Wednesday, 18 January 2017

CANTIKNYA PATUNG ITU/ MANNEQUIN ITU BERNYAWA

January 18, 2017


(Cerita lama yang saya tulis untuk majalah APO? menggunakan tajuk 'CANTIKNYA PATUNG ITU' terbit dalam APO? #108.

Kemudian saya masukkan dalam buku handmade Dari Zon Angker Vol. 1 menggunakan tajuk  "MANNEQUIN ITU BERNYAWA..."
Dan... mohon jangan tanya pasal buku tu lagi... dah tak larat nak buat lagi... jenuh oii... nak bind sendiri secara manual 😂😂😂... (saja tempek kat blog ni setelah sekian lama bersawang...)

///================================================///


Hari ini Leon agak lewat bangun dari tidur. Sedar-sedar jam di dinding sudah menunjukkan hampir jam sembilan pagi. Bergegas Leonza bangun menuju ke bilik air.

“Alamak! Kalau dah lambat camni, tak dapatlah nak jumpa Cinta lama sikit…” Rungutnya sendirian sambil kelam kabut menyarungkan baju dan seluar ke badan.

Leon berlari menuruni anak tangga rumah kedai yang didiaminya. Dia berlari tergopoh-gapah seperti mengejar sesuatu.

Akhirnya Leon berhenti di hadapan sebuah kedai pakaian lama. Kedai itu kelihatan agak antik dengan sebahagian daripada fasadnya ditutup dengan cermin jernih. Di situ pemilik kedai mempamerkan beberapa helai pakaian dan barangan hiasan lama.

Tetapi bukan itu semua yang menarik perhatian Leon.

Sejak hampir sebulan yang lalu, setiap hari sebelum ke tempat kerja, Leon pasti singgah seketika di hadapan kedai tersebut. Tujuannya hanya satu, menatap patung wanita yang juga dipamerkan melalui cermin jernih tersebut!

Leon tidak peduli akan orang ramai yang lalu-lalang di hadapan kedai tersebut memandangnya kehairanan kerana terlalu asyik menatap hanya sebuah patung!

Leon masih ingat ketika pertama kali melintas di hadapan kedai tesebut, dia terhenti apabila terlihat patung wanita tersebut.

“Cantiknya patung ni…!”

Itulah ayat yang terkeluar dari mulutnya secara spontan. Dia terpesona melihat keindahan patung tersebut. Raut mukanya kelihatan hidup. Rambutnya kelihatan lembut seperti bulu jagung. Bentuk badannya juga menarik. Sungguh jelita dan memikat.Kalaulah wujud wanita seperti itu, pasti Leon orang pertama yang memikatnya.

Apek tua tuan punya kedai tersebut hanya tersenyum melihat gelagatnya, yang ternganga melihat sebuah patung umpama melihat wanita jelita turun dari kayangan!

Sejak dari hari itu, Leon tidak pernah lupa untuk singgah menatap patung tersebut. Sejak dari hari itu juga Leon menamakan sendiri patung tersebut dengan nama Cinta, kerana dia merasakan bahawa telah jatuh cinta terhadap patung tersebut.

Apa yang membuatkan Leon merasakan Cinta tidak seperti patung-patung yang biasa kerana setiap hari ada sahaja gayanya yang berlainan.

“Ooo... ini patung manyak spesel punya. Beijing mali! Lia punya balan manyak lembut. Itu pasat lu tingok lia hali-hali muleh tukar macam gaya!” Jawab si Apek apabila Leon bertanyakan tentang gaya Cinta yang pelbagai. Tidak seperti kebanyakkan patung hiasan lain yang keras dan jelas kelihatan plastik.

“Ah, hari ini Cinta pakai kebaya nyonya merah. Cantiknya..! Sesuai dengan kulit putih Cinta!”

Setiap kali Leon menuturkan kata-kata, dia merasakan Cinta benar-benar sedang tersenyum sambil merenungnya manja. Leon betul-betul angau terhadap Cinta.

“Cinta memang cantik. Cinta pakai apa pun, Cinta tetap nampak ayu dan menawan.” Leon sudah tidak peduli dengan orang ramai yang berbisik-bisik sesama sendiri melihat gelagatnya bercakap sendirian dengan patung wanita tersebut.

Pernah seorang lelaki bertanya kepadanya, “Apsal awak asyik sangat tengok patung tu?”

“Dia cantik! Tengoklah gaya dia tu. Perempuan hidup pun bukan ada macam dia…!” Jawab Leon sambil matanya tidak lepas memandang Cinta.

“Gila!” Lelaki itu berlalu pergi.

Sedang Leon masih asyik menatap Cinta.

“Biarlah apa orang lain nak kata. Yang penting hanya aku yang memahami Cinta,” ucapnya dan disambut ‘senyuman’ Cinta!

Semakin lama Leon merasakan Cinta benar-benar ‘hidup’. Setiap kali dia berkata-kata, senyuman Cinta kelihatan semakin mekar. Leon merasakan Cinta benar-benar dapat mendengar setiap apa yang dibicarakannya.

Dan ianya membuatkan Leon merasakan Cinta adalah wanita idaman yang dicarinya selama ini. Semakin hari Leon semakin ‘gilakan’ Cinta. Tidak pernah dianggapnya Cinta hanyalah sebuah patung yang dipakaikan pakaian cantik.

Baginya Cinta wujud! Cuma tidak dapat membalas bicaranya.

Leon semakin yakin bahawa suatu hari nanti Cinta pasti menyahut perbualannya. Keyakinan ini membuatkan Leon semakin tenggelam dalam dunianya sendiri tanpa menghiraukan keadaan sekeliling. Perbualannya dengan Cinta semakin panjang.

“Cinta semakin cantik…” puji Leon.

Kelihatan pipi Cinta tiba-tiba berubah kemerah-merahan.

“Eh? Cinta malu? Janganlah malu dengan abang. Kita kan dah biasa macam ni…”

Senyum Cinta makin manis.

“Aiyah..! Lu mali masuk lalam la… Sulah satu mulan lu ini macam cakap sama ini patung. Olang tingok pun talak syiok. Selupa lu sulah macam olang gila ooo!” Si Apek memanggilnya masuk ke dalam kedai, mengejutkan Leon dari khayalannya.

Leon tersengih sambil menggaru-garu kepalanya mendengar pelawaan si Apek.

“Lu muleh masuk lalam maaa... Lu luar luluk, itu macam cakap, selupa olang gila lorrr..!”

“Sorilah Apek. Wa cuma suka ini Cinta. Kalaulah dia hidup... wa amik dia jadi wa punya bini!” kata Leon penuh yakin sambil mengerling ke arah Cinta.

“Aiyaaa! Lu sulah taruk lia nama Cinta ka? Lu betui suka cakap sama lia ka?”

“Err... sorilah Apek. Itu nama gua sendiri taruk... pasal takkan gua nak panggil dia patung aje kut bila bercakap dengan dia.”

Apek itu tiba-tiba geleng-geleng kepala sambil tepuk dahi berkali-kali. “Haiyaa... Itu pasat lia talak mau cakap sama lu. Pasal lu mukan panggil lia punya nama metul maaa!…”

“Hah..? Dia ada nama ka Apek? Kalau gua panggil dia punya nama, dia mau cakap sama gua ka?” Tanya Leon sungguh-sungguh penuh harapan.

“Betui… wa pun ala selalu cakap-cakap sama lia juga. Wa sangat sayang lia. Kalau lu sayang lia jugak... lu muleh panggil lia punya nama Annchi... maksudnya bilalari (bidadari) cantik... Lu panggil lia Annchi, lia musti suka sama lu..!”

“Betul ka ni Apek? Apa, selama ni, memang dia boleh bercakap ke?” Leon sungguh teruja mendengar penjelasan si Apek.

“Metui…wa sulah jaga lia sulah 30 taun woo... Sikalang lu cakap la sama lia. Wa pigi bikin kopi untuk lu olang.” Si Apek berlalu masuk ke bilik belakang.

Leon menarik nafas panjang dan kembali menghadap Cinta. Berdebar-debar rasanya mahu memulakan bicara.

“Err… mulai hari ni aku takkan panggil kau Cinta lagi. Aku panggil kau Annchi ye..?” Leon terkejut apabila melihat Annchi mengerdipkan matanya.

“Annchi! Kau betul-betul dapat dengar apa aku cakap?” Leon semakin ghairah dengan perubahan mendadak itu.

“Annchi! Aku sukakan kau dari hari pertama aku lihat kau di sini. Kalaulah kau betul-betul hidup, aku rela hidup bersama kau selamanya!” Leon meluahkan perasaannya.

Patung yang bernama Annchi itu kelihatan mengukir senyuman lalu memandang Leon.

Leon tergamam melihat senyuman yang nyata itu. Tambah terkesima apabila melihat patung yang selama ini kaku ketika dia berbicara, kini mula menggerakkan badannya perlahan-lahan. Leon tidak tahu bagaimana untuk menggambarkan perasaannya. Terkejut, gembira, namun ada rasa sedikit gementar.

“Selama ini aku dapat dengar setiap yang kau katakan. Cuma aku tak dapat membalasnya kerana kau telah salah memanggil namaku. Hari ini dapat juga aku bersuara. Kalau Ate’ tak tolong kau panggil namaku dengan betul, tentu aku tak dapat bergerak hari ini. Selepas ini kita akan bersama selamanya sepertimana yang pernah kau janjikan padaku...”

Leon ternganga mendengar tutur kata Annchi. Dia seolah-olah terpukau apabila merenung ke dalam bola mata Annchi yang jernih umpama berlian.

Annchi menghulurkan tangannya.

Tanpa berfikir panjang, Leon menyambutnya. Terasa lembut dan dingin seperti ais jari jemari Annchi. Dan Leon juga merasakan kedinginan itu terus meresap keseluruh tubuhnya!

“Annchi sikalang sulah mahagia ya... Ate’ manyak suka. 30 tahun Annchi seolang dili. Sikalang Annchi sulah lapat lokong. Ate’ muleh rehat sikijap la… Bila Annchi sulah lapat anak, kita muleh malik moyang punya timpat…” Si Apek berkata-kata sendirian sambil melipat pakaian yang baru dijahitnya.

Sekali sekala dia menjeling ke arah patung Annchi yang lengkap berpakaian pengantin Cina zaman dahulukala. Di sisi Annchi, berdiri pasangannya, sebuah patung lelaki! Dan tiada sesiapa pun sedar bahawa itulah Leon yang dilaporkan hilang tanpa jejak sejak beberapa hari lepas.

Di luar cermin, kelihatan seorang kanak-kanak lelaki lingkungan 3 tahun asyik menatap mereka berdua sambil bercakap sendirian...

Ketika itu tiada siapa pun perasan Annchi sedang mengukir senyuman penuh makna ke arah budak itu!

(NORA for APO?)
5 May, 2003, 12:03:26 PM

Thursday, 9 June 2016

Nasib pengkarya bilis...

June 09, 2016


Sama tak?

Waktu saya tertengok montaj ni kat tv saya blur macam dejavu bila tgk kartun tu. Sekali anak saya jerit,

"Eh? Tu bukan kartun mama lukis masa Ik sunat ke?"
Haaa...berderau darah saya. Ye sungguh... patutlah rasa macam pernah tengok sebab saya lukis kisah Ik kena sunat klamp kat blog (https://romanfiksi.wordpress.com/2015/01/29/sunat-smart-klamp/). Depa trace balik, tukar corak kain pelekat dan tanpa tona kulit je. Dahlah cerita pun pasal sunat. Apalah nasib RH...😭😭

Tak sangka blog sendu saya tu pun diperhatikan orang TV ye.

Marah? Tak... bukan marah tapi lebih kepada rasa meluat dan menyampah dan membebel - apa ni? kartun cincai aku lukis pasal anak aku pun orang nak tiru ke?
Nampak tak, macam mana saya tak fedap nak berkongsi karya di blog? :D

*peace, no war... (^_^)\m/
========================

Status di atas saya tulis di FB sekadar berkongsi... untuk menunjukkan betapa lelahnya saya dengan perangai orang suka curi idea saya...

Dah terang lagi jelas blog saya ni, saya dapatkan endorsement berbayar dari lawyer untuk surat:WARNING NOTICE FOR INFRINGEMENT UNDER COPYRIGHT ACTS 1987.

Tapi waktu tu, tak tahu kenapa saya dapat tahu tindakan saya tu, jadi bahan joke di kalangan sesetengah orang. Ada pula yang senang-senang menangguk di air yang keruh,  copy paste + edit kandungan surat tersebut, letak di blog sendiri. Makin buat saya 'lelah' dan malas nak bersuara lagi. Berjuang untuk hak sendiri pun diperlekehkan orang...

Tak apalah...

Mana nak tahu, dalam tempoh mendiamkan diri dari socmed (social media), ternampak pula kartun di atas dalam telemovie di TV9. Makin rasa lelah...

Ramai yang suruh saya saman... ada yang kata saya tak boleh buat apa-apa kalau tak daftar kat Myipo. Aduhai dik... nak daftar kat Myipo tu, satu artwork beribu riban dik... dan itu kalau nak buat meniaga besar-besar atau ada company macam MOY tu memanglah berbaloi sebab menjual design dan mendapat keuntungan.

Macam saya ni, sekadar berkarya di blog secara percuma... lukis suka-suka... cukuplah setakat endorsed surat lawyer untuk hakcipta. Tapi dah kalau orang produksi TV pun tak hormat undang-undang tu, dan copy karya pengarang dan illustrator bilis macam saya ni, apatah lagi orang lain yang suka stalk, kan?

Kecewa pun ye jugak... dan tertanya, apa payahnya diorang ni emel saya, tanya secara baik, mintak izin nak guna... tak payah sesusah trace... sebab bukan sekali dua saya bagi dan buat lukisan free dan cerpen free untuk orang lain publish... cuma saya bukan jenis suka up atau pukul canang atau tag sana -sini.

Bukan saya tak nak ambil tindakan... tapi sebab saya dah sampai tahap penat, dan share pasal ni supaya orang yang selalu tunggu karya saya faham kenapa saya dah tak up karya baru.

Bukan sekali dua kena macam ni... dah banyak kali... dulu pernah orang ambil lukisan saya, padam signature saya dan letak nama dia. Bila saya tegur, katanya tak perasan itu lukisan saya... my goshhhh... sebesar alam signature aku, kau kata tak nampak... haihh...

Tu belum dengan cerita-cerita saya di APO? yang orang kembangkan jadi novel dan drama TV...

Mentang-mentanglah saya tak ada segerombolan asoka yang boleh jadi my keyboard warriors.

Sampaikan saya selalu tertanya, why must me?

Mentang-mentang saya tak 'popiler' ek?

Tayang lukisan Dennis Oh pun kena bash... lukis muka Ananda Everingham yang terkini pun kena sound curi hero orang... lukis balik Ben Barnes, Brandon Routh...dikata sama dengan hero orang tu orang ni... berderet dapat mesej peringatan that actor was another writer's favorite... like saya baru kenal siapa pelakon-pelakon tu melalui novel sekian sekian... haih... padahal saya dah lukis lama dah... dari zaman hingusan kat Alaf lagi.

Saya ni jenis suka cari gambar hero dulu, lukis dan baru kembangkan cerita. Kadang orang tak berapa kenal pun siapa pelakon tu, lagi saya suka lukis. Tinggal lagi zaman saya dulu, facebook belum berkembang pesat dan kena pulak saya ni bukan jenis palu kompang up karya dan lukisan yang sama berkali-kali. Siapa yang tahu, tahulah...yang tak tahu, tak kenal, jangan tuduh saya macam-macam.

Dan tahu kenapa saya lagi suka melukis, tak guna gambar betul? Sebab guna gambar betul sebenarnya melanggar hakcipta. Sebab tu kalau guna pun gambar betul, saya akan cuba sedaya upaya letak kredit.

The fact is, saya tak suka bergaduh... tapi bila selalu sangat orang serang, umpat, curi, copy, meniru... letih oii... saya tak mintak pun disanjung... saya cuma nak berkarya, melukis untuk orang yang suka baca dan suka tengok lukisan saya. Dan saya ni bukan jenis berkira sangat kalau orang mintak izin dengan cara yang betul.

Kepada yang meluat baca luahan saya ni dan terasa nak buat jokes... tak mengapa, anda tak berada di tempat saya, bukan tangan anda yang melukis dan menaip, jadi anda takkan rasa betapa lelahnya...dan kecewanya... bila orang tak hormat hasil kerja kita...

Sekian...

Thursday, 29 January 2015

SUNAT SMART KLAMP

January 29, 2015
Sebenarnya ni entri tertangguh. Kisah apa yang berlaku sepanjang cuti sekolah lepas. Di mana saya stress nak mengejar deadline manuskrip (saya ni paling takut kalau mungkir janji dengan editor... :D).

Tapi kerana komitment pada anak, memang kali ni saya terlewat hantar sebulan! Memang bera jugaklah muka I... haihhhh...

Berbalik cerita Ik sunat, setelah dah nak naik darjah lima, setelah dalam kelas cuma tinggal dia dua orang yang belum bersunat, Ik akhirnya terbuka hati nak bersunat. Sebelum ni saya sound dia, tak guna kau bersunat kalau malas mengaji, solat pun tak reti. Besok kahwin nak tanggung anak bini macam mana?

Sebelum saya memulakan cerita ni, tolong ya jangan anggap bukan-bukan. Saya eager nak share dengan ibu-ibu yang duk rumah, kena jaga anak lelaki bersunat by your own. Yelah... takkan nak tunggu suami balik kerja uruskan anak tu, ye dak? 'Berkarat'lah budak tu...

Dan, gambarajah dalam entri ni semua saya lukis sendiri. Jangan tuduh saya nak melucah pulak. Sebab sepanjang saya jaga anak saya sendiri ni, banyak yang saya belajar dari anak saya. Pengalaman tu, memang buat saya lega sebab rasa dah tunaikan tanggungjawab pada anak.

Bila saya tanya Ik, apsal nak sunat? (sebab saya ingat nak suruh dia sunat masa darjah enam). Dia kata, kawan-kawan dia kata, kalau tak sunat sekarang, nanti anu buta sampai ke tua.

Saya dengan suami geleng kepala. Bebudak sekarang, bukan main lagi sembang. Hakikatnya, memang kau punya buta, Ik oiii.

Maka, seminggu sebelum cuti sekolah bermula, saya call Poliklinik Shaik. Tarikh yang diorang open untuk sunat tak banyak, 3 kali aje dan guna teknik smart klamp. So, saya buat appointment 23hb. Nov. 2014 (Ahad) jam 8.30 pagi, suami saya bising gak, kenapa tak ambik tarikh 29hb sebab nak tunggu mak abah datang. Tapi hati mak-mak dalam jiwa saya ni, rasa lebih baik ambik hari yang paling awal, nanti apa-apa senang.

Saya mulalah buat research pasal smart klamp ni. Sebab I have no idea apa itu smart klamp. Dan cara jaga anak masa dalam pantang. Ada yang kata senang baik. Ada yang kata, pakai smart klamp boleh lasak-lasak.

Well... jangan cepat percaya. Bila saya dah alami, baru saya sedar, lain orang, lain pengalaman. Dan ini pengalaman saya...

Sehari sebelum sunat, Ik sakit matalah pulak. Eloklah dia naik pentas hari kecemerlangan sekolah, dengan mata bengkak merah. Malam tu bawak pergi klinik. Dapat ubat sapu dan ubat titis.


Hari Ahad tu, saya yang berdebar. Paksa suami dan Ik keluar rumah awal. Sebab saya ni, jenis biar sampai awal, jangan lewat dari janji. Nurse dah pesan, datang klinik terus pakaikan anak kain pelekat. Lepas breakfast, sampai klinik lagi lima minit 8.30 pagi, bila tengok tak ada orang, roller shutter bukak separuh aje. Apalagi, suami dah menjeling. Siap sindir cakap "Dah cakap, tak guna datang awal. Tengok, klinik tak bukak lagi! Degil!" Wooo... mak sentap jap. Malas nak bertekak, saya ajak Ik masuk ikut pintu yang bukak separuh tu. Sekali tengok dalam, dah ada orang. Nurse suruh naik tingkat dua. Sekali tengok, memang dah ramai orang. Dah mula pun acara sunatnya. Dah berkumandang suara meraung-raung. Hahahaa... mulalah muka Ik pucat.

Tak lama lepas tu, barulah suami saya naik dan muka dia bera je tengok ramai orang... hahaha... tu la... nak lawan menteri Pembangunan Wanita Keluarga... ehehe...
Masa nak menunggu giliran, puluh kali kejap dia ke bilik air. Asyik nak terkucil dengar bebudak meraung... apatah lagi bila tengok yang keluar bilik siap menangis teresak-esak.... hahaha...

So, saya dengan suami pesan,

"Kau jangan jadi macam budak tu! Buat malu aboh je!"

"Tolonglah Ik, jangan nak meraung. Malulah kau taekwondo kalau sunat pun nak meraung. Dah pernah pecah papan kan? Mestilah tahan sakit."

"Maaa... pecah papan mana sakit. Ini nak potong tunit tau!" Ik dah kepit-kepit kaki. Dia ni saya perasan memang ada phantom feeling/pain kat situ kalau tengok orang jatuh terhantuk kat situ, dia yang seriau lebih. Sebab tu bila sparring, tangan dia asyiklah nak tutup kangkang... haihhh!

Bila dah nak sampai giliran, saya ajak suami masuk sekali. Sebab saya tengok, semuanya suami yang masuk, isteri tunggu luar. Mula-mula suami saya tak nak masuk. Biasalah dia ni... hati kering sikit... tak reti nak menunjukkan kasih sayang secara terbuka... heeee

Saya yang teruja nak tengok macam mana proses sunat tu. "Rugilah anak sorang tapi tak nak tengok..." Automatik suami bangun. See? Kuasa kata-kata seorang isteri... hehehe

Bila masuk, saya terkejut gak tengok nurse muda-muda dua orang. Haihh... maknanya diorang ni dah tengok macam ragam bentuk rupa dan warna... hahaha...

Saya berhajat nak rakam proses tu tapi Ik dah pegang dua-dua belah tangan saya. Suami peluk tubuh belakang saya. Tak lama lepas tu baru doktor lelaki tu masuk dengan dua tiga orang lagi nurse dari bilik sebelah. Wah, rupanya bergilir-gilir dia sunatkan budak. Kena suntik empat das. Dua pada testikal, dua lagi atas tundun. Ik dan melentingkan badan nak menangis.

Tak cakap banyak, doktor tu terus gentel 'tunit' Ik. Saya terbeliak biji mata tengok. Ditarik ke atas sehabis maksima mungkin lebihan kulit tu. Dikeluarkan kepala yang selama ni tersembunyi dalam kulit. Wah, Ik genggam tangan saya kuat-kuat. Mula mengerang sakit.

Doktor mark dengan marker pen keliling tempat nak potong. Bila potong, tak ada darah pun keluar keluar. Kagum sat tengok kecekapan doktor memotong dan pasang klamp.

Dan sepanjang proses tu, mujur Ik tak meraung. Cuma dia buat saya nak tergelak 'setan' bila dengar mulutnya tak berhenti sebut...

"Astaghfirullahhhh...Astaghfirullahhhh...Astaghfirullahhhh..."

Hahahahaha! Serius lawak! Baru kau ingat nak berzikir ye!

Tak sampai lima minit, siap! Keluar bilik, lagi sekali Ik buat lawak polos dan kitorang tergelak.


Saya semakin sedar yang banyak benda saya tak boleh nak sorok-sorok dari anak. Saya dengan suami kena cakap terus-terang sebab kami perasan banyak benda yang dia cerita dengar dari kawan yang tak betul.

Bayaran RM160 sekali dengan ubat. Lepas lima hari, kena datang balik bukak klamp.

Ubat yang dapat ubat tahan sakit, ubat bengkak, antibiotik dan ubat sapu. Sebijik ubat sakit mata yang Ik dapat. Dapat picagari jugak untuk cuci luka.

Ubat yang macam ubat mata tu kena sapu keliling kawasan kena kepit tu. Nanti perlahan-lahan ubat tu serap masuk dalam klamp dan kena bahagian luka. Mimpi ngeri datang bila malam pertama, Ik tak boleh tidur mengaduh sakit. Dah bagi ubat tahan sakit pun dia tetap menangis cakap sakit kat tempat kena potong tu. Aduhai... sudahnya saya tidur tak lena, kejap-kejap jaga bila dengar dia mengerang.

Masa nak jaga nilah yang paling kritikal bagi saya... uwaaaaa... setiap kali kencing, kena sumpit air dengan picagari ke dalam corong. Ik menangis cakap sakit. Saya pun rasa nak menangis sebab kalau tak cuci, nanti busuklah. Nasib baik mak kreatif, guna balik botol lama toner. Instead of sumpit, saya sembur. Ik kata tak sakit sangat. Bila nak keringkan pun satu hal. Nasib baiklah ilham datang, gulung tisu, dah hulur dalam corong sampai air semua terserap ke tisu.






Memang saya manjakan Ik. Siap mandikan. Kemain siap sental dengan Cathy Coo... kahkahkah...Punyalah nak anak bersih dan wangi. Setiap kali buang air tak kira kecik ke besar ke memang mak ler yang basuhkan. Demi nak pastikan luka tu bersih. Anak tunggal katakannn...

"Haihhh... nasib baiklah tak naik ketumbit mata mama ni asyik tengok tunit kau..."

"Tak apalah ma... kalau mama cucikan, bersih sikit..."

Sejuk sekejap dengar ayat anak.

Hari ketiga barulah mak abah saya sampai dari kampung. Adik-beradik berkumpul kat rumah kami. Bila dah ramai-ramai, mulalah Ik terliur tak nak pantang. Hatta nugget jenama Segaria yang bagi saya tak best langsung tu pun dia nampak sedap.

Bab makan, saya bakar ikan selar dan tenggiri. Nak cari haruan memang tak jumpa. Pelik sungguh,time nak, langsung tak ada, time tak nak, bersepah pulak. Kami bagi minum air gamat.

Tapi bab sakit tu tiga malam berturut-turutlah Ik mengaduh sakit waktu tidur. Maunya tak sakit, kalau tengah tidur pun, tunitnya 'membekang' (istilah kitorang untuk ereksi supaya Ik faham). Bayangkan, benda luka, ada klamp tapi bekang! Hoiii... giler sakit kut? Suami saya, cool je. Dia kata tak ada apa, siap bangga lagi anak dia 'membekang'.

Saya pulak stress tengok bengkak. Tapi lega sikit bila tengok ikut corong luka dah mula mengering.

Hari ke lima, pergi bukak klamp. Ingatkan doktor yang bukak, rupanya nurse perempuan. Haisehhh... nampak senang aje bukaknya tapi rupanya, mimpi ngeri bermula. Masa nurse potong klip tu, saya dah perasan, kulit melekat pada klamp.

Klamp dibukak, tinggal corong aje melekat kat hujung. Kata nurse, kalau dalam maa 24 jam corong tu tak jatuh sendiri, kena rendamkan dalam air sampai terbukak.

Masuk dalam kereta, Ik menggelisah, cakap gatal. Sampai tumbuk-tumbuk tempat duduk. Nasib baik pakai kain pelekat. Puluh kali kejap dia jenguk tengok. Tiba-tiba dia jerit.

"Maaaa!! Dah terbukak!!" Suara riang ria. Tapi lepas tu...

Sumpah, saya dengan suami tergelak terkekeh-kekeh dengar raungan Ik. Dia tunjukkan pada saya, memang nampak kecik. Ala... normal la kan... sebab benda tu macam tertarik ke dalam lepas corong jatuh. Tapi dia punya takut, sampai ulang kali tanya, boleh baik ke tak, nanti besar balik ke tidak. Well... nak kata apa? Budak lelaki umur 10 tahun ++ pun risau soal kejantanan dia, apatah lagi lelaki dewasa, kan? Padahal, anak saya bukan baca novel pun... *eh tetiba*

Lepas bukak klamp tu lah mimpi ngeri saya kembali lagi. Lagi dahsyat. Sebab baru nampak rupa-rupanya ada gap luka yang agak besar antara tempat potong dan kepala. Abah saya pesan kat Ik, jangan minum air banyak-banyak sekaligus, nanti bengkak. Tapi dia degil. Tak dengar cakap punya budak. Sudahnya memang bengkak.

Saya risau tengok nanah dan dan kuping-kuping. Bila suruh suami dan abah saya tengok, kata diorang, biasalah tu nak baik memang macam tu. Waaaaa... memang macam tu? Segitu ngerinya??? Abah kata memang lambat baik sikit sebab Ik punya buta. Bila keluar, sebab tu rasa ngilu kena kain, dan kadang berkuping sebab 'bogel' sudah.

Masa ni, waktu mandi, saya suruh Ik tekupkan dengan cawan plastik. Lepas siap mandikan baru saya sembur air sikit dan serap air dengan tisu.

Family saya balik semula ke kampung. Maka tinggallah saya berdua dengan Ik di rumah. Siang memang saya benarkan dia berbogel. Sebab nak bagi kena angin. Biar cepat kering. Bayangkan luka menganga. Sampai saya naik stress kena ulang cek tengok. Tanya dia sakit ke tak. Kata dia tak sakit. Bila suami balik kerja, dia tengok, kata okey. Tapi saya tak puas hati. Okey apanya kalau bengkak dah macam buah gajus!


Ik yang terpinga-pinga, tanya, "Ma... buah gajus tu apa?"

Saya pun capai handphone nak google gambar buah gajus, terus tunjuk pada Ik dengan senyum 'setan'.

"Mamaaaaa!!!" Dia berteriak, bengang saya kata tunit dia macam buah gajus! Tapi lepas tu dia sendiri tergelak sebab terpaksa mengiyakan mak dia yang bongek ni, memang lebih kurang aje bentuk buah tu dengan dia punya. Hahaha...

Hasilnya, barulah dia kontrol sikit minum air. Minum banyak kali, tapi sikit-sikit. Bukan sekali teguk habis segelas.

Tapi hati saya memang risau. Sampai saya call Kak Lily Haslina Nasir, tanya dia, "Beb... ada tak anak-anak lelaki kau yang sunat lambat baik? Yang pakai smart klamp?"

Kata dia ada. So, saya lega sikit. Tapi sekejap je. Masuk minggu ketiga tapi tak cantum-cantum lukanya. Tukar sapu dengan minyak gamat pun tak jalan! Minum air gamat dan dua botol pun tetap tak baik-baik. Saya tanya suami, sudahnya dia pun naik stress.

"Mana nak tau! Aku dulu, jahit. Lima hari dah pergi main bola!"

Sudahhhh! Otak kartun saya mula membayangkan teori itu. Ye tak ya, dulu-dulu, khatan luka terus jahit, so cepatlah baik. Ini bekas potong tu tak dijahit. Dibiar menganga lepas klamp dibukak! Suami pun merungut kata smart klamp ni susah baik, tak macam sunat zaman dia dulu... haihhh

Tak tahan, saya bawak Ik pergi klinik semula. Nurse kata, "Oh... normal ni kak. Tak ada apa ni. Ada jugak patient lain jadi macam ni. Akak kena cuci bersih-bersih nanah ni."

Saya tengok cara dia cuci. Sama aje macam saya cuci. Lepas tu dia panggil doktor. Seorang doktor mamak, yang sangat ceria dan happening, masuk. Serius baru tahu doktor kat sini kelakar.

"Normal ni puan. Good. Cantik... cuci kasi bersih saja. Tengok I buat."

Dan saya pun ternganga menyaksikan demo itu. Cuci yang dia maksudkan adalah... siat segala nanah dan kuping yang ada, sampai nampak kulit paling bawah. Haaaaaaa....! Berdarah pun tak apa katanya, janji semua nanah dan kuping, hatta nanah yang baru nak kering pun, buang semuanya. Lepas tu baru sapu ubat keliling luka. OMG! Saya tak tahulah sanggup buat ke tak kat rumah. Tapi doktor tu siap gentel dan picit lagi... wahduiiiiii!!

Doktor yang sunatkan Ik, masuk. Dia buat benda yang sama. Again dia kata good dan cantik! Haihhh... cantik mehhh macam tu?

Bila nak turun dari katil, doktor tepuk-tepuk punggung Ik suruh jalan dengan betul, jangan bongkok dan pesan jangan jalan mengengkang lagi. Buat macam biasa.
Kat rumah, saya buat macam doktor suruh. Memang berdarah dan saya yang menangis walaupun Ik kata tak sakit. Masa ni barulah saya terfikir nak cari pil haruan. Jumpalah pil Har-One ni. Tak apalah tak dapat makan ikan sebab pil ni pun sangat mujarab... RM28 ada 50 biji. Kalau tahu, awal-awal dah cari... sebab nampak, lepas bagi pil ni, lukanya mengering nanah kurang.

Doktor pesan, jangan kasi benda tu terlentok. Bila nak tidur kena sendal kain kat bawah supaya anu tak terlentok dan 'patah'. In fact, dari Ik kecik (dari zaman pakai pampers saya akan park tunitnya menghala ke atas, ni petua my suami and my abah jugak demi kesempurnaan ' jagoan' :D)... Sebab tu saya pesan kat Ik, bila pakai underware, tarik, kasi parking ke atas supaya nanti tak lembik jatuh. Sampai la ni, habit dia, mesti akan betulkan parking, takut sangat terlentok jatuh bawah... heeee...

Tapi masa sunat, saya tak terfikir pun, sebab takut mengganggu luka.




So, bila doktor dah cakap macam tu, again, kekreatifan memaksa saya fikir alternatif lain. Instead of sendal dengan kain kasa kat bawah, saya buatkan anduh, lekat dengan masking tape.


Bila siang, anduh tu saya biarkan terbuka bahagian atas. Menampung ia supaya tak jatuh bila berdiri. Bila malam, masih style anduh tapi saya bungkus silang supaya luka tak tergesek pada kain masa tidur dan tak payah gantung kain.

Bila nak keluar pun saya buatkan anduh bungkus silang, pakai seluar longgar. Bila buka kain kasa tu memanglah melekat pada luka. Kena tuam dengan air suam nak bagi tanggal. Dalam dua tiga hari jugaklah setiap kali cuci, luka balik. Tapi nampak, gap tu makin rapat dan kain kasa tak melekat lagi lepas bangun tidur.

Lagi seminggu sepatutnya nak bukak sekolah, barulah luka sunat tu betul-betul bercantum.
Haihh... gilaa... sebulan cuti habis macam tu aje melayan budak sunat. Dan nasib baik jugak, cuti sekolah extended lagi seminggu sebab banjir.

Sampai la ni, sesekali, Ik akan suruh saya cek tengok dah okey ke belum. Memang dah okey sangatlah. 'Buah gajus' pun dah surut... dan dia kata, 'bekang' macam biasa. Hahaha...

Sepanjang jaga anak sunat, mandikan, makan bersuap, akhirnya kerja-kerja saya berterabur, FB Pages senyap. Saya cuma dapat taip manuskrip belah malam. Design jobs memang tak ambil langsung dah.

Sekali lagi saya harap tak ada yang salah faham baca dan tengok lukisan-lukisan dalam entri ni. Saya bukan nak mengajar tapi ini personal experience saya. Anak tunggal, so, saya dokumentasikan pengalaman ni supaya nanti dia dan isteri dia ada reference untuk anak-anak diorang pulak.
Sori sesangat kalau ada yang tak boleh terima keterbukaan entri ini, mahupun cara saya dan anak. Lain orang, lain cara ajar anak memasing. Apatah lagi sekarang ni, dengan adanya hukum kat Malaysia, anak tak boleh dirotan. Haihh...

Sekarang, bila dah sunat, saya berhentikan Ik mengaji, ambil alih tugas tersebut di rumah. Biar bonding ibu dan anak kuat sampai dewasa. Lagipun, anak sendiri, tak dapat rotan, boleh dijerit, pulas telinga kalau tak makan diajar. Pokoknya, bukan senang nak didik anak zaman sekarang ni.

Semoga, ada manfaat untuk ibu-ibu. Heeee... (^__^)\m/ <3

Sunday, 25 January 2015

“ KORBAN PUAKA TASIK “

January 25, 2015
Cerita ni aku tulis pada 01/04/2004 untuk APO? tapi bila check balik dalam list senarai yang dah keluar, cerita ni tak pernah tersiar. Jadi aku tempek kat sini untuk korang baca.



“KORBAN PUAKA TASIK“

Tasik Chini sememangnya banyak menyimpan sejarah dan lagendanya tersendiri. Kisah kota tenggelam di dasarnya dan lubuk yang menjadi naga dua beradik Sri Pahang dan Sri Gumun bertapa suatu ketika dulu, amat popular. Malah ada sesetengah orang beranggapan dan percaya Sri Gumum masih ada di dalam tasik berkenaan biarpun abangnya sudah tewas di tangan naga Siam, Sri Kemboja.

Ada juga yang percaya ada makhluk misteri lain yang mendiami tasik berkenaan. Walau apapun ianya tidak dapat dipastikan dengan jelas. Namun kisah tasik itu yang meragut banyak nyawa bukan lagi rahsia. Hampir seluruh penduduk Chini memahami ragam tasik itu lebih-lebih kaum orang asli yang mendiami sekitar tasik.

Selalunya orang luar yang tidak tahu menjaga adab menjadi korban tasik. Tetapi itu tidak bermakna orang tempatan selamat dari menjadi mangsa. Sekumpulan pelajar dari sekolah berdekatan ke tasik itu tanpa menduga akan terjadi satu kisah tragis yang tak mungkin dapat  mereka lupakan.

Masitah turut serta dalam rombongan tersebut. Rombongan itu sekadar bertujuan untuk memberi kesedaran kepada para pelajar akan kepentingan alam sekitar kepada manusia. Guru-guru yang terlibat telah menyewa dua buah bot untuk membawa para pelajar mengelilingi tasik.

Masitah duduk di bahagian belakang bot bersama Suzana, teman baiknya. Cikgu Rozila sibuk berceramah di kepala bot walaupun kebanyakan pelajar kurang memberi perhatian terhadap apa yang dia perkatakan. Mereka lebih gemar mengaut bunga teratai dan buahnya dari permukaan air.

Masitah dan Suzana juga tidak ketinggalan. Seronok mengutip buah teratai sambil merenjis air sesama sendiri. Kemudian Masitah mengajak Suzana untuk mengubah tempat duduk ke bahagian hadapan bot. Masitah mengambil tempat betul-betul di muncung bot.

Masitah masih galak bermain air. Tidak lama kemudian, tiba-tiba sahaja Masitah menyentap tangannya keluar dari permukaan air. Raut wajahnya yang berubah panik menimbulkan tanda tanya kepada Suzana.

“Kenapa Ita? “ tanya Suzana.

Muka Masitah pucat. Dia tidak bersuara tetapi jarinya menuding ke arah air. Suzana menoleh. Mulanya dia hairan kerana tidak nampak apa-apa selain dari bunga teratai yang hidup subur. Namun ianya hanya seketika. Dalam air tasik, Suzana nampak satu bayangan hitam berenang-renang di sekitar bot mereka. Tidak dapat Suzana pastikan rupa bentuknya. Ianya seperti satu makhluk yang besar dan pastinya bukan sang buaya! Kini giliran Suzana pula berubah wajah.

Mereka berdua tergamam dan berpandangan sesama sendiri. Belum sempat mereka memberi amaran kepada rakan-rakan dan guru, kelihatan air tasik bergulung seperti ombak besar. Serentak itu juga terasa ada sesuatu yang besar melanggar bot mereka.

Akibat daripada itu, bot yang memuatkan seramai 10 orang itu terjungkit sebelum terbalik. Masitah terlebih dahulu terhumban ke dalam tasik. Rakan-rakannya yang lain menggelepar cuba menyelamatkan diri masing-masing. Ada yang berpaut kepada bot, ada yang mampu berenang ke tepian.

Tetapi tidak Masitah dan Suzana. Masitah bersusah payah untuk cuba timbul di permukaan air. Dia berasa berat yang amat sangat. Tiba-tiba Masitah terasa ada sesuatu sedang menarik kakinya. Masitah menjerit sekuat hati. Melihatkan keadaan itu, Suzana berusaha membantu Masitah untuk kembali naik ke permukaan air. Namun Suzana sendiri tercungap-cungap jadinya. Dia berasa Masitah begitu berat malah dia yakin ada sesuatu sedang menarik Masitah supaya tenggelam ke dasar tasik sehingga dia sendiri hampir lemas.

“Cikgu!!! Tolong!! Masitah jatuh dalam air ni!!” Suzana menjerit sambil terus cuba menarik Masitah. Masitah makin tenggelam. Suzana menangis melihatkan Masitah yang semakin tenggelam.

“Cikgu!!! Tolong!!!” Jeritan Suzana seakan tidak didengari oleh guru mereka. Suzana semakin berputus asa. Akhirnya Suzana tidak berdaya lagi. Terpaksa dia melihat Masitah tenggelam ke dasar tasik begitu sahaja.

Suzana diselamatkan oleh Pak Hasan, jurumudi bot. Sebaik sahaja sampai ke tebing, dia diserbu rakan-rakannya. Suzana menggeletar, kesejukan bercampur ketakutan.

“Eh? Mana Masitah?” Tanya Cikgu Rozila. Suzana mengerling marah ke arah cikgunya itu.

“Bukan ke tadi saya dah jerit mintak tolong! Sorang pun tak dengar! Masitah dah lemas dalam tasik nun!!!” Suzana menjerit sekuat hati seakan melepaskan perasaannya yang terkilan dengan kejadian sebentar tadi. Barulah guru-guru mereka menyedari Masitah sudah hilang ke dasar tasik.

“Suzana, cuba ceritakan apa yang dah jadi?” Tanya Cikgu Malek lembut.

Suzana teresak-esak. "Saya…cuba..cuba nak tolong Masitah cikgu… tapi, dia kuat! Kuat sangat! Berat! Macam ada benda tarik dia dari bawah! Saya..tak mampu nak selamatkan dia!!” Suzana meraung sekuat hati.

Sekejap sahaja cerita Masitah lemas di tasik tersebar ke kawasan sekitar. Pasukan penyelamat tiba dan memulakan gerakan mencari mayat Masitah. Dasar tasik yang gelap dengan rumpai, menyukarkan kerja-kerja mencari.

Tok Batin Jali turut membantu dalam gerakan mencari itu. Tidak seperti pasukan penyelamat yang menggunakan bantuan pernafasan, Tok Batin Jali yang arif tentang selok belok tasik, hanya menyelam begitu sahaja.

Menjelang petang, mayat Masitah ditemui. Ditemui oleh Tok Batin Jali dalam keadaan yang menimbulkan tanda tanya. Mayat Masitah ditemui terbenam dalam selut dasar tasik! Hingga ke paras dada! Hanya bahagian kaki yang kelihatan.

Malah Tok Batin Jali juga mengalami kesukaran untuk menarik keluar mayat Masitah dari selut. Seperti berbalas tarik dengan sesuatu dari dalam selut. Setelah beberapa minit berhempas pulas, barulah Tok Batin Jali berjaya menarik keluar mayat Masitah.

Orang ramai yang menunggu di pinggir tasik tergamam melihat keadaan mayat Masitah yang mengerikan. Rupanya seperti mayat yang sudah mati sebulan, sedangkan baru beberapa jam tenggelam. Perutnya buncit, dadanya kembung, mata terbuntang dan hidung penuh selut pasir.

Terkejut mereka semua apabila melihat begitu banyak selut yang keluar dari mulut mayat Masitah apabila dipam oleh pasukan penyelamat. Mereka hairan bagaimana mayat sekurus arwah Masitah boleh terbenam separuh badan ke dalam selut dan berubah menjadi mengerikan, seperti sudah lama mati!

“Susah nak tarik arwahnya keluar tadi. ‘Benda’ tu nak tarik mayat ni masuk dalam selut. Nasib baik aku sempat tarik, tapi kuat betul ‘benda’ tu…!” 

Kata-kata yang keluar dari mulut Tok Batin Jali membuatkan yang lainnya terdiam. Tok Batin Jali tidak mahu bercerita lanjut mengenainya. Yang pasti bukan sekadar ikan, ular dan buaya yang menghuni tasik itu. Tetapi ada sesuatu yang lebih menakutkan wujud di dasar sana….

Oleh: NORA

Friday, 27 June 2014

Hunky Avian Funky Arisa... cubaan LHN & RH mendidik melalui penulisan

June 27, 2014
Perghhh... tajuk kemain lagi... hahaha...

Hari ni... saya ke sekolah... berbincang dengan cikgu pasal prestasi anak. Sebagai cikgu dan mak, kami sama-sama menyatakan kerisauan tentang Gen-Y... tentang silibus pelajaran yang semakin mencabar, tentang anak-anak Gen-Y yang tak fokus... dan terkeluarlah isu pendidikan seks.


"Tahun depan, budak-budak KSSR ni dah mula belajar reproductive system, puan... kita dah tak boleh nak malu lagi dah... budak-budak sekarang ni, kita dah tak boleh cakap bebird... pepet tu semua dah... kena cakap terus terang...kena ada gambarajah baru diorang faham..."


Saya gelak-gelak. Saya pun mula berterus-terang dan bersembang yang benar dengan cikgu.

Balik rumah, saya belek semula buku Avian Arisa. Dalam hati berkata, "Aku dengan kak Lily dulu berhempas pulas buat buku ni, orang tak pandang pun... sekarang Kementerian dah tekankan isu ni...hmmm... rugilaaahhhhh..."

Sebagai pengarang, saya sakit hati sebab isu pembelajaran ni pernah saya dan Kak Lily Haslina Nasir bangkitkan suatu ketika dulu. Kami mungkin mak-mak yang garang tapi dengan anak-anak kami selalu cakap direct.

Sebagai pengarang, kami sering dicari orang-orang penerbitan PTS untuk melakukan projek baru dan diminta memberikan idea bernas (secara rahsia dalam ertikata lain geunine pig penerbitan). Maka saya dan kak Lily bangkitkan isu ni... nak buat buku pasal masalah budak-budak tentang perkara-perkara yang perlu mereka tahu tentang persediaan akil baligh.

Target dan sasaran tentulah budak-budak baya anak kami sendiri, Haiqal dan Ik yang waktu tu baru darjah dua dan satu. Sebab waktu tu mereka sendiri dah mula tau apa itu haid... bla bla...

Maka dengan niat murni, nak mendidik anak-anak melalui buku, saya dan kak Lily bersemangat waja, memulakan sesuatu yang baru... demi mencapai visi penerbit, memandaikan bangsa.

Gigihlah kami duduk bersila di Kino KLCC. Angkut segala educational teen punya buku untuk jadi rujukan. Betapa terujanya kami berdua berangan nak setanding dengan buku omputih. Comel dan ber'knowledge'.

Saya offer diri untuk buat layout, cover, lukis comic, grafik, dan susun atur huruf demi tak nak menyusahkan designer PTS untuk ikut kemahuan kami. Sampaikan kami angkut anak-anak berkampung di Bangi Kopitiam Dolomite, dari pagi sampai ke tutup kopitiam sampai semua menu kami try demi takut dihalau... demi nak menyenangkan kerja pihak penerbit.

See? Gila tak gila RH... ada ke pengarang dalam Malaysia yang tau buat semua dari A to Z sebuah buku, sampai bertunggu tangga di printer cek CTP? (tu pun ada jugak silap... bila dah jadi buku padahal rasa dah betulkan semua dalam PDF)


gigih dapatkan kata pengantar dari bonda TKC... yang tak layan sembarangan buku...
[caption id="attachment_2477" align="aligncenter" width="474"] gigih dapatkan kata pengantar dari bonda TKC... yang tak layan sembarangan buku...[/caption]
Tapi... halangan dah mula nampak awal lagi. Saya tak masuk meeting... sekadar menerima arahan, itu tak boleh ini tak boleh... sampai naik muak.

Sebenarnya kami berhajat buat watak Avian Arisa ni umur-umur Ik dan Haiqal... tapi pihak penerbit mintak up jadi watak budak sekolah menengah baru nak baligh. Payah... padahal kami ada pengalaman dengan anak-anak sendiri...

1) Saiz buku — cabaran buat saya. Terasa dipermainkan. Sekejap saiz itu, sekejap saiz ini... bayangkan... dengan grafik dan comic, bila sesuka hati pihak atasan mintak tukar saiz... saya rasa tak ada designer yang tahan. Dekat 9 kali diubah... tapi saya bertahan... demi nak hasilkan jugak sesuatu untuk Gen-Y.

2) Isu nama AVIAN — ditentang kerana nama tak Melayu. Saya bengang... dah saya kata, buku ni bukan untuk Melayu semata... sebab tu saya pilih nama AVIAN! Supaya semua kaum boleh baca.

3) Isu kartun berlengan pendek, berseluar pendek, tak bertudung — Pun menguji kesabaran saya. Kerana saya merasakan pihak yang berada dalam meeting itu tak faham konsep. Dah sah-sah buku itu untuk budak-budak belum akil baligh! Sumpah saya rasa nak jerit kenapa ortodok sangat... padahal kartun saya tu ala chibi.

4) Isu lukisan dan rajah organ lelaki dan perempuan — again... masalah ortodoks. Saya lukis dalam bentuk kartun yang kiut-kiut, bukannya real illustration supaya budak-budak senang faham. Again, orang-orang dewasa yang berada dalam meeting board tak mengerti.

5) Layout — angan-angan kami nak buku yang free-flow, comel, macam buku omputih tak menjadi... bila mana, saya terpaksa akur kehendak penerbit yang mahukan layout ikut undang-undang buku. Hmm... sedih... terus buku jadi rigid.

Buku ni memang penuh airmata... penuh effort dari kami. Hajat nak mengelak budak-budak dapat maklumat salah dari sumber lain. Berjanji dengan pembaca akan keluar pada Pesta Buku 2011. Ribuan ringgit kami habiskan demi nak menyambut buku ni di pesta buku. Macam kenduri kahwin, dengan bunga telur, goodies bag bagai.

kemain menghabiskan duit, buat bunting, goodies, t-shirt segala...

Sudahnya hujung Jun 2011 baru muncul.

Ya, kami memang nampak halangan buku ni, dari tajuk, cover, kartun sampailah dah terbit. Semua benda jadi isu.

Bila dah keluar, kami terus nampak halangan yang sama. Malah ada kami dengar dari kalangan penulis sendiri yang berpesan supaya ibubapa memantau anak-anak daripada membaca buku ini. Kalau tanya, kami memang KECEWA, sebagai pengarang, sebagai mak-mak bila ada mak-mak lain yang melabelkan buku tu tak patut dibaca walhal di sekolah anak-anak dah lebih advanced.

Sampaikan saya tertanya... diorang ni tak ambil tau ke pasal apa anak-anak belajar kat sekolah?

Kenapa mesti sekat buku yang berilmu? (bukan puji buku sendiri tapi sebab kami buat kajian untuk hasilkan buku ni)

Kenapa mesti ortodoks?

Sexual education - Fundamental facts of life!

Bukanlah maksudnya kita ni kena mengajar anak menge'seks'. Ini pun kena tune sikit otak.

Saya sendiri dengan Ik, selalu jerit kalau dia tengah 'boner'. "Hoi! Kau fikir awek ye sampai 'tunit' kau tegak macam tu?!" *saya sebut tunit kasi comel sikit bunyinya...hahaha*

Ya... dia kecik lagi... baru darjah empat... tapi saya selalu dengar cara dia bersembang dengan kawan-kawan dia... dah tahap sekolah menengah... So, sebagai mak yang pernah belajar di University Of Discovery Malaysia (gelaran untuk UTM), saya kena berfikiran terbuka sementelah saya dengan suami sendiri cakap direct aje.

Dulu waktu Ik baru nak tadika, tertangkap juga dia sedang menatap lama gambar seorang artis perempuan yang menayangkan dada gebunya di sisipan RAP. Memang kena jerit.

Zaman la ni... banyak sangat sumber melucah tanpa perkataan... Kita tak boleh samakan dengan zaman kita yang mana mak bapak tak ajar benda-benda macam ni. Zaman media sosial, kita pun sebagai ibubapa kena berubah setakuk. Ego kena ketepikan. Malu kena tahan kejap.

Kalau tak, anak ada banyak cara lain nak belajar. Media sosial.

Masa ni, jangan salahkan novel. Salahkan pemikiran anak yang tak tau bezakan mana buruk, mana baik... sebab ilmu asas tu tak ada. Dan jangan menyesal kalau anak-anak GEN-Y ni cakap, mak ayah saya tak cakap salah pun... tak ajar, tak larang, tak bagi ilmu.


  • Atau nak ke tunggu, anak dara menangis bawak perut ada isi sebab tak tahu... bila penis masuk melalui vagina, sperma akan berserakan dan kalau sperma itu aktif akan disenyawakan dan menjadi zuriat?

  • Atau anak lelaki bangga sebab tingkatan tiga dah berjaya menabur benih di ladang wakaf?

Haa... ambik kau! Maaflah ye... RH memang tak reti cakap berlapik. Kak Lily sendiri selalu kata macam tu... tapi mak tak kecik hati... hahaha...

Beleklah dulu isi dalam AVIAN ARISA sebelum korang gigih palu kompang kata buku tu lucah. Biarlah penerbit kata buku ni slow, tapi saya dan kak Lily tetap rasa buku ni paling rich dengan pengisian dan paling cun pernah kami buat bersama.

Kalau tak banyak... sikit pun jadilah asasnya sampai ke otak anak-anak supaya sel otak berhubung, sexual education fundamental + agama, kena jalan seiring di zaman media social berkuasa ni... kalau tak... habislaaaaa...

cover asal yang saya suka... plain... simple... tapi menangkap mata

Nah... saya tempekkan sikit isi dalam... korang nilailah sendiri lucah ke tidak... patut ke buku ni dipantau, patut ke ibu bapa menghalang anak-anak baca buku macam ni...?









Kenonon nak bersambung... siap suruh budak-budak tunggguuu sebab Kak Lily dan Kak Rose nak bagi hadiah bonanza... sudahnya buku masuk peti besi.... :'(

Bila kreativiti pengarang terhalang... oleh sikap ortodoks yang tak kena tempat... haihhhh...
Cc: Kak Lily Haslina Nasir (mari mengimbau nostalgia tentang komitmen dan dedikasi... kita kan selalu jadi geunine pig... huahahahaa...)
Rose Harissa® Registered under the provisions of the Trade Marks Act 1976 and the Trade Mark Regulations 1997 since 2016