Wednesday, 23 May 2012

Bertempur Dengan Jembalang - BAB 2


HELIKOPTER EC 725 Cougar milik Tentera Udara Malaysia baru sahaja meninggalkan ruang udara Kalimantan Timur. Sepuluh orang anggota terlatih dan dipilih dari pasukan elit dalam setiap cabang pasukan tentera dan polis kini berada di perut hutan Long Laham. Mengetuai mereka adalah Leftenan Komander Uzir bin Ismail, komander PASKAL yakni pasukan elit dari Tentera Laut Diraja Malaysia.
 
Misi mereka, menyelamatkan 20 orang anggota tentera yang dikatakan hilang di belantara Kalimantan Timur ketika menjalankan operasi penghapusan gerila. Pada mulanya mereka semua dianggap tidak dapat diselamatkan lagi kerana hutan tersebut terlalu tebal. Walau bagaimanapun, isyarat dari gelombang radio yang diterima beberapa hari lepas, meyakinkan pihak atasan bahawasanya masih ada anggota yang hidup.
 
Mereka dikhuatiri menjadi tahanan gerila. Oleh sebab itu, pasukan elit ini diperlukan biarpun jumlah mereka sedikit dan tidak memerlukan battalion serta kelengkapan senjata yang banyak. Kerana, mereka berupaya menggempur dan memusnahkan kedudukan musuh secara mengejut, melalui penyusupan senyap, menyerang dan membunuh musuh dengan kepantasan dan kecekapan tinggi.
 
Sudah semakin jauh mereka berjalan. Tetapi hutan belantara ini seakan tiada penghujungnya. Suasana sudah jadi semakin gelap. Pohon-pohon besar berukurlilit lebih sepuluh pemeluk lelaki. Mungkin ada diantara pokok-pokok sudah berusia lebih seratus tahun, menciptakan pemandangan yang sama, yang mampu menyesatkan perjalanan. 
 
Cahaya matahari terlindung di balik rimbunan pohon yang tingginya lebih 30 meter, tidak sepenuhnya mampu menembus rimbunnya dedaunan hutan. Udara terasa lembab dan tidak ada aroma lain kecuali bau daun kering dan daun busuk. 
 
"Tuan! Saya rasa tak sedap hatilah…” tiba-tiba Koperal Imran berbisik ke telinga Leftenan Komander Uzir. 
 
“Kenapa kamu cakap macam tu? Apa yang tak kena?” soal Leftenan Komander Uzir.
“Saya tak yakin dalam rimba ni ada gerila. Gorila pun kita tak nampak, ini kan pula gerila. Jangan-jangan pihak atasan salah bagi maklumat tak?" Koperal Imran membuat telahan sendiri.
 
Leftenan Komander Uzir mula tidak senang. 
 
“Hutan ni kan luas? Tambahan pulak kita belum pernah ke hutan ni. Kita kena hati-hati.” Tingkah Leftenan Komander Uzir agar dapat menyedapkan hati Koperal Imran. Dalam masa yang sama, dia bimbang jika anggota-anggota lain terdengar perbualan mereka. 
 
Sebenarnya Leftenan Komander Uzir sendiri berasa tidak sedap hati sejak mula-mula tiba di hutan ini. Gerak hatinya berdasarkan pengalaman dalam dunia ketenteraan, mengatakan bahawa, hutan ini tidak dihuni sesiapa melainkan binatang buas sahaja. Belum terjumpa oleh mereka sebarang tanda menunjukkan kesan kehadiran manusia. 
 
"Kita bergerak ke Sungai Kayan. Mana tahu kita akan dapat sedikit petunjuk di situ." Leftenan Komander Uzir memberikan arahan. Mereka pun bergerak dengan langkah waspada, siap siaga dengan raifel masing-masing di tangan. 
 
Ketika sedang berjalan, tiba-tiba sahaja Sarjan Kong Chee Meng bersiul-siul. Leftenan Arifin yang berjalan di belakang, tak ayal melepuk kepala Sarjan Kong Chee Meng. 
 
“Aduh! Kenapa, tuan?” tanya Sarjan Kong Chee Meng sambil memegang belakang kepalanya.
 
“Kamu nak panggil ‘pak panjang’?” 
 
“Apa itu pak panjang? Aku memang panjang, maaa...!”
 
Leftenan Arifin mendengus. Dia tidak pasti samada Sarjan Kong Chee Meng pura-pura tidak tahu atau memang tidak tahu langsung. 
 
“Pak panjang tu, ularlah, bodoh!” sampuk Sarjan Radit yang kebetulan terdengar perbualan mereka berdua.
 
Leftenan Arifin mengeluh sambil menggelengkan kepala. Akhirnya dia terpaksa menjelaskan kepada Sarjan Kong Chee Meng. 
 
"Takkan perkara basic macam tu pun kamu tak tahu? Bersiul dalam hutan ibarat memanggil ‘pak panjang’, tak pun binatang buas lain. Kalau binatang buas mendengar siulan tu, orang yang bersiul akan berada dalam keadaan bahaya!"
 
Muka Sarjan Kong Chee Meng mulai memucat. “Janganlah cakap macam tu, tuan…aku mahu hidup lama lagi…”
 
“Ah! Kamu jangan percaya sangat dengan mitos tu semua. Itu cuma pantang larang orang tua. Kita ni tentera terlatih. Kalau setakat ular yang datang, takkan kamu takut kut?” 
 
Mendengarkan komen Sarjan Radit, Leftenan Arifin tidak terkata apa lagi. Payah kalau ada anggota yang suka cakap lepas. 
 
Tiba-tiba Kapten Zhafri yang berjalan di hadapan mereka, berdaham. Apabila Kapten Zhafri berpaling, mereka langsung diam. Kapten muda itu, memang tidak banyak bercakap, tetapi sekali menjeling, langsung membuatkan orang bawahannya menikus. 


 ------------------------------------

DARI kawasan seputar Long Laham dan Sungai Kayan, pasukan elit itu terus bergerak menuju daerah pedalaman Bulungan. Setakat itu masih tidak menemukan sebarang petunjuk.
 
Tiba-tiba Leftenan Komander Uzir mengangkat tangan ke udara. Tangan itu dikepalnya kemudian dia menurunkan tangannya ke bawah. Anggota lain langsung diam apabila melihat isyarat itu. Mereka secara senyap mulai meniarap, mengambil posisi masing-masing. Ada sesuatu di hadapan yang menarik perhatian Leftenan Komander Uzir. Namun mereka semua tidak melihat apa-apa.
 
Leftenan Komander Uzir menyusup, mendekati Kapten Zhafri yang sedang melihat melalui pejera optik yang dipasang pada raifel tempur peribadinya, MP5A5.
 
“Kamu nampak apa-apa?” bisik Leftenan Komander Uzir. 
 
Masih tidak mengalihkan perhatiannya dari pejera optik, Kapten Zhafri berkata separa berbisik, "Negatif!"
 
Dahi Leftenan Komander Uzir berkerut. Rasanya tadi dia terlihat kelibat sesuatu di hadapan mereka. Setelah lebih sepuluh minit diam menanti dan tidak ada apa-apa yang muncul, Leftenan Komander Uzir memberikan isyarat agar mereka meneruskan perjalanan. 
 
Tetapi, baru sahaja mereka bangun, tiba-tiba terdengar bunyi tembakan. Saat itu juga, Leftenan Muda Nizam jatuh tergolek di atas tanah sambil mengerang kesakitan. 
 
“Serang hendap!” jerit Sarjan Radit. 
 
Automatik, yang lain segera menjatuhkan badan dan kembali meniarap. 
 
“Trrr…! Trrr…! Tam…! Tam…!” Bunyi tembakan dari pistol dan mesingan silih berganti berkumandang di udara. 
 
Mereka dihujani tembakan membabi buta, entah dari mana sehingga memaksa mereka kelam-kabut mencari perlindungan di sebalik batang-batang pokok. 
 
Sarjan Radit dengan pantas menarik Leftenan Muda Nizam yang telah cedera agar terlindung dari peluru sesat. Anak muda itu cedera terkena tembakan di lengan. Biarpun tidak menembusi, tapi peluru itu berjaya mengoyak kulit lengan Leftenan Muda Nizam. Lans Koperal Sabri segera membantu, mengikat lengan Leftenan Muda Nizam dengan bandana bagi mengurangkan pengaliran darah buat sementara waktu.
 
Rimba itu terus digegarkan dengan bunyi tembakan bertalu-talu. Sehinggalah tidak terdengar lagi tembakan balas dari pihak musuh, Leftenan Komander Uzir mengangkat tangan, mengarahkan serangan dihentikan.  
 
Mereka berpandangan sesama sendiri, sedikit bingung dengan serangan menggila yang amat tidak diduga tadi. Bahkan tadi mereka menembak tanpa mengetahui dengan tepat di mana kedudukan sasaran mereka. Setelah yakin keadaan seratus-peratus selamat, Leftenan Komander Uzir bangun dan mendekati Leftenan Muda Nizam.
 
“Kamu boleh bertahan?” tanya Leftenan Komander Uzir seraya memandang ke arah lengan Leftenan Muda Nizam yang berlumuran darah.  
 
“Boleh tuan! Sikit aje ni…, tuan!” ujar Leftenan Muda Nizam, memperlihatkan semangat juang yang tinggi, biarpun dahinya berkerut-berkerut menahan kesakitan. Kulit tersiat, paling koman kena lima enam jahitan hidup-hidup!
 
Tanpa bertangguh lagi, Leftenan Komander Uzir melambaikan tangan, memberi isyarat agar mereka semua mara ke hadapan.
 
Dengan langkah waspada, senjata erat di tangan masing-masing, mereka mula mendekati kawasan sasaran serangan balas ditujukan. Pokok-pokok di sekitarnya rosak teruk dengan bau hangit kayu terbakar. Namun, apabila semakin dekat, hidung masing-masing mula kembang kempis. 
 
Ada bau lain yang terbit. Bau busuk seperti bangkai, menyengat deria bau mereka.
 
"Perghh! Bau apa ni? Takkan baru kena tembak tak sampai sejam, musuh dah jadi bangkai?" seru Sarjan Radit tidak dapat menahan mulut lancangnya. 
 
"Mulut kamu tu yang berbau macam bangkai!" sindir Mejar Roslan yang sejak awal tidak menyenangi sikap Sarjan Radit yang suka cakap besar. 
 
Sarjan Radit ingin berkata sesuatu tetapi suara Koperal Johari mengejutkan semua orang.
"Tapi tuan, mayat-mayat ni nampak macam dah mati beberapa hari lepas!"
 
Kontan, mereka tertegun memandang ke arah mayat-mayat yang bergelimpangan di hadapan mereka. Ada lima kesemuanya tetapi tidak dalam keadaan sempurna. Ada yang pecah mukanya, putus tangan dan terburai isi perut! Bahkan ada yang mulai berulat!
 
"Uwekkk!!!" Sarjan Kong Chee Meng terjeluak, tidak tahan melihat pemandangan mengerikan itu. 
 
"Kamu ni, macam tak pernah tengok mayat pecah!" sergah Mejar Roslan, agak geram melihat sikap ‘lembik’ Sarjan Kong Chee Meng. Kalau diikutkan rasa hati, mahu sahaja dia menjitak dahi pemuda itu.
 
"Tapi yang ni lain macam, tuan!" jawab Sarjan Kong Chee Meng dengan tangan dipekup ke mulut.
 
Mejar Roslan mengerling geram. 'Nama sahaja tentera elit tapi tetap ada perangai macam pondan!' rutuknya dalam hati.
 
Kapten Zhafri pula bagaikan tiada perasaan apabila dia mendekati salah satu mayat. Dengan menggunakan ranting kayu, dia menguis daun-daun kering yang melekat pada dada si mati. 
 
"Leftenan Zuhairi Isa... mungkin dah mati dua hari lepas..." Kapten Zhafri membacakan nama yang tertera pada rantai pengenalan (dog tag) yang terkalung di leher mangsa sekaligus membuat anggaran jangkamasa kematian.
 
"Itu antara orang yang perlu kita cari!" keluh Leftenan Komander Uzir penuh kesal.
 
"Nanti dulu!" tiba-tiba Leftenan Arifin menyampuk. "Kalau ini orang yang kita cari tapi dah mati dua hari lepas... habis tu siapa yang serang kita tadi?" Leftenan Arifin menyatakan kecelaruan yang bermain di mindanya. 
 
Masing-masing terdiam, tidak dapat memberikan sebarang jawapan. Sebenarnya, sejak melihat keadaan mayat-mayat itu tadi, sudah timbul persoalan tersebut di fikiran masing-masing. 
 
Bagi mengelakkan anak buahnya membuat spekulasi sendiri, Leftenan Komander Uzir segera membuat penjelasan.
 
"Mungkin musuh sengaja menjadikan kawasan ini sebagai tempat melepaskan sasaran. Mungkin mereka mahu kita fikir yang kita juga akan menerima nasib yang sama seperti rakan-rakan kita yang malang ini!"
 
'Bodoh punya alasan!' kutuk Mejar Roslan dalam hati sambil memerhatikan satu persatu wajah-wajah di hadapannya yang nampaknya kelihatan lega mendengar jawapan Leftenan Komander Uzir.
 
'Memang bodohlah kalau mereka semua percaya cakap komander bodoh seperti Uzir!' Mejar Roslan menjeling tajam ke arah Leftenan Komander Uzir. Ada sesuatu yang terbuku di hatinya.
 
Tanpa disedari Mejar Roslan, Kapten Zhafri terlihat caranya merenung marah kepada Leftenan Komander Uzir.
 
Semacam ada sengketa yang tidak diketahui oleh mereka semua, telah berlaku antara Leftenan Komander Uzir dan Mejar Roslan.

1 comment:

  1. dah keluar APO ke kak? keluaran bila?

    ReplyDelete

Rose Harissa® Registered under the provisions of the Trade Marks Act 1976 and the Trade Mark Regulations 1997 since 2016