LEPAS pada aku dapat coklat mahal banyak-banyak dari Adam—yang akhirnya aku tak makan langsung—terus aku tak nampak dia lagi dah. Chevy Cruze dia yang cun tu pun ghaib dari porch.
Ke mana pulak dia pergi eh?
Aku tertinjau-tinjau jugak, kut-kut nampak kelibat Mak cik Ton ke. Tapi rumah sebelah tu macam tak ada penghuni pulak! Pintu tingkap semua tertutup.
“Kau jenguk apa tu?”
Mak bertanya bila tengok aku terjenguk-jenguk ke rumah sebelah waktu nak masuk kereta. Aku pun malas berpura-pura lagi. Malu bertanya sesat jalan, kan?
“Mana orang rumah sebelah ni pergi, mak? Sunyi sepi aje.Dah pindah ke?”
“Mak cik Ton duduk rumah anak sulung dia kat Putrajaya sebab Adam sekarang kat US!”
“Hah?!” Aku tak dapat menahan mulut dari terlopong. “Dia buat apa pergi US?”
“Entah… mak tak sempat pulak nak tanya. Adam pun tak cerita. Kau sibuk kenapa? Selama ni tak pernah nak bertanya pasal dia pun?”
“Ala… mak ni… orang tanya aje. Mak tu, percaya sangatlah Adam tu pergi US. Entah-entah nak pergi Singapore pun tak lepas!”
“Jangan cepat sangat nak buruk sangka kat orang kalau kau tak kenal dia…” Mak memberi sebuah pesan, siap dengan kerlingan mata tanda tak senang.
Yelah… Adam kan kesayangan mak…
Aku pun tak sanggup nak bertekak dengan mak. Kang terbabas pulak tengah jalan akibat dah kecikkan hati mak!
Sampai ke pejabat, aku masih tak habis fikir betul ke Adam sekarang kat US? Kalau betul? Dia buat apa kat sana? Takkan makan angin kut? Mustahil penganggur kehormat macam dia mampu makan angin kat oversea! Aku yang bercita-cita nak pergi New Zealand ni pun fikir panjang.
Dek kerana iseng, tangan aku gatal pulak capai handphone dan taip satu mesej untuk Adam. Terus tanya direct to the point. Tiada basa-basi dalam kamus hidupku!
Awak kat mana sekarang ni?
Send. Tapi aku harus menunggu 10 minit sebelum dapat balasan yang buat aku rasa nak hantuk kepala ke dinding.
-Eh? Awak salah hantar SMS ke? Saya Adam Putra Iskandar, tau. Bukan Fandi :)=
Siap ada ikon smiley berjanggut pulak! Memang bajek suci sungguh!
-Ya! Saya tahu! Saya tengok rumah awak kosong. Sajelah nak tau awak ke mana. Tak boleh?
-Boleh... tapi saya kat San Diego sekarang ni...
Aku baca mesej itu dengan dahi berkerut. San Diego tu kan antara lapan buah Bandar terbesar kat US... ke dia dah siap-siap google peta semata-mata nak kenakan aku?
Bohong! Kalau betul awak kat situ, macam mana boleh SMS saya pulak?
Roaming lah, dear! Habislah kredit awak! :)=
Ceh! Apa dia fikir aku ni sengkek sangat ke pakai handphone mahal tapi guna prepaid! Suka buat aku bengkak hatilah si Adam ni! Memang nak kena...
Selagi tak ada bukti, saya tak percaya! Hantar gambar! Sekarang!
Entah angin gedik mana datang cuit hati aku, mintak gambar dengan Adam. Tapi sebenarnya nak test tengok samada dia jantan gatal ke tak? :)
Baik. Tunggu ya... :)=
Huh! Memang gatal jugak dia! Aku tak balas, tapi sabar menunggu supaya nampak macam tak beriya sangat, kan? Lebih kurang 15 minit kemudian, satu notification MMS masuk. Aku dengan tak sabar terus buka, nak tengok gambar Adam kat US! Tapi...ceh!
Satu gambar pemandangan waktu malam. Dari tepi gambar tu keluar satu tangan kanan, tunjuk peace! Jari panjang berurat dan putih bersih milik Adam! Caption pada gambar tu tertulis: @San Diego Downtown.
Aku tak terkata. Rasa geram ada, rasa terkena pun ada. Sakit hati punya pasal, aku hantar SMS lagi.
Bohong! Awak tempek gambar tgn awak kat gambar google dari internet kan?
Up to you, dear. Sorry, saya tak suka camwhore muka sendiri! Saya nak tido dah mengantuk giler sebab kat sini malam. Salam...
Aduilaaa... Rasa macam terkena sebijik kat muka aku. Sebab aku pun jenis suka tangkap gambar sendiri yang orang duk sebut dengan istilah camwhore tu. Bunyinya pun sangat tak molek! Tapi itulah yang selalu aku buat, letak jadi gambar profile kat facebook! Iskkk... Adam ni memanglah buat rasa ditusuk sembilu aje.
Terus aku segan sendiri nak balas SMS tu. Tapi, baru aje letak handphone, Mia tiba-tiba datang terkocoh-kocoh sambil bawa akhbar.
“Kris! Kris! Guy next door kau tu nama penuh dia Adam Putra Iskandar bin Haji Ismail, kan?” tanya Mia dengan gaya paling kalut pernah aku tengok dari dia. Mia tarik kerusi dan duduk depan meja aku.
Aku pandang Mia dengan pelik. Memanglah aku pernah bagitau nama penuh Adam kat Mia tapi kenapa tiba-tiba hari ni dia tanya lagi?
“Ha ah... kenapa? Kau nak mengorat dia?”
Mia tak mengendahkan tapi terus hamparkan akhbar itu depan aku. “Ni... kau tengok ni! Ini ke guy next door yang kau cakap tu?”
Terus aku tunduk tengok gambar yang ditunjuk oleh jari telunjuk bunting serai milik Mia. Tak semena-mena mata aku melebar bila terpandang gambar jejaka yang sedang senyum menawan depan iMac 27”.
Aku pandang Mia sambil mengangguk tapi dengan muka tak percaya. Mata Mia ikut melebar tapi dengan muka teruja sangat-sangat!
“Goshhh! Giler hensem guy next door tu rupanya! Jawline dia seksi giler, beb! Mata dia redupnya, O.M.G! Huih, kalau berdepan dengan dia, mesti rasa blush bila kena tenung dengan dia kan?” seru Mia, riuh macam burung murai terjerat dalam sangkar.
Mia cuba menarik kembali akhbar tersebut. Tapi aku lebih pantas menahan sebab tergamam bila baca tajuk besar-besar pada cerita dua mukasurat itu.
Anak Malaysia Berbakat Antarabangsa!
Mak aiii! Tajuk bukan main lagi! Sambil menelan air liur penuh kepayahan, aku terus baca isi ceritanya.
Berkelulusan Bcs. Media Arts & Animation dari The Art Institute of California-San Diego, Adam Putra Iskandar bin Haji Ismail yang lebih mesra dipanggil Adam, pernah mengukir nama di peringkat antarabangsa sebagai penulis dan komik artis. Bagi kalangan penggemar komik antarabangsa, Adam dikenali melalui lukisan digitalnya yang sangat terperinci.
Malah, hasil kerja Adam pernah diiktiraf dalam Comic-Con International yang berlangsung setiap tahun di San Diego Convention Center, ketika masih menuntut di sana.
Ketika ditemui di kediamannya baru-baru ini, anak muda berusia 29 tahun ini, dalam senyum malunya mengakui bakal berlepas ke San Diego hujung bulan ini, bagi menerima anugerah Eisner bagi kategori Best Cover Artist buat kali ketiga.
Kata Adam, anugerah itu diterimanya bagi kulit depan komik Dark World yang diterbitkan sekitar Mac di San Diego tahun sudah. Bahkan beliau sendiri tidak menyangka masih diiktiraf menerima anugerah itu lagi biarpun sekarang hanya bekerja secara bebas dari Malaysia, setelah mengambil keputusan kembali ke tanahair lima tahun yang lalu.
Menurut Adam lagi, dia mengorbankan kerjaya di San Diego demi arwah ayah dan ibunya.
“Arwah ayah meninggal dunia selepas lima hari kepulangan saya. Saya akui, agak menyesal kerana tidak pulang setelah menamatkan pengajian kerana terus diambil bekerja dengan Dark Comics Lte.”
Aku tutup akhbar itu. Tak sanggup nak baca dan tengok hasil kerja mengagumkan ‘guy next door’ itu termasuk aksinya sedang tekun melukis cover menggunakan Wacom Cintiq bersaiz 24”. Gilerr!! Mamat tu advanced dalam diam rupanya.
Lagipun ada satu gambar close-up Adam buat aku rasa macam makin lama tengok, rasa macam terjatuh hati! Seriously... gambar dia yang itu, buat aku rasa segan nak tenung lama-lama sebab rasa macam dia tengah pandang aku! Haa... statement perasan apakah ini?
Aku pandang Mia tapi otak aku berkecamuk sendiri, masih ada rasa tak percaya bercampur terkejut.
Jadi betullah Adam sekarang ni kat San Diego! Jadi betullah kata mak, “Jangan cepat sangat nak buruk sangka kat orang kalau kau tak kenal dia…” Maknanya selama lima tahun ni, Adam bukan suka-suka duduk memerap kat rumah. Alahaiii...
Aku bertambah malu sendiri. Tak sangka jiran sebelah yang selama ni aku pandang rendah, dah lama buat nama kat oversea! Iskk… manalah aku nak sorok muka ni!
“Kalaulah aku tau, Adam Putra Iskandar ni hensem, sehensem nama dia... dah lama aku bertenggek kat rumah kau tau! Bodohlah kau tak peduli!”
Suara Mia, diikuti dengan tangannya menarik akhbar, mengembalikan aku ke alam nyata.
“Amboi? Mulut! Sedap aje cakap aku bodoh!”
“Okey, kau tak bodoh tapi rabun! Boleh?”
Aku merengus! Peluk tubuh dan tarik muka masam. Sebenarnya bukanlah marah sangat pada kutukan si Mia tu. Selain dengan mak, aku pun dah biasa bergurau kasar dengan Mia. Memang masing-masing tak pernah simpan dalam hati pun. Yelah, bukannya budak sekolah lagi nak merajuk-rajuk bergaduh sampai tak bertegur sapa.
Cuma aku macam terkena satu tamparan hebat dek penyiaran artikel dan paparan gambar-gambar pasal Adam tu! Semua tu bukti nyata bahawasanya mamat bajek suci tu bukan duduk goyang kaki aje kat rumah! Ohh…!
“Eh? Dia dah ada awek belum?” tanya Mia lagi dengan muka teruja.
“Aku tak jaga tepi kain pelekat dia, okey!” getus aku. Tiba-tiba rasa nak marah tak menentu.
“Takpe... kalau dah sampai masuk suratkhabar tu... mesti Adam ni sebenarnya glamer giler tapi kau aje yang tak tau sebab kat mata kau cuma ada Fandi. Takpe... aku akan google, cari tahu siapakah gerangannya si Adam yang berwajah menawan ini! Hahaha!”
Sungguhlah... cara gelak Mia tu macam gelak perempuan sihir nak mandrem putera raja aje. Hissh!
“Huh! Tak sedar diri! Kau tu dah ada boyfriendlah weh!” Aku ketuk-ketuk permukaan meja dekat. Sebenarnya nak ketuk kepala Mia tapi tangan tak sampai.
“So, what? Berkasih biar satu, berkawan biar seribu, Cik Kris oiii… bukan macam kau! Tunggulah si Fandi tu macam bulan tak jatuh-jatuh ke riba!”
Aku mencebik tapi tak terjawab. Mia siap mengeluarkan HTC Flyer dari saku blazernya. Minah tu mana boleh berenggang dengan Flyer tu. Twitter dan FB maniac! Sakit perut sebab terlebih hirup kuah tomyam pun nak twit! Tak tahu jaga privasi langsung!
“Yess!” Mia terjerit girang sambil menumbuk udara! “Aku dah jumpa facebook dia! Aku nak add dia!” Mia terus bangun dan melenggang pergi.
Aku tercengang. Macam tak percaya, sepantas itu tindakan Mia. Betul ke dia dah jumpa facebook Adam? Tindakan di luar kesedaran, tangan aku terus tekan mouse dan klik keluar window Mozilla Firefox. Aku terus taip, Adam Putra Iskandar Facebook! Ada beberapa nama dengan gabungan Adam, Putra, Iskandar. Tapi aku dengan yakin, tuju pada:
Adam Putra Iskandar Ismail Profiles| Facebook
Terus keluar satu profile dengan gambar yang sangat familiar. Gambar San Diego Down bersama satu tangan menyelit tunjuk peace! Gambar sama yang baru aje dia hantar kat aku. Sah! Confirm tu Adam si guy next door! Tapi aku tak boleh nak tengok wall dia.
Completely private! Ceh!
Completely private! Ceh!