Biarpun timbul tanda tanya siapa yang melancarkan serangan mengejut tadi, mereka semua tetap melaksanakan arahan Leftenan Komander Uzir. Kesemua lima mayat yang ditemui itu dikumpulkan setempat bagi memudahkan kerja membawa mereka keluar dari situ nanti.
Tuhan sahajalah yang tahu betapa loyanya tekak masing-masing. Bau mayat bagaikan bersatu dengan bau badan sendiri. Tetapi demi mengelakkan mayat-mayat itu menjadi habuan binatang buas, mereka terpaksa reda. Itu sebahagian daripada tugas mereka.
Apabila Rasulullah s.a.w menghantar tentera-tentera untuk operasi ketenteraan, beliau akan sentiasa memberi wasiat kepada mereka yang bermaksud seperti berikut: “Berperanglah dengan nama Allah, dan untuk jalan Allah. Perangilah mereka yang kufur terhadap Allah. Berperanglah dan jangan melampau. Jangan berkhianat. Jangan merosakkan mayat (yang terbunuh dalam peperangan). Jangan bunuh kanak-kanak.” (Riwayat Muslim).
Setelah kerja-kerja mengumpulkan kesemua mayat itu selesai, Leftenan Komander Uzir segera memberikan arahan, “Ayuh! Kita bergerak sekarang! Kita perlu cari yang lain sebelum hari malam...!"
Mereka pun mulai bergerak secara berjajaran, saling mengawasi antara satu sama lain. Baru beberapa langkah, tiba-tiba terdengar suara terbatuk-batuk dari arah belakang.
Mereka pantas berpaling dan terkejut apabila melihat seorang lelaki berpakaian tentera koyak rabak berdiri dalam comot. Darah kering dan kesan luka memenuhi mukanya.
Mejar Roslan, Sarjan Radit dan Leftenan Arifin serentak mengacukan raifel masing-masing. Lelaki itu segera mengangkat kedua-dua belah tangan ke atas. Melihatkan lelaki itu tidak merbahaya, Leftenan Komander Uzir mendekati.
"Jangan bunuh aku! Aku Kapten Sani dari KTK 1!" Lelaki itu memperkenalkan diri.
Mendengar nama itu, Leftenan Komander Uzir segera memberikan isyarat tangan agar anak buahnya tidak lagi mengacukan senjata.
"Mana yang lain?" tanya Leftenan Komander Uzir dengan suara tenang tetapi matanya memandang penuh waspada.
Kapten Sani pantas menggeleng. "Saya tak tahu, tuan! Mereka tinggalkan saya dan yang lain kat sini..."
"Kamu tahu kemana mereka pergi?"
"Tak tahu, tuan...tapi rasanya mereka menghala ke sungai untuk mendapatkan bantuan." Tangan Kapten Sani menuding ke arah jam tiga.
"Habis, kenapa kamu tak ikut?"
"Mereka suruh saya jaga rakan-rakan yang cedera!"
"Oh, jadi kamulah yang serang kami tadi?!" tiba-tiba Mejar Roslan mencelah dengan suara keras berbaur geram.
"Bu...bu...bukan! Bukan saya! Bukan saya! Saya dengar bunyi tembakan tadi! Saya takut! Saya menyorok!" Kapten Sani mengibas-ngibaskan tangan. Mukanya terlihat pucat serta-merta dan dalam ketakutan. Perlahan-lahan dia duduk mencangkung dengan mata melilau, macam budak baru dibuli senior.
Masing-masing pelik melihat keadaan Kapten Sani yang seperti dalam keadaan trauma melampau.
"Sudah! Bangun, Kapten Sani!" tegas Leftenan Komander Uzir, tidak sampai hati melihatnya.
Masih kelihatan takut-takut, Kapten Sani bangun perlahan-lahan. Tetapi dia tidak berani mendekati mereka semua.
"Sekarang, ikut kami! Kita cari yang lain!" Leftenan Komander Uzir memberikan perintah.
"Tapi tuan, dua jam lagi hari dah nak malam. Kita tak boleh menghala ke sungai pada waktu malam!" Mejar Roslan membantah.
Mata Leftenan Komander Uzir mencerlang garang. “Siapa ketua di sini? Jangan membantah arahan saya! Cepat!”
Mejar Roslan mengertap geraham menahan geram. Kalau tidak difikirkan anak-anak buah yang memerhatikan dengan kerutan hairan di dahi, mahu sahaja dia membalas kata-kata Leftenan Komander Uzir.
“Kita tak boleh percayakan dia ni! Jangan-jangan dia akan membawa kita kepada pihak musuh! Sungai akan mendedahkan kita pada bahaya!” Mejar Roslan masih mempertahankan pendapatnya.
Tiba-tiba Kapten Zhafri mara. “Sekurang-kurangnya, kalau kita mara ke sungai, dapatlah juga membersihkan badan dari bau mayat ni dan menunaikan solat! Ke mana pun kita pergi, jangan sesekali lupakan Tuhan!”
Bukan hanya Mejar Roslan yang terkedu mendengar sindiran pedas Kapten Zhafri itu, anggota-anggota lain turut terdiam. Mata Mejar Roslan menyiratkan amarah tetapi Kapten Zhafri tidak mengacuhkan. Sedangkan Leftenan Komander Uzir tersenyum lebar. Kapten Zhafri memang mempunyai ciri tentera yang mewarisi tujuh wasiat raja-raja Melayu!
Seorang tentera pun perlu menjaga solat walau dalam apa keadaan sekalipun. Kerana solat adalah senjata Mukmin sama seperti senjata yang ada pada tangannya, sama seperti baju kalis peluru yang dipakai buat melindunginya. Seorang pejuang Islam sejati akan tetap menunaikan solat di medan pertempuran ketika senjata masih tangannya dan ketika peluru musuh melesat di atas kepalanya. Solat bagi seorang pejuang mukmin adalah hubungan dengan Allah, ketika memerlukanNYA, pada ketika yang dirasakannya paling dekat kepada Allah, iaitu ketika ketakutan mengepung di sekelilingnya.
FIRMAN Allah s.w.t. yang bermaksud: Dan jika kamu takuti (sesuatu bahaya) maka sembahyanglah sambil berjalan atau berkenderaan, kemudian apabila kamu telah aman sentosa, maka hendaklah kamu mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang secara yang lebih sempurna), sebagaimana Allah telah mengajar kamu apa yang kamu tidak mengetahuinya. (al-Baqarah: 239).
------------------------------------------
LEFTENAN Komander Uzir sedang mengimamkan solat jamak takhir sementara Sarjan Radit dan Sarjan Kong Chee Meng bertindak mengawasi keadaan sekitar.
"Bro! Aku dengar kau ni nak masuk Islam, nak kahwin dengan awek Melayu, tapi kenapa kau tak ikut mereka solat?”
“Aku mana reti lagi solat-solat ni… potong anu pun belum!” balas Sarjan Radit selamba.”
“Ceh! Berangan aje lebihlah kau! Kalau anu pun belum potong, macam mana awek Melayu nak pandang kau?” sindir Sarjan Kong Chee Meng.
“Siapa kata tak ada awek Melayu nak pandang aku? Bersusun tahu…” Sarjan Radit siap menggayakan dengan tangan kanan dilapikkan ke atas tangan kiri. “Kau jangan tak tahu, ramai sebenarnya perempuan kat luar sana yang tertarik dengan lelaki yang berkecimpung dalam bidang tentera. Kau tahu sebab apa?”
“Manalah aku tahu… aku bukannya pandai sangat bab-bab perempuan ni…” Sarjan Kong Chee Meng jelas merendah diri.
“Rugilah kau! Takkan sebab kita selalu masuk hutan, kau tak fikir pasal perempuan langsung? Kau tahu tak, perempuan akan berdecak kagum tengok badan kekar kita, itu tak masuk lagi keberanian kita. Jadi jangan hairan kalau banyak perempuan yang berharap, lelaki dengan seragam loreng ni dapat menjadi kekasih pujaan hati diorang!” Begitu bersungguh-sungguh Sarjan Radit menjelaskan, mengalahkan sang komander member taklimat taktikal! Apa tidaknya, ini taktikal menawan hati perempuan!
“Kau cakap macam bagus aje. Kalau betul macam tu, kenapa Kapten Zhafri yang muka hensem, badan tough tu belum ada awek sampai sekarang?”
“Ah! Kau jangan nak bandingkan dengan dia pulak! Dia tu, stone! Menghadap mayat pecah pun macam orang takde perasaan, inikan pulak bila menghadap perempuan… aku rasa kalau awek berbogel depan dia pun, dia tak hairan kut! Hahaha!”
“Syyy… kuat sangat suara kau tu! Dibuatnya Kapten Zhafri dengar, naya aje!” Sarjan Kong Chee Meng memberikan peringatan seraya menoleh ke arah saf.
“Apsal kau takut sangat dengan Kapten Zhafri tu?”
“Bukan takut… tapi hormat. Aura dia tu lain…diam-diam berisi… aku dengar dia sanggup buat apa sahaja…”
Sarjan Radit tidak mengendahkan komen Sarjan Kong Chee Meng. Tangannya sibuk menepuk-nepuk bahu Sarjan Kong Chee Meng sambil mata terarah ke hadapan. Pelik melihat gelagat Sarjan Radit, Sarjan Kong Chee Meng ikut memandang. Kelihatan Kapten Sani keluar dari semak samun.
“Eh? Kenapa Kapten tak solat sekali dengan diorang?” tanya Sarjan Kong Chee Meng.
Tidak menjawab, Kapten Sani sekadar tersenyum dan duduk di pangkal pokok, bertentangan dengan tempat Sarjan Radit dan Sarjan Kong Chee Meng duduk.
“Psst! Kapten Sani tu Melayu kan? Kenapa dia tak solat? Tak takut dosa ke?” tanya Sarjan Kong Chee Meng dengan suara separuh berbisik kepada Sarjan Radit.
“Kau ni kepochi sungguh! Lantaklah dia nak sembayang ke tidak. Kita peduli apa?” Sarjan Radit bersikap acuh tidak acuh.
Dalam pada itu, Kapten Sani terus merenung mereka bersama satu senyuman yang sukar ditafsirkan. Sarjan Radit mula tidak senang memandangnya.
“Kenapa kamu pandang kami macam lelaki gay nak mengorat aje?” sergah Sarjan Radit.
Semakin meleret senyuman di bibir Kapten Sani sambil matanya menjeling Sarjan Radit. “Heh, orang macam kamu, cakap aje besar tapi hati kecil aje sebenarnya!”
Betapa terkejutnya Sarjan Radit mendengar komen itu. Mendadak dia berasa marah yang amat sangat. Lantas Sarjan Radit segera berdiri.
“Kau kenapa? Ada rasa nak cabar aku ke hah?!” teriak Sarjan Radit tanpa menghiraukan jemaah yang masih belum selesai solat. Sarjan Kong Chee Meng tak ayal, turut bangun lalu memegang bahu Sarjan Radit.
Kapten Sani tersenyum sinis. “Heh! Baru kena sindir sikit dah naik angin! Macam pondan!”
“Celaka!” maki Sarjan Radit, siap mengangkat Steyr AUG tinggi-tinggi, mahu dihayunkan ke kepala Kapten Sani.
“Weh! Sabarlah weh!” Sarjan Kong Chee Meng cuba menahan. Tetapi Sarjan Radit menyiku.
“Kau jangan campur, Meng! Aku nak ajar sikit dia ni! Sepatutnya orang macam ni, kita biarkan aje sorang-sorang kat tempat tadi. Biar dia kena baham dengan harimau!”
Kapten Sani tiba-tiba bangun, bersama pandangan menantang. “Kau fikir aku takut sangat dengan harimau? Kau patut tahu, dalam hutan ni, ada banyak lagi perkara menakutkan selain daripada harimau!”
Kata-kata Kapten Sani itu tiba-tiba sahaja membuatkan bulu roma Sarjan Kong Chee Meng meremang. Tetapi tidak bagi Sarjan Radit, kerana dia bertambah berang dan merasa sangat tercabar.
“Kurang ajar!” Sarjan Radit meluru, namun satu tangan kekar terlebih dahulu menampan dadanya. Pergerakan Sarjan Radit terhenti serta-merta dan dia menoleh ke wajah empunya tangan.
“Jangan jadi macam budak kecil!” getus Leftenan Komander Uzir sambil tangannya mencengkam lengan Sarjan Radit.
Biarpun Sarjan Radit patuh, tetapi matanya tetap merenung tajam ke arah Kapten Sani. Mereka saling menikam pandang.
Sambil terus memandang wajah Kapten Sani dan Sarjan Radit silih berganti, Leftenan Komander Uzir berkata, "Di mana esprit-de-corp kalian hah?! Kamu sepatutnya sedar, sebagai anggota pasukan elit, kita mesti mempunyai sikap merendah diri dan tidak mendabik dada dengan kebolehan yang kita ada! Sebagai sebuah pasukan, kita mesti mengutamakan silaturahim, bukannya bertelagah soal remeh-temeh!"
"Tapi dia bukan anggota pasukan kita! Lagipun dia yang cari fasal dulu!" tegas Sarjan Radit sambil menuding jari ke arah Kapten Sani.
"Sarjan Radit!" seru Leftenan Komander Uzir. Dia tidak melanjutkan kata, sekadar memberikan pandangan penuh amaran.
Mahu tidak mahu, Sarjan Radit terpaksa mengalah. "Maaf, tuan!" Namun hatinya tersemat dendam apatah lagi bila menyedari Kapten Sani terus tersenyum sinis memandangnya.
“Misi kita ke sini, mahu mencari rakan yang hilang biarpun mereka dari battalion lain, bukannya bertelagah!” Leftenan Komander Uzir menegaskan. Tidak ditujukan kepada Sarjan Radit seorang tetapi kepada anak buahnya yang lain juga.
“Betul tu, tuan.” Kapten Sani mencelah, membuatkan semua mata tertumpu kepadanya. “Saya sendiri rasa masih ada anggota pasukan saya yang terselamat. Sebelum meninggalkan saya bersama rakan yang tercedera, ketua unit kami, Mejar Zamri memaklumkan dari sungai ini dia mahu bergerak ke utara bagi mendapatkan bantuan.”
Mendengarkan maklumat itu, Leftenan Komander Uzir terdiam sejenak, memikirkan tindakan selanjutnya. “Kita bergerak, cari tempat bermalam, jauh sikit dari sungai ni…”
“Tapi, tuan, saya rasa, elok kita bergerak ke utara malam ni juga!” Tiba-tiba sahaja Kapten Sani menyampuk.
Dahi Leftenan Komander Uzir terus berkerut. Nampaknya Kapten Sani tidak peduli siapa ketua di sini.
“Tidak! Anak buah saya juga perlukan rehat. Esok sahaja kita menghala ke utara!” tegas Leftenan Komander Uzir.
*************************
Suasana sekitar sudah menjadi gelap. Sebagai langkah keselamatan, Leftenan Komander Uzir tidak membenarkan mereka semua memasak, apatah lagi menyalakan api. Lantaran itu, masing-masing duduk diam sambil memamah biskut tenaga. Bagi memudahkan penglihatan di dalam gelap, mereka mengenakan alat pandang malam (Night Vision Goggle/ NVG).
Diam-diam, Kapten Zhafri tidak putus-putus membaca doa dalam hati, "Tidak akan rosak dan musnah diriku diatas sebarang PERBUATAN MAKHLUK melainkan diizinkan ALLAH Taala…"
Kurang lebih jam 9.00 malam, seorang demi seorang anggota pasukan elit itu mulai tertidur berbumbungkan rimbunan daun pokok yang menutup langit malam. Mereka semua tertidur tanpa menyedari suasana hutan tiba-tiba berubah jadi sunyi sepi.
Dalam keheningan dan kegelapan malam, kelihatan satu susuk tubuh besar menghampiri Leftenan Muda Nizam sedang nyenyak tidur. Sikitpun dia tidak menyedari bau darah dari luka di lengannya telah menarik kehadiran musuh. Udara panas yang terhasil dari hembusan nafas musuh tepat mengenai muka, menyedarkan Leftenan Muda Nizam dari tidur. Sebaik sahaja dia membuka mata, dia terperanjat besar.
Namun belum sempat dia menjerit meminta tolong, mulutnya sudah dipekup dan tubuhnya diseret laju menjauhi kumpulannya. Leftenan Muda Nizam terus lenyap dibawa lari tanpa disedari sesiapapun!
Sedangkan mereka yang lain bagaikan tidur mati…