Wednesday, 18 January 2017

CANTIKNYA PATUNG ITU/ MANNEQUIN ITU BERNYAWA



(Cerita lama yang saya tulis untuk majalah APO? menggunakan tajuk 'CANTIKNYA PATUNG ITU' terbit dalam APO? #108.

Kemudian saya masukkan dalam buku handmade Dari Zon Angker Vol. 1 menggunakan tajuk  "MANNEQUIN ITU BERNYAWA..."
Dan... mohon jangan tanya pasal buku tu lagi... dah tak larat nak buat lagi... jenuh oii... nak bind sendiri secara manual 😂😂😂... (saja tempek kat blog ni setelah sekian lama bersawang...)

///================================================///


Hari ini Leon agak lewat bangun dari tidur. Sedar-sedar jam di dinding sudah menunjukkan hampir jam sembilan pagi. Bergegas Leonza bangun menuju ke bilik air.

“Alamak! Kalau dah lambat camni, tak dapatlah nak jumpa Cinta lama sikit…” Rungutnya sendirian sambil kelam kabut menyarungkan baju dan seluar ke badan.

Leon berlari menuruni anak tangga rumah kedai yang didiaminya. Dia berlari tergopoh-gapah seperti mengejar sesuatu.

Akhirnya Leon berhenti di hadapan sebuah kedai pakaian lama. Kedai itu kelihatan agak antik dengan sebahagian daripada fasadnya ditutup dengan cermin jernih. Di situ pemilik kedai mempamerkan beberapa helai pakaian dan barangan hiasan lama.

Tetapi bukan itu semua yang menarik perhatian Leon.

Sejak hampir sebulan yang lalu, setiap hari sebelum ke tempat kerja, Leon pasti singgah seketika di hadapan kedai tersebut. Tujuannya hanya satu, menatap patung wanita yang juga dipamerkan melalui cermin jernih tersebut!

Leon tidak peduli akan orang ramai yang lalu-lalang di hadapan kedai tersebut memandangnya kehairanan kerana terlalu asyik menatap hanya sebuah patung!

Leon masih ingat ketika pertama kali melintas di hadapan kedai tesebut, dia terhenti apabila terlihat patung wanita tersebut.

“Cantiknya patung ni…!”

Itulah ayat yang terkeluar dari mulutnya secara spontan. Dia terpesona melihat keindahan patung tersebut. Raut mukanya kelihatan hidup. Rambutnya kelihatan lembut seperti bulu jagung. Bentuk badannya juga menarik. Sungguh jelita dan memikat.Kalaulah wujud wanita seperti itu, pasti Leon orang pertama yang memikatnya.

Apek tua tuan punya kedai tersebut hanya tersenyum melihat gelagatnya, yang ternganga melihat sebuah patung umpama melihat wanita jelita turun dari kayangan!

Sejak dari hari itu, Leon tidak pernah lupa untuk singgah menatap patung tersebut. Sejak dari hari itu juga Leon menamakan sendiri patung tersebut dengan nama Cinta, kerana dia merasakan bahawa telah jatuh cinta terhadap patung tersebut.

Apa yang membuatkan Leon merasakan Cinta tidak seperti patung-patung yang biasa kerana setiap hari ada sahaja gayanya yang berlainan.

“Ooo... ini patung manyak spesel punya. Beijing mali! Lia punya balan manyak lembut. Itu pasat lu tingok lia hali-hali muleh tukar macam gaya!” Jawab si Apek apabila Leon bertanyakan tentang gaya Cinta yang pelbagai. Tidak seperti kebanyakkan patung hiasan lain yang keras dan jelas kelihatan plastik.

“Ah, hari ini Cinta pakai kebaya nyonya merah. Cantiknya..! Sesuai dengan kulit putih Cinta!”

Setiap kali Leon menuturkan kata-kata, dia merasakan Cinta benar-benar sedang tersenyum sambil merenungnya manja. Leon betul-betul angau terhadap Cinta.

“Cinta memang cantik. Cinta pakai apa pun, Cinta tetap nampak ayu dan menawan.” Leon sudah tidak peduli dengan orang ramai yang berbisik-bisik sesama sendiri melihat gelagatnya bercakap sendirian dengan patung wanita tersebut.

Pernah seorang lelaki bertanya kepadanya, “Apsal awak asyik sangat tengok patung tu?”

“Dia cantik! Tengoklah gaya dia tu. Perempuan hidup pun bukan ada macam dia…!” Jawab Leon sambil matanya tidak lepas memandang Cinta.

“Gila!” Lelaki itu berlalu pergi.

Sedang Leon masih asyik menatap Cinta.

“Biarlah apa orang lain nak kata. Yang penting hanya aku yang memahami Cinta,” ucapnya dan disambut ‘senyuman’ Cinta!

Semakin lama Leon merasakan Cinta benar-benar ‘hidup’. Setiap kali dia berkata-kata, senyuman Cinta kelihatan semakin mekar. Leon merasakan Cinta benar-benar dapat mendengar setiap apa yang dibicarakannya.

Dan ianya membuatkan Leon merasakan Cinta adalah wanita idaman yang dicarinya selama ini. Semakin hari Leon semakin ‘gilakan’ Cinta. Tidak pernah dianggapnya Cinta hanyalah sebuah patung yang dipakaikan pakaian cantik.

Baginya Cinta wujud! Cuma tidak dapat membalas bicaranya.

Leon semakin yakin bahawa suatu hari nanti Cinta pasti menyahut perbualannya. Keyakinan ini membuatkan Leon semakin tenggelam dalam dunianya sendiri tanpa menghiraukan keadaan sekeliling. Perbualannya dengan Cinta semakin panjang.

“Cinta semakin cantik…” puji Leon.

Kelihatan pipi Cinta tiba-tiba berubah kemerah-merahan.

“Eh? Cinta malu? Janganlah malu dengan abang. Kita kan dah biasa macam ni…”

Senyum Cinta makin manis.

Aiyah..! Lu mali masuk lalam la… Sulah satu mulan lu ini macam cakap sama ini patung. Olang tingok pun talak syiok. Selupa lu sulah macam olang gila ooo!” Si Apek memanggilnya masuk ke dalam kedai, mengejutkan Leon dari khayalannya.

Leon tersengih sambil menggaru-garu kepalanya mendengar pelawaan si Apek.

Lu muleh masuk lalam maaa... Lu luar luluk, itu macam cakap, selupa olang gila lorrr..!”

“Sorilah Apek. Wa cuma suka ini Cinta. Kalaulah dia hidup... wa amik dia jadi wa punya bini!” kata Leon penuh yakin sambil mengerling ke arah Cinta.

“Aiyaaa! Lu sulah taruk lia nama Cinta ka? Lu betui suka cakap sama lia ka?”

“Err... sorilah Apek. Itu nama gua sendiri taruk... pasal takkan gua nak panggil dia patung aje kut bila bercakap dengan dia.”

Apek itu tiba-tiba geleng-geleng kepala sambil tepuk dahi berkali-kali. “Haiyaa... Itu pasat lia talak mau cakap sama lu. Pasal lu mukan panggil lia punya nama metul maaa!…”

“Hah..? Dia ada nama ka Apek? Kalau gua panggil dia punya nama, dia mau cakap sama gua ka?” Tanya Leon sungguh-sungguh penuh harapan.

Betui… wa pun ala selalu cakap-cakap sama lia juga. Wa sangat sayang lia. Kalau lu sayang lia jugak... lu muleh panggil lia punya nama Annchi... maksudnya bilalari (bidadari) cantik... Lu panggil lia Annchi, lia musti suka sama lu..!”

“Betul ka ni Apek? Apa, selama ni, memang dia boleh bercakap ke?” Leon sungguh teruja mendengar penjelasan si Apek.

Metui…wa sulah jaga lia sulah 30 taun woo... Sikalang lu cakap la sama lia. Wa pigi bikin kopi untuk lu olang.” Si Apek berlalu masuk ke bilik belakang.

Leon menarik nafas panjang dan kembali menghadap Cinta. Berdebar-debar rasanya mahu memulakan bicara.

“Err… mulai hari ni aku takkan panggil kau Cinta lagi. Aku panggil kau Annchi ye..?” Leon terkejut apabila melihat Annchi mengerdipkan matanya.

“Annchi! Kau betul-betul dapat dengar apa aku cakap?” Leon semakin ghairah dengan perubahan mendadak itu.

“Annchi! Aku sukakan kau dari hari pertama aku lihat kau di sini. Kalaulah kau betul-betul hidup, aku rela hidup bersama kau selamanya!” Leon meluahkan perasaannya.

Patung yang bernama Annchi itu kelihatan mengukir senyuman lalu memandang Leon.

Leon tergamam melihat senyuman yang nyata itu. Tambah terkesima apabila melihat patung yang selama ini kaku ketika dia berbicara, kini mula menggerakkan badannya perlahan-lahan. Leon tidak tahu bagaimana untuk menggambarkan perasaannya. Terkejut, gembira, namun ada rasa sedikit gementar.

“Selama ini aku dapat dengar setiap yang kau katakan. Cuma aku tak dapat membalasnya kerana kau telah salah memanggil namaku. Hari ini dapat juga aku bersuara. Kalau Ate’ tak tolong kau panggil namaku dengan betul, tentu aku tak dapat bergerak hari ini. Selepas ini kita akan bersama selamanya sepertimana yang pernah kau janjikan padaku...”

Leon ternganga mendengar tutur kata Annchi. Dia seolah-olah terpukau apabila merenung ke dalam bola mata Annchi yang jernih umpama berlian.

Annchi menghulurkan tangannya.

Tanpa berfikir panjang, Leon menyambutnya. Terasa lembut dan dingin seperti ais jari jemari Annchi. Dan Leon juga merasakan kedinginan itu terus meresap keseluruh tubuhnya!

“Annchi sikalang sulah mahagia ya... Ate’ manyak suka. 30 tahun Annchi seolang dili. Sikalang Annchi sulah lapat lokong. Ate’ muleh rehat sikijap la… Bila Annchi sulah lapat anak, kita muleh malik moyang punya timpat…” Si Apek berkata-kata sendirian sambil melipat pakaian yang baru dijahitnya.

Sekali sekala dia menjeling ke arah patung Annchi yang lengkap berpakaian pengantin Cina zaman dahulukala. Di sisi Annchi, berdiri pasangannya, sebuah patung lelaki! Dan tiada sesiapa pun sedar bahawa itulah Leon yang dilaporkan hilang tanpa jejak sejak beberapa hari lepas.

Di luar cermin, kelihatan seorang kanak-kanak lelaki lingkungan 3 tahun asyik menatap mereka berdua sambil bercakap sendirian...

Ketika itu tiada siapa pun perasan Annchi sedang mengukir senyuman penuh makna ke arah budak itu!

(NORA for APO?)
5 May, 2003, 12:03:26 PM

1 comment:

Rose Harissa® Registered under the provisions of the Trade Marks Act 1976 and the Trade Mark Regulations 1997 since 2016