Monday 11 February 2013

Kain putih!


Maria terkedu. Langkahnya yang tadi laju mahu menuju ke bilik asramanya, tiba-tiba terhenti. Dia meluaskan pendengaran, cuba mengamati suara yang baru didengarinya tadi. Sayup-sayup suara perempuan menangis. Maria menoleh jam di tangannya. Pukul 2.00 pagi. Siapa pula yang menangis waktu-waktu begini ketika penghuni asrama sedang tidur? Maria berpatah balik turun dari tangga. Suara itu datangnya dari bilik air yang di hujung blok.

Entah mengapa, Maria memberanikan diri pergi ke sana. Ketika semakin hampir, dia lihat lampu bilik air yang berkelip-kelip seolah-olah akan terpadam bila-bila masa sahaja. Suara tangisan itu semakin jelas. Maria melangkah masuk ke dalam bilik air. Di situ dia lihat ada seorang gadis sedang berdiri menyental sehelai kain putih yang bertompok-tompok kehitaman di tempat membasuh sambil menangis mengongoi-ngongoi.

“Dik… kenapa menangis ni?” tegur Maria. Tangisan gadis itu terhenti. Tapi dia tidak sedikitpun mahu berpaling memandang Maria. Sebaliknya makin kuat menyental kain putih.

“Takkanlah sebab tak dapat hilangkan kotoran pada kain tu, sampai menangis-nangis?” tanya Maria dalam nada bergurau.

“Kau tak tahu apa-apa, jangan sibuk!” bentak gadis itu sebelum semakin kuat menyental kain tersebut. Maria tersentak. Saat itu barulah terasa dirinya telah masuk campur urusan orang lain.

“Tak apalah. Maaf!” kata Maria sebelum berpaling dan keluar dari bilik air. Namun dia tidak menyedari, gadis itu melangkah keluar dan memerhatikannya dari muka pintu dengan wajah penuh kemarahan.

Selang beberapa hari kemudian, Maria sekali lagi dikejutkan dengan suara tangisan yang sama ketika pulang dari kerja shift malamnya. Dan sekali lagi Maria menghampiri bilik air berkenaan untuk memastikan apa yang didengarinya.

Gadis yang sama, menyental kain putih yang penuh dengan tompok-tompok kehitaman. Tetapi, gadis itu langsung tidak mahu mengangkat wajahnya apabila ditegur oleh Maria. Sebaliknya semakin kuat menangis dan menyental kain tersebut.

“Sudahlah tu dik… kenapa disental lagi, kalau kotor tu tak mahu hilang? Buang sajalah.” Kata Maria. Dia sendiri pelik melihat kesungguhan gadis itu menyental. Seolah-olah kain itu amat berharga buatnya.

“Benci!! Benci!!” tiba-tiba gadis itu menjerit. Terus meninggalkan kain tersebut di atas tempat membasuh. Ketika berpaling, Maria masih lagi tidak dapat melihat wajahnya, kerana dilindungi oleh rambutnya yang mengurai.

Gadis itu berlari masuk ke dalam salah satu bilik tandas. Terus diam tidak menangis lagi. Melihatkan keadaan yang sudah reda, Maria bercadang untuk meninggalkan sahaja bilik air tersebut, tambahan pula matanya sudah mengantuk yang amat sangat. 


Tetapi matanya terbelalak apabila melihat kain putih yang ditinggalkan di atas tempat membasuh. Bukan lagi bertompok-tompok hitam sebaliknya dicemari darah merah yang pekat. Menitis dari hujung kain ke lantai.

Maria terkesima. Selama ini gadis itu menyental kain berdarah ke? Maria berpaling ke arah bilik tandas yang dimasuki oleh gadis tadi. Tetapi sekali lagi Maria tersentap. Dari bawah pintu, dia lihat ada darah mengalir terus ke saluran air. Semakin lama semakin melimpah-limpah.

Maria menjerit ketakutan. Namun begitu hatinya ingin sekali memastikan keadaan gadis tersebut. Lalu Maria mengumpul semangat untuk membuka pintu. Menggeletar tangannya ketika menolak daun pintu. 


Sebaik sahaja pintu terbuka, Maria ternganga. Wajahnya berubah menjadi pucat lesi serta-merta. Menggigil tubuhnya. Di dalam bilik tandas itu, gadis tadi duduk di atas mangkuk tandas. 

Tetapi dalam keadaan tidak bernyawa. Mulutnya ternganga dengan mata terbelalak ke atas. Darah mengalir melalui pergelangan tangan kirinya yang terbelah. Juga dari celah kangkangnya. Dan anehnya, mukanya sudah kehijauan, seolah-olah sudah lama mati!


Maria merasakan lututnya lemah. Dia tidak berdaya langsung untuk melangkah meninggalkan bilik air. Ketakutan yang menguasai dirinya, membuatkan Maria longlai. Hanya terpaku memerhatikan fenomena mengerikan di depannya itu.

Namun satu lagi kejutan untuk Maria. Mayat gadis tadi tiba-tiba bergerak-gerak. Matanya berpusing-pusing sebelum tepat memandang Maria. Semakinlah Maria menggigil ketakutan. Gadis itu sudah bangun. Dari celah kangkangnya, kelihatan satu benda panjang seperti tali, berjuraian. Maria terpelangah. Itu tali pusat!

Dengan sisa semangat yang ada, Maria menggagahkan diri menapak ke belakang. Setapak dia berundur, setapak mayat gadis itu mendekat. Maria semakin tidak berdaya menghadapi situasi menakutkan itu. Suaranya tersekat-sekat.  

Maria terjelepuk jatuh di atas lantai. Ketika mayat gadis itu mahu memegang kakinya, barulah Maria dapat melepaskan jeritan sekuat hati. Selepas itu Maria tidak sedarkan diri lagi…

**************************
GONCANGAN kuat pada tubuhnya, membuatkan Maria segera membuka mata. Terpacul wajah Hanis, Siti dan beberapa lagi teman lain. Mereka semua mengelilingi Maria. Melihatkan bahawa dia selamat berada di bilik bersama rakan-rakan lain, Maria mengurut dada tanda lega walaupun sisa ketakutan masih ada di hatinya.

“Kami dengar kau menjerit tapi bila kami tengok, kau dah terbaring atas lantai. Cuba kau ceritakan pada kami, kenapa kau boleh pengsan dalam bilik air tu?” Hanis mula menyoal mewakili rakan-rakan lain.

Maria menarik nafas dalam-dalam sebelum memulakan cerita tentang apa yang dialaminya. Mereka semua kelihatan terperanjat mendengar cerita Maria yang menakutkan itu.

“Kalau macam tu, cerita tentang gadis tu betul-betul terjadi rupanya…” keluh Hanis seakan mengetahui cerita lain yang tersembunyi. 

Mereka semua berkerut memandang Hanis, meminta penjelasan lanjut. Seakan memahami keinginan di hati teman-temannya, Hanis mula membuka cerita.

“Ada orang cerita kat aku, bilik air tu berhantu. Tapi hantu tu akan ganggu lepas pukul 1.00 pagi. Dengar-dengar cerita, dekat asrama ni dulu, ada sorang gadis cantik, lemah lembut dan bertudung litup. Kira memang gadis baik la… dah tu jadi rebutan orang lelaki. Dia akhirnya couple dengan sorang mamat hensem ni. Tapi tak sampai lima bulan, diorang putus hubungan. 

Tak tahu apa sebab. Mamat tu tiba-tiba pindah ke lain. Yang gadis ni pulak, dah tak mahu bercampur gaul dengan orang lain.

Sampailah satu hari orang jumpa dia mati dalam bilik air tu. Rupa-rupanya dia mengandung. Sorang pun tak sedar dia mengandung selama ni. Sebab perut dia kecik. Dia terberanak dalam bilik. Sebab takut kawan dia balik dan nampak bayi tu, dia bungkus bayi dia dengan telekung sembahyang. 


Dia bawak bayi tu masuk bilik air. Bayi yang masih hidup tu, dia campak masuk dalam lubang tandas. Lepas tu, dia duduk atas mangkuk tandas tu dan bunuh diri dengan cara hiris pergelangan tangan dia.

Lepas orang jumpa mayat dia dan mayat bayi yang separuh tersangkut dalam mangkuk tandas tu, terus budak-budak asrama ni tak berani nak masuk tandas tu lepas pukul 1.00 pagi. Sebab waktu itulah dia mati. Ada orang yang tak tahu, terserempak dengan hantu dia tengah menyental kain telekung sembahyang tu. 


Aku rasa, kain putih yang kau nampak dia sental tu, kain telekung sembahyang yang dia buat balut bayi dia tu lah. Berdosa kan? Roh dia pun tak aman sampai sekarang…” Hanis mengakhiri cerita.

Masing-masing menelan air liur. Tetapi Maria yang terlebih takut kerana dia telah terserempak dengan hantu gadis itu. Patutlah hantu itu beriya-iya menyental kain putih sambil menangis. Rupa-rupanya terpalit ‘dosa’ nya pada kain suci itu.

Sekian…
Rose Harissa® Registered under the provisions of the Trade Marks Act 1976 and the Trade Mark Regulations 1997 since 2016