“MAK! Kenapa pengat durian ni tinggal
sikit? Mak dengan abah makan tak ingat kat Kris eh?” tuduh aku dengan muka tak
puas hati bila melihat isi periuk tinggal tak sampai suku! Durian pun cuma ada
seketul!
|
“Siapa suruh kau balik
lambat? Ingatkan dah kenyang makan kat luar dengan boyfriend kau tu...”
Aku tenung muka mak tapi
mak buat muka selamba sambil ‘klim’ kulit karipap. Tu buat banyak macam
nak meniaga, mesti sebab nak kirim kat rumah sebelah. Tau sangat taktik mak...
“Mak ni... kejam betullah!
Kuah banyak ni, mana cukup orang nak cicah roti buat sarapan sebelum pergi
kerja esok!” aku protes tapi tangan tetap capai mangkuk. Mana boleh tak rasa
pengat mak buat.
“Mak bagi Adam tengahari
tadi. Dia suka makan pengat durian...”
Demi mendengar nama guy
next door tu, terus mata aku membulat macam nak terkeluar dari soket. “Mak
bagi dia??? Mak dah lupa ke yang anak mak ni pun suka makan pengat durian?”
“Laa... Mak ingat kau suka
makan Tutti Frutti aje...”
Aku tau mak saja sindir
aku. Muka mak selamba habis, siap angkat dagu! Isk!
“Mak ni kan... saje je,
tau!” Dek kerana geram, aku pun angkat periuk dan curah isinya ke dalam
mangkuk.
Mak pun apalagi, terus
hilang muka selamba berganti muka bengang, nyaris tak hijau aje. “Bertuah punya
anak dara! Dah tak ada senduk ke dalam rumah ni?”
Aku diam tak menjawab,
terus hempas punggung kat kerusi. Tunjuk protes dengan muka muncung. Gara-gara pengat
durian, aku jadi makin meluat kat guy next door. Kenapalah dia jadi
jiran aku? Jadi kesukaan mak aku pulak tu! Huh!
“Mak tu... macamlah mamat
rumah sebelah tu anak mak! Lain kali mak bagi ajelah seperiuk ni kat dia!”
Bersamaan dengan itu,
terdengar suara lelaki memberi salam dari pintu dapur. Aku buat tak tau. Tapi
mak bingkas bangun cuci tangan. Lepas tu siap senyum-senyum sambil buka pintu.
“Waalaikumsalam... eh,
Adam!”
Aku yang sedang asyik
hirup kuah pengat, nyaris tersedak. Bila aku angkat muka, mata aku terus
bersabung pandang dengan mata Adam yang dah berdiri di muka pintu.
Alamak! Dia dengar ke aku
mengomel fasal dia tadi? Aku mula salah tingkah. Tapi muka Adam macam innocent
giler. Maknanya, dia tak dengarlah, kan?
“Mak suruh pulangkan bekas
pengat ni. Tapi maaflah, bekas kosong aje.”
Aku tak taulah samada aku
yang perasan atau memang sambil bercakap tu mata Adam melirik kat aku. Oh? Dia menyindir
ke?
“Eh, tak apalah... mak cik
bukan mintak diberi pulangan pun. Kita kan berjiran, apa nak berkira sangat.”
“Bukan apa, mak cik...
saya rasa bersalahlah jugak. Gara-gara saya, ada orang tak cukup makan pengat
durian.”
Mata aku terpelotot. Macam
tak percaya yang aku baru aje dengar ayat tu keluar dari mulut Adam. Dari muka
pintu, Adam pandang aku dengan muka maintain innocent sambil tarik senyum
menawan. Amboi! Pandai jugak dia menyindir dalam gurau eh!
Mak gelak-gelak. “Biarkan!
Siapa suruh dia gatal keluar dating? Orang hari Ahad duduk rileks kat
rumah dengan keluarga. Selalu lebihkan boyfriend dari mak sendiri. Tak
macam kau...elok teman mak kau kat rumah.”
Wah! Wah, mak, bukan main lagi ya!
Jelas-jelas sokong pihak lawan, nampak? Ini kalau main bola ni sah kena baling
dengan botol! Menyirap aku tengok Adam tertawa berirama dengan mak. Sempat
jeling-jeling aku pulak tu! Ingat hebatlah tu mak aku berada di pihak dia?
Aku pun apa lagi, sambil
tangan kanan tak henti hirup kuah pengat, tangan kiri aku sengaja letak atas
meja sambil kepal-kepal penumbuk. Mata aku pulak dah hantar renungan membunuh.
Biar dia tau yang aku ni bukan sembarangan perempuan yang boleh diperlekehkan
begitu sahaja!
Malangnya Adam tetap
nampak cool. Maknanya dia tak takut aku langsung! Arghhh! Rasa
nak tumbuk aje muka dia, biar senyum dia jadi tak lawa dah!
“Saya balik dululah mak
cik. Kirim salam kat Pak Mid.”
“Ha... yelah. Esok pagi
mak cik hantar karipap buat sarapan Adam dengan mak.”
“Mak cik ni... buat
susah-susah aje. Segan saya... asyik dapat makan free aje dari mak
cik...”
Mata aku makin mencerun
tengok Adam bercakap dengan nada paling santun. Aku pun tak tau samada dia
sengaja nak tunjuk berhemah atau itu memang sikap semulajadi dia. Tapi aku assume
dia berlakon supaya mak terus puji-puji dia!
“Tak apa. Jangan
dikisahkan. Kau dengan mak kau tu dah macam keluarga mak cik sendiri.”
Aku rasa, kalau aku ni
berwujud dalam bentuk naga, tentu dah keluar api ikut hidung. Amboi... sesenang
aje mak declare jiran sebelah jadi keluarga ye?
“Terima kasih mak cik...
Assalamualaikum.”
Sebaik sahaja kelibat Adam
yang tinggi lampai tu hilang dari pandangan mata, aku terus seru mak.
“Mak ni memang tak adil
tau!”
“Eh? Kenapa kau cakap mak
macam tu? Nak masuk neraka?” jerkah mak sambil letak Tupperware di rak.
Kemudian mak duduk menyambung kerja-kerja mengelim kulit karipap.
“Dengan Fandi mak tak
pernah layan baik macam tu... padahal Fandi yang nak jadi menantu mak!” Aku
mula keluarkan sikit-sikit rasa bengang.
Mak pandang aku dengan
muka mencebik. “Eleh... bertunang pun belum, berani kau cakap dia nak jadi
menantu mak? Jejak rumah ni pun takat depan pintu pagar tu aje. Tak ada
inisiatif langsung nak mengambil hati mak dengan abah macam Adam tu...”
“Isk, mak ni mesti
nak kaitkan dengan anak jiran sebelah tu jugak. Mak, Adam tu membodek aje
lebih, bukannya ambil hati mak!” Aku rasa aku kena hasut mak, supaya mak tak kelabu
mata! Supaya mak tahu baca macam mak pandai beza mana kristal mana kaca bila
pergi kedai perabut.
Mak diam. Entah mati kata
atau malas nak layan aku lagi. Aku pun guna kesempatan tu untuk teruskan
hasutan, supaya Fandi dapat mengambil alih tempat Adam di hati mak.
“Mak tu yang garang sangat
dengan Fandi. Kalau dengan Adam tu, siap ketawa-ketiwi lagi! Mak kan suka
tengok sinetron Indonesia, mak tak nampak ke Fandi tu hensem macam Samuel
Zylgwyn?”
“Hensem lagi Adam. Manis
macam Mario Maurer!”
Aku nyaris terbelahak.
“Mak ni tak aci tau! Tengok cerita Indonesia tapi puji pelakon Thailand!”
Sebenarnya aku dah
kehilangan kata sebab aku dah tak nampak kat celah mana aku dapat selit nama
Fandi dalam percakapan dengan mak. Apatah lagi bila teringat Fandi selalu
mengeluh kalau aku ajak dia datang ke rumah,
“Buat apa saya datang?
Saya tahu mak awak tu tak suka kat saya...”
“Mak memang tak suka
langsung kat Fandi ke?” tanya aku dengan muka dibuat sedih. Harap-harap dapat
memancing simpati mak.
Tiba-tiba mak memandang
aku dengan muka serius. Buat aku rasa cuak. Nak telan air liur pun rasa macam
telan batu kerikil! Err... macamlah aku pernah telan batu kerikil...
“Mak tak suka sikap dia
tu! Tak bersungguh. Kalau betul dia nak jadi menantu mak, kenapa masih tak
masuk meminang lagi? Dah tiga tahun dah kau bercinta dengan dia. Kau ingat mak
suka ke tengok kau diusung ke hulu ke hilir macam tu? Memanglah orang kata tak
luak pun kena pegang. Tapi Kris, kau tu anak dara. Tak manis orang tengok!”
Aku tak mahu kalah. Aku
kena pertahankan Fandi demi cinta suci kami! “Mak, Fandi tengah kumpul duitlah
tu. Dibuatnya mak letak harga hantaran mahal-mahal, haa... siapa nak
tanggung?”
“Aku tak sampai nak
menjual anak, Kris oi! Kau jangan nak buruk sangka dengan mak kau
sendiri. Mak ni dah naik malu dengan Kak Ton. Mak ni ada anak dara, tapi
time cuti susah betul nak lekat kat rumah. Anak jantan dia elok aje... Si
Adam tu tak pernah pun nak keluar berkepit dengan perempuan!”
See? Mak masukkan nama Adam
lagi dalam topik!
“Mak ni dah obsess sangat
dengan si Adam tu! Susah sangat, mak ambil ajelah dia jadi anak angkat mak!”
“Daripada mak ambil Adam
jadi anak angkat, baik mak ambil dia buat jadi menantu!”
“Makkkkk!!! Orang nak
Fandi, bukan Adam, tau!” Aku terjerit macam nak terkeluar anak tekak. Biarlah
kalau jiran tu sebelah dengar nama dia disebut. Ni semua gara-gara dia yang bajek
suci tu!
Aku dah tak sanggup hadap
mak. Daripada jadi gaduh, berdosa, baik aku lari keluar dari rumah. Tak jauh
pun, duduk tepi kolam ikan abah. Hasrat hati nak mengadu domba dengan Fandi.
Tapi bila aku cuba dail nombornya terus masuk voice mail. Isk... ke mana
pulak cinta hati aku ni pergi??
“Awak kena marah lagi?”
Suara tu mengejutkan aku
dan nyaris buat aku tergelincir masuk kolam. Nasib baik daya imbangan aku masih
steady.
“Sori dah buat awak
terperanjat...”
Suara tu macam datang dari
langit pulak. Aku dongak cari arah suara. Dalam kegelapan, aku nampak
samar-samar satu kelibat sedang duduk berlunjur atas tembok beranda rumah
sebelah. Siapa lagi kalau bukan Adam Putra Iskandar.
“Awak buat apa dalam gelap
tu? Mengendap ya!” Aku mengemukakan tuduhan.
“Kris...”
Aku terkejut bila dengar
cara dia panggil nama aku, macamlah aku ni kawan baik dia. Suara dia tu macam
ubat bius, buat aku tak mampu nak menyahut.
“Kita dah lama berjiran.
Memanglah kita tak pernah bercakap, kecuali sekarang. Tapi kenapa awak macam
tak suka sangat kat saya?”
Sumpah, aku rasa pelik
sangat bila buat pertama kalinya sepanjang lima tahun ni, dengar suara dia
bercakap dengan aku. Mimpi apa dia nak bertegur dengan aku? Nak ambil hati aku pulak
ke apa?
“Kris? Awak marah saya?”
“Saya bukan setakat marah,
tapi saya benci awak! Awak bukan sahaja buat saya kena bebel dengan mak saya.
Tapi, kerana awak, pakwe saya tak pernah dapat tempat kat hati mak saya. Kerana
awak, mak saya sampai tak nampak lagi kebaikan Fandi kat saya! Semua sebab
awak!”
Sewaktu mengatakan semua
tu, aku rasa airmata dah mengembang kat tubir mata. Sebelum tumpah, baik aku
cabut lari masuk rumah. Aku tak tau apa reaksi Adam tapi yang aku tahu, hati
aku puas dapat jeritkan semua yang terbuku kat hati ni pada dia!
No comments:
Post a Comment