Dah sejam sejak Kristal masuk ke dalam rumah. Tapi aku masih terkebil-kebil duduk dalam gelap kat beranda. Masih terkedu. Kristal mungkin tak nampak sangat muka aku tapi aku dapat tengok dengan jelas muka dia yang cute tu tiba-tiba berubah menjadi marah, ‘cengey’ giler!
Nasib baik waktu tu aku duduk tinggi setingkat dari dia. Aku rasa kalau Kris tu ada dalam bentuk naga, tentu dah rentung aku ni kena sembur dengan api dari mulut dia. Gaya dia marah tadi pun dah macam ahli sihir yang murka. Tinggal lagi dia tak ada tongkat sakti aje untuk sumpah aku jadi katak ke, monyet ke...
Hahaha...melebih pulak aku ni... Sebenarnya aku pun tak tahu kenapa bila aku tengok Kris (maksud aku tengok secara curi-curi—ikut tingkap bilik kerja—setiap kali aku dengar suara dia...(^_^)7), aku selalu bayangkan dia macam watak gadis comel dalam komik!
Memanglah Kris tu kasar. Cakap dengan mak dia pun macam cakap dengan kawan aje... Memanglah Mak Cik Umi ada cakap Kris tu pemalas, dan Mak Cik Umi duk puji aku ni rajin mengalahkan anak dara. Tapi Kris kan anak tunggal? What do we expect from that?
Aku ni lainlah. Anak bongsu, the one and only son dalam keluarga. Atas aku pulak semuanya kakak-kakak. Dah terbiasa tengok kakak-kakak mengemas, memasak sampai aku pun kadang terikut sama. Tapi tak bermakna aku jantan patah okey! Haa...
Aku sebenarnya suka tengok cara Kris dengan mak dia. Itu yang membuatkan dia nampak comel kat mata aku. Suka jugak tengok dia time-time merajuk dengan mak dia. Mesti kat kolam ikan abah dia tulah dia buat port sambil bercakap kat handphone dengan boyfriend dia.
Confirmlah bercakap dengan boyfriend sebab lepas tu mesti Kris terus bertukar ceria dan masuk balik dalam rumah sambil nyanyi-nyanyi dengan riangnya. Selalu aku senyum sendiri. Dah jadi macam hiburan pulak bagi aku bila kepala rasa ketat hadap skrin komputer non-stop.
Hish! Kalaulah dia tau aku selalu curi tengok gelagat dia, masak aku kena sembur dengan dia macam dia sembur aku tadi. Tapi, sumpah, aku tak sangka pujian-pujian Mak Cik Umi terhadap aku selama ni, buat Kris pulak tak senang dalam diam kat aku. Patutlah Kris pandang muka aku ni pun macam tak hingin aje. Ingatkan aku ni hodoh sangat kat mata dia…
Suara emak terbatuk-batuk, buat aku tersedar dari mengelamun. Cepat-cepat aku masuk dan mendapatkan mak. Ingatkan mak dalam bilik, rupanya baru nak naik tangga. Susah payah mak pijak anak tangga sebab kaki kanan mak sakit. Aku pun segera menuntun mak berjalan sampai ke bilik.
“Mak, kenapa tak tidur lagi? Kan dah lewat ni?”
“Kamu tu, jangan jadi kelawar sangat. Muda-muda ni memanglah nampak sihat, besok kalau dah tua, bini kamu jugak yang susah...” Mak berbalik bagi nasihat kat aku pulak.
Aku tertegak pandang mak sambil senyum. “Hai, mak? Pandai mak corner ‘baring’ masuk topik tu ye?”
Mak mengerling dengan senyum mengenen. “Habis, cakap berkias dah tak jalan dengan kamu tu, dik.”
“Ala... kalau mak cakap direct pun, sia-sia jugak. Calon isteri pun tak adaaaa...” Aku sengaja tekan ayat terakhir.
“Bukan tak ada... tapi kamu tu yang memilih yang bukan-bukan. Nak bini macam watak dalam komik! Mak taulah kamu tu dulu pernah jadi mangaka tapi, apa kamu ingat dunia ni sama macam dalam manga ke?”
Aku dah tak tahan, terus gelak terkekeh-kekeh sambil hati-hati membantu mak baring atas katil. Rupanya mak ingat lagi azam mengarut yang aku buat zaman-zaman lepas SPM dulu.
“Mak ni... sampai ke situ pulak. Saya cakap nak isteri macam watak dalam komik sebab saya tak jumpa perempuan yang sesuai jadi isteri saya... saya nak isteri, mak... bukan bini!” Aku berkata dengan bersungguh-sungguh.
“Sama ajelah bini ke isteri ke...”
“Isk... lain mak... bukan setakat ejaan aje lain... tapi pada saya maksud tu pun dah lain. Bila sebut bini, macam tak elok sangat bunyinya... macam...hmm...” Aku terdiam sebentar, mencri-cari ayat yang sesuai.
Mak pandang aku dengan mata terkelip-kelip, dahi berkerut berlapis-lapis.
“Bila sebut bini tu, saya bayangkan macam lelaki tu, setakat kahwin, tidur dengan perempuan tu dan lepas tu tak peduli apa. Tapi kalau isteri ni bunyinya lebih sopan. Macam perempuan tu sangat berhemah, santun, tertib menjaga rumahtangga...haaa...macam tu!” Aku tersenyum lebar memandang emak.
Tapi emak menggeleng-gelengkan kepala. “Hishh.. susah cakap dengan kamu ni. Ada ajelah alas an. Mak nak carikan calon, kamu tak nak...”
“Mak...” Aku potong cakap mak sambil tarik selimut sampai paras dada mak. Bila mak diam, baru aku sambung balik bercakap. “Biar saya yang cari sendiri, mak... sebab hanya saya yang boleh uji samada perempuan tu layak ke tak jaga saya sebagai suami. Paling penting, pandai tak dia jaga mak, ambil hati mak, dan hormat mak...”
“Hmm... itu pun kalau dia sempat jaga mak...”
Ayat mak tu buat aku tersentap. Mulalah tu, mak nak bercakap pasal kematian! Aku tak suka sungguh nak dengar mak kaitkan soal mati, walaupun mati itu pasti! Yang menjadi persoalan sebenarnya adalah urusan hidup di dunia yang banyak sangat pancaroba ni.
“Mak... jangan fikir fasal tu lagi ya?” Aku tepuk-tepuk sayang bahu mak. “Insya ALLAH Taala...kalau ada jodoh, saya bawaklah dia kat rumah ni... Mak tidur ya? Mimpi yang indah-indah ya, mak? Sayang mak!”
Aku tunduk cium dahi mak. Rutin aku setiap malam sejak sekolah rendah. Tak kiralah siapa yang masuk tidur dulu. Kalau aku tak cium dahi mak, memang aku gelisah tak boleh tidur. Rasa macam ada benda missing!
Bila mak mula pejam mata, aku keluar dan tutup pintu bilik mak. Rasanya aku pun nak tidur jugak. Kepala aku dah sengkak lepas submit packaging artwork ke Macworld, sebelum maghrib tadi. Dah tu, tak pasal-pasal pulak kena marah dengan awek rumah sebelah. Haih!
Tapi sebelum tidur, aku turun ke bawah. Nak pergi kunci pagar dan pintu masuk rumah.
Lepas kunci pintu pagar, aku terpandangkan Suzuki Swift Kris. Terus aku terbayang balik muka marah Kris tadi. Tak semena-mena aku mengeluh lalu bersandar pada tiang porch sambil terus memandang Swift pink itu seolah-olah aku sedang bertentang mata dengan Kris.
Rasanya aku perlu mintak maaf kat dia kalau dia rasa aku ni dah banyak menyusahkan dia walaupun aku ni takde ada kaitan langsung dalam urusan hidup dia.
Tapi… macam mana aku nak mintak maaf kalau muka aku pun dia tak sudi nak pandang? Tak sanggup pulak aku nak pergi ketuk pintu rumah dia, merayu minta maaf macam aku dah buat dosa tak terampun!
Lagi tak logik kalau aku ajak dia keluar makan-makan semata-mata sebab nak mintak maaf!
Isk… kenapa tiba-tiba aku rasa macam nak mengorat Kris pulak?