Monday, 17 December 2018

Perjalanan sebuah 'NUR'




Walaupun novel ni belum keluar dari kilang cetak, saya tergerak hati nak bercerita pengalaman saya mengolah drama Nur menjadi novel. Sebab saya tahu ada orang rasa saya untung dapat buat novel dari karya rating tinggi di TV. Jujurnya, saya tak rasa macam tu, takut dan cemas malah. Expectation orang mesti tinggi kerana dramanya dah cipta fenomena. Lagi pula, TV3 dah ada benchmark tersendiri dalam adaptasi ke novel. Pulang yang Kak Lily Haslina Nasir olah jadi novel.

Sebenarnya, bos KS dah angin-anginkan (pinjam ayat Echah kakak Adam😜) khabar bahawa nama saya antara yang dihantar ke TV3 untuk novelkan adaptasi drama Nur. Masa tu saya tengah ralit mengulit Raid… jadi tak masuk perut pasal Nur. Lagipun saya tak ada keyakinan nama saya akan lulus saringan penilaian panel TV3. Tanmbah pula saya ibarat orang baru di Karya Seni, hanya dengan sebuah novel.

Kemudian senyap tak ada khabar, maka saya pun makin rancak bersilat dengan Raid, tambah pulak tetiba Kak Lily Haslina Nasir bagi idea buat cross over watak. Saya pun iyakan aje walaupun time dah separuh jalan cerita.

Sekali bos kata saya yang akan tulis Nur sebab katanya kerana novel Hatiku Untuk Dia dan saya sesuai tulis Nur. Aaa… sudah! Cuak juga. Bila bos bagi skrip dalam bentuk pdf 1 sampai 19, saya baca sambil lalu. Dalam hati wow… patutlah drama ni cantik sinematografinya kat TV. Cerita pun viral. Skrip completed dengan segala mala camera works, beauty shots dan nota pengarah terhadap watak perlu buat apa dan bereaksi macam mana. Dan ceritanya berdahan, beranting, banyak watak… banyak konflik… watak-watak antagonis yang menyakitkan hati tapi kita tetap rasa nak tengok sebab nak tahu apa kesudahan dan kita geram…yang sejak dulu saya selalu yakin, itulah rencah terbaik sesebuah drama dan filem untuk tarik penonton melekat depan TV. Tapi kalau dalam novel, cerita banyak konflik dan watak macam ni, ramai kata pening dan lelah nak baca (based on my experience sebab saya ada satu buku beranting berdahan macam tu dan watak antagonis jahat gilerr)

Saya contact dan Whatsapp saudara Shahrulezad tanya pandangan beliau. Bila beliau tanya pasal ketebalan, ya, saya cakap tebal dalam 800++ sebab lepas gabungkan semua skrip dalam Words, dapat lebih 1000++ pages. Ada satu babak yang beliau kata tak sempat nak shoot, iaitu hint siapa ayah kandung Nur. Beliau tak pasti samada ada perlu atau tak… saya kata perlu! Ehehe… sebab bila tahu siapa walaupun Nur tak tahu pun, dan orang itu sendiri tak tahu pun, saya lagi geram… sian Cik Mona. 

Nak terbit November 2018. Jadi mengikut perkiraan rambang saya yang confident giler, ada dua bulan untuk saya siapkan novel Nur penuhnya. Maka saya pun terus sambung habiskan Raid yang nak terbit Oktober 2018. Yelah, kenalah dahulukan novel sendiri dan kasi mantap novel sendiri dulu, kan? Tambahan pula Raid cerita yang saya dah peram bertahun lamanya... Hehehe… 

Dah submit Raid, saya pun mula bertapa menelaah skrip Nur dengan teliti dan fokus. Tiba-tiba saya selaku penulis novel yang dah biasa kena kritik dan kecam, terus rasa tak sedap hati. Tapi saya tak suarakan kepada sesiapa. Saya mungkin beruntung sebab drama dah tamat dan saya boleh ulang tengok sambil buat olahan.

Perkara pertama saya buat, saya print semua skrip. Dan disebabkan sepanjang berkecimpung dalam dunia novel, saya dah terbiasa dikritik sampai ke seremeh-remeh perkara, saya google kritikan orang ramai terhadap drama Nur ni. Saya baca satu persatu kumpulkan semuanya dalam satu folder. Kena ambil kira mana tahu saya boleh baiki.
lebih satu ream paper habis untuk print skrip

Mungkin ada yang hairan, kenapa saya beriya sangat... Yelah, skrip dah ada, drama meletop dan viral, buat ajelah asal siap... Oh, saya tak boleh fikir macam tu, sebab saya akan bawa banyak nama baik orang lain kalau novel ni tak secantik drama. Drama terbaik, maka saya tak nak novel lemau bila saya yang olah.

Saya terhenyak, bila mendapati nuansa skrip dan drama tak sama ya adik-adik...kakak-kakak... Adam sangat lemah dalam skrip. Sampai saya rasa nak luku dia... hahah ampunkan kakak... Jadi, saya tahu, pasti dan yakin, saya tak boleh ikut skrip 100 peratus tanpa tengok drama dengan tanpa skip... lagipun, ada yang tak ada dalam skrip, ada dalam drama... ada yang tak ada dalam drama, ada dalam skrip yang mana saya rasa sayang kalau dipotong.

Lepas tu saya bingung sendiri... sebab Raid saya tulis guna Bahasa Melayu Tinggi. Nur saya tak boleh gunakan bahasa begitu. Saya kena guna gaya bahasa biasa tapi bukan rojak. Saya kena suntik emosi ke dalam novel supaya apa yang terpapar dalam skrin TV, mampu dirasai oleh pembaca ketika membaca novelnya.

Sungguh, saya mula rasa tertekan. Terus teringat, saya dengan entengnya, membebel pada Kak Lily Haslina Nasir waktu dia mula-mula kena buat adatasi Kalbu Pun Berzikir. Saya kata, kau tak boleh ikut aje skrip buta-buta.. nama kau beb, kau kena jaga nama kau... takkan kau dah nampak ada yang kurang dan tak kena, kau nak ikut aje tanpa baiki... baik KS print aje terus skrip tu jadi buku... bla..bla.. bla..

Baru saya rasa, padan muka saya... hahaha (ketawa dalam tangis😂). Cakap memang senang, tapi bila diri sendiri kena buat, baru saya tahu rasa. Saya rasa nak surrender... saya takut... saya rasa saya tak mampu nak terjemahkan kecantikan dan keindahan drama Nur ke dalam aksara. 

Saya pun kongsikan skrip kepada editor saya, sebab bagi saya, editor saya kena tahu apa yang ada dalam skrip. Supaya saya boleh berbincang dengan dia macam mana nak baiki. Akhirnya saya suarakan masalah-masalah kecil yang bagi saya berpontensi besar akan dikecam oleh pembaca. Mujur editor, para tukang pruf setuju dengan saya. Syukur dapat team macam ni. Tidaklah saya rasa terkontang-kanting. 

Banyak yang saya belajar sepanjang buat olahan novel Nur ni. Sesungguhnya, isi cerita Nur bila diterjemahkan ke dalam aksara, tidak semudah kita menonton di TV3. Saya sendiri terpesona dengan kecantikan Amyra Rosli tanpa mekap sampai bila saya duduk diam-diam baca dialog dia, barulah saya sedar, saya kena cantikkan lagi apa yang dia lontarkan...dalam doa mahupun kata-kata agar pembaca tidak salah faham. Kerana menonton kita guna mata, telinga untuk mendengar. Tapi membaca, kita guna minda, otak kita memproses apa yang tertulis. Pemahaman pun mungkin jadi lain berbanding kita dengar melalui lontaran suara pelakon yang kacak dan cantik.

Kerana drama Nur adalah karya dakwah moden. Makanya, setelah puas bersilat dengan Raid, saya kena sarung telekung kain jatuh demi Nur... Sebab tu saya hilang dari FB lepas Raid keluar hanya kerana nak fokus kepada Nur.

Selain jadikan surah.my sebagai rujukan, saya tak berenggang dari buku-buku ni waktu mengolah Nur. Mesti korang pelik kan, drama dah lama tamat, kenapa saya susah-susah buat research, membaca rujukan bagai? Well, macam saya kata tadi, pengalaman dalam dunia penulisan ni buat saya tak boleh asal tulis dan siap kerja, terima payment dan flip tudung dan berlalu tanpa fikir nasib serta masa depan novel tu. Saya kena jaga nama saya, nama penerbit, nama stesen TV dan paling utama, penulis skrip serta pengarah. Jadi saya kena buat yang terbaik supaya mereka tak rasa menyesal petik nama saya sebagai penulis novel Nur.

Cabaran terjemahkan Nur ke dalam novel ni sangat menguras tenaga dan emosi saya. Kalau dalam skrip dan drama, ada banyak babak flashback. Malah ada flashback in flashback scene! Haaa.. macam mana nak terjemahkan dalam bentuk novel tu? 😵

Scene dalam masjid waktu Adam nak nikah dengan Qhadeeja paling mencabar saya. Sebab dari Adam, Haji Mukhsin, Hajah Musalmah, Qhadeeja, Aishah, kalau dalam drama, kita tonton, bergilir-gilir mereka semua sedang flashback balik apa yang terjadi sebelum. Adam kena tampar... Adam ke rumah Datin Orkid, Adam ingat Nur...Qhadeja teringat sikap pelik Adam dan teringat momen perbualan dengan mama depan pelamin... Haji Mukhsin teringat perbualan dia dengan Hajah Musalmah... Aishah teringat gaduh mulut dengan Hamadi.😨 Huii... Naik pitam saya dibuatnya... Lama saya tersangkut kat sini dengan rasa nak menangis, macam mana nak selesaikan semua flashback ni dalam novel... dragging kalau saya ikut macam dalam drama sebab akan ambil masa lama dan berbab-bab walhal nak tunggu jurunikah datang...  Jadi, saya terpaksa tarik beberapa flashback jadi babak semasa. Kalau saya ikut macam dalam drama yang kejadiannya nampak sekejap saja, tentu pembaca akan penat dan pening. Sebab drama membawa penonton mengikuti semua tu dengan pergerakan, dengan lagu syahdu dan soundtrack kebabom... tapi novel tidak ada semua tu, saya terpaksa membawa pembaca mengalami semua  kejadian tu hanya dengan patah perkataan... 😂🙏

menyusun bab serta contengan kecelaruan minda...
Cara saya, saya tengok balik drama, rujuk skrip, rujuk buku tentang sesuatu hukum yang diutarakan. Ini punca kenapa saya langgar deadline sampai terlajak sebulan! Bila saya tak puas hati dan dah dapat membayangkan kecaman, saya terpaksa ubah ikut kesesuaian pembacaan novel. Timeline dan logik sangat penting bagi saya bila melibatkan karya realiti begini. Ada babak yang saya terpaksa tarik letak ke depan, ada yang digabungkan. Saya pulak jenis kalau menulis, dengan saya berlakon sekali depan PC nak menggayakan mimik muka, pergerakan... dialog pun saya lontarkan ikut nada watak. Kadang-kadang saya perlu berdiri depan cermin. Belum lagi masuk bermain dengan persoalan, kenapa, mengapa, bagaimana, tak boleh ke, kalau buat begitu, apa jadi... saya dah didik diri jangan syok sendiri waktu menulis, dan selalu argue itu ini dengan fikirkan kemungkinan atau akibat dari kejadian yang ditulis... Sebab tu saya sejenis pengarang yang lambat siapkan sesebuah manuskrip.

Saya memang dah menyusahkan pihak penerbit. Walaupun saya hantar part demi part manuskrip... dari janji hanya 10 part terlajak jadi 21 part tak termasuk part tambahan. Daripada yakin boleh nipiskan novel jadi setakat 480++ aje.. sudahnya terlajak sampai jadi 800++ ms.... 😂😂 Terlajak suntik emosi, terlajak karang situasi drama ke dalam bentuk aksara... sampai terlajak  tarikh terbit... sehinggakan kombo November 2018 gagal diadakan. Boleh iktiraf diri sendiri sebagai legend perlanggaran deadline yang dah masuk queue penerbitan bulanan. 😂😂🙏

Bukan sengaja tapi sebab saya dah letakkan diri sebagai penulis dan editor. Masa ni baru faham perasaan editor yang mengedit berpuluh-puluh naskah manuskrip sepanjang tahun. Sampai hujung-hujung nak jumpa perkataan tamat, saya sanggup berkampung di pejabat Karya Seni demi nak edit bersama editor dan tukang pruf (siap angkut Ik sekali). Tapi ending tak siap juga sebab saya segan nak beraksi sambil menulis... hahaha lagipun itu babak melibatkan kematian Cik Mona. Saya tak nak meraung depan depa. Dan saya menganga sebab tertinggal satu folder part manuskrip dalam desktop di rumah... lupa nak save ke dalam netbook. Huwaa... jauh nak balik ke rumah. Sejam perjalanan dari pejabat KS.

Sudahnya, hari kedua, sampai tahap saya angkut desktop. Senang tarik terus dari situ. Lagipun nak tolong finalkan inDesign sebab designer cuti. Tapi tak jadi sebab kena tunggu approval TV3 untuk final text. At least, saya lega, dah jumpa perkataan tamat masa tu. Walaupun dua hari balik lewat macam orang kerja, sampai rumah malam, saya puas hati dapat bekerjasama dengan team editorial yang memahami dan sporting bila diajak brainstorming.

Mujur desktop all in one... hehe...sanggup angkut sebab takut tertinggal hasil menaip part by part. Lagipun design, semua ada dalam ni..
Saya pesan pada diri sendiri tak apalah penat sepanjang nak siapkan Nur. Asalkan saya tak menyesal dan tak buat ala kadar. Saya dah berikan yang terbaik kepada Nur sampai saya terpaksa menganaktirikan novel sendiri. Kesian Raid Arjuna... saya tak mampu bagi perhatian kepada dia bila dia keluar di pasaran...sobs sobs.😢 Semua pengorbanan demi tak nak tengok Nur gagal sebagai novel. Tekanan oi... tekanan sangat untuk saya. Bila dah hujung tu lagi tertekan saya dibuatnya, bila Nur dinobatkan sebagai drama rantaian terbaik ASK 18, termasuk sapu sekali Pelakon Wanita Terbaik dan Pelakon Lelaki Terbaik...😱 saya kat rumah masa tu, alamakkk... habislah aku kalau novel ni tak sedap dibaca... huhuuuu...😰

Sebenarnya saya tak sangka, kalau dalam drama ramai yang rasa Adam dan Nur sweet... saya sebaliknya lebih suka watak Cik Mona. Setiap kali masuk part Cik Mona, saya tahu, saya mesti akan tersebak atau menangis. Dan lepas tu saya akan lari dari PC redakan perasaan. Sebab tu, ayat-ayat dia saya tuliskan balik supaya korang yang baca nanti faham perasaan Cik Mona macam mana. Cik Mona selalu buat saya sedih walaupun dia tengah marah... 😭

Kalau Hamadi, dialah yang menceriakan saya sepanjang olah dan tulis balik. Dialog dia memang saya ambil direct dari drama, sebab ada yang tak sama dengan skrip. Hangsuang, tapi kelakar. Aishah...hmm... walaupun sakit hati taip dialog dia ni...sedapnya saya tambah bumbu pada kejahatan dia...hehehe... pesan saya kepada para isteri, kadang-kadang suami jadi jahat pun datangnya dari kita sendiri. Ambik iktibar Aishah ni... dah suami luahkan apa suami rasa, tetap rasa dialah yang teraniaya dapat suami gitu.. choiiiii... memang perasan bagus bak kata Hamadi!🤣

Hajah Musalmah pun antara yang saya suka tulis semula... sebab lontaran serta suara Fatimah Abu Bakar tu memang saya adore. Tutur bicara dia tu yang teratur walaupun ayat dia pedih menyakitkan hati. Haji Mukhsin... saya suntik lagi bicara penuh dakwah dia tu... hehehe. 

Qhadeeja bagi saya, heroic di hujung cerita. Bacalah sendiri nanti.. hehe... cumanya, saya sebab drama menguasai fikiran saya, saya terpaksa ubah, part Cik Mona dan Jojo datang cari Nur kat rumah Haji Mukhsin. Juga part sihir tu. Saya terpaksa ubah, sebab ikut pengalaman saya yang pernah, tak logik, sihir terlerai dengan sekali jampi... pufff hilang macam tu aje. Jadi saya kena wujudkan proses pengubatan dan ubah sikit sikap Adam. Ending pun saya ubah demi Cik Mona yang saya rasa sayang serta kasih kepadanya. Saya tak boleh bagitau sebab ini kira element of surprise kepada penonton drama Nur yang nak beralih baca dalam bentuk novel pula.

Kesimpulannya, saya takkan mampu olah Nur kalau idea drama ni tak datang dari kepala pengarah sendiri. Terima kasih Shahrulezad sebab berani ketengahkan karya sebegini ke kaca TV. Moga ada lagi karya rare dari anda yang akan terus mewarnai kaca TV. Sebab tu, saya minta penerbit tukar perkataan 'sebuah karya' di cover novel, kepada 'olahan novel oleh'... benda ni mungkin kecil bagi sesetengah orang, tapi bagi saya tidak... sebab saya cuma mengolah idea asal dan skrip drama Shahrulezad. Terima kasih dan bersaluir kepada '@budakijat' kerana hasilkan karya penuh pengajaran seperti NUR!👍

Saya juga takkan mampu siapkan Nur (walaupun terlajak sebulan dari deadline) kalau tak ada editor, team pruf yang banyak mendengar usul, pertikaian, soalan-soalan dari saya, pengurus dan bos penerbitan yang memahami cara kerja saya yang cerewet, lengit dan 'banyak kompelin'... tapi saya kompelin untuk kebaikan bersama dan buat penyelesaian. Pengalaman mengolah Nur, mengajar saya banyak hal... jadi lebih peka dan banyak berfikir waktu menulis manuskrip.

Sekurang-kurangnya, kalau pun masih ada yang mengecam novel ini nanti, tidaklah saya sampai malu mahu mengaku ini buku saya... kerana kalau di Goodreads, buku ini juga automatik termasuk ke dalam senarai karya yang saya tulis, maka saya tak boleh buat sambil lewa... kalau pun tak suka watak tertentu, saya kena usaha baiki supaya suka dan senang hati menulisnya... dan pembaca pun tidaklah rasa naskah ni bukan saya tulis. Sekurang-kurangnya, diri saya sendiri tahu, sejauh mana saya berusaha agar drama yang meletop di TV ni tak pincang apalagi hancur di tangan saya bila dijadikan novel. Editor dan tukang pruf sendiri sama-sama meneliti karya ini agar jadi sama par dengan kejayaan drama Nur. Walaupun penat tenaga dan emosi, saya dan team editor berharap naskah novel ini juga dapat jadi dai kecil, saya yang mengolah dan team Karya Seni yang menerbitkannya. 

Terima kasih kepada TV3 kerana memberi peluang. ❤

Kak Lily Haslina Nasir thank you beb sebab tabah tadah telinga dengar luahan dan kerengsaan aku yang emo waktu nak siapkan Nur. Terima kasih bagi tips cara adaptasi ke novel dengan pengalaman kau bersama Pulang dan Kalbu.

Semoga semua orang termasuk korang pembaca novel Rose Harissa selama ni, puas hati baca novel NUR. Kalau tak puas hati jugak, saya minta ampun in advanced... Nur 2? Jangan tanya saya, kerana ia di luar bidang kuasa saya... 😅🙏 Tapi saya harap novel Nur yang satu ni, ada manfaat dan pengajaran sebagaimana dramanya yang dipaparkan di kaca TV.

Terima kasih sudi baca entri panjang lebar-lebar ni.😘

Sekian dari saya yang berdebar, tunggu review novel NUR. 😰😅

Nota kaki : Lepas siapkan dua novel berturut-turut tanpa henti, berlainan kategori, berlainan nuansa dan gaya bahasa, saya sedang mengalami fasa blank nak karang cerita baru walaupun idea bersusun dalam kepala... 😂😂

1 comment:

  1. Tahniah buat rose harissa ��, walaupun belum lg baca buku nur tp ulasan pengalaman menulis buku nur sepanjang rose tulis tu saya merasa akan kepayahan untyk menggarapkan dr drama yg meletops �� tp percaya la semua buku tulisan cik rose adalah yang terbaik... termasuk buku nur ni, , sya mmg mengharap byk lg tulisan karya dr rose harissa... semoga semakin cemerlang dimasa hadapan, aamiin

    ReplyDelete

Rose Harissa® Registered under the provisions of the Trade Marks Act 1976 and the Trade Mark Regulations 1997 since 2016