[featured][carousel][6]

Saturday, 16 May 2020

MOONLIT ASSASSIN - Episod 2

May 16, 2020

TAJUK        : “MOONLIT ASSASSIN”     Episod 2
ARTIKEL     : 10/09/2012
_______________________________________________________________________

 


Leo sudah bersiap mahu ke café Mama Jie.

Ketika menuruni anak tangga, tiba-tiba dia mendengar suara kucing mengiau. Pada mulanya Leo tidak menghiraukan. Namun apabila suara kucing itu tidak berhenti mengiau, tergerak hati Leo mahu meninjau dari mana datangnya.

“Celaka! Aku bunuh jugak kucing ni nanti!”

Suara kasar itu datangnya dari arah belakang. Lalu Leo bergegas ke dapur. Serentak dengan itu, terdengar bunyi benda jatuh berdebuk diikuti dengan suara kucing mengiau kesakitan.

Leo pantas membuka pintu dapur dan dia terperanjat melihat ada seekor kucing terdampar tidak bermaya di halaman dapur rumahnya. Leo memandang ke arah rumah sebelah dan melihat lelaki bertubuh tegap itu sedang memandang benci ke arah kucing tersebut.

Menyedari renungan tajam Leo, lelaki itu menyergah, “kau apsal pandang aku macam tak puas hati?”

“Kenapa campak kucing tak berdosa ni?” tanya Leo.

Wajah lelaki itu kelihatan merah padam menahan kemarahan. “Suka hati akulah! Kenapa? Kau tak puas hati ke hah?! Hey, sepatutnya, aku yang tak puas hati kat kau, sebab aku tegur tadi tapi kau sombong nak mampus! Jiran tak guna!”

Leo tidak menjawab sebaliknya terus memegang kucing yang terlepek macam kain buruk di atas tanah itu. Kelihatannya kaki belakang kucing berbulu kelabu itu, patah. Apabila Leo menoleh, lelaki itu sudah menghilang ke dalam rumah. Leo menghela nafas panjang sambil menggeleng-gelengkan kepala sebelum masuk ke dalam rumah bagi mendapatkan kotak first aid.

Dengan penuh kasih sayang Leo merawat kucing itu. Walaupun mengiau kesakitan tetapi kucing itu tidak pula melawan atau melarikan diri.

“Entah apa punya manusia! Tak ada hati perut langsung dengan haiwan!” omel Leo tanpa menyedari dirinya sedang diperhatikan.

“Maaflah… abang saya tu memang macam tu…”

Leo tersentak. Namun begitu dia tidak mengangkat wajah, hanya mengerling melalui ekor mata. Seorang gadis berdiri di tepi pagar pemisah antara dua rumah.

“Abang saya tu memang panas baran sikit.” Gadis itu terus bercakap walaupun Leo tidak mengendahkannya.

“Kucing tu berak atas beg kami, sebab itu dia marah sangat,” jelas si gadis tanpa dipinta.

Leo masih tidak menjawab. Tangannya ligat menyudahkan balutan pada kaki kucing tersebut. Selepas meletakkan kucing itu ke dalam kotak di tepi pintu, Leo bangun. Kini dia bertentangan mata dengan si gadis. Yang jelas, gadis itu seperti terpegun melihat wajah Leo dari dekat. Sedangkan Leo tidak peduli langsung tentang kecantikan gadis itu.

“Jadi, lelaki itu abang awak?” tanya Leo dengan muka tanpa sebarang riak.

Gadis itu tersenyum manis, gembira mendengar suara Leo. “Iya… dia abang saya. Oh, ya, nama saya Ayuri. Panggil Yuri aje…” Gadis itu menghulur salam, teruja mahu berkenalan dengan Leo. Pemuda itu kacak dengan rambut diikat ke belakang.

Tetapi Leo hanya memandang sambil lalu. Sedar salamnya tidak akan bersambut, Ayuri menjatuhkan tangannya perlahan-lahan seraya tersenyum malu.

“Saya harap perangai awak tidak sekejam abang awak tu, Cik Yuri!” kata Leo dengan suara sedingin ais. Namun terasa ngilu di hati Ayuri.

Sungguh Ayuri tidak menyangka, jiran baru yang ingin dikenalinya itu sejak pertama kali melihatnya ketika dari dalam kereta tadi, sangat tidak acuh orangnya. Rupa-rupanya ada juga lelaki dalam dunia ini yang tidak terusik dek kecantikannya. Ayuri mengeluh kesal.

Enggan berlama-lama dengan Ayuri, Leo segera beredar, tidak berminat mahu beramah mesra dengan jiran baru!

***************************

“Mengapa lambat, Leo? Kamu ada masalah?” Soalan pertama keluar sebaik sahaja Mama Jie melihat Leo masuk ke dalam café. Selama ini Leo tidak pernah lewat datang ke café.

“Tak.  Tadi ada kucing cedera kat belakang rumah kita. Saya tolong letak ubat.” Leo memang tidak pandai berbohong.

“Oh… mama sangka kamu sibuk berkenalan dengan jiran baru kita.”

Leo kehairanan lalu memandang Mama Jie dengan kening bertaut. “Eh? Dari mana mama tau kita ada jiran baru?”

“Hmm… pelanggan-pelanggan café ini yang bercerita. Dengar khabar mereka tu asalnya orang sini jugak. Tapi entahlah… mama pun bukan kenal sangat dengan penduduk asal bandar Willowvale ini…sementelah kita pun bukan berasal dari sini.”

Leo hanya mengangguk-angguk. Tidak lagi berminat mahu bertanya lebih lanjut. Banyak kerja yang menantinya di café itu. Leo segera ke belakang, masuk ke dapur dan mulai melakukan tugasnya. Mengasingkan sisa makanan sebelum dibuang ke tong besar di belakang bangunan kedai.

Selepas mencampakkan beg plastik berisi sisa makanan ke dalam tong, Leo segera berpaling. Namun dia tersentak apabila melihat seekor kucing hitam bermata hijau muncul di hadapannya. Leo terkaku memandang kucing itu. Rasanya kucing itu adalah kucing sama yang dilihatnya ketika pulang dari kolej tadi.

“Takkanlah kucing tu ikut aku sampai ke sini?” Leo bergumam dalam hati.

“Meoww…” Tanpa dipanggil, kucing hitam itu mendekati Leo lalu menggesel-geselkan muka dan tubuhnya ke kaki Leo.

Leo tergamam kerana setahunya, perlakuan kucing yang sedemikian menunjukkan bahawa ia mengisytiharkan orang yang digeselnya adalah tuan punya dirinya. Walau bagaimanapun, Leo tidak pula mengusir, sebaliknya bertinggung lalu mengusap-ngusap sayang kepala si kucing.

“Kau lapar ke?” tanya Leo. Kucing itu mengiau sambil memandang comel ke arah Leo.

“Kau tunggu sini, aku masuk ambilkan makanan untuk kau, ya?” Leo bercakap seolah-olah kucing itu memahami.

Leo kembali membawa beberapa keping filet ikan lalu diletakkan di hadapan kucing itu. “Makanlah tapi aku tak dapat temankan kau. Aku harus kembali bekerja.” Sekali lagi Leo mengusap kepala kucing itu sebelum masuk ke dalam.
Jam 10.00 malam, café sudah ditutup dan Leo masih gigih mengelap meja.

“Leo… mama dah nak balik ni. Sudahlah tu…mari kita balik sama-sama…” Mama Jie bersuara.

“Mama baliklah dulu. Saya nak habiskan semua kerja ni…”

“Nak balik jalan kaki? Kamu tak takut ke?”

Dahi Leo berkerut hairan. “Takut? Kenapa pula saya mesti takut? Selama ni saya balik malam seorang diri, tak ada apa pun yang berlaku…”

“Hish! Kamu jangan cakap besar, Leo.” Mama Jie jelas tidak menyenangi keyakinan Leo. “Baru semalam seorang gadis kena serang sehingga separuh mati. Sampai sekarang polis belum dapat menangkap pelakunya.”  

Leo segera mendekati Mama Jie. “Mama… jangan bimbang okey? Leo ni anak lelaki. Saya tahu jaga diri sendiri.”

Akhirnya Mama Jie mengangguk. “Cepat-cepat siapkan kerja dan cepat balik ya? Mama tunggu Leo di rumah.”

Sepeninggalan Mama Jie, Leo meneruskan kerjanya. Ketika mahu mengunci pintu dapur, Leo teringatkan bekas yang digunakan bagi meletakkan filet ikan untuk kucing tadi. Leo segera membuka pintu.

Filet-filet ikan itu langsung tidak terusik. Bermakna kucing itu tidak memakannya. Leo mengangkat bekas sambil berkata, “Haih…takkanlah kucing tu tak berminat langsung dengan filet ikan ni?”

Dari satu sudut gelap, kelihatan sepasang mata bercahaya, mengawasi pergerakan Leo.

Selepas membuang filet-filet ikan ke dalam tong sampah, Leo memandang sekeliling sambil mulutnya memanggil-manggil si kucing.

“Meoww? Ckk…ckkk…ckkk… meow?”

Tidak terlihat kucing itu di mana-mana. Hanya deruan angin yang menyahut panggilan Leo. Tiba-tiba sahaja Leo terasa kesejukan yang amat sangat. Cepat-cepat dia masuk kembali dan segera mengunci pintu. Ketika itu juga, tanpa disedari Leo, ada satu kelibat melintas laju di belakang pintu café.

Di dalam café, Leo tidak tahu mengapa hatinya tiba-tiba berasa tidak enak. Saat itu, baru timbul rasa menyesal kerana tidak mengikut Mama Jie pulang dengan kereta. Laju sahaja tangan Leo mengetik SMS buat Mama Jie.

Mama, Leo balik sekarang… mama tunggu Leo kat rumah, ya?

Tanpa menunggu balasan dari Mama Jie, Leo mencapai beg dan bergegas mengunci pintu café. Seiring langkah Leo laju meninggalkan café, ada kelibat lain mengikutinya dari atas bumbung bangunan.

Dan Leo tidak menyedari ada bahaya sedang mengekorinya…

Bersambung…


+++++++++

Nota pengarang : Macam mana? Adakah korang dapat feel macam baca cerita terjemahan seperti yang saya harapkan/ macam tengok drama bersiri, atau dulu sebenarnya saya perasan/syok sendiri? 😂😂😂😂

MOONLIT ASSASSIN - Episod 1

May 16, 2020

TAJUK           : “MOONLIT ASSASSIN”     Episod 1
ARTIKEL        : 07/08/2012
_______________________________________________________________________

 
                                                     PROLOG


“A cat has nine lives. For three he plays, for three he strays, and for the last three he stays.”

Bidalan Inggeris ini punya kaitan dengan mitos dari bermacam budaya tentang kucing yang dikatakan mempunyai sembilan nyawa. Tetapi sebagai remaja biasa, aku tidak pernah ambil pusing, soalnya, aku tidak percaya akan perkara karut marut seperti itu, biarpun aku sendiri menyukai kucing. 

Namaku Leo. Hanya Leo, tidak ada yang nama lain.

Menurut Mama Jie, wanita yang menjagaku sejak kecil, Leo adalah nama yang diangkat dari bahasa Latin yang bermaksud ‘lion’. Kata Mama Jie, nama itu diberinya dengan harapan aku membesar menjadi remaja yang sihat. Mama Jie mengutip aku dari tempat pembuangan sampah. Jelas sekali itu menunjukkan bahawa ibu bapa kandungku tidak mahukan aku sebagai anak mereka, bukan?

Atau mungkin aku ini cuma anak haram yang langsung tidak diharapkan kehadirannya. Mungkin kerana itu juga, aku dibuang macam sampah.

Tapi Mama Jie tidak melayan aku seperti sampah. Mama Jie yang ketika itu baru keguguran anak hasil kerjanya sebagai kupu-kupu malam, malah sanggup menyusui aku. Menjadikan aku benar-benar seperti anak kandungnya sendiri. Untuk itu aku harus berterima kasih kepada Mama Jie.

Bahkan menurut Mama Jie, kehidupannya berubah 360 darjah setelah mengambilku. Mama Jie meninggalkan dunia hitam itu. Kata Mama Jie, rezeki lain datang kepadanya sehingga dia mampu membuka sebuah cafe di tengah pekan yang kami diami ini. Selama 19 tahun ini, hidup aku tenang dan aman sahaja di samping Mama Jie dan rutin seharian sebagai pelajar kolej.

Namun, aku tidak pernah menyangka hidupku bakalan berubah setelah melalui satu kejadian ngeri pada malam sialan itu. Sejak itu, aku bukan lagi remaja biasa yang pendiam dan pemalu secara zahirnya.

Kejadian itu bahkan merubah 100 peratus pandangan aku terhadap manusia dan haiwan terutamanya kucing. Sekaligus menjebakkan aku ke dunia gelap yang tidak pernah terjangkau oleh fikiran manusia biasa.

Aku sendiri tidak tahu, apakah aku memang insan terpilih atau ini merupakan satu sumpahan celaka ke atas diriku…

**************************************************

Leo sedang berjalan keluar melalui gerbang kolej ketika Kearin memanggil-manggil namanya.

“Leo! Hey! Tunggu dulu!”

Leo menoleh sekilas tetapi kemudiannya tetap meneruskan langkah. Dia tahu, Kearin tidak akan berputus asa mengejarnya. Seperti yang diduga, beberapa detik kemudian, Kearin sudah berjaya menyaingi langkah Leo.

“Ada apa?” tanya Leo sambil terus memandang ke hadapan.

“Kau ada dengar cerita malam tadi?” tanya Kearin.

Leo hanya menjawab dengan gelengan. Dia memang jarang mengambil tahu apa yang berlaku di sekelilingnya. Bagi Leo, kehidupannya adalah seputar rumah dan café Mama Jie.

Kearin berdecak melihat sikap acuh tidak acuh Leo. Sejak sekian lama, dia begitu ingin mendekati Leo sebagai sahabat. Tetapi pemuda itu terlalu dingin sikapnya. Bukan cuma terhadap Kearin seorang tetapi sesiapa sahaja di kolej. Leo lebih senang bersendirian.

“Kila kena serang. Sekarang ni dia parah kat hospital. Takkan kau tak tau?” Kearin akhirnya memberitahu kepada Leo tentang cerita yang didengarinya. Soalnya, satu pekan sudah heboh dengan cerita Kila diserang oleh lelaki misteri malam tadi.

Leo masih tidak menunjukkan sebarang reaksi.

Kearin menyambung lagi ceritanya. “Kasihan Kila… aku dengar dia banyak kehilangan darah sebab lehernya macam kena kelar. Peliknya, Kila bukan kena rompak. Seolah-olah orang itu memang sengaja menyerang Kila… Fuh! Kila dah tinggal nyawa-nyawa ikan bila ada seorang pak cik jumpa dia kat belakang lorong kedai…”

“Itulah padahnya bila terlalu bersikap mesra tanpa mengenal orang…” Leo mengambangkan kata. Dalam fikirannya terbayang sikap Kila yang gedik. Masih jelas di ingatan Leo apabila Kila dengan selamba cuba menggodanya di hadapan tandas lelaki di kolej! Sungguh tidak bermoral!

“Apa kau cakap ni? Tak baik cakap Kila macam tu. Kau tu yang tak mengenal orang…” Kearin cuba membela Kila.

Tetapi Leo hanya tersenyum sinis sekilas. Dia tidak berminat mendengar cerita Kearin tentang Kila. Lagipun Kila tiada kaitan dengan hidupnya. Tanpa berkata apa lagi, Leo melajukan langkah, meninggalkan Kearin di belakangnya. Kearin mengeluh panjang melihat kepergian Leo. Dia gagal lagi mendekati Leo.

Pada Kearin, Leo bukan sekadar pemuda biasa yang boleh dipandang sebelah mata. Leo itu pelajar pintar. Berwajah kacak juga. Sayangnya, Leo menyembunyikan semua itu di sebalik hud yang sering dikenakan di kepalanya. Mengasingkan diri dari pelajar lain. Oleh kerana itu, tidak ramai yang perasan akan kehadiran Leo di kolej. Kalau ada pun, mereka akan menuduh Leo budak nerd yang pelik!

Menurut Kearin, pemuda seperti Leo itulah yang asyik dibuat sahabat. Tentu banyak perkara menarik tentang Leo yang seronok dikongsi bersama.

Bagi Leo, dia bukannya sengaja mahu mengasingkan diri. Tetapi entah mengapa, sering sahaja muncul perasaan tidak selesa setiap kali dia berada di khalayak ramai. Leo tidak tahu bagaimana mahu menangani karenah setiap orang. Leo sering merasa terganggu apabila ada yang cuba mendekatinya.

Setiap hari, dia akan pergi dan pulang dari kolej dengan berjalan kaki, semata-mata tidak mahu berhimpitan dalam bas dengan orang lain. Bahkan Leo sanggup menolak hasrat Mama Jie yang ingin membelikannya kereta. Ketika di café Mama Jie pun, Leo akan mengelak daripada melakukan kerja-kerja melayani pelanggan. Leo lebih rela mengemas meja, mengemop lantai dan mencuci pinggan mangkuk.

Leo sudah semakin menghampiri rumah apabila dia tiba-tiba terpandangkan seekor kucing hitam berjalan melenggang di seberang jalan. Anehnya, kucing itu berjalan sambil memandang ke arah Leo. Semerta Leo menghentikan langkah. Automatik, kucing itu ikut berhenti. Siap duduk sambil menjilat-jilat kaki sambil mata hijaunya terus merenung Leo.

Leo mengerjapkan matanya beberapa kali bagi memastikan yang dia tidak tersalah pandang. Apabila kembali membuka mata, kucing itu sudahpun lesap dari pandangan. Mata Leo melilau ke sekitar, namun kucing tersebut tidak lagi kelihatan.

Enggan melayani perasaan aneh, Leo meneruskan langkah. Dari tempatnya berjalan, Leo melihat ada sebuah lori berhenti di hadapan rumah kosong di sebelah rumahnya. Beberapa orang lelaki dilihat sedang memunggah barang keluar dari lori.

“Oh… akhirnya ada orang pindah masuk ke rumah itu…” gumam Leo sendirian. Leo kemudiannya tidak menghiraukan lagi lalu segera membuka pintu pagar. Baru sahaja melangkah masuk ke halaman, tiba-tiba terdengar satu suara menegur.

“Hai…kau tinggal di sini?”

Leo menoleh dan mendapati seorang lelaki lingkungan usia lewat 20-an sedang menopang dagu di tembok pemisah sempadan rumah. Ada senyum lewat bibir pemuda bertubuh tegap itu.

Leo berusaha membalas dengan sebuah senyuman dipaksa-paksa. Dia baru mahu menjawab pertanyaan lelaki itu apabila matanya terpandangkan seorang gadis sedang merenungnya dari dalam kereta yang terparkir di halaman. Cepat-cepat Leo memalingkan wajah lalu tergesa-gesa masuk ke dalam rumah.

“Huh! Nampaknya kita dapat jiran yang sombong!”

Leo mendengar cemuhan itu tetapi dia tiada hati mahu melayaninya. Pintu rumah ditutupnya rapat-rapat. Leo berlari anak naik ke biliknya. Selepas meletakkan beg di kerusi meja belajar, Leo mendekati tingkap. Dari situ, dia dapat melihat dengan jelas halaman rumah sebelah. Dia ingin melihat penghuni baru rumah kosong itu.

Leo memerhatikan orang-orang yang keluar masuk. Mata Leo tertancap pada gadis yang keluar dari kereta. Gadis itu berambut panjang, ditocang tinggi dan wajahnya sangat cantik. Rasanya gadis itu mungkin sebaya dengannya. Tiba-tiba gadis itu mendongak dan pandangan mereka bertumbukan.

Leo gelagapan. Tambahan pula, lelaki yang menegurnya tadi ikut mendongak. Dari tempatnya berdiri, Leo dapat melihat dengan jelas, wajah lelaki itu masam sekali. Mungkin masih tidak puas hati dek sikap dingin Leo sebentar tadi.

Tanpa diduga, lelaki itu menarik tangan si gadis lalu masuk ke dalam rumah.

“Mungkin mereka itu pasangan kekasih…” Leo membuat telahan sendiri sambil menjauhkan diri dari tingkap.

Sekurang-kurangnya kini rumah sebelah itu berpenghuni setelah sekian lama kosong dan sepi macam rumah hantu!

Bersambung…

Nota Pengarang : Suatu ketika dulu, saya cerita ni kat APO?... kekonon nak buat cerita fantasi misteri dengan nuansa/ lenggok macam feel baca cerita terjemahan omputih... 😂😂😂
Lepas tu, sengaja tak nak sentuh bab agama dan tak sebut bangsa apa... biar macam kita tengok movie, tak peduli pun agama apa... ha gitu...

Malangnya sebab ramai pembaca masa tu hantar komen kat APO? kata cerita ni merepek/ mengarut, siap ada yang mengingatkan si Nora ni salah eja 'moonlit' sepatutnya moonlight atau moonlite (walhal dalam kamus ada je perkataan moonlit), maka saya stop tulis cerita ni... dulu-dulu, komen pembaca biasanya APO? letak belakang majalah... so saya akan baca ruangan ni untuk tengok komen pembaca cerita yang Nora tulis.

Saja saya up sini balik... nak tengok zaman now boleh terima tak cerita merepek gini...
✌😅

Friday, 24 April 2020

The Alpha One - Bab 9

April 24, 2020

SEMUA terpaku dan bingung. Setelah buat balingan tepat sasaran, Hamizan tayang muka tidak bersalah. Dalam jarak agak jauh, mereka di luar kaki lima, sedangkan Hamizan di tepi chiller. Lebih 20 kaki. Balingan itu mampu membuat dahi si bajingan berdarah.     

“Hoi! Lu mau cari pasal ka?!” Tiger berteriak marah kepada Hamizan. 

“Kau orang yang cari pasal di tempat orang nak makan.” Suara Hamizan datar, antara dengar dengan tidak. Tapi mata menatap cukup tajam setiap wajah banjingan itu.

Masih enggan melepaskan cengkaman pada rambut Mami Zura, Tiger berteriak marah, “lu siapa? Anjing ini betina ka?! Mau mati, hah?”

Mami Zura mula cemas. Raut wajah Hamizan langsung tidak menunjukkan kegentaran. Namun Mami Zura tetap ragu. Bolehkah dia bergantung harap kepada Hamizan untuk menyelamatkan keadaan?

“Hoi, lu kasi ajar sama dia!” 

Sebaik sahaja Tiger berikan arahan, lelaki yang terkena balingan tin tadi, segera meluru ke arah Hamizan.

Melihat Hamizan masih tidak berganjak, Mami Zura segera menjerit. “Selamatkan diri kamu, Mizan!” 

Namun Hamizan tetap membeku di tempat dia berdiri. Sebelum lelaki itu dapat melancarkan serangan balas dendam, tendangan Hamizan menghentam keras kepalanya. Lelaki itu amberuk tanpa suara. 

Knockout!

Hening seketika. Semua samseng tergamam menyaksikan efek tendangan itu. Pantas dan tidak terduga. 

Mami Zura dan Lala yang awalnya ketakutan bercampur cemas, kini ternganga takjub. Hamizan teguh berdiri dengan dua tangan terkepal erat di sisi tubuh.

“Setan!” Dua orang konco yang memegang Lala, pantas meluru marah. 

Tanpa perlu ancang-ancang, Hamizan menyentak lengan lelaki pertama, mendorongnya ke tepi. Sementara kaki kirinya menendang cepat, menghentam muka lelaki kedua dengan tumit butnya. Terpental lelaki itu melanggar meja di belakangnya. Berhamburan segala perkakasan. 

Kemudian, sepantas kilat dengan kaki yang sama, Hamizan mendaratkan lutut ke perut lelaki yang dicengkamnya. Tangan Hamizan begitu laju beralih mencengkam kepala lelaki itu pula dan menghempaskannya ke permukaan meja. Bunyi tulang berderak diikuti raungan kesakitan memenuhi ruang kopitiam. Darah menyembur dari mulut lelaki itu.

“Bedebah!”

Mendengar teriakan itu, dengan cepat Hamizan berkelit ke sisi, mengelak satu tumbukan. Bukan sekadar menghindar, tangan Hamizan pantas melepaskan tinju keras ke sisi muka si penyerang. Diikuti tonjokan padu ke tulang rusuknya. Tubuh penyerang terhumban ke atas meja sebelum tergolek jatuh sambil mengerang kesakitan. 

Kesal kerana terpaksa menggunakan kekerasan, Hamizan menggeram, “ada lagi?” Matanya nyalang menatap dua orang samseng yang masih tersisa. Seorang sudah mula menampakkan kecemasan pada raut wajahnya. 

“Hoi! Lu tunggu apa? Pergi ajar dia sampai mampus!” Kaki Tiger menendang paksa pemuda yang berdiri paling dekat dengannya. 

Baru beberapa tapak pemuda tersebut berlari, Hamizan capai botol kicap dari atas meja dan melemparnya. Bersepai kena kepala pemuda itu. 

“Arghhh! Sakit!” Dia menggelupur pegang kepala. Darahnya bercampur kicap. Mengaburkan pandangan.  

Ketika seorang lagi menyerang, Hamizan melancarkan tendangan cepat, tepat mengenai perut.  Membuat tubuh penyerangnya mencelat ke bawah meja, seperti bola masuk gol!

Terbeliak mata Tiger menyaksikan begitu mudah Hamizan mematahkan serangan dengan muka tidak berperasaan. Sikit pun tidak menunjukkan ketakutan.  

Lu memang nak mampus!” Serentak dengan laungan itu, Tiger menolak kasar tubuh Mami Zura. Tangannya pantas menyambar pisau dari atas lantai. Laju dia meluru mahu menebas leher Hamizan.

Namun tindakan reflex Hamizan jauh lebih tangkas. Tubuhnya dikesampingkan, mengelak serangan. Sepantas kilat dia menyambar pergelangan tangan Tiger. Laju Hamizan merampas pisau dari tangan Tiger.
Klekuk! 

“Arghhh!” Nyaring raungan Tiger apabila Hamizan memukul kepalanya dengan belakang pisau. 

Tidak cukup dengan itu, Hamizan menampar muka, lengan dan badan Tiger menggunakan permukaan pisau. Berdesup-desup lajunya. 

Pap! Plak! Pap! Kung! Berirama bunyinya. 

Hamizan siap tersenyum sinis. Seolah-olah sedang seronok mempermainkan Tiger dengan pukulan-pukulan yang tidak melukakan tapi sangat memberi perit. 

“Argh! Sakitlah, sial!” Pekik Tiger, tidak tahan menerima serangan itu. Kelam-kabut dia cuba berundur. 

Melihat bos mereka kena hentam dengan gaya dilecehkan, konco-konco yang masih kesakitan, berusaha bangun menyerang Hamizan serentak. Kali ini Hamizan tidak lagi bermain-main. Senyuman sinisnya pudar. Wajahnya kembali kering tanpa riak. 

Mami Zura dan Lala sama-sama terlopong. Hamizan tidak banyak beralih dari tempat dia berdiri. Sekadar bergerak dalam lingkaran yang sama. Tapi kaki dan tangan Hamizan cukup tangkas menangkis serangan serta mendaratkan pukulan demi pukulan kepada semua banjingan itu. 

 +++

JANTUNG Jina bagaikan mahu meletup keluar dari dada apabila melihat sebuah kereta peronda polis di depan kopitiam. Sebuah ambulan baru saja beredar pergi. Seorang anggota polis menghalau beberapa orang yang cuba mengerumuni ruang depan kopitiam. 

“Dah! Dah! Tolong beredar semuanya!” 

Roller shutter kopitiam yang setengah buka, membuat Jina mulai panik. Jarang sekali mami tutup kedai awal. Pasti ada sesuatu sudah terjadi!

‘Mami! Oh, no… jangan apa-apa jadi kat mami!’ Langkah Jina bertukar jadi larian penuh kecemasan. Ritma jantung semakin tidak teratur. 

Dia mengumpul kesabaran agar tidak menerjah masuk dari depan. Kalut dia menuju ke lorong belakang. Hati-hati masuk melalui pintu dapur. Jalannya mengendap-ngendap mendekati pintu koboi. 

Saat dapat mengintai, Jina menelan ludah. Keadaan dalam kopitiam berantakan. Beberapa orang anak ayam mami sibuk membetulkan kerusi meja yang berserakan. Darah, kicap, kaca pecah bersepah atas lantai. Bagaikan dilanda ribut. 

Jina tahan diri daripada menjerit apabila terpandangkan Mami Zura sedang duduk di kerusi, merawat wajah lebam Lala. Nanar mata Jina mengamati mami. Nafas lega terhela ketika dia menyedari mami tidak cedera walaupun rambutnya agak kusut masai.

Kemudian barulah Jina menyedari lelaki yang sedang berdiri membelakangi pemandangannya dan bercakap-cakap dengan Inspektor Husin itu adalah Hamizan! Masih dengan kemeja denim pagi tadi. 

Kemudian, Inspektor Husin pusing kepala memandang Mami Zura pula. “Mami, kau hati-hatilah sikit. Kau bukannya tak tahu si Tiger tu macam mana. Nasib baik kali ni ada si Hamizan ni tolong.”

Mami Zura bangun, memberi tunduk hormat kepada Inspektor Husin. “Maaf, Sin. Tadi aku tak mampu sabar lagi. Apa pun, terima kasih sebab cepat datang.” 

“Dah tugas aku, kena jaga kau. Tapi kau pun tahu kan? Aku ni banyak kes lain. Jangan sampai media hidu sesuatu kat sini. Takut nanti masa tu, aku dah tak boleh nak cover kau orang lagi.” Wajah Inspektor Husin benar-benar menunjukkan kegusaran.

Namun Mami Zura tersenyum menenangkan. “Kalau sampai itu yang jadi, aku tak akan libatkan kau, Sin.” 

Jamin Mami Zura, Inspektor Husin sambut dengan sebuah anggukan disertai helaan nafas berat. Kemudian, dia kembali menatap Hamizan.

“Hah, kau pun. Hati-hatilah. Orang-orang Tiger mungkin akan mark kau.” Selepas menepuk bahu Hamizan, Inspektor Husin beredar meninggalkan mereka. Membongkok keluar melalui celah bawah roller shutter

Jina terkejut mendengar pesanan Inspektor Husin itu. Sambil matanya nanar memandang Hamizan yang mula bergerak, hati tertanya-tanya. Apa yang pak cik tu dah buat? Mustahil dia cari pasal dengan Tiger! Tidak sabar mahu tahu kebenaran, Jina meluru keluar. 

“Mami! Kenapa ni? Apa dah jadi? Tiger kacau mami lagi ke?” Sambil melancar soalan bertubi-tubi, mata Jina kerapkali menjeling ke arah Hamizan yang ketika itu mula menyibukkan diri menyapu kaca di lantai. 

Hamizan sekadar melirik Jina sekilas. Seakan tidak berminat dengan kehadiran Jina, dia teruskan kerja. 

“Ya, Jina. Tiger datang.” Mami Zura menjawab dengan suara kelelahan.

“Nasib baik kali ni, ada Abang Mizan tolong kita orang.” Lala menyampuk seraya tersenyum ke arah Hamizan walaupun lelaki itu tekun dengan kerjanya. 

“Tolong macam mana?” Jina pura-pura tidak mengerti. Walhal suasana kopitiam jelas menunjukkan adanya adu tenaga. 

Dengan penuh semangat, Lala pun menceritakan kembali apa yang telah terjadi. Terbeliak mata Jina mendengarnya. Bukan kagum tapi tidak percaya. Merasakan Lala berlebihan menggambarkan kehebatan Hamizan. 

“Dush! Dush!” Kecoh mulut Lala membuat bunyian sambil tangannya menumbuk-numbuk udara, cuba mengayakan semula aksi hebat Hamizan.

“Hamizan power giler. Lala rasa Joe pun tak mampu bergerak secepat Hamizan. Terer betul dia… tak sampai lima minit, semua tumbang. Lintang pukang Tiger lari bila dengar polis datang. Sampai tertinggal dua orang anak buah dia yang pengsan kena penerajang Mizan.” Bersemangat Lala bercerita. 

Dahi Jina berkerut. Spontan dia menoleh semula ke arah Hamizan. Empunya badan itu langsung tidak menunjukkan tampang bangga kerana dipuji secara terang-terangan. Hati Jina mula meronta tapi mulut malu nak bertanya. Tak ada ke yang sempat rakam semua aksi tu?

“Mizan, tinggalkan semua tu. Biar mami dan anak-anak yang kemaskan. Kamu pergilah berehat.” Mami Zura berkata begitu tatkala mendengar Hamizan meminta Baby Rina ambilkan pengemop.

“Ah ah, betul cakap mami, bang. Kita orang boleh kemas sendiri. Dah biasa. Abang pergilah rehat. Mesti badan abang sakit-sakit, kan?” Tidak sehaluan dengan kata-katanya, tangan Baby Rina begitu liar memijat-mijat lengan Hamizan. Senyuman dia bukan main meleret. 

Jengkel melihatnya, Jina menggerutu dalam hati. ‘Huh, dasar perempuan birah! Hamizan, move! Jangan biarkan badan kau jadi mangsa raba! Pleaselah!’

Dalam waktu bersamaan, Hamizan beranjak sedikit. Secara halus menghindar sentuhan Baby Rina. Terkejut Jina dibuatnya. Semerta Jina terdiam apabila melihat Hamizan mendekati Mami Zura.

“Mami, maaf… kerana aku, kopitiam-”  

Sebelum Hamizan meneruskan percakapan, Mami Zura pantas memintas, “eh, takpe, Mizan. Jangan rasa bersalah. Sebaliknya mami berterima kasih sangat-sangat sebab kamu sudi tolong mami dengan Lala. Kalau tak ada Mizan tadi, entah apa yang akan jadi pada kami.”

Jina mengamati Hamizan, mencari reaksinya. Tapi susah bagi Jina membaca ekspresi Hamizan kerana muka lelaki itu antara hendak tersenyum dengan tidak.  

“Pergilah naik, rehat, Mizan,” pujuk Lala pula. 

Hamizan menghela nafas berat. Matanya liar menatap keliling kopitiam bersama rasa bersalah.

Apabila Hamizan masih tidak berganjak, Mami Zura membujuk. “Ini bukan kali pertama, Mizan. Biasalah hidup kat tempat macam ni. Kami dah biasa. Pergilah naik.”

Akhirnya Hamizan mengangguk, capai fail sijilnya dari atas kaunter dan terus berlalu.

“Jina tak percaya eh?” 

Suara Baby Rina menyentak Jina yang ralit memerhatikan langkah Hamizan pergi. Secepat kilat, Jina memutar kepala, memandang ke arah Baby Rina. Perempuan itu sedang mengeluarkan telefon pintar dari saku skirt ketatnya sambil mendekati Jina. 

“Nah, bukti!” Baby Rina hulurkan telefon itu. “Tapi aku sempat rakam sikit je. Dah hujung-hujung. Itu pun lepas tengok Tiger lepaskan mami dan Lala dah tak kena pegang.”

Jina terdiam menonton rakaman video berdurasi tidak sampai setengah minit itu. Hamizan terlihat sangat berani melawan Tiger dan konco-konconya. Tidak selari dengan sikap tidak banyak cakap dan tidak peduli yang selama ini Hamizan tampilkan di depannya. 

“Kau ada kongsi video ni kat FB ke?” Jina mencerunkan mata ketika memulangkan telefon tersebut kepada Baby Rina. 

“Hey!” Bulat mata Baby Rina. “Gila apa nak share video hebat macam ni? Tak pasal-pasal netizen cari siapa yang heroic sangat ni. Mana boleh share Abang Mizan kita dengan orang luar.” Tersengih-sengih dia, menekan telefon bimbit ke dada. 

Aksi mengada yang buat Jina mendesah. Namun, sedikit sebanyak Jina lega. Walaupun birah, ada cerdiknya juga Baby Rina. Kalau video itu tersebar, netizen mungkin akan datang mengganggu mereka.

“Hah! Masih tak nak mengaku yang Hamizan tu lelaki sejati?” Lala tunjal bahu Jina yang masih terdiam.

“Tunggu sekejap! Kenapa Lala tanya macam tu? Omaigod! Jina pandang remeh kat Abang Mizan ye?” Baby Rina membulatkan mata.

“Isk! Kau orang ni… mamat tu orang baru kat tempat kita ni. Pleaselah, jangan nak impress sangat!” Jina mencebirkan bibir. 

Gara-gara itu, sekarang dia dikelilingi oleh Lala, Baby Rina, Mala, Tiara dan beberapa orang lagi anak-anak ayam mami yang Jina tidak hafal namanya.

“Apalah Jina ni. Walaupun dia masih baru kat sini, setidak-tidaknya dia tak pandang hina kat perempuan macam kita ni.” 

'Macam kita? Eh, aku tak macam kau orang ye!' Tingkahan itu hanya Jina suarakan dalam hati. Tidak tergamak membuat mereka semua sentap. 

“Ah ah, at least, Mizan ada hati tolong mami dengan Lala. Itu tanda dia lelaki yang boleh diharap.”

Jina mendecit malas. Mempertahankan raut muka tidak kuasa, berusaha tidak ikut terpengaruh dengan keterujaan mereka semua. 

Ketika mereka semua berdebat soal Hamizan dengan Jina, reaksi Mami Zura luput daripada perhatian mereka. Mami Zura tersenyum sedih memandang mereka semua. Terutama kepada Jina. 

Apalah nasib Jina, kalau mami dah tak ada nanti…



BERTEMANKAN segelas kopi panas, Hamizan duduk diam di meja makan. Kejadian siang tadi bikin dia tidak dapat melelapkan mata. Ada banyak perkara mula mengganggu dan buat kepalanya tidak berhenti berfikir.

Tiba-tiba telinga Hamizan menangkap suara nyanyian diikuti dengan bunyi selipar. 

Hamizan menolehkan kepala. Oleh kerana kerusinya dekat dengan bukaan bawah bidai, Hamizan dapat melihat kelibat Jina berjalan sambil menari di koridor. Hamizan hanya diam dengan sepasang mata tidak lepas memandang Jina mendekati ruang makan. Sebuah senyum samar terpateri di bibir Hamizan. Rasa kelakar melihat gadis cantik itu bertingkah aneh-aneh apabila tiada sesiapa memandangnya.

They say move for me… Move for me… Move for me… Eh eh eh… eh?! Aaaaaaaahhh!!!”

Suara nyanyian gedik itu bertukar jadi jeritan terperanjat. Jina terloncat langsung tertampan ke dinding. Kedua-dua belah tangan menekan dada akibat terlalu terkejut melihat susuk tubuh Hamizan. 

“Apa kau buat duduk dalam gelap macam hantu ni?!” Melengking suara Jina. 

Melihat kalut Jina mendekati kotak suis dan menyalakan lampu, Hamizan mengulum senyumnya kentara. “Minum kopi.”

“Tengah malam minum kopi? Dalam gelap? Kau tak pandai bukak lampu ke apa?” Jina mengerling geram dan menemukan senyum miring Hamizan. Eh? Dia senyum!

Pertanyaan Jina tidak Hamizan jawab. Soalnya dia sudah terbiasa makan dan minum dalam gelap. 

“Kau? Kenapa tak tidur lagi?” Giliran Hamizan bertanya seraya melirik Jina yang berjalan mendekati papak.

“Tiba-tiba lapar. Nak masak mi segera.”

Mendengarnya, Hamizan tidak mahu kehadiran dia di situ, mengganggu keamanan Jina mahu makan. Lantas dia meneguk kopi sampai habis. Gelas kosong dibawa ke singki dan mencucinya. 

“Eh? Dah sudah?” Jina menegur ketika melihat Hamizan meletakkan gelas ke dalam penapis. “Tak nak makan sekali?”

Hamizan kerutkan kening mendengar nada ramah Jina. “Kau ajak aku ke?” Cerun matanya menatap Jina yang sedang menadah air ke dalam periuk.

“Hmmm… kita kan jiran sebelah bilik.” Jina masih bersahaja, seolah-olah sudah lama mengenali Hamizan.

“Kau lupa ke aku ni pembunuh?”

Sejenak, tubuh Jina menegang. Bukan dia lupa tapi bukti video dan cerita mereka siang tadi seakan mengaburkan fakta itu. 

“Malaslah nak ingat. Aku ajak kau makan ni pun sebagai tanda terima kasih sebab kau dah tolong mami dan Lala.” Berlagak tenang, Jina letakkan periuk ke atas hob dan hidupkan api. Padahal terasa gelenyar panas di belakang tengkuk kerana Hamizan berdiri dekat dengannya.

“Ucap terima kasih dengan mi segera aje? Kurang-kurang pulut kuning, kambing golek…”  

Jina mengerling sebal, tidak terima lelucon hiperbola Hamizan. “Ihh… banyak songeh pulak dia! Kalau nak join makan, duduklah. Tapi kalau tak nak, sudah!” 

Tidak menjawab, Hamizan kembali ke meja makan. Tarik kerusi dan duduk menghadap Jina. Teringin juga mahu melihat sejauh mana keberanian gadis itu makan semeja dengannya. 

Setiap gerak geri Jina, tidak terlepas daripada tatapan Hamizan. Terjungkit keningnya melihat Jina mencelur mi dengan air panas terlebih dahulu. Kemudian dia menumis bawang dan cili padi ke dalam periuk lain. Air dituang secukupnya. Bila mendidih, baru Jina masukkan mi dan pecahkan dua biji telur. Bau kari semerbak ke hidung Hamizan. Mendadak perutnya terasa lapar. 

Makin bergelodak isi perut Hamizan apabila Jina membawa periuk ke meja. Ralit dia memerhati Jina mencedukkan mi dan kuah ke dalam mangkuk untuknya. Haih, cuma mi segera, kenapa tiba-tiba aku rasa lapar macam tak makan nasi siang tadi?

“Sedap sangatlah tu!” Giat Jina, apabila Hamizan menghirup kuah dengan penuh selera. 

“Jangan perasanlah…” Hamizan angkat muka, pandang Jina dengan muka sadin. “Nama pun mi segera, kena makan segera waktu masih panas. Dah sejuk, benyek, tak sedap!” 

Menceber bibir Jina. Rupanya tidak semudah itu mahu dapatkan pujian daripada Hamizan.

“Kenapa kau sanggup tolong mami siang tadi? Padahal kau boleh je buat tak tahu dan tak perlu sakitkan badan pukul mereka…” Jina menyuarakan persoalan yang sejak siang tadi menghantui benaknya. Walaupun jelas depan matanya sekarang, Hamizan tidak terlihat seperti orang sedang menderita sakit badan. Kecuali sedikit goresan luka pada batang hidungnya.

“Empati.” 

“Tapi empati hanya ada pada orang yang baik. Kau kan pernah bu…” Menyedari dia nyaris terlanjur kata, Jina pantas mengetap mulut.

“Bererti aku pembunuh yang ingin jadi orang baik.” Terlalu selamba dan bersahaja cara Hamizan berikan jawapan. Terus makan, seolah tidak terkesan langsung.

Jina mengernyit sambil menatap wajah tunduk Hamizan yang masih makan dengan penuh selera. Mengamati dan menilainya. 

“Kau bangga ya pernah jadi pembunuh?”  

Kali ini desahan berat terhela dari mulut Hamizan. Lalu dia berhenti makan. Memusatkan pandangan tepat ke wajah Jina. 

“Sikap ingin tahu kau terlalu tinggi. Sampaikan kau tak sedar, soalan kau tu terlalu bodoh untuk aku jawab.”

Jina terdiam. Tersinggung dan mendadak rasa malu. Tiba-tiba merasa dirinya seperti seorang gadis bimbo yang dipandang rendah oleh lelaki hot! Lalu dia berusaha menyelamatkan harga dirinya. 

“Aku cuma tak faham. Sekarang ni, anak-anak mami terlalu mengagungkan kau. Kalaulah dia orang tahu…”

Sebelum Jina dapat melanjutkan, Hamizan terlebih dahulu memotong, “mereka tak perlu tahu siapa aku.” Kemudian dia berdiri, mengangkat sama mangkuknya. 

Spontan Jina mendongak, ingin meningkah tapi kata-kata Hamizan berikutnya buat jantung Jina mencelus.

“Sama macam mereka tak tahu pun kau sebenarnya anak kandung mami.” 

Mata Jina membelalak. Dia langsung membeku di tempat duduknya. Telinga hanya mendengar perbuatan Hamizan mencuci mangkuk di singki. Tahu-tahu, Hamizan sudah berjalan ke ambang. Berhenti sekejap dan memalingkan wajah ke arahnya dengan sikap kaku.  

“Kalau kau dan mami boleh simpan rahsia hubungan kalian… aku pun berhak simpan rahsia aku sendiri, kan? Dan… terima kasih untuk semangkuk mi segera yang sedap.”

Setelah mengucapkan itu, Hamizan berbalik dan melangkah pergi, meninggalkan Jina yang terus terkesima. Tidak menyangka secepat itu Hamizan mampu membaca situasi!

++++

Nota pengarang :  Belum edit, so maaf typo dan silap mana2... Sebenarnya, pening jugak ni nak teruskan. Mula-mula fikir nak main taram aje tulis. Tapi dah namanya RH, tengah tulis terganggu fikir itu ini selain sebab sibuk menjawab pertanyaan tentang novel LE, AKAD. Antara terikat dengan logik serta piagam pihak berkuasa dan nak memfiksyenkan benda yang sebenar.
Terima kasih kepada korang yang suka cerita ni. Doakan saya dapat siapkan dengan sempurna.
Selamat berpuasa kepada semua pembaca saya yang beragama Islam. Semoga kita semua sihat dan segera dijauhi dari musuh tak kasat mata, Covid-19

Monday, 13 April 2020

The Alpha One - Bab 8

April 13, 2020

SEBELUM keluar bilik untuk pergi kuliah pagi itu, Jina berpesan kepada diri sendiri. Jaga jarak dengan Hamizan. Jangan cuba-cuba ambil tahu pasal dia lagi! Jangan pandang dia langsung! Toleh ke bilik dia pun, jangan!

Ingat, dia pembunuh!

Namun Jina sepatutnya sedar, apabila tinggal selantai dengan lelaki itu, ada masanya mengelak daripada bertembung, adalah sangat mustahil.

Seperti sekarang. Baru buka pintu, dia nampak Hamizan sedang sidai pakaian pada ampaian. Hamizan lengkap berpakaian. Kemeja denim yang dua butang atas dibiar terbuka, hujungnya pula dimasukkan ke celah pinggang seluar jeans hitam. Lengkap tali pinggang dan berkasut but. Casual-but-smart look. Sekaligus memberi aura santai, segar, dan bersih pada diri Hamizan.

Mulalah suara hati novelis Jina bertingkah.

‘Isk, tak ada sekelumit pun aura pembunuh! Tapi mengundang perempuan gatal mengurat dia!’

‘Jangan terpedaya Jina! Dia sendiri mengaku pernah bunuh orang. Ambil iktibar, Richard Ramirez a.k.a. Night Stalker…  Paul John Knowles a.k.a. The Casanova Killer… Ted Bundy… dia orang antara bukti handsome necrophilic psychopath wujud dalam dunia ni. Menggunakan rupa paras untuk menarik mangsa! Bunuh dan rogol secara bersiri. Hamizan pulak, dengan fizikal dia yang tinggi tu, latar tentera yang bukan calang-calang, tak mustahil dia boleh jadi The Elite Predator!’

Apabila Hamizan menoleh walau cuma sekilas, Jina automatik tergugup depan pintu sambil tangan meramas tali beg ransel yang disandang di bahu kiri. Terus beku di situ menanti Hamizan selesai menyidai. Lelaki itu menarik fail dari atas benteng dan membongkok capai baldi.

Setelah Hamizan masuk ke bilik air menghantar baldi, barulah Jina melangkah setapak demi setapak. Berusaha menjaga jarak agar tidak terlalu dekat.

Hamizan keluar dari bilik air dan terus buka pintu jeriji. Sepertinya tidak mengendahkan Jina kerana dia segera turun ke bawah. Nafas lega terhela dari mulut Jina. Bersyukur kerana lelaki itu tidak mengeluarkan sisi saiko seperti semalam.

 +++

SEPERTI biasa, keadaan perhentian bas itu tidak lengang daripada orang ramai beragam kaum. Sejak ulang-alik cari kerja, Hamizan sudah sedia maklum hal itu. Cuma pagi itu terasa berbeza bagi Hamizan kerana Jina turut sama menunggu bas. Walaupun Jina buat-buat tidak kenal dirinya dan jelas mengelak daripada berpandangan.

Sambil menyandar pada tiang, Hamizan melirik Jina yang duduk di hujung bangku. Gadis itu berseluar denim. Lekuk tubuhnya betul-betul terlindung di sebalik kemeja labuh biru cair dan mengenakan topi besbol dengan rambut dikeluarkan melalui lubang belakang topi. Berkasut Converse. Terlihat sedikit tomboi. Tapi penampilan itu tidak mampu melenyapkan sisi menawan Jina.

Tanpa perlu pakaian seksi menjolok mata, Jina tetap kelihatan mencolok apabila berada di situ. Membawa aura seperti dia permata yang jatuh dalam lumpur. Bukan anak pelacur.

Barulah Hamizan dapat melihat sisi asli Jina yang tidak pedulikan orang sekeliling. Menunduk baca sebuah novel berbahasa Inggeris sehingga tidak sedar dirinya sedang berada dalam pengawasan seseorang.

Sejak nampak Jina berjalan di belakangnya tadi, Hamizan secara tidak langsung mula menganalisa situasi dan keadaan. Sebagai bekas tentera elit, dia dilatih supaya menguasai ‘spidey sense’ dan memanfaatkan naluri superhero. Bukan bererti dia boleh meramal masa depan tapi sikap ‘hyper vigilance’ membolehkan dia mengesan sebarang petunjuk yang membantunya menjangkakan masalah dan mengelak dengan bijak.

Memang beberapa orang lelaki tertoleh-toleh ke arah Jina. Salah seorangnya, lelaki berkulit gelap bertubuh sederhana tinggi. Setiap hari pun lelaki itu ada di perhentian bas. Namun tidak pernah naik apabila bas tiba. Bas bergerak dan tinggal dia seorang di situ, terus beredar. Tapi hari ini, apabila Jina naik, tiba-tiba lelaki itu pun ikut naik.

Langkah Jina laju meredah perut bas, terus ke belakang dan Hamizan mendengar gadis itu berseru riang.

Morning, Sir Joe!”

Mata Hamizan pantas mencari pemilik nama itu. Seorang lelaki bertopi bucket tersenyum, berkisar tempat duduk, memberi ruang Jina masuk ke sebelah dalam. Setelah duduk di tepi tingkap, Jina tarik tangan si lelaki dan menciumnya. Jina tampak sangat menghormati lelaki itu dan seperti sudah biasa bertemu dalam bas.

Lelaki yang mengekori Jina tadi, terus berjalan ke kerusi paling belakang. Tapi Hamizan nampak dia mengerling ketika melintasi tempat duduk Jina dan Sir Joe sambil mengepal penumbuk. Gaya tidak puas hati.

Hamizan mengambil tempat duduk di sebelah lelaki tua berbangsa India di depan pintu tengah bas. Suasana bas agak tenang, disulami suara-suara penumpang bercakap sesama sendiri. Tidaklah sampai mengganggu pendengaran. Sesekali Hamizan dapat mendengar suara Jina ketawa kecil. Dia bercakap dengan Sir Joe menggunakan suara rendah. Hanya tertangkap di telinga Hamizan soal final exam, training dan tournament.
Setengah jam kemudian, bas berhenti di hadapan dataran sebuah universiti. Beberapa orang penumpang bangun. Hamizan menahan diri agar tidak menoleh ke belakang. Sehingga hidungnya mencium aroma harum, dia tahu Jina sedang berjalan menghampiri pintu.

Jina menuruni anak tangga tanpa menoleh kepadanya walau lewat ekor mata.

Dan Hamizan tidak terkejut apabila melihat lelaki tadi ikut turun.

Gerak mata Hamizan bagai helang mengikuti setiap langkah Jina. Debar melanda ketika dia mendapati lelaki tadi betul-betul mengekori Jina.

Bas kembali bergerak perlahan.

 
Namun Hamizan masih tidak melepaskan perhatian ke arah Jina. Sebelah kakinya sudah terjulur keluar, bersedia mahu melonjak bangun dan tekan loceng, andai lelaki tersebut cuba melakukan sesuatu kepada Jina.

Niatnya terbatal apabila melihat Jina menghampiri sebuah kereta di parkir luar depan pintu gerbang. Seorang pemuda keluar mendapatkan Jina, melingkarkan tangan di belakang bahu gadis itu. Kemudian membukakan pintu bahagian penumpang depan untuk Jina masuk.

Automatik lelaki yang mengekori Jina tadi langsung memesongkan langkah ke arah lain.

Hamizan tersandar lega melihat kereta yang membawa Jina bergerak masuk ke dalam universiti.

‘Baguslah, dia dah ada boyfriend…’

Terlalu leka mengawasi Jina sepenuh perhatian, sehingga luput daripada kesedaran Hamizan, dia sendiri sedang jadi perhatian. Di tempat duduknya, Sir Joe tersenyum kecil sambil geleng kepala. Tangannya laju menghantar mesej kepada seseorang.

Sah, memang ada orang tengah incar Jina. Tapi rasanya aku dah boleh bersara. Sebab Hamizan cepat sedar ada orang ikut Jina dan dia terlalu mencemaskan anak dara kau tu… 😊
 

+++


ENTAH mengapa, Hamizan semakin menimbulkan rasa ingin tahu dalam diri Jina. Tuhan saja tahu betapa dia mengeraskan kepala agar tidak menoleh kepada Hamizan yang duduk di kerusi depan tangga bas pagi tadi. Jina tahu Hamizan memerhatikannya sejak di perhentian bas lagi.

Tapi dia tidak berani menoleh untuk memastikan pandangan jenis apa Hamizan berikan kepadanya. Pandangan sebagai pembunuh yang mengincari mangsa atau lelaki yang sedang tertarik kepada perempuan?

Tidak pernah Jina peduli mahu ambil tahu hidup orang lain. Kandungan fail dan pengakuan Hamizan semakin menghantui fikirannya.

Kalau betul Hamizan pernah bunuh orang, kenapa tidak dikenakan hukuman mati? Atau paling tidak penjara seumur hidup? Tanda tanya itu membangkitkan semula naluri detektif Jina.

Dengan telefon pintar di tangan, Jina duduk diam atas tembok di Dataran Ilmu. Tekun mencari maklumat. Bermacam kata kunci dimasukkan ke dalam kotak carian melibatkan tentera dan kes bunuh. 

Namun, tidak ada satu pun yang melibatkan nama Hamizan. Ada beberapa laporan kes jenayah membabitkan tentera tapi tidak menyebut langsung nama tertuduh malah pangkat pun tidak disertakan.

Seorang askar dihukum penjara 10 tahun oleh Mahkamah Sesyen selepas mengaku bersalah atas tuduhan menyebabkan kematian tanpa niat seorang pemuda.

Tiga anggota komando dipenjara 19 tahun kerana membunuh dan mencederakan dua rakan sekerja.

Seorang anggota tentera dijatuhi hukuman penjara 10 tahun oleh Mahkamah Sesyen kerana membunuh seorang doktor tanpa niat.

Bekas anggota GGK dijel 10 tahun, dua sebatan atas kesalahan merogol dan menyebabkan kematian kekasih.


“Isk… mana satu ya kes melibatkan dia?” Jina berbisik sendiri. Terus leka mengais maklumat. Habis semua pautan berita dibacanya. Sehingga tidak memedulikan kehadiran seorang pemuda di duduk di sebelahnya.

Why so serious, babe?”

“Tengah research…” Sikit pun Jina tidak mengalihkan pandangan daripada skrin telefon.

“Tak habis-habis research. Bila nak layan aku?” Kai melongok dari balik bahu Jina dan ikut membaca tapi tidak berminat meneruskan. Dagunya disangkut ke bahu Jina. Kepala dipusing, cuba mencium cuping telinga Jina.

“Isk! Apa ni, Kai?” Jina mengedikkan bahu lalu mengesot menjauhi Kai. Dia menjeling tidak suka.

Kai merengek, “ala, pagi tadi masa aku jemput kat luar, kau biar aje aku peluk bahu kau…” Mukanya cemberut mengalahkan budak kecil.

“Itu tadi…” Jina menggumam perlahan. Dalam hati bersambung, ‘saja nak bagi Hamizan nampak…’

“Lepas habis study group nanti, jom kita keluar lepak? Aku bawa kau tengok wayang… shopping… Aku belanja!” Kai berusaha menggoda Jina dengan senyum penakluk gadis yang selalu menjadi andalannya.

Tapi tidak lut di mata Jina. “Tak naklah. Aku nak balik. Nak study.”

“Okey, kalau macam tu, aku hantar kau balik.”

“Tak apa. Aku boleh balik sendiri naik bas.”

Sikap acuh tak acuh Jina bikin Kai mendesah berat. “Come on, Jina. Dah lama kita kawan. At least kenalkan aku dengan family kau. Ini tak… aku tak pernah tahu pun kat mana kau tinggal.”

“Tak payahlah kau ambil tahu.” Jina bergumam malas, kembali tekun membaca.

Kai bangkit dan pantas berdiri depan Jina. “Sampai bila kau nak berlakon jadi gadis baik? Aku muaklah… tak fun langsung kau ni!” Sungutnya kesal setengah mati.

Jina menghembuskan nafas dan memutar bola mata. Segera memasukkan telefon pintar ke dalam saku jeans. Dengan wajah datar, Jina mendongak.

“Dah tahu aku ni tak fun, kau pergilah ajak perempuan lain yang kau rasa lebih fun, keluar dengan kau. Ramai lagi perempuan lain berebut nak couple dengan kau.”

Kata-kata sarkastik Jina buat Kai meringis. “Jina! I will not be dating other girls. They are not even on my mind! I want you to be my girlfriend!”

Wajah Jina mengeras. Topik ‘girlfriend’ sangat mengganggunya. “I just don’t want a relationship.”

“Tapi kenapa? Kau rasa aku tak cukup handsome ke untuk jadi boyfriend kau? Masih tak cukup kaya?”

“Ya, betul kau handsome… the most handsome kat U ni, pakej anak CEO multi-national company. Tapi aku nak kau tahu, looks and money aren't the only part of attraction, at least for me.

Ego Kai langsung meletup. “What the hell was that? Am I being AFC? Or is it pervert to want you to be physically attracted to me?”
(AFC: a man who unknowingly kills the sexual and romantic interests of a woman through the very deeds and behaviors he believes should arouse them.)

Astaga! Jina kepal tangan sambil hembus nafas kesal. Dia harus segera menghindari konfrantasi dengan Kai. “Dahlah Kai… sebab tu aku tak suka cakap pasal relationship. Belum apa-apa dah gaduh...”

Jina bangun, menyandang beg dan melangkah pergi, meninggalkan Kai yang mendesah putus asa.

“Sudahlah dude…” Sebuah tepukan mendarat di bahu, tapi Kai tidak menoleh.

“Dari dia first year kau ajak dia couple… Padahal ramai lagi awek cun nakkan kau.”

No, I cannot let her go.” Kai geleng-geleng kepala seraya menoleh ke arah Zack dan Hadi sekilas.

Sambil kembali memandang ke arah Jina yang membaur dengan rakan-rakannya, Kai bergumam, “she’s utterly gorgeous, the hottest girl I’ve met. Her personality, body and beauty are why I’ve fallen for her.

“Okey, dia memang cun, hot tapi dia kasarlah. Kita ni senior tiga tahun daripada dia, tapi dia selamba ber aku kau… jelas ciri-ciri bakal jadi isteri derhaka tu.” Hadi cuba menyedarkan Kai daripada terus berangan-angan.

Kai mendecit tidak senang. “Itu yang buat dia lain… dia selamba. Awek cun lain berkawan sesama sendiri pun pilih bulu. Kau tengok Jina, walaupun dia lawa tahap dewi, elok aje dia berkawan dengan Zara si gemuk, Ina yang jongos tu pun boleh masuk geng dia…”

“Aku rasa kau patut…” Zack paut bahu Kai, “stop asking her for a relationship. Making her feel friendly affection towards you is not enough. Dude, just kiss her and have sex with her.” Setelah mengatakannya, Zack menyerigai sambil jungkit-jungkit kening.

Sepantas kilat Kai menoleh, dengan dahi berkerut. “Are out of your mind? Jina tu ada black belt. Tak sempat aku bawa dia ke katil, aku yang masuk wad dulu, tahu tak?”

Hadi mencebir. “Perempuan tetap perempuan, dude! Mana ada awek nak tolak boyfriend kaya, apatah lagi yang handsome macam kau? Mulut dia je tu cakap lain, hati berkata lain. Kalau kau tak nak lepaskan Jina, kau kena mula buat dia turn on dan terikat dengan kau secara seksual. Ala, macam kau tak biasa kahwin-kahwin ni…” Tidak teragak-agak Hadi menyuarakan bisikan syaitan.

No way! Aku takkan rosakkan Jina!” Kai membeliakkan mata, betul-betul merasakan rakan-rakannya sudah hilang kewarasan.

Dude, kau tak payahlah baik sangka sangat yang Jina tu masih virgin. Zaman moden ni, awek bertudung, tak lawa pun dah ramai yang lobos. Inikan pulak Jina yang tahap bombshell walaupun tak pakai seksi. Aci kerat jari aku ni, Jina tu acah-acah jual mahal aje dengan kau. Dalam hati agaknya saja nak kau goda dia lebih. Kurang-kurang kalau tak kesampaian jadikan isteri, kau merasa jadikan dia bini. Taklah nanti kau berputih mata.” Zack menambah hasutan syaitan.

“Dia selalu tolak setiap kali kau nak hantar dia balik, kan? Hah! Aku boleh gerenti kau… mesti ada benda yang dia sembunyikan. Mungkin dia dah ada boyfriend kat luar, tapi sebenarnya dia suka kau, sebab tu dia masih berkawan dengan kau. Jadi, kau kena buktikan kau lebih hebat." Makin giat Hadi meracun fikiran Kai.

Namun Kai masih terdiam. Tahu Kai mula memikir-mikir, Hadi cucuk jarum lagi.

"Come on, dude… give her a passionate, dominant kiss, that really sweep her off her feet… get her wet with anticipation and don’t be surprised if she starts reconsidering a relationship with you.”

“Aku sokong! Aku pun nak dengar cerita kau, apa rasa bercium dengan awek tak pakai lipstick macam Jina. Selalu awek yang aku dapat suka pakai matte lipstick sampai tak rasa bibir, dowh! Lagipun, kita dah lama tak berparti, kan? Bila lagi?” Zack jungkit kening gaya iblis.

Diam-diam Kai mula merasa tercabar. Sudah terlalu lama dia bersabar, tunjuk sikap baik-baik depan Jina. Mungkin sudah tiba masanya dia tunjuk sikap jantan!


+++

SEPANJANG berjalan balik, fikiran Hamizan sibuk mengenangkan perjalanan hidupnya dari saat dibebaskan sampai ke hari ini. Setiap tempat yang dia pergi mohon kerja, semuanya menolak dengan alasan dia bekas banduan. Macam ada yang tidak kena. Seolah-olah semua majikan mendapat surat pekeliling bahawa dia adalah penjenayah most wanted!

“Sial!” Sekian lama Hamizan tidak memaki.

Hari ini emosinya mencanak-canak. Tempat-tempat yang Azfar cadangkan pun tidak mahu menerimanya. Perut pula lapar. Sejak pagi hanya terisi dengan sebuku roti kentang dan air kosong.

Lalu Hamizan memutuskan untuk singgah makan dahulu di kopitiam Mami Zura sebelum naik ke bilik.

Kali pertama makan di situ selepas temuduga hari pertama, baru Hamizan tahu, nasi ayam hailam dan nasi lemak nyonya, setiap hari habis seawal jam dua petang. Mami Zura tak pernah masak lebih. Pelanggan yang melepak selepas pukul dua biasanya akan makan mi wantan dan roti hailam. Pukul tujuh, Mami Zura sudah tutup kedai.

Beberapa hari memerhati, Hamizan mendapati selain pekerja-pekerja spa dari tingkat atas, pelanggan kopitiam Mami Zura hampir kebanyakannya adalah orang yang sama. Maka Hamizan tidak lagi rasa canggung jika sedang makan seorang diri, tiba-tiba ada pekerja spa datang menggoda Siap mahu menawarkan khidmat percuma asal Hamizan sanggup memuaskan mereka.

Sikit pun dia tidak tertarik. Berkongsi bekas dengan ramai lelaki lain? No thank you. Tapi tidaklah pula dia tergamak mempermalukan mereka. Sekadar tersenyum tanpa mengatakan apa pun. Sehingga Mami Zura atau Lala muncul menghalau mereka naik ke atas.

Dan sekarang, seperti hari-hari sebelumnya, Hamizan baru labuh punggung di kerusi, sudah datang seorang wanita duduk di sebelahnya.

“Hai abang Mizan. Kenalkan, I Baby Rina.” Wanita itu tersenyum menggoda menatap Hamizan yang balas memandang bersama senyum nipis tak kentara.

“Amboiii… Baby! Nampak balak baru, terus lupakan kami ke?” Terdengar suara dari meja yang dikelilingi oleh beberapa orang lelaki.

Sedikit sebanyak Hamizan lega kerana duduk membelakangi semua lelaki itu. Dia lebih selesa hadap dinding. Tidak perlu tahu jenis apa reaksi mereka.

Baby Rina menjeling genit ke arah mereka. “Ala, dah jemulah tengok muka kau orang hari-hari. Bagilah Baby merasa balak baru pulak…” Kemudian dia melirik semula Hamizan.

“Abang Mizan free tak lepas ni. Jom ikut Baby naik bilik?” Baby Rina berbisik ke telinga Hamizan.

“Hey, Baby… jangan kacau Mizan boleh tak?” Mami Zura muncul, menatang dulang berisi hidangan.

“Ala, mami ni… Baby baru nak kenal-kenal dengan Mizan. Bagilah chance. Orang lain semua dah dapat peluang bertentang mata dengan dia. Boleh eh mami?” Tangan Baby Rina liar merayap atas paha Hamizan, perlahan-lahan menuju ke celah selangkangan Hamizan.

Mami Zura tersenyum melihat begitu pantas tangan Hamizan mengalihkan tangan Baby Rina dan meletakkannya ke atas permukaan meja.

“Haish… kau orang ni kan, selagi tak dapat Mizan, selagi itulah nak mencuba nasib. Sudahlah… jangan buang masa. Dia tak minat pun. Dah, pergi naik!”

Baby Rina mendecit tidak puas hati kepada Mami Zura. Tapi bila mengalihkan semula pandangan ke arah Hamizan, senyumannya meleret.

“Kalau you nak I, naik je kat atas tau? Bila-bila masa pun boleh. I akan bagi you service special. Bye Mizan sayang.” Sebelum beredar, Baby Rina sempat hulur tangan mengusap muka Hamizan.

“Tak tergoda ke?” Tanya Mami Zura seraya meletakkan dulang ke atas meja. Sedang matanya menatap zon sulit Hamizan. Manalah tahu kalau muncul ereksi.

“Biasa saja,” ujar Hamizan tanpa emosi.

Jelas Hamizan tidak menipu. Mami Zura tahu itu kerana lelaki bukanlah makhluk yang terbaik dalam membicarakan perasaan dan adakala mereka tidak semudah dibaca. Terkadang satu-satunya cara untuk mengetahui sama ada lelaki menyukai perempuan itu, adalah dengan cari tahu ketertarikan seksualnya.

Apakah dia mengalami ereksi selepas perempuan itu menyentuhnya? Adakah dia kelihatan tidak selesa dan cuba mengepit pahanya?

Ternyata Hamizan tetap kelihatan tenang dan tiada usaha menutupi bahagian itu. Bermaksud, Hamizan langsung tidak tertarik secara seksual terhadap Baby Rina.

‘Hmm… boleh tahan kuat iman dia ni…’ Spontan, Mami Zura tersenyum lega lalu menyodorkan pinggan nasi ayam ke depan Hamizan.

“Nah, mami simpankan sepinggan untuk kamu.”

“Susahkan mami aje…” Hamizan menggariskan senyum. Perut makin berkeroncong apabila wap nasi yang harum menguar masuk ke hidungnya.

“Tak susah. Dah hari-hari kamu tanya nasi ayam, macam mengidamlah sangat… tapi balik lambat. Ha, hari ni, mami simpankan.” Mami Zura tarik kerusi lalu duduk.

Hamizan kerling sedikit.

Awal dulu, dia rasa kekok juga apabila Mami Zura suka curi peluang duduk menemani dia makan sambil sesekali bangun ambil dan hantar hidangan kepada pelanggan lain. Diam-diam dia suka juga mendengar Mami Zura mengoceh. Lagi-lagi kalau wanita itu sedang bertekak manja dengan Lala. Terasa manusiawi. Hiburan bagi Hamizan. Tambahan pula Mami Zura tidak pernah memandang jelik kepadanya sebagai bekas banduan.

“Awal balik hari ni? Dah dapat kerja ke?”

Hamizan geleng kepala tanpa angkat pandangan.

Mami Zura tersenyum melihat gerak mulut Hamizan mengunyah. Makan tanpa mulut berbunyi mahupun lidah mencepak-cepak. Kalau ada bunyi yang keluar, hanya kerangupan timun dan taugeh dimamah.

“Aik? Satu pun tak sangkut?”

“Hmm,” Hamizan menyahut datar. Menelan kunyahan dan menyambung kata, “termasuk kerja pengawal keselamatan. Pengurus takut aku rompak bank pulak.”

Mami Zura langsung tertawa kecil. “Parah! Kerja semudah itu pun kamu tak dapat. Kena mandi bunga ni…” 


Hamizan tersenyum getir. Umur sudah 35 tapi terkial-kial mahu mulakan hidup baru. Soal kerja membuat dia mual dan merasa galau.


“Kalau lepas ni masih tak dapat kerja, kamu nak buat apa?”

Hamizan jungkit bahu. “Ikutkan hati nak balik kampung usahakan tanah arwah orang tua. Tapi… dah tak ada apa yang tinggal di sana.”

“Oh, kamu anak yatim rupanya…” Suara Mami Zura melirih sambil matanya terpaku menatap Hamizan yang terus makan.

"Adik-beradik?" Mami Zura menyelidik.

Hamizan diam. Enggan menjawab.

"Okey, mami faham. Mereka dah pulaukan kamu." Mami Zura menghela nafas. Tiba-tiba rasa lega. Hamizan sudah tiada tempat mahu dituju.

“Kalau payah sangat, Mizan kerja ajelah dulu kat kopitiam ni… Duit sewa yang kamu bagi hari tu, nanti mami pulangkan balik. Anggaplah bilik tu hostel untuk kamu.”

Mulut Hamizan terhenti mengunyah lalu memandang Mami Zura dengan saksama. Berkerut-kerut dahinya, tidak percaya mendengar tawaran itu.  

Tanpa diminta, Mami Zura segera menjelaskan, “mami bukannya apa. Kesian tengok kamu ulang alik pergi interview tapi satu kerja pun tak dapat. Kalau kamu kerja di kopitiam ni, sekurang-kurangnya kamu boleh survey betul-betul kerja lain yang tak pandang rekod buruk kamu tapi pandang kelayakan kamu.”

“Betul ada kerja di sini?”

Mami Zura mengangguk. “Kalau kamu naklah. Tapi kerja rencam. Pergi pasar, cuci ayam… basuh ping…”

Tidak sempat Mami Zura habiskan cakap, Hamizan segera memintas, “okey. Aku nak. Bila aku boleh mula kerja?” Tangan menyudu nasi lagi.

Terkejut, tidak menyangka semudah itu Hamizan memberika persetujuan, Mami Zura menduga lagi. “Tapi gaji tak besar tahu?”

Hamizan menelan kunyahan dan berkata, “aku pernah dibayar seringgit sehari waktu kerja di dalam. Jadi, tak kisahlah berapa pun gaji mami bayar. Aku boleh jadi gila kalau melangut tak buat apa.”

Melihat kesungguhan Hamizan, Mami Zura tersenyum lebar. Dalam hati bersyukur bukan main. “Kalau macam tu, bila-bila pun boleh mula kerja. Nanti kamu-“

Kalimat Mami Zura tergantung. Air mukanya tiba-tiba berubah cemas.

Pelik melihat Mami Zura bingkas berdiri dan meninggalkannya, Hamizan menoleh ke belakang. Beberapa orang lelaki keluar dari sebuah SUV yang berhenti tepat depan kedai. Tengok gaya macam samseng.

“Kau nak apa lagi Tiger? Jangan buat kacau sinilah… sini tempat orang makan!” Suara Mami Zura kedengaran jengah.

Sudut bibir Hamizan tersenget sinis. Teringat ‘tiger-tiger’ yang dia kenal dalam penjara. Memang gangster semuanya. Agaknya apabila menggunakan nama Tiger mereka merasa bagai raja, paling berkuasa dan boleh buat semua orang takut menikus. Buktinya, seorang demi seorang pelanggan, mulai keluar meninggalkan kopitiam. Tapi Hamizan terus sambung makan.

“Apa wa peduli? Lu sudah kacau wa punya tempat cari makan! Sekarang wa datang sini kacau lu baliklah! Lu ingat sini tempat polis jaga, wa takut sama lu?”

“Ya, aku suruh polis jaga sini sebab kau yang tak habis-habis cari pasal dengan aku. Kau berani kacau sini sebab aku perempuan! Kalau tak puas hati, pergilah hamun dia orang sana!”

Lu perempuan banyak langsi wooo! Anak-anak ayam lu sailang wa punya ayam import. Apa macam? Lu duduk sini lorong, cari makan dalam ini lorong sajalah. Jangan kacau bisnes wa!”

“Ah! Kau yang tak pandai bisnes, jangan nak salahkan anak-anak ayam aku. Kau ingat ayam import kau semuanya bagus? Lain kali, kalau nak bisnes ayam dengan bos-bos besar, kasi jaga ayam kau baik-baik! Kasi mandi kasi wangi! Jangan harapkan lawa tapi bau bacin!”

Nyaris tersedak Hamizan mendengar hencapan Mami Zura. Boleh tahan lancang mulut perempuan itu.

Tiu nia seng!”

Huh! Kasar! Hamizan menoleh lagi. Huh! Nama tiger muka Melayu! Sepatutnya manusia macam itulah yang disumbat dalam penjara jangan bagi keluar!



“Hoi! Lu apa hal pandang-pandang? Orang lain semua keluar, lu apa pasal tunggu lagi? Mau cari mati ka?” Tiger acung kayu besbol ke arah Hamizan.

Sepantas kilat Hamizan palingkan semula muka hadap nasi. Bukan kerana takut. Tapi tidak sedap hati mencerna adu mulut itu. Tidak syak lagi, Mami Zura bukan sembarangan perempuan di kawasan ini.

‘Hati tengah panas, kerja tak dapat… ada pulak orang cari pasal. Sedap ni kalau dapat lepas penumbuk sedas dua…’ Suara hati hitam Hamizan menghasut.

‘Jangan cari pasal Hamizan! Buat tak tahu. Kau tu baru keluar penjara, jangan cari penyakit!’ Hati suci pula cuba mewaraskan fikiran.

Lalu dengan sikap bersahaja, tanpa menoleh, Hamizan segera bangun sambil kepit fail. Walau telinganya mendengar Mami Zura menjerit kesakitan, dia keraskan hati. Setelah meletakkan duit di atas kaunter, dia terus berjalan menuju ke belakang, hendak keluar melalui pintu dapur. Baru tangannya terhulur mahu tolak daun pintu koboi, jeritan Lala berkumandang dari arah dapur.

“Lepaskan dia!!!”

Sepantas kilat Hamizan miringkan tubuh ke dinding. Terkejut melihat Lala tiba-tiba meluru keluar sambil menjulang pisau pemotong daging.

Waktu putar tubuh, Hamizan melihat Tiger mencekak rambut Mami Zura yang telah tergerai sanggulnya. Terkial-kial wanita kecil molek itu cuba lepaskan diri.

Lu berani dekat, wa kasi pecah kepala ini perempuan!” Tiger angkat kayu besbol tinggi-tinggi, memberi amaran kepada Lala.

“Sebelum kau buat, pisau ni dulu aku baling ke muka kau! Baik kau lepaskan dia!” Lala libas-libaskan pisau apabila konco-konco Tiger cuba merapatinya.

Nasib lelaki kelempuk berlagak berani, tidak sampai setengah minit, Lala berjaya diserkap dari arah belakang. Salah seorang konco menyepak tangan Lala. Pisau terpelanting jatuh. Satu tendangan hinggap di perut Lala sehingga dia terjajar mundur melanggar meja di belakangnya.

Hamizan diam memerhati pergaduhan itu. Tidak menyangka Lala punya nyali melawan semua samseng itu demi menyelamatkan Mami Zura.

“Lala! Janganlah lawan mereka, sayang! Tiger! Sudahlah! Suruh anak buah kau lepaskan Lala! Hal ni antara kau dengan aku!” Sedaya-upaya Mami Zura cuba merayu.

“Wah! Tadi lu sombong nak mampus! Ha, sekarang wa mau kasi mampus lu punya anak anjing!” Tiger menggoncang-goncang kepala Mami Zura, membuat wanita itu terjerit kesakitan.

Lala sudah terpelanting ditendang. Tidak sempat Lala bangun, dua orang lelaki menerpa. Menekan kepala Lala ke permukaan meja. Terjerit-jerit Lala minta dilepaskan. Pucat muka Lala bila melihat salah seorang lelaki mengutip pisau dan mendekatinya.

“Pondan tak guna! Aku kasi kudung tangan kau!” Pisau diangkat tinggi-tinggi.

“Lepaskan aku! Lepaskan!” Lala meronta-ronta.

Duk! Tercetus satu bunyi berdekuk kuat.

“Adoiii!”

Pisau terlepas dari tangan lelaki itu. Sambil pegang dahi yang sakit, terbelalak matanya melihat satu tin minuman jatuh ke lantai. Berputar-putar menyemburkan air dari penutup yang retak.

Semua mata memandang ke arah dalam kedai. Tepat pada Hamizan yang berdiri tegak di tepi chiller.


HAMIZAN versi rambut banduan. Cuma bayangan pengarang aje sebab saya suka dia berlakon. Terpulang pada korang nak bayangkan siapa. Pic credit: Joel Kinnaman.

==================


Nota pengarang : Sori lambat update kat blog. Selain busy update nama-nama untuk pre-order novel Akad, lately migrane dan sakit badan asyik datang balik bila tak dapat jaga makan dengan betul. Payah sikit nak free gluten dan makan food ikut jenis darah dalam tempoh PKP ni. Terpaksa makan apa aje yang ada di rumah. Janji tak lapo... kan? Mudah2an Allah tetap beri rezeki tubuh badan yang sihat kepada kita semua...

Mungkin lepas ni pun saya lambat update sebab nak edit TAO sebelum serah pada penerbit. Doakan kelancaran TAO dalam bentuk buku...
Korang take care. Patuhi saranan kerajaan supaya PKP ni tak jadi sia2...
Rose Harissa® Registered under the provisions of the Trade Marks Act 1976 and the Trade Mark Regulations 1997 since 2016