Thursday, 28 February 2008

ke Brunei Darussalam

February 28, 2008
Salam semua...
Petang ini aku akan berangkat ke Brunei Darussalam bersama Kak Lina, Kak Anis, Kak Lily, Lynn dan Damya, juga rombongan keluarga Alaf 21... untuk berPesta Buku di sana...
Kepada warga Brunei, kita jumpa di Pusat Persidangan Antarabangsa Berakas!
Kepada pengunjung setia blog aku, kita jumpa lagi selepas 3hb March...
Salam ceria!

Tuesday, 26 February 2008

Iklan dari Laman Web Alaf 21

February 26, 2008
KINI GILIRAN ROSE HARISSA
DI ASTRO AWANI

Ingin mengenali lebih dekat novelis muda berbakat besar ini? Ingin mengetahui dengan lebih dekat lagi bagaimana seorang graduan jurusan Senibina UTM Skudai ini boleh mengumpul begitu ramai peminat (sesuatu yang tidak disangka-sangkanya) dalam waktu yang begitu singkat sahaja?

Pastikan anda berada di hadapan Astro Awani 123, hari Rabu 27.2.2008 jam 11.30 pagi. Tataplah secara lebih dekat lagi novelis `Berikan Cintamu' dan `Cinta Mekar di Hati' ini. Dengarkan keramahan dan kepetahannya ketika diwawancara oleh Dang Suria Zainurdin dalam program `Dari Wanita ke Wanita', sebuah program yang semakin mendapat tempat di hati penonton.

Dan khusus untuk peminat di Brunei... luangkanlah masa untuk sesi ramah mesra bersama Rose Harissa di Pesta Buku Brunei bertempat di Pusat Persidangan Antarabangsa Berakas, 29.2 - 2.3 (10 pagi - 7 malam) dan 3.3.08 (10 pagi - 2 ptg).

Selamat membaca, menonton dan beramah mesra!!!

Saturday, 23 February 2008

Artikel Misteri APO? Pilihan Februari

February 23, 2008
Seperti yang tersiar dalam APO? Isu 218 - 1 Februari 2008

Di SEBUAH ladang getah, kelihatan seorang pemuda bertubuh tegap sedang giat menebas semak samun. Itulah Fahad, pemuda sebatang kara yang sanggup berbuat apa saja kerja, asalkan halal dan dapat mencari sesuap nasi. Hari ini dia ditugaskan untuk menebas segala semak-samun di kebun getah Penghulu Darus, yang baik hati. Dia perlu habiskan sebelum asar. Tenaga dan kudratnya dikerah sehabis mungkin.

“Abang Fahad!” Suara halus lembut menyapa pendengaran Fahad. Lantas dia segera berhenti menebas lalu berpaling.

Suriya berdiri tidak jauh darinya sambil menjinjing sebuah bakul berisi makanan. Suriya melemparkan senyum. Dibalas Fahad seadanya namun Suriya tidak berasa hati. Dia sudah masak benar dengan perangai Fahad yang pendiam dan sukar untuk senyum.

“Ayah suruh abang makan dulu…” kata Suriya apabila melihat Fahad bersedia untuk kembali menebas. Suriya mengunjukkan bakul makanan. Suka benar dia apabila ayahnya, Penghulu Darus memintanya menghantar makanan kepada Fahad sebagai antara upah menebas.

“Ayah suruh datang rumah lepas habis menebas nanti.” Beritahu Suriya apabila Fahad menghampiri.

Suriya suka melihat Fahad. Pemuda itu jarang senyum. Kerana bila dia senyum, akan tersembul keluar kedua-dua gigi taringnya yang sedikit panjang dari gigi biasa. Badannya pula tegap berulas otot-otot pejal. Ada jalur-jalur kemerahan di tengah belakangnya, seperti tatu yang pudar membuatkan Fahad kelihatan pelik tapi tampan. Semua ciri itu membuatkan Fahad berbeza daripada pemuda-pemuda lain.

Tetapi semua penduduk kampung tahu, Penghulu Darus amat mengambil berat tentang Fahad. Pemuda-pemuda yang cemburukan Fahad, tidak berani mengacau kerana Fahad sentiasa dilindungi oleh Penghulu Darus. Mereka tidak tahu siapa Fahad dan dari mananya datangnya. Dia ditemui terlantar di tepi pantai dalam keadaan pakaiannya koyak rabak beberapa tahun lalu. Apa yang pasti, Fahad kelihatan berbeza dari pemuda sebayanya dengan kulit kemerahan. Sejak itu Fahad tinggal memencilkan diri di pondok kecil yang disediakan oleh Penghulu Darus di hujung kampung. Pernah terjadi kes, Fahad dipukul ketika dia pulang dari surau. Seminggu dia terlantar dan Penghulu Darus sendiri yang merawatnya. Walaupun kumpulan pemukul itu tidak dapat ditangkap, tetapi amaran Penghulu Darus sudah cukup untuk melindungi Fahad dari sebarang ancaman.

“Suriya baliklah dulu…tak elok kita duduk berdua di sini.” Fahad bersuara perlahan tanpa memandang wajah Suria. Dia sengaja mengelak kerana setiap kali dia merenung gadis itu, ada cetusan rasa pelik terbit di sanubarinya.

Suriya senyum. Dia mudah menduga hati anak muda itu. Fahad suka padanya tetapi malu. Tidak mahu mendera perasaan Fahad, Suriya bangun, bersedia untuk pergi.

“Petang nanti jangan lupa datang rumah tau. Ayah nak abang makan malam kat sana nanti.” Suriya meninggalkan pesan sebelum melenggang pergi.

Sepeninggalan Suriya, Fahad makan dengan perlahan-lahan. Dia terfikir sendiri tentang siapa dirinya. Selama ini hanya keluarga Penghulu Darus yang baik dengannya. Fahad tidak ingat apa-apa tentang dirinya. Sedang Fahad makan, tiba-tiba dia tertegak. Telinganya bergerak-gerak. Matanya melingas bersama kerutan di kening. Bekas nasi segera di letak ke tanah. Fahad bangun. Tegak berdiri mengawasi persekitaran. Secara semulajadi, dia menetapkan segala derianya. Ada bahaya sedang berlaku. Suriya!

Sepantas kilat, Fahad berlari kencang. Deria baunya membawa dia ke satu tempat. Sayup-sayup kedengaran suara Suriya menjerit diiringi ketawa lelaki beramai-ramai. Dia yakin Suriya dalam bahaya. Benar seperti sangkaannya, Suriya sedang dikerumuni oleh sekumpulan lelaki. Separuh dari bajunya sudah koyak rabak, sementara seorang lelaki cuba melondehkan kainnya. Jiwa Fahad semakin bergolak kencang.

“Hoi!” Fahad bertempik. Secara tidak langsung mengejutkan kumpulan lelaki itu. Dari gaya mereka, Fahad yakin, itulah kumpulan yang memukulnya dulu.

“Ah! Pendatang asing nak tunjuk hero! Ptuii!” Kadhi meludah. Dia paling benci melihat muka Fahad. Kalau dapat, ingin dia tarah muka kacak Fahad dengan parangnya.

“Hari ni kau mesti mampus! Dah lama sangat kami dendam dengan kau!” Kadhi menyambung kata. Dia memberi isyarat mata kepada rakan-rakannya agar mereka sama-sama menyerang Fahad. Suriya dilepaskan tetapi gadis tidak berdaya untuk meninggalkan tempat itu. Lebih dari itu dia bimbang jika Fahad dipengapakan.

Tamrin melompat dengan satu tendangan tetapi sebaik sahaja kakinya mencecah dada Fahad, dia terpelanting. Fahad lebih pantas menumbuknya. Kadhi, Saud dan Moin tercengang melihat Tamrin tersungkur di tanah, tidak bangun lagi. Mereka mula geram lalu menggiatkan serangan.

Pada ketika tubuhnya terkena libasan parang Kadhi, Fahad merasakan ada cetusan aneh dalam tubuhnya. Dia meraung dalam keadaan melutut mendongak ke langit. Tubuhnya menggigil. Ada perubahan berlaku pada dirinya. Jalur-jalur merah di belakangnya makin ketara. Gigi taringnya semakin terjulur keluar. Beberapa saat kemudian, Fahad berdiri.

Semua terlopong menyaksikan perubahan Fahad. Matanya merah menyala. Tubuhnya menjadi kehijauan dengan belang-belang merah. Dia menyeringai ke arah empat lelaki durjana itu. Mereka takut tetapi masih ada hati ingin menyerang. Tetapi Fahad semakin pantas. Pergerakannya tidak ubah seperti seekor harimau kumbang. Begitu tangkas. Tangannya yang berkuku panjang, mencakar ke sana ke sini tanpa belas kasihan. Darah memercik dan terhambur ke udara. Seorang demi seorang rebah ke tanah tanpa nyawa lagi.

Kemudian Fahad terbongkok di atas tanah. Dia menoleh ke arah Suriya yang pucat lesi. Terkejut dan takut. Fahad menghampiri Suriya dan dalam masa yang sama dirinya beransur-ansur jadi normal. Tetapi tersungkur sebelum sampai kepada Suriya. Luka di perutnya membuatkan Fahad yang sudah berubah menjadi manusia normal, mengerang kesakitan.

Suriya masih menggeletar ketakutan tetapi dia tetap menghampiri Fahad. Masih ada terselit rasa simpati dalam hati Suriya walaupun dia sudah menyaksikan tiwikrama Fahad sebentar tadi. Dengan tenaga wanitanya, Suriya sedaya upaya memapah Fahad pulang ke rumah.

***************

FAHAD termenung di tepi jendela. Baru sejam dia sedar dari pengsan. Dan apabila sedar, dia dapati dirinya sudah berada di rumah Penghulu Darus. Lukanya juga sudah berbalut. Ketika itu otaknya mula teringatkan peristiwa di kebun getah. Dia benar-benar tidak menyangka akan mengalami tiwikrama yang menakutkan. Mulalah dia sangsi tentang dirinya. Apakah dia puaka, bukannya manusia?

Tiba-tiba terdengar laungan penduduk kampung di luar rumah. Penghulu Darus menghalang Fahad dari keluar.

“Serahkan manusia puaka tu pada kami Tok Penghulu!!” laung Tamrin. Rupanya dia masih hidup dan pura-pura tidak sedarkan diri. Lalu peristiwa Fahad berubah menjadi makhluk aneh tadi, dapat disaksikan dan disebarkan ke serata kampung bahawa Fahad yang membunuh Kadhi, Saud dan Moin.

“Penghulu dah bersubahat menyimpan makhluk puaka tu! Jangan sampai kami hilang hormat pada penghulu pula…” Tamrin semakin berani.

“Sabar… perkara ni kita harus adili sebaik mungkin.” Penghulu Darus masih tenang. Walaupun dia sudah mendengar cerita Suriya tentang kejadian siang tadi, tetapi entah mengapa dia tidak mahu menyalahkan Fahad 100 peratus. Kerana Fahad sendiri nampaknya keliru dengan apa yang terjadi.

“Nak sabar apa lagi? Saya nampak dengan mata kepala saya sendiri budak tu berubah jadi puaka dan bunuh kawan-kawan saya!” Tamrin bersuara lantang. Dia yakin kali ini Fahad tidak akan selamat lagi.

“Habis tu, kamu tak nak dedahkan kepada orang kampung yang kamu dengan arwah kawan-kawan kamu tu nak perkosa anak aku?” jerkah Penghulu Darus.

Penduduk kampung mula berpandangan sesama sendiri. Mereka tidak tahu langsung tentang hal itu. Kata Tamrin, Fahad tiba-tiba menyerang ketika mereka meredah kebun getah untuk memburu burung serindit.

“Ahhh! Kita bakar aje rumah Penghulu tak guna ni!” Tamrin melaung. Ketika itulah Fahad tiba-tiba muncul dan melompat ke depannya. Tamrin berundur ke belakang. Beberapa orang penduduk kampung yang masih menyokong Tamrin, cuba menyerang Fahad. Bertubi-tubi serangan dilancarkan.

Dan Fahad, setelah mengalami tiwikrama pertama siang tadi, semakin mudah mengalami perubahan saat jiwanya marah. Sekelip mata, berubah. Kalau siang tadi, masih ada fizikal manusia, kini Fahad sudah bertukar sepenuhnya menjadi seekor harimau bintang berwarna hijau yang besar. Penghulu Darus mengucap panjang. Suriya dan Saerah ibunya terjelepuk di tepi pintu. Penduduk kampung yang lain bertempiaran lari menyelamatkan diri walaupun Fahad yang menyerang Tamrin dan konco-konconya.

Mayat-mayat bergelimpangan. Fahad terduduk di atas tanah. Sebaik sahaja dirinya bertukar menjadi manusia normal, Fahad menangis sungguh-sungguh menyesali apa yang terjadi. Penghulu Darus mahu menghampiri, tetapi Fahad terlebih dahulu berpaling. Bercucuran airmata di pipinya memandang Penghulu Darus yang disayanginya. Selepas melepaskan pandangan ke arah Suriya dan Saerah, Fahad bangun, berlari sepantas kilat, menghilangkan diri dalam kegelapan malam.

***************

SURIYA melangkah masuk ke dalam gua itu bersama bakul makanan. Dia mendengar suara menderam halus. Namun Suriya terus melangkah. Bakul makanan diletakkan di atas batu di tengah ruang gua.

“Makanlah bang. Ayah dan mak kirim salam. Mereka nak abang balik.” Kata Suriya sambil matanya memaku tepat ke sudut gua yang gelap. Dia tahu Fahad ada di situ. Menyembunyikan diri setiap kali dia datang membawa makanan sejak sebulan yang lalu. Tempat persembunyian Fahad hanya diketahui oleh sejak peristiwa Penghulu Darus dan Mat Husin diserang oleh seekor harimau ketika berburu di hutan sebulan yang lalu. Fahad tiba-tiba muncul menyelamatkan mereka dalam keadaan jadi-jadian.

“Abang tak boleh balik. Tempat abang di sini.” Fahad menyahut dari dalam gelap.

Suriya kecewa lalu melangkah pergi. Dia rindu untuk melihat wajah Fahad. Dia tidak tahu bagaimana rupa Fahad sekarang ni. Kata ayahnya, ketika Fahad datang menyelamatkan, fizikal manusianya masih ada. Bermakna dia tidak berubah menjadi jadian seratus peratus.

Ada juga keluarganya mendengar cerita penduduk kampung terserempak dengan Fahad mandi di air terjun dalam keadaan normal. Kadangkala ternampak Fahad duduk bertafakur di puncak air terjun.

Apa yang pasti Fahad sedang menghambakan dirinya kepada ALLAH, memohon perlindungan dariNYA agar dia dapat mengawal cetusan tiwikrama yang sedang pesat dalam tubuhnya. Fahad juga makhluk ALLAH…

Thursday, 24 January 2008

Cinta Mekar Di Hati

January 24, 2008

NOVEL TERBARU DARI ALAF 21
KINI BERADA DI PASARAN!



Tajuk: Cinta Mekar Di Hati
Halaman: 566
Harga: RM19.90

CINTA MEKAR DI HATI merupakan novel terbaru daripada Rose Harissa, kini sudah berada di pasaran.

Setiap cinta…pasti ada derita, pengorbanan, cemburu dan air mata. Cinta tidak hadir dengan kekayaan dan kebendaan…tetapi hadir dengan pengorbanan dan kesetiaan.

Ady Rafizal…cinta tidak pernah punya undang-undang, tetapi mengapa harus aku terhukum? Dalam derita, hanya bayangmu yang mampu kudakap. Namun, selagi aku bernafas dengan nama ALLAH, tidak pernah sekali aku berhenti merinduimu. Dan aku yakin, cinta akan mengembalikan kau kepadaku.

Fasha… cinta tidak pernah menyeksa tetapi sentiasa menguji. Sekali kau memberi cinta, tidak akan kubiarkan ia hilang ditelan waktu walau beribu batu kita terpisah. Sesungguhnya, kau adalah cinta dan nyawaku dalam hidup ini.

Fahrin… cinta itu sebuah pengorbanan, tetapi mengapa ia bukan noktah cintaku kepadamu? Kenapa semakin sukar aku miliki cintamu setelah menanggung derita ini? Cintaku indah tapi aku derita perasaan.

Tengku Alis Marina… cinta itu madu dan racun! Andai aku tidak memiliki madunya, biarlah aku jadi racunnya!

Cinta adalah satu-satunya bunga yang tumbuh mekar tanpa bantuan musim- Khalil Gibran
_____________________________

Alhamdulillah... akhirnya yang aku tunggu dah pun tiba... nilah hasil terbaru aku. Harap pembaca sudi memberikan komen... andai ada yang baik dalam novel ini, jadikan tauladan. Andai ada yang buruk, jadikanlah sempadan....
Terima kasih buat ALAF 21 kerana masih sudi menerbitkan karya aku!

Sunday, 30 December 2007

Hari hari di Perlis

December 30, 2007
Alhamdulillah… tercapai juga hajat nak ke Perlis.

26hb December 2007, aku bertolak kul 8 pg selepas bersarapan heavy giler kat Syed. Takut migrane beb, maklumla drive sensorang… hahaha… kerana takut migrane gak, minum air sepanjang perjalanan, jawabnya berhenti dibanyak perhentian… kelajuan memang x takleh nk konsisten (hahaha, aku pun dh pndai guna word konsisten, Elly punya pasal la ni). Banyak sangat speed trap. Huh! Rasanya dekat kul 2ptg aku sampai. Disambut Cikgu Ilias di jalan Arau… terus g check-in homestay Muhibbah… perghhh… homestay ni mmg best giler… katil ada dua… mmg puas hati la kalau nak stay kat sini… jadi kalo sesapa nak ke Perlis, tatau nk stay mana, nk yang murah dan selesa… pergi ler ke Homestay Muhibbah.

Ingatkan nak tidor… kut2 letih… tapi x de maknanya… mata tamau pejam. Lewat petang tu, Ikmal yg kebetulan dari Kangar dtg jemput aku di homestay terus ke umah diorang. Tapi, tatau kenapa, pc buat hal, aduhhh! takut gak aku ms tu, agaknya pc terkejut menerima kedatangan orang jauh kut? Hahaha… jadi malam tu mmg lepak sesaja. Makan di Embun Dingin dengan Elly, Cikgu Ilias dan Izani lepas hantar pc ke kedai. Balik homestay… tak boleh tidur sampai subuh! Huh! Hati tak senang ingat x leh buat kerja. Tidur lepas subuh, belum kul 10 dh bangun! Hampes… tatau kenapa x penat dan ngantuk, walhal muka dah exhausted giler…

Esoknya pc dah siap… teruslah aku ke umah Cikgu Ilias lepas makan. Dan lepas tu aku mmg x ingat dunia… ha, dah kata, kalo bagi pc kat aku, x makan pn tak pe… kerja didahulukan. Cuma berhenti petang, ikut Elly jumpa sifu dia, Ba’E (Che’ Zamri Hamid bekas pelumba Malaysia) yang dong2 (hehehe) tapi berwawasan… sampaikan aku dah terfikir sesuatu untuk depa… harapnya adalah ruang dan peluang untuk aku menyumbangkan sesuatu untuk rancangan mereka. Banyak yang aku belajar dari Ba'E wpun jumpanya x lama mana. Tapi pengetahuan tu membuatkan aku tambah minat dengan sukan motosikal ni.... hehehe

Bukannya apa… bila dah dengar cerita Elly dan Ba’E…tengok perbezaan antara zaman Ba’E berlumba dulu, nak dibandingkan dengan zaman Elly sekarang, aduh… sedihlaa… ada ke dulu race pakai jeans dan jaket kulit aje! Aku terasa satu kerugian. Tak perlulah aku ceritakan dengan panjang lebar apa yang aku nak buat… takut nanti dikata kerek la pulak, cakap besar ke apa ke… tapi aku mmg teringin nak sumbangkan sesuatu untuk benda yang aku minat (walau mungkin akan ambil masa yg pjg)…aku pun nak berada lama dalam dunia penulisan. Insya ALLAH Taala… untuk Elly dan Ba’E… kalo ada rezeki tak ke mana… benda yang betul, kalau diusahakan, kejayaan tu tetap akan ada…”kau tolong aku, aku tolong kau!”… yeah, aku bersemangat!

Malamnya, muka aku lagi kat umah Cikgu Ilias… ye, masa aku mmg byk dihabiskan kat umah depa… hahaha, sampaikan Ba’E terkejut tgk keta aku masih ada di dpn umah Cikgu Ilias jam 3++ pagi masa dia htr Elly balik! Setel semuanya! Aku dah kata, aku pergi nak buat kerja, bukan pergi main2, sampaikan aku x mau langsung pi ronda2… dan alhamdulillah, sepanjang buat kerja, aku x penat, x ngantuk dan x lapo… depa la yg beriya tanya makan minum aku.. adui, naik segan lak aku… risau tgk aku pulun kerja sgt kut... hahaha

Jumaat petang, Elly bawa jumpa Ba’E… mmg dah janji nk ambik gambo di depan kedai Ba’E… lgpun aku nk pilih gambo2 Ba’E. Elly dan Ba' E ni mmg ngam mcm adik beradik. Aku pun tabik la tgk kemesraan dorang! :) Lepas tu diorang bw ke Ampangan… cantik tempat tu…. Tp syg sungguh, terbiar… dan Ba’E seperti biasa, dgn wawasannya… masuk thumbdrive lagi la tu…memang anak Perlis sungguh! Hahaha

Pas makan minum di restoran Tok Mek, singgah tgk trek Sprint Test yg tah hapa2. Esok nk race, hari ni baru nak tuang tar! Hahaha, bingung!

Malam, aku ke umah Cikgu Ilias lagi, setelkan gambar Ba’E. Terus bungkus semua. Keje siap! Yey! Barulah lega... Lepas tu kami makan di Kuala Perlis. Dah siap kerja, baru terasa lapo! Hahahaha…

Balik makan, Elly pakai keta aku jumpa member2 dia… aku lak ikut Cikgu Ilias dan Kak Ita, minum di Embun Dingin… Cikgu Ilias aje karaoke… waktu dah kul 1 lebih pagi… tetiba aku rasa penat giler, ngantuk giler… alahai… akhirnya aku suh depa hantar aku ke homestay saja… sib baik teringat nk amik kunci dalam kete sebelum berpecah dengan Elly. Sampai aje homestay, aku call Elly suh dia bwk balik kete ke umah saja sbb aku dh penat giler. Sah, lepas tu aku ‘pengsan’ sampai ke pagi x sedar apa-apa.

Tengahari Sabtu, Cikgu Ilias dtg amik lepas check out dr homestay, lepak umah pulak sbb nak balik malam. Ptg tu, pegi mengail di Megat Dewa, Kedah, hanya Ikmal yg x ikut sbb pi tgk Sprint Test. Adui… rasa mcm sebahagian dari ahli keluarga lak… hahaha… Depa sibuk mengail, aku sibuk ambik gambar pemandangan bendang kalo x pun borak ngan Kak Ita atau melayan kepetahan Tihani bercakap.


Dengan tidur yg x cukup tp x penat dan tamau tido, rupa aku yang teruk mmg bertambah teruk… tp dh x peduli, dh dpt apa yg nk aku kumpulkan. Ingat nak balik siang, tapi sbb Elly nk ikut, aku bitau hubby, balik malam dgn Elly, dan seperti biasa, hubbyku yg sporting tu mengizinkan dengan pesanan, ‘drive baik2’.

Jam 2 pagi, bertolak balik sebaik sahaja Elly habis meeting dgn Kelab. Elly ler yg drive. Singgah di Sg Petani amik kawan dia. Aku cam biasala, bila orang drive, terasa laju. Mulut ibarat signboard bersuara. Sendiri drive, x ingat dunia. Tapi betul, mmg terasa perbezaannya, kalau setakat kat Kangar tu, tak rasa lagi tapi bila di highway, setiap selekoh tu bila turn, mmg terasalah skillnya… hahahha. Rider Malaysia yang drive beb! Mmg berskill dan konsistenlah! Jam 6++ pagi dh masuk KL! Barulah slow and steady. Hantar kawan Elly di PJ, pastu sampai Puchong, tup tup kul 8 juga jadinya. Aku plak terus pecut balik umah, kepala dah ingat nak tido je… sampai umah tgk hubby dah bangun. Aku mandi dan terus tido.

Apapun, pengalaman ini sgt berharga untuk aku. Disambut dengan penuh sporting oleh keluarga Elly. Padahal aku x kisah pun balik sorang2, bukan jauh pun. Aku ni independent orangnya, x perlu dilayan sgt.. hehehe... Cukup dpt buat kerja. Tapi, yg pastinya aku terharu dengan keprihatinan mereka. Apatah lagi dengan Izani dan Tihani yg x bg aku balik! Aku tergelak besar bila Tihani dengan petahnya berkata, auntie bleh sewa bilik belakang. Hahahaha… Dengan Kak Ita yang suka bercerita pasal novel… nanti komen novel2 sy ok? hehehe… dengan Cikgu Ilias yg pelawak… pendek kata, aku mmg x jangka langsung betapa ‘meriah’ dan selambanya hari2 aku kat Perlis. Ms nak balik, bersalam dgn Cikgu Ilias, Kak Ita dan Ikmal, terasa sedihnya. Sbb, sikit pun x rasa aku mcm orang luar. Duh! Duh! Sib baik, x nangis.

Apapun, aku sgt berbesar hati dpt mengenali Elly secara live… tgk sendiri dia dan Ikmal mcm mana bila x berlumba…aku pun mula2 x percaya la Elly sempoi lagu tu. He’s the ultimate mr nice guy yet unpredictable! Vavava! Speaking aku! Hehe, pepandai je aku buat kesimpulan…yang pasti, keluarga Elly mmg rock! :)... Insya ALLAH Taala, ada rezeki, sy dtg lagi sebagai kawan, kakak dan auntie! :p

Terima kasih byk untuk Cikgu Ilias, Kak Ita, Elly, Ikmal, Izani dan Tihani. Maaf andai ada perlakuan yang x kena atau terkasar bahasa. Terima kasih juga untuk Elly yg jadi driver Formula F1 akak utk perjalanan balik yg pantas dan efficient, meriah dgn borak2 yang kadang2 mcm tercabut skru lagaknya serta dihiasi Elly FM! Hahaha... best!

Akhir kata, Alhamdulillah!

Hmm… entry yang pjg! Aku nak sambung tido! Baru terasa mabuk nak tido! Bye!

Rose Harissa® Registered under the provisions of the Trade Marks Act 1976 and the Trade Mark Regulations 1997 since 2016