ZURYA memandang Nisa dari hujung rambut sehingga ke hujung kasut. Kemudian, matanya kembali naik memandang muka Nisa. Walaupun berasa kurang senang melihat cara Zurya menelitinya, Nisa tetap mempamerkan wajah beku tanpa perasaan.
“Kenapa kau tengok aku macam tu? Apa yang tak kena?” tanya Nisa, agak tidak selesa apabila terus direnung seperti orang salah.
Masih dengan dahi berkerut seperti belum habis berfikir, Zurya bertanya, “Kenapa kau nampak lain sekarang, hah? Kau buat suntikan botok, eh? Ke kau ada buat implants kat dada dengan punggung kau tu?”
Kali ini, giliran Nisa pula memandang Zurya dengan dahi berkerut. Bahkan Hanim pun tidak kurang berlapis dahinya, tidak menyangka selancang itu Zurya mengemukakan pertanyaan. Langsung tak bertapis!
Mata Nisa mengecil. “Kau fikir aku ni kemaruk sangat ke nak jadi lawa sampai sanggup suntik botok, buat implants segala?”
“Manalah tahu…sebab aku rasa, dulu-dulu, kulit kau tak adalah segebu sekarang ni. Body kau dulu pun kerempeng aje pun… sekarang ni lain macam aje aku tengok...” Zurya mengerling ikut ekor mata, masih tidak puas hati melihat perubahan diri Nisa. 10 tahun tidak berjumpa, Nisa sekarang lain sungguh! Dia yang perempuan pun rasa tercabar melihat bentuk tubuh Nisa, apatah lagi kalau lelaki yang melihatnya. Mau terjojol biji mata!
Bukannya Nisa yang buka mulut mempertahankan diri, tetapi Hanim pula gigih menjawab bagi pihak. “Isk kau ni Zurya…mulut kau kan…dari dulu tak pernah nak cakap bertapis. Dulu lain, sekarang lain. Nisa ni rajin ke gym! Kau jangan tak tau, Nisa ni terer boxing. Lagi satu, kalau kau pun nak kulit gebu macam Nisa, kau makanlah gluta, AG-Factor, guna SKII! Gerenti kulit macam telur baru lepas dikupas!"
Zurya mencemik. “Eleh… aku tak mainlah nak makan-makan supplement ni, kulit aku dah memang cantik. Original! Dah tu, kau tak ikut makan sekali? Tak nak jadi putih macam Nisa?”
Muka Hanim semerta memerah. “Aku tak mampu! Gaji aku tak besar macam gaji Nisa nak makan supplement mahal-mahal…”
Zurya tidak mahu memberikan komen soal kerja. Perhatian sejak minit pertama pertemuan mereka, lebih banyak tertumpu pada Nisa. Tidak dapat tidak, hatinya terpaksa mengakui, Nisa hari ini sangat cantik berbanding 10 tahun dahulu. Nampak lebih anggun dan tidak kebudakan macam 10 tahun sudah.
Tiba-tiba Zurya berasa jaki melihat ketenangan wajah Nisa. Tapi rasanya ada satu perkara yang boleh menggugat ketenangan itu.
“Nisa, aku dengar Azry pun dah balik Malaysia. Kau tak nak jumpa dia?” Zurya melemparkan pancingan.
Nisa tertegak memandang Zurya dengan mata tajam. Mukanya sudah merah padam.
Tetapi Hanim pula yang terlebih teruja. “Eh? Mana kau tau Azry dah balik? Kau ada jumpa dia ke?”
“Ah ah...aku terserempak dengan dia kat KLIA waktu baru sampai Malaysia. Makin hensem dia sekarang. Kau tak nak jumpa ke dengan dia, Nisa?” Zurya mengerling ke arah Nisa dengan senyum seribu makna.
Nisa melotot. “Buat apa aku jumpa dia?!”
“Iyalah…dulu kan, kau cintakan dia setengah mati sampai sanggup…”
“Cukup!” bentak Nisa lalu menepuk meja sekaligus bangun. Matanya mencerlang memandang Zurya. “Kalau tujuan kau jumpa aku semata-mata nak sakitkan hati aku dengan menyebut nama si bedebah tu…lebih baik kita tak payah jumpa terus!”
Setelah berkata demikian, Nisa terus mencapai beg tangan dan terus berlalu keluar dari Garden Cafe. Hatinya panas, macam gunung Merapi menanti untuk meletus.
“Eh, Nisa! Tunggu!” Hanim memanggil. Tetapi Nisa langsung tidak menggubris. Melihat Nisa semakin menjauh, Hanim kembali memandang Zurya.
“Kenapa dengan kau ni? Apsal kau nampak macam saje nak cari gaduh dengan Nisa?”
“Mana ada!” Zurya segera menafikan. “Aku tanya aje… manalah tau, kut-kut dia masih cintakan Azry macam dulu. Iyalah, sampai sekarang tak kahwin-kahwin lagi… dah berubah jadi putih melepak macam tu, takkan tak ada jantan yang nakkan dia?”
Nada percakapan Zurya cukup pedas pada pendengaran Hanim. Entah mengapa, dia merasakan Zurya bukan lagi kawan baik mereka seperti dulu.
“Ada! Bos dia, Tengku Tajuddin suka kat dia… tapi Nisa tu aje yang tak layan!” Sengaja Hanim membuka rahsia. Biar Zurya tidak lagi memandang rendah terhadap Nisa.
Mata Zurya membulat. “Wah? Golongan tengku-tengku nak dia? Tapi kenapa pulak Nisa tak layan? Sebab dia masih teringatkan Azry? Begitu?”
“Ah! Malas aku nak jawab! Kau tanya Nisa sendirilah!” getus Hanim, tidak kuasa lagi mahu melayan soal siasat Zurya. Ada yang sangat pelik terhadap sikap Zurya itu. Perempuan itu seolah-olah seperti ular tedung yang menyembunyikan bisa.
*************************
Nisa berusaha keras meredam kemarahan sambil melangkah deras. Kalau diikutkan hati, mahu sahaja disepaknya mulut ‘capui’ Zurya tadi. Sumpah, mati hidup semula pun, dia tidak mahu walau secuit pun dikaitkan dengan Azry lagi. Lelaki yang paling dibencinya seumur hidup. Jadi jangan cari fasal dengannya walaupun sekadar menyebut namanya. Pantang tok nenek!
Sampai sahaja di hadapan Toyota Vios warna putih miliknya, hati Nisa semakin terbakar apabila melihat sebuah Kia Forte warna putih melintang molek di belakang keretanya.
“Kereta tu lagi!” rengus Nisa sambil matanya meliar mencari pemilik kereta itu.
Tidak mahu menunggu lama, Nisa membuka pintu keretanya lalu menekan hon berpanjangan, sekaligus melampiaskan kemarahan yang masih bersisa dalam hati. Tidak peduli dirinya mula menjadi tumpuan pengunjung Maybank di hadapan parkir itu. Soalnya suasana hati Nisa sekarang ini benar-benar kacau hanya kerana mendengar nama Azry!
Seorang jejaka kelihatan terkocoh-kocoh keluar dari pintu Maybank. Mudah dijangka, itulah pemilik Kia Forte tersebut. Huh! Rupanya mamat gigi besi yang Hanim minat tu!
“Sori...sori...saya pergi masukkan duit sekejap tadi...”
“Ada saya kisah?” balas Nisa dengan muka sengaja ditayang jengkel. Tidak ada mood mahu beramah mesra! Muka hensem jejaka itu pun sudah kelihatan seperti kerang busuk di matanya.
Si jejaka gigi besi tergamam buat beberapa saat, seakan tidak dapat memahami kemarahan Nisa. Kemudian, sambil menggeleng-gelengkan kepala, dia segera masuk ke dalam kereta lalu mengundurkannya bagi memudahkan Nisa keluar dari petak parkir.
Tanpa menoleh-noleh lagi, Nisa terus menekan minyak, beredar dari situ dengan kadar segera bersama hati membara terkenangkan Azry!
Jangan kau muncul lagi depan aku, Azry!