Thursday 8 March 2012

Rindu Itu Cinta- Bab 3

March 08, 2012
3

SEJAK tadi Rozan perhatikan, sambil menghirup teh tarik, mata Al kerap kali merenung ke satu arah. Takkanlah Al tengok mamak yang tengah tebar roti canai pulak?

“Kau tengok apa?  Dari tadi mata kau liar aje...” Rozan bertanya hairan.

“Tu…kau tengok tu…”

Rozan pun menoleh ke belakang. Rupanya, yang menjadi sasaran mata Al ialah seorang gadis yang sedang membuat bayaran di kaunter. Dengan potongan rambut berombak melepasi bahu, jeans straight cut dan blouse chiffon warna oren, membuatkan gadis itu kelihatan sangat menarik. Tetapi Rozan cepat-cepat melarikan pandangan apabila gadis itu tiba-tiba menoleh dan merenungnya, tajam. Phewww… macam kena tikam!

“Fuh! Sumpah, comel! Kulit gebu, macam Barbie doll!” puji Rozan sekilas sambil menaikkan dua ibu jarinya.
Al tersengih mendengarnya kerana dia sendiri mengakui kenyataan Rozan itu. Gadis itu tidaklah berpakaian seksi tetapi dasar otak nakal Al, melihat perempuan cantik berjubah pun dia boleh bervisual yang bukan-bukan!

“Rupa-rupanya besar hikmah kau pindah ke Kota Kemuning ni. Aku rasa lepas ni, hari-hari aku nak datang lepak rumah kau…”

“Eh? Kenapa pulak?”

“Awek tu mesti duduk dekat-dekat sini aje kan?”

Pada mulanya Rozan tidak begitu memahami maksud Al. Tetapi apabila melihat senyuman nakal yang terpamer di bibir Al, Rozan pantas berseru.

“Wooo! No, no, no!” Rozan menggoyangkan jari telunjuknya di hadapan muka Al berkali-kali. “Ingat sikit, kau tu dah ada girlfriend…”

 “So?” Al menjungkitkan keningnya, seperti dia tidak melakukan sebarang kesalahan. “Aku tak boleh cari spare part? Kahwin pun ada kuota empat, tau? Ini kan pulak soal couple. Aku nak sahut seruan, awek keliling pinggang! The more the merrier! Hahaha!”

Gurauan Al membuatkan Rozan berdecak sambil menggeleng kepala. “Gila kau, ayat tak hengat! Memang buaya bujang senang kau, ye?”

Al tergelak senang, sedikitpun tidak berkecil hati. “Hahaha… ini original, Sarawak mari tau!”

Sudahnya Rozan tidak terkata lagi. Itulah Al yang dia kenal sejak dari tahun pertama ketika di Lim Kok Wing University lagi. Al selalu ceria. Bezanya dahulu, Al tidaklah kacak seperti sekarang. Al yang dahulu giginya berterabur. Sudahlah berterabur, ia agar terkedepan. Kerana gigi jugalah hubungan Al dengan Suziela tidak berkekalan. Hubungan mereka putus ketika di tahun ketiga. Tetapi biarpun begitu, kerana Al seorang yang berkeyakinan tinggi, bijak, selain cergas bersukan, membuatkan Al agak popular di kalangan pelajar perempuan. Dia disenangi ramai kerana sikapnya yang easy going, open minded, sentiasa ceria dan suka berjenaka.

Hanya tiga tahun kebelakangan ini, ketampanan Al mula terserlah, setelah dia nekad memakai pendakap gigi. Pemakaian alat itu bukan sahaja meratakan gigi, membuatkan bentuk mukanya lebih tirus bersegi, membuatkan dia kelihatan kiut di mata para wanita.

“Sebenarnya, kau nak kahwin ke tidak dengan Rania tu?” tanya Rozan tiba-tiba.

Al segera menjungkitkan bahu. “Entahlah… kalau ada jodoh, adalah…” Begitu mudah Al memberikan jawapan – sekadar melepas batuk di tangga.

“Dah pergi bercuti bersama, dah selalu tengok luar dalam masing-masing, takkan tak yakin lagi nak menikah?” tegur Rozan separa menyindir.

“Sebab dah selalu tengok luar dalamlah yang buat aku tak ingat nak menikah dengan dia. Barang senang dapat, buat apa pening kepala fikir nak menikah? Tekan suis aje terus ‘on’!” Selamba sahaja Al berkata-kata.

“Astaga!” Rozan menepuk dahi. “Kau ni… sampai bila nak macam tu? Kena sakit kelamin nanti, baru kau tau!”

Mata Al terbelalak mendengar sumpahan Rozan. “Hoi! Mintak simpang malaikat 44! Kau pun… agak-agaklah bila bercakap. Aku tak amalkan seks bebas tau! Aku dengan dia aje!”

Rozan menggeleng kepala. “Isk, cara kau cakap tu macam tak takut langsung pada dosa. Sampai bila kau nak hidup macam tu? Bertaubatlah, Al…” Sebagai kawan baik, Rozan memang perihatin terhadap kehidupan sosial Al yang sangat menyimpang dari landasan agama.

Mata Al mengecil, dia tersandar di kerusi sambil menggigit ibu jari tangan kanannya. Lama dia terdiam seolah-olah sedang cuba mencerna nasihat Rozan. Tidak pula Al marah kerana dari dulu Rozan memang suka menasihatinya berubah cuma dia yang sahaja yang degil.

Kemudian, Al menegakkan tubuh, memandang Rozan dengan saksama. Rozan pun bersikap serius mahu mendengar apa yang bakal diperkatakan Al.

“Okey, aku akan bertaubat…” Al mengangkat tangan membuat ikrar.

“Alhamdulillah…!” seru Rozan seraya menyapu tangan ke mukanya tanda kesyukuran.

Tetapi Al menyambung kata-katanya, “Itu pun kalau dah dapat awek Barbie doll tadi!”

Kali ini Rozan menepuk dahi. “Astaga! Aku ingatkan dah insaf! Rupanya nak masuk jarum lain. Heee… nasib baik kau ni kawan aku tau! Kalau tak, aku luku aje kepala kau tu!” Terkena dia dengan kenakalan Al.

Al ketawa terkekeh-kekeh melihat muka stress Rozan.

“Rileks la bro, yang kau serius sangat ni kenapa?”

“Kau tu, benda serius macam tu pun kau nak buat lawak…!” getus Rozan geram, nyaris mahu menaikkan jari hantu. Sabar sahajalah...

Al ketawa senang. Sesaat kemudian, wajahnya kembali serius. “Tapi kan… aku rasa macam pernah tengoklah muka awek tu…”

“Kat mana?”

“Entah… aku pun tak ingat!”

“Ah! Ayat playboy memang macam tu! Semua awek kau cakap pernah tengok!” Rozan pura-pura mencemuh.


“Sungguh ni… aku tak tipu… muka dia familiar…” Al mengetuk-ngetuk dahi, cuba menguak memori bagi mengingati di mana dia pernah bertemu dengan gadis itu.

Rozan cepat-cepat mengibaskan tangan ke depan muka Al. “Sudahlah… jom blah…tadi kata nak temankan aku cari barang rumah kat Ikea.”

Tanpa banyak soal, Al bangun. Memang dia sudah berjanji mahu menemankan Rozan mencari keperluan rumah. Rozan baru sahaja membeli apartment second hand Sri Kemuning. Kata Rozan sebagai persediaan sebelum dia menikah dengan tunangnya tahun hadapan.

Hai… Rozan dah ready nak menikah. Aku bila lagi ya? Rania tak pernah pun serius bila aku ajak dia kahwin. Nak enjoylah...takut beranak lah...haihh...

Diam-diam, Al mengeluh juga dalam hati memikirkan masa depannya.

Tuesday 6 March 2012

Rindu Itu Cinta- Bab 2

March 06, 2012
2

“PSSTTT…Nisa, mamat kat meja depan tu dari tadi asyik pandang ke sini aje…” Hanim berkata dengan suara separuh berbisik. Bibirnya diusahakan sedaya mungkin agar tidak bergerak ketika bersuara. Dia berpura-pura seolah-olah tidak perasan akan renungan mata si jejaka berkemeja merah hati itu. 

Namun begitu, Nisa malas menoleh. Mi goreng mamak yang sedang dinikmati lebih memerlukan perhatiannya. Sedap! Sebab itulah dia mengajak Hanim makan dahulu di restoran tersebut sebelum mereka bergerak ke Mid Valley, menghabiskan cuti hari Sabtu bersama.

“Aku rasa dia pandang kaulah!” Hanim membuat kesimpulan rambang sambil berpura-pura tidak mempedulikan pandangan jejaka tersebut.

“Suka hati dialah… dia ada mata. Lagipun kat restoran ni kan ramai orang. Entah-entah dia tengok orang kat meja sebelah kita ni…” Nisa masih bersikap acuh tak acuh. 

“Isk… kau ni… beku betullah…!” Hanim menggeleng kepala melihat gelagat Nisa yang langsung tidak peduli pada keadaan sekitar. Biar berapa ramai lelaki memandangnya, Nisa tetap tegar dengan sikap dinginnya. 

Tetapi Hanim terus mengawasi jejaka yang masih curi-curi memandang ke arah meja mereka. Tepatnya ke arah Nisa! Ya, Hanim yakin, dia tidak tersalah membuat perkiraan.

Tiba-tiba mata Hanim membulat dan dia berseru dengan suara teruja. “Aww! Dia pakai braceslah! Kiutnya bila dia ketawa!” Hanim menekap tangan ke pipi. Bajek comel!

Dek terkejut melihat gelagat Hanim yang di luar kawalan itu, Nisa spontan menoleh, mencari di mana duduknya si jejaka yang dimaksudkan oleh Hanim.

Mata Nisa akhirnya bersabung pandang dengan seorang jejaka yang duduk di meja luar restoran. Melihat jejaka itu sedang tersenyum menampakkan pendakap gigi, Nisa yakin itulah orangnya. 

Hmm…Boleh tahan juga orangnya! Muka kategori boleh ‘cari makan’. Bolehlah kalau setakat nak jadi model majalah ke atau masuk pencarian jejaka maskulin. Namun Nisa malas mahu memandang lama-lama, takut si jejaka itu terperasan pula. Dia kembali memandang Hanim.

“Okey, fine, dia memang kiut dengan besi berbaris pada giginya tu… tapi perlu ke kau beraksi bajek comel macam tu? Kau tu umur dah 28 tahu, bukan budak kolej lagi! Macam tak pernah tengok lelaki lain yang lebih hensem!” getus Nisa.

Langsung mati rasa teruja Hanim. “Isk, kau ni! Potong karan sungguh! Bukan senang tau nak jumpa orang lelaki pakai braces.” Hanim mencebik, terus hilang keterujaan mahu memandang si jejaka bergigi besi!

“Lupakanlah mamat gigi besi tu. Ni, kau tau tak, Zurya dah nak balik Malaysia? Dia ada emel aku, cakap nak jumpa kita.” Nisa langsung menukar topik perbualan. Jejaka bergigi besi itu tidak menarik minatnya untuk diperbualkan. 

“Ada…” Hanim menggantung kalimat, berfikir sejenak sebelum menyambung, “…tapi aku hairanlah dengan dia tu. Sejak dia remove aku dan privatekan facebook dia, dia macam nak berahsia sesuatu dengan aku.”

Nada suara Hanim jelas menunjukkan dia berkecil hati dengan sikap sahabat mereka, Zurya.

“Buang masa kalau kau nak kecik hati dengan Zurya. Macamlah kau tak tau perangai dia yang kadangkala egois, kepala angin tu. Setakat tak ada dalam list facebook dia, takkan pulak sampai kau dengan dia putus kawan? Semua tu perkara remeh-temeh ajelah!” Nisa menyuarakan pendapatnya. 

Dia, Hanim dan Zurya berkawan sejak mula-mula menjejakkan kaki ke Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS). Memandangkan dalam fakulti Kejuruteraan Awam hanya mereka bertiga gadis dari Semenanjung, menjadikan mereka berkawan baik. Tetapi malang sekali, belum pun habis semester pertama, Nisa mengambil keputusan mengundurkan diri dari UNIMAS. Selepas itu mereka berhubungan melalui emel dan Yahoo Messegger. Hanya setelah tamat pengajian, barulah Nisa bertemu kembali dengan Hanim di Semenanjung sementara Zurya berlepas ke Australia bagi menyambung pengajian di sana.    
  
Hanim merenung wajah Nisa dalam-dalam. Selepas menghembus nafas, dia berkata, “Kau bolehlah cakap macam tu sebab kau tak ada facebook. Dah lama aku suruh kau buka satu akaun facebook, senang kita nak jejak balik kawan-kawan lama dan tengok apa perkembangan mereka. Kawan-kawan kita pun ada tanya pasal kau. Tapi kau tak nak berhubung dengan mereka. Kenapa?”

Masih dengan muka tanpa perasaan, Nisa menjawab, “Ah, malaslah. Buang masa aje semua tu. Lagipun aku tak nak orang tahu pasal aku. Facebook tu sebenarnya lebih banyak memecah-belahkan manusia. Aku sendiri dah tengok budak-budak kat pejabat aku bergaduh disebabkan facebook. Kenapa? Itu semua gara-gara masing-masing berebut-rebut nak tunjukkan kehebatan mereka. Kemudian pihak yang ini pula sibuk memantau status orang lain. Kemudian bergosip dan timbullah fitnah! Kutuk sana, kutuk sini. Tak payah, aku malas nak memeningkan kepala. Ada emel dengan YM dah cukup. Lagipun aku mana ada kawan lain selain kau dengan Zurya…” 

Kata-kata Nisa itu terus membuatkan Hanim terdiam. Ada betulnya apa yang dikatakan oleh Nisa. Dia kagum, sekaligus tidak faham dengan sikap Nisa. “Aku betul-betul tak faham dengan kau ni, Nisa. Aku bukan suruh kau jaga tepi kain orang lain tapi untuk kawan-kawan rapat, cukuplah. Saling ambil tahu dan ambil berat, apa salahnya? Tapi aku hairan, macam manalah kau boleh bersikap ‘kering’ macam tu? Kau tak ada perasaan langsung ke?” 

“Perasaan aku dah lama mati, Hanim. Dah 10 tahun! Kalau dah mati tu, mana boleh hidup semula!” tegas Nisa seraya mengangkat punggung dan berlalu ke kaunter bagi membuat bayaran. 

Hanim terpanar di kerusinya. Nampaknya Nisa masih tidak dapat melupakan sejarah lama.   

Rindu Itu Cinta- Bab 1

March 06, 2012
Nota kepala : Dipersilakan membaca, tinggalkan komen membina, mahupun teguran sekiranya bahasa Sarawak itu salah. Suka aku ingatkan bahawa ini bukan novel Islamik, jadi jangan expect yang berhemah-hemah sebab ini novel aku tulis free flow, ikut apa yang sebenar berlaku dalam masyarakat, kat facebook, kat twitter dan sebagainya. Kiranya, banyak manusia berdosa dalam ini cerita tapi semestinya akan ada perubahan. Sebab bagi aku kerana cinta, manusia sanggup buat apa sahaja. Sanggup berdendam, sanggup berubah, sanggup berkorban dan apa sahaja...
Komen-komen membina sangat dihargai sebab aku rasa aku dah semakin hilang skill menulis novel dewasa. Harap korang dapat membantu aku memperbaiki mana-mana yang kurenggg sebab ada beberapa novel yang terperap dalam pc akibat aku mengidap sindrom
Lack of self-confidence , low self-esteem...sebab selalu rasa citer aku tak best mana... m(_ _||')m
Jadi, selamat membaca bab 1!
(^_^)y 
 

1

“ASTAGHFIRULLAH…!” Puan Sharifah Norzah mengucap panjang sambil mengurut dada. Tidak cukup dengan itu, dia menggeleng kepala sambil menghela nafas panjang berkali-kali. Rasanya nyaris dia terkena serangan jantung apabila melihat gambar yang terpapar di laman twitter milik Sharifah Rania.

raniaidrus (Sharifah Rania Syed Idrus)

Sweet moment at Pangkor with my cutest bf @al_900

Begitu tulisan yang tertera di bawah gambar seorang gadis berbikini merah jambu sedang mencium pipi seorang jejaka yang cuma memakai border pants! Walaupun jejaka itu berkaca mata hitam tetapi Puan Sharifah Norzah cukup kenal siapa dia.

Sekali lagi Puan Sharifah Norzah mengucap panjang, cuba mententeramkan jiwanya yang dihangatkan oleh gambar panas itu.

“Mak… okey sik? Mun sik okey, iboh nangga gambar ya lamak-lamak[1]…” Alani, anak bongsunya yang berusia 17 tahun mengurut-ngurut belakang badan Puan Sharifah Norzah.

Timbul rasa menyesal dalam hati Alani kerana menunjukkan gambar tersebut kepada emaknya. Tadi dia sengaja online kerana sudah lama tidak tweet si abangnya, Al-Hadi yang dipanggil Al. Abangnya kini menetap di Ulu Kelang bersama kakak nombor duanya, Amalia. Al bukanlah seorang yang gemar bertwitter, tetapi dia tidak pernah mengabaikan tweet dari si adik.

Alih-alih, Alani dikejutkan dengan gambar ‘berani mati’ yang ditag oleh teman wanita Al. Dia sendiri tanpa berfikir panjang terus memanggil emak agar melihat gambar tersebut. Terkejut punya fasal sehinggakan otak pun tidak mampu berfikir panjang.

“Kenja nar abang kitak ya eh[2]!” getus Puan Sharifah Norzah dalam bahasa Sarawak. Geram sungguh dia dibuatnya dengan ulah anak lelaki tunggalnya itu. Umur sudah 32 tahun tetapi masih belum mahu berkahwin.

“Mak…bukan abang, tapi kak Rania ya nang kenja! Nya suk upload gambar kedak ya[3]!” Alani masih berusaha membela abang kesayangannya. Lagipun dia memang tidak suka dengan sikap Rania yang terlalu sosial itu. Tahulah dia anak orang kaya di Sarawak tetapi janganlah melampau sangat mengikut gaya hidup orang barat.

Suka sangat memuat naik gambar bukan-bukan. Bayangkan gambar gelas bir pun ditayangnya dalam Facebook dan twitter. Itu belum dikira lagi gambar dia merokok atau pun bermain-main dengan anjing! Seolah-olah Rania berbangga dengan gaya hidup bebas begitu. Huh! Sangat tak sesuai dengan abang aku yang kiut! Entah macam mana abang boleh tersangkut kat perempuan macam tu. Dah rabun sangat agaknya! Alani membebel dalam hati.

 Puan Sharifah Norzah bangun, sudah tidak sanggup melihat gambar anak lelakinya yang sah-sah sudah tidak teruna lagi itu. Sedih hatinya bukan kepalang lagi.

“Mak?” Alani memanggil, mula risau melihat wajah duka emaknya.

Puan Sharifah Norzah tersenyum hambar. “Kelak adik beli tiket belon, mak maok nemu abang lusak[4]…” 

Selepas berkata demikian, Puan Sharifah Norzah berlalu masuk ke bilik. Dengan perasaan lemah, dia duduk di birai katil. Tangannya mencapai bingkai gambar dari atas meja. Tangan tuanya mengusap gambar Al-Hadi.

Al, satu-satunya anak lelaki yang dia ada, di antara tiga orang anak perempuannya. Ardini, anak yang sulung, sudah berkahwin, punya dua anak dan sekarang masih menetap bersamanya di Kuching. Begitu juga dengan Alani, si bongsu. Anak kedua, Amalia juga sudah berkahwin tetapi menetap di Semenanjung bersama seorang anak lelaki berusia tiga tahun. Suami Amalia, Jazli bekerja sebagai jurutera di Dhubai. Hanya pulang selang tiga bulan sekali. Disebabkan itu, Jazli meminta Al tinggal di rumahnya dan Al akur untuk tinggal bersama di rumah semi D di Ulu Kelang.

Tetapi entah kenapa, Al boleh terjebak suka bersosial. Pasti kerana terikut-ikut dengan perangai sepupu-sepupunya yang kebanyakkannya bagaikan lupa asal usul.

Puan Sharifah Norzah mengeluh lagi. Saat dilanda kesedihan begitu, dia menjadi lebih rindu kepada arwah suaminya. Sudah 20 tahun Al-Ammar pergi meninggalkannya.

“Ammar…kamek asa Al sik berolah kedak ya mun kitak ada. Beraie nar kamek ngan kitak[5]…”

___________________________________________        

[1] Mak… okey tak? Kalau tak okey, jangan tengok gambar tu lama-lama…

[2] Gatalnya abang awak tu ya?”

[3] Mak…bukan abang tapi kak Rania tu memang gatal. Dia suka upload gambar macam tu!

[4] Nanti adik beli tiket kapalterbang, lusa mak nak jumpa abang…

[5] Ammar, saya rasa Al tak nakal macam tu kalau awak ada. Rindu betul saya dengan awak…

Sunday 4 March 2012

Persada Aksara - Dari Rak Buku ...Dan Cinta Pun Tersenyum.

March 04, 2012
Salam semua...
Hari ni aku nak kongsikan rakaman Persada Aksara RTM1, dalam segmen Dari Rak Buku, novel Dan Cinta Pun Tersenyum dipilih sebagai mengisi slot tu.  Sebenarnya rakaman ni dah lama, Februari 2011.
Semasa slot aku di Persada Aksara bersiaran beberapa minggu lepas, aku tak dapat nak tengok sebab ada hal kat luar kemudian terpaksa mendekam kat bengkel. Hishhh...

Mujurlah NB Kara ada upload rakaman ni kat facebook. Kalau tak sampai sudah aku tak tau camna ruper aku bercakap time tu. Bila tengok, serius tergelak sebab :

1) Fahrin duk menyebut, 'sebuah novel yang cukup laris'... hahahaha, rasa nak hantuk kepala kat dinding. Sumpah, sampai sekarang, aku masih ada penyakit lack of confident. Tak pernah nak percaya ke yakin ke buku aku boleh jual apatah lagi laku keras... huuu...m(_  _ ||')m

2) Melihat perbezaan mulut yang sangat ketara. Hahaha...gila teruk gigi aku time tu... (^___^)

Apapun aku sangat berterima kasih setinggi langit kepada kak Norhayati Berahim, Liza Bujang, Sharif, Rinn dan Kak Lily Haslina Nasir yang sudi mengulas Dan Cinta Pun Tersenyum itu...




Rose Harissa® Registered under the provisions of the Trade Marks Act 1976 and the Trade Mark Regulations 1997 since 2016