Thursday, 14 February 2013

Mandi dengan hantu?!

Ni cerita lama kat APO? tahun 2003... sajelah aku 'up' semula kat sini sebagai promosi, bagi sesiapa yang bosan baca cerita cinta aku, boleh cari Majalah APO? sebab sampai sekarang aku masih berkarya kat situ...

Cerita gabungan kisah benar masa kat asrama aku dulu dan imaginasi sendiri. 

Selamat membaca! (o⌒.⌒o)y


Bagi sesiapa yang pernah tinggal di sekolah berasrama, pasti ada menyimpan pengalaman aneh kan? Walaupun ada yang tak seseram mana, tetapi sedikit sebanyak boleh membuat bulu roma meremang. Begitu juga dengan diriku. 

Aku ditawarkan memasuki asrama di bawah program rancangan khas untuk pelajar-pelajar cemerlang UPSR. Walaupun sekolah tersebut terletak di kawasan luar bandar, tetapi untuk usia yang begitu muda, berada berjauhan dari keluarga membuatkan kami terasa bebas sepenuhnya.

Hari pertama berada di asrama, kami pelajar baru awal-awal diberi amaran agar menjaga kelakuan dan tidak terlalu bergembira untuk mengelakkan sesuatu yang tidak diingini berlaku pada malam hari. Tetapi kami mudah lupa dengan amaran tersebut. Berkenalan dengan kawan baru, membuatkan kami pelajar-pelajar tingkatan satu lupa diri!

Pada malamnya, aku tidak dapat tidur dengan lena. Terasa panas berkuwap. Selimut aku campak ke hujung kaki. Pelik juga, angin kedengaran berdesir di luar dorm, tetapi aku tetap rasa panas dan tidak selesa. Terkebil-kebil sendirian di dalam gelap. 

Tiba-tiba aku terdengar tingkap di kepala katil diketuk beberapa kali. Aku diamkan sahaja. Ketukan berulang lagi membuatkan aku bangun dan menyelak langsir di tingkap. Dengan bantuan cahaya lampu koridor di luar sana, aku dapati tiada sesiapa pun. 

Kemudian aku memerhatikan keadaan dorm yang panjang. Kesemua penghuni katil dua tingkat, kira-kira 15 buah kesemuanya, kelihatan tidur lena. Aku kemudiannya merebahkan badan. 

Baru aku berkira-kira untuk melelapkan mata, ketukan bertalu-talu di tingkap mengejutkan aku sekali lagi. Kali ini ketukan itu disertai dengan bisikan halus memanggil namaku. Bila aku bersuara bertanya siapa di luar sana, ketukan itu berhenti. Kemudian ia berulang lagi. 


Kali ini tanpa fikir panjang, aku mengambil keputusan untuk turun dari katil, lagipun suara halus berdesir itu mengamit-gamit aku untuk keluar dari dorm. Belum sempat  kaki aku mencecah lantai, terasa ianya dipegang dari bawah.

“Nak ke mana? Naik balik tidur!” Rupanya Kak Sue di tingkat bawah. Serta-merta aku bagaikan tersedar dari mimpi, naik semula ke katil dan terus tidur sampai ke pagi.

Esoknya barulah aku sedar bahawa ramai rakan baruku juga tidak dapat tidur dengan lena. Ada yang mengatakan katil mereka seperti digoncanglah, kaki mereka di tariklah, dan macam-macam lagi.

“Itulah, kitorang cakap, tak nak dengar. Kan dah kena ‘kacau’! Degil lagi…!” Kak Sue terus membuka cerita misteri pasal sekolah dan asrama itu satu persatu. Kata Kak Sue, nasib baik dia tersedar aku turun dari katil malam tadi, kalau tidak entah ke mana aku akan pergi mengikut suara tersebut. 

Sekolah dan asrama yang kami huni itu di kelilingi pohon ara yang sangat besar di setiap empat penjuru. Dan kolah air tempat kami mandi manda selain dari bilik air asrama, terletak di hujung padang berhampiran dengan pohon ara ke tiga. Oleh itu setiap subuh, kami beramai-ramai akan berduyun-duyun turun ke kolah tersebut bilamana bilik air penuh dengan penghuni lain. 

Mandilah kami di dalam gelap hanya dengan bantuan cahaya bulan kerana bekalan elektrik ke kawasan tersebut kerap kali terputus. Itupun hanya ada dua lampu kalimantang sahaja. Tetapi aku tidak pernah merungut. Aku lebih suka mandi di kolah kerana kawasannya lebih luas, banyak paip dan boleh berkongsi beramai-ramai untuk satu paip jika keadaan sesak. 

Walau bagaimanapun jarang sekali ada yang mandi menjelang maghrib melainkan beramai-ramai. Pohon ara yang merendang itu cukup menimbulkan pemandangan yang agak menyeramkan bila hari semakin gelap. Kata para senior pokok ara itu jadikan sebagai ‘pagar pertahanan’ askar-askar jepun yang berkubu di kawasan tersebut suatu ketika dahulu.

Beberapa bulan menghuni asrama tersebut, aku sudah lali dengan kejadian-kejadian histeria. Ianya seperti sudah menjadi lumrah. Sesiapa yang lemah semangat, mudah sahaja ‘dijangkiti’. Bila kejadian tersebut berlaku, aku akan berusaha menjauhkan diri. Pergi ke perpustakaan dan sebagainya, janji aku berada jauh dari mereka yang ‘tersampuk’.

Ketahanan dan keberanian aku akhirnya benar-benar teruji pada suatu hari. Aku jenis agak liat untuk bangun pagi, jadi aku akan berpesan pada kawan-kawan mahupun senior supaya mengejutkan aku ketika mereka ingin mandi pagi. 

Suatu hari aku sengaja tidur di tingkat bawah, katil Kak Sue. Katanya dia nak ke dorm rakannya mengulang kaji pelajaran. Jadi dia membenarkan aku tidur di katilnya. Aku berpesan padanya supaya mengejutkan aku dari tidur jika dia pulang nanti. Seronok betul aku dapat tidur di katil bawah. Terasa lebih ‘selamat’ dan tidak ‘terdedah’. 

Entah pukul berapa, aku tersedar dari tidur, dikejutkan oleh seseorang. Dengan mata yang masih kabur-kabur, aku lihat Kak Sue berdiri tegak di tepi katil. Dia diam memerhatikan aku.

“Eh? Kak Sue? Bila balik? Dah lama ke Kak Sue kejut saya?” Aku terpisat-pisat bangun. 

Kak Sue cuma senyum sahaja.

“Kak Sue nak mandi ni... Nak ikut tak?” tanya Kak Sue sambil mengeluarkan baldi dari bawah katil.

“Dah pukul berapa Kak Sue? Kenapa diorang tak bangun lagi?” aku bertanya bila mendapati Kak Zila di katil sebelah masih lena. Begitu juga dengan rakanku yang lain.

“Takpelah kita mandi awal sikit. Temankan Kak Sue, jom! Nanti takdelah berebut-rebut…” 

Aku menurut sahaja dengan cadangan Kak Sue. Walau mata masih mengantuk, aku mengekori Kak Sue berjalan menuju ke kolah. Suasana masih gelap pekat. Dari jauh aku lihat lampu kalimantang di kolah sekejap terpadam sekejap kembali menyala.

“ Ala.. Kak Sue.. lupa bawak lilin la…” Aku menjerit pada Kak Sue yang berjalan agak jauh di hadapan.

“Takpe la.. bukannya lama pun. Sekejap je…” jawab Kak Sue tanpa menoleh.

Aku pun akur sahaja. Aku biarkan Kak Sue berjalan di hadapan. Malas aku nak menyainginya. Ketika memasuki ruang kolah, lampu kalimantang terus terpadam. Aku menyumpah di dalam hati. Aku hanya mandi dengan sebaldi air sahaja. Tak tahan dengan sejuk, aku terus bersiap-siap. Kak Sue masih lagi mandi. 

Aku menunggu di tepi tempat membasuh pakaian. Pelik betul dengan Kak Sue ni, boleh dia tahan mandi lama-lama pepagi buta camni. Aku bersuara dalam hati sambil terus memerhatikan Kak Sue. 

“Kak Sue..! Lambat lagi ke? Saya dah sejuk ni…” aku memanggil, tetapi Kak Sue tidak menghiraukan. Terus menyimbah air ke badannya tanpa henti. 

Walaupun aku melihat Kak Sue dari sisi, aku lihat dia tersenyum. Ketika itulah aku mula berasa tidak sedap hati. Bulu tengkuk tiba-tiba meremang. Aku menggigil menahan kesejukan bila tiba-tiba sahaja angin berhembus perlahan. Terasa menyusuk hingga ke tulang.

Kak Sue bangun mengelap badannya. Aku masih memerhatikan dia menukar pakaian. Dalam keadaan suram-suram itu, aku lihat kak Sue menyarung baju labuh berwarna putih. Sewaktu Kak Sue meleraikan sanggulnya, aku tersentak. Setahu aku rambut Kak Sue hanya separas bahu. Tetapi sekarang hampir mencecah lantai! 

Kali ini aku betul-betul merasakan ada sesuatu yang tidak kena. Sebelum Kak Sue berpaling, aku capai baldi dan cuba berlari sekuat hati. Setiap langkah aku rasakan begitu berat. 

Aku menoleh dan mendapati Kak Sue masih mengekori di belakang. Melayang-layang! Barulah aku berasa takut yang amat sangat. Sambil berlari aku cuba menjerit meminta tolong tetapi suaraku tidak keluar. 

Bersusah payah aku berlari, akhirnya sampai jua ke dorm. Belum sempat aku mengejutkan Kak Miza yang tidur di katil berhampiran pintu, pandanganku terasa kabur dan terus rebah.

Sebaik sedar, aku terjerit bila melihat Kak Sue berada di sebelah. Aku dikerumuni oleh penghuni dorm.

“Apa dah jadi ni? Kak Miza sedar Ju pengsan tepi katil Kak Miza. Ju pergi mana dengan baldi pagi-pagi buta semalam. Pukul 2.30 pagi tau!” 

Aku terkejut mendengar kata-kata Kak Miza. Lalu aku ceritakan segalanya. Kak Sue kelihatan terkejut yang amat sangat.

“Ya..Allah.. nasib baiklah tak jadi apa-apa kat Ju. Kak Sue tak balik dorm pun semalam. Kak Sue tengok jam dah dekat 2.30 pagi, takut la pulak nak jalan balik sorang-sorang. Kak Sue tidur dekat dorm kawan semalam…” 

Aku cuma mampu menelan air liur mendengar penjelasan Kak Sue. Teringat peristiwa semalam. Mandi di kolah jam 2.30 pagi! Dengan hantu??? 

Tiba-tiba aje aku rasakan badan aku seram sejuk dan lemah. Seterusnya aku demam seminggu!

Oleh: NORA
Rose Harissa® Registered under the provisions of the Trade Marks Act 1976 and the Trade Mark Regulations 1997 since 2016