­menawan depan iMac 27”.

Aku pandang Mia sambil mengangguk tapi dengan muka tak percaya. Mata Mia ikut melebar tapi dengan muka teruja ­sangat-sangat!

Goshhh! Giler hensem guy next door tu rupanya! ­Jawline dia seksi giler, beb! Mata dia redupnya, O.M.G! Huih, kalau ­berdepan dengan dia, mesti rasa blush bila kena tenung dengan dia kan?” seru Mia, riuh macam burung murai terjerat dalam sangkar.

Mia cuba menarik kembali akhbar tersebut. Tapi aku lebih pantas menahan sebab tergamam bila baca tajuk besar-besar pada cerita dua mukasurat itu.
Anak Malaysia Berbakat Antarabangsa!

Mak aiii! Tajuk bukan main lagi! Sambil menelan air liur penuh kepayahan, aku terus baca isi ceritanya.

Berkelulusan Bcs. Media Arts & Animation dari The Art ­Institute of California-San Diego, Adam Putra ­Iskandar bin Haji Ismail yang lebih mesra dipanggil Adam, ­pernah mengukir nama di peringkat antarabangsa sebagai penulis dan komik artis. Bagi kalangan penggemar komik antarabangsa, Adam dikenali melalui lukisan digitalnya yang sangat terperinci.

Malah, hasil kerja Adam pernah diiktiraf dalam Comic-Con ­International yang berlangsung setiap tahun di San Diego ­Convention Center, ketika masih menuntut di sana.

Ketika ditemui di kediamannya baru-baru ini, anak muda ­berusia 29 tahun ini, dalam ­senyum malunya mengakui bakal berlepas ke San Diego hujung bulan ini, bagi menerima anugerah Eisner bagi kategori Best Cover Artist buat kali ketiga.

Kata Adam, anugerah itu diterimanya bagi kulit depan komik Dark World yang diterbitkan sekitar Mac di San Diego tahun sudah. Bahkan beliau sendiri tidak menyangka masih diiktiraf ­menerima anugerah itu lagi biarpun sekarang hanya bekerja secara ­bebas dari Malaysia, setelah mengambil keputusan kembali ke tanahair lima tahun yang lalu.

Menurut Adam lagi, dia mengorbankan kerjaya di San Diego demi arwah ayah dan ibunya.

“Arwah ayah meninggal dunia selepas lima hari kepulangan saya. Saya akui, agak menyesal kerana tidak pulang setelah menamatkan pengajian kerana terus diambil bekerja dengan Dark Comics Lte.”

Aku tutup akhbar itu. Tak sanggup nak baca dan tengok hasil kerja mengagumkan ‘guy next door’ itu termasuk aksinya sedang tekun melukis cover menggunakan Wacom Cintiq ­bersaiz 24”. Gilerr!! Mamat tu advanced dalam diam rupanya.

Lagipun ada satu gambar close-up Adam buat aku rasa macam makin lama tengok, rasa macam terjatuh hati! ­Seriously... gambar dia yang itu, buat aku rasa segan nak tenung lama-lama sebab rasa macam dia tengah pandang aku! Haa... statement perasan apakah ini?

Aku pandang Mia tapi otak aku berkecamuk sendiri, masih ada rasa tak percaya bercampur terkejut.

Jadi betullah Adam sekarang ni kat San Diego! Jadi ­betullah kata mak, “Jangan cepat sangat nak buruk sangka kat orang ­kalau kau tak kenal dia…” Maknanya selama lima tahun ni, Adam bukan suka-suka duduk memerap kat rumah. Alahaiii...

Aku bertambah malu sendiri. Tak sangka jiran sebelah yang selama ni aku pandang rendah, dah lama buat nama kat oversea! Iskk… manalah aku nak sorok muka ni!

“Kalaulah aku tau, Adam Putra Iskandar ni hensem, ­sehensem nama dia... dah lama aku bertenggek kat rumah kau tau! Bodohlah kau tak peduli!”

Suara Mia, diikuti dengan tangannya menarik akhbar, mengembalikan aku ke alam nyata.

“Amboi? Mulut! Sedap aje cakap aku bodoh!”

“Okey, kau tak bodoh tapi rabun! Boleh?”

Aku merengus! Peluk tubuh dan tarik muka masam. ­Sebenarnya bukanlah marah sangat pada kutukan si Mia tu. Selain dengan mak, aku pun dah biasa bergurau kasar dengan Mia. Memang masing-masing tak pernah simpan dalam hati pun. Yelah, bukannya budak sekolah lagi nak merajuk-rajuk bergaduh sampai tak bertegur sapa.

Cuma aku macam terkena satu tamparan hebat dek ­penyiaran artikel dan paparan gambar-gambar pasal Adam tu! Semua tu bukti nyata bahawasanya mamat bajek suci tu bukan duduk goyang kaki aje kat rumah! Ohh…!

“Eh? Dia dah ada awek belum?” tanya Mia lagi dengan muka teruja.

“Aku tak jaga tepi kain pelekat dia, okey!” getus aku. Tiba-tiba rasa  nak marah tak menentu.

“Takpe... kalau dah sampai masuk suratkhabar tu... mesti Adam ni sebenarnya glamer giler tapi kau aje yang tak tau sebab kat mata kau cuma ada Fandi. Takpe... aku akan google, cari tahu siapakah gerangannya si Adam yang berwajah menawan ini! Hahaha!”

Sungguhlah... cara gelak Mia tu macam gelak perempuan sihir nak mandrem putera raja aje. Hissh!

“Huh! Tak sedar diri! Kau tu dah ada boyfriendlah weh!” Aku ketuk-ketuk permukaan meja dekat. Sebenarnya nak ketuk kepala Mia tapi tangan tak sampai.

So, what? Berkasih biar satu, berkawan biar seribu, Cik Kris oiii… bukan macam kau! Tunggulah si Fandi tu macam ­bulan tak jatuh-jatuh ke riba!”

Aku mencebik tapi tak terjawab. Mia siap mengeluarkan HTC Flyer dari saku blazernya. Minah tu mana boleh ­berenggang dengan Flyer tu. Twitter dan FB maniac! Sakit perut sebab ­terlebih hirup kuah tomyam pun nak twit! Tak tahu jaga privasi langsung!

Yess!” Mia terjerit girang sambil menumbuk udara! “Aku dah jumpa facebook dia! Aku nak add dia!” Mia terus bangun dan melenggang pergi.

Aku tercengang. Macam tak percaya, sepantas itu tindakan Mia. Betul ke dia dah jumpa facebook Adam? Tindakan di luar kesedaran, tangan aku terus tekan mouse dan klik keluar window Mozilla Firefox. Aku terus taip, Adam Putra Iskandar Facebook! Ada beberapa nama dengan gabungan Adam, Putra, Iskandar. Tapi aku dengan yakin, tuju pada:
Adam Putra Iskandar Ismail Profiles| Facebook
Terus keluar satu profile dengan gambar yang sangat ­familiar. Gambar San Diego Down bersama satu tangan menyelit tunjuk peace! Gambar sama yang baru aje dia hantar kat aku. Sah! Confirm tu Adam si guy next door! Tapi aku tak boleh nak tengok wall dia.

Completely private! Ceh!
Rose Harissa® Registered under the provisions of the Trade Marks Act 1976 and the Trade Mark Regulations 1997 since 2016