Thursday, 27 September 2012

Rindu Itu Cinta - Bab 7

“MAK you suruh kita nikah?!” Suara Sharifah Rania melengking.

Al menjeling tidak senang. Emak sudah marah tapi Rania pula tidak mahu mengalah. Cara Rania bertanya seolah-olah nikah itu perkara paling menakutkan. Tidak semena-mena Al merasakan kondominium  kediaman Rania ini sangat panas hawanya.

“You macam tak suka aje bila I sebut soal nikah. Kenapa? You memang tak nak menikah ke?” Al berbalik menyoal sebelum menyuap spaggeti ke mulut. Rania kalau disuruh masak spaggeti memang jaguh tapi cuba suruh masak nasi, fail! Masak guna periuk karan pun nasi boleh hangit!

Rania memaksa bibirnya mengorak senyum. Tangannya segera dilekapkan pada tangan kiri Al di permukaan meja.

Dengan bibir termuncung-muncung, kononnya gaya manja, Rania berkata, “I bukan tak nak menikah… tapi I belum bersedia nak menikah. Yelah, kalau menikah, nanti I dah tak bebas lagi nak keluar jumpa kawan-kawan I sebab kena duduk rumah, memasak untuk you. Lepas tu mengandung, kena jaga baby… tentu tak ada masa nak ke gym lagi, nak mekap. I tak nak jadi macam mak lampir tak terurus… tak cantik lagi macam sekarang. Kalau I jadi macam tu, tentu you tak nak I lagi, kan?!”

Al melepaskan sudu, melarikan tangan dari pegangan Rania. Matanya menikam wajah Rania. “You tu, harapkan mekap tebal aje. You tau tak, rupa you setiap kali bangun dari tidur, dah memang macam mak lampir?”

“Youuuuu!!!” jerit Rania, sakit hati.

Sepantas kilat, Al menyumbat kedua-dua lubang telinganya dengan jari telunjuk. Boleh pecah gegendang bila dengar jeritan Rania itu. Betullah... Cantiknya Rania hanya apabila dia mengenakan mekap dan pakaian seksi. Kadang-kadang Al sendiri selalu terkejut melihat muka Rania di pagi hari. Muka pucat macam orang sakit... kening gondol, mata lebam, bibir birat! Macam The White Witch dalam filem The Chronicles of Narnia.

Apabila melihat mulut Rania kembali terkatup, perlahan-lahan, Al menjatuhkan tangannya.

Muka Rania masam mencuka dengan kedua tangan dilipat ke dada. “Belum apa-apa you dah kutuk I! Kalau dah kahwin nanti, silap-silap you cari perempuan lain sebab I dah tak lawa. Eee...bosanlah kalau kahwin. Tak thrill!”

Saat mendengar penjelasan Rania, Al terengah. Itu bukan tidak bersedia, tapi memang Rania tidak mahu berkahwin. Spontan, Al tersandar ke kerusi. Bukan akibat kekenyangan tapi mati seleranya! Entah mengapa, hatinya terasa pedih.

“I selalu tidur dengan you...jadi I ajak you kahwin sebab I nak bertanggungjawab ke atas you!”

“Kalau hanya sebab tu you nak kahwin dengan I, baik tak payah. Lagipun you bukan lelaki pertama!” Selamba sahaja Rania berkata-kata.

Saat itu, Al merasakan jantungnya bagai disentap dari tangkai. Memang dia tahu Rania bukan lagi anak dara sewaktu mereka bersama, tapi tidakkah Rania merasa bersyukur apabila dia mahu menjadi lelaki yang bertanggungjawab?

Menyedari air muka Al yang sudah berubah menjadi keruh, Rania cepat-cepat membetulkan kembali kenyataannya.

“Al… you jangan salah faham pulak. I bukan tak nak menikah dengan you. Lagipun, buat apa kita tergesa-gesa nak menikah? You kan dah dapat I?” Rania mengerling manja.

Bukannya merasa terhibur, Al malah terasa semakin sesak dadanya. Al menghela nafas dalam-dalam.
“Habis, takkanlah kita nak berkeadaan macam ni sampai ke tua?” tanya Al dalam nada suara penuh kepahitan.

Rania mencibirkan bibir. “Taklah sampai ke tua… tengoklah nanti bila I dah bersedia. Sekarang ni, I nak enjoy to the fullest! So, kita jangan cakap soal nikah lagi ya, sayang?” Rania mengecilkan mata bersama senyum manja.

Tanpa menunggu jawapan Al, Rania menyambung makan salad buah-buahannya. Gayanya terus bersahaja seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku.

Al mengeluh sambil terus memandang Rania dengan penuh kesalan. Mungkin Rania bukanlah cinta yang didambakan jiwanya. Mungkin Rania cuma sesuai dengan istilah, perempuan kudap-kudapan!

“Kalau you tak nak cakap soal nikah lagi, itu tandanya you tak ikhlas sayangkan I selama ni!” bentak Al dengan penuh emosi.

“Hey! Apa kena-mengena dengan ikhlas pulak? Kenapa dengan you ni? Sejak bila you jadi melankolis melampau ni? Mak you cuci otak you dengan apa hah sampai you tiba-tiba jadi mengada macam ni?”

Hamburan pertanyaan yang keluar dari mulut Rania itu tak ayal membuatkan Al bingkas bangun. Tiba-tiba sahaja dia jadi semakin marah apabila Rania mengaitkan emak dalam soal ini.

“I rasa tak ada gunanya kita teruskan hubungan ni!”

Mata Rania terbelalak. Mendadak dia ikut bangun. “What? Jadi you nak putuskan hubungan kita?”

“I ni bukan batu! Umur makin bertambah…teringinlah jugak nak bina hidup baru. Ada isteri, ada anak…”

Belum sempat Al menghabiskan kata-katanya, Rania terus mencaras bagai orang kesurupan. “You ni memang tak faham bahasa ke? Berapa kali mesti I cakap yang I tak nak kahwin dan tak nak ada anak! You tau tak, perempuan bila dah beranak, badan menggelembir sana sini. You nak ke I jadi macam tu?”

“Selama ni I tak pernah komplen pun fasal rupa you yang macam mak lampir setiap pagi. Jadi you ingat I akan komplen ke kalau badan you menggelembir sebab lahirkan anak untuk I?” jerkah Al.

“You ni kan... tak habis-habis cakap fasal muka I macam mak lampir. Kalau you nak sangat ada isteri ada anak, you pergi cari betina lain! I tak nak tengok muka you lagi! Pergiii!!!”

Jeritan nyaring Rania itu sontak membuatkan hati Al merusuh. Kejantanannya tercabar. Lalu Al tidak mahu menadah muka lagi di situ. Tanpa berkata apapun, Al balik badan dan berjalan pergi. Daun pintu dihempaskan sekuat hati melampiaskan kemarahan yang menguap dalam jiwanya.

“Jantan sial!!!”

Jeritan sayup-sayup itu, menyentap tangkai jantung Al. Dia sudah masak dengan sikap Rania. Penuh ugutan. Selepas itu pasti akan menangis merayu-rayu meminta Al memaafkannya.

“Okay, Rania…that's it! And no more turning back! Kau menangis airmata darah sekalipun, aku takkan terima kau semula!” Al berkata kepada diri sendiri.

Tiba-tiba wajah gadis pemilik Toyota Vios putih, melintas di fikiran Al. Tidak semena-mena Al tersenyum sinis.

“Jangan marah Rania... kalau lepas ni aku akan usaha cari awek Barbie doll tu sampai dapat! Masa tu, kalau kau datang meraung kat kaki aku sekalipun, aku takkan kutip kau balik!”

Tekad Al semakin bulat.
Rose Harissa® Registered under the provisions of the Trade Marks Act 1976 and the Trade Mark Regulations 1997 since 2016