Tuesday, 6 March 2012

Rindu Itu Cinta- Bab 1

Nota kepala : Dipersilakan membaca, tinggalkan komen membina, mahupun teguran sekiranya bahasa Sarawak itu salah. Suka aku ingatkan bahawa ini bukan novel Islamik, jadi jangan expect yang berhemah-hemah sebab ini novel aku tulis free flow, ikut apa yang sebenar berlaku dalam masyarakat, kat facebook, kat twitter dan sebagainya. Kiranya, banyak manusia berdosa dalam ini cerita tapi semestinya akan ada perubahan. Sebab bagi aku kerana cinta, manusia sanggup buat apa sahaja. Sanggup berdendam, sanggup berubah, sanggup berkorban dan apa sahaja...
Komen-komen membina sangat dihargai sebab aku rasa aku dah semakin hilang skill menulis novel dewasa. Harap korang dapat membantu aku memperbaiki mana-mana yang kurenggg sebab ada beberapa novel yang terperap dalam pc akibat aku mengidap sindrom
Lack of self-confidence , low self-esteem...sebab selalu rasa citer aku tak best mana... m(_ _||')m
Jadi, selamat membaca bab 1!
(^_^)y 
 

1

“ASTAGHFIRULLAH…!” Puan Sharifah Norzah mengucap panjang sambil mengurut dada. Tidak cukup dengan itu, dia menggeleng kepala sambil menghela nafas panjang berkali-kali. Rasanya nyaris dia terkena serangan jantung apabila melihat gambar yang terpapar di laman twitter milik Sharifah Rania.

raniaidrus (Sharifah Rania Syed Idrus)

Sweet moment at Pangkor with my cutest bf @al_900

Begitu tulisan yang tertera di bawah gambar seorang gadis berbikini merah jambu sedang mencium pipi seorang jejaka yang cuma memakai border pants! Walaupun jejaka itu berkaca mata hitam tetapi Puan Sharifah Norzah cukup kenal siapa dia.

Sekali lagi Puan Sharifah Norzah mengucap panjang, cuba mententeramkan jiwanya yang dihangatkan oleh gambar panas itu.

“Mak… okey sik? Mun sik okey, iboh nangga gambar ya lamak-lamak[1]…” Alani, anak bongsunya yang berusia 17 tahun mengurut-ngurut belakang badan Puan Sharifah Norzah.

Timbul rasa menyesal dalam hati Alani kerana menunjukkan gambar tersebut kepada emaknya. Tadi dia sengaja online kerana sudah lama tidak tweet si abangnya, Al-Hadi yang dipanggil Al. Abangnya kini menetap di Ulu Kelang bersama kakak nombor duanya, Amalia. Al bukanlah seorang yang gemar bertwitter, tetapi dia tidak pernah mengabaikan tweet dari si adik.

Alih-alih, Alani dikejutkan dengan gambar ‘berani mati’ yang ditag oleh teman wanita Al. Dia sendiri tanpa berfikir panjang terus memanggil emak agar melihat gambar tersebut. Terkejut punya fasal sehinggakan otak pun tidak mampu berfikir panjang.

“Kenja nar abang kitak ya eh[2]!” getus Puan Sharifah Norzah dalam bahasa Sarawak. Geram sungguh dia dibuatnya dengan ulah anak lelaki tunggalnya itu. Umur sudah 32 tahun tetapi masih belum mahu berkahwin.

“Mak…bukan abang, tapi kak Rania ya nang kenja! Nya suk upload gambar kedak ya[3]!” Alani masih berusaha membela abang kesayangannya. Lagipun dia memang tidak suka dengan sikap Rania yang terlalu sosial itu. Tahulah dia anak orang kaya di Sarawak tetapi janganlah melampau sangat mengikut gaya hidup orang barat.

Suka sangat memuat naik gambar bukan-bukan. Bayangkan gambar gelas bir pun ditayangnya dalam Facebook dan twitter. Itu belum dikira lagi gambar dia merokok atau pun bermain-main dengan anjing! Seolah-olah Rania berbangga dengan gaya hidup bebas begitu. Huh! Sangat tak sesuai dengan abang aku yang kiut! Entah macam mana abang boleh tersangkut kat perempuan macam tu. Dah rabun sangat agaknya! Alani membebel dalam hati.

 Puan Sharifah Norzah bangun, sudah tidak sanggup melihat gambar anak lelakinya yang sah-sah sudah tidak teruna lagi itu. Sedih hatinya bukan kepalang lagi.

“Mak?” Alani memanggil, mula risau melihat wajah duka emaknya.

Puan Sharifah Norzah tersenyum hambar. “Kelak adik beli tiket belon, mak maok nemu abang lusak[4]…” 

Selepas berkata demikian, Puan Sharifah Norzah berlalu masuk ke bilik. Dengan perasaan lemah, dia duduk di birai katil. Tangannya mencapai bingkai gambar dari atas meja. Tangan tuanya mengusap gambar Al-Hadi.

Al, satu-satunya anak lelaki yang dia ada, di antara tiga orang anak perempuannya. Ardini, anak yang sulung, sudah berkahwin, punya dua anak dan sekarang masih menetap bersamanya di Kuching. Begitu juga dengan Alani, si bongsu. Anak kedua, Amalia juga sudah berkahwin tetapi menetap di Semenanjung bersama seorang anak lelaki berusia tiga tahun. Suami Amalia, Jazli bekerja sebagai jurutera di Dhubai. Hanya pulang selang tiga bulan sekali. Disebabkan itu, Jazli meminta Al tinggal di rumahnya dan Al akur untuk tinggal bersama di rumah semi D di Ulu Kelang.

Tetapi entah kenapa, Al boleh terjebak suka bersosial. Pasti kerana terikut-ikut dengan perangai sepupu-sepupunya yang kebanyakkannya bagaikan lupa asal usul.

Puan Sharifah Norzah mengeluh lagi. Saat dilanda kesedihan begitu, dia menjadi lebih rindu kepada arwah suaminya. Sudah 20 tahun Al-Ammar pergi meninggalkannya.

“Ammar…kamek asa Al sik berolah kedak ya mun kitak ada. Beraie nar kamek ngan kitak[5]…”

___________________________________________        

[1] Mak… okey tak? Kalau tak okey, jangan tengok gambar tu lama-lama…

[2] Gatalnya abang awak tu ya?”

[3] Mak…bukan abang tapi kak Rania tu memang gatal. Dia suka upload gambar macam tu!

[4] Nanti adik beli tiket kapalterbang, lusa mak nak jumpa abang…

[5] Ammar, saya rasa Al tak nakal macam tu kalau awak ada. Rindu betul saya dengan awak…
Rose Harissa® Registered under the provisions of the Trade Marks Act 1976 and the Trade Mark Regulations 1997 since 2016