Thursday 29 January 2015

SUNAT SMART KLAMP

January 29, 2015
Sebenarnya ni entri tertangguh. Kisah apa yang berlaku sepanjang cuti sekolah lepas. Di mana saya stress nak mengejar deadline manuskrip (saya ni paling takut kalau mungkir janji dengan editor... :D).

Tapi kerana komitment pada anak, memang kali ni saya terlewat hantar sebulan! Memang bera jugaklah muka I... haihhhh...

Berbalik cerita Ik sunat, setelah dah nak naik darjah lima, setelah dalam kelas cuma tinggal dia dua orang yang belum bersunat, Ik akhirnya terbuka hati nak bersunat. Sebelum ni saya sound dia, tak guna kau bersunat kalau malas mengaji, solat pun tak reti. Besok kahwin nak tanggung anak bini macam mana?

Sebelum saya memulakan cerita ni, tolong ya jangan anggap bukan-bukan. Saya eager nak share dengan ibu-ibu yang duk rumah, kena jaga anak lelaki bersunat by your own. Yelah... takkan nak tunggu suami balik kerja uruskan anak tu, ye dak? 'Berkarat'lah budak tu...

Dan, gambarajah dalam entri ni semua saya lukis sendiri. Jangan tuduh saya nak melucah pulak. Sebab sepanjang saya jaga anak saya sendiri ni, banyak yang saya belajar dari anak saya. Pengalaman tu, memang buat saya lega sebab rasa dah tunaikan tanggungjawab pada anak.

Bila saya tanya Ik, apsal nak sunat? (sebab saya ingat nak suruh dia sunat masa darjah enam). Dia kata, kawan-kawan dia kata, kalau tak sunat sekarang, nanti anu buta sampai ke tua.

Saya dengan suami geleng kepala. Bebudak sekarang, bukan main lagi sembang. Hakikatnya, memang kau punya buta, Ik oiii.

Maka, seminggu sebelum cuti sekolah bermula, saya call Poliklinik Shaik. Tarikh yang diorang open untuk sunat tak banyak, 3 kali aje dan guna teknik smart klamp. So, saya buat appointment 23hb. Nov. 2014 (Ahad) jam 8.30 pagi, suami saya bising gak, kenapa tak ambik tarikh 29hb sebab nak tunggu mak abah datang. Tapi hati mak-mak dalam jiwa saya ni, rasa lebih baik ambik hari yang paling awal, nanti apa-apa senang.

Saya mulalah buat research pasal smart klamp ni. Sebab I have no idea apa itu smart klamp. Dan cara jaga anak masa dalam pantang. Ada yang kata senang baik. Ada yang kata, pakai smart klamp boleh lasak-lasak.

Well... jangan cepat percaya. Bila saya dah alami, baru saya sedar, lain orang, lain pengalaman. Dan ini pengalaman saya...

Sehari sebelum sunat, Ik sakit matalah pulak. Eloklah dia naik pentas hari kecemerlangan sekolah, dengan mata bengkak merah. Malam tu bawak pergi klinik. Dapat ubat sapu dan ubat titis.


Hari Ahad tu, saya yang berdebar. Paksa suami dan Ik keluar rumah awal. Sebab saya ni, jenis biar sampai awal, jangan lewat dari janji. Nurse dah pesan, datang klinik terus pakaikan anak kain pelekat. Lepas breakfast, sampai klinik lagi lima minit 8.30 pagi, bila tengok tak ada orang, roller shutter bukak separuh aje. Apalagi, suami dah menjeling. Siap sindir cakap "Dah cakap, tak guna datang awal. Tengok, klinik tak bukak lagi! Degil!" Wooo... mak sentap jap. Malas nak bertekak, saya ajak Ik masuk ikut pintu yang bukak separuh tu. Sekali tengok dalam, dah ada orang. Nurse suruh naik tingkat dua. Sekali tengok, memang dah ramai orang. Dah mula pun acara sunatnya. Dah berkumandang suara meraung-raung. Hahahaa... mulalah muka Ik pucat.

Tak lama lepas tu, barulah suami saya naik dan muka dia bera je tengok ramai orang... hahaha... tu la... nak lawan menteri Pembangunan Wanita Keluarga... ehehe...
Masa nak menunggu giliran, puluh kali kejap dia ke bilik air. Asyik nak terkucil dengar bebudak meraung... apatah lagi bila tengok yang keluar bilik siap menangis teresak-esak.... hahaha...

So, saya dengan suami pesan,

"Kau jangan jadi macam budak tu! Buat malu aboh je!"

"Tolonglah Ik, jangan nak meraung. Malulah kau taekwondo kalau sunat pun nak meraung. Dah pernah pecah papan kan? Mestilah tahan sakit."

"Maaa... pecah papan mana sakit. Ini nak potong tunit tau!" Ik dah kepit-kepit kaki. Dia ni saya perasan memang ada phantom feeling/pain kat situ kalau tengok orang jatuh terhantuk kat situ, dia yang seriau lebih. Sebab tu bila sparring, tangan dia asyiklah nak tutup kangkang... haihhh!

Bila dah nak sampai giliran, saya ajak suami masuk sekali. Sebab saya tengok, semuanya suami yang masuk, isteri tunggu luar. Mula-mula suami saya tak nak masuk. Biasalah dia ni... hati kering sikit... tak reti nak menunjukkan kasih sayang secara terbuka... heeee

Saya yang teruja nak tengok macam mana proses sunat tu. "Rugilah anak sorang tapi tak nak tengok..." Automatik suami bangun. See? Kuasa kata-kata seorang isteri... hehehe

Bila masuk, saya terkejut gak tengok nurse muda-muda dua orang. Haihh... maknanya diorang ni dah tengok macam ragam bentuk rupa dan warna... hahaha...

Saya berhajat nak rakam proses tu tapi Ik dah pegang dua-dua belah tangan saya. Suami peluk tubuh belakang saya. Tak lama lepas tu baru doktor lelaki tu masuk dengan dua tiga orang lagi nurse dari bilik sebelah. Wah, rupanya bergilir-gilir dia sunatkan budak. Kena suntik empat das. Dua pada testikal, dua lagi atas tundun. Ik dan melentingkan badan nak menangis.

Tak cakap banyak, doktor tu terus gentel 'tunit' Ik. Saya terbeliak biji mata tengok. Ditarik ke atas sehabis maksima mungkin lebihan kulit tu. Dikeluarkan kepala yang selama ni tersembunyi dalam kulit. Wah, Ik genggam tangan saya kuat-kuat. Mula mengerang sakit.

Doktor mark dengan marker pen keliling tempat nak potong. Bila potong, tak ada darah pun keluar keluar. Kagum sat tengok kecekapan doktor memotong dan pasang klamp.

Dan sepanjang proses tu, mujur Ik tak meraung. Cuma dia buat saya nak tergelak 'setan' bila dengar mulutnya tak berhenti sebut...

"Astaghfirullahhhh...Astaghfirullahhhh...Astaghfirullahhhh..."

Hahahahaha! Serius lawak! Baru kau ingat nak berzikir ye!

Tak sampai lima minit, siap! Keluar bilik, lagi sekali Ik buat lawak polos dan kitorang tergelak.


Saya semakin sedar yang banyak benda saya tak boleh nak sorok-sorok dari anak. Saya dengan suami kena cakap terus-terang sebab kami perasan banyak benda yang dia cerita dengar dari kawan yang tak betul.

Bayaran RM160 sekali dengan ubat. Lepas lima hari, kena datang balik bukak klamp.

Ubat yang dapat ubat tahan sakit, ubat bengkak, antibiotik dan ubat sapu. Sebijik ubat sakit mata yang Ik dapat. Dapat picagari jugak untuk cuci luka.

Ubat yang macam ubat mata tu kena sapu keliling kawasan kena kepit tu. Nanti perlahan-lahan ubat tu serap masuk dalam klamp dan kena bahagian luka. Mimpi ngeri datang bila malam pertama, Ik tak boleh tidur mengaduh sakit. Dah bagi ubat tahan sakit pun dia tetap menangis cakap sakit kat tempat kena potong tu. Aduhai... sudahnya saya tidur tak lena, kejap-kejap jaga bila dengar dia mengerang.

Masa nak jaga nilah yang paling kritikal bagi saya... uwaaaaa... setiap kali kencing, kena sumpit air dengan picagari ke dalam corong. Ik menangis cakap sakit. Saya pun rasa nak menangis sebab kalau tak cuci, nanti busuklah. Nasib baik mak kreatif, guna balik botol lama toner. Instead of sumpit, saya sembur. Ik kata tak sakit sangat. Bila nak keringkan pun satu hal. Nasib baiklah ilham datang, gulung tisu, dah hulur dalam corong sampai air semua terserap ke tisu.






Memang saya manjakan Ik. Siap mandikan. Kemain siap sental dengan Cathy Coo... kahkahkah...Punyalah nak anak bersih dan wangi. Setiap kali buang air tak kira kecik ke besar ke memang mak ler yang basuhkan. Demi nak pastikan luka tu bersih. Anak tunggal katakannn...

"Haihhh... nasib baiklah tak naik ketumbit mata mama ni asyik tengok tunit kau..."

"Tak apalah ma... kalau mama cucikan, bersih sikit..."

Sejuk sekejap dengar ayat anak.

Hari ketiga barulah mak abah saya sampai dari kampung. Adik-beradik berkumpul kat rumah kami. Bila dah ramai-ramai, mulalah Ik terliur tak nak pantang. Hatta nugget jenama Segaria yang bagi saya tak best langsung tu pun dia nampak sedap.

Bab makan, saya bakar ikan selar dan tenggiri. Nak cari haruan memang tak jumpa. Pelik sungguh,time nak, langsung tak ada, time tak nak, bersepah pulak. Kami bagi minum air gamat.

Tapi bab sakit tu tiga malam berturut-turutlah Ik mengaduh sakit waktu tidur. Maunya tak sakit, kalau tengah tidur pun, tunitnya 'membekang' (istilah kitorang untuk ereksi supaya Ik faham). Bayangkan, benda luka, ada klamp tapi bekang! Hoiii... giler sakit kut? Suami saya, cool je. Dia kata tak ada apa, siap bangga lagi anak dia 'membekang'.

Saya pulak stress tengok bengkak. Tapi lega sikit bila tengok ikut corong luka dah mula mengering.

Hari ke lima, pergi bukak klamp. Ingatkan doktor yang bukak, rupanya nurse perempuan. Haisehhh... nampak senang aje bukaknya tapi rupanya, mimpi ngeri bermula. Masa nurse potong klip tu, saya dah perasan, kulit melekat pada klamp.

Klamp dibukak, tinggal corong aje melekat kat hujung. Kata nurse, kalau dalam maa 24 jam corong tu tak jatuh sendiri, kena rendamkan dalam air sampai terbukak.

Masuk dalam kereta, Ik menggelisah, cakap gatal. Sampai tumbuk-tumbuk tempat duduk. Nasib baik pakai kain pelekat. Puluh kali kejap dia jenguk tengok. Tiba-tiba dia jerit.

"Maaaa!! Dah terbukak!!" Suara riang ria. Tapi lepas tu...

Sumpah, saya dengan suami tergelak terkekeh-kekeh dengar raungan Ik. Dia tunjukkan pada saya, memang nampak kecik. Ala... normal la kan... sebab benda tu macam tertarik ke dalam lepas corong jatuh. Tapi dia punya takut, sampai ulang kali tanya, boleh baik ke tak, nanti besar balik ke tidak. Well... nak kata apa? Budak lelaki umur 10 tahun ++ pun risau soal kejantanan dia, apatah lagi lelaki dewasa, kan? Padahal, anak saya bukan baca novel pun... *eh tetiba*

Lepas bukak klamp tu lah mimpi ngeri saya kembali lagi. Lagi dahsyat. Sebab baru nampak rupa-rupanya ada gap luka yang agak besar antara tempat potong dan kepala. Abah saya pesan kat Ik, jangan minum air banyak-banyak sekaligus, nanti bengkak. Tapi dia degil. Tak dengar cakap punya budak. Sudahnya memang bengkak.

Saya risau tengok nanah dan dan kuping-kuping. Bila suruh suami dan abah saya tengok, kata diorang, biasalah tu nak baik memang macam tu. Waaaaa... memang macam tu? Segitu ngerinya??? Abah kata memang lambat baik sikit sebab Ik punya buta. Bila keluar, sebab tu rasa ngilu kena kain, dan kadang berkuping sebab 'bogel' sudah.

Masa ni, waktu mandi, saya suruh Ik tekupkan dengan cawan plastik. Lepas siap mandikan baru saya sembur air sikit dan serap air dengan tisu.

Family saya balik semula ke kampung. Maka tinggallah saya berdua dengan Ik di rumah. Siang memang saya benarkan dia berbogel. Sebab nak bagi kena angin. Biar cepat kering. Bayangkan luka menganga. Sampai saya naik stress kena ulang cek tengok. Tanya dia sakit ke tak. Kata dia tak sakit. Bila suami balik kerja, dia tengok, kata okey. Tapi saya tak puas hati. Okey apanya kalau bengkak dah macam buah gajus!


Ik yang terpinga-pinga, tanya, "Ma... buah gajus tu apa?"

Saya pun capai handphone nak google gambar buah gajus, terus tunjuk pada Ik dengan senyum 'setan'.

"Mamaaaaa!!!" Dia berteriak, bengang saya kata tunit dia macam buah gajus! Tapi lepas tu dia sendiri tergelak sebab terpaksa mengiyakan mak dia yang bongek ni, memang lebih kurang aje bentuk buah tu dengan dia punya. Hahaha...

Hasilnya, barulah dia kontrol sikit minum air. Minum banyak kali, tapi sikit-sikit. Bukan sekali teguk habis segelas.

Tapi hati saya memang risau. Sampai saya call Kak Lily Haslina Nasir, tanya dia, "Beb... ada tak anak-anak lelaki kau yang sunat lambat baik? Yang pakai smart klamp?"

Kata dia ada. So, saya lega sikit. Tapi sekejap je. Masuk minggu ketiga tapi tak cantum-cantum lukanya. Tukar sapu dengan minyak gamat pun tak jalan! Minum air gamat dan dua botol pun tetap tak baik-baik. Saya tanya suami, sudahnya dia pun naik stress.

"Mana nak tau! Aku dulu, jahit. Lima hari dah pergi main bola!"

Sudahhhh! Otak kartun saya mula membayangkan teori itu. Ye tak ya, dulu-dulu, khatan luka terus jahit, so cepatlah baik. Ini bekas potong tu tak dijahit. Dibiar menganga lepas klamp dibukak! Suami pun merungut kata smart klamp ni susah baik, tak macam sunat zaman dia dulu... haihhh

Tak tahan, saya bawak Ik pergi klinik semula. Nurse kata, "Oh... normal ni kak. Tak ada apa ni. Ada jugak patient lain jadi macam ni. Akak kena cuci bersih-bersih nanah ni."

Saya tengok cara dia cuci. Sama aje macam saya cuci. Lepas tu dia panggil doktor. Seorang doktor mamak, yang sangat ceria dan happening, masuk. Serius baru tahu doktor kat sini kelakar.

"Normal ni puan. Good. Cantik... cuci kasi bersih saja. Tengok I buat."

Dan saya pun ternganga menyaksikan demo itu. Cuci yang dia maksudkan adalah... siat segala nanah dan kuping yang ada, sampai nampak kulit paling bawah. Haaaaaaa....! Berdarah pun tak apa katanya, janji semua nanah dan kuping, hatta nanah yang baru nak kering pun, buang semuanya. Lepas tu baru sapu ubat keliling luka. OMG! Saya tak tahulah sanggup buat ke tak kat rumah. Tapi doktor tu siap gentel dan picit lagi... wahduiiiiii!!

Doktor yang sunatkan Ik, masuk. Dia buat benda yang sama. Again dia kata good dan cantik! Haihhh... cantik mehhh macam tu?

Bila nak turun dari katil, doktor tepuk-tepuk punggung Ik suruh jalan dengan betul, jangan bongkok dan pesan jangan jalan mengengkang lagi. Buat macam biasa.
Kat rumah, saya buat macam doktor suruh. Memang berdarah dan saya yang menangis walaupun Ik kata tak sakit. Masa ni barulah saya terfikir nak cari pil haruan. Jumpalah pil Har-One ni. Tak apalah tak dapat makan ikan sebab pil ni pun sangat mujarab... RM28 ada 50 biji. Kalau tahu, awal-awal dah cari... sebab nampak, lepas bagi pil ni, lukanya mengering nanah kurang.

Doktor pesan, jangan kasi benda tu terlentok. Bila nak tidur kena sendal kain kat bawah supaya anu tak terlentok dan 'patah'. In fact, dari Ik kecik (dari zaman pakai pampers saya akan park tunitnya menghala ke atas, ni petua my suami and my abah jugak demi kesempurnaan ' jagoan' :D)... Sebab tu saya pesan kat Ik, bila pakai underware, tarik, kasi parking ke atas supaya nanti tak lembik jatuh. Sampai la ni, habit dia, mesti akan betulkan parking, takut sangat terlentok jatuh bawah... heeee...

Tapi masa sunat, saya tak terfikir pun, sebab takut mengganggu luka.




So, bila doktor dah cakap macam tu, again, kekreatifan memaksa saya fikir alternatif lain. Instead of sendal dengan kain kasa kat bawah, saya buatkan anduh, lekat dengan masking tape.


Bila siang, anduh tu saya biarkan terbuka bahagian atas. Menampung ia supaya tak jatuh bila berdiri. Bila malam, masih style anduh tapi saya bungkus silang supaya luka tak tergesek pada kain masa tidur dan tak payah gantung kain.

Bila nak keluar pun saya buatkan anduh bungkus silang, pakai seluar longgar. Bila buka kain kasa tu memanglah melekat pada luka. Kena tuam dengan air suam nak bagi tanggal. Dalam dua tiga hari jugaklah setiap kali cuci, luka balik. Tapi nampak, gap tu makin rapat dan kain kasa tak melekat lagi lepas bangun tidur.

Lagi seminggu sepatutnya nak bukak sekolah, barulah luka sunat tu betul-betul bercantum.
Haihh... gilaa... sebulan cuti habis macam tu aje melayan budak sunat. Dan nasib baik jugak, cuti sekolah extended lagi seminggu sebab banjir.

Sampai la ni, sesekali, Ik akan suruh saya cek tengok dah okey ke belum. Memang dah okey sangatlah. 'Buah gajus' pun dah surut... dan dia kata, 'bekang' macam biasa. Hahaha...

Sepanjang jaga anak sunat, mandikan, makan bersuap, akhirnya kerja-kerja saya berterabur, FB Pages senyap. Saya cuma dapat taip manuskrip belah malam. Design jobs memang tak ambil langsung dah.

Sekali lagi saya harap tak ada yang salah faham baca dan tengok lukisan-lukisan dalam entri ni. Saya bukan nak mengajar tapi ini personal experience saya. Anak tunggal, so, saya dokumentasikan pengalaman ni supaya nanti dia dan isteri dia ada reference untuk anak-anak diorang pulak.
Sori sesangat kalau ada yang tak boleh terima keterbukaan entri ini, mahupun cara saya dan anak. Lain orang, lain cara ajar anak memasing. Apatah lagi sekarang ni, dengan adanya hukum kat Malaysia, anak tak boleh dirotan. Haihh...

Sekarang, bila dah sunat, saya berhentikan Ik mengaji, ambil alih tugas tersebut di rumah. Biar bonding ibu dan anak kuat sampai dewasa. Lagipun, anak sendiri, tak dapat rotan, boleh dijerit, pulas telinga kalau tak makan diajar. Pokoknya, bukan senang nak didik anak zaman sekarang ni.

Semoga, ada manfaat untuk ibu-ibu. Heeee... (^__^)\m/ <3

Sunday 25 January 2015

“ KORBAN PUAKA TASIK “

January 25, 2015
Cerita ni aku tulis pada 01/04/2004 untuk APO? tapi bila check balik dalam list senarai yang dah keluar, cerita ni tak pernah tersiar. Jadi aku tempek kat sini untuk korang baca.



“KORBAN PUAKA TASIK“

Tasik Chini sememangnya banyak menyimpan sejarah dan lagendanya tersendiri. Kisah kota tenggelam di dasarnya dan lubuk yang menjadi naga dua beradik Sri Pahang dan Sri Gumun bertapa suatu ketika dulu, amat popular. Malah ada sesetengah orang beranggapan dan percaya Sri Gumum masih ada di dalam tasik berkenaan biarpun abangnya sudah tewas di tangan naga Siam, Sri Kemboja.

Ada juga yang percaya ada makhluk misteri lain yang mendiami tasik berkenaan. Walau apapun ianya tidak dapat dipastikan dengan jelas. Namun kisah tasik itu yang meragut banyak nyawa bukan lagi rahsia. Hampir seluruh penduduk Chini memahami ragam tasik itu lebih-lebih kaum orang asli yang mendiami sekitar tasik.

Selalunya orang luar yang tidak tahu menjaga adab menjadi korban tasik. Tetapi itu tidak bermakna orang tempatan selamat dari menjadi mangsa. Sekumpulan pelajar dari sekolah berdekatan ke tasik itu tanpa menduga akan terjadi satu kisah tragis yang tak mungkin dapat  mereka lupakan.

Masitah turut serta dalam rombongan tersebut. Rombongan itu sekadar bertujuan untuk memberi kesedaran kepada para pelajar akan kepentingan alam sekitar kepada manusia. Guru-guru yang terlibat telah menyewa dua buah bot untuk membawa para pelajar mengelilingi tasik.

Masitah duduk di bahagian belakang bot bersama Suzana, teman baiknya. Cikgu Rozila sibuk berceramah di kepala bot walaupun kebanyakan pelajar kurang memberi perhatian terhadap apa yang dia perkatakan. Mereka lebih gemar mengaut bunga teratai dan buahnya dari permukaan air.

Masitah dan Suzana juga tidak ketinggalan. Seronok mengutip buah teratai sambil merenjis air sesama sendiri. Kemudian Masitah mengajak Suzana untuk mengubah tempat duduk ke bahagian hadapan bot. Masitah mengambil tempat betul-betul di muncung bot.

Masitah masih galak bermain air. Tidak lama kemudian, tiba-tiba sahaja Masitah menyentap tangannya keluar dari permukaan air. Raut wajahnya yang berubah panik menimbulkan tanda tanya kepada Suzana.

“Kenapa Ita? “ tanya Suzana.

Muka Masitah pucat. Dia tidak bersuara tetapi jarinya menuding ke arah air. Suzana menoleh. Mulanya dia hairan kerana tidak nampak apa-apa selain dari bunga teratai yang hidup subur. Namun ianya hanya seketika. Dalam air tasik, Suzana nampak satu bayangan hitam berenang-renang di sekitar bot mereka. Tidak dapat Suzana pastikan rupa bentuknya. Ianya seperti satu makhluk yang besar dan pastinya bukan sang buaya! Kini giliran Suzana pula berubah wajah.

Mereka berdua tergamam dan berpandangan sesama sendiri. Belum sempat mereka memberi amaran kepada rakan-rakan dan guru, kelihatan air tasik bergulung seperti ombak besar. Serentak itu juga terasa ada sesuatu yang besar melanggar bot mereka.

Akibat daripada itu, bot yang memuatkan seramai 10 orang itu terjungkit sebelum terbalik. Masitah terlebih dahulu terhumban ke dalam tasik. Rakan-rakannya yang lain menggelepar cuba menyelamatkan diri masing-masing. Ada yang berpaut kepada bot, ada yang mampu berenang ke tepian.

Tetapi tidak Masitah dan Suzana. Masitah bersusah payah untuk cuba timbul di permukaan air. Dia berasa berat yang amat sangat. Tiba-tiba Masitah terasa ada sesuatu sedang menarik kakinya. Masitah menjerit sekuat hati. Melihatkan keadaan itu, Suzana berusaha membantu Masitah untuk kembali naik ke permukaan air. Namun Suzana sendiri tercungap-cungap jadinya. Dia berasa Masitah begitu berat malah dia yakin ada sesuatu sedang menarik Masitah supaya tenggelam ke dasar tasik sehingga dia sendiri hampir lemas.

“Cikgu!!! Tolong!! Masitah jatuh dalam air ni!!” Suzana menjerit sambil terus cuba menarik Masitah. Masitah makin tenggelam. Suzana menangis melihatkan Masitah yang semakin tenggelam.

“Cikgu!!! Tolong!!!” Jeritan Suzana seakan tidak didengari oleh guru mereka. Suzana semakin berputus asa. Akhirnya Suzana tidak berdaya lagi. Terpaksa dia melihat Masitah tenggelam ke dasar tasik begitu sahaja.

Suzana diselamatkan oleh Pak Hasan, jurumudi bot. Sebaik sahaja sampai ke tebing, dia diserbu rakan-rakannya. Suzana menggeletar, kesejukan bercampur ketakutan.

“Eh? Mana Masitah?” Tanya Cikgu Rozila. Suzana mengerling marah ke arah cikgunya itu.

“Bukan ke tadi saya dah jerit mintak tolong! Sorang pun tak dengar! Masitah dah lemas dalam tasik nun!!!” Suzana menjerit sekuat hati seakan melepaskan perasaannya yang terkilan dengan kejadian sebentar tadi. Barulah guru-guru mereka menyedari Masitah sudah hilang ke dasar tasik.

“Suzana, cuba ceritakan apa yang dah jadi?” Tanya Cikgu Malek lembut.

Suzana teresak-esak. "Saya…cuba..cuba nak tolong Masitah cikgu… tapi, dia kuat! Kuat sangat! Berat! Macam ada benda tarik dia dari bawah! Saya..tak mampu nak selamatkan dia!!” Suzana meraung sekuat hati.

Sekejap sahaja cerita Masitah lemas di tasik tersebar ke kawasan sekitar. Pasukan penyelamat tiba dan memulakan gerakan mencari mayat Masitah. Dasar tasik yang gelap dengan rumpai, menyukarkan kerja-kerja mencari.

Tok Batin Jali turut membantu dalam gerakan mencari itu. Tidak seperti pasukan penyelamat yang menggunakan bantuan pernafasan, Tok Batin Jali yang arif tentang selok belok tasik, hanya menyelam begitu sahaja.

Menjelang petang, mayat Masitah ditemui. Ditemui oleh Tok Batin Jali dalam keadaan yang menimbulkan tanda tanya. Mayat Masitah ditemui terbenam dalam selut dasar tasik! Hingga ke paras dada! Hanya bahagian kaki yang kelihatan.

Malah Tok Batin Jali juga mengalami kesukaran untuk menarik keluar mayat Masitah dari selut. Seperti berbalas tarik dengan sesuatu dari dalam selut. Setelah beberapa minit berhempas pulas, barulah Tok Batin Jali berjaya menarik keluar mayat Masitah.

Orang ramai yang menunggu di pinggir tasik tergamam melihat keadaan mayat Masitah yang mengerikan. Rupanya seperti mayat yang sudah mati sebulan, sedangkan baru beberapa jam tenggelam. Perutnya buncit, dadanya kembung, mata terbuntang dan hidung penuh selut pasir.

Terkejut mereka semua apabila melihat begitu banyak selut yang keluar dari mulut mayat Masitah apabila dipam oleh pasukan penyelamat. Mereka hairan bagaimana mayat sekurus arwah Masitah boleh terbenam separuh badan ke dalam selut dan berubah menjadi mengerikan, seperti sudah lama mati!

“Susah nak tarik arwahnya keluar tadi. ‘Benda’ tu nak tarik mayat ni masuk dalam selut. Nasib baik aku sempat tarik, tapi kuat betul ‘benda’ tu…!” 

Kata-kata yang keluar dari mulut Tok Batin Jali membuatkan yang lainnya terdiam. Tok Batin Jali tidak mahu bercerita lanjut mengenainya. Yang pasti bukan sekadar ikan, ular dan buaya yang menghuni tasik itu. Tetapi ada sesuatu yang lebih menakutkan wujud di dasar sana….

Oleh: NORA

Rose Harissa® Registered under the provisions of the Trade Marks Act 1976 and the Trade Mark Regulations 1997 since 2016