Saturday, 5 May 2012

Bertempur Dengan Jembalang - BAB 1

1

BERKALI-KALI Leftenan Komander Uzir mengucup dahi isterinya, Alesya. Tidak cukup dengan itu, dia memeluk erat Alesya sehinggakan Kapten Zhafri yang setia menunggu di tepi pagar, naik segan mahu memandang. Terpaksalah anak muda berpura-pura melihat ke arah lain.

Kapten Zhafri ditugaskan menjemput Leftenan Komander Uzir bagi melaporkan diri di Markas Angkatan Bersama (MK AB).

"Abang, sudahlah tu...segan sikit dengan Kapten Zhafri tu..." Alesya mengingatkan seraya mencubit manja lengan suaminya.

"Ala, dia nanti, kalau dah kahwin pun sama jugak, tak sanggup nak lepaskan isteri, betul tak, Zhafri?" tanya Leftenan Komander Uzir seraya memandang Kapten Zhafri.

Anak muda itu tidak menjawab. Sekadar tersenyum sipu dengan muka memerah.

"Abang ni, dah tau Kapten Zhafri tu pemalu, diusiknya pulak..."

"Ala...dia tu cuma malu-kucing!"

Semakin merah muka Kapten Zhafri dibuatnya. Namun saat melihat Leftenan Komander Uzir memeluk Alesya buat sekian kalinya, Kapten Zhafri terkedu. Cara lelaki itu memeluk dengan mata terpejam rapat, jelas menunjukkan Leftenan Komander Uzir, tidak sanggup pergi. Tetapi, apakan daya, dia terpaksa jua melepaskan isteri kesayangannya.

"Jaga diri baik-baik, sayang... jaga anak-anak kita juga sementara abang pergi bertugas..."

Alesya mengangguk. Sebagai isteri anggota tentera, dia harus merelakan ke mana jua suaminya pergi. Leftenan Komander Uzir melangkah pergi, mengekori Kapten Zhafri yang sudah pun berjalan mendekati kenderaan pacuan empat roda yang akan membawanya ke markas.

Setelah berada dalam kenderaan, barulah Leftenan Komander Uzir memberikan perhatian kepada Kapten Zhafri.

"Lama kita tak berjumpa sejak kamu cedera ketika operasi Pulau Berhala. Apa khabar kamu? Sudah membaik?"

Tanpa menoleh, Kapten Zhafri tersenyum lantas berkata, "Siap bertempur, tuan!"

Kontan Leftenan Komander Uzir tergelak besar. Anak muda itu jarang bercakap, tetapi sense of humornya boleh tahan. Kapten Zhafri adalah tentera terlatih dari pasukan elit Angkatan Tentera Darat yakni Grup Gerak Khas. Mereka berdua jadi mesra apabila sering disatukan dalam operasi-operasi khusus dan sulit negara.

"Kapten Zhafri..." Leftenan Komander Uzir memanggil tetapi tidak meneruskan kata-katanya.

"Ya, tuan!" Kapten Zhafri menyahut seraya menoleh sekilas.

Leftenan Komander Uzir masih teragak-agak mahu meneruskan kata-kata. Sudahnya dia memutar pertanyaan. "Yang lain-lain dah bersedia?"

Biarpun pelik dengan pertanyaan itu, Kapten Zhafri tetap menjawab, "Sudah, tuan! Mereka sedang menanti kedatangan tuan untuk taklimat taktikal."

“Hmm…baguslah kalau begitu...” Leftenan Komander Uzir mengeluh, kemudian membuang pandang ke luar tingkap.

Airmuka Leftenan Komander Uzir suram. Membuatkan Kapten Zhafri yakin, ada sesuatu yang sedang bermain di fikiran lelaki itu.

Sebenarnya Leftenan Komander Uzir dilanda rasa tidak enak. Ketika melangkah keluar dari pintu rumah tadi, tiba-tiba ada ular hitam melintas di hadapannya.

Itu petanda tidak baik!

No comments:

Post a Comment

Rose Harissa® Registered under the provisions of the Trade Marks Act 1976 and the Trade Mark Regulations 1997 since 2016