AKHIRNYA... genap seminggu Fandi lenyap macam ditelan bumi. Cuti hujung minggu aku yang biasanya dipenuhi dengan aktiviti dating + tengok wayang + ronda-ronda sampai ke malam, akhirnya berlalu dibawa angin!
Akibatnya, aku memulakan kerja pada hari Isnin dengan muka tonyok, bak kata mak! Buat kerja pun dengan mulut muncung. Nasib baik aku tak tergamak aje nak koyakkan pelan-pelan yang bersepah atas meja aku ni.
“Kau ni kenapa, Kris? Dah macam orang mati laki aje aku tengok... apa masalah kau?”
Entah bila masanya Mia muncul, aku pun tak sedar. Memang aku mengelamun lebih dari teliti pelan yang sepatutnya aku semak segala ukuran.
“Memang pun! Si Fandi dah hilang dari hidup aku! Aku dah tak tau nak buat apa. Takkan nak kena terjah kat ofis dia pulak?” Dengan Mia, aku memang tak segan silu kongsi cerita pasal boyfriend.
“Apalah tembe sangat kau ni? Facebook kan ada? Kau carilah Fandi kat situ!”
“Ah ah eh? Apsal aku tak terfikir dari dulu ha?”
“Sebab kau tembe! Loading slow la kau ni!”
Aku menyengir pada Mia sebelum capai Galaxy Note dan login facebook yang dah lama aku tak online. Sebab selalunya aku dengan Fandi lebih gemar berkomunikasi melalui Whatsapp.
Perkara pertama yang aku perasan, status ‘in relationship’ berubah tanpa ada gambar pasangan. Profile Fandi dah tak ada pada hujung ayat hubungan mesra tu! Aku terngadah.
“Hey! Takkan dia buang status kami?!” Aku nyaris berteriak. Usus dah terasa macam bersimpul. Cuak gila! Menggelabah aku taip nama Fandi dalam list friend tapi tak jumpa pun yang namanya Syed Affandi Syed Ahmad.
“Beb... aku rasa FB dia pun dah lesap ler!” Rupa-rupanya Mia pun tolong cari Fandi guna facebook dia, melalui handphonenya.
Aku dah rasa nak meraung! Mendadak rasa lemah lutut, perut rasa sebu. Kenapa jadi begini??? Nak kata Fandi ditelan bumi, kat Malaysia mana ada kejadian gempa, tanah merekah telan orang!
Terus aku logout. Laju aje jari aku tekan nama Fandi pada handphone. Tak sampai sesaat, suara seorang perempuan menjawab, buat aku ternganga dan tangan hampir terlepaskan handphone.
“Nombor yang anda dail, tiada dalam perkhidmatan...”
“Beb! Nombor dia pun dah tak ada!!!” Aku terjerit halus dan pekup muka dengan dua tangan di meja. Aku nak menangis, tapi kenapa macam tak ada airmata yang nak keluar?
“Kris… aku tau kau tak okey. Jom kita pergi makan! Lepas makan kita cari Black Forest Cheese nak?”
Bagi aku dan Mia, makan sedap-sedap, adalah salah satu cara melepaskan tekanan. Semerta aku bingkas, tangan dah capai handbag.
“Jom!” seru aku tak agak-agak. Untuk sementara waktu, permasalahan boyfriend perlu dilupakan!
________________________________________
WALAUPUN dah makan Black Forest Cheese berjuring-juring sebab nak hilangkan resah kononnya, tapi bohonglah kalau aku cakap tak penasaran memikirkan status hubungan aku dengan Fandi. Rasa macam digantung tak bertali aje. Keghaiban Fandi betul-betul menyita otak aku sampai tak mampu nak fikir benda lain.
Bila balik rumah, tengok mak tengah kemas baju masuk dalam bagasi, baru aku teringat yang mak dengan abah akan bertolak ke Mekah petang esok! Alahaii…
Dengan langkah gontai, aku mendekati mak. Belum pun aku cakap apa-apa, mak dah berbunyi.
“Hishh! Kau ni Kris! Mak dengan abah belum pun jejak kaki ke Mekah, kau dah tunjuk muka macam sayur lecur tu lagi. Ni tak lain tak bukan sebab si Fandi kan?”
“Memanglah sebab dia...” Hanya itu yang mampu aku ucapkan sebab aku dah rasa nak nangis. Perlahan-lahan, aku rebahkan kepala atas riba mak. Mak pun berhenti melipat baju dan mengeluh pandang aku.
“Kau jangan marahlah ye Kris, kalau kat Mekah nanti, mak nak doakan supaya kau putus dengan si Fandi tu!”
“Makkkk!!!” Aku terjerit kecil. Automatik empangan mata aku pecah, menumpahkan airmata yang tertahan sejak di pejabat tadi.
Aku mula teresak. “Mak ni… higgss… higgss… patutnya mak doakan… higgss… Kris bahagia… higgss…” Aku bercakap di sela-sela sedu-sedan. “Ini tak… higgss… doakan yang… higss… buruk-buruk pulak… higss! higgss...”
Bahu aku terhenjut-henjut. Aku kesat air mata dan hidung yang dah berair dengan hujung kain batik yang mak pakai.
“Iskkk! Kau kesat hingus kat kain mak?! Bertuah punya budak!” Mak cubit bahu aku. Nak tak nak aku tergelak juga dalam sendu. Mak geleng-gelang kepala pandang aku.
“Kau jangan salah faham pulak. Cuma mak yang tak berhati perut aje sanggup doakan yang buruk-buruk untuk anak dia. Mak nak doakan kau putus dengan si Fandi supaya kau dapat jodoh yang jauh lebih baik dari dia!”
Aku terdiam mendengar kata-kata mak itu. Sebenarnya hilang asa untuk mempertahankan Fandi. Sampai hati dia buat aku macam ni...!
“Kris... bila mak dengan abah kat Mekah nanti, kau jangan buat hal pulak. Mak dah pesan kat Adam dengan Mak Cik Ton supaya tengok-tengokkan kau...”
Bila dengar aje nama Adam disebut, terus aku bangun, tunjuk muka protes. “Mak! Orang bukan budak kecik tau, sampai mak suruh jiran sebelah tu tengok-tengokkan orang. Taulah orang jaga diri sendiri!”
“Yelah tu... selama ni, kalau aku ni tak masak, tak makanlah kau kat rumah ni...” Mak senyum mengejek.
“Ala... apa nak susah? KFC, McD, Pizza 24 jam kan ada?” Aku tak nak kalah.
“Kalau mak ni cakap, menjawab aje kerjanya. Dengan si Fandi tu tak nak pulak kau lawan-lawan. Bertegas sikit suruh dia masuk minang...”
“Heee... mak, itu dah macam terdesak sangat namanya. Orang ada pun ada maruah tau... itu dah macam pergi mencari timba pulak.”
“Kalau betul kau nak cakap pasal maruah, bila dia tinggalkan kau macam ni, tak payahlah kau beriya-iya buang airmata menangis bagai nak rak. Kau carilah orang lain. Kalau payah sangat nak cari ganti, tu ha… jiran sebelah rumah ada. Si Adam tu single and available!”
Mata aku membuntang pandang mak. Bukan terkejut dengar saranan mak tu, tapi terkejut dengar mak cakap omputih!
“Mak ni, sejak bila pandai cakap bahasa inggeris ni?”
“Sejak mak berkawan dengan mak cik Ton dan anak dia yang hensem tu!”
Mata aku mencerun pandang mak. Tak habis-habis puji Adam tu hensem! Okay, fine, sekarang aku kena admit memang Adam tu hensem. Tapi perlu ke mak puji sambil tunjuk muka bangga dengan kening terangkat sebelah tu? Heee...
“Ooo... kalau macam tu, sebenarnya mak taulah Adam tu kerja apa ya?”
“Tau... dia kerja dengan company omputih kat US tu... buat freelance...” Terang-terang mak mengaku!
Aku melotot. “Jadi, selama ni mak tau?”
Mak mengangguk. “Iyelah... kenapa?”
Aku pandang mak dengan hati mangkel. “Sampai hati mak berahsia dengan Kris pasal si Adam tu.”
“Laa... mak ingat kau tak minat nak tau pasal dia. Lagipun kau kan selalu kutuk-kutuk dia? Jadi, buat apalah mak bagitau kau apa yang mak tau pasal dia...”
Aku tau, mak sengaja sindir aku.
“Kau dah tau dia kerja apa ya? Kau dah baca dalam suratkhabar fasal dia ya?”
Aku tak jawab pertanyaan mak, cuma tunduk dengan muka terasa panas. Bera. Malu.
“Itulah... lain kali jangan cepat sangat buruk sangka kat orang. Jangan nilai orang dari luaran aje. Jangan kau ingat, dalam dunia ni, boyfriend kau aje yang sempurna... sampai kau pandang lekeh aje kat orang lain. Adam tu diam-diam ubi berisi! Lelaki macam dia tu yang elok dijadikan suami supaya dapat jaminkan kau masuk syurga!”
Ayat mak tu memang kasi melecur hati aku! Sungguhlah, Adam Putra Iskandar dalam diam dah memenangi hati mak dalam semua aspek kehidupan!
Tapi silap besarlah kalau dia ingat, dia juga mampu mempersonakan jiwa dan raga aku!