Thursday, 18 February 2010

Wasilah Cinta Weera

February 18, 2010
*klik cover untuk baca blurb
RM 20 / RM 23
(Sabah & Sarawak),
Tarikh Terbit: 15 February 2010 ;
Jumlah Muka Surat : 616 halaman
____________________________

Sari Ayu tergamam. Kalaulah tangan Weera singgah ke pipinya tadi… Tetapi sungguhlah, Weera begitu mendengar kata Ray. Spontan dia menjatuhkan tangan, menjauhi Sari Ayu. Menjatuhkan dirinya ke sofa dengan kasar. Matanya yang tadi berbinar bahagia berubah menjadi suram, sesuram parasnya. Senyum riang sudah lenyap dari bibirnya. Mulutnya terus terkunci. Tuduhan Sari Ayu, seperti pisau tajam merobek hatinya sampai berdarah. Kata-kata Sari Ayu sangat tidak wajar. Sangat menghina lagi menyakitkan!

“Ada apa lagi Ayu? Kenapa tuduh kami seperti itu?” tanya Ray dengan datar.

“Ayu sudah berjumpa dengan ayah Wee. Ayah sendiri kata Wee gay!” Sari Ayu membongkar cerita. Sudah tidak ada gunanya lagi berahsia. Biar Weera tahu dia ke Perlis dengan agenda serampang dua mata.

“Jadi Ayu ke Perlis untuk berjumpa ayah Wee? Bukan ke pesta buku?” sergah Ray sengit, mewakili Weera. Dia dapat merasakan betapa sakitnya hati Weera ketika ini.

Tanpa dapat mengawal perasaannya lagi, Sari Ayu terus memuntahkan segalanya, “Ayu memang ke Pesta Buku tapi Ayu juga ambil kesempatan untuk cari ayah Wee. Ayu mahu tahu sendiri apa cerita sebenarnya, kenapa Wee tidak pernah ceritakan kepada Ayu tentang keluarga Wee. Ayu tidak sangka Wee sanggup tinggalkan ayah Wee hanya kerana Ray! 15 tahun! Ayu memang tidak mahu percaya cakap ayah bahawa Wee adalah gay. Tapi lihatlah… sekarang, Wee dan Ray berduaan dalam rumah ini ketika Ayu tidak ada. Agaknya kalau Ayu tidak balik malam ini, entah apa yang Wee dan Ray akan buat! Ayah Wee sendiri kata Wee seorang gay! Jadi Ayu mahu percaya pada siapa lagi?”

Tubuh badan Weera menggeletar. Tidak pernah dia merasa hina seperti ini. Kalau orang lain yang berbicara begitu, dia masih boleh terima. Tetapi sekarang ini, Sari Ayu, isterinya sendiri. Dengan bingkas, dia berdiri.

“Dia ayah yang tidak berguna!!!” teriak Weera sekuat hati. Lantang. Meledakkan seluruh isi kemarahannya. Dadanya turun naik mengatur nafas kencang.

Sari Ayu bungkam. Hampir tidak percaya mendengar Weera berteriak sedemikan rupa. Tiba-tiba dia berasa takut melihat muka Weera merah padam, memadangnya dengan sorot mata tersadur kebencian. Ray pantas menenangkan Weera. Meminta Weera bersabar. Sari Ayu lihat mulut Ray terkumat-kamit membacakan sesuatu ke telinga Weera. ‘Baca jampi supaya Weera ikut cakapnya?’ Sari Ayu menuduh di dalam hati.

Padahal Ray membacakan surah Toha ayat 1 hingga 6. Kemudian dia meniup kepada ubun-ubun Weera sebanyak tiga kali. Sebagai jalan meredakan kemarahan Weera. Tangannya mengusap perlahan belakang badan Weera.

“Kenapa mesti hati kamu mudah goyah Ayu? Tidak bolehkah kamu simpan walau secebis kepercayaan untuk aku, suami kamu sendiri? Apakah kamu tidak benar-benar menerima aku sebagai suami kamu?” soal Weera menahan kesal.

Sari Ayu terbata-bata. Gugup mendengar soalan Weera.

“Aku sudah tidak boleh berbuat apa lagi untuk kamu Ayu,” kata Weera muram setelah berjaya meredakan sedikit kemarahannya. “Warna-warna syaitan sudah menutup pandangan mata hati kamu. Mula-mula ditiupkan waswas ke dalam hati kamu, kemudian dibentuknya sangkaan-sangkaan yang menutup kebenaran. Sampai kamu pun menurut sangkaan dengan meyakini bahawa apa yang dituruti itu adalah kebenaran. Penglihatan kamu rupanya tidak sampai kepada roh aku.”

Kata-kata itu berbisa, penuh makna, halus menusuk ke hati Sari Ayu. Ada getaran ketakutan tertalun di hati ketika pandangannya bertaut dengan mata Weera. Pandangan Weera bening. Weera kemudiannya keluar dari rumah tanpa mengucapkan apa-apa pun. Ray terburu-buru mengejar.

“Wee! Tunggu!” Ray cuba menahan. Tetapi jangankan menyahut, Weera menoleh pun tidak. Langkahnya kelihatan linglung.

“Semoga ALLAH merahmati kamu, Ayu!” ucap Ray. Nadanya kedengaran keras. Mukanya sudah tidak manis lagi.

Sari Ayu hanya mendengar bunyi pintu berdentum ditutup. Kemudian, suasana mendadak jadi sunyi. Sepi. Sesepi hatinya ketika ini. Perlahan-lahan Sari Ayu melurut ke lantai. Seakan baru tersedar, dia sudah hanyut oleh hasutan syaitan. Terlupa cerita mak cik Asmah tentang penderaan yang berlaku terhadap Weera ketika kecil. Hanya kerana sebaris ayat, ‘Suami kamu itu gay!’ yang keluar dari mulut Tajul Arifin, telah melucutkan seluruh kepercayaan Sari Ayu terhadap suaminya sendiri.

“Tuhan, tolong aku…” desis Sari Ayu dengan penuh rasa bersalah.

******************************

SARI AYU meluru mendapatkan Weera yang baru turun dari kereta. Ada sesuatu yang ingin disampaikan. Tetapi apabila melihat raut wajah Weera agak keruh, dia jadi ragu-ragu mahu memperkatakannya. Takut mengganggu emosi Weera.

“Ada apa Ayu?” tanya Weera sudah dapat membaca riak muka Sari Ayu.
“Errr…” Sari Ayu menggaru-garu hujung kening. Serba salah.
“Cakap sajalah… kenapa Ayu macam takut-takut pula?” Weera melunakkan suara, melingkarkan tangan ke bahu Sari Ayu. Roman wajahnya dimaniskan walaupun fikirannya sedang berserabut benar. Tidak sampai hati melihat Sari Ayu seperti tidak berani memandangnya.

“Ray… dia…” Sari Ayu masih tidak sanggup mengatakan hal yang sebenar.
“Kenapa dengan Ray? Mana dia?” gesa Weera cemas. Terus membalikkan tubuh Sari Ayu supaya menghadapnya.

Sambil mendongak, Sari Ayu memberanikan diri bertentang mata dengan Weera. “Wee… Ray… dia… Ayu rasa dia sudah tidak mampu mengawal pundi kencingnya.”

“Apa?!” Weera kebingungan.
“Tadi dia terkencing di atas kerusi roda,” lanjut Sari Ayu, runsing.

Weera terngadah. Memandang Sari Ayu dengan mata membulat tetapi tidak mampu untuk berkata-kata. Sangat terkejut menerima berita itu.

Sari Ayu tahu Weera terkejut. Dan dia berkata, “Wee… Ayu tidak kisah membersihkan kencingnya. Ayu tidak kisah menjaga Ray sementara Wee pergi kerja. Cuma yang membuatkan Ayu serba salah, sebab dia bukan mahram. Ada batasnya untuk Ayu menyentuh dan melihat aurat dia bukan? Bagaimana Ayu mahu menukarkan seluarnya? Tadi pun sudah darurat, Ayu terpaksa papah dia masuk ke dalam bilik air. Ayu tahu Ray malu. Ayu hanya mampu heret dia masuk ke dalam bilik air, tunggu dia bersihkan dan pakai sendiri kain. Kemudian…”

Jari telunjuk Weera melekap di bibir Sari Ayu sebelum sempat dia menghabiskan ceritanya. Weera mengerti kegusaran Sari Ayu. Lantas dia memeluk Sari Ayu. Mencium kepala Sari Ayu yang masih lengkap bertudung sebagai tanda terima kasih. Sari Ayu yang patuh, tidak merungut apabila terpaksa bertudung sepanjang hari kerana menemani Ray sementara dia ke pejabat. Pengorbanan Sari Ayu amat bermakna buat Weera.

“Maafkan aku kerana sudah melibatkan Ayu dalam hal ini. Maaf kerana sudah menyusahkan Ayu,” kata Weera hiba. Hiba kerana Sari Ayu sanggup bersusah payah. Hiba kerana penyakit Ray sudah semakin kronik.

Bersama muka mencemik menahan kesedihan, Sari Ayu berkata lagi, “Tidak mengapa Wee. Bukankah Wee suami Ayu? Ayu buat semua ini kerana mahu menolong Wee. Marilah kita tengok Ray. Tadi selepas baringkan Ray di atas katil, Ayu lihat dia muram. Dia minta Ayu keluar tinggalkan dia sendiri.”

Weera mengangguk lalu beriringan masuk ke dalam rumah. Terus menuju ke bilik Ray di tingkat bawah. Apabila masuk, ada satu bau menguar menusuk ke hidung. Weera sudah boleh meneka bau apakah itu. Apatah lagi bila dia melihat Ray sedang menangis.

“Ray…” Weera menyeru seraya mendekati Ray. Senyum memandang Ray.

“Wee… aku…” Ray tidak sanggup untuk meneruskan kata. Perasaan malu begitu menguasai dirinya kini. Penyakitnya semakin parah. Malah dia tahu penyakit itu bakal membawa kematian kepadanya. Sungguhpun dia tidak pernah mengangankan kematian kerana itu tidak dibenarkan dalam Islam tetapi dia sering berdoa, yang bermaksud: Ya ALLAH hidupkanlah aku jika kehidupan lebih baik bagiku, matikanlah aku jika kematian lebih baik bagiku."

“Kamu buang air besar ya?” Weera masih tersenyum. Tidak mahu Ray berasa malu dengannya. Mengerti bahawa bukannya Ray sengaja.

Ray tidak menyahut. Hanya mampu mengalirkan airmata menangisi dirinya yang sudah tidak berupaya lagi. Menyesali dirinya yang betul-betul sudah menyusahkan Weera dan Sari Ayu. Weera membongkok, bersedia untuk mencempung tubuh Ray. Dengan lafaz Bismillah, mudah sahaja Ray diangkatnya kerana semenjak sakit, tubuh Ray semakin kurus. Weera segera membawa Ray masuk ke bilik air.

“Ayu… tolong ambilkan tuala, baju dan seluar untuk Ray ya?” pinta Weera.

Sari Ayu menurut. Dalam hatinya menyimpan rasa keharuan, betapa Weera sanggup mencuci najis Ray dan memandikannya. Selepas menghulurkan keperluan yang dipinta Weera, Sari Ayu menarik cadar katil Ray. Digantikan dengan yang baru.


__________________________________________

Ini adalah sedikit sedutan dari novel terbaru aku, WASILAH CINTA WEERA. Akan masuk stor PTS pada hujung bulan ini. Dan belum ada di Toko Buku Che' Rose. Bila dah ada stok nanti, aku maklumkan di sini...Insya ALLAH Taala...

Wednesday, 3 February 2010

Kena saman itu sangat tidak cool!

February 03, 2010

Selama ni aku sangat particular bab-bab parking kereta. Aku tak pernah lupa nak bayar tiket parking dan pamerkan di dashboard - dengan bangganya!
Kalau aku ke ofis APO? pun aku rela bayar sampai RM1.50 demi memastikan aku dapat bersembang dan bergosip dengan Sya dengan tenang walaupun mendengar jeritan dari penyambut tetamu dari tingkat bawah;

"MPSJ!"


Yang mana selepas itu budak-budak APO? dan Ujang kelam-kabut turun pergi bayar parking walaupun ada yang terlambat apabila pihak yang berkenaan sudah berjaya meletakkan surat cinta mereka di celah wiper. Tapi hari ni aku dah mengikut hasutan si qarin yang berkata;

"Alaa... tinggal sekejap aje. Tak sampai lima minit pun. Lagipun tak nampak pun mereka..."


Okey, setelah berpuas hati dan memastikan aku tak nampak kelibat manusia berbaju putih berseluar biru, aku masuk ke hardware untuk beli dua botol spray. Dengan semangat berkobar-kobar nak ke rumah baru dan spray rak buku.

Tapi bila keluar hardware kelibat baju putih berseluar biru dah tercegat depan kereta aku!!!

Okey! Sangat tidak cool apabila melihat dia mencatit informasi kereta aku pada mesinnya. tensen
Aku pasrah... sakit hati... bengang... apalagi bila mendengar dia berkata;

"Laa... kenapa tak cakap ni kereta awak? Kenapa diam aje...kalau awak cakap awal-awal, saya tak buat saman ni untuk awak!"

Wah... sangat telus bunyinya... mungkin dia mahu mempamerkan ciri-ciri baik hati dan budimannya (oh! aku benci orang berlagak budiman!). Dan kata-katanya itu tambah buat aku ada perasaan mahu bunuh dia! bunuh

Kerana apa aku kata dia berlagak budiman?

Sebab selepas dia menyerahkan kertas kompaun kepada aku, dia ke mangsa seterusnya di sebelah kereta aku. Si pemilik Myvi yang malang itu dah terkinja-kinja memberitahu itu kereta dia. Tapi tetap sahaja dia dengan muka macho, mencatitkan saman itu tanpa menghiraukan rayuan si pemilik Myvi itu. Nah terbukti bukan? Sangat tidak relevan kata-katanya dengan sikapnya itu. Apa lagi dia tidak hensem!

@@!!!&&!!!@@@ (tak perlu aku huraikan perkataan yang terhambur dalam hati aku, sangat tidak syariah compliant untuk kaum hawa)

Jadi kaum hawa, jangan cepat percaya pada lelaki yang berlagak budiman! samseng

Aku seorang yang panas baran. Dan kerana sekeping surat kompaun tu dah menyemarakkan kemarahan aku. Syaitan sudah meniupkan hasutan supaya aku menjerit kat situ tapi tapi mujur malaikat masih menyentuh hati aku.

Okey, memang salah aku... tapi rasa bengang tu tetap ada... persoalan kenapa aku? Kenapa bila aku tinggalkan kejap aje dah kena saman? Hubby sudah gelakkan aku bila aku call melepaskan kemarahan aku terhadap pemakai seragam putih seluar biru itu dengan menyebut nama haiwan yang tidak halal dimakan itu. *Oh, ya, sila take note bahawa aku dan hubby tidak mengamalkan sistem komunikasi penuh hemah dan santun. We rock!
Huh! Aku dengan hati membara terus ke sekolah Ayik. Hilang sudah mood nak spray rak buku dengan warna baru.

Termasuk yang ini, adalah kali kedua aku disaman parking oleh MPSJ sejak 10 tahun pegang lesen kereta! Pun kerana perkara yang sama, tinggalkan kereta tak sampai 5 minit! Benci! Tak letak kertas 50 sen, kena bayar balik RM80. Sangat tidak mesra rakyat bunyinya!

Okey, aku mengaku, aku bukanlah pemandu yang baik, I mean, aku suka merempit, mencilok, tapi aku tetap menjaga adab supaya tidak terkena saman speed trap mahupun saman parking. Aku mahu ada imej - pelumba kereta tak bertauliah yang baik-baik - tak kena saman.
Tapi hari ni aku kene saman parking! Argghhh! Okey mungkin bagi sesetengah orang akan kata,

"Ala... baru kene saman parking, rileks la..."


Tapi bagi aku sangat TIDAK RILEKS okey? It's a big deal for me! Ada muncul perasaan ingin nak sepak-sepak, nak reverse masa! bunuh Kerana aku merasakan imej aku sebagai pemegang rekod pemandu yang suka merempit dan paling minima disaman sudah tercemar!

Memang tidak cool and macho bila kena saman parking, okey! Saking sakitnya hati aku, surat tu dah aku keronyokkan dan lempar bawah jok. Dari bayar saman, baik pergi makan Kenny Rogers!

Friday, 15 January 2010

Mulut jahat ada saka...

January 15, 2010

Gejala – gejala gangguan sihir/jin pada manusia:

TANDA-TANDA KETIKA JAGA :
  • Apabila ia hendak membaca Al Quran, berzikir atau bersolat seolah-olah ada sesuatu yang menghalang untuk berbuat demikian.
  • Sakit kepala yang tidak dapat diubati oleh ubat-ubatan (biasa)
  • Tidak dapat memberi tumpuan kepada sesuatu (tidak boleh fokus)
  • Malas dan lemah badan (tanpa sebab).
  • Denyutan jantung bertambah cepat tanpa sebab.
  • Sakit tulang belakang ketika bangun dari tidur tanpa sebab-sebab kesihatan.
  • Beberapa anggota badannya kebas tanpa sebab dan ia susah digerakkan kecuali dengan kepayahan yang amat sangat.
  • Terasa seperti ada sesuatu bergerak dalam perut.
  • Kesan lebam pada kaki.
TANDA-TANDA DI WAKTU TIDUR.
  • Mimpi yang berulang-ulang sehingga ia merasakan kesempitan jiwa atau seram atau takut atau ia kerap bermimpi dengan mimpi yang kemudiannya benar-benar berlaku.
  • Susah hendak tidur malam kecuali setelah lama berbaring.
  • Kerap terjaga tidur di waktu malam.
Antara penyebab-penyebab seseorang itu disihir ialah:

  • Mungkin ada yang dengki dengan perniagaannya yang maju, atau kenaikan pangkat atau kejayaan.
  • Memutuskan pertunangan, mengakibatkan pasangannya ingin membalas dendam kerana mendapat malu atau rasa tercabar.
  • Rebutan harta pusaka.
  • Irihati, cemburu, buruk sangka dan lain-lain yang seumpamanya.
_________________________________

Sebenarnya banyak lagi tanda-tandanya. Tapi yang aku senaraikan itu adalah apa yang aku rasa sejak beberapa bulan kebelakangan ni. Kebetulan, beberapa minggu lepas, aku ke Melaka untuk bawa adik berubat. Tapi diminta Kak Lily untuk join sekali sebab dia tengok aku sangat cepat baran dan marah kalau berlaku apa-apa. Memanglah sebelum tu kami ada bergurau pasal saka.
Tapi bila si pengamal perubatan alternatif tu bagitau aku 'ada benda' pada badan aku, sentap jugaklah. Yelah... sebelum ni dah memang hubby pernah kena. Sengsara hidup kami. Kemudian, aku bukukan pengalaman tu dalam CMDH. Sekarang aku coretkan sedikit lagi dalam manuskrip WCW. Sampai aku sempat bergurau dengan pak cik tu, aku punya atau orang lain punya...
Pak cik tu memang menegur sebab aku macam main-main. Aku... manalah reti serius sangat kalau bukan pasal kerja. Bukannya nak suruh semua orang percaya kerja-kerja karut ni. Tapi kalau Tuhan berkehendakkan jadi, maka jadilah... aku kena reda kerana itu jugalah yang aku coretkan dalam novel. Sambil menulis, sambil belajar untuk diri sendiri.
Tapi lepas balik tu, memang badan aku semakin lesu, sakit kepala makin kerap. Sampai sekarang aku tak boleh menulis sehingga aku minta tangguh pada editor di PTS untuk manuskrip baru, begitu juga dengan artikel untuk APO?. Aku masih tak dapat beri cerita baru untuk Rambai. Aku mengadu pada Kak Lily. Entahlah... dia yang banyak mendengar keluh kesah aku kebelakangan ni. Mungkin sebab dalam banyak perkara kami ada persamaan.
Dan bila emak aku datang ke sini untuk urusan kemasukan adik bongsu ke Politeknik, aku terkejut bila emak kata memang arwah datuk ada bela jin Islam. Huwaaaa...
Dulu-dulu memang arwah datuk aku tu beriya-iya mahu mengajar segala macam ilmu perubatan. Tapi tahu ajelah budak darjah enam bila dah pandai mengubat orang. Jadi riak dan angkuh... makanya ilmu tu tak menjadi lagi.
Patutlah... apa yang hati aku kata, apa yang aku rasa kebanyakkannya jadi betul. Sebelum apa yang terjadi pada aku, aku dah dapat rasakan dulu. Mungkin kerana tu juga aku boleh menulis cerita misteri dari selama 6 tahun lebih, non-stop! Bunyi macam best kan? Macam ala-ala Supernatural gitu... (hoh... sempat lagi buat lawak!)

Tapi sebenarnya tak pun...sampai sekarang aku tak ada mood untuk menulis. Entahkan kerana saka atau kerana memang ada orang tujukan kepada aku. Dan kejadian baru-baru ini, buat darah aku mendidih naik ke kepala. Puas Kak Lily sabarkan aku. Dia memang dah agak aku akan melenting. Maunya tak melenting, dalam keadaan penat, tak ada mood, jiwa mandom, sibuk dengan urusan keluarga (sampai tak dapat nak berfesbuk dan berblogging seperti biasa) serta malas nak ambil tau pasal orang lain, ada pulak orang yang buat cerita bukan-bukan kata aku buat begitu begini, aniaya orang dan mengapi-apikan orang. Padahal aku sudah lama tak contact sesiapa melainkan seorang dua kawan yang aku percaya. Amboii... mentang-mentanglah aku ni luarannya kasar, nampak sombong... sewenang-wenangnya orang mahu memburukkan aku. Aku dah puas menangis dan mengadu pada Kak Lily.
Aku merancang terlalu banyak benda... mungkin terlalu ghairah dengan idea yang bermacam tapi bila Tuhan bagi aku ujian, memang aku tersungkur. Sampai rasa tak nak bangun dah. Tapi mujur keluarga dan kawan-kawan yang sayang aku tetap bagi sokongan.

Sungguh aku sangat letih dengan karenah manusia sebab tu aku memencilkan diri dan buat hal sendiri tapi tetap orang ganggu hidup aku. Orang tetap tuduh aku buat perkara yang tak pernah aku buat. Entah macam mana orang boleh tuduh aku, aku pun tak tahu. Mungkin kerana aku cepat melenting, jadi orang mudah cakap sembarangan dan orang lain pun percaya. Sudahnya sekarang... biarlah apa orang nak kata... biarlah apa orang nak buat pada aku. Mungkin juga kerana mulut aku laser, orang susah nak percaya pada aku. Tapi tak apa...penjelasan bukan cara aku untuk membela diri. Semakin kita menjelaskan, semakin orang ingat kita cuba menegakkan benang yang basah. Kalau orang suka, Alhamdulillah...tapi kalau tak suka, jangan cari gaduh dengan aku. Biarlah orang mahu percaya apa yang mereka dengar dari mulut orang lain. Aku bukannya ada kuasa nak halang atau sekat rezeki orang. Aku memang baran tapi tak busuk hati nak khianati orang lain lagi-lagi yang baik dan berbudi terhadap aku. Tapi orang yang suka mengampu, memang suka mereka cerita. Biarkan mereka dengan labu-labunya!
Aku ada tanggungjawab lain. Anak dan suami lebih penting.
Mungkin 2010 adalah tahun untuk aku berehat supaya tak terlalu pulun menulis...supaya orang berhenti kenakan atau cemburukan aku...
Wallahualam bi shawab...

Monday, 4 January 2010

Sebagai emak, aku sangat risau!

January 04, 2010

Tajuk di atas cukup menggambarkan perasaan aku pada hari pertama Ik masuk sekolah hari ini. Memanglah cuma pra-sekolah. Tapi tetap sahaja namanya masuk sekolah lagipun pra sekolah Ik memang dalam sekolah rendah di Subang Jaya. Dan biarpun cuma pra-sekolah, habislah juga dalam RM500 termasuk yuran dan beli segala macam keperluan walaupun cuma beli yang murah (yelah buat apa beli yang mahal-mahal dan berjenama kalau cuma pra sekolah, lagipun tak mahu semua keperluan tu hilang-yang mahal dan elok, cuma di rumah saja). Waduii... baru seorang anak aku dan hubby dah terasa macam nak botak kepala. Terfikir bagaimanalah orang lain yang punya ramai anak... tentu pening kan?
Hari pertama Ik ke sekolah, awal sungguh dia bangun. 6.30 pagi! Dan aku jadi ibu mithali, menyediakan sarapan sebab tak mahu dia kelaparan. Rasa macam tak percaya Ik yang aku kelek dalam perut besar gabak dulu kini dah besar dan masuk sekolah. Aduii... cepat sungguh masa berlalu.

Aku kalau boleh memang tak nak lepaskan Ik masuk sekolah sebab aku dulu tak masuk pun tadika mahupun pra sekolah. Memang aku tak nak sekolah. Terus masuk darjah satu. Tak ingat bila boleh membaca tapi apabila masuk darjah dua, aku berjaya dapat nombor dua dalam kelas, sehingga darjah enam, paling corot aku dapat nombor 4 semasa darjah lima-*hinshhh* (hah! riak tu berdosa Che' Rose... nanti orang kata menunjuk-nunjuk pula...)

Kerana apa aku tak mahu melepaskan Ik masuk sekolah sebab inilah kali pertama dia jauh dari orang-orang yang dia kenal. Lagipun ada beberapa perkara yang menjadi kerisauan aku :
  1. Macam mana kalau Ik nak ke tandas? Bolehkah dia kencing atau berak basuh sendiri? Ik geli nak kencing atau berak kalau tandas kotor. Lepas tu mesti basuh bersabun atau simbah air banyak-banyak. Seluar pun kena tanggal habis. Kalau kat sekolah, siapa nak melayan karenah pembersihnya tu?
  2. Dapat ke Ik belajar dengan pikap-macam mamanya dulu? (huh... riak lagi ya Che' Rose) Sebab Ik memang petah bercakap, dah kenal huruf dan nombor. Dah boleh menulis dengan cantik tapi IK MASIH BELUM PANDAI MENGEJA MAHUPUN MEMBACA! Mengeja satu-satu huruf tanpa tahu bunyinya bolehlah. Hanya kerana satu sebab ini, aku tak pernah berbangga kalau orang memuji Ik macam-macam. Hensem ke... comel ke... bijak berkata-kata ke... atau apapun sekali tak guna kalau TAK TAHU MEMBACA!
  3. Mampu ke Ik dengar cakap cikgu sebab kalau kat rumah Ik kuat merajuk terutama dengan aku. Ik selalu cakap; "Tak nak kawan dengan mama! Mama garang!"
  4. Boleh ke Ik menumpukan perhatian untuk belajar kalau dalam kepalanya asyik ingat Spongebob Square Pants, Danny Phantom, Odd Parents, Cat Dogs, Kappa Mikey, Atasinchin, Shin Chan, Dora The Explorer, Wonderpets, Flash & Dash... dan segala jenis kartun-yang ada sesetengahnya mamanya ini pun minat jugak! Hahahaha
Tapi tadi setelah menghantar dia masuk ke kelas, Alhamdulillah, aku dan hubby tak perlu tunggu lama. Jam 8.30 pagi, kami dah blah! Walaupun muka Ik macam sebak sebab terpaksa 'berpisah' dengan mama dan abahnya buat sementara waktu tapi kami tinggalkan juga setelah berpesan macam-macam;
  • Ik kena dengar cakap cikgu.
  • Kalau Ik nak kencing, cepat-cepat bagitau cikgu. JANGAN KENCING DALAM SELUAR NANTI MAMA MALU NAK MENGAKU ANAK! (Hahahaa, kejam kan? Kalau tak kejam nanti tak ingat pulak pesan mama!)
  • Jangan berak dalam seluar, nanti cikgu marah dan budak lain tak nak kawan dengan Ik. Mama pun tak suka Ik busuk-busuk!
  • Jangan lupa minum air kosong, kalau tidak nanti badan Ik jadi panas macam gunung berapi! Banyak minum air supaya badan Ik jadi dekat 'C' bukan 'H'. ( Ik selalu jugak merujuk suhu badannya guna C dan H ikut macam meter kepanasan kereta! Kehkehkeh..).
Entah apa-apa pesanan, kan? Tapi memang camtulah aku dengan Ik...hubby pun sama. Kalau boleh nak anak anggap kami kawan tapi jangan sampai pijak kepala pulak!

Syukurlah, mujurlah Ik tak melalak meraung macam beberapa anak lain sebab menjelang jam 12 tengahari tadi, masa nak ambil Ik, aku tengok dia dah seronok bermain dengan kawan-kawan baru. Siap bergusti. Cuma bila dia nampak aku, terus dia tetunduk malu. Alahai... anak teruna aku tu rupa-rupanya kena dibiarkan sendiri kalau tidak dia akan kekok. Dan aku terkejut bila Ik kata tiga kali dia ke tandas untuk kencing sendiri, tak payah buka seluar sampai habis macam biasa.
Sebab kalau keluar berjalan, aku memang hangin kalau dia kencing sampai terkena seluar. Kalau hubby ada sekali, memang aku suruh hubby bawa ke tandas lelaki sebab kalau boleh dalam usia menjelang enam tahun ni, aku dah tak mahu dia ikut aku sekali masuk ke tandas perempuan!

Bila Ik dah masuk sekolah ni, barulah dia tahu bukan mamanya seorang sahaja yang GARANG dan suka menjerit bila marah. Cikgu dia lebih GARANG dari aku! Hahahaha!
Sekarang ni bila tengok dia okey dengan suasana sekolah, aku berdoa agar sebelum naik darjah satu nanti dia sudah pandai membaca dan buat kira-kira tanpa menggunakan kalkulator! Cuma satu aje aku tak puas hati sebab Ik tak dapat habiskan satu botol air kosong, biasanya dia akan minum sekurang-kurangnya 1.5 liter air kosong sehari. Kalau makan di kedai pun Ik akan order air kosong saja. Jangan harap nak suruh dia minum teh ke...air limau ke... Tapi hari ni mungkin sibuk dengan cikgu dan kawan-kawan, dia sampai lupa minum air kosong yang dibekalkan.
Kesimpulan yang aku belajar hari ini ialah :
JANGAN MENIDAKKAN KEBOLEHAN ANAK SENDIRI UNTUK BERDIKARI. MUNGKIN DI RUMAH SAHAJA DIA TUNJUK PERANGAI MANJA!
wink

Saturday, 2 January 2010

Rasa macam nak berhenti menulis aje tapi...

January 02, 2010

Pernah terfikir untuk berhenti menulis...

Sebab otak aku penat... idea ada...banyak...bersusun-susun tapi terlalu letih untuk menyulam ayat bila terpaksa memikirkan perkara lain juga.

Sebab kadang-kadang aku rasa jelek bila mengulang baca ayat yang ditulis kelihatan sama seperti ayat-ayat sebelum ni. Kadang-kadang rasa mahu muntah darah terutama bila tulis bab romantik yang nampak sengaja dibuat-buat atau suasana seram yang sengaja diseramkan macam cerita seram setiap Khamis malam Jumaat di TV3.

Wah... siapa kata mahu menulis ni senang? Susah sangat bagi aku... apalagi dengan banyaknya dugaan yang menimpa aku menjelang penghujung tahun 2009. Sakitnya sampai rasa malas nak menulis dah. Nak duduk goyang kaki aje. Apa lagi sekarang ni Ik dah duduk semula dengan aku.

"Mama tak buat APO? ke?" tanya Ik dengan muka bajek bijak.
"Mama takde idea..." balas aku dengan muka mohon simpati.
"Eh...kan hari tu Ik dah bagi mama idea... hantu lori dengan hantu kalendar...kenapa mama tak buat?"

Aku tepuk dahi. Adui... setakat bagi tajuk macam tu entah apa-apa tu. Kisah hantu kalendar tu kononnya Ik terbangun dari tidur dan dengar bunyi kertas kalendar. Hantu lori tu pulak sebab dia suka sangat lukis lori 'hantu'. Tapi okey jugak kan? Sekurang-kurangnya dia dah pandai bagi idea walaupun bila aku tanya lagi dia akan kata; "Itu ajelah idea yang Ik ada setakat ni...kalau mama penat otak, keluarlah... baru dapat idea."

Oh... Ik sangat bijak buat taktik untuk keluar berjalan-jalan. Sampai aku pun penat sebab sepanjang minggu ke sana sini melayan karenah dia yang nak berjalan. Dek terlalu penat otak dan penat jiwa memang pernah terfikir tak nak menulis dah. Lagipun dah ramai penulis yang buat buku lagi best. Baik aku berhenti aje. TAPI bila mengenangkan apa yang aku dah tempuh, apa orang dah buat pada aku, rasa rugi pulak bila mengalah macam tu aje...
Mudah-mudahan aku akan dapat terus menulis lagi... AMIN!
Jangan tanya aku apa azam tahun baru sebab aku tidak pernah berazam pada setiap tahun baru. Aku berazam setiap hari. Atau setiap kali ditimpa masalah, aku akan berazam untuk buat sesuatu walaupun pada mulanya rasa down jugak... jadi setiap hari jiwa hari kuat dengan nekad serta bertekad untuk jadi lebih baik. Apalagi bila ditimpa bermacam dugaan, maka aku haruslah sentiasa kuat berazam.
Apapun, SELAMAT TAHUN BARU 2010 untuk semua pengunjung blog merah aku ni...


Rose Harissa® Registered under the provisions of the Trade Marks Act 1976 and the Trade Mark Regulations 1997 since 2016