Wednesday, 3 October 2012

Guy Next Door - 1




Pagi-pagi lagi dah dengar suara emak membebel. Cepat-cepat aku bangun sebelum mak terjah masuk ke bilik. Tapi rupa-rupanya mak lebih pantas, mengalahkan The Flash! Mak dah bercekak pinggang depan pintu bilik.


"Anak dara apalah kau ni Kris? Asyik melingkar aje kat tempat tidur tu macam ular sawa!"

"Mak...orang ni manusia tau, bukan ular sawa tau!"

"Hah! Sedar pun diri kau tu manusia! Cuba bawak-bawak bangun tolong mak kemas rumah ke sidai baju macam anak teruna rumah sebelah tu!"

Huh! Balik-balik dengan mamat tu lagi mak bandingkan aku! Mana boleh jadi mak bandingkan aku yang si dara hot ni dengan teruna pingitan rumah sebelah tu!

"Mak! Dia tu pemalas sebenarnya! Dah besar panjang pun masih nak duduk dengan mak! Buat malu kaum lelaki aje!" Aku mencebik ke arah kiri, tepatnya ke arah rumah sebelah seolah-olah mamat yang kucemuh itu ada di depan mata.

"Ha...dah tu yang kau tu masih duduk dengan mak abah ni kenapa?  Pergilah cari rumah sendiri!"

Aku ternganga. "Eh? Mak ni...buat orang sentap je! Ada ke patut halau anak sendiri?" Mulut aku dah memuncung. 

Mak memanglah kuat membebel tapi hati mak baik sebenarnya. Tinggal lagi sekarang ni aku sedang cari alasan merajuk supaya aku dapat keluar rumah di pagi Ahad ni jumpa boyfriend! Aku dah seminggu tak jumpa Fandi. Hehehe...

"Memang pun! Patutnya anak dara umur-umur macam kau ni dah duduk dengan laki sendiri! Ini tak, masih berkepit dengan mak bapak!"

"Eleh...mak ni, kalau dengan anak sendiri, semua tak kena. Tapi anak teruna sebelah rumah tu elok pulak mak puja!"

"Memang pun! Anak lelaki macam tulah yang elok dibuat menantu. Ikut hati mak ni, nak aje pinang dia untuk kau. Tapi mengenangkan yang kau tu, masak pun tak pandai, seluar dalam sendiri pun masih mak yang sidai, batal ajelah hasrat tu!" Selamba aje mulut mak!

"Isk! Mak ni!" Aku dah hentak-hentak kaki. "Malulah cakap pasal tu kuat-kuat!"

"Hah, tau pun kau malu!"

"Orang nak keluarlah kalau macam ni. Duduk rumah ni mak asyik membebel aje!"

"Cari alasan nak keluar, kan? Sudahlah Kris, taktik kau tu semua dalam kocek mak!"

Aku tersengih dengan tangan berpintal gedik. Mak kemudiannya melenggang pergi. Aku pulak, sebelum masuk bilik mandi, curi jenguk ikut tingkap ke rumah sebelah. 

Sempatlah aku tangkap kelibat guy next door pujaan hati mak tu masuk dalam rumah sambil bawa bakul kain kosong. Betullah tu, dia baru sidai kain. Tapi...eleh! Mesti lepas tu membuta sampai petang! 

Aku sebenarnya bukanlah benci sangat kat mamat tu. In fact, kenal sangat pun tidak. Aku cuma tahu nama penuh dia, Adam Putra Iskandar bin Haji Ismail. Memang sesuai sangatlah nama tu dengan rupa dia tu. Tapi aku jadi rimas bila sejak dia muncul kat rumah sebelah tu 5 tahun lalu, mak asyik puji-puji dia.

10 tahun dulu, rumah sebelah yang dah lama kosong tu, tiba-tiba ada penghuni baru. Pasangan suami isteri warga emas. Dah pencen. Anak-anak semua perempuan, dah kahwin, tak tinggal dengan diorang. Tapi bila hujung minggu aje, rumah tu mesti riuh rendah dengan lawatan anak menantu dan cucu. 

Mak pun sukalah sebab dapat jiran baru yang peramah dan tak sombong.

Kak Ton yang mak panggil tu, bekas pensyarah, orangnya anggun walaupun dah tua. Macam datin-datin yang dah bersara dan dah bergelar Hajjah pun. Selalulah aku nampak mak buat persidangan meja bulat di laman belakang rumah Kak Ton. Tapi aku tak minat nak join. Balik kerja, dah penat. Baik tengok tv dari join orang tua bergossip.

Tup, tup, lima tahun lepas, yakni beberapa hari sebelum arwah suami Kak Ton meninggal, muncul seorang teruna ganteng kat rumah tu. Macam pengiran turun dari langit. Handsome, tinggi tapi nampak macam pemalu. Rupanya tu anak bongsu Kak Ton yang kerja kat US lepas habis belajar kat sana. Balik Malaysia sebab nak jaga ibu bapa. 

Memang bunyi macam anak mithali! Tu cerita yang aku dengar dari mulut mak.

Tapi aku jadi tak minat nak korek pasal guy next door tu sebab mak tak habis-habis puji dia. Sampai nama boyfriend aku pun mak dah tak ingat lagi! Kejam!

Entah apa yang perfect sangat pasal guy next door tu! Nak jaga ibu bapa konon, padahal nak perabihkan duit pencen mak dialah tu. Sebab tak pernah pun aku nampak dia pergi kerja! Pergi balik dari pasar adalah!

"Mak! Orang keluar dulu!" Laung aku sambil berlari anak menuruni tangga.

Mak muncul dengan sebelah tangan cekak di pinggang, sebelah lagi pegang senduk.
"Eloklah tu anak dara bercakap sampai nak keluar anak tekak!"

“Ala… nanti cakap perlahan, mak tak dengar pulak. Kang mak tuduh orang keluar curi-curi pulak!” Saja aku usik mak.

“Ada aje alasan kau ni, Kris! Dah keluar tu, jangan tak ingat nak balik pulak. Cakap kat boyfriend kau tu, bila lagi nak masuk meminang?”

“Isk! Mak ni ke situ pulak! Orang baru 25, muda lagi nak kahwin!”

“Eee… budak ni!” Mak angkat senduk.

Aku cepat-cepat menjauhkan diri. "Malaslah salam mak, nanti mak ketuk dengan senduk!"

"Eh, eh, bertuah punya budak! Aku ketuk sungguh nanti, biul kau 44 hari!"

Aku gelak besar. Mak bukan marah sebenarnya. Orang tak kenal kami, memang akan cakap aku dengan mak ni kasar tapi kitorang saling menyayangi. Maklumlah aku ni anak tunggal.

Tengoklah, bila aku balik nanti, mak mesti dah siap sediakan masakan best-best! Lepas melambai, aku terus keluar mendapatkan Suzuki Swiss warna pink aku. Belum pun masuk kereta, aku nampak si guy next door sedang siram pokok bunga yang mak dia tanam dekat pagar sempadan rumah kami. Saja tunjuk rajinlah tu, supaya mak puji dia lagi.

Dia senyum bila sedar aku memandangnya. Sumpah, dia memiliki senyum mempesona, indah. Macam bunga-bunga yang sedang disiraminya. Tapi aku balas dengan menjegilkan mata. Konon geram.

"Apa tengok-tengok, senyum-senyum? Sebab awaklah hari-hari saya kena bebel dengan mak saya, tau!"

Aku terus masuk kereta. Semasa mengundur, aku nampak dia terkebil-kebil memandang aku, macam nak kata, "apa dosaku?"

Hahaha...kesian la pulak aku tengok muka bingung dia tu. Tapi cute jugak!
 

Namun demi ego seorang wanita, aku sengaja tayang muka kerek sampailah kereta aku jauh meninggalkan rumah.
Rose Harissa® Registered under the provisions of the Trade Marks Act 1976 and the Trade Mark Regulations 1997 since 2016