Saturday, 16 March 2013

Lelaki Sebelah Rumah @ APO?

Cerpen ni dah lama sebenarnya... keluar kat majalah APO? isu #246... tahun 2009. Time ni guna samaran lain untuk cover kekosongan ruangan cerpen biasa, illustrasi pun kartunis Cendol yang buat, sebab brader Lolo dah tak menulis kat APO? lagi... 
Saje kasi up semula cerita ni kat sini... sebagai promo... dan pemberitahuan aku belum berhenti menulis... masih dan Insya ALLAH Taala, masih kat APO?...



“Hoi!” Jerkahan itu menyentap seluruh semangat aku. 

Terus sahaja membuatkan aku menekan brek mengejut. Tidak jadi memarkikan kereta di tepi pintu pagar. Lelaki bermotosikal Kawasaki 600 itu berada dekat di sisi kereta MyVi aku.

“Bawak kereta macam orang gila!” Suara itu marah-marah lagi. 

Dum! Terdengar bunyi berdentum. Aku terkejut besar. Dia sepak kereta aku! Aku segera keluar dari kereta.

“Hoi! Kut ya pun, janganlah sampai sepak kereta aku!” jerit aku geram sambil menelek mencari kesan kemek. Nasib baik tak ada. Kalau tak, aku buat claim!

“Baru pakai MyVi dah berlagak!” cemuhnya lagi sebelum menunggang motosikalnya membelok ke rumah sebelah. Sebelah dengan rumah aku.

Darah aku semakin mendidih. Lancang sungguh mulut lelaki itu. Sejak lelaki itu jadi jiran sebelah rumah sewa aku ni seminggu yang lalu, hidup aku sudah tak tenang lagi. Lelaki itu tinggal seorang diri. Tak pernah aku tahu apa kerjanya. Namanya pun aku tak pernah tau. Sekali sekala sahaja aku lihat dia keluar dari rumah dengan motosikal besarnya itu. 

Tapi yang aku hairan dengan aku aje dia cari gaduh. Dengan Amy, dengan Ogy rakan rumahku yang lain, tak ada pulak lelaki itu cuba-cuba bertekak. Oleh kerana dia hanya cari jalan bergaduh dengan aku, maka aku tak pernah heran pada mukanya yang hensem itu. Jadi meluat lagi ada!

Lelaki itu sudah bersedia mahu masuk ke dalam rumah. Sebelum masuk, dia sempat menjelir lidah.

“Setan!!!” pekik aku penuh geram. 

Kemudian terdengar ketawa panjang lelaki itu. Macam seronok sangat bunyinya sebab dah berjaya buat aku marah. Kalaulah aku dapat pancitkan tayar motor dia tu…
 
Sebaik memakirkan kereta, aku mencari sesuatu. Mata aku terpandangkan kasut buruk yang sudah bertakung dengan air hujan. Di tepi tong sampah. Tanpa ragu-ragu, aku angkat lalu aku lemparkan ke arah motosikal besar lelaki itu. Selepas itu aku berlari masuk ke dalam rumah. 
 
“Hoi! Siapa lempar kasut buruk kat motor mahal aku ni???” Terdengar pekikan lelaki itu. 

Aku terkekeh dari balik pintu. Padan muka kau! Balasan sebab sepak kereta aku. 
 
“Tak habis-habis la korang berdua ni. Apa lagi dia buat kat kau kali ni?” Ogy menegur kerana dia sendiri sudah terdengar suara lelaki itu membebel-bebel di luar rumah.
 
“Sapa suruh dia tendang kereta aku?”
 
“Jangan benci lebih-lebih, nanti esok lusa dia tu jadi jodoh kau pulak.” Amy menyampuk.
 
“Ah, tak nak aku dapat jodoh dengan lelaki senget macam dia tu!” Aku merengus terus naik ke tingkat atas. Mintak simpanglah aku nak suka lelaki perangai biol macam dia tu!
 
Selesai mandi, aku mengeluarkan novel baru dari rak. Bersedia untuk menghabiskan masa untuk membaca novel dengan tenang. Baru sahaja mukasurat pertama, aku tiba-tiba dikejutkan dengan bunyi muzik bingit berdentum dentam. Dari mana lagi, dari rumah sebelahlah! 

Serta-merta aku naik angin. Ya, hidup aku memang tidak aman sejak wujudnya lelaki di sebelah rumah ini. Tanpa tangguh-tangguh, aku bergegas ke balkoni. 

“Hoi! Boleh perlahan sikit tak muzik tu?” Aku menjerit. Tidak ada tanda lelaki itu mahu keluar rumah. Lalu aku tidak dapat menahan sabar lagi. 

Pasu pokok kaktus bersaiz kecil, terpaksa aku korbankan. Aku lempar ke arah pintu balkoni rumah sebelah. Tepat kena cermin, mujur saja tak pecah. Dan barulah lelaki itu muncul. Tetapi bunyi muzik masih lantang kedengaran. 

“Apahal baling pasu kat rumah aku ni? Kalau pecah cermin ni macam mana?” Lelaki itu menjerkah sambil bercekak pinggang.

“Engkau tu, tak reti hormat jiran! Sedarlah sikit hari dah petang ni, nak bawa maghrib! Pasang lagu kuat-kuat buat apa?” Aku juga tak mahu kalah menjerkah. 

“Eh? Suka hati akulah! Ni rumah aku!”

“Taulah tu rumah kau, tapi hormatlah sikit jiran sebelah rumah!” herdikku kembali. 

Lelaki itu mencebikkan bibir sebelum berlalu masuk ke dalam rumah. Sangkaku dia memperlahankan muzik tetapi ianya semakin kuat. Aku menjerit melepaskan geram. Tambah sakit hati apabila aku menyedari bahawa dia sedang mengintai sambil tergelak dari balik tingkap! Huh!

Hanya menjelang maghrib barulah muzik kuat itu berhenti. Ingatkan dah tak reti nak hormatkan maghrib!

Tapi beberapa hari lepas tu aku dah tak nampak lagi kelibat lelaki sebelah rumah tu. Rumahnya pun senyap aje. Tapi motornya tetap ada tersadai di bawah porch. Kemudian datang pula beberapa orang lelaki. Agaknya kawan-kawan dia. Lepas itu aku tak nampak lagi dia. Senyap dan hilang entah ke mana. Tenang sikit hidup aku.

Hanya selepas dua minggu, sebuah teksi berhenti di depan rumah lelaki itu. Aku yang kebetulan baru sampai dari pejabat hanya memerhati. Kelihatan dia keluar dari teksi! Kelihatan letih dan lesu serta bersweater. Ketika dia memandang aku, aku cuma mencebikkan bibir. Tapi aneh sungguh, dia tidak pula kelihatan mahu cari gaduh seperti biasa. Sebaliknya terus masuk ke dalam rumah tanpa mempedulikan aku lagi. 

Peliknya! Dia dah insaf agaknya…

Sejak hari tu, aku lihat rumahnya selalu dikunjungi oleh beberapa orang lelaki yang aku anggap mungkin teman-teman. Aku pun dah tak mahu peduli lagi. Apa yang penting dia tidak lagi menyerabutkan hidup aku dengan usikan-usikan nakalnya. Kemudian, rumahnya sepi lagi. Juga, aku tak tahu ke mana perginya. Lantaklah!

Hanya beberapa hari selepas itu lelaki-lelaki yang selalu datang mengunjunginya, datang. Tetapi dia tidak pula kelihatan. Lelaki-lelaki itu kelihatan memunggah barang dari dalam rumah ke dalam lori yang tiba kemudiannya.

Hah! Dia nak pindah rumah! Horey! Hidup aku semakin aman lepas ni. Aku bersorak riang dalam hati. Namun baru sahaja aku hendak masuk ke dalam rumah, seseorang menegurku. Seorang lelaki berdiri di tepi pagar.

“Maaf ganggu cik. Tapi saya rasa buku ni untuk cik!” katanya sambil menghulurkan sebuah buku lukisan.

Aku kehairanan. “Kenapa pulak encik cakap buku tu untuk saya? Ada tulis nama saya ke? Dan kalau ada tulis pun, mana encik tau nama saya?” soal aku sedikit sinis.

“Tak ada tulis nama cik. Tapi ada lukisan muka cik kat dalam. Ambillah. Saya rasa mungkin Fariq nak bagi buku tu kat cik tapi tak sempat,” terang lelaki itu.

“Fariq? Siapa Fariq?” Aku kehairanan.

“Yang duduk kat rumah ni dulu.”

“Oh, dia rupanya…nama dia Fariq ya? Hah! Mana mamat tak betul tu pergi?”

“Dia baru aje meninggal dunia kelmarin, cik.”

“Apa?!” Aku terkaku. Bagai terkena panahan petir.

“Sebenarnya Fariq tu dah lama sakit kronik. Dia sakit barah hati. Dia sengaja jauhkan diri dari kami dan ahli keluarga dia sebab tahu dia dah tak ada harapan untuk sembuh. Sebab tu dia pindah duduk sini seorang diri. Tak apalah cik, maaflah mengganggu. Assalamualaikum.” Lelaki itu berlalu.

Sedangkan aku masih terkaku. Tidak percaya mendengar berita yang baru disampaikan. Semerta terbayang gelagat nakalnya. Spontan juga aku tergerak hati untuk membuka lembaran buku yang berada di tanganku. Lagi sekali aku terkaku. Buku itu dipenuhi dengan lukisan-lukisan wajah aku dalam pelbagai gaya. Pendek kata rupa aku setelah diusiknya. Rupa-rupanya setiap kali kami bertekak, dia melukiskan wajah aku. Kemudian dihiasi dengan catatan-catatan pendek di bawahnya. 

Antaranya;
“Buat awek sebelah rumah… terima kasih kerana menceriakan sisa-sisa hidupku dengan bebelanmu…”

Airmata aku menitis. Penuh penyesalan kerana telah selalu menyakitkan hati lelaki sebelah rumah. Kalaulah aku tahu dia sebenarnya sedang sakit. Sejenak aku merasakan hidupku sunyi sepi. 

Lelaki sebelah rumah sudah tiada lagi...
Rose Harissa® Registered under the provisions of the Trade Marks Act 1976 and the Trade Mark Regulations 1997 since 2016