Thursday 8 March 2012

Rindu Itu Cinta- Bab 3

3

SEJAK tadi Rozan perhatikan, sambil menghirup teh tarik, mata Al kerap kali merenung ke satu arah. Takkanlah Al tengok mamak yang tengah tebar roti canai pulak?

“Kau tengok apa?  Dari tadi mata kau liar aje...” Rozan bertanya hairan.

“Tu…kau tengok tu…”

Rozan pun menoleh ke belakang. Rupanya, yang menjadi sasaran mata Al ialah seorang gadis yang sedang membuat bayaran di kaunter. Dengan potongan rambut berombak melepasi bahu, jeans straight cut dan blouse chiffon warna oren, membuatkan gadis itu kelihatan sangat menarik. Tetapi Rozan cepat-cepat melarikan pandangan apabila gadis itu tiba-tiba menoleh dan merenungnya, tajam. Phewww… macam kena tikam!

“Fuh! Sumpah, comel! Kulit gebu, macam Barbie doll!” puji Rozan sekilas sambil menaikkan dua ibu jarinya.
Al tersengih mendengarnya kerana dia sendiri mengakui kenyataan Rozan itu. Gadis itu tidaklah berpakaian seksi tetapi dasar otak nakal Al, melihat perempuan cantik berjubah pun dia boleh bervisual yang bukan-bukan!

“Rupa-rupanya besar hikmah kau pindah ke Kota Kemuning ni. Aku rasa lepas ni, hari-hari aku nak datang lepak rumah kau…”

“Eh? Kenapa pulak?”

“Awek tu mesti duduk dekat-dekat sini aje kan?”

Pada mulanya Rozan tidak begitu memahami maksud Al. Tetapi apabila melihat senyuman nakal yang terpamer di bibir Al, Rozan pantas berseru.

“Wooo! No, no, no!” Rozan menggoyangkan jari telunjuknya di hadapan muka Al berkali-kali. “Ingat sikit, kau tu dah ada girlfriend…”

 “So?” Al menjungkitkan keningnya, seperti dia tidak melakukan sebarang kesalahan. “Aku tak boleh cari spare part? Kahwin pun ada kuota empat, tau? Ini kan pulak soal couple. Aku nak sahut seruan, awek keliling pinggang! The more the merrier! Hahaha!”

Gurauan Al membuatkan Rozan berdecak sambil menggeleng kepala. “Gila kau, ayat tak hengat! Memang buaya bujang senang kau, ye?”

Al tergelak senang, sedikitpun tidak berkecil hati. “Hahaha… ini original, Sarawak mari tau!”

Sudahnya Rozan tidak terkata lagi. Itulah Al yang dia kenal sejak dari tahun pertama ketika di Lim Kok Wing University lagi. Al selalu ceria. Bezanya dahulu, Al tidaklah kacak seperti sekarang. Al yang dahulu giginya berterabur. Sudahlah berterabur, ia agar terkedepan. Kerana gigi jugalah hubungan Al dengan Suziela tidak berkekalan. Hubungan mereka putus ketika di tahun ketiga. Tetapi biarpun begitu, kerana Al seorang yang berkeyakinan tinggi, bijak, selain cergas bersukan, membuatkan Al agak popular di kalangan pelajar perempuan. Dia disenangi ramai kerana sikapnya yang easy going, open minded, sentiasa ceria dan suka berjenaka.

Hanya tiga tahun kebelakangan ini, ketampanan Al mula terserlah, setelah dia nekad memakai pendakap gigi. Pemakaian alat itu bukan sahaja meratakan gigi, membuatkan bentuk mukanya lebih tirus bersegi, membuatkan dia kelihatan kiut di mata para wanita.

“Sebenarnya, kau nak kahwin ke tidak dengan Rania tu?” tanya Rozan tiba-tiba.

Al segera menjungkitkan bahu. “Entahlah… kalau ada jodoh, adalah…” Begitu mudah Al memberikan jawapan – sekadar melepas batuk di tangga.

“Dah pergi bercuti bersama, dah selalu tengok luar dalam masing-masing, takkan tak yakin lagi nak menikah?” tegur Rozan separa menyindir.

“Sebab dah selalu tengok luar dalamlah yang buat aku tak ingat nak menikah dengan dia. Barang senang dapat, buat apa pening kepala fikir nak menikah? Tekan suis aje terus ‘on’!” Selamba sahaja Al berkata-kata.

“Astaga!” Rozan menepuk dahi. “Kau ni… sampai bila nak macam tu? Kena sakit kelamin nanti, baru kau tau!”

Mata Al terbelalak mendengar sumpahan Rozan. “Hoi! Mintak simpang malaikat 44! Kau pun… agak-agaklah bila bercakap. Aku tak amalkan seks bebas tau! Aku dengan dia aje!”

Rozan menggeleng kepala. “Isk, cara kau cakap tu macam tak takut langsung pada dosa. Sampai bila kau nak hidup macam tu? Bertaubatlah, Al…” Sebagai kawan baik, Rozan memang perihatin terhadap kehidupan sosial Al yang sangat menyimpang dari landasan agama.

Mata Al mengecil, dia tersandar di kerusi sambil menggigit ibu jari tangan kanannya. Lama dia terdiam seolah-olah sedang cuba mencerna nasihat Rozan. Tidak pula Al marah kerana dari dulu Rozan memang suka menasihatinya berubah cuma dia yang sahaja yang degil.

Kemudian, Al menegakkan tubuh, memandang Rozan dengan saksama. Rozan pun bersikap serius mahu mendengar apa yang bakal diperkatakan Al.

“Okey, aku akan bertaubat…” Al mengangkat tangan membuat ikrar.

“Alhamdulillah…!” seru Rozan seraya menyapu tangan ke mukanya tanda kesyukuran.

Tetapi Al menyambung kata-katanya, “Itu pun kalau dah dapat awek Barbie doll tadi!”

Kali ini Rozan menepuk dahi. “Astaga! Aku ingatkan dah insaf! Rupanya nak masuk jarum lain. Heee… nasib baik kau ni kawan aku tau! Kalau tak, aku luku aje kepala kau tu!” Terkena dia dengan kenakalan Al.

Al ketawa terkekeh-kekeh melihat muka stress Rozan.

“Rileks la bro, yang kau serius sangat ni kenapa?”

“Kau tu, benda serius macam tu pun kau nak buat lawak…!” getus Rozan geram, nyaris mahu menaikkan jari hantu. Sabar sahajalah...

Al ketawa senang. Sesaat kemudian, wajahnya kembali serius. “Tapi kan… aku rasa macam pernah tengoklah muka awek tu…”

“Kat mana?”

“Entah… aku pun tak ingat!”

“Ah! Ayat playboy memang macam tu! Semua awek kau cakap pernah tengok!” Rozan pura-pura mencemuh.


“Sungguh ni… aku tak tipu… muka dia familiar…” Al mengetuk-ngetuk dahi, cuba menguak memori bagi mengingati di mana dia pernah bertemu dengan gadis itu.

Rozan cepat-cepat mengibaskan tangan ke depan muka Al. “Sudahlah… jom blah…tadi kata nak temankan aku cari barang rumah kat Ikea.”

Tanpa banyak soal, Al bangun. Memang dia sudah berjanji mahu menemankan Rozan mencari keperluan rumah. Rozan baru sahaja membeli apartment second hand Sri Kemuning. Kata Rozan sebagai persediaan sebelum dia menikah dengan tunangnya tahun hadapan.

Hai… Rozan dah ready nak menikah. Aku bila lagi ya? Rania tak pernah pun serius bila aku ajak dia kahwin. Nak enjoylah...takut beranak lah...haihh...

Diam-diam, Al mengeluh juga dalam hati memikirkan masa depannya.

11 comments:

  1. uh...besh lah. no kelemahan. huhu

    ReplyDelete
  2. wow... akak...Bab 4 please... hehehehe...

    ReplyDelete
  3. Mimi : amboii... no kelemahan... isk takut pulak akak... heee... :) neway, tengkyu ye...

    Kembhoja : alahai... nanti ye... tengah sibuk dengan kerja... tak sempat nak edit bab 4... :)

    ReplyDelete
  4. Ala nora. . Publish terus ar. . Aku letih baca satu2 ni. . Letih jiwa. . Terseksa nk tau sambungan. . Huhuhu. . Cecepatlah bagi masuk kedai buku. . Plsss. . Hihih

    ReplyDelete
  5. fiza... hahaha.. mmang aku nak publish terus sebab tu aku dah tak update... tapi buku ni tak masuk kedai kut... aku jual online nanti...

    ReplyDelete
  6. Yer ker nk publish trs???
    x sbr rsanyerrrr!!!

    ReplyDelete
  7. kunjungan gan .,.
    saat kau kehilangan arah ingatlah masih ada yang menolong mu
    dan tetap berdoa mengharap untuk menemukan jalanmu.,.
    di tunggu kunjungan balik.na gan.,.

    ReplyDelete
  8. novel ni dijual ke kak? xpernah kumpa pon.harap reply. =)

    ReplyDelete
  9. Fara Joe : Insya ALLAH Taala...nanti akak inform... :D

    Leadership Development Training : makasih kunjungannya gan... salam ramadhan...

    Sitiainasyafiqah : belum siap yang... kalau siap pun takkan ada kat market kut... beli direct dari akak... :D

    ReplyDelete
  10. Rose, jadi ke buku ni keluar? bila?

    ReplyDelete

Rose Harissa® Registered under the provisions of the Trade Marks Act 1976 and the Trade Mark Regulations 1997 since 2016