Thursday, 29 November 2018

Draf awal dan celam-celum Raid Arjuna

Raid Arjuna dah selamat jadi novel Oktober 2018. Alhamdulillah...

Waktu godek balik PC, jumpa draf ni... waktu belum jumpa rentak dan nuansa cerita... Masa ni memang dah bercita-cita nak buat hero seorang corporate raider... tapi saya tak jumpa stroke penulisan yang sesuai untuk bawa cerita ni...

So, silakan baca dan bandingkan dengan Raid Arjuna yang sekarang... hehe... lain rentaknya kan?

Cover ni pula adalah draf pertama yang saya submit kepada bos KS/P2u... sebelum saya putuskan ikut cakap kak Lily Haslina Nasirs supaya jadikan rona MERAH sebagai trademark setiap cover novel saya di KS/Penulisan2U


========================================
2

"Raid Arjuna! You are crazy, man!" Wandi berseru setelah mendengar cerita sahabat baiknya, Raid Arjuna. 

"You see... I live with crazy mother. Of course I'm crazy, but that doesn't mean I'm wrong."

"Tapi lari dari majlis pernikahan, itu dah terlebih gila namanya!"

"But I'm not stupid! Sebab tu aku tak ajak sorang pun kawan-kawan kita."

Wandi terdiam lalu memerhatikan saja Raid menanggalkan persalinan baju melayu putih bertabur permata swarozki. Tak dapat dia bayangkan Raid menunggang MV Agusta dengan baju Melayu glamour macam tu. Tahu-tahu saja Raid sudah muncul di hadapan muka pintu apartmentnya, mintak nak tukar pakaian.

Tubuh kekar Raid terdedah. Wandi lantas mencampakkan sehelai jumper dan jeans yang Raid tinggalkan di rumahnya. Rumahnya memang tempat pelarian Raid.

"Habis, perempuan tu macam mana?" tanya Wandi setelah Raid siap berpakaian.

“Entah... pandai-pandailah bonda aku uruskan dia,” Raid tunjuk sikap acuh tak acuh, menghempas tubuh di sofa.

“Tak baik kau buat bonda kau macam tu.”

“Biarkan! Siapa suruh dia pandai-pandai aturkan perkahwinan aku? Awal-awal lagi aku dah cakap aku tak nak kahwin! Tapi bonda degil. Hish! Aku tak fahamlah bonda aku tu... nama aje pernah kahwin dengan orang British tapi mentaliti tahap zaman purbakala!”

“Hoi, yang kau kutuk tu bonda kau, tau... yang melahirkan kau!” Wandi geleng kepala melihat sesedap rasa menghambur kata.

Raid berdecak sambil garu-garu kepala. “Memanglah dia bonda aku. Tapi agak-agaklah kalau iya pun mengatur hidup aku. Takkan sampai ke tua aku kena ikut telunjuk dia? Nak berbini pun kena ikut pilihan bonda? Habis, aku tak boleh pilih nak perempuan shape yang macam mana, saiz apa? Macam tu? What a waste!”

“Mungkin dia buat semua tu untuk kebaikan kau?”

“Kebaikan aku celah mana? Come on! Aku tak kenal pun perempuan tu siapa, tiba-tiba bonda nak suruh aku kahwin dengan dia? Hell, no! I will not sleep with stranger!”

“Kau pernah jumpa tak perempuan tu?” tanya Wandi.

Raid menggeleng. “Aku pun tak inginlah jumpa dengan dia. Anak Pak Aji, mesti tertudung litup bagai. Not my taste!”

“Tapi bila kau lari macam ni, bonda kau mesti akan murka!”

Raid nyaris nak ketawa mendengar perkataan yang digunakan oleh Wandi. “Murka? Hello, kau fikir bonda aku tu Yang diPertuan Agong?"

"Tapi bonda kau ada darah raja kan?"

"Ala, bonda aku tu jauh dari istanalah. Nak kata bau-bau bacang pun dah hilang bau. Kahwin pun dengan orang biasa dan pangkat 'Engku' tu dah tak boleh dicarry forward lagi." Selamba sahaja mulut Raid bercakap.

"Haih, apa sajelah Raid. Masalahnya sekarang ni bonda kau mesti tengah marah giler kat kau."

"Believe me... bonda takkan sanggup nak marah aku lebih-lebih.” Raid menepuk dada. Muka bangga.

“Yakin diri nampak?”

“Aku ni anak tunggal dia. Mana dia nak? Pentingkan keluarga perempuan tu atau satu-satunya anak yang dia ada ni?” Raid angkat-angkat kening.

“Tapi Raid, perkara ni melibatkan maruah. Macam mana kalau keluarga perempuan tu saman kau? Malu kau satu Malaysia nanti...”

Raid mengecilkan mata memandang Wandi, kemudian dia tersenyum sinis sendiri. “Kau fikir bonda akan biarkan aje? Aku tau, bonda sanggup bayar berapa pun. Zaman sekarang ni, maruah pun boleh dibeli...”

Sekali lagi Wandi menggelengkan kepala. “You are undoubtedly arrogant... snobby!”

I'm not a snob. I just speak on matters that I know I'll win.” Raid bangun, membelek diri di hadapan cermin yang tertampal pada dinding.

Raid senyum sendiri, sedar kelebihan yang ada pada dirinya. Gabungan darah Melayu dan British membentuk dirinya setinggi 182 cm, dengan berat 57 kg, badan tegap hasil senaman teratur. Ramai perempuan kata, tarikan utama dirinya adalah matanya yang berwarna coklat jernih. Renungan matanya dikatakan membunuh. Tapi tak pernah pulak ada yang terbunuh dek kerana matanya itu. Jatuh cinta, meroyan, ramailah.

Tapi Raid lebih senang mengatakan matanya mata sendu, mata yang banyak menyimpan kesedihan.
Tak ingin larut dalam perasaan sendiri, Raid kembali memandang Wandi yang rupa-rupanya dah tergolek depan TV.

“Wandi, jom keluar.”

“Mana?” Wandi bertanya malas.

"Happy hour... Diorang dah tunggu kita kat tempat biasa."

“Gila kau! Gaji aku tak masuk lagilah...”

“Alah... macam tak biasa aku payungkan? Jom!”

Hah, inilah dia yang Wandi suka pasal Raid. Ya, kadang-kadang Raid berlagak nak mampus tapi dia juga sangat pemurah. Tak pernah langsung berkira dengan kawan-kawan sebab itulah Wandi sayang Raid.


Wandi bingkas, capai kunci kereta. Jadi driver sampai ke pagi pun dia sanggup asalkan ada 'payung mahkota'.

++++++++++++

"Yeah! Pengantin baru dah tiba!"

Gamat seketika ruang bar Harley’s Place dengan suara dan sorakan kumpulan itu, menyambut ketibaan Raid Arjuna. Sebahagian dari teman-temannya sibuk menari mengikut irama yang dimainkan oleh band jemputan.

“Raid! You dah datang!” Beberapa orang wanita menyerbu. Saling berebut mahu memeluk Raid.

“No!” Raid tiba-tiba mengacungkan kedua-dua belah tangan ke udara. Automatik langkah wanita-wanita itu terhenti.

“Baru kahwin dah sombong!” Cemuh Saira.

“Iyalah... kalau tak nak kena peluk, buat apa datang sini?” Kayla mula menyampuk.

“I’m not in the mood! Please behave, okay?”

“Dah... syuhh...syuh... ladies pergi main jauh-jauh. Jangan kacau sang Arjuna tengah nestapa ni...” Wandi siap buat gaya macam menghalau anak ayam.

“Cittt!” Kumpulan wanita itu mencemuh lalu beredar.

Raid sekadar memandang tanpa perasaan. Mood dia dengan perempuan memang macam roller coaster, tak pernah menentu. Ada masanya dia akan mengizinkan manap-mana wanita mendekatinya, kalau dia memang ada keinginan. Tapi pada saat jiwanya sedang memberontak seperti sekarang, pandang muka mereka semua pun dia tak lalu.

“What’s up bro? Bini pilihan bonda kau tak lawa ke sampai kau tak jemput pun kami semua datang?” usik Eary.

“Aku larilah!” getus Raid, sekaligus merampas gelas dari tangan Eary dan meneguknya rakus.
Masing-masing tercengang.

“Maksud kau?”

“Dia tak jadi kahwin. Dia lari dari majlis tu...” Wandi menjelaskan bila Raid buat tak peduli dan terus-terusan menuang dan meneguk air.

“Gila! Dah tu... aku ingatkan dia tak jemput kita sebab bini dia tak lawa... rupanya dia nak lari?”

“Begitulah adanya...” Wandi menyudahkan kisah.

“Raid Arjuna!”

Raid. Dia menoleh. Kelihatan sekumpulan lelaki menghampiri. Aura yang mereka bawa, cukup tak menyenangkan perut. Tiba-tiba...

Duk! Sebuah kerusi melayang, mendarat di atas meja mereka. Habis semua gelas dan botol bertaburan.

Raid bangun dengan gaya menantang.

“Raid... jangan cari pasal...”

Raid tak mengendah peringatan itu. Matanya tajam menatap lelaki yang mara mendekatinya.

“Aku Raid Arjuna. Ada apa cari aku?”

“Aku nak bagi kau ni!” Lelaki itu menghayunkan penumbuk ke muka Raid. Dek kerana tak menduga serangan itu, Raid terdorong ke belakang, mujur rakan-rakannya menyambut.

Beberapa orang wanita menjerit. Raid kembali berdiri tegak sambil mengesat palitan darah di tepi bibirnya.

“Apahal kau?” Raid mendada. Rakan-rakannya cuba menarik dia ke belakang, tapi Raid menepis.

Lelaki itu tersenyum sinis. “Boleh kau tanya aku, apahal? Kurang ajar punya budak! Kau dah malukan keluarga aku! Jatuhkan maruah adik aku, kau boleh tanya apa hal? Kau memang nak matilah!”

“Adik kau? Siapa adik kau? Sorry... ramai sangat perempuan yang aku kenal.”

“Bangsat! Aku Faris! Kau patutnya menikah dengan adik aku hari ni! Tapi ke sini kau melarikan diri!”

Raid tersentak. Oh, jadi ini abang bini tak jadi aku ye? “Oh, so kau ni abang Faiznur? Boleh pulak kau masuk tempat macam ni, padahal bapak kau, pak aji kan?”

“Mulut kau memang macam celaka!” Faris menghayun penumbuk. Tapi kali ini Raid pantas membaca. Dia menangkap tangan Faris lalu balas menghujamkan tumbukan ke perut lelaki itu.

Namun Faris enggan mengalah. Dia meluru, memaut bahu Raid lalu menghentakkan ke meja. Rakan-rakan Faris turut mengambil kesempatan, menyerang rakan-rakan Raid. Suasana dah bertukar jadi kelam-kabut. Muzik dah lama berhenti. Jerit pekik perempuan berkumandang.

Raid bukanlah street fighter, tapi dia cuba bertahan dan membalas setiap serangan Faris.

Sehinggalah bunyi kaca berderai dan tiba-tiba Raid merasakan kepalanya basah. Dia tertegak sambil tangan merasai lelehan di tepi dahinya. Darah!

Faris berdiri dengan botol separuh pecah di tangan. Raid tahu, maut padahnya kalau dia menunggu lebih lama di situ. Tanpa buang-buang waktu, dia berlari keluar.

“Woi! Kau jangan lari, lahanat! Pengecut!”

Sambil menahan kesakitan di kepala, Raid berlari kencang meninggalkan Harley’s Place. Kawan-kawan pun dah tak boleh diharapkan lagi. Ramai yang dah tumbang.

Raid terus berlari tak pandang belakang lagi. Tiba di satu selekoh bangunan...
Buk! Dia terlanggar seseorang. Raid terjengkang jatuh. Barang-barang bertaburan atas kaki lima.

“Adehh... sakitnya punggung aku!”

Raid yang tergolek atas lantai, segera buka mata. Seorang gadis, berkemeja kotak-kotak, berseluar jeans, bangun sambil menggosok-gosok punggung.

“Hoi! Kau ni kenapa main rempuh orang aje?” tanya gadis itu sambil mengenakan topi yang dikutip dari lantai.

Raid ingin menjawab tapi suara Faris yang berkumandang, membuatkan dia bingkas bangun dan mahu cabut dari situ dengan kadar segera.

Malang, kekalapan membuat Raid sekali lagi merempuh gadis itu. Mereka sama-sama terjatuh ke lantai. Raid tertimpa ke atas gadis itu.

Baru nak bangun, satu tangan mencekak bahu Raid dari arah belakang. Tubuhnya dipusingkan, dan satu tumbukan deras menghentam dadanya. Raid terhuyung ke dinding.

“Hoi! Apa ni?!” jerit gadis itu mengalahkan suara halilintar.

“Weh, perempuan, kau jangan sibuk. Blah sekarang!” Faris mengutip sebatang kayu di tepi longkang.

“Apahal pulak? Sebab korang, barang-barang aku jahanam, siapa nak ganti?” Gadis itu menyepak plastik berisi kubis dan timun yang dah penyek.

Tapi Faris tak mengendahkan. Dia mahu mengerjakan Raid secukupnya. Biarlah gadis itu menjadi saksi mata keganasan yang dilakukan pada Raid. Lepas ni, kalau masuk penjara pun dia tak peduli, asal dapat patahkan kaki Raid. Dia menyepak Raid berkali-kali.

Kayu diangkat tinggi-tinggi. Tapi belum pun sempat Faris menghayun, satu tangan menahannya. Terkesima Faris bila dia menoleh ke belakang dan melihat empunya tangan adalah si gadis tadi. Semerta Faris memutar tubuh.

“Amboi! Kau nak tunjuk samseng ye?”

“Memang aku samseng kat sini!” Gadis itu berkacak pinggang.

Raid yang dah melorot ke lantai, tercengang melihat keberanian gadis itu.

“Kau jangan menyibuk urusan orang lelakilah, weh! Blah! Kang kalau aku sepak mulut kau, naya aje!”

“Mo daisiu ngo!” gadis itu ganti berpeluk tubuh pula dengan gaya paling enteng. Seolah-olah tak takut langsung.

Faris berkerut dahi. “Kau cakap apa ha, perempuan? Kalau dah Melayu tu cakap ajelah Melayu, gatal cakap cina kenapa?”

“Jangan pandang rendah pada aku!” tegas si gadis.

“Dah kau memang rendah pun, berambus!” Faris ingin menyepak gadis itu tapi si gadis lebih pantas mengesampingkan tubuh lalu menyilang kaki Faris dengan satu seretan kaki di lantai.

Tak ayal, Faris tersadung. Mujur dia sempat menahan tangan, kalau tak harus dia tersembam mencium lantai.

“Kau memang nak kenalah!” teriak Faris, tak ingin berlembut lagi. Tapi dia silap besar kerana tidak mengendahkan amaran si gadis itu.

Macam kilat, tumbukan berganti tendangan menerjah tubuh Faris. Tau-tau sahaja dia terhumban ke dalam longgokan sampah di tepi bangunan. Terus tak bangun lagi.

Raid ternganga memandang gadis itu mendatanginya dengan langkah santai. Gadis itu menghulur tangan. Ragu-ragu Raid menyambutnya. Sebaik sahaja Raid berjaya berdiri dengan betul, si gadis segera menarik tangan Raid lalu di letakkan di belakang bahunya.

“Tak padan dengan kecik kau ni... siapa kau?” tanya Raid sebelum terbatuk-batuk ketika dipapah si gadis.

“Ngo hai Asyanur.”

Tapi Raid dah hilang tenaga untuk menyahut. Tubuhnya melonglai.

“Ehh... eh?!

Buk!

Raid pengsan, menimpa Asyanur!

“Aduh!  Memang balaklah dia ni!”


3

Rasa pedih dan perit di puncak kepala, memaksa Raid membuka mata. Melihat wajah asing di hadapannya, dia sontak menaikkan setengah badan, tapi rasa sakit membuat dia kembali menghempas badan ke tilam.

“Siapa kau?” tanya Raid sambil menyeringai ketika lelaki itu menekapkan sesuatu ke atas kepalanya. Pedih tapi terasa dingin yang menyamankan kepala.

“Patutnya aku yang tanya kau macam tu. Siapa kau? Nak kata samseng, pakai baju mahal... muka macam model...”

Raid tak menjawab. Otaknya bekerja keras cuba mengingat kembali apa yang telah terjadi. Matanya meliar tengok keliling. Bilik kecil, dengan tingkap cermin nako berlangsir warna krim.

"Pukul berapa sekarang ni?"

"Dah dekat 7.30 pagi."

Raid terdiam dan mencerna. “Asyanur! Siapa Asyanur?” tanya Raid tiba-tiba. “Kau nak buat apa dengan dia?” Lelaki itu balik menyoal.

“Aku... nak jumpa dia...”

“Tak payahlah... dia masih marah kat kau.”

“Marah? Eh? Apa aku dah buat?” Mata Raid liar memandang keliling bilik. Sejenak dahinya berkerut.

“Dia bengang kat kau. Kata dia, disebabkan kau, dia tak dapat meniaga malam tadi.”

“Meniaga? Besar sangat ke bisnes dia sampai nak salahkan aku pulak?” Raid merengus tak senang.

Lelaki itu tersenyum lembut. Baru Raid perasan, ada parut melintang di tepi dahi lelaki itu. “Kecik saja... tapi disebabkan kau pengsan, dia tak tahu nak hantar kau ke mana. Terpaksalah dia bawak kau balik ke sini...”

“Ihhh... aku tak pedulilah pasal bisnes dia. Tepi, aku nak keluar!” Raid bingkas bangun dan menolak lelaki itu dengan kasar.

Tanpa diduga, lelaki itu terjatuh dari kerusi. Dan Raid terngadah bila baru menyedari sesuatu. Lelaki itu kudung! Lah? Baru Raid perasan kerusi yang diduduki oleh lelaki itu adalah kerusi roda! Sontak, Raid terkaku di atas katil melihat lelaki itu tergolek di atas lantai.

Bersamaan dengan saat itu, Asyanur muncul di muka pintu.

“Abang!” Asyanur menerpa dengan muka cemas.

Raid menelan ludah dengan payah melihat Asyanur mengangkat lelaki itu kembali duduk di kerusi. Kemudian Asyanur memandang Raid macam nak telan.

“Kau apahal tolak abang aku macam ni?” Asyanur menumbuk bahu Raid.

“Awwhh! Kau ni perempuan ke manusia jadian, hah?” Raid menyeringai sambil memegang bahunya. Sakit giler!

“Mui mui... sabar... abang tak apa-apa.” Lelaki itu menarik tangan Asyanur.

Tapi Asyanur tumbuk pula paha Raid dengan tangan kirinya.

“Sakitlah bodoh!” teriak Raid sampai terangkat kaki. Gila kuat tangan minah ni... keras macam batu!

“Bodoh?! Kaulah bodoh! Aku dah selamatkan kau, kau boleh berlagak pulak! Kalau jadi apa-apa kat abang aku ni, siapa nak jawab?”

“Aku mana tahu dia...” Raid tak sanggup meneruskan kelancangan. Entah mengapa, dia jatuh kesian melihat lelaki kudung itu menarik-narik hujung baju Asyanur, memintanya bertenang.

Tapi Asyanur naikkan pula kaki kiri, dengan hajat nak pijak kaki Raid. Pantang sungguh dia bila orang usik abang kesayangan dia.

“Hey? Apa ni?! Kau ni perempuan ke jantan, hah?” Cepat-cepat Raid mengesot ke dinding.

“Aku nak ajar kau!” Asyanur makin memanjangkan kaki. Sikit lagi nak lompat naik atas katil.

“Asyanur... jangan buat macam tu... sakitlah dia. Dia kan tamu kita? Jaga kelakuan, sayang.”

Barulah Asyanur berhenti. Terus menghenyakkan tubuh di birai katil. Tapi matanya menjeling tajam ke arah Raid yang menciut dekat dinding. Heh... tau takut!

“Apa nama kau hah?” tanya Asyanur garang.

“Raid Arjuna.”

“Amboi nama... bukan main klasik. Nama penuh?” Asyanur menyelidik.

“Raid Arjuna bin Laird Abdullah.”

“Oh... bapak orang putih ler ni? Patutlah nama Raid... tak blah sungguh!”

“Hey! It’s not Raid as in reɪd, okay! It’s RA-ID... means, leader!

“Leaderlah sangat! Kalau leader, kau tak lari lintang pukang bila kena kejar dengan penyangak malam tadi!”

Raid merasa sungguh tersindir lalu tarik muka cemberut.

“Asyanur... cakap elok-elok, sayang.” Abang Asyanur pandang Asyanur sambil geleng-geleng kepala.

“Abang... boleh ke tinggal kat rumah dengan dia ni? Ke nak mui mui halau aje dia keluar?” tanya Asyanur tanpa menghiraukan Raid yang terbeliak biji mata.

“Eh, tak apa... abang okey. Dia tak nampak macam lelaki bahaya pun. Tak apalah, Asya pergilah. Tolong bawak abang keluar. Nak pergi bilik air sekejap.”

Asyanur mengangguk lalu segera menolak kerusi roda meninggalkan Raid yang terpinga-pinga. Lepas menghantar abangnya masuk ke dalam bilik, Asyanur keluar semula. Tapi dia terkejut bila melihat Raid terpacak depan pintu.

“Tepilah!” Asyanur dengan selamba melanggar tubuh Raid. Terpesong Raid ke dinding.

“Kau nak pergi mana?” tanya Raid, mengekori Asyanur. Muka Raid berkerut bila menyedari yang dia sedang berada dalam unit rumah flat yang... sempit!

“Aku nak pergi kelas. Apahal?” tanya Asyanur sambil menyarungkan kasut.

“Habis aku macam mana?”

Semerta Asyanur berkacak pinggang. Beg yang terselimpang di dada, ditolak ke belakang badan.
“Laa... kau pandai-pandailah bawak diri. Takkan aku nak usung kau jugak kut? Kalau kau rasa nak balik rumah kau, pergilah balik. Kalau rasa nak tumpang rehat lagi kat rumah sempit kami ni, dipersilakan. Tapi...” Asyanur tiba-tiba mendekat dengan muka serius.

Raid memandang hairan. “Tapi apa?”

“Tapi... kalau kau tolak lagi abang aku, siap kau! Aku kerjakan kau cukup-cukup!” Asyanur menayang penumbuk depan muka Raid.

Mata Raid melebar. “Eh... samseng sungguhlah kau ni! Sedar sikit, badan kau tu kecik aje. Sekali aku lambung... ha, tercampak kau kat bawah sana!”

“Ada hati nak lambung aku. Baru kena belasah sikit dah tumbang. Lengchai... hou kou em toi piyu yau lek (Jantan pujaan, tinggi gagah belum tentu kuat tenaga!)” Asyanur tepuk-tepuk dada Raid dengan belakang tapak tangannya.

“Heh? Kau cakap apa hah?”

Tapi Asyanur tak menyahut. Cuma tersenyum sinis dan berlari anak menyusuri korridor. Tinggallah Raid terkebil-kebil di muka pintu.

“Ah! Aku nak buat apa lagi kat sini? Baik aku call Wandi, mintak dia datang ambik aku.” Raid berkata sendiri lalu berjalan menuju bilik abang Asyanur yang tak diketahui namanya itu dengan hajat nak bertanya apa nama flat ini.

Namun, apabila Raid menguak langsir, dia terbeku di ambang pintu. Abang Asyanur sedang bersujud di atas sejadah. Raid terus mematung sehinggalah abang Asyanur memberi salam.

“Raid... kenapa?”

Raid terdiam, tak tahu nak cakap apa.

“Kau nak solat ke?”

Pertanyaan abang Asyanur buat Raid rasa terpukul. “Eh... tak... kan Subuh dah lepas? Abang solat apa?”

"Solat sunat dhuha..."

 Raid menganga. "Solat apa tu? Untuk apa?" Nampak sangat dia tak tahu apa-apa.

"Menarik rezeki dan menolak kepapaan." Lelaki itu menjawab dengan senyum. Tak ingin mengaibkan Raid yang jelas cetek sekali ilmu agamanya.

Heh? Menarik rezeki dan menolak kepapaan? Tapi aku tengok rumah ni macam rumah orang papa kedana aje. Mata Raid menerawang.

“Kau lapar? Nak makan? Abang tak masak lagi. Kena tunggu Asyanur balik bawak barang dapur. Stok kat rumah ni dah habis.”

“Eh? Bukan... saya rasa saya nak pergi...” Kata-kata Raid tergantung bila melihat abang Asyanur bersusah payah mengesot mendekati kerusi rodanya.

Spontan, Raid menerpa dan membantu abang Asyanur bangun. Entah dari mana perikemanusiaan Raid datang, lalu dia mendukung lelaki itu dan diletakkan dengan hati-hati di atas kerusi roda.

“Terima kasih, Raid,”

“Asyari.” Senyum menguntum. “Kau dah nak pergi?”

Raid serba-salah. Entah dihasut kuasa apa, dia menggeleng. “Asyanur balik pukul berapa? Lama ke dia pergi?”

“Tengahari nanti, dia baliklah... kenapa?”

“Saya tunggu dia balik, baru saya pergi.” Lancar aje jawapan itu keluar dari mulut Raid.

Asyari tersenyum. “Kalau macam tu, kau nak mandi? Eloklah tukar baju tu. Tapi boleh ke kau pakai t-shirt murah?”

Sekali lagi Raid merasa terpukul. “Err... boleh!” Kemudian Raid tercengang sendiri. Kenapa dengan aku ni? Aku nak stay sini lagi ke? Sanggup ke?

---------------------

Raid sudah segar bugar, bertukar pakaian selepas mandi. Baju dan jeans kotornya dah disumbat ke dalam mesin basuh oleh Asyari. Janggal pula rasanya memakai t-shirt dan seluar kepunyaan orang lain. Agak ketat, tapi apa nak buat? Darurat!

“Raid... mari makan.” Asyari memanggil.

Lambat-lambat Raid menapak mendekati Asyari yang duduk di meja bulat tepi tingkap. Mata Raid masih tak habis menilai isi rumah.

“Kepala kau sakit lagi tak?” tanya Asyari sambil menyodorkan satu bungkusan nasi lemak.

Raid menggeleng. Memang kepalanya sudah tak terasa sakit. Entah ubat apa yang dibubuh Asyari, Raid malas nak bertanya.

“Mana datang nasi lemak ni? Abang kan...” Raid terhenti. Nyaris tak terlepas cakap; abang kan kudung?

Tapi Asyari tetap tersenyum tenang. “Nasi lemak dari gerai kat bawah flat ni. Asyanur belikan dan mintak sorang budak hantarkan ke sini.”

“Oh...” Raid tak terkata. Prihatin juga budak ganas tu! "Err... abang... kenapa panggil Asyanur mui mui?"

"Mui-mui tu maksudnya adik perempuan. Makanlah dulu nasi lemak tu. Nanti bila Asyanur balik, abang masak lauk lain.”

Raid mula rasa serba salah nak makan walaupun perutnya sedang berkeroncong hebat. Menjerit-jerit mintak diisi makanan. Nasi lemak? Tak pernah seumur hidup dia makan pagi dengan nasi lemak bungkus! Sarapan pagi kegemarannya adalah pancake tiga lapis dengan inti isi pisang, dihidangkan bersama salad buah dan sos butterscotch kalau tidak pun French Toast dengan pisang panggang.

“Err... abang makanlah. Saya rasa peninglah... nak tidur sekejap...” Raid beralasan. Siap memegang perut. Drama king in action!

“Oh... kalau macam tu, pergilah masuk bilik. Rehatlah...” Asyari kelihatan cemas.

Cepat-cepat Raid berlalu masuk bilik. Fuh! Kalau tak, naya aje aku kena perabihkan nasi lemak tu. Aku tak makan pedaslah!

------------------------------

Raid terjaga bila terdengar suara Asyanur bising-bising di luar bilik. Dah balik minah kecik tu?

“Dia tak makan nasi tu? Heee...membazir sungguhlah! Kalau tau dia tak nak makan, Asyanur tak susah payah suruh Adib hantar ke sini."

“Dia pening tadi... kepala dia sakit lagi kut sampai tak lalu nak makan.”

“Ah... abang percayalah sangat cakap dia tu. Tengok gaya dia pun dah tau, dia takkan pandang punya nasi lemak bungkus tu. Itu mesti dah biasa makan western food, sebab tu nampak aje gagah tapi lembik! Yang kita ni punyalah risau takut dia kebulur... kang salahkan orang pulak tak bagi makan!”

“Asyanur... janganlah bising, dia tengah tidur...”

“Ah! Biar dia bangun! Sedar sikit dia kat rumah orang ni...”

Raid bingkas bangun. Pedih telinga dengar cemuhan Asyanur. Heee... dia cakap aku lembik? Si kecik tu memang nak kenalah! Dia ingat aku nak sangat ke duduk kat rumah sempit ni?

Dengan gesit, Raid meluru keluar bilik. Terlihat Asyanur sedang menyiang sayur dan Asyari sedang mengupas bawang di meja makan.

“Hah, dah bangun pun yang mulia!” seru Asyanur.

“Kau apahal hah, mulut laser sangat?” sembur Raid tak tahan lagi. Selama ni tak pernah ada perempuan yang berani menantangnya. Yang terkulai dalam pelukannya memang tak terhitung. Tapi kenapa Asyanur ni lain sangat hah? Jangan kata nak tergoda, pandang aku kerek aje...

“Sebab aku bengang dengan kau!” Asyanur menyiang sayur sawi dengan lebih kasar sambil menjeling Raid yang tercegat di muka pintu.

Belum sempat Raid buka mulut, Asyari terlebih dahulu menegur Asyanur.

“Asyanur... benda dah lepas, kan? Anggaplah malam tadi bukan rezeki Asyanur...”

“Hah! Kau dengar tu! Abang kau punyalah lembut, tapi kau? Mengalahkan jantan. Kau ingat, aku nak sangat ke benda semalam jadi kat aku? Aku pun tak sangkalah mamat tu kejar aku!”

“Huh... itu mesti sebab kau dah buat orang menyampah kat kau... kalau tak, takkan mamat tu gigih kejar kau dan beriya-iya pukul kau sampai buat tak peduli aku ni ada kat tempat kejadian!”

Raid terdiam. Baru tersedar kesalahan sendiri.

“Bila kau nak blah?” tanya Asyanur.

Tajam mata Raid memandang Asyanur tapi gadis itu tayang muka bersahaja. Seolah-olah tak terkesan langsung direnung oleh jejaka kacak macam Raid.

“Kau ingat aku nak sangat ke duduk kat sini?”

“Dah tu, apsal kau ada lagi kat sini lagi? Aku ingat bila aku balik tadi, kau dah blah. Rupa-rupanya ada lagi membongkang macam anak raja dalam bilik. Kau jangan nak menyusahkan kami ye. Jangan sampai mamat semalam tu cari kau sampai kat sini. Kalau kau ada masalah dengan dia, pergi selesaikan kat tempat lain. Aku dengan abang aku tak nak masuk campur.”

Tak semena-mena, Raid tersandar di dinding. Sekarang baru dia rasa cuak. Tercenung memikirkan nasib di masa depan. Kalau sampai macam tu abang Faiznur sanggup buat padanya, depan Asyanur, maknanya lelaki itu sanggup buat lebih dari itu.

Bila memandang Asyanur dan Asyari tiba-tiba datang satu perasaan, tak ingin mereka berdua disakiti dan dilibatkan dalam masalah peribadinya. Rasanya dia perlu balik ke rumah dan ambil hati bonda semula untuk keselamatan diri sendiri juga.

“Aku pergi dulu.” Raid bergegas ke pintu.

“Bagus pun kau pergi!”

Langkah Raid terhenti sekejap. Nampaknya Asyanur bersemangat menghalaunya. Baik... aku pergi! Tak ingin dah jumpa kau lagi!

Raid mencapai kasutnya di tepi pintu. Tak menoleh ke belakang, dia berlalu begitu sahaja.
Belum pun jauh dari pintu, dia mendengar suara Asyanur.

“Huh! Menyesal mui mui tolong orang sombong macam tu! Bukannya nak berterima kasih... heee... patutnya semalam mui mui biarkan aje dia tergolek kat kaki lima tu!”

“Asyanur... tak baik mengungkit, sayang.”

Raid mengeluh dan melajukan langkah. Kepalanya terasa pening tiba-tiba, bertemu dua manusia bersaudara dengan perangai berbeza. Nak kata bukan Melayu, memang dah sah Melayu.
Tapi kenapa Asyanur asyik cakap kantonis hah?


4
Teksi yang membawa Raid berhenti di hadapan rumah pengawal di tepi pagar kayu berkerawang besi selebar 20 kaki. Gambit dan Black yang sedang berbual dengan pengawal keselamatan di situ, segera keluar mendapatkan Raid.

“Hey, Raid! Mana kau pergi semalam hah? Teruk kitorang kena bambu dengan Engku, tau tak?” Gambit bertanya.

“Kau kalau tak menyusahkan hidup kitorang boleh tak?” Black menyampuk.

Namun Raid tak menghiraukan kata-kata mereka, sebaliknya matanya tertancap ke depan. Dari celah pagar, Raid ternampak ada dua buah kereta asing tersadai di  halaman.

“Siapa yang datang tu?” tanya Raid sambil memandang sekilas wajah Gambit dan Black.

“Keluarga Haji Kamarudin.” Black yang menjawab.

“Haji Kamarudin?” Raid berkerut dahi. Macam pernah dengar nama tu...

“Yela... keluarga bini tak jadi kau tu...” Gambit mengulas.

Demi mendengar istilah bini tak jadi itu, Raid tersentak. Sekejap kemudian dia berdecak geram.  Nampaknya dia sudah salah ‘timing’.

“Dah tak jadi kahwin tu... buat apa datang sini lagi?” Raid mengomel lalu masuk melalui pintu pagar kecil di tepi rumah pengawal.

Sampai di halaman, Raid mencebik, melihat Toyota Alphard dan Honda Civic itu. Raid membongkok, takut ada yang melihatnya. Baru Raid hendak menyelinap ke sayap kiri banglo, tiba-tiba terdengar suara Engku Masitah melantang.

“Raid Arjuna! You nak ke mana tu?”

Semerta Raid tertegak dan perlahan-lahan memusingkan tubuh. Engku Masitah berlari anak mendapatkannya. Sampai sahaja di hadapan Raid, laju tangan Engku Masitah memiat telinga kanan Raid.

“Aduh! Bonda! Sakitlah!” Raid bagaimanapun tak berani mahu menepis tangan Engku Masitah, dia hanya mampu memegang tangan bondanya itu.

“Rasakan! You dah buat huru-hara dan memalukan bonda. Ni... apa ni? You pakai baju apa macam ni?” Sebelah tangan Engku Masitah menarik-narik kolar t-shirt Raid.

“Baju kawan.”

“Menjawab!” jerkah Engku Marsitah.

“Habis, tadi bonda jugak yang tanya?” Raid mengerling ikut ekor mata.

“Menjawab lagi!” Engku Masitah makin sedap memiat telinga Raid.

“Auchh! Auchhh! Sakitlah bonda!” Terkial-kial Raid dibuatnya.

“Tak kira! Mari ikut bonda! Hari ni, you kena mintak maaf dengan semua orang.” Engku Masitah dengan tak melepaskan tangan dari telinga Raid, memaksa anak tunggalnya itu masuk ke dalam melalui pintu utama. Tak ada ampun punya dan Raid terpaksa redha!

Sampai di ruang tamu, baru Engku Masitah melepaskan telinga Raid. Tapi sudah terlambat untuk Raid melarikan diri. Dia berdiri di tengah ruang, di hadapan beberapa orang yang langsung tak dikenalinya. Mata Raid meniti ke satu persatu wajah. Dua orang perempuan dan tiga orang lelaki. Tak kenal dan tak pernah nampak.

Dahi Raid berkerut apabila melihat lelaki tua di atas kerusi roda. Dia kelihatan tak berdaya, dan Raid cukup yakin bahawa orang tua itu tak mampu bercakap kerana matanya menatap kosong ke depan, macam orang amnesia!

“Siapa tu, bonda?” tanya Raid selamba.

Menyirap darah Engku Marsitah. “Raid! Where’s your common sense??? Haa… inilah dia padahnya, bila bonda ajak berbincang, you asyik lari dan mengelak sampai tak kenal itu bakal ayah mertua Raid, Haji Kamarudin!”

Sontak, Raid terdiam. Namun hatinya bergumam, ‘Oh? Jadi ayah mertua aku… O.K.U? Wah, tak sampai 24 jam, aku dah jumpa dua orang berkerusi roda!’

Raid kembali memandangi wajah-wajah di hadapannya. Kemudiannya matanya tertancap pada seorang gadis bertudung pashimina shawl, duduk manis di sebelah perempuan sebaya bonda. Sengaja Raid merenung gadis itu. Rasanya itulah Faiznur!

Tapi tatapan Raid tak mampu bertahan lebih dari seminit. Ya, Faiznur cantik tapi wajahnya jenis yang jemu dipandang lama! Raid tak berminat langsung.

“Hah, bakal isteri sendiri pun you tak kenal kan, Raid?” Engku Marsitah menebak.

“Tak ingin pun nak kenal!” Raid menggetus tanpa peduli ia telah menyentap tangkai jantung keluarga itu terutamanya Faiznur.

Hati Faiznur jatuh berkeping-keping, jadi debu ditiup angin.

“Umi! Dengar tu, Umi!” Lelaki yang duduk di sebelah Haji Kamarudin, bingkas bangun. Sambil menancapkan pandangan paling tajam ke arah Raid, dia terus menuding tangan pada Raid. Nampak sangat tak puas hatinya.

 “Budak macam ni umi nak buat menantu? Sudah-sudahlah umi … cukuplah dia dah malukan keluarga kita! Dia dah jatuhkan maruah Nur. Lepas tu dia buat abang Faris masuk hospital! Jangan kita bagi muka lagi!”

Rais tercengang. Aik? Faris masuk hospital??? Biar betul? Kena tumbuk dan terajang aje pun, takkan sampai parah benar?

Tak semena-mena, Raid terbayangkan Asyanur. Wah! Hebat sungguh si kecik tu, sampai buat Faris masuk hospital? Hmm… I’m impressed! Tak pasal-pasal Raid tersenyum sendiri.

“Raid, bonda nak tanya ni… betul ke you yang pukul si Faris malam tadi?” Engku Masitah menyoal.

“Bonda! Dia yang pukul Raid dulu! Dia serang Raid di kelab. Tengok ni…” Raid meletakkan jari telunjuk pada luka di tepi bibirnya.

“Eleh! Sikit macam tu pun you nak mengadu? Tapi Faris di hospital tu apa cerita? Apa you dah buat pada dia, hah? Bonda tak ajar you jadi kurang ajar, kan?” Tangan Engku Masitah tergoncang-goncang di hadapan muka Raid.

“Dia yang kurang ajar dulu. Rasakanlah!” Sengaja Raid bersikap macam dialah yang memukul Faris. Biar keluarga di hadapannya ini, fikir panjang sebelum nak ugut apa-apa.

“Tak kira siapa yang mulakan tapi Raid sendiri pun tahu kan, bonda tak suka you terlibat dengan keganasan!”

Terus Raid membeku. Dia menjeling benci pada Faiznur dan Hajjah Kamariah. Ni semua korang punya pasallah! Dah tak dapat kahwin dengan aku, buat apa datang sini lagi mengadu domba dengan bonda? Tak pasal-pasal aku kena marah dengan bonda! Raid mengumpat dalam hati.

“Mata tu! Jangan nak menjeling orang sangat. Bonda cungkil nanti!” Engku Marsitah memberikan amaran.

Raid ganti menjeling Engku Marsitah. Perasaan marahnya tak terbendung lagi.

“Ini semua salah bonda!” getus Raid tak mampu mengawal rasa jengkel.

Engku Marsitah tersentak. Bera mukanya bila Raid meninggikan suara di hadapan bakal besan.

“Raid dah cakap Raid tak nak kahwin! Kenapa bonda nak paksa Raid? It's too soon for marriage after all! Raid tak habis enjoy pun lagi!”

“27 are not too young to get married! You nak enjoy apa lagi? Semua benda you dah dapat, kan?” Engku Marsitah membidas.

“Bonda dah mencabuli hak Raid! Raid takkan kahwin dengan perempuan pilihan bonda!”

Tergamam Engku Marsitah dibuatnya. Apalagi Faiznur yang mendengar. Perasaan kecewa terasa begitu mencengkam. Raid meluru pergi meninggalkan ruang tak peduli abang-abang Faiznur memandang benci kepadanya.

“Astagfirullahalazimmm... Raid... kenapalah you kurang ajar sangat? Apa salah bonda? Hajjah, maafkan saya... saya malu dengan Hajjah... saya ni tak pandai mendidik anak.” Engku Marsitah menepuk-nepuk dada sendiri, cuba meredam gelora.

“Tak apalah Engku. Anak lelaki memang macam tu. Saya ni anak lelaki empat orang. Kalau ikutkan rasa tak sabar, masa kecik lagi saya dah picit-picit diorang semua...” Hajjah Kamariah cuba berkelakar. Dua anak bujangnya menjeling tak senang.

“Tapi... anak saya dah cemarkan nama baik keluarga Hajjah...” Engku Marsitah mengurut dada dan tersengguk kesedihan.

“Engku... tipu kalau kami kata kami okey. Malu tu memanglah malu. Tapi saya anggap semua ni cuma ujian kecil Tuhan untuk keluarga kami.” Hajjah Kamariah terus mempamer sikap tenang.

Hajjah Kamariah kemudiannya, mencuit Faiznur. Segera memahami, Faiznur bangkit mendekati Engku Marsitah yang sudah terduduk di sofa.

“Bonda... sabarlah. Mungkin kita perlu bagi Raid lebih masa. Walaupun saya tak kenal Raid sangat, tapi rasanya dia tu jenis tak suka dipaksa-paksa. Tak apa bonda... saya anggap kata-kata dia tu, sebagai dugaan semata. Saya percaya, kalau saya sabar, jodoh saya dengan dia tetap ada.” Faiznur tersenyum lembut menatap Engku Marsitah.

Sejuk hati Engku Marsitah melihat wajah manis Faiznur. “Ya, Tuhanku... kau bukakanlah pintu hati anakku, Raid Arjuna untuk melihat bidadari yang kau kirimkan ini...”

Bersemu kulit pipi Faiznur mendengar doa itu. Lantas dia merebahkan kepala ke bahu Engku Marsitah, disaksikan oleh emak dan abang-abangnya.

========================

Keluarga Hajjah Kamariah telah beredar. Engku Marsitah tak menunggu lama. Terus angkat kaki berjalan menuju ke kediaman Raid, rumah kecil satu tingkat lengkap dengan bilik air, bilik tidur dan ruang tamu. Dipisahkan dengan kediaman utama dengan sebuah kolam renang dan dihubungkan dengan walkway berbumbung, berdinding kaca.

Rumah itu dibina demi memenuhi permintaan Raid yang mengugut mahu lari dari rumah kerana menuduh Engku Marsitah terlalu mengongkong hidupnya.

Raid baru selesai mandi ketika Engku Marsitah mengetuk pintu biliknya.

“Raid! Bonda nak jumpa Raid sekarang jugak!” Engku Marsitah mengeluarkan perintah.

Raid mengeluh sambil menyarungkan pakaian. Dengan gaya malas, dia keluar bilik. Engku Marsitah duduk di sofa, bersilang kaki, berlipat tangan di dada, memandang Raid yang tinggi lampai dengan muka tak puas hati.

“Kali ni, you tak boleh membantah cakap bonda lagi!”

Raid berdiri tegak macam tugu.

“Bonda akan aturkan semula majlis untuk Raid dan Faiznur menikah.”

“Bonda... please!” Raid terus duduk di lantai macam orang nak merafak sembah. “Raid tak kenal pun Faiznur tu siapa tapi kenapa bonda beriya sangat nak nikahkan Raid dengan dia? Kalau Raid tak bahagia dengan dia, macam mana? Patut ke Raid salahkan bonda masa tu?”

“Raid, you jangan nak mengada-ada. Bonda yakin Raid akan bahagia dengan Faiznur sebab bonda kenal ibubapa dia! Mereka dari keturunan baik-baik. Orang ada agama. Raid perlukan agama untuk luruskan kehidupan Raid.”

“Takkan sebab tu aje bonda nak musnahkan masa depan Raid? Selama ni, boleh aje bonda panggilkan ustaz untuk ajar agama?” Raid senyum sinis.

Berapi muka Engku Marsitah, merasa tersindir.

“Sebaliknya bonda nak masa depan Raid terjamin! Bonda nak Faiznur ubah kehidupan Raid sebab bonda dah tak tahu lagi macam mana nak kawal Raid. Bonda pasang bodyguard pun, Raid tetap liar, bonda panggil ustaz ajar agama pun, Raid tetap kurang ajar. Jadi bonda fikir, kalau Raid kahwin dengan perempuan macam Faiznur, dia akan dapat bimbing Raid.” Wajah Engku Masitah jadi makin keruh.

“Bimbing? Apa yang si Faiznur tu mampu buat untuk ubah Raid Arjuna? Bonda dah panggil ustaz pun tak mampu ubah perangai Raid kan? No one can change me! Not even you, bonda!” Nada Raid begitu angkuh.

Engku Marsitah terbangun dari duduk. “Betul... bonda tak boleh ubah you, ustaz pun tak boleh bombing you. Tapi sekurang-kurangnya, ingatlah apa yang bonda buat, semua ni untuk kebaikan you jugak!”

Raid bingkas bangun. Berdiri sambil berkacak pinggang.

“Apa kebaikannya? Banyak sangatlah kebaikan yang bonda dah buat sampai Raid yang dah besar panjang ni pun bonda masih nak suruh bodyguard follow Raid? Raid malu pada kawan-kawan, bonda tau tak? Ramai yang takut nak kawan dengan Raid disebabkan sikap over overprotective bonda tu!”

“Bonda buat semua tu, sebab bonda tak mahu you mati macam daddy you!”

Kenyataan itu sontak membuat Raid tersentap. Perlahan-lahan, Raid jatuh terhenyak ke lantai. Engku Marsitah mulai cemas bila melihat mata Raid membelalak. Baru tersedar yang dia telah membunyikan loceng penggera dalam otak Raid, membangkitkan memori yang dah lama tidur.
Cepat-cepat Engku Marsitah mendekati Raid.

“Raid... pandang bonda!” Engku Marsitah memegang bahu Raid. Namun Raid hanya memandang ke depan.

Pintu amigdala dalam kepala Raid mula terbuka dan bereaksi, membawa kembali sebuah pemandangan ngeri, bau darah, suara teriak kesakitan, tangis dan bunyi tulang patah. Kejadian yang telah lama Raid cuba lupakan kini menghantui semula benak Raid yang selama ini dipenuhi dengan keseronokan duniawi.

“Raid... maafkan bonda... please... jangan macam ni...” Engku Marsitah menepuk-nepuk pipi Raid.

“Pergi! Jangan dekat dengan aku!” Raid menepis tangan Engku Marsitah.

“Ya Allah... Raid... ini bonda! Mengucap sayang!”

“Jangan dekat dengan aku! Jangan ganggu aku!” teriak Raid ketika Engku Marsitah mengesot mahu mendekati. Menyesal pun sudah tak berguna lagi.

Raid menggeletar sambil memejamkan mata. Trauma lama melanda dirinya semula hanya kerana sebaris ayat Engku Marsitah. Sekejap dia menekup muka dengan tangan, sekejap menghantukkan kepala ke lutut.

“Blackkkkkk! Gambitttt!!! Ya Allah... tolonggg!!” Engku Marsitah menjerit bila Raid mula berteriak tak tentu hala.

Black dan Gambit muncul secepat kilat.

“Tolong Raid... tolong...” Suara Engku Marsitah menggeletar. Black dan Gambit pantas menerpa mendapatkan Raid.

Sebelum keadaan Raid memburuk, Engku Marsitah bangun, menggelebah mencari ubat di dalam bilik Raid. Botol berisi Minipress dijumpai di dalam laci meja solek. Kelam-kabut Engku Marsitah membawa keluar botol itu.

Sementara Raid terus diserang memori buruk, menyangka Black dan Gambit cuba menyerangnya lalu dia melawan, menerjangkan kaki, menghayunkan tangan.

“Pegang dia! Pegang kuat-kuat!” Engku Marsitah mengarahkan. Apabila Black dan Gambit berjaya mengunci pergerakan Raid, Engku Marsitah segera menyumbatkan dua butir minipress masuk ke dalam mulut Raid.

Selepas itu Engku Marsitah memeluk Raid erat-erat tanpa peduli tudungnya sudah senget-benget. Ketika itu barulah Engku Marsitah perasan bekas luka yang masih lembab di puncak kepala Raid.

"Ya, Allah.... Maafkan bonda, Raid... bonda tak sengaja..."

Black dan Gambit berpandangan sesama sendiri. Rasanya sudah lama mereka tidak melihat Raid berada dalam keadaan trauma begitu.

"Engku... ada apa-apa lagi yang perlu kami buat?" Gambit bertanya ragu.

Sambil mengesat airmata, Engku Marsitah mengangguk. "Ya, tolong bawak Raid masuk bilik."

Black dan Gambit segera memapah Raid bangun. Minipress telah bertindakbalas kerana Raid tidak lagi melawan walaupun matanya masih terbuka lebar. Tapi pandangan itu hanya pandangan kosong kerana ubat yang baru ditelan Raid merupakan alpha blockers yang membantu menenangkan dan mengurangkan kadar denyutan jantung dan stress yang dialaminya. Biasanya Raid akan keletihan dan tidur dengan lama selepas menelan ubat itu.

Engku Marsitah terpekur di sofa diselubungi rasa bersalah. Menyesal kerana terlepas cakap. Mata Engku Marsitah terpejam rapat. 15 tahun dulu, suaminya, mati depan mata Raid. Anak itu trauma sehingga terpaksa menjalani rawatan PTSD — Post Traumatic Stress Disorder dengan doktor pakar di luar negara.

Engku Marsitah sendiri ikut trauma lalu memasang bodyguard, menghantar Raid ke sekolah elit dan dikawal rapi. Raid hanya menunjukkan perubahan positif setelah menginjak usia 16 tahun. Mula kenal kawan-kawan dan mula memberontak.

"Engku... sekarang ni macam mana?" Tanya Black, mematikan lamunan Engku Marsitah.

Nafas berat terhela dari mulut Engku Marsitah. "You berdua tolonglah tengok-tengokkan dia.”

“Tapi... kalau dia lari lagi macam mana?”

Engku Marsitah menarik nafas dalam-dalam. “Tak apalah. Biarlah... I tak nak dia stress lagi. Kalau dia nak jumpa kawan-kawan dia, biarkan... asalkan dia lupa apa yang dia alami. Tapi you berdua tolonglah tengok-tengokkan dia dari jauh.”

“Baiklah... kami akan cuba sedaya upaya. Kami mintak diri dulu.” Black dan Gambit keluar meninggalkan Engku Marsitah.

Dari pintu bilik yang separuh terbuka, Engku Marsitah dapat melihat terlentang atas katil dengan mata layu memandang siling. Engku Marsitah bangun dan mendekati.

“You mesti kahwin Raid... mesti belajar mengenal erti tanggungjawab dan jadi lelaki yang berani, supaya you tak terima nasib sama macam daddy...” Engku Marsitah berkata sendiri sambil terus memandangi Raid.

Mata Raid semakin pejam.

“Bonda tetap percaya cuma Faiznur yang mampu bimbing Raid...”

Raid sudah pun tertidur.

5

“Daddy!!! Nooo!!!”

Teriakan dalam mimpi itu membawa Raid kepada jaga. Dia sontak terbangun. Terengah-rengah mengatur nafas. Raid menaikkan lutut dan menahan kedua-dua tangan yang meramas rambut. Matanya terpejam rapat. Bayangan ngeri itu memburu sampai ke dalam mimpi.

Ini semua salah bonda! Raid menggetus dalam hati sambil menghempas kembali tubuh ke tilam. Denyut dalam kepala membuat Raid merasa tak ingin bangun. Bila Raid mengiring ke kiri, matanya terpandangkan botol minipress di atas meja.

“Hmm... patutlah sakit semacam aje kepala aku ni... ni mesti bonda dah sumbat ubat tu...! Tak guna! Elok-elok aku dah lupakan, sekarang boleh teringat balik.”

Raid pejamkan mata lagi. Sudah bertahun dia tak mengambil ubat itu. Sejak dia kenal erti kebebasan. Sejak kenal Wandi and the gang, sejak kenal perempuan, sejak kenal hiburan. Sejak itu dia melupakan segala trauma kerana keseronokan lebih menguasai diri.

Tapi bonda dengan mudah membangkitkan lagi kejadian itu hanya sebab nak suruh aku kahwin??? Sengaja atau tak, sepatutnya bonda berfikir panjang! Arghhh! Raid menggapai bantal lalu menekup muka.

Fikiran Raid semakin bercelaru. Dia tak boleh lagi bersendiri. Sebelum igauan buruk itu datang lagi, Raid perlu berbuat sesuatu untuk diri sendiri. Dia bingkas bangun menggapai telefon bimbit dari atas meja di tepi katil. Nombor Wandi ditekannya. Tak sampai beberapa detik talian bersambung, terus terdengar suara Wandi.

“Hoi! Bro! Hidup lagi kau?! Alhamdulillah!”

Raid tersenyum sambil geleng kepala, tak ingin berkecil hati. “Hidup lagi... Tuhan sayang aku lagi. Kau macam mana? Okey ke?”

“Aku okey... nasib baik sempat lari. Ryan teruk sikit kena belasah. Nasib baik tak jadi kes polis. Kalau tak, mengamuklah bapak si Ryan tu. Tapi risau kat kaulah, terus hilang lepas mamat tu kejar. Aku call pun tak berjawab. Apa cerita hah? Apa dah jadi pada kau? Kau kat mana sekarang?”

“Nantilah aku cerita. Aku kat rumah bonda ni. Kau datang ambik aku boleh? Aku malaslah duduk kat rumah ni...”

“Husss! Gila! Kau nak tengok aku kena hambat dengan bodyguard kau tu ke? Kau mesti kena grounded punya!”

“Otak kaulah grounded. Ingat ni zaman sekolah ke? Pasal barua dua ekor tu, kau jangan risau. Kau datang aje. Agak dah dekat, kau call aku, nanti aku keluar. Aku nak tumpang rumah kau dalam seminggu dua...”

“Apahal ni? Macam nak lari dari rumah aje. Kau jangan Raid... kang bonda kau jejak, susah aku nanti. Aku tak nak jadi macam burung dalam sangkar.”

“Don’t worry la kawan. Kau antara kawan aku yang bonda tak berani kacau. Percayalah. Kalau bonda berani buat apa-apa kat kau, dia tahu dia akan hilang aku buat selama-lamanya!”

“Isk... bunyi kau cakap tu, menakutkan akulah...”

“Dah tak payah nak susah hati tolong fikir. Kau datang aje sini dengan motor aku.”

“Hah? Kau nak suruh aku bawak MV kau? Woi! Aku mana cekap bawak motor besar tu... berat tu, berkali-kali-kali ganda lagi berat daripada badan aku ni. Kalau aku jatuh macam mana? Mana larat aku nak angkat? Silap-silap aku mati kena hempap!”

“Ala... kalau jatuh, bangunlah sendiri. Ni, aku bagi tips, kalau kau jatuh, lepaskan aje motor tu. Jangan kau ikut sekali motor tu terseret, bahaya... itu yang selalu orang kena hempap sebab pegang lagi handle masa jatuh. Kau tergolek pun tak apa, janji biarkan motor lepas pergi. Sayang nyawa bukan motor! Kalau kau okey, bangun, pergi matikan enjin, angkat motor tu dari seat belakang, lagi senang dari angkat ikut handle. Sebelum hidupkan balik, jangan lupa, gear kasi free dulu.”

“Hampesss... bagi tips, macam confident aje aku bakal jatuh motor!” Wandi berdecak geram.

Meletus tawa Raid. “Aku tak mintaklah kau jatuh. Janganlah jatuh. Bawak slow-slow takpe, aku tunggu. Aku malas naik cab. Lembab. Dapat MV tu nanti, tak ada maknanya diorang dapat kejar!”

“Okeylah... okeylah... nanti dah dekat nak sampai, aku call. Malas aku nak tunggu depan pagar istana bonda kau tu. Nanti kena soal siasat macamlah aku ni datang nak merompak.”

“Okey bro! I love youlah!”

“Choiii! Gelilah weh!”

Raid gelak-gelak. “Okeylah... Aku nak mandi! Bye!” Sejurus, Raid melemparkan telefon bimbit ke atas katil dan berlalu masuk ke bilik mandi.

Setengah jam kemudian baru Raid keluar. Bertuala paras pinggul dan tangan sibuk mengeringkan rambut dengan tuala lain. Pintu wardrobe dibuka dan Raid mula memilih beberapa helai pakaian untuk dibawa pergi. Beg galas ditarik keluar dari laci dan Raid berjalan menuju ke katil.

Tuala dilurutkan, jatuh berlepek di atas lantai. Setelah mengenakan brief, Raid bersedia menyarung jeans.

Pranggg!

Raid tersentak lalu dia menoleh. Sontak matanya melebar bila melihat Faiznur tertegak di muka pintu dengan dulang makanan bersepah di lantai.

“Shit@*&! Kau buat apa kat sini, hah?!” tempik Raid sambil kelam-kabut menyudahkan pemakaian.

Faiznur tak menyahut. Hanya matanya terbeliak dengan mulut menganga. Daripada berasa marah melihat kehadiran tak diundang Faiznur, tiba-tiba Raid jadi pelik pula melihat gelagat perempuan itu. Bersama perasaan curiga, Raid berjalan mendekati dan berhenti betul-betul di hadapan Faiznur.  Namun Faiznur masih kaku dengan mata bulat menatapnya.

Tak ayal, Raid tersenyum sinis. “Orang kata, menundukkan pandangan adalah sebahagian dari perasaan malu. Tapi kau... apsal tengok aku macam tu? Kau terkejut ke atau kau kagum tengok badan aku ni?” Ayat orang yakin diri.

Tapi Faiznur masih beku macam kena sumpah jadi batu.

Timbul niat di hati Raid mahu menguji keimanan Faiznur. So... let's play flirting game! Kalau betul kau alim, kau takkan pandang aku lama-lama. Raid kacak pinggang, siap mendada tayang pack pada perut. Cara licik nak takluk perempuan, stand tall, stand proud, stand alpha! Raid senyum kerek.

Barulah Faiznur tersedar dan segera melarikan pandangan seraya merapatkan badan ke dinding. Liurnya tertelan dengan payah. Nafasnya turun naik dengan kencang, dek rasa debar yang belum surut melihat ciptaan Tuhan yang indah depan mata, macam statue terpahat molek.

Gotcha! Raid senyum kemenangan.

“Siapa benarkan kau masuk ke sini?” tanya Raid sambil mengerling makanan yang berterabur di lantai.

Ini mesti bonda yang pandai-pandai suruh perempuan ni masuk ke sini... Bonda ni... nama aje mak kandung aku, tapi boleh buat tak tahu apa kehendak aku!

“Err... saya cuma nak hantar dinner untuk awak...” Suara Faiznur ketar-ketar tapi mata melirik pandang Raid.

“Bonda yang suruh?”

Faiznur mengangguk.

Senyum sinis mengembang lagi di bibir Raid. “Dan kau pun nak jadi calon menantu mithali lah ye?”
Faiznur tersentak. “Saya ikhlas!”

“Ikhlas itu antara kau dengan Tuhan aje yang tahu... so don't mention!” Wah, Raid terkagum dengan diri sendiri. Boleh pulak dia mengingat kembali ajaran ustaz yang pernah datang ke rumah mengajarnya dulu. Agaknya sebab penampilan Faiznur yang bertudung dan nampak sopan, maka haruslah diberi sindiran ala Islamik sikit.

“Raid... saya...” Faiznur cuba bersuara.

“Awak kenapa? Fall in love with me?”

Faiznur terkesima. Susahnya dia hendak mengatur ayat. Soalnya, keadaan Raid yang berlenggeng depan mata, sedikit sebanyak mengganggu tumpuannya. Hati menjerit suruh tengok... akal kata jangan tapi mata tetap nak curi pandang.

Dari kerlingan mata Faiznur, Raid dapat membaca sebuah pesan yang sangat jelas. Gadis itu memang sudah jatuh hati kepadanya.

Malas menunggu Faiznur yang masih tergagap-gagap, Raid segera berpaling mendekati katil. Semua pakaian yang tadinya ingin dilipat elok-elok masuk ke dalam beg, terus disumbat begitu sahaja.

Sehelai dryfit tee warna hitam disarungkan ke tubuh diikuti dengan jaket kulit Alpinestars. Helmet karbon full face Bell Star dikeluarkan dari kabinet.

“Awak nak ke mana?” tanya Faiznur, tidak tertahan lagi melihat gelagat Raid yang langsung tak memedulikannya.

“None of your business!” jawab Raid ketus dan terus berjalan mengelek helmet melintasi Faiznur. Tetapi kemudian dia berundur semula.

“Oh... jangan lupa bersihkan semua sampah sarap ni! Aku tak suka tengok tempat aku ni kotor!”

“Raid! Sekalipun awak tak suka dengan rancangan perkahwinan kita ni, tapi tolong jangan layan saya macam sampah!” Akhirnya Faiznur meluahkan juga ketidakpuasan hatinya.

“Aku ada mention kau macam sampah ke?” Raid balik menyoal dengan dahi berkerut.

Sudahnya Faiznur yang terperangkap dengan kata-kata sendiri. “Tak ada. Tapi... cara awak layan saya, macam saya ni...”

“Tak ada harga diri!”

Faiznur terngadah mendengar ayat yang keluar dari mulut Raid. “Sampai hati awak cakap saya macam tu!” Faiznur hampir ingin menjerit.

Raid berdecak geram. Nafasnya ditarik dalam-dalam dan dihembus kuat. Kemudian, tubuhnya direndahkan sedikit agar matanya dapat bertentang dengan Faiznur.

“Look... Fa... Faiz...nur, right? Yeah, Faiznur...” Raid menjawab sendiri.

“Rasanya aku kena bagi kau lecture sikit, baru kau faham kut? Kalau kau ada harga diri, kau takkan sewenangnya masuk ke sini, walaupun bonda aku dah izinkan. Kalau kau ada harga diri, kau takkan terhegeh-hegeh lagi datang ke sini lepas pernikahan kita tak jadi. Kalau kau cerdik, kau akan tahu yang aku tak pernah sudi nak memperisterikan kau. Tolong... fikir guna otak, bukan dengan perasaan!” Raid mengetuk-ngetuk dahi sendiri.

Dada Faiznur bergelombang hebat. Sungguh, Raid telah mengoyak hatinya dengan lidah yang tajam mengalahkan mata pedang.

Telefon Raid berdering. Raid menarik keluar dari saku jeans dan melihat nama Wandi tertera.

“Hello... dah sampai? Ha... okey... kau tunggu kat situ.”

Raid segera mematikan telefon apabila terlihat kelibat Engku Marsitah menghala ke tempatnya. Secepatnya, Raid buka langkah dan berjaya meloloskan diri keluar ke halaman.

"Raid! You nak pergi mana tu?!" Teriak Engku Marsitah sambil mula berlari anak mengejar Raid.

"Stop right there! Raid! I command you!"

Mendadak, langkah Raid terhenti, beberapa ela dari pagar. Bila Raid memutarkan tubuh, dia lihat Faiznur sudah berdiri di sisi Engku Marsitah.

"You nak ke mana bawa beg tu?"

"Rumah kawan."

"Rumah ni dah tak cukup selesa ke?"

"Memang! Rasa tak selesa sangat, lebih-lebih lagi bila ada orang asing dah mula pandai ceroboh privasi Raid!" Ketika mengatakan itu, mata Raid terhala pada Faiznur. Semerta Faiznur tunduk.

"Faiznur tak salah. Bonda yang suruh dia hantarkan makanan untuk Raid sebab you kan sakit!"

"I tak sakitlah bonda! You yang selalu buat I sakit!"

Engku Marsitah terkesima. Bila Raid ber 'I you' dengannya macam orang asing, itu tanda Raid sedang sangat marah!

"Raid... Maafkan bonda... Kan bonda dah cakap—"

Raid angkat tangan. "Dah! Cukup! Tak usah you terangkan lagi. I tak nak dengar apa pun! Dan kalau you masih anggap I ni anak you, tolong biarkan I pergi tenangkan diri. Tolong jangan serabutkan lagi kepala I! I nak chill out with friends."

“Kawan yang mana satu ni?” Engku Marsitah cuba mengorek.

Want to know something, bonda? My best friends keep changing all the time because I had different places and different friends. They became my best friends ‘coz they are really cool.” Raid mula melangkah.

"Raid! You jangan buat hal! Esok AGM!"

Raid menghembus nafas mendengar peringatan Engku Marsitah. Dalam keadaan macam ni pun, bonda masih mementingkan urusan syarikat.

“Tengoklah kalau I rajin, I datanglah!” Raid berlari keluar pagar. Black dan Gambit cuba menghalang.

"Ketepilah, barua!"

"Aih! Budak ni memang nak makan penumbuk!" Getus Black mula mengepal tangan tapi isyarat mata oleh Engku Marsitah membuat dia terpaksa melepaskan Raid.

Tanpa tangguh, Raid segera mendapatkan Wandi yang sudah lama menunggu di tepi jalan. Beg galasnya diserahkan kepada Wandi.

Sambil menyarungkan helmet, Raid berkata, "Move! Biar aku yang bawak."

"Kau jangan nak merempit." Wandi mula cuak.

"Takut? A good rider has balance, judgment, and good timing. Trust me!” Raid menepuk bahu Wandi, menyalurkan keyakinan.

Mahu tak mahu, Wandi terpaksa memanjat naik, duduk di belakang Raid.

Raid menoleh ke belakang. “Peluk aku kuat-kuat ya darling,” usik Raid, mengenyit mata macam jantan gatal.

“Kau jangan buat gila Raid.” Duk! Bahu Raid ditumbuk. Tetapi sahabatnya itu hanya tergelak.

“Kau tau, aku memang gila!” ucap Raid sebelum menjatuhkan visor. Throttle sudah dipulas dan enjin pun mengaum.

Sebelum kaki Raid menekan gear, Wandi segera menjatuhkan badan ke belakang Raid dan peluk pinggang Raid kuat-kuat. Raid ketawa kecil, terasa macam mahu membawa lari anak dara pula.

Sambil menoleh sekilas ke arah Engku Marsitah dan Faiznur di hadapan pagar, Raid membakar, sebelum memecut pergi dari situ.

***********************************

“Kkkk... kau memang gilaaaaa!!” Terketar-ketar Wandi turun dari motor. Longgar rasa lututnya.

Raid ketawa sambil menanggalkan helmet. Punyalah kuat Wandi peluk dia tadi. “Ala... baru 190... belum aku pergi 300.”

Wandi terbongkok bertahan dua tangan pada lutut. “Agak-agaklah kalau nak rempit pun. Kita bukan kat Sepang. Aduhh...” Tangan Wandi usap-usap perut dan pandang ke depan.

“Yang kau berhenti kat sini, kenapa? Nak cari mamat yang pukul kau tu ke?”

Baru Raid tersedar dan pandang keliling. Laaa? Apahal pulak aku ke sini? Padahal tadi nak ke rumah Wandi.

“Mamat tu dah masuk hospital...”

“Hah? Apa?! Kau pukul dia?” Automatik Wandi tertegak.

Raid tak menyahut lagi kerana matanya terarah ke seberang jalan. Ada gerai-gerai kecil berniaga di situ. Dan mata Raid tertancap ke arah gerai burger yang meriah dengan kehadiran mat-mat rempit.

Biar betul? Raid pejam celikkan mata dan mengamati. Seketika, matanya melebar. Asyanur?! Is that her??? Oh? So... dia meniaga burger? Raid terkedu.

“Apsal kau tengok gerai burger tu? Kau nak makan burger ke?" tanya Wandi tanpa menyedari Raid sebenarnya memandang pada si pembuat burger.

"Raid!” Wandi lambai-lambai tangan depan muka Raid. “Eh, mengelamun pulak kau! Kalau kau teringin nak makan, jomlah pergi beli. Sesekali melantak burger jalanan, okey jugak kan?"

Raid pandang Wandi dengan dahi berkerut. "Ah ah, teringin jugak. Mesti sedap sangat tu sebab budak motor lepak situ! Tapi kaulah pergi belikan. Aku segan!"

"Haa yelah, nanti jatuh pulak standard kau kan kalau orang nampak kau beli burger tepi jalan. Kau nak apa? Ayam ke daging?"

"Ayam special. No sauce, no black paper no—"

"Ye ye, aku taulah!" Wandi geleng kepala. Cerewet sungguh si Raid ni.

Wandi berlari anak melintas jalan. Dia mendekati gerai dan terus ternganga bila melihat wajah pemiliknya.

"Laaa? Awek? Ingatkan boy!"

Asyanur menjeling jengkel bila terdengar seruan itu. "So what? Awek tak boleh jual burger ke?”

Wandi tersengih. “Comel!”

Asyanur melibas lagi dengan matanya yang tajam. “Abang ni nak apa sebenarnya?”

Sejuk hati Wandi bila gadis comel itu memanggilnya abang. Jarang perempuan panggil dia abang.
"Err... nak burgerlah. Daging special satu. Ayam special satu. Tapi yang ayam tu, bawang, sos, black pepper tu semua tak nak. Mayonis okey dan letak keju."

Tangan lincah Asyanur terhenti dari membalik-balikkan daging burger atas dapur. Terus dia pandang Wandi dengan dahi berkerut.

"Haih? Kalau dah semua tak nak, baik tak payah makan burger! Nanti kalau tak sedap, jangan salahkan saya ye?

Wandi tersengih. "Nak buat macam mana, dik... tu untuk kawan abang. Dia tak makan pedas." Wandi menuding ke arah Raid yang duduk bertenggek atas motorsikal.

Kelam kabut Raid memusingkan tubuh, takut dicam oleh Asyanur.

"Lah? Pakai big bike tapi tak makan pedas? Tak macho la bro! Orang lelaki kalau tak makan pedas ni, macam lembik aje," omel Asyanur. Budak lelaki tukang bungkus di sebelahnya, ketawa kecil.

Tergaru kepala Wandi dibuatnya. Ini kalau Raid dengar mesti dia angin. Tapi tak boleh salahkan awek buat burger ni jugak, dah si Raid tu yang memilih makan.

Tak nak makan pedas sebab takut mengganggu perut...
Tak makan bawang sebab tak nak mulut dan ketiak berbau...
 Tak minum kopi sebab takut gigi kuning...

"Baru lagi kat sini ke bro?" Tiba-tiba Asyanur bertanya.

"Taklah, selalu jugak datang area sini. Tapi kami selalu happy hour di Harley Place. Tak pernah pulak singgah sini."

"Ooo... port orang kaya tu, patutlah tak pernah nampak abang kat area sini. Sini port rakyat marhain, bang."

Terjungkit kening Wandi bila dengar ayat gadis itu. Terasa disindir pun ye jugak. Maklumlah, bukan jauh pun Harley Place dengan kawasan gerai ni, tapi macam ada sempadan kasta pulak ye?

Wandi melihat cara Asyanur memasak kepingan daging. Di belah dua, dipercikkan seasoning pada bahagian dalam, lada putih. Yang sudah masak, diketepikan. Telur dipecahkan. Dipercikkan lagi seasoning dan lada putih. Daging ayam diletak atas tebaran telur, kemudian diletakkan keju, lepas tu barulah dibungkus dan diletakkan atas roti yang telah disiapkan oleh budak lelaki di sebelahnya. Pendek kata, ada aturannya.

“Kak mui mui, burger ayam ni nak charge berapa?” Budak lelaki itu bertanya dengan muka bingung.
Kak mui mui? Hah? Comelnya! Wandi renung muka gadis berwajah bulat tapi berhidung mancung dengan mata besar itu. Topi yang dipakai dengan rambut digulung masuk ke dalam, menenggelamkan sifat gadisnya.

“Yang tu, kira 2.50 sudah.”

Terkejut Wandi mendengar harga itu. Murahnya?! Tak sampai hati pula dia dibuatnya. Note 10 ringgit ditarik keluar dari dompet. Budak itu ingin membalikkan baki.

Keep the change.” Wandi jadi tulus tiba-tiba.

“Eh? Banyak tu bang!” Asyanur berseru dengan dahi berkerut, muka tak senang. “Saya tak nak kaya dengan cara keep the change duit customer... apalagi customer baru macam abang.”

Sekali lagi, Wandi tergelak. “Comellah awak ni, adik. Tak apalah. Simpan aje.” Wandi tetap menolak baki yang dihulur oleh pembantu si gadis.

"Kalau macam tu, terima kasihlah bang.” Asyanur menunduk hormat. “Kirim salamlah kat kawan abang yang tak makan pedas tu. Kesian, perut dia dah hilang satu nikmat!" Asyanur mengusik. Saja iseng.

"Nak berkenalan? Dia handsome tahu!" Wandi mengenen.

"Husss! Tak nak ah! Orang handsome susah nak jaga. Pakai big bike, awek mesti keliling pinggang. Agaknya entah dah berapa ramai awek bertenggek kat belakang motor tu."

Tergelak Wandi dibuat. "Memang kawan abang tu susah dijaga pun. Mak dia... awek-awek dia pun tak daya nak control dia..."

"See? Betul kan saya cakap?" Asyanur jungkit kening tapi tangan tetap lincah buat kerja.

“Tapi tak ada sorang pun awek berjaya bertenggek kat belakang motor tu. Abang aje dapat permit.”

Asyanur mencebik. “Macamlah saya nak percaya! Gay eh?”

Wandi tergelak lagi. “Husss... abang straight guy okey.”

Kalau ikutkan rasa hati, nak aje dia duduk di situ, makan burger sambil sembang santai dengan si gadis. Biasa asyik tengok awek seksi, meliuk lintuk, manja terlebih. Sesekali tengok awek macam si penjual burger ni, sempoi jugak.

"Okeylah dik, abang pergi dulu."

"Oraite! Kalau sedap, bolehlah datang sini lagi repeat order ye? Tapi kalau tak sedap, diam-diam sudah, dan jangan datang sini lagi!" Asyanur angkat tabik.

Lagi, Wandi tergelak sambil berlalu pergi mendapatkan Raid.

"Apa lama sangat?" tanya Raid dah gelisah.

"Sembang dengan budak tu kejap. Dia kirim salam, kata dia, kalau burger tu tak sedap, jangan salahkan dia, kesian perut kau, dah hilang satu nikmat sebab tak makan pedas.” Burger yang bertanda ‘A’ dihulurkan kepada Raid.

“Huh! Suka hati akulah!” Raid merengus. Asyanur tu... memang mulut tak boleh blah!

“Dia comellah bro! Ramah dan kelakar pulak tu! Hilang rasa stress bila cakap dengan dia tadi." Wandi ambil tempat, bertenggek pada batang paip di bahu jalan dan mula buka bungkusan burger. Makan panas-panaslah sedap! Lagipun baunya mengancam selera.

"Kelakarlah sangat budak mulut laser tu! Dia tu, bukan boleh menghilangkan stress tapi menambahkan stress adalah!" cemuh Raid sambil membuang pandang ke arah gerai. Tapi dari tempat dia berdiri memang Raid dapat melihat keceriaan Asyanur melayan pelanggan.

"Eh? Apsal kau cakap budak tu mulut laser? Kau macam kenal dia aje?"

Alamak! Raid rasa diri terkantoi. Dia diam sambil pura-pura sibuk membuka bungkusan burger.

“Hah! Kau jangan nak berselindung dengan aku. Baik kau cakap terus-terang!” Wandi mengacungkan jari telunjuk. 

"Dialah yang buat abang bini tak jadi aku tu masuk hospital!"

"What?!" Wandi nyaris tersedak.

Tapi Raid santai saja, dan mula menggigit burger di tangan. Emm... lembut! Sedap! Siapa cakap burger tak ada bawang, sos cili dan black pepper, tak sedap?

"Mana kau tahu? Apa cerita ni? Kau dah kenal ke awek mui mui tu?" Wandi mula mengasak soalan.
Raid tersentak. Dia pula yang bertanya, "Mui mui? Mana kau tau nickname dia mui mui?"

Wandi pelik tengok muka Raid macam tak puas hati. "Dah aku dengar assistant dia panggil dia kak mui mui..."

Tak tahu kenapa, Raid tiba-tiba tersenyum sendiri. Kak mui mui... Kak adik... hehe... comel je!

"Weh! Aku tanya ni. Baik kau cerita apa sebenarnya dah jadi malam semalam.” Wandi mendesak.

Mulalah Raid menyesal sebab terlajak cakap. Tapi mana boleh undur balik. “Okeylah, dengan kau aje aku mengaku sebab dengan bonda, aku cakap aku yang buat abang si Faiznur masuk hospital. Tapi sebenarnya Asyanur punya kerja.”

“Asyanur?” Dahi Wandi berlipat kerut tapi mulut tak berhenti mengunyah.

“Nama awek mui mui tu, Asyanur. Dia yang selamatkan aku dan bawak balik aku ke rumah dia. Abang dia yang ubatkan aku. Awal pagi tadi aku baru aku balik rumah bonda.”

“Ooo... kisahnya...” Wandi terangguk-angguk. “Eh? Tapi... kau kata budak tu yang buat mamat tu masuk hospital? Kau biar betul Raid? Kecik je kut si Asyanur tu...takkan perempuan boleh tumbangkan lelaki?” Wandi toleh pandang ke arah gerai burger.

Raid jungkit bahu. “Aku pun tak percaya tapi masa aku jatuh, itulah yang aku nampak... dia tumbuk dan tendang si Faris sampai terperosok dalam sampah berlonggok. Lepas aku tanya nama dia siapa, aku pengsan. Tau-tau dah ada kat rumah dia.”

“Wuih! Ada karate ke apa budak tu?” Wandi teruja.

“Entah... kau pergilah tanya dia...” Raid sambung kunyah burger. Sudah tinggal separuh.

“Eh? Apa pulak aku? Patutnya kaulah yang pergi tegur dia, dia dah tolong kau. Kau pernah tumpang rumah dia... ke kau dah buat benda tak baik kat dia ni?” Tiba-tiba Wandi berfikiran jahat.

“Hoi!” jerkah Raid. “Tak selera aku pada perempuan macam budak tu!”

“Dah tu, biasanya confident level kau tinggi bila dengan perempuan. Tapi kenapa dengan awek mui mui tu kau macam takut takut? Takkan hilang taring kut?”

“Tak nak aku! Memanglah dia tolong aku, tapi mulut dia tu, tak habis-habis nak sindir aku. Buat sakit jiwa aku aje... tak padan dengan kecik! She’s aggressive, bossy, and sarcastic!”
“Haa... tau pun kau! Macam tulah orang lain rasa bila kau melaser! Kau tu selalu main cakap aje, tak fikir dah perasaan orang lain,” komen Wandi, ikhlas dari hati.

Well... I’m happy saying what I want without the need of approval from others around me.” Raid pasang muka unfathomable.

“Susah kau ni... makan hati berulam jantunglah perempuan yang kahwin dengan kau nanti...”

“Sebab tu aku tak nak kahwin. Getting married is a business decision. I must pick the right wife like a businessman picks a company to invest in. Walaupun aku enjoy being chased by women, tapi lagi best kalau aku yang do the hunting. Lagipun, hanya ada dua sebab untuk aku kahwin, satu... kalau aku rasa nak start a family. Dua, kalau karier aku demand aku untuk ada isteri sebagai permanent social escort. Dan sekarang, aku tak nampak dua keperluan ni lagi.”

That nonchalant face, huh!” Wandi menuding ke arah muka bena tak bena yang ditayang Raid. 

“Kau ni memang... tak faham aku dengan prinsip kau tu, bro! Suka hati kaulah.” Wandi geleng-geleng kepala.

Raid angkat kening, senyum secoet sambil kesat tangan dengan tisu yang dibekalkan oleh Asyanur.
“Diam tak diam, habis jugak kau makan burger jalanan ye?” Wandi mengenen.

Mulut Raid berhenti mengunyah seketika. Blur tiba-tiba. Heh, dia pun tak sedar, sedap sangat menggigit sampai lupa burger tu bukan burger mahal yang selalu dimakannya.

“Dahlah... jom blah. Aku nak tidur. Kepala pening, siang tadi bonda bagi makan ubat. Tak hilang lagi ni...”

“Yelah tu pening... bawak motor macam orang gila, tak pening pulak?” Wandi sumbat cebisan terakhir dalam mulut.

Raid tak menyahut, terus sarung helmet. Wandi menggalas semula beg. Semasa menunggu Wandi memanjat naik atas motor, Raid talakan pandangan ke arah gerai burger. Fokus matanya pada Asyanur. Ada rasa aneh bergumpal jauh di sudut hati Raid bila melihat kegigihan Asyanur.

Burger jalanan... tunggu, nanti aku datang makan lagi...


6

Raid muncul di Dermaga Berhad jam 11 pagi. Dengan racing boot, jaket kulit dan tangan masih bersarung glove, sambil mengelek helmet, Raid mengundang perhatian bukan sedikit orang. Dari lobi, membawa ke lif, sampailah ke lantai dua, di mana AGM sedang berlangsung di Dermaga Hall.
Dia menolak pintu dewan tanpa rasa bersalah.

Automatik, suasana dewan, jadi sepi serta-merta. Raid bagaimanapun tak terkesan langsung walaupun hampir tiga puluh pasang mata sedang tertancap padanya. Yang muda memandang kagum. Yang tua memandang jengkel, apatah lagi ahli-ahli lembaga pengarah. Mereka berjalan keluar sambil menjeling geram pada Raid.

"Rupa macam tu nak jadi CEO? Memalukan aje!"

Raid dengar cemuhan itu tapi dia buat tak peduli. Terus duduk di kerusinya, selang beberapa buah dari kerusi Pengerusi Kumpulan Dermaga yang diduduki oleh Engku Marsitah.

"Meeting dah habis, you baru nak muncul? Elok sungguh attitude you!" sergah Engku Marsitah. Anak tak anak, perangai tak semenggah, memang kena sound!

"Sabar Engku..." Siti Aisyah mengurut-ngurut belakang bahu Engku Marsitah.

"Ini pun kira dah nasib baik Raid datang," bidas Raid dengan muka selamba.

"Buat apa datang sekarang? Patutnya you dengar apa yang ahli lembaga pengarah pertikaikan pasal you tadi. Mereka cabar you buktikan kemampuan you sebagai bakal CEO or else mereka akan desak bonda adakan pilihanraya untuk tentukan orang lain yang lebih layak."

"So, bonda pun setujulah?" Raid masih reaksi selamba.

"Habis, what do you expect me to do? Bangkang diorang? Macam tu?"

"Memang itu pun yang sepatutnya bonda buat as a chairman. Bukannya ikut telunjuk diorang!"

"Senang aje you cakap, Raid! You tak tau apa yang bonda lalui untuk pertahankan Dermaga?!" Engku Marsitah mula melenting.

“Bonda yang silap. Sepatutnya, sebagai chairman, bonda mengelola manusia bekerja dalam syarikat, bukan bisnes. Kalau orang yang bekerja dengan bonda, banyak yang tak betul, sebab itulah bisnes pun boleh huru-hara. A business that doesn’t turn a profit isn’t any good to anyone,” ungkap Raid dengan sinis.

Tiba-tiba Engku Marsitah bangkit dari kerusinya. “Baiklah... kalau Raid pandai sangat, cubalah majukan semula fast food business Dermaga yang tunggu masa aje nak tutup tu.

++++++++++++++++++

"Reɪd..." Suara Asyanur mengejek.

"Jangan panggil aku macam tu. It's R.A.I.D! Not reɪd, okay!" Raid malas senyum, pasang muka stone.

"Juna..."

Raid mula senyum secoet. Buat-buat tak dengar sebab nak dengar lagi namanya dipanggil begitu.

"Juna...! My Arjuna..." Suara Asyanur meleret.

Raid pejam mata, senyumnya kini bukan cuma secoet, tapi dah melebar sampai ke telinga. Cuma Asyanur... yang panggil dia Juna, kerana Asyanur adalah cahayanya.

Tapi bila Raid buka mata, Asyanur tiada di hadapan mata. Raid pejamkan semula matanya. Lelehan air jernih mencuri keluar dari tubir matanya.
last edited : 06/05/2015

===========================


So, macam mana dengan Raid versi di atas? Kalau tanya saya, rasa nak muntah bila baca balik sebab rasa cerita tak masak... mungkin ini hikmah peram sampai 6 tahun sebelum jumpa stroke yang sesuai untuk Raid Arjuna pada 2018... sampai plot utama pun diubah.

Sekian, terima kasih sudi baca entri panjang lebar ni.. <3 span="">


4 comments:

  1. Patut lah rasa macam lain ja

    ReplyDelete
  2. Haah...lain sgt..tp version skrg yg paling best...tapi malangnya novel yg sy beli hilang muka surat...dr ms408 trs jump ke ms441...sedihnya....huhu...

    ReplyDelete
    Replies
    1. alamak... beli kat mana yang? kalau kat kedai buku, rasanya masih boleh tukar asalkan ada resit...

      Delete

Rose Harissa® Registered under the provisions of the Trade Marks Act 1976 and the Trade Mark Regulations 1997 since 2016