Thursday, 4 October 2012

Rindu Itu Cinta - Bab 9

MATA Nisa melebar dan mulutnya ternganga melihat keadaan Toyota Viosnya. Lampu depan pecah, mudguard kemek, skirting rebeh menjadikan kereta itu ‘cacat’! Nisa hampir terjerit geram tetapi saat itu juga dia terpandangkan sehelai kertas terselit pada wiper. Nisa segera menarik kertas tersebut. Ada tulisan tangan yang sangat cantik. 

Maaf, saya terlanggar kereta awak malam tadi. Saya betul-betul tak sengaja. Tolong hubungi saya, saya akan bayar ganti rugi...  Al-Hadi (0122657525)

Terlanggar??? Mamat ni bawak kereta kebal ke sampai teruk macam ni kereta aku jadinya? Nisa merutuk dalam hati. Tangannya segera mengeluarkan telefon bimbit bagi menghubungi si pesalah.

Panggilan Nisa bersahut. Terdengar suara lelaki menyapa di hujung talian. 

"Hello, ini Encik Al-Hadi ke?" tanya Nisa, sengaja tidak memberi salam.

"Iya saya, dengan siapa saya bercakap? Telemarketer ke?"

Dahi Nisa berlipat kerut. Buat lawak pulak mamat ni! Kalau depan mata, dah selamat aku bagi peninju sebijik! Baru dia tahu rasa!

"Malam tadi awak ada langgar satu Toyota Vios warna putih, kan? Saya ni tuan punya kereta tu. Saya jumpa nota dari awak. Jadi, tujuan saya telefon ni sebab nak mintak ganti rugi." Nisa malas berbasa-basi. Buang masa!

Tiba-tiba suasana jadi hening. Nisa mula curiga kerana langsung tidak mendengar suara lelaki itu lagi. 

"Hello?! Takkan dah kena serangan jantung kut? Pandai langgar, pandailah bertanggungjawab! Takkan takut kut?"

"Eh? Oh! Tak...bukan takut tapi saya tak sangkalah pemilik kereta itu perempuan rupanya...lega saya..."

Padahal di hujung talian, Al berusaha keras menahan diri dari rasa teruja. Sungguh, rasa macam budak sekolah baru dapat panggilan telefon dari awek yang disukai! 

“Oh, sebab saya perempuan, awak fikir, senanglah nak buli saya nanti, ya?” getus Nisa, tidak mahu memberi muka. 

“Eh? Tak... tak... bukan macam tu... cuma saya tak sangka Vios yang sporty giler tu, pemiliknya seorang perempuan.”

Pujian itu langsung tidak mampu membuatkan Nisa tersenyum. Makin panas hati adalah.

"Jadi sekarang, macam mana?" tanya Nisa meminta keputusan dibuat dengan kadar segera.

"Hmm... awak boleh tak bawa kereta awak tu ke Ampang sekarang?” tanya Al dengan begitu berhemah. 

"Ampang? Dah tak ada tempat jauh lagi ke?” sindir Nisa, sakit hati. Pagi-pagi lagi kesabarannya sudah teruji.  

“Bukan apa, kat situ ada satu bengkel aksesori kereta, Pro-Racer900. Saya selalu bikin kereta kat bengkel tu. Saya tunggu awak kat situ. Boleh?"

“Habis tu saya tak payah pergi kerja? Lainlah kalau awak sanggup hantar saya pergi ofis bos saya kat Bangsar!" Sengaja Nisa memancing.

"Eh! Saya sanggup! Saya anggap itu hukuman bagi saya sebab dah langgar kereta awak yang cun tu!"

"Huh! Cepat aje!" getus Nisa dan dalam hatinya menyambung lagi, '...semua lelaki pun sama! Kalau dengan perempuan macam ulat bulu naik daun!'

"Mestilah kena cepat...kalau tak..."

"Kalau tak, apa?" jerkah Nisa, tidak tahu berlembut.
"Melepas!"

Kerutan di dahi Nisa semakin berlipat-lipat. Jawapan yang langsung tak relevan dengan situasi! Kalau dilayan, mesti makin menjadi-jadi! Dasar jantan! 

"Apa-apa ajelah! Tolong SMS kepada saya alamat penuh bengkel itu. Saya datang petang nanti." Selepas memberikan arahan tersebut, Nisa terus memutuskan talian. Soalnya dia perlu masuk pejabat pagi ini kerana akan menghadiri mesyuarat bersama Tengku Tajuddin di Cyberjaya jam 10 pagi nanti.

Selepas talian diputuskan, Al jingkrak-jingkrak, melompat-lompat kesukaan! Dalam beberapa jam sahaja lagi, dia akan bersua muka dengan awek Barbie doll!

*********************
Jam tiga petang, Nisa tiba di bengkel Pro-Racer900. Bengkel itu merupakan lot tepi bangunan kedai tiga tingkat. Bahagian tepi bangunan dipasang porch, bagi kerja-kerja pemasangan. Ketika keluar dari kereta, Nisa terpandangkan Kia Forte putih terparkir elok di hadapan bangunan. Nisa agak terkejut. 

'Eh? Si gigi besi tu pun ada kat sini ke?' Nisa tertanya-tanya sambil melangkah ke bawah porch bagi mengelak panas matahari. 

Nisa mengeluarkan telefon bimbit. Talian segera bersambung. Tetapi Nisa terkejut apabila mendapati bunyinya datang dari bawah sebuah kereta Honda Civic di hadapannya. Kelihatan sepasang kaki lelaki terjulur keluar dan terdengar suara menyahut.
"Hello? Awak dah sampai ya? Sekejap ya..."

Nisa tidak sempat menjawab apabila tubuh lelaki itu meluncur keluar dari bawah kereta dan terus melompat bangun. Nisa tergamam seketika. Berkerut dahinya memandang si jejaka gigi besi yang sedang tersenyum lebar memandangnya. Jejaka itu, tidaklah terlalu tinggi juga tidak terlalu rendah. Nisa mengagak, mungkin sekitar 175cm. Lebih 15cm dari Nisa. 

Sementara Al juga tidak berkelip memandang Nisa. Betapa dia terpegun melihat wajah Nisa dari dekat. Wajah itu bersih dari sebarang mekap. Kulit wajahnya gebu dengan warna merah alami bersemu di pipinya. Kalau ada pun perwarna pada wajah itu, hanyalah calitan gincu di bibir mungilnya. 

Betapa indahnya ciptaan Tuhan! Mesti muka dia cute gila waktu baru bangun tidur. Otak lelaki Al sudah mengeluyur fikir yang bukan-bukan. 

"Al-Hadi?" tanya Nisa tanpa sedikit pun senyum sebaliknya dengan mata mencerun. 

Masih tersenyum lebar, Al mengangguk. "Ya, tapi panggil saya Al aje...dan awak?"

Nisa mengeluh. Rupanya si jejaka gigi besi yang melanggar keretanya. Hai, kecilnya dunia ni...! Kalau Hanim tahu ni, mesti dia gedik-gedik nak ikut aku ke sini...

"Saya Annisa. Panggil saya Nisa! Jadi, awaklah yang langgar kereta saya? Macam mana awak boleh terlanggar kat tempat seluas-luas alam tu? Awak rabun ke apa?” Nada suara Nisa begitu ketus.

"Ah ah, sori, saya tak perasan, gelap sangat masa tu..."

“Banyak-banyak kereta kat situ, kereta saya yang awak langgar? Dah tak ada parkir lain ke awak nak himpit? Atau awak berdendam dengan saya sebab kereta awak kena clamp hari tu?”

Al nyaris putus nafas melihat cara Nisa memandangnya dengan tajam. Tenang Al! “Tak adalah sampai macam tu sekali. Kebetulan aje saya terlanggar kereta awak.”

Nisa tidak membalas, sebaliknya dia memandang ke arah Kia Forte di luar bengkel. Kemudian dia kembali memandang Al.

"Yang itu kereta awak?" tanya Nisa.

"Err...iya...kenapa?"

"Kenapa kereta awak tak ada cacat cela pun?"

Al tertelan ludah mendengar pertanyaan Nisa. Ah, sudahhh... habis aku kalau dia tahu, aku tak langgar pun kereta dia. Sebenarnya aku pecahkan lampu dan ketuk kereta dia bagi kemek dengan batu! Idea gila itu datang apabila memikirkan, awek itu pasti akan menghubungi bagi menuntut ganti rugi. Terbukti berkesan!

"Oh, saya bawak kereta lain masa tu." Al berdalih. Biar pecah diperut, jangan pecah di mulut. Hanya Rozan seorang yang tahu rahsianya mengerjakan kereta awek Barbie Doll itu. 

"Jadi, awak kerja kat sini?" tanya Nisa, menyelidik. 

Cepat-cepat Al mengangguk. Nisa pun tidak bertanya lagi namun matanya meneliti Al dari hujung rambut sehingga ke hujung kaki. 'Sayang...muka boleh jual...tapi kerja mekanik aje rupanya! Jangan-jangan Kia Forte kat luar tu, bos dia punya, tapi mengaku hak sendiri...' gumam Nisa dalam hati.

Sedangkan Al jadi salah tingkah direnung sebegitu rupa oleh Nisa. Biarpun tiada senyuman menghiasi wajah Nisa, Al tetap berusaha mempamerkan mukamanis. Soalnya berdepan dalam jarak dekat dengan awek 'barbie doll' ini membuatkan darah panas Al terasa menyerbu ke muka, perasaan berderau-derau macam naik roller coster. Macam budak sekolah baru belajar mengorat! Al tiba-tiba jadi kekok. 

"Awak ni kenapa? Dari tadi asyik tersengih. Saje nak tayang besi kat gigi tu ke? Sorry, saya tak hairan!"

Sudahnya Al garu-garu kepala. Mati kutu! Hilang segala skill menangani perempuan. 

"Sekarang macam mana awak nak selesaikan hal ni? Bukan sikit tau kerosakan tu. Mesti nak kena ketuk dan cat semula bahagian yang kemek tu, kan?”

“Iya... sebab itulah saya mintak awak datang ke sini sebab saya boleh baiki kereta awak kat sini. FOC!”

Mata Nisa mencerun. “FOC? Biar betul? Awak jangan nak main-mainkan saya. Mana bos awak? Nanti tak fasal-fasal, dia hantar bil ke rumah saya pulak!”

“Err...saya...” Al tiba-tiba mati kata.

Melihat Al tergagau-gagau mahu memberikan jawapan, Nisa segera berjalan menuju ke kaunter. 

“Adik... mana bos adik?” tanya Nisa kepada gadis muda penjaga kaunter itu. 

“Eh? Yang bercakap dengan akak tadi tu, bos sayalah...”

“Hah?” Sungguh Nisa terkejut lalu berpaling ke tempat Al berdiri tadi. Tetapi jejaka itu telah pun berada di sisi kereta Nisa, pura-pura membelek kerosakannya. 

“Macam tu bos?” Nisa masih tidak dapat menerima hakikat lalu memandang kembali si gadis.

“Ah ah... abang Al memang macam tu kak. Sempoi. Kalau mekanik tak datang, biasanya dialah yang buat kerja. Kadang-kadang memang dia malas mengaku dia bos, dia cakap saya bos kalau dia menyampah nak layan karenah pelanggan yang banyak songeh!”

Penjelasan agak panjang lebar dari si gadis menyentap hati Nisa. Tidak semena-mena dia yang terasa sendiri seolah-olah dia juga banyak songeh orangnya. Sambil memaksa diri agar tersenyum, Nisa berlalu dari kaunter, mendekati Al di luar kedai.

Nisa diam. Memandang Al yang sibuk membelek keretanya. Separuh hatinya ingin meminta maaf kepada Al kerana salah sangka tetapi separuh lagi berkeras mempertahankan egonya. 

“Okey...” Al menegakkan tubuh lalu berdiri menghadap Nisa. “Nampaknya awak kena tinggalkan kereta kat sini. Boleh?” 

“Hah? Kalau saya tinggalkan kat sini... macam mana saya nak balik? Nak pergi kerja? Iskkk!” Nisa mula serabut memikirkan hal itu. Patah kakilah jawabnya...

Al senyum-senyum. “Jangan bimbang... saya hantar awak balik. Nak suruh saya hantarkan awak pergi kerja sampai kereta awak siap pun boleh...” 

Nisa terpanar menatap Al. Rasanya sejak tadi, dia lihat Al tidak putus dengan senyuman. Senyum yang membuatkan wajahnya kelihatan sangat manis. Betullah kata Hanim. Mamat ni sweet!  He is definitely eye candy!

“Tak apalah... saya boleh balik naik teksi...” Nisa menolak, enggan terhutang budi kepada lelaki yang tidak dikenali. Walaupun sebenarnya dia paling tak kuasa menaiki teksi. 

“Tak usah! Saya hantar awak balik, lagipun saya memang nak ke rumah kawan saya kat Kota Kemuning tu. Tapi, kalau awak degil juga...saya malaslah baiki kereta awak tu!”

Mata Nisa membulat, tidak percaya mendengar ugutan Al. “Eh? Awak fikir awak siapa? Awak dah langgar kereta saya, lepas tu tak nak baiki pulak, semata-mata sebab saya tak nak awak hantar saya balik? Perangai apa awak ni?”

Al menahan nafas buat beberapa saat. Gila, ketus sungguh awek yang satu. Namun sikap Nisa itu langsung tidak menerbitkan rasa putus asa di hati Al, sebaliknya, rasa ingin mendapatkan lebih merajai hati Al. Tak ayal, Al mendekati.

Nisa terpaksa menapak ke belakang, tetapi tiada ruang lagi. Tubuhnya tertampan pada pintu kereta. Matanya membulat, mendongak memandang Al yang kini meninggalkan jarak kurang dari 10 inci di hadapannya. Sehinggakan, Nisa dapat melihat dengan jelas rupabentuk bracket yang melekat pada barisan gigi Al. Mujur tiada sisa makanan yang terlekat di situ!

“Awak ni, jenis jual mahal ke atau memang sikap awak semulajadi ketus dengan lelaki?”

Pada detik itu, Nisa terpaku, renungan Al yang tepat pada manik matanya, membuat hati Nisa bergetar. Juga membuat Nisa dapat membaca sebuah pesan dari sorot mata itu, bahawa Al sedang terpesona kepadanya. 

Semerta, darah Nisa berdesir, buru-buru mengalihkan pandangan. Tidak! Jangan mudah terpedaya kepada lelaki, Nisa! Sebuah peringatan menyembur ke segenap ruang otaknya. 

“Rasanya saya tak perlu menjawab soalan awak itu!” tegas Nisa, bingkas menyingkirkan diri ke samping. 

Sedangkan Al, terlihat santai, masih mampu menguasai diri. Sabar, Al! Awek macam inilah baru ada cabaran kau nak pikat. Al memujuk hati. 

“Okey, kalau macam tu, saya pun tak perlu persetujuan awak. Saya tak benarkan awak balik naik teksi, tapi saya sendiri yang akan hantar awak balik! Tunggu saya cuci tangan dulu!” Al sudah mengeluarkan perintah.

Nisa tidak mampu berkata apa lagi kerana dari pengamatannya, Al itu jenis lelaki yang cerdas dan optimis. Oleh itu, Nisa harus lebih pantas mengelakkan diri. Tangannya segera menahan sebuah teksi. Daripada berduaan dengan lelaki tidak dikenali dalam Kia Forte, Nisa lebih rela pulang dengan teksi. 

Al yang baru muncul, terkedu melihat Nisa pergi begitu sahaja tanpa sebarang pamitan. Punah harapannya mahu beramah mesra dengan gadis itu!

 ___________________________________________________________________

p/s: Bila dah masuk 9 bab novel dewasa ni, baru aku sedar, feeling baca kat skrin dengan bila pegang buku adalah sangat lain. Aku rasa banyak kekurangan bila tempek kat sini. Bila baca balik rasa macam ada yang tak kena, tiba-tiba aku rasa jengkel sendiri dan rasa macam dialog, naratif dibuat-buat, tak natural. Mungkin lepas ni cerita aku takkan upload lagi kat sini. Sebab cerita ni detail, ada konflik berat dan i cannot simply type then post to this blog. ヾ(´・ ・`。)ノ”

Kena duduk diam-diam, fokus dan tulis ayat baik-baik. Harap-harap dapat balik stroke macam Dan Cinta Pun Tersenyum tak pun Mulanya Satu Cinta. Nak buat macam Wasilah Cinta Weera tak boleh sebab rasa karektor Al tak kuat...haihh...(=´∇`=)

Kalau tempek cerita pun, mungkin cerita yang enjoy, kurang naratif dan tak berat kepala nak baca kat skrin. └(=^‥^=)┐

Apa pun selamat membaca dan terima kasih kepada semua yang sudi berkunjung ke blog yang hampir nak pupus sebab ownernya selalu malas nak update dan selalu menjauhkan diri dari dunia 'inter frame' ni... heeee... ヾ(@⌒ー⌒@)ノ
Rose Harissa® Registered under the provisions of the Trade Marks Act 1976 and the Trade Mark Regulations 1997 since 2016