Thursday, 18 February 2010

Wasilah Cinta Weera

*klik cover untuk baca blurb
RM 20 / RM 23
(Sabah & Sarawak),
Tarikh Terbit: 15 February 2010 ;
Jumlah Muka Surat : 616 halaman
____________________________

Sari Ayu tergamam. Kalaulah tangan Weera singgah ke pipinya tadi… Tetapi sungguhlah, Weera begitu mendengar kata Ray. Spontan dia menjatuhkan tangan, menjauhi Sari Ayu. Menjatuhkan dirinya ke sofa dengan kasar. Matanya yang tadi berbinar bahagia berubah menjadi suram, sesuram parasnya. Senyum riang sudah lenyap dari bibirnya. Mulutnya terus terkunci. Tuduhan Sari Ayu, seperti pisau tajam merobek hatinya sampai berdarah. Kata-kata Sari Ayu sangat tidak wajar. Sangat menghina lagi menyakitkan!

“Ada apa lagi Ayu? Kenapa tuduh kami seperti itu?” tanya Ray dengan datar.

“Ayu sudah berjumpa dengan ayah Wee. Ayah sendiri kata Wee gay!” Sari Ayu membongkar cerita. Sudah tidak ada gunanya lagi berahsia. Biar Weera tahu dia ke Perlis dengan agenda serampang dua mata.

“Jadi Ayu ke Perlis untuk berjumpa ayah Wee? Bukan ke pesta buku?” sergah Ray sengit, mewakili Weera. Dia dapat merasakan betapa sakitnya hati Weera ketika ini.

Tanpa dapat mengawal perasaannya lagi, Sari Ayu terus memuntahkan segalanya, “Ayu memang ke Pesta Buku tapi Ayu juga ambil kesempatan untuk cari ayah Wee. Ayu mahu tahu sendiri apa cerita sebenarnya, kenapa Wee tidak pernah ceritakan kepada Ayu tentang keluarga Wee. Ayu tidak sangka Wee sanggup tinggalkan ayah Wee hanya kerana Ray! 15 tahun! Ayu memang tidak mahu percaya cakap ayah bahawa Wee adalah gay. Tapi lihatlah… sekarang, Wee dan Ray berduaan dalam rumah ini ketika Ayu tidak ada. Agaknya kalau Ayu tidak balik malam ini, entah apa yang Wee dan Ray akan buat! Ayah Wee sendiri kata Wee seorang gay! Jadi Ayu mahu percaya pada siapa lagi?”

Tubuh badan Weera menggeletar. Tidak pernah dia merasa hina seperti ini. Kalau orang lain yang berbicara begitu, dia masih boleh terima. Tetapi sekarang ini, Sari Ayu, isterinya sendiri. Dengan bingkas, dia berdiri.

“Dia ayah yang tidak berguna!!!” teriak Weera sekuat hati. Lantang. Meledakkan seluruh isi kemarahannya. Dadanya turun naik mengatur nafas kencang.

Sari Ayu bungkam. Hampir tidak percaya mendengar Weera berteriak sedemikan rupa. Tiba-tiba dia berasa takut melihat muka Weera merah padam, memadangnya dengan sorot mata tersadur kebencian. Ray pantas menenangkan Weera. Meminta Weera bersabar. Sari Ayu lihat mulut Ray terkumat-kamit membacakan sesuatu ke telinga Weera. ‘Baca jampi supaya Weera ikut cakapnya?’ Sari Ayu menuduh di dalam hati.

Padahal Ray membacakan surah Toha ayat 1 hingga 6. Kemudian dia meniup kepada ubun-ubun Weera sebanyak tiga kali. Sebagai jalan meredakan kemarahan Weera. Tangannya mengusap perlahan belakang badan Weera.

“Kenapa mesti hati kamu mudah goyah Ayu? Tidak bolehkah kamu simpan walau secebis kepercayaan untuk aku, suami kamu sendiri? Apakah kamu tidak benar-benar menerima aku sebagai suami kamu?” soal Weera menahan kesal.

Sari Ayu terbata-bata. Gugup mendengar soalan Weera.

“Aku sudah tidak boleh berbuat apa lagi untuk kamu Ayu,” kata Weera muram setelah berjaya meredakan sedikit kemarahannya. “Warna-warna syaitan sudah menutup pandangan mata hati kamu. Mula-mula ditiupkan waswas ke dalam hati kamu, kemudian dibentuknya sangkaan-sangkaan yang menutup kebenaran. Sampai kamu pun menurut sangkaan dengan meyakini bahawa apa yang dituruti itu adalah kebenaran. Penglihatan kamu rupanya tidak sampai kepada roh aku.”

Kata-kata itu berbisa, penuh makna, halus menusuk ke hati Sari Ayu. Ada getaran ketakutan tertalun di hati ketika pandangannya bertaut dengan mata Weera. Pandangan Weera bening. Weera kemudiannya keluar dari rumah tanpa mengucapkan apa-apa pun. Ray terburu-buru mengejar.

“Wee! Tunggu!” Ray cuba menahan. Tetapi jangankan menyahut, Weera menoleh pun tidak. Langkahnya kelihatan linglung.

“Semoga ALLAH merahmati kamu, Ayu!” ucap Ray. Nadanya kedengaran keras. Mukanya sudah tidak manis lagi.

Sari Ayu hanya mendengar bunyi pintu berdentum ditutup. Kemudian, suasana mendadak jadi sunyi. Sepi. Sesepi hatinya ketika ini. Perlahan-lahan Sari Ayu melurut ke lantai. Seakan baru tersedar, dia sudah hanyut oleh hasutan syaitan. Terlupa cerita mak cik Asmah tentang penderaan yang berlaku terhadap Weera ketika kecil. Hanya kerana sebaris ayat, ‘Suami kamu itu gay!’ yang keluar dari mulut Tajul Arifin, telah melucutkan seluruh kepercayaan Sari Ayu terhadap suaminya sendiri.

“Tuhan, tolong aku…” desis Sari Ayu dengan penuh rasa bersalah.

******************************

SARI AYU meluru mendapatkan Weera yang baru turun dari kereta. Ada sesuatu yang ingin disampaikan. Tetapi apabila melihat raut wajah Weera agak keruh, dia jadi ragu-ragu mahu memperkatakannya. Takut mengganggu emosi Weera.

“Ada apa Ayu?” tanya Weera sudah dapat membaca riak muka Sari Ayu.
“Errr…” Sari Ayu menggaru-garu hujung kening. Serba salah.
“Cakap sajalah… kenapa Ayu macam takut-takut pula?” Weera melunakkan suara, melingkarkan tangan ke bahu Sari Ayu. Roman wajahnya dimaniskan walaupun fikirannya sedang berserabut benar. Tidak sampai hati melihat Sari Ayu seperti tidak berani memandangnya.

“Ray… dia…” Sari Ayu masih tidak sanggup mengatakan hal yang sebenar.
“Kenapa dengan Ray? Mana dia?” gesa Weera cemas. Terus membalikkan tubuh Sari Ayu supaya menghadapnya.

Sambil mendongak, Sari Ayu memberanikan diri bertentang mata dengan Weera. “Wee… Ray… dia… Ayu rasa dia sudah tidak mampu mengawal pundi kencingnya.”

“Apa?!” Weera kebingungan.
“Tadi dia terkencing di atas kerusi roda,” lanjut Sari Ayu, runsing.

Weera terngadah. Memandang Sari Ayu dengan mata membulat tetapi tidak mampu untuk berkata-kata. Sangat terkejut menerima berita itu.

Sari Ayu tahu Weera terkejut. Dan dia berkata, “Wee… Ayu tidak kisah membersihkan kencingnya. Ayu tidak kisah menjaga Ray sementara Wee pergi kerja. Cuma yang membuatkan Ayu serba salah, sebab dia bukan mahram. Ada batasnya untuk Ayu menyentuh dan melihat aurat dia bukan? Bagaimana Ayu mahu menukarkan seluarnya? Tadi pun sudah darurat, Ayu terpaksa papah dia masuk ke dalam bilik air. Ayu tahu Ray malu. Ayu hanya mampu heret dia masuk ke dalam bilik air, tunggu dia bersihkan dan pakai sendiri kain. Kemudian…”

Jari telunjuk Weera melekap di bibir Sari Ayu sebelum sempat dia menghabiskan ceritanya. Weera mengerti kegusaran Sari Ayu. Lantas dia memeluk Sari Ayu. Mencium kepala Sari Ayu yang masih lengkap bertudung sebagai tanda terima kasih. Sari Ayu yang patuh, tidak merungut apabila terpaksa bertudung sepanjang hari kerana menemani Ray sementara dia ke pejabat. Pengorbanan Sari Ayu amat bermakna buat Weera.

“Maafkan aku kerana sudah melibatkan Ayu dalam hal ini. Maaf kerana sudah menyusahkan Ayu,” kata Weera hiba. Hiba kerana Sari Ayu sanggup bersusah payah. Hiba kerana penyakit Ray sudah semakin kronik.

Bersama muka mencemik menahan kesedihan, Sari Ayu berkata lagi, “Tidak mengapa Wee. Bukankah Wee suami Ayu? Ayu buat semua ini kerana mahu menolong Wee. Marilah kita tengok Ray. Tadi selepas baringkan Ray di atas katil, Ayu lihat dia muram. Dia minta Ayu keluar tinggalkan dia sendiri.”

Weera mengangguk lalu beriringan masuk ke dalam rumah. Terus menuju ke bilik Ray di tingkat bawah. Apabila masuk, ada satu bau menguar menusuk ke hidung. Weera sudah boleh meneka bau apakah itu. Apatah lagi bila dia melihat Ray sedang menangis.

“Ray…” Weera menyeru seraya mendekati Ray. Senyum memandang Ray.

“Wee… aku…” Ray tidak sanggup untuk meneruskan kata. Perasaan malu begitu menguasai dirinya kini. Penyakitnya semakin parah. Malah dia tahu penyakit itu bakal membawa kematian kepadanya. Sungguhpun dia tidak pernah mengangankan kematian kerana itu tidak dibenarkan dalam Islam tetapi dia sering berdoa, yang bermaksud: Ya ALLAH hidupkanlah aku jika kehidupan lebih baik bagiku, matikanlah aku jika kematian lebih baik bagiku."

“Kamu buang air besar ya?” Weera masih tersenyum. Tidak mahu Ray berasa malu dengannya. Mengerti bahawa bukannya Ray sengaja.

Ray tidak menyahut. Hanya mampu mengalirkan airmata menangisi dirinya yang sudah tidak berupaya lagi. Menyesali dirinya yang betul-betul sudah menyusahkan Weera dan Sari Ayu. Weera membongkok, bersedia untuk mencempung tubuh Ray. Dengan lafaz Bismillah, mudah sahaja Ray diangkatnya kerana semenjak sakit, tubuh Ray semakin kurus. Weera segera membawa Ray masuk ke bilik air.

“Ayu… tolong ambilkan tuala, baju dan seluar untuk Ray ya?” pinta Weera.

Sari Ayu menurut. Dalam hatinya menyimpan rasa keharuan, betapa Weera sanggup mencuci najis Ray dan memandikannya. Selepas menghulurkan keperluan yang dipinta Weera, Sari Ayu menarik cadar katil Ray. Digantikan dengan yang baru.


__________________________________________

Ini adalah sedikit sedutan dari novel terbaru aku, WASILAH CINTA WEERA. Akan masuk stor PTS pada hujung bulan ini. Dan belum ada di Toko Buku Che' Rose. Bila dah ada stok nanti, aku maklumkan di sini...Insya ALLAH Taala...

18 comments:

  1. perghhh che rose.. dasatlah!!!
    hehehe cara depa buleh buat org salah sangka kot hhehehe

    ReplyDelete
  2. Tahniah..!!
    Makin berjaya incik nan seorang ni... Tak sia-sia gua pasang telinga dengar dia bergosip... Hahahaa..!!

    ReplyDelete
  3. Tahniah kak..kalu beli masa pesta buku..blh dapat autograf kan :)

    ReplyDelete
  4. Wah..tahniah...buku baru nk masuk 'pasaran'..heheheh.. kene cari ni. Sume koleksi buku akak org ade..:-) I like your story...:-)

    ReplyDelete
  5. Kakkk Rose. Heheh. Congrats for novel baruu! Sabtu ni amni carik jugak sampai dapat. :D

    ReplyDelete
  6. kak nik:
    memang tu yang saya nak... buat orang salah faham dan insaf akhirnya kerana menuduh mereka yang bukan2... heheh

    cerpelai:
    ciss... statement ko... menampakkan sangat ahkak ni suka ngat bergosip inul... hahahha..neway, tengkyu!

    Arween:
    Mekasih Ween... Insya ALLAH Taala... kalo akak berkesempatan ke PBAKL tahun ni... ada la tt akak n bookmark x seberapa itu...

    Ilyah:
    mekasih gak Ilyah...harap WCW ni pun Ilyah akan suka...

    Amni:
    tengkyu laling... gi cari kat depoh PTS... tentu dapat diskaun hebat... heheh

    ReplyDelete
  7. salam kak rose,

    tak sabar nak tunggu novel ni kluar alahaiiii teruja sesangat.
    Tahniah kak rose

    ReplyDelete
  8. salam zilla...
    mekasih... :) harap teruja dan suka sampai ke ayat akhir novel ni... :)

    ReplyDelete
  9. hahah, kak rose apa khabar? mesti tengahh happy ni dh keluar buku baru. amnii pun happy skali :D

    ReplyDelete
  10. akak kepenatan ler amnie...
    hehehe... happy + takut buku baru kuar ni...

    ReplyDelete
  11. salam ;)
    akak , ta sabar nak beli novel neh!!
    adess.. da lame tggu neh..

    ReplyDelete
  12. kak... nora yg apo? kan... sy mmg minat citer kak r

    ReplyDelete
  13. cikyuyu:
    salam... hehehe... kene sabar cikyuyu, belum masuk pasaran... :) baru semalam masuk stor PTS

    syafiq92:
    ah ah.... ya saya... mekasih sebab minat citer akak... :)

    ReplyDelete
  14. semalam (ahad 21/3/10) saya ke Pesta Buku KL di PWTC nak cari novel nie and nak dapat autograf dari penulisnya... tapi sayang time tu u dah balik... huhuhu

    ReplyDelete
  15. alamak Kak M... sori... kul berapa kak M datang?
    semalam sesi saya dengan PTS memang sejam aje... lepas tu kena bergegas balik...

    ReplyDelete
  16. hye kak rose~~~

    saya dah baca novel akak nie~~~ herm memang hebatlah kak...

    besar betul pengertian cinta di dalam islam ya~~~

    namun org zaman sekarang sempit pemikiran~~~

    dan terima kasih kepada novel akak saya dapat belajar bagaimana untuk menjadi suami mithali di masa hadapan kelak~~~

    tajul aweera banyak mengajar saya kak n banyak dia jga banyak merubah hidup saya sedikit demi sedikit...

    thanz to novel akak~~~

    ReplyDelete
  17. hai shah...
    akak terharu baca komen shah tu...
    gembira pun ya juga sebab dapat pembaca lelaki macam shah...
    Alhamdulillah... sekurang-kurangnya apa yang akak nak sampaikan tu dapat shah fahami...
    Insya ALLAH Taala... akak doakan yang terbaik buat shah menjadi 'Tajul Aweera'...

    ReplyDelete
  18. alahaiiiii..suke sangat jalan cite nye...hehe.......<3
    kenapa laaaa muke kat coverbo0k aweera uh ensem sgt kak rose!!!...saya sangat2 tepikat..kalau la dapat lelaki mcm aweera kat dunia nie,masyaAllah.....suke sgt!!

    ReplyDelete

Rose Harissa® Registered under the provisions of the Trade Marks Act 1976 and the Trade Mark Regulations 1997 since 2016